21 September 2015

Bertemu Pakgad Dari Sorga

[Kredit]

Akhirnya sebuah post untuk bulan September. Senyum.

Semalam dengan ijinNya, saya berpeluang untuk ke Mesejid Putra. Mesejid ini saya akui, antara mesejid yang paling cantik dan bergaya di Malaysia ini. Dengan tiang kolum tinggi ala Lincoln Memorial Reflecting Pool di Washington DC, dengan kubah besar berwarna merah jambu dan binaan utamanya dengan batuan keperangan serta tasik buatan yang menghiasi lanskapnya, tidak hairanlah ia menjadi antara destinasi wajib para pelancong yang datang berkunjung ke Malaysia.

Walaupon niat sebenar mereka mungkin mahu berlanggar bahu dengan Perdana Menteri Malaysia. Eh.

Saya tidak malu untuk mengaku yang saya berbangga dengan seni bina dan seni reka mesejid ini, yang menjadi mercu tanda Putrajaya dan Malaysia, meskipon saya mungkin tidaklah boleh berbangga dengan ruang solatnya yang selalunya dipenuhi oleh angin shiuhh shiuhh yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan bukannya dengan manusia. 

Ehem.

Rupa-rupanya Mesejid Putra ini tidak hanya kaya dengan seni bina dan seni rekanya. Tapi ada juga makhluk lain yang kaya di mesejid ini. Kaya jiwa.  

Mahu dijadikan cerita, saya mahu ke tandas untuk membuang air dan terus memperbaharui wudhu' saya. Alang-alang tekak saya berasa sedikit haus, timbullah fikiran di dalam kepala untuk membeli air tin di mesin vending yang seingat saya, letaknya pada dinding di sebalik ruang wudhu'.

Alangkah kechiwanya saya apabila mendapati mesin itu tidak lagi di situ. Eh, salah tempatkah aku, saya bermonolog sendirian, meskipon monolog sebenar tidaklah seskema itu. Wahaha. 

Lantas saya bertanyakan kepada pakgad yang duduk bertugas tidak jauh dari situ.

"Vending machine kat sini dah takde ke pakcik?"

Dengan spontan pakgad itu menjawab:

"Dah takde dah. Syarikat dia kedekut, tak mahu bagi sumbangan sikit kat mesejid."

Saya hanya tertawa mendengar jawapan pakcik itu. Saya terus melangkah ke ruang wudhu', menuju ke tandas memandangkan perut saya sudah mula menukar rentak dari jazz kepada sesuatu yang lebih rancak. 

Habis menunaikan hajat dan berwudhu', saya kembali melalui koridor tempat pakgad itu berjaga. Saya mengangkat tangan, tanda sapaan mesra.

"Awak asal mana?"
 

Pakgad itu memulakan bicara.  

"Saya sini je pakcik. Kolompo."

"Oh kolompo. Kolompo belah mana?"

"Keramat."

"Oh keramat. Menantu pakcik orang Ampang Jaya."

Pakgad itu bernama Ahmad. Macam mana saya tahu? Sebab tag nama dia yang beritahu. Eheh. 

Maka bermulalah perbualan kami yang meskipon santai dan sempoi, tapi penuh dengan intan berlian berharga.

Mula-mula dia bercerita tentang ahli keluarganya. Perihal anaknya yang tidak habis belajar di Al-Azhar Mesir (Peh!), menantunya yang juga lepasan universiti yang sama (Peh peh!). Kemudian apabila dia bertanyakan tentang pekerjaan saya, dia berkongsikan pula tentang anak buahnya.

"Anak buah pakcik dulu belajar project enginer, apa engineer? Dia belajar Lepas tu dia sambung belajar Los Angeles. Eh bukan, UK. Sekarang kerja kat Dubai."

"Dubai? Peh mesti gaji besar tu."

"Adalah berbelas ribu. Mungkin."

Nampak riak bangga pada wajah pakgad itu. Kemudian dia menyambung dengan jawapan yang tidak saya sangka-sangka. 

"Alah keje mana pon sama je dik. Kerja sana, tapi harga barang mahal. Macam orang cakap, keje Ostorolia, keje clener gaji beribu. Tapi barang sana, berapa pulak harganya kan. Sama aje."

Saya terkesima dengan kenyataan pakgad itu. Wow. Kalau anda nak tahu, pakgad itu sebenarnya baharu sahaja berbicara tentang teori eknomi, khususnya inflasi dan taraf hidup (Baca: Living standard). Sama ada dia sedar atau tidak, itu belakang cerita.

Boleh tahan pawer pakgad ni. 

Pakgad itu terus laju berbicara. Nampak dia gembira dan teruja bercerita. Kasihan dia, pasti bosan duduk saorang diri di situ. 

Macam-macamlah yang dia kongsikan dengan saya. Dia bercerita bagaimana pentingnya untuk anak-anak dididik dengan agama.

"Pakcik bukan apa, tapi pakcik banggalah dengan anak pakcik yang belajar agama tu. Anak kita ni lah yang akan jadi bekalan kita dekat akhirat nanti. Kan hadith tu kan. Kita mungkin tak cukup ilmu nak kongsikan. Harta pon tak banyak mana. Anak je lah yang tinggal."

Dia juga bercerita tentang besarnya manfaat membaca Quran itu, bagaimana ayahnya yang sudah tua, masih lagi tekun dan rajin membaca Quran. Malah mengajar Quran pula di kampungnya.

"Ayah pakcik pernah cakap, kenapalah dia tak mati mati lagi, walhal dah tua. Pakcik bagitau, ada hadith, pasal malaikat nak pukul manusia. Malaikat ni tahulah, bila disuruh pukul, dia pukul. Allah kata, 'Jangan pukul hambaKu ini, sebab dia banyak membaca al-Quran.' Jadi boleh jadi, Allah nak bapak pakcik tu terus hidup supaya dia terus membaca Quran. Sebab tu dik, kau bacalah Quran tu. Sebelum solat ke. Sikit pon takpelah."

Walaupon saya tak pernah dengar hadith tu, tapi ibrahnya ada. Boleh tahan hashtag deep jugalah. Pasukan kempen semak status hadith jangan marah ya. Saya hanya berkongsikan apa yang disebut pakgad itu. Eheh. 

Kemudian dia berbicara pula bagaimana hidayah itu sebenarnya adalah milik Allah untuk para hambaNya yang terpilih.

"Macam kau ni kan, datang mesejid, solat kat mesejid, alhamdulillah lah Allah pilih. Kalau tak, kau mungkin dah ke disko! Contoh la kan. Haha."

Disko? Erk.

Dia juga berkongsikan tentang mensyukuri nikmat yang Allah beri. Bagaimana nikmat itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan peri.

"Macam-macam nikmat Allah bagi. Kesihatan, cukup makan, tenang pemikiran." 

Dan dia juga ada menyatakan rasa peliknya dengan sikap segelintir manusia apabila meminta-minta dari Allah.

"Ada sekali tu, pakcik nak kenduri. Pakcik doa pada Allah, masa tu pakcik atas motor, 'Ya Allah, dengan izinMu, permudahkan urusan aku ya Allah. Tapi jika sudah kehendakMu, aku redha ya Allah.' Tengok-tengok, dari hari Jumaat sampai Ahad petang, cuaca terang. Elok je pukul lima hari Ahad, hujan turun. Lebat. Berdentum (guruh)! Tapi takpelah, majlis pakcik dan selesai. 

Bila nak minta pada Allah, kena ada timbal balik. Pakcik pelik juga, bila kadang-kadang tu buat solat minta hujan kat sini, Ya Allah, Kau turunkanlah hujan. MInta macam tu je. Manusia ni, bila tak hujan, minta hujan. Bila dah hujan, banjir susah pulak. Sebab tu kena ada timbal balik tu."

(Maksud pakgad tu dengan timbal balik, mesti kena sebut "Jika sudah kehendakMu.." atau lebih kurang begitulah)

Dengan kata lain, pakcik pakgad sedang berbicara tentang peri pentingnya beradab dalam berdoa dan meminta kepada Allah! 

Kurang lebih begitulah perkongsian pakgad itu dengan saya.

Sepanjang perbualan saya dengan pakgad itu, saya hanya banyak tersenyum dan mengganguk. Sengaja tidak mahu mengganggu pakgad itu dari terus berkongsikan mutiara-mutiara kata yang mahal harganya.

Saya begitu kagum dengan keikhlasan dan keterujaan pakgad itu bercerita. Tampak jelas pada sinaran yang memancar pada wajah dan matanya. Eheh. Siapa sangka pada saorang pakgad itu, saya belajar banyak perkara.

Sehingga terlintas di kepala saya, entah-entah ini malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menguji saya! Wahahaha. 

Pertemuan saya dengan pakcik pakgad mengingatkan saya pada sepotong ayat al-Quran:

"Dan masing-masing ada tingkatannya, (sesuai) dengan apa yang mereka kerjakan. Dan Tuhanmu tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan."
[al-An'am, 6:132]

Pada pandangan mata saya yang marhaen ini, Pakcik Ahmad mungkin hanya saorang pakgad mesejid Putrajaya. Tetapi kata-katanya, amalnya (mungkin), telah membuktikan, bahawa derajatnya di sisi Allah inshaAllah tinggi dan mulia. 

Jangan disangka air yang tenang tiada buaya,
Jangan disangka pakgad mesejid tiada bisanya!

"Dahlah dik. Lagi lama kau borak dengan pakcik, entah pukul berapa nak habis ni. Hahaha."

"Haha ok pakcik. InshaAllah kalau saya datang mesejid Putra ni lagi, saya datang tegur pakcik!"

InshaAllah pakcik pakgad. Moga kita ketemu lagi, jika tidak di dunia, di sorga sana!

InshaAllah! 

-gabbana-

Seperti biasa, penceritaan semua oleh saya pastinya melibatkan tokok tambah dan kurang, pertambahan perisa dan rempah di sini dan sana. Maaflah saya tidak punya ingatan bertaraf fotogenik fotografi untuk mengingati semua perbualan saya dengan tepat lagi jitu. 

Kepada anak Pakcik Ahmad, sekiranya anda terbaca nukilan ini, sampaikan salam saya pada ayahanda anda itu. Dia memang osem! 

6 Caci Maki Puji Muji:

Afiqah 21/09/2015, 17:29  

Pergh.. Padu! 👍

Kata-kata yang dikongsikan oleh pak cik Ahmad lebih kurang kata-kata yang sering diulang oleh bapa saya kepada kami adik beradik.

MashaAllah. Moga Allah beri kesihatan yang baik kepada pakcik Ahmad. Moga Allah balas dengan kebaikan dunia n akhirat. Allahumma Aameen.

The Kehalusan Kelembutan 21/09/2015, 23:22  

satu satu kata kata nya dihadam!

zulzafry zulkifly 24/09/2015, 09:42  

Hatta seorang pak gad boleh bercakap macam tu.Diam diam ubu berisi

Anonymous 05/10/2015, 11:48  

Hmmm power gak inche gabbana ni, walaupun dah kawen still dpt smpaikan dakwah (tulisan dlm blog)

Anonymous 23/10/2015, 05:40  

Mesejid? Barangkali untuk menjadi seorang penulis yang hebat, perlu tidak klise dalam pemilihan kosa kata. Barangkali. Atau tidak.

Saudagar Sorga , kehkeh 24/01/2016, 10:56  

siap kau pak amad ! aku cari kau , tp tak jumpe pon masa program youngstar aritu .. ? pencen dah kot .. Wahhahha

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP