14 May 2016

Lelaki Ini Menemukan Ajalnya Di Tali Gantung. Anda Tahu Kenapa?

Almarhum as-Syahid Syaikh Motiur Rahman Nizami

11 Mei yang lalu mencatatkan satu lagi noktah hitam dalam sejarah perjuangan umat Islam. Syaikh Motiur Rahman Nizami, amir kepada Jamaat al-Islami di Bangladesh digantung di penjara Dhaka Sentral 1 minit selepas tengah malam waktu tempatan. 

Almarhum Syaikh Motiur Rahman Nizami (selepas ini akan disebut sebagai Syaikh Nizami sahaja) dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Bangladesh pimpinan Sheikh Hasina atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan merancang pembunuhan orang-orang bijak pandai (Baca: top intellectuals) semasa peperangan antara Pakistan dan Bangladesh (ketika itu dikenali sebagai Pakistan Timur) pada tahun 1971; satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Syaikh Nizami dan Jamaat al-Islami pimpinannya. 

Syaikh Nizami adalah pimpinan tertinggi Jamaat al-Islami Bangladesh yang kelima yang menjalani hukuman mati. Selain Jamaat al-Islami sendiri, kebanyakan gerakan-gerakan Islam serta beberapa buah negara di seluruh dunia mengecam hebat tindakan kerajaan Bangladesh yang dilihat melulu dan tidak adil itu.

Benarkah tuduhan kerajaan Bangladesh itu? Apa yang terjadi sebenarnya? Mungkinkah seorang pemimpin tertinggi bagi sebuah pertubuhan Islam melakukan jenayah sedemikian rupa?

Untuk menyingkap sebab sebenar Syaikh Nizami dikenakan hukuman mati, tidak cukup dengan kita hanya membaca keratan-keratan akhbar, apatah lagi post-post di Mukabuku. Kita perlu menelusuri sejarah hampir tujuh puluh tahun yang lalu, malah mungkin lebih lama sebelum itu. Dan saya tidak pasti sama ada saya mampu untuk menulis peristiwa yang cukup bersejarah ini dengan adil.

Untuk memudahkan cerita, saya kira bolehlah kita bermula dengan sejarah perpisahan India dan Pakistan. Kerajaan British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada India pada tahun 1947, setelah hampir 200 tahun menjajah India. Namun disebabkan oleh permusuhan antara umat Islam dan Hindu di India terutamanya di kawasan Punjab (kalaulah saya boleh huraikan sebab-musabab kepada permusuhan ini pula; sangat menarik untuk diterokai!), Kongres Kebangsaan India terpaksa bersetuju dengan permintaan Liga Muslim untuk memberi autonomi kepada umat Islam India. Maka terbentuklah sebuah negara yang diberi nama Pakistan.

Pakistan pula, dengan kelicikan pihak British, terbahagi kepada dua; Pakistan Barat (Pakistan sekarang) dan Pakistan Timur (Bangladesh), yang dipisahkan oleh India di tengah-tengahnya. Maka kita sudah dapat menjangkakan yang perpisahan antara Pakistan Barat dan Timur tetap akan berlaku, sama ada cepat atau lambat sahaja. 

Peperangan antara Pakistan Barat dan Timur pada tahun 1971, atau lebih dikenali sebagai Peperangan Pembebasan Bangladesh oleh mereka yang menyokong pembentukan negara Bangladesh, dicetuskan oleh kebangkitan nasionalis Bengal yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Pakistan ketika itu yang menidakkan kemenangan besar Parti Liga Awami pimpinan Sheikh Mujibur Rahman (bapa kepada Sheikh Hasina). Dengan kemenangan itu, sepatutnya Parti Liga Awami berhak menubuhkan kerajaan Pakistan yang baharu kerana memperoleh majoriti kerusi di Parlimen.

Bagi menghalang daripada kebangkitan puak nasionalis ini, Pakistan telah menggunakan kekerasan berupa tindakan ketenteraan terhadap rakyat Pakistan Timur. Antaranya termasuklah dengan menubuhkan askar militia radikal agama seperti Razakkar, al-Badr dan al-Syams.

Di sinilah tuduhan terhadap Syaikh Nizami dan anggota Jamaat al-Islami yang lainnya muncul. Syaikh Nizami dikatakan mengetuai militia al-Badr dan terlibat secara langsung dalam pembunuhan dan merogol rakyat Pakistan Timur ketika itu. Astaghfirullah.

Walaupun menurut pemimpin kanan Jamaat al-Islami yang berpengkalan di luar negara bahawa sememangnya Syaikh Nizami menyokong kerajaan Pakistan pada tahun 1971 itu, tuduhan-tuduhan lainnya adalah salah dan tidak berasas.

Kerajaan India, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain segera campur tangan dan memberikan sokongan kepada kerajaan Bangladesh yang ditubuhkan secara buangan. Bantuan ketenteraan daripada India, yang dipimpin oleh Indira Gandhi ketika itu, akhirnya terbukti berkesan apabila Pakistan akhirnya menyerah kalah pada bulan Disember tahun yang sama.

Sheikh Mujibur Rahman dilantik sebagai Presiden pertama Bangladesh dan antara tindakannya yang terawal adalah mengharamkan penubuhan Jamaat al-Islami yang dilihat sebagai pengkhianat kerana menyokong malah membantu perjuangan Pakistan. Syaikh Nizami melarikan diri ke luar negara bersama ahli-ahli Jamaat yang lainnya.

(Nota: Tidaklah diketahui mengapa Syaikh Nizami mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan Pakistan. Teori saya, sebagai salah seorang anggota Jamaat - sebuah persatuan Islam yang cukup berpengaruh yang diasaskan di Pakistan oleh Syaikh Abul 'Ala al-Maududi - beliau tidak sanggup melihat perpecahan yang berlaku antara umat Islam. Allahu a'lam.)

Apabila Sheikh Mujibur Rahman dibunuh pada tahun 1975 dan yang menggantikannya adalah Jeneral Ziaur Rahman, beliau telah membenarkan ahli-ahli Jamaat, termasuklah Syaikh Nizami untuk pulang ke Bangladesh.

Mereka menghidupkan semula Jamaat al-Islami dan Syaikh Nizami muncul sebagai antara pemimpinnya yang utama. Syaikh Nizami mengambil peluang keemasan ini untuk menubuhkan sayap pemuda Jamaat yang dikenali sebagai Islami Chhatra Sibir (Persatuan Pelajar Jamaat).

Politik di Bangladesh, sekiranya mahu dibandingkan dengan politik di Malaysia, jauh lebih rumit dan membotakkan kepala. Sejak tahun 1991, kepemimpinan utama Bangladesh bertukar tangan antara dua orang wanita sahaja; Khaleda Zia, balu kepada Jeneral Ziaur Rahman yang juga dibunuh, dan Sheikh Hasina yang merupakan waris kepada Presiden pertama Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman.

Khaleda Zia memimpin parti Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP; err macam UMNO mungkin? Eheh.) manakala Sheikh Hasina adalah pemimpin kepada Parti Liga Awami. Antara kedua-dua parti ini, ada parti-parti lain yang sama ada menyokong BNP atau Liga Awami.

Khaleda Zia dan Sheikh Hasina, dua pemain utama politik di Bangladesh. [Kredit]

Jamaat al-Islami, yang merupakan parti politik Islam terbesar di Bangladesh telah memilih untuk membuat pakatan 4 penjuru dengan BNP (Pakatan Harapan pon ada 3 penjuru je ok?). Pakatan ini terbukti berhasil apabila mereka memenangi pilihanraya pada tahun 2001. Syaikh Nizami sendiri pernah menjadi menteri di dalam kerajaan campuran pimpinan Khaleda Zia ini dengan memegang portfolio pertanian dari tahun 2001 hingga 2003 kemudiannya menjadi Menteri Industri pada tahun 2003 hingga 2006. 

Namun pakatan ini tewas kepada Liga Awami pada pilihanraya yang diadakan pada tahun 2008. Sheikh Hasina naik menjadi Perdana Menteri Bangladesh buat kali keduanya (kali pertama pada tahun 1996).

Sheikh Hasina tidak membuang masa untuk menghancurkan lawannya. Pada tahun 2009, kerajaan Bangladesh telah menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk membicarakan mereka yang dilihat sebagai pengkhianat kepada Bangladesh di dalam Peperangan Pembebasan Bangladesh 1971. Syaikh Nizami adalah salah seorang yang ditangkap dan dibicarakan oleh tribunal ini.

Walaupon pada mulanya dunia antarabangsa menyambut baik penubuhan tribunal ini, ia kemudiannya dikecam kerana hampir semua yang dibicarakan adalah para pemimpin pembangkang di dalam parlimen Bangladesh ketika itu. Jelas ia adalah permainan politik Sheikh Hasina yang mahu mengekang pengaruh para pemimpin pembangkang terutamanya Jamaat al-Islami.

Syaikh Nizami akhirnya dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2014. Perbicaraan ke atasnya dikritik hebat kerana ia dijalankan dengan terlalu banyak kelemahan dan kelompongan. Contohnya, hanya ada empat orang saksi pembelaan yang dibenarkan memberi keterangan untuk membela Syaikh Nizami. Selain itu, peguam bela Syaikh Nizami juga mendakwa sering diekori dan diganggu sepanjang perbicaraan berlangsung. 

Ahli-ahli Jamaat juga seringkali dikasari oleh pihak polis. Malah tidak kurang yang 'hilang' secara tiba-tiba meskipon mereka tidak menuntut apa-apa ilmu ghaib menghilangkan diri. Err.

Pada 2013, Jamaat al-Islami Bangladesh sekali lagi diharamkan oleh kerajaan Bangladesh dan dilarang daripada menyertai sebarang aktiviti politik. 

Hukuman mati ke atas Syaikh Nizami dikekalkan apabila Syaikh Nizami dikatakan enggan menulis permohonan maaf kepada Presiden Bangladesh. Akhirnya pada 11 Mei 2016 bersamaan 4 Syaaban 1437H, as-Syahid Syaikh Motiur Rahman Nizami menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai di tali gantung.

[Kredit]

''Demi Allah, sesungguhnya aku telah hidup selama 73 tahun dan telah ditimpa penyakit yang pelbagai, dan mungkin sahaja untuk aku menyahut panggilan maut pada bila-bila masa," demikianlah Syaikh Nizami berwasiat. Sambungnya lagi, "Tetapi Allah ingin memuliakan aku dengan syahid di jalan-Nya. Jangan kalian berduka dan jangan kalian meminta keampunan kepada sesiapa sahaja selain Allah! Jangan doakan aku dengan kehidupan tapi berdoalah buatku dengan keteguhan dan penerimaan di sisi Tuhanku. Sesungguhnya syahid di jalan-Nya ialah cita cita tertinggiku!''

Allah Allah! 

Maka bergemalah ayat-ayat chenta-Nya yang agung, yang sentiasa menjadi saksi zaman-berzaman kepada hamba-hamba Allah yang terpilih untuk mati syahid di atas jalan-Nya yang mulia:

"Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup seraya mendapat rezeki di sisi Tuhannya.

Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidk ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.

Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia dari Allah. Dan sungguh, Allah tidak menyia-nyiakan pahal orang-orang yang beriman." 
[ali-Imraan, 2:169-171] 

Syaikh Nizami akan terus dikenang sebagai seorang mujahid sejati yang terus setia mendokong kebenaran hingga ke akhir hayatnya. Meskipon dihambat dan diasak dengan pelbagai mehnah dan ujian, dia terus teguh berdiri di atas prinsip-prinsip Islam, sehinggalah dia memperoleh antara dua; hidup mulia atau syahid menemukan-Nya. 

Kita memerlukan lebih ramai insan seperti Almarhum as-Syahid Syaikh Nizami untuk memenangkan agama yang mulia ini; manusia yang tidak mementingkan diri dan meletakkan kepentingan agama melebihi segala-galanya.

Dan ia bermula dengan diri kita.

Sekurang-kurangnya Syaikh Nizami, meskipon tidak sempat melihat kemenangan Islam di dunia, beliau telah menang di 'sana'.

Kita? Bagaimana? 

-gabbana-

Rujukan:
  1. Al-Jazeera
  2. BBC News
  3. History.com 
  4. Wikipedia
  5. Laman Mukabuku Kun Anta

2 Caci Maki Puji Muji:

Raihanah Ahmad 16/05/2016, 15:27  

al fatihah

CikSiti 25/05/2016, 16:14  

okey tunggang tebalik kepala saya baca..takziah,,

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP