10 July 2016

ISIS: Khawarij Zaman Moden?

[Kredit]

Fahaman (atau ideologi) Khawarij muncul ketika mana Saidina 'Ali r.a. bersetuju untuk berdamai dan melaksanakan gencatan senjata dengan Muawwiyah r.a., pasca krisis pembunuhan Saidina Uthman r.a.. Para pendokong Khawarij adalah pengikut Saidina 'Ali pada mulanya, namun dek tidak bersetuju dengan tindakan 'Ali yang mahu berdamai dengan Muawwiyah, mereka telah keluar (kharaj/kharji yang merupakan asas kepada nama 'khawarij') dari kelompok penyokong 'Ali dan menubuhkan kumpulan mereka sendiri.

Mereka telah menghukum 'Ali sebagai berdosa kerana mahu berdamai dengan Muawwiyah. Oleh sebab itu, mereka mendakwa 'Ali tidak layak menjadi khalifah. Kefahaman ini juga akhirnya berkembang menjadi sebuah pegangan, yakni sesiapa sahaja yang berdosa tidak layak untuk menjadi pemimpin. Pegangan ini menjadi semakin ekstrem bila mana mereka mula menghukum sesiapa sahaja yang berdosa adalah kafir. Wow. Mereka ini malaikat yang turun dari langit agaknya!

Puak khawarij ini jugalah yang bertanggungjawab menumpahkan darah Saidina 'Ali dan akhirnya menimbulkan huru-hara dan konflik yang amat signifikan di dalam zaman khulafa' ar-rasyidin. Kematian 'Ali menandakan tamatnya era khulafa' ar-rasyidin. 

Pegangan dan kepercayaan puak khawarij yang terlalu ekstrem telah mendorong mereka untuk membunuh ramai orang yang tidak sefahaman dengan mereka, hatta para sahabat r.a. dan para khalifah sekalipon. Orang berdosa adalah kafir dan orang kafir layak untuk dibunuh. Begitulah pegangan mereka yang terang-terangan bercanggah dengan keyakinan ahlul sunnah wal jamaah yang dengan jelas menyatakan bahawa orang yang berdosa tidaklah sampai jatuh kepada tahap kafir kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.  

Menariknya, sebahagian besar daripada mereka ini terdiri daripada golongan Arab Badwi yang tidak faqih di dalam ilmu agama. Mereka mengintepretasikan ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW mengikut nafsu mereka. Maka timbullah idea-idea dan seruan-seruan yang pelik, tersasar dari ajaran Islam yang sebenar dan ekstrem kerana mengambil ayat-ayat al-Quran dan hadith di luar konteksnya. 

Puak khawarij ini tidak bertahan lama untuk dua sebab yang utama:

  1. Pegangan mereka yang jelas sekali bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW, dan
  2. Kefahaman yang mereka yang terlalu ekstrem sehingga sukar sekali diterima oleh orang ramai
Meskipon begitu, meskipon kewujudan mereka sebagai sebuah pergerakan tidak bertahan lama, mereka telah meninggalkan impak yang cukup besar di dalam dunia Islam. Mereka telah membunuh ramai pemimpin dan tokoh Islam yang memerangi mereka dan menimbulkan kehuru-haraan dan kekecohan di banyak tempat dan negara. 

Yang lebih menakutkan, ideologi dan pegangan mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang mereka rasakan berdosa dan tidak sefahaman dengan mereka (Baca: Takfir) berulang-ulang kali hidup semula di dalam sejarah ketamadunan Islam. Walaupon mereka ini tidaklah mengaku mereka sebagai pewaris puak Khawarij, pegangan dan tindakan mereka amat mirip - jika tidak sebijik - dengan pegangan dan tindakan Khawarij yang pernah menggangu-gugat kestabilan umat Islam suatu ketika dahulu.

***

Ketika Ikhwanul Muslimin dibubarkan dan diisytiharkan haram oleh rejim Jamal Abdul Nassir di Mesir, para Ikhwan diburu dan dihumban ke dalam penjara. Mereka bukan setakat terpaksa meringkuk di dalam penjara untuk suatu tempoh yang lama, mereka juga diseksa dengan seksaan yang amat dahsyat yang tidak mungkin terbayangkan oleh kita. (Untuk mengetahui seksaan dan keadaan ketika itu - jika anda berminat dan kuriyes macam kucing - saya sarankan bacalah buku 'Detik-Detik Dalam Hidupku' nukilan Zainab al-Ghazali atau 'Aku & Ikhwanul Muslimin' tulisan Syaikh Yussuf al-Qardhawi.)

Kerana tidak tertahan dengan seksaan dan layanan rejim Abdul Nassir, muncul sekelompok dalam kalangan Ikhwan yang merasakan Presiden Jamal Abdul Nassir dan konco-konconya adalah kafir kerana mana mungkin mereka yang mengaku diri mereka Islam tergamak memperlakukan saudara-saudara seIslam mereka sebegitu rupa?  Mereka semakin marah dan tidak sanggup lagi bersabar dengan layanan pihak rejim terhadap mereka. Apatah lagi apabila pegangan mainstream Ikhwan ketika itu adalah bersabar dengan mehnah yang menimpa kerana ia adalah merupakan sebahagian ibtila' (ujian) dari Allah untuk mengukuhkan saf para mukminin. 

Shukri Ahmad Mustafa
Maka lahirlah sebuah kumpulan yang dinamakan Jamaatul Muslimin, sebuah kumpulan serpihan dari Ikhwanul Muslmin yang diasaskan oleh Shukri Mustafa. Kumpulan ini lebih dikenali sebagai Takfir wal Hijrah oleh mereka yang tidak bersetuju dengan fahaman ini dek keekstreman dan pegangan kumpulan ini; takfir kerana mereka amat pantas mengkafirkan orang yang tidak bersama dengan mereka dan hijrah kerana mereka berpendapat umat Islam wajib berhijrah dari negara yang diperintah oleh orang kafir atau berpandukan sistem kafir (Baca: demokrasi dan yang seangkatan dengannya).

Mereka malah pada suatu tahap mengkafirkan seluruh rakyat Mesir kerana tidak bangun menentang kezaliman rejim Jamal Abdul Nassir; maka secara otomatiknya mereka dikira sebagai menyokong pemerintahan taghut beliau. Shukri Mustafa akhirnya ditangkap dan dihukum bunuh selepas Jamaatul Muslimin menculik dan membunuh seorang menteri kerajaan Mesir ketika itu.

Namun kematian Shukri Mustafa tidak menamatkan riwayat Jamaatul Muslimin. Serpihan dari kumpulan ini melahirkan beberapa kumpulan lain; antaranya ialah al-Qaeda.

Ya, al-Qaeda. 

Ok anda boleh tutup mulut anda yang terlopong itu. Buruk sangat rupanya. Wahahaha.

Err.

***

Saya tergerak untuk menonton sebuah video propaganda ISIS yang dikongsikan oleh seorang rakan di garis masa Mukabuku saya. 

Pada mulanya saya ragu-ragu akan menonton video itu sehingga habis, melihatkan panjangnya menjangkau sehingga lima belas minit (apa-apa sahaja video yang melebihi lima minit, saya kira sebagai panjang). Tetapi entah mengapa, saya berjaya (atau terpaksa?) menontonnya sehingga habis. 

Usai menontonnya, perasaan saya terganggu dan berkecamuk. Takut, marah, geram, kagum, tak percaya, risau, susah hati... Semuanya ada!  

Namun yang pasti, saya tidak hairan mengapa ramai anak-anak muda di luar sana yang tertarik untuk menyertai ISIS. Sehingga sanggup meninggalkan keluarga, pelajaran dan masa hadapan, semata-mata untuk bersama dengan kumpulan yang sudah diisytiharkan sebagai pengganas ini. Terutamanya anak-anak muda yang tidak punya latar belakang agama yang solid, atau yang baru hendak berjinak-jinak dengan agama. 

Ya, tidak dinafikan, mereka yang belajar agama juga ramai yang menyertai ISIS. Tapi mereka yang tidak punya asas agama yang kukuh, lebih mudah terpengaruh dan tertarik untuk bersama-sama dengan kumpulan itu. 

Cara pihak propaganda ISIS mengolah video itu memang menarik. Menampakkan seolah-olah ISIS sedang menuju kejayaan yang tiada siapa akan dapat menghalangnya. Menggambarkan mereka berada di atas kebenaran dan tiada siapa yang dapat menghancurkan mereka. Memperlihatkan kecanggihan senjata yang dimiliki mereka dan betapa apa yang mereka lakukan adalah semata-mata untuk Islam. 

Bahagian yang paling mengujakan? Video itu adalah dalam format HD! Wahaha. Eh. 

Saya malah mengatakan kepada saudara-mara yang sudi mendengar analisa saya, bagaimana pemain game tegar (Baca: Hardcore gamers) adalah golongan yang amat mudah terpengaruh dengan propaganda ISIS; mereka berjaya menampakkan kerja-kerja menembak dan membunuh musuh-musuh mereka lebih kool daripada pengalaman bermain game!
 
Namun apa yang paling merisaukan saya selepas menonton video tersebut ada dua: 

Askar kanak-kanak ISIS
Pertama, apa nasib anak-anak kecil yang sudah 'ditarbiyah' dan dibasuh sejak mereka kecil lagi? Mereka tidak bermain dengan guli atau teng-teng, tapi senapang rifel dan latihan tentera. Mereka diajar sejak kecil siapa musuh-musuh mereka dan mengapa mereka ini layak dibunuh sahaja. Mereka telah dicuci otak mereka untuk sanggup mengorbankan diri dan jiwa mereka untuk jemaah mereka, ISIS.

Mereka inilah, dalam sepuluh ke lima belas tahun akan datang - jika ISIS masih wujud - yang tanpa ragu-ragu dan syak wasangka lagi akan menjadi pejuang dan pengebom berani mati ISIS. Yang tanpa berfikir dua kali, akan sanggup meletupkan diri di tengah-tengah orang ramai yang tidak berdosa. Yang tanpa segan dan malu, akan menembak siapa sahaja yang dirasakan tidak sebulu dan sefahaman dengan mereka.

Geleng kepala.

Dan kedua, bagaimana dengan mudah sekali mereka di dalam video tersebut mentakwil ayat-ayat al-Quran yang jelas sekali bersalahan dengan maksudnya yang sebenar. Mereka mentafsir ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran agar ia kelihatan seolah-olahnya menyokong dan menjustifikasi perjuangan mereka. 

Kafirkan orang itu? Ada dalilnya. Bunuh orang ini? Ada hujahnya. Mahu jadikan tawanan perang sebagai hamba seks? Ada ayatnya. 

Kerana itu saya katakan, saya tidak hairan jika ramai anak-anak muda yang pantas terpesona dan mudah tergoda dengan tarikan ISIS. Bukan sahaja mereka berjaya menampakkan diri mereka sebagai pejuang agama yang kool dan bergaya, tetapi yang lebih utama, mereka berjaya menjustifikasikan setiap tindakan mereka dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang telah dimanipulasi. 

Nah, sekiranya kita berada di dalam kasut anak-anak muda ini, yang tidak punya latar belakang agama yang mantap, yang daam fasa mahu berubah menjadi lebih baik, yang sudah bosan dengan kehidupan dunia dan mahu melakukan sesuatu yang besar dan meninggalkan impak maksima, apa agaknya yang terlintas di fikiran kita apabila menonton video sebegitu rupa? Ya, kita punya frekuensi otak yang sama. 

Tarik nafas. 

Berhati-hati dengan bahan propaganda; ia memang direka khas untuk mempengaruhi dan memprovokasi minda kita! [Kredit]

Apa yang berlaku pada hari ini, apa yang ISIS tampakkan dan tonjolkan, mengingatkan kita pada sepotong hadith Rasulullah SAW; hadith yang sangat tepat dan mengejutkan dalam memerihalkan siapakah mereka yang mendokong ISIS ini.

"Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum, umurnya masih muda, sedikit ilmunya, mereka mengatakan dari sebaik-baik manusia. Membaca Al-Quran tidak melebihi kerongkongannya. Terlepas dari agama seperti terlepasnya anak panah dari busurnya."

[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Lantas, apa yang kita boleh lakukan? Apa yang perlu kita lakukan bagi mengelakkan diri kita, adik dan abang kita, saudara-mara dan anak-anak kita dari terjebak dengan propaganda ISIS ini

Saya ingin mengesyorkan beberapa langkah atau tindakan, dengan harapan ia boleh membantu kita dalam mengekang dan memerangi ideologi ekstrem ini:

  1. Kuasai dan dalamilah ilmu agama daripada sumbernya yang asli. Untuk melakukan hal ini, bergurulah dengan guru yang 'alim dan soleh. Menguasai bahasa Arab juga adalah kunci kepada penguasaan ilmu agama yang mantap. 
  2. Apabila anda mendengar hadith atau ayat-ayat Quran yang somehow anda rasakan too good to be true, atau sepertinya menyimpang dari ajaran agama (seperti menghalalkan darah sesiapa sahaja yang dikatakan musuh, membolehkan tawanan perang menjadi hamba seks dan sebagainya), pastikan anda bertanyakan kepada para ostad ostajah yang faqih di dalam hal ini untuk memastikan keabsahannya.
  3. Ibu bapa wajib mengambil tahu dan berat perihal anak-anak anda. Ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, apa yang mereka buat di masa lapang dan laman sesawang yang bagaimana yang sering mereka lawati. Ya saya tahu, menjadi ibu bapa di zaman teknologi serba canggih ini memang sumpah mencabar.
  4. Ibu bapa juga mestilah menyemai benih-benih agama dalam diri anak-anak mereka sejak kecil lagi, agar aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih terbina dalam jiwa mereka. Untuk melakukan hal yang demikian, sudah tentulah ibu bapa terlebih dahulu perlu mendalami agama atau sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu bukan? 
  5. Luaskan pembacaan dan pengetahuan tentang isu-isu semasa, terutamanya tentang krisis dan konflik di Timur Tengah. Tolong jangan hanya bergantung kepada Encik Gugel dan Profesor Wiki sahaja untuk mencari maklumat tentang sesuatu. Ketahui dan dalami sebab-musabab dan sejarah ISIS ditubuhkan.
  6. Lakukan kerja-kerja dakwah dan sebarkan kebenaran dengan bersungguh-sungguh. Sebarkan maklumat dan kebenaran tentang ISIS dengan apa sahaja cara yang anda mampu; bulatan gembira, konferens riang, penulisan, vlog hatta status ringkas di Pengicau sekalipon.
  7. Akhirnya mantapkan iman dan bersihkan hati. Rasulullah SAW mengajar kita seandainya kita berasa was-was dengan sesuatu, maka berfatwalah dengan hati. Namun pastinya hati yang bersih dan kuat sahaja yang boleh memberikan fatwa yang benar dan kuat, bukan?
Kita hidup di zaman fitnah yang benar-benar mencabar. Siapa sangka musuh yang disebut dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa umat akhir zaman akan diserang dari pelbagai arah oleh musuh-musuh ibarat manusia menyerang hidangan makanan, bukan sahaja musuh dari luar tapi musuh dari dalam juga.       
 
Dalam era yang cukup genting dan mencabar ini, paling koman yang boleh kita lakukan adalah menjaga diri kita dan orang-orang yang rapat dengan kita daripada bencana fitnah zaman moden ini.
 
Ya, memang mudah untuk kita menyalahkan CIA, Mossad, Amerika dan entah apa-apa lagi kerana telah mencipta raksasa bernama ISIS. Namun suka atau tidak, kita juga perlu memikul beban pertanggungjawaban kerana turut sama terlibat dalam melahirkan ISIS.
 
Bagaimana? Kerana kita gagal menjalankan amanah sebagai khalifah kepada ummah yang telah ditaklifkan di bahu kita sejak di alam ruh lagi. Nanges.
 
Namun, kita belum terlambat untuk berbuat apa-apa. Selagi kita masih bernafas dan selagi hayat dikandung badan, kita masih punya masa untuk melakukan perubahan. 
 
Dan perubahan itu bermula dari kita.
 
Ok klise gila ending. Wahahaha. Kbai.
 
-gabbana-   
 
InshaAllah antara projek buku saya yang seterusnya adalah tentang ISIS. Tapiemungkinan besar bukan dalam masa yang terdekat kerana ia memerlukan kajian dan pembacaan yang meluas dan mendalam. Haih. Doakan saya   
 

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 10/07/2016, 21:18  

Hmmm.. menakutkan

mr asdfghjkl 11/07/2016, 06:41  

Keep it up inche gabbana!!! Kami tunggu buku baru dr inche gabbana :)

Anonymous 11/07/2016, 12:01  

Jzkk. Teruskan usaha!

Anonymous 11/07/2016, 15:14  

Tapi kan tpikir jugak.. klu dah semua nak kena blembut dgn manusia, sape nak lawan israel n musuh2 islam yg sememangnya membunuh umat islam sesuka suki hati?

Ezwan Amrin 15/07/2016, 10:44  

Jom kita sama2 improve diri :)
Penulisan inche gabbana sentiasa terbaik!

nawi 15/07/2016, 18:18  

Entri pertama inche gabbana yg sy baca. Ternyata saya tertarik.alhamdulillah

Anonymous 15/07/2016, 18:26  

banyak ilmu yg saya dpt dari penulisan inche gabbana.cool !

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP