11 June 2015

Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian II)

[Kredit]

Telefon Oppa Sakinah mengeluarkan bunyi kucing mengiau sambil bergegar beberapa kali. Tanda ada mesej yang masuk. 

"Yang, abang balik lambat tau malam ni. Lepas kerja abang straight..."

Mesejnya tidak keluar penuh. Trailer. Sakinah perlu unlock telefonnya dahulu untuk membaca mesej yang penuh. 

Tapi belum baca mesej yang penuh pon Sakinah dah boleh agak apa mesej yang dihantar suaminya. 

Lepas kerja abang straight gi usrah. Atau jumpa dengan ikhwah. Atau meeting dakwah. 

Tiada yang lain selain itu. Konfem.

Sakinah merungut sendiri. Dia baharu sahaja merancang untuk masak gulai tenggiri kegemaran Suhail. Empat ketul ikan tenggiri sudah pon dikeluarkan dari peti sejuk. 

Sikit-sikit usrah. Sikit-sikit ikhwah. Sikit-sikit dakwah. Zaujah, campak mana?

Sakinah mengomel sendirian.

Sakinah menarik nafas dalam-dalam. Dia beristighfar. Dia tahu perasaannya ketika itu dikuasai emosi. 

Sabar Sakinah. Sabar. Suami kau keluar berjihad tu, pergi buat dakwah. Bukannya pergi cari perempuan lain!

Sakinah cuba menenangkan dirinya. 

Sakinah perasan, semenjak dua menjak ni, perasaan cemburunya semakin menjadi-jadi. Membuak-buak. Terutamanya selepas mengandungkan anak sulung. Entah mengapa. 

Dahulu sebelum berkahwin dengan Suhail, dia pernah dengar akhawat yang cemburu pada dakwah. Maknanya, seorang isteri yang cemburu kerana suaminya sibuk dengan dakwah.

Sakinah tak percaya. Takkanlah seorang ukht, yang sudah ditarbiyah sejak sekian lama, yang bawa dua tiga bulatan gembira, yang tidak pernah ponteng konferens riang, yang kuat mujahadahnya, yang hebat hamasahnya, boleh cemburu pada dakwah?? Ish sukar sekali untuk Sakinah menerimanya. 

Tapi itu dahulu. Kini Sakinah sudah mula percaya. Terasa macam ada setepek tahi burung yang jatuh tepat atas batang hidungnya.

Terngiang-ngiang kata-kata seorang ostad yang pernah berkongsi di dalam suatu konferens riang yang dihadirinya:

"Ana takkan percaya sama antum atas jalan dakwah ni, selagi antum tak melepasi dua ujian besar; ujian kerjaya dan ujian berBM!"

Sudah beberapa kali Saskinah cuba bermuhasabah. Dia pon hairan dengan dirinya yang sudah banyak berubah selepas bernikah. 

Dia semakin malas untuk menghadiri bulatan gembiranya sendiri.

Dia rasa culas untuk pergi bermuayasyah dengan hadek-hadek akhawatnya. 

Dia sering mencari-cari alasan untuk tidak hadir konferens riang yang sekali sebulan itu.

Setiap kali Suhail ada program tarbiyahnya yang perlu dihadiri, Sakinah akan rasa berat untuk melepaskan suaminya itu pergi.

Malam-malam yang Suhail pulang lewat kerana ada bulatan gembira atau mesyuarat dakwah atau berjumpa dengan ikhwah, Sakinah akan berkecil hati. 

Sakinah lebih suka untuk duduk di rumah sahaja. Dia bahagia menjadi isteri kepada Suhail, jaga makan minumnya, urus pakaiannya. Kalau boleh dia mahu Suhail ada bersama-sama dengannya setiap masa dan ketika. Jika boleh, dia tidak mahu Suhail pergi ke mana-mana dan habiskan masa dengannya sahaja.

Sakinah sudah jatuh chenta pada Suhail. Dia sudah benar-benar jatuh chenta pada Suhail. Dia merasakan Suhail adalah miliknya dan miliknya seorang. Dia tidak mahu berkongsi Suhail dengan sesiapa. Dia merasakan Suhail adalah segala-galanya baginya. 

Pernah dia ditegur oleh seorang ukht yang perasan akan peerubahannya selepas mendirikan al-baitul Muslim. 

"Awak, awak jangan marah tau kalau saya cakap ni."

Sakinah melirih pada Najah, Dia seperti sudah boleh mengagak apa yang akan diungkapkannya. 

"InshaAllah tak. Apa dia wak?"

Sakinah cuba untuk tersenyum.  

"Hmmm. Entahlah. Tapi saya nampak awak macam dah banyak berubah la wak lepas BM."

Sakinah mengangkat keningnya. Hatinya tiba-tiba resah. Tidak semena-mena dia rasa tak best. 

"Berubah? Maksud awak? Berubah yang macam mana?"

Sakinah cuba mengawal suaranya supaya dia tidak kedengaran sepertinya dia berasa jengkel atau 

Najah membetulkan tempat duduknya. Dia cuba mencari kekuatan untuk menghabiskan apa yang sudah dimulakannya. 

Najah memandang ke bawah. Baharu dia perasan ada corak bunga daisy pada baju kurung yang dipakainya. Sepertinya dia tidak berani untuk memandang wajah Sakinah. Timbul rasa sesal kerana menyebut hal tersebut pada Sakinah. Namun dia sedar itu tanggungjawabnya, untuk menegur sahabat dunia akhiratnya itu. Dia lebih rela untuk dibenci Sakinah di dunia ini daripada di akhirat nanti.

"Awak... Awak dah lain. Tak macam dulu."

Najah berhenti, dengan harapan Sakinah akan memberikan respon. Senyap. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas dan sekali-kala bunyi motor dan kereta di luar. 

"Kita tengok, awak dah tak semangat macam dulu. Dah bukan macam Sakinah yang saya kenal dulu. Hm. Sentiasa semangat bila datang usrah. Sentiasa teruja nak jumpa hadek-hadek." 

Sakinah tersentap. Entah kenapa dia tersentap walhal dia tahu apa yang diungkapkan Najah itu benar belaka.

"Sebenarnya... Ada hadek awak datang jumpa kita. Dia bagitau, awak dah jarang ziarah depa. Mesej pon sekali-sekala. Kalau usrah, akan mula lambat tapi habis cepat. Hm. Saya takut wak..."

Pipi Sakinah merah.  Perasaannya bercampur-baur ketika itu. Tapi yang paling dominan adalah rasa marah dan geram. Dia rasa seperti dikhianati oleh hadek bulatan gembiranya sendiri. 

"Awak takut..? Takut apa..?"
 

Sakinah bertanya. Jelas pada suaranya, ada bunyi menyampah dan marah. Sakinah cuba untuk mengawalnya, namun dia gagal. 

"Saya takut... Awak dah futur."

Perkataan futur itu seperti guruh yang berdentum kuat dan halilintar yang menyambar Sakinah ketika mana langit tampak tenang dan senang. Seperti seekor gorilla yang jinak dan lunak tidak semena-mena naik berang dan memberikan Sakinah penampar percuma. Seperti ada seorang ukht yang nampak sopan dan berbudi tiba-tiba mengamuk dan menarik tudung labuh Sakinah. 

Sakinah benar-benar tidak dapat menyembunyikan perasaannya. Mukanya merah padam. Dahinya berpeluh kerana menahan panas dari dalam. 

Najah perasan agaknya perubahan mendadak yang berlaku pada Sakinah. Dia segera memujuk.

"Maaf...maaf lah wak kalau saya jujur sangat. Saya...saya tak layak pon nak cakap macam tu, sebab saya tak berada di tempat awak."

Najah segera mendekati Sakinah dan memeluk sahabatnya. Sakinah membiarkan sahaja sahabatnya itu, tanpa memeluknya semula. Merajuk.

"Maaf wak. Saya sayang awak sangat-sangat. Kerana Allah. Sumpah. Dah lama kita kenal wak. Awak pon tahu saya macam mana kan. Saya tak sanggup tengok awak futur. Saya tak sanggup biarkan awak macam tu. Awak nak marah, marahlah. Saya lagi takut kalau awak marah saya kat Mahsyar nanti."

Kata-kata Najah itu berjaya mengurangkan ketegangan yang dirasakan Sakinah. Perlahan-lahan dia memeluk Najah. Dari perlahan menjadi erat. Entah mengapa, tidak semena-mena Sakinah menjadi sebak. Dadanya berombak.   

"Teri...terima kasih wak. Terima kasih."

Selepas itu, Sakinah banyak berubah. Dia kembali mencari langkah-langkahnya semula yang telah lama pudar dimamah pasir-pasir kehidupan. Dia kembali bersemangat untuk membawa bulatan gembira hadek-hadeknya. Dia kembali aktif dengan gerak kerja dakwah akhawat. Sakinah yang dahulu, telah kembali.

Suhail amat gembira melihatkan perubahan Sakinah. Dia yang perasan akan perubahan Sakinah selepas berkahwin dahulu, belum berani untuk menegur Sakinah, takut isterinya itu akan merajuk dan berkecil hati. Dia amat bersyukur Allah hantarkan Najah untuk menarik semula Sakinah sebelum terlambat. Suhail terasa loser lah juga kerana bukan dia yang menjadi asbab kepada perubahan positif Sakinah itu.

Namun perubahan Sakinah itu tidak kekal lama. Hangat-hangat tahi kucing sahaja. Selepas beberapa ketika, dia kembali seperti dulu; malas untuk berbulatan gembira, tidak semangat untuk mengambil tahu perihal hadek-hadek terchenta, lebih gemar duduk-duduk di rumah sahaja dan sering mengomel dan cemburu bila mana Suhail keluar melaksanakan amanah dakwahnya.

Yang baiknya, keadaan Sakinah sekarang tidaklah sekritikal dahulu. Cuma semangat itu yang semakin pudar. Hilang entah ke mana. 

Dan Sakinah sedar sahaja semua itu. Dia merindui Sakinah yang dahulu. Dia mahu jadi bersemangat seperti dahulu; tidak pernah berkira tentang masa, tenaga dan harta yang dihabiskan untuk dakwah. Dan jika boleh, dia tidak mahu menjadi batu penghalang kepada amal-amal tarbiyah dan dakwah suaminya. Dia sangat takut andai dia menjadi penyebab  kepada perlahan dan terbantutnya dakwah Suhail.

Tetapi itulah, masa-masa yang dirinya dikuasai emosi, dia lupa semua itu. Hari-hari yang kefuturan raksasa datang menyerang, dia tidak ingat lagi semua itu. 

Sakinah mengambil telefon Oppa-nya, dan dimasukkan kod nombor untuk unlock skrin telefonnya itu. 121212. Tarikh perkahwinan dia dan Suhail. 

"Hmmm ok. Abang balik kol brapa agak-agak?" 

Send.

bersambung...

-gabbana-


6 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 11/06/2015, 16:09  

alhamdulillah. rasa meningkat momentum hamasah lepas baca ni. jzkl khair.

Anonymous 11/06/2015, 22:18  

masih mnunggu utk penghabisan cerita..sdikit komen ttg cerita yg bru smpi siri2 ni..insyaAllah sbgi seorg ikhwah spttny dia tahu utk balance dakwah n family..sbb kedua2 nya adlh kewajipan..zaujah juga individu yg prlu disantuni jgk..insyaAllah ana sgt yakin jika zauj tu pndi mmbahagikn masa dgn sebaiknya masa utk zaujah n dakwah maka isu spt dlm cerita x kn timbul..sbb seorang wanita tu sedikit kebaikan yg dia terima 1000 kebaikan dia akn balas n hargai insyaAllah..so klu zauj dh penuhi yg spttny buat zaujahny maka x kan ade pape lgi yg zaujahnya akn rse kekurangan malah lgi mnyokong dakwah zaujny...seorg zauj tu adlh nakhoda rumahtangga klu ade sdikit cacat ahlinya makany nakhodanya lah yg perlu koreksi diri trlbih dahulu..


wallahualam sekadar pndgn..mcm mne pn ana tnggu jgk pnghabisan cerita

hazwanshukor15gen 12/06/2015, 07:32  

please encik ana harap ini bukan hikayat ke-3 encik yg x habis. harap anda tidak menzalimi kami haha.

abelxheer 16/06/2015, 01:13  

hupdate lagi! tak zabor nak baca! hahaha

jihad islam 10/10/2015, 01:36  

Mumtaz.

jihad islam 10/10/2015, 01:36  

Mumtaz.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP