24 June 2015

Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian Akhir)

[Kredit]

Kesejukan malam mencengkam tubuh Sakinah. 

Dia menarik comforter corak batik yang dihadiahkan oleh teman sepejabat Suhail semasa walimah mereka dahulu, menutup seluruh badannya. 

Dia sempat menjeling pada jam di dinding. Meskipon gelap, dia dapat menangkap jarum-jarum pada jam itu. 

Satu lima belas minit pagi. Kelibat Suhail masih belum muncul lagi.

Sakinah mendengus. 

Perasaannya bercampur baur antara risau, resah dan geram. 

Sakinah terlelap di dalam ombak perasaan itu.

Tidak lama selepas itu, dia merasakan ada tangan yang memeluknya. Kejap dan kuat. Dia tahu tangan itu milik Suhail. 

Perlahan-lahan dia membuka matanya.

Dua lima minit pagi. Kurang lebih. 

Dia berasa sedikit lega kerana Suhail akhirnya sudah pulang. Namun pada masa yang sama, dia terkilan. 

Pukul 2 pagi baru nak balik? Tak ingat kat isteri ke? 

Sakinah menolak tangan Suhail. Merajuk.     

Sakinah sedikit berharap yang Suhail akan melawan dan kembali memeluknya. Namun yang ada hanyalah bunyi dengkuran Suhail.

Sakinah terasa seperti mahu menumbuk Suhail ketika itu juga. Tepat di muka. Dan perut. Namun dia tertawa seorang dengan telatah suaminya itu. Dia sudah biasa diperlakukan sebegitu rupa oleh Suhail. 

Perlahan-lahan dia pula yang memeluk Suhail. Rindu.

***

"Semalam abang balik kol brapa?"

Sakinah tidak memandang suaminya yang sedang duduk di meja makan menikmati sarapan pagi. Dia sibuk mengelap pinggan mangkuk yang sudah dicuci dan dibiarkan kering. Buat-buat sibuk mungkin.

Suhail mendongak, mengangkat kepalanya dan memandang Sakinah. 

"Hah? Oh. Dalam pukul dua macam tu."

Dia kemudian menyambung suap roti bakar sapu mentega yang dicicah dengan kuning telur cair. Sarapan pagi peberetnya. Bau kopi panas menusuk hidungnya. Harum.

"Abang kata nak balik kol 1?"

Sekali lagi Suhail mendongak. Kali ini dia tersenyum. Bukan sekali itu cerekarama slot pagi sebegitu dimainkan. 

"Ye, saya kata kol 1. Tapi kalau awak baca mesej saya tu sampai abes, saya jugak tulis yang boleh jadi saya balik lambat. Kan?"

Kali ini Sakinah berpaling dan memandang Suhail. Jelingannya tajam. Macam singa betina yang nak terkam dubuk liar yang cuba mengganggu anak-anaknya bermain riang. 

Kemudian Sakinah kembali buat-buat sibuk dengan kerja-kerja mengemas pinggan mangkuk. 

"Saya tak suka lah abang balik lewat macam semalam."

Suhail menyambung makan, buat-buat tak dengar dengan omelan isterinya itu. Tinggal tiga suku lagi roti bakar untuk dihabiskan. Telur juga tinggal kurang daripada separuh. Sedikit kacang panggang dengan sos tomato dan beberapa potong sosej lagi. 

"Dakwah pon dakwah lah. Tapi takkan hari-hari macam ni." 

Suhail masih diam. Bukan kerana malas untuk melayan karenah Sakinah, tapi lebih kerana tidak mahu menambah RON95 ke dalam api. Minyak dah lah mahal sekarang ni.

"Abang sanggup biarkan saya sorang-sorang macam tu. Kalau jadi apa-apa kat saya macam mana? Apa-apa berlaku kat anak dalam perut ni, macam mana? Abang jugak yang susah nanti!"

Ok, Sakinah dah mula main dengan emosi. Jari-jemari Suhail menderap pada meja makan yang dibeli dari IKEA itu. Tanda sabarnya sedang diprovokasi. 

Sekali lagi Sakinah berpaling, mahu melihat reaksi Suhail.

"Abang! Saya tengah cakap dengan abang ni! Bukan dengan Corelle ni!" 

Suhail menarik nafas. Panjang dan dalam. Dia melihat jam tangannya. Nampaknya dia akan masuk lambat ke kantor pagi tu. Suhail mengurut-urut janggutnya yang sejemput itu. 

"Sayang..."

Sakinah diam tidak menjawab.

"Sayang..."

"Apa."

Pendek tapi tajam. Menusuk. 

"Meh duduk sini jap. Dok sebelah saya ni. Meh."

"Abang tak nampak ke saya tengah sibuk mengemas ni?"

"Awak nak berkemas apa lagi? Habis dah pinggan mangkuk tu awak simpan. Meh dok sini."

Ada nada tegas pada suara Suhail. Sakinah akur. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah meja makan. Suhail menarik keluar kerusi yang paling dekat dengannya untuk Sakinah. 

Pada masa yang sama, Suhail sedang mengumpul kekuatan dan kebijaksanaan untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku. Ya, ia bukan krisis yang besar, tapi jika dibiarkan melarat tidak dirawat, ia bakal menjadi perang saudara. Suhail sedang menyusun kata-kata di dalam kepalanya, agar yang bakal keluar dari mulutnya nanti adalah kematangan bukan kebudak-budakan, ketenangan bukan kemarahan dan kesabaran bukan kegopohan.

Satu nasihat yang dia sangat hargai dan pegang sehingga sekarang apabila dahulunya dia meminta tips dari ikhwah terchenta tentang persediaan berumah tangga adalah nasihat yang satu ini: Sabar. Banyakkan bersabar. Boleh dikatakan semua ikhwah yang dijumpainya memberikan nasihat yang sama. Banyak-banyakkan bersabar.

Dahulunya Suhail tertanya-tanya juga mengapa ikhwah semuanya senada dan sefrekuensi dalam memberikan nasihat BM kepadanya. Sukar sangatkah berBM ni? Mencabar sangatkah mahu sehidup dengan makhluk bernama perempuan ini? Bukankah dia bakal berkahwin dengan akhawat? Bukan sebarang akhawat; akhawat yang qawiyyah pula tu! 

Namun kini dia faham apa yang dimaksudkan dengan ikhwah. Dia benar-benar faham. Malah mana-mana ikhwah yang meminta nasihat BM daripadanya selepas dia mendirikan rumah tangga dengan Sakinah, dia pasti akan memberikan nasihat yang sama. 

Sabar. Banyakkan bersabar.   

Sakinah menghempaskan punggungnya. Tanda protes. Risau pula Suhail andai roboh kerusi itu. Kerusi DIY la katakan. 

Suhail beristighfar sebelum memulakan bicara. Dia benar-benar berharap isu sebegini tidak akan muncul lagi di masa hadapan. Dia mahu langsaikan hari itu juga. Once and for all omputih kata. Biarlah bosnya di kantor nanti jeling tajam dan buat tunjuk jam padanya. 

"Sayang... Awak tahu kan kenapa abang kawin dengan awak?"

Sakinah membuat muka. Sengaja digerakkan anak matanya agar memandang ke atas. Seolah-olahnya nak kata pada Suhail, not again. 

Suhail tahu soalannya tidak akan berjawab. Soalan retorik.

"First and foremost, abang setuju nak kawin dengan awak dulu, sebab dakwah. Sebab tarbiyah. Lillahi ta'ala. Tiada sebab yang lain."

Sakinah melukis lukisan ghaib pada meja makan. Matanya tertumpu pada meja, bukan pada Suhail.

"Oklah. Sebab awak comel pon ada jugak. Haha."

Jenaka Suhail berjaya mengendurkan sedikit ketegangan pada wajah Sakinah. Dia tertawa kecil. Siapa tak seronok bila Encik Suami puji macam tu. 

"Tapi sebab T 'n' D tu memang sebab yang utama. Abang memang specifically bagitau murabbi abang dulu, abang nak kawin dengan akhawat yang bawak usrah. Yang tarbawi. Garu kepala jugaklah murabbi abang masa tu dengan request abang! Hehe."

Sakinah mengemam bibirnya. Seperti sedikit kecewa dengan apa yang didengarinya dari mulut Suhai. Kecewa dengan diri sendirinya mungkin.   

"Dan bila murabbi abang tunjuk borang awak, memang benda pertama yang abang tengok adalah keterlibatan awak dalam dakwah, dalam tarbiyah. Lepas tu baruuuulah abang tengok pipi awak yang gebu tu."

Sekali lagi Sakinah tertawa. Suhail memang macam tu. Dalam keseriusannya berkata, pasti akan diselitkan dengan lawak jenaka. Sakinah menumbuk manja lengan Suhail. 

Suhail memanjangkan tangannya untuk memegang tangan Sakinah. Sakinah membiarkannya sahaja.

"Sayang... BM kita, berhutang besar dengan dakwah."

"Em... Maksud abang?"

"Ya lah. Sebab dakwah lah kita dipertemukan. Kalau bukan sebab dakwah, abang takkan pilih awak untuk jadi isteri abang."

Suhail berhenti, untuk melihat reaksi Sakinah. Sakinah hanya membisu, tidak mengangguk tidak juga menggeleng. 

"Abang sangat bangga dapat peristerikan awak. Bangga sebab dapat kawin dengan seorang ukht yang bukan calang-calang di atas jalan dakwah. Seorang ukht yang telah berjanji-setia untuk hidup semati dengan dakwah. Abang bangga sayang."

Suhail memegang erat tangan Sakinah.

"Tapi... Semenjak kawin ni, abang perasan perubahan pada awak. Tak tahu kenapa, tapi awak macam jadi slow. Awak macam dah tak aktif, tak seperti yang saya jangkakan."

Sakinah tunduk. Darahnya berderau mendengar kata-kata Suhail itu.   

"Expectation awak tinggi sangat kot..."

Sakinah bersuara. Perlahan. 

Suhail menarik nafas.

"Abang tak rasa begitu. Abang risau sangat awak jadi macam tu sebab abang, sebab BM yang kita dirikan ni. Allahu."

Perlahan-lahan Sakinah menarik tangannya dari genggaman Suhail.

"Taklah bang. Bukan macam tu..."

"Awak, percayalah, abang sayangkan awak sangat-sangat. Abang tak pernah ada perasaan macam ni pada mana-mana perempuan sebelum ni. Sumpah. Awak boleh belah dada abang kalau awak tak percaya. Haha. 

Kalau ikutkan abang, abang pon nak spend masa sepanjang masa dengan awak. Nak duduk rumah je dengan awak. Tak keluar malam-malam bawak usrah, takyah pergi daurah sume tu. Nak dengan awak je sepanjang masa."

Suhail berhenti seketika. Dia mahu kata-katanya itu meresap ke dalam sanubari Sakinah. Meresap ke dalam sudut yang paling dalam.

"Tapi wak... Umat kat luar tu sedang tenat. Umat kat luar tu tengah sesat. Umat tengah nazak tunggu sakarat. 

Umat tu perlukan dua't ilallah macam kita. Macam awak. Macam abang. Umat sangat-sangat perlukan orang untuk bimbing diorang keluar dari kegelapan jahiliyyah yang sangat pekat tu.

Dan kalau bukan orang macam kita yang nak buat, siapa lagi..? Kita zalim wak, kalau kita tak laksanakan amanah syahadatul haq ni. Kita tersangatlah zalim kalau kita tak laksanakan tanggungjawab dakwah ni. Apa kita nak jawab depan Allah di Mahsyar kelak??"

Suhail berhenti dan menghirup air kopinya yang sudah sejuk. Masih kaw.

"Tak...Tak cukup ke saya dok rumah jadi isteri yang solehah je bang?"

Suhail tersenyum.

"Cukup. Memang cukup. Tapi cukup untuk awak seorang je la. Awak sorang-sorang je la masuk sorga nanti.

Abang takkan kawin dengan awak kalau abang tahu awak nak jadi isteri yang solehah je. Abang takkan terima borang awak dulu, kalau abang tahu awak setakat nak jadi pelengkap tulang rusuk kiri abang je.

Abang terima awak dulu, sebab abang tahu awak akan jadi penguat abang. Abang setuju untuk kawin dengan awak dulu, sebab abang yakin awak akan sama-sama bantu abang untuk bergerak laju bersama-sama dengan gerabak dakwah ni. Dan abang betul-betul tenang untuk bina BM dengan awak sebab abang tahu, awak bukan sekadar pelengkap tulang rusuk abang, tapi awak jugak akan jadi tulang belakang abang.

Bukan kebetulan wak Allah pertemukan kita. Allah dah tulis jodoh kita di Lauh Mahfuz lagi. Dan abang sangat-sangat yakin, sebab utama mengapa awak ditakdirkan menjadi isteri kita, adalah sebab dakwah. Sebab seorang perwira macam abang takkan mampu untuk berjuang seorang diri, kalau takde srikandi macam awak."

Sakinah sebak. Ada butir air di hujung matanya.

Perlahan-lahan Suhail mencapai kepala Sakinah. Dengan penuh rasa chenta, dia mengusap lembut kepala isterinya itu.

"Sayang... Awak bukan akhawat yang biasa biasa. Awak seorang ukht yang luar biasa. Dan umat di luar sana tu, perlukan seorang ukht macam awak ni.   

Awak dah jadi sakinah dalam hidup abang. Dan abang nak kongsikan sakinah ni dengan ramai lagi orang kat luar sana. Tahu?"

Suhail mengelap air mata yang tumpah membasahi pipi Sakinah dengan buntut tapak tangannya. 

Sakinah mengangguk perlahan. Ada sinar cahaya pada matanya.


***

EPILOG 

"Ana takkan percaya dengan antum..."

Sakinah merenung mata-mata adik-adik yang dengan penuh tekun dan bersungguh memandangnya. Masing-masing sudah bersedia untuk menyalin bulat-bulat apa yang bakal terhambur dari mulut Sakinah. Ada bibit kekaguman, harapan dan semangat pada wajah-wajah mereka. Adik-adik harapan pelapis dakwah, yang Sakinah harapkan, akan bersedia untuk bersama-sama dengannya memegang erat obor perjuangan yang membara.

Sakinah sengaja lambat-lambat menghabiskan kata-katanya, untuk menghasilkan impak yang paling dahsyat kepada pendengar. Teknik yang dipelajarinya dari Suhail, suaminya yang terchenta. 

"Ana takkan percaya dengan antum di atas jalan dakwah ini selagi antum tak melepasi dua ujian besar..."

Sekali lagi Sakinah merenung setiap wajah yang ada di dalam dewan kecil itu. Dia pastikan tidak ada satu wajah pon yang dia terlepas pandang. Sakinah tersenyum nakal. Kerana dia tahu rata-rata daripada adik-adik di hadapannya tidak sabar mahu mendengar penyudah kepada ayatnya itu. Dia seronok mengusik mereka begitu. 

Sakinah sempat beristighfar sebelum dia mahu menghabiskan kata-katanya. Kerana dia tahu, apa yang bakal diungkapkannya mahal harganya. Kerana dia tahu, apa yang bakal diucapkannya amat dekat dengan dirinya. Dan kerana dia tahu, apa yang bakal keluar dari mulutnya selepas ini, adalah sesuatu yang amat bermakna buat dirinya.

"...ujian kerjaya dan ujian berBM!"

-gabbana-

Fuh. Akhirnya tamat juga.

Moga ada manfaatnya di bulan Ramadhan ini! Hoho.

>> Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian I)
>> Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian II)

6 Caci Maki Puji Muji:

Najmi Nawawi 24/06/2015, 19:23  

"...ujian kerjaya dan ujian berBM!"

noted!

annaaisha77 26/06/2015, 19:44  

Power!:)

Anonymous 28/06/2015, 09:44  

ber bm tu apa ?

Anonymous 28/06/2015, 18:27  

Tersenyum je baca ni :) teruskan dgn cerpen2 menarik mcm ni , thumbs up, may Allah bless

Anonymous 28/06/2015, 18:30  

Ber bm tu maksudnya berBaitul Muslim , atau sng cerita, berkahwin maksudnya

Budak_jawe 26/12/2015, 07:30  

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP