26 June 2015

Fakta Haibat Lagi Ajaib Tentang Ramadhan

[Kredit]

Satu benda bila nak tulis pasal Ramadhan ni, tidak boleh tidak, ia akan jadi sedikit klise. Sebab apa? Sebab dah ramai yang bercakap dan menulis tentang Ramadhan. Jadi agak sukar jugalah kalau mahu menulis sesuatu yang niche dan unik, yang betul-betul luar dari kotak.

Tapi tidak mengapa, bagi saya can untuk mencoret juga sesuatu tentang Ramadhan. Sekurang-kurangnya lebih baik lah kan daripada saya tulis sesuatu yang mengarut dan merepek di bulan yang mulia ni. Eheh. 

Baiklah. 

Seperti yang sudah kita tahu dan selalu dengar dalam kuliah-kuliah mahupon ceramah agama, bulan Ramadhan ini tersangatlah istimewa. Bayangkanlah, dalam dua belas bulan Qamari yang ada, Allah secara spesifik pilih Ramadhan untuk seru orang-orang beriman agar jadi bertaqwa.

Nampak tak permainannya di situ? 

Maknanya, dalam bulan Ramadhan tu, Allah dah sediakan macam-macam sarana dan kemudahan untuk bantu kita jadi orang yang bertaqwa. Dan sejahat-jahat kita macam mana pon, sama ada kita sedar atau tidak, secara otomatiknya kita 'dipaksa' untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Ha, inilah dahsyatnya Ramadhan. Inilah yang haibat dan mahsyuknya Ramadhan!

Jadi hari ini saya nak berkongsi dengan anda, fakta-fakta sahih lagi tepat tentang keistimewaan Ramadhan, yang tidak ada dan tidak boleh didapati di dalam bulan-bulan yang lainnya. 

Anda sudah bersedia? Marilah!
 

(Kali ini tak boleh nak makan popkon perisa karamel dan minum jus oren segar macam biasa)

Fakta 1
Sekiranya sebelum ini punyalah susah untuk kita tahu waktu solat, setiap kali nak kena tengok surat khabar atau perisian di telefon pintar kita, Ramadhan menjadikan kita begitu cekap dan tajam dalam mengetahui waktu solat. Espeseli waktu masuknya solat Maghrib bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Eh.

Kan kan kan?

Macam kenal je, macam kenal je.
Fakta 2
Kita yang selama ni punyalah liat nak tunaikan solat sehari lima kali itu, solat-solat sunat toksah cakaplah, tiba-tiba rajin dan bersemangat untuk ke mesejid setiap malam untuk tunaikan solat Isyak berjemaah dan terawih paling koman lapan rakaat. Walaupon moreh mungkin menjadi faktor penggalak utama, tapi fakta ini masih tetap mengagumkan.

Ajaib bukan? 

Fakta 3
Ada dalam kalangan kita yang kaki makan. Bukan setakat kaki, tapi tangan, buku lali, peha, biseps, semua semua lah! Masa sarapan pagi, dah cerita pasal makan malam. Masa makan malam, dok rancak bercerita pulak hujung minggu tu nak makan di mana. Kiranya kita dan makanan ibarat kontroversi dan 1MDB. Eh eh. 

Tapi bila Ramadhan menjelma, kita boleh lupakan semua tu. Kita boleh menahan lapar dan dahaga untuk tempoh yang cukup panjang lamanya. Tak rasa haibat ke tu? 

Ok tolong jangan rosakkan poin saya ni dengan membawa isu bazar Ramadhan dan moreh ke sini. Tolong. 

Fakta 4
Yang ini lebih ajaib. Para perokok tegar yang sebelum masuknya bulan Ramadhan punyalah susah nak berpisah dengan rokok, setiap setengah jam berasap mulut, setiap setengah jam mesti nak pekena sebatang, tiba-tiba masuk bulan Ramadhan boleh pulak bertahan. Bukan calang-calang punya bertahan, tapi doblas jam! Peh. 

Persoalannya sekarang, kenapa tak berhenti merokok je terus? Boleh je kan? Wahai!

Fakta 5
Buat pertama kalinya dalam hidup kita. kita bertegur-sapa dengan jira selang tiga rumah kita. Sebab apa? Terima kasih kepada Ramadhan yang menjadikan kita bermurah hati untuk bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga kita. Tak kisahlah kita hanya bagi onde-onde atau cekodok barang seketul dua tapi jiran kita balas dengan ayam masak ros atau kambing kuzi. Yang penting niat kita untuk menjalinkan silaturrahim dengan jiran tetangga kita.

Manalah tahu rupa-rupanya Makcik Zabedah jiran kita tu masih ada anak dara yang belum berpunya? Wahahaha. Eh. 

Fakta 6
Bulan Ramadhan juga menjadikan kita secara otomatiknya kurang bercakap. Niat asalnya kerana malu bau mulut yang harum semerbak. Err.

Tapi pada masa yang sama, kita juga telah berjaya mengurangkan daripada bercakap perkara-perkara yang tidak senonoh dan tidak berfaedah. Maka berkurang jugalah dosa-dosa kering kita dek banyak mengumpat dan mengadu-domba sini dan sana. Wah!


Yang berpuasa bukan perut sahaja, tapi anggota-anggota yang lain juga! Tahu?

Fakta 7
Hebat tak hebatnya Ramadhan ni, kita yang pakar buat tahi mata, yang hanya mampu bangun malam bila ada perlawanan bola pasukan bola sepak peberet kita, itu pon sekali-sekala, tiba-tiba boleh bangun malam. Setiap hari pulak tu! 

Betapa kasihnya Allah kepada kita, Dia 'paksa' kita untuk bangun agar mendapat keberkatan dari waktu sahur. Subhanallah! Dan kita memang sanggup bangun; kalau tak, bergendang dan berqasidah la perut kita sembari pagi!

Alang-alang dah bangun awal tu bang, jangan lupa solat sunat dua rakaat ya? Senyum.

Fakta 8
Ha yang ini memang lejen. Juga bukti betapa Ramadhan menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Tiada siapa yang akan berbuka puasa selagi tidak berkumandang azan Maghrib kan? Hatta seminit, sepuluh saat, tiga saat pon, tiada siapa yang akan berbuka awal. Sebab apa? Sia-sialah kita dah menahan lapar dan dahaga seharian lamanya jika kita berbuka awal. Dikira batal puasa kita! Adeh.

Oleh sebab itu, kita sanggup bertahan, meskipon ayam percik Mak Jah dan gulai lemak ikan tenggiri sudah terhidang di depan mata. Belum lagi dikira cendol bakar dan pulut mangga yang siap untuk dijamah. 

Hei anda, sejak bila anda jadi begitu tabah dan penyabar sebegitu rupa?
Beginilah perasaannya bila tersalah tengok waktu berbuka. Kekeke.
Fakta 9 
Di bulan-bulan yang lain, kita dan Quran ibaratnya seorang Bangla yang baru sampai Malaysia. Maksudnya, terasing. Sangat asing. Err boleh ke macam tu?\

Tapi tatkala Ramadhan ketuk pintu bagi salam nak masuk, entah macam mana, entah dari mana datang semangatnya, kita dengan Quran ibaratnya macam sepasang kekasih yang sudah berjanji untuk hidup semati. Ke mana-mana sahaja kita akan bawa mushaf atau muat naik aplikasi Quran ke dalam telefon pintar kita. Ada masa kosong, kita baca. Ada masa lapang, kita baca.

MashaAllah. Rasa nak nanges kan dengan fakta ni? 

Fakta 10
Keajaiban Ramadhan yang paling utama adalah bagaimana tanpa sedar atau pon tidak, ia sedang mentarbiyah kita untuk menjadi orang yang lebih bertaqwa. Solat Subuh berjemaah di mesejid. Tilawah Quran yang menderu-deru. Zikir dan istighfar yang sentiasa basah di bibir. Makan dan tidur yang lebih sedikit berbanding biasa. Doa yang tidak putus-putus. Sabar yang dipaksa. Iktikaf yang dilazimi. Kuliah-kuliah agama yang dihadiri. Bersungguh-sungguh memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar.

Semuanya ini sebenarnya adalah batu-batu pengasah untuk menjadikan taqwa kita tajam semula, selepas 11 bulan sebelumnya yang menumpulkan dek kelalaian dan kealpaan kita. Allahu.

Nah, begitulah sepuluh fakta yang haibat lagi ajaib tentang Ramadhan.

Kerana itulah, Ramadhan ini bukan calang-calang bulan. Ia adalah bulan untuk orang-orang yang beriman yang mahu mengejar taqwa. 

Laallakum tattaqun. Mudah-mudahan kamu bertaqwa. 

Sama ada kita berjaya merangkul taqwa atau tidak, ia benar-benar terletak di tangan kita. Kitalah yang menentukannya, sama ada taqwa itu milik kita atau pon tidak.

Yang benar-benar menjadikan Ramadhan itu sebuah bulan yang haibat dan ajaib, bukanlah bulan Ramadhan itu sendiri. Tapi yang menjadikan ia benar-benar dahsyat dan istimewa, adalah kerana manusia-manusia luar biasa yang menghidupkannya.

Moga kitalah manusia-manusia yang terpilih itu!

Mudah-mudahan! 

-gabbana- 

Sedar tak sedar, kita sudah pon menghampir penghujung sepertiga Ramadhan. Aduhai nak nanges pon ada.

Kepada kita yang masih tidak sedar diri bahawa Ramadhan sudah berjalan meninggalkan kita, bangkitlah dari lena. Mulakan beramal agar Ramadhan tidak pergi dengan sia-sia.

Kepada kita yang sudah konsisten beramal, alhamdulillah. Sudah tiba masanya untuk naikkan gear.

Dan kepada kita yang benar-benar memaknai erti imanan wahtisaban, ketahuilah,  yang memasukkan kita ke dalam sorga adalah rahmat dan kasih-sayangNya dan bukannya amalan-amalan kita! 

Allahumma barikla fii shahri Ramadhan, wa ballighna lailatul qadr! 
 

24 June 2015

Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian Akhir)

[Kredit]

Kesejukan malam mencengkam tubuh Sakinah. 

Dia menarik comforter corak batik yang dihadiahkan oleh teman sepejabat Suhail semasa walimah mereka dahulu, menutup seluruh badannya. 

Dia sempat menjeling pada jam di dinding. Meskipon gelap, dia dapat menangkap jarum-jarum pada jam itu. 

Satu lima belas minit pagi. Kelibat Suhail masih belum muncul lagi.

Sakinah mendengus. 

Perasaannya bercampur baur antara risau, resah dan geram. 

Sakinah terlelap di dalam ombak perasaan itu.

Tidak lama selepas itu, dia merasakan ada tangan yang memeluknya. Kejap dan kuat. Dia tahu tangan itu milik Suhail. 

Perlahan-lahan dia membuka matanya.

Dua lima minit pagi. Kurang lebih. 

Dia berasa sedikit lega kerana Suhail akhirnya sudah pulang. Namun pada masa yang sama, dia terkilan. 

Pukul 2 pagi baru nak balik? Tak ingat kat isteri ke? 

Sakinah menolak tangan Suhail. Merajuk.     

Sakinah sedikit berharap yang Suhail akan melawan dan kembali memeluknya. Namun yang ada hanyalah bunyi dengkuran Suhail.

Sakinah terasa seperti mahu menumbuk Suhail ketika itu juga. Tepat di muka. Dan perut. Namun dia tertawa seorang dengan telatah suaminya itu. Dia sudah biasa diperlakukan sebegitu rupa oleh Suhail. 

Perlahan-lahan dia pula yang memeluk Suhail. Rindu.

***

"Semalam abang balik kol brapa?"

Sakinah tidak memandang suaminya yang sedang duduk di meja makan menikmati sarapan pagi. Dia sibuk mengelap pinggan mangkuk yang sudah dicuci dan dibiarkan kering. Buat-buat sibuk mungkin.

Suhail mendongak, mengangkat kepalanya dan memandang Sakinah. 

"Hah? Oh. Dalam pukul dua macam tu."

Dia kemudian menyambung suap roti bakar sapu mentega yang dicicah dengan kuning telur cair. Sarapan pagi peberetnya. Bau kopi panas menusuk hidungnya. Harum.

"Abang kata nak balik kol 1?"

Sekali lagi Suhail mendongak. Kali ini dia tersenyum. Bukan sekali itu cerekarama slot pagi sebegitu dimainkan. 

"Ye, saya kata kol 1. Tapi kalau awak baca mesej saya tu sampai abes, saya jugak tulis yang boleh jadi saya balik lambat. Kan?"

Kali ini Sakinah berpaling dan memandang Suhail. Jelingannya tajam. Macam singa betina yang nak terkam dubuk liar yang cuba mengganggu anak-anaknya bermain riang. 

Kemudian Sakinah kembali buat-buat sibuk dengan kerja-kerja mengemas pinggan mangkuk. 

"Saya tak suka lah abang balik lewat macam semalam."

Suhail menyambung makan, buat-buat tak dengar dengan omelan isterinya itu. Tinggal tiga suku lagi roti bakar untuk dihabiskan. Telur juga tinggal kurang daripada separuh. Sedikit kacang panggang dengan sos tomato dan beberapa potong sosej lagi. 

"Dakwah pon dakwah lah. Tapi takkan hari-hari macam ni." 

Suhail masih diam. Bukan kerana malas untuk melayan karenah Sakinah, tapi lebih kerana tidak mahu menambah RON95 ke dalam api. Minyak dah lah mahal sekarang ni.

"Abang sanggup biarkan saya sorang-sorang macam tu. Kalau jadi apa-apa kat saya macam mana? Apa-apa berlaku kat anak dalam perut ni, macam mana? Abang jugak yang susah nanti!"

Ok, Sakinah dah mula main dengan emosi. Jari-jemari Suhail menderap pada meja makan yang dibeli dari IKEA itu. Tanda sabarnya sedang diprovokasi. 

Sekali lagi Sakinah berpaling, mahu melihat reaksi Suhail.

"Abang! Saya tengah cakap dengan abang ni! Bukan dengan Corelle ni!" 

Suhail menarik nafas. Panjang dan dalam. Dia melihat jam tangannya. Nampaknya dia akan masuk lambat ke kantor pagi tu. Suhail mengurut-urut janggutnya yang sejemput itu. 

"Sayang..."

Sakinah diam tidak menjawab.

"Sayang..."

"Apa."

Pendek tapi tajam. Menusuk. 

"Meh duduk sini jap. Dok sebelah saya ni. Meh."

"Abang tak nampak ke saya tengah sibuk mengemas ni?"

"Awak nak berkemas apa lagi? Habis dah pinggan mangkuk tu awak simpan. Meh dok sini."

Ada nada tegas pada suara Suhail. Sakinah akur. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah meja makan. Suhail menarik keluar kerusi yang paling dekat dengannya untuk Sakinah. 

Pada masa yang sama, Suhail sedang mengumpul kekuatan dan kebijaksanaan untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku. Ya, ia bukan krisis yang besar, tapi jika dibiarkan melarat tidak dirawat, ia bakal menjadi perang saudara. Suhail sedang menyusun kata-kata di dalam kepalanya, agar yang bakal keluar dari mulutnya nanti adalah kematangan bukan kebudak-budakan, ketenangan bukan kemarahan dan kesabaran bukan kegopohan.

Satu nasihat yang dia sangat hargai dan pegang sehingga sekarang apabila dahulunya dia meminta tips dari ikhwah terchenta tentang persediaan berumah tangga adalah nasihat yang satu ini: Sabar. Banyakkan bersabar. Boleh dikatakan semua ikhwah yang dijumpainya memberikan nasihat yang sama. Banyak-banyakkan bersabar.

Dahulunya Suhail tertanya-tanya juga mengapa ikhwah semuanya senada dan sefrekuensi dalam memberikan nasihat BM kepadanya. Sukar sangatkah berBM ni? Mencabar sangatkah mahu sehidup dengan makhluk bernama perempuan ini? Bukankah dia bakal berkahwin dengan akhawat? Bukan sebarang akhawat; akhawat yang qawiyyah pula tu! 

Namun kini dia faham apa yang dimaksudkan dengan ikhwah. Dia benar-benar faham. Malah mana-mana ikhwah yang meminta nasihat BM daripadanya selepas dia mendirikan rumah tangga dengan Sakinah, dia pasti akan memberikan nasihat yang sama. 

Sabar. Banyakkan bersabar.   

Sakinah menghempaskan punggungnya. Tanda protes. Risau pula Suhail andai roboh kerusi itu. Kerusi DIY la katakan. 

Suhail beristighfar sebelum memulakan bicara. Dia benar-benar berharap isu sebegini tidak akan muncul lagi di masa hadapan. Dia mahu langsaikan hari itu juga. Once and for all omputih kata. Biarlah bosnya di kantor nanti jeling tajam dan buat tunjuk jam padanya. 

"Sayang... Awak tahu kan kenapa abang kawin dengan awak?"

Sakinah membuat muka. Sengaja digerakkan anak matanya agar memandang ke atas. Seolah-olahnya nak kata pada Suhail, not again. 

Suhail tahu soalannya tidak akan berjawab. Soalan retorik.

"First and foremost, abang setuju nak kawin dengan awak dulu, sebab dakwah. Sebab tarbiyah. Lillahi ta'ala. Tiada sebab yang lain."

Sakinah melukis lukisan ghaib pada meja makan. Matanya tertumpu pada meja, bukan pada Suhail.

"Oklah. Sebab awak comel pon ada jugak. Haha."

Jenaka Suhail berjaya mengendurkan sedikit ketegangan pada wajah Sakinah. Dia tertawa kecil. Siapa tak seronok bila Encik Suami puji macam tu. 

"Tapi sebab T 'n' D tu memang sebab yang utama. Abang memang specifically bagitau murabbi abang dulu, abang nak kawin dengan akhawat yang bawak usrah. Yang tarbawi. Garu kepala jugaklah murabbi abang masa tu dengan request abang! Hehe."

Sakinah mengemam bibirnya. Seperti sedikit kecewa dengan apa yang didengarinya dari mulut Suhai. Kecewa dengan diri sendirinya mungkin.   

"Dan bila murabbi abang tunjuk borang awak, memang benda pertama yang abang tengok adalah keterlibatan awak dalam dakwah, dalam tarbiyah. Lepas tu baruuuulah abang tengok pipi awak yang gebu tu."

Sekali lagi Sakinah tertawa. Suhail memang macam tu. Dalam keseriusannya berkata, pasti akan diselitkan dengan lawak jenaka. Sakinah menumbuk manja lengan Suhail. 

Suhail memanjangkan tangannya untuk memegang tangan Sakinah. Sakinah membiarkannya sahaja.

"Sayang... BM kita, berhutang besar dengan dakwah."

"Em... Maksud abang?"

"Ya lah. Sebab dakwah lah kita dipertemukan. Kalau bukan sebab dakwah, abang takkan pilih awak untuk jadi isteri abang."

Suhail berhenti, untuk melihat reaksi Sakinah. Sakinah hanya membisu, tidak mengangguk tidak juga menggeleng. 

"Abang sangat bangga dapat peristerikan awak. Bangga sebab dapat kawin dengan seorang ukht yang bukan calang-calang di atas jalan dakwah. Seorang ukht yang telah berjanji-setia untuk hidup semati dengan dakwah. Abang bangga sayang."

Suhail memegang erat tangan Sakinah.

"Tapi... Semenjak kawin ni, abang perasan perubahan pada awak. Tak tahu kenapa, tapi awak macam jadi slow. Awak macam dah tak aktif, tak seperti yang saya jangkakan."

Sakinah tunduk. Darahnya berderau mendengar kata-kata Suhail itu.   

"Expectation awak tinggi sangat kot..."

Sakinah bersuara. Perlahan. 

Suhail menarik nafas.

"Abang tak rasa begitu. Abang risau sangat awak jadi macam tu sebab abang, sebab BM yang kita dirikan ni. Allahu."

Perlahan-lahan Sakinah menarik tangannya dari genggaman Suhail.

"Taklah bang. Bukan macam tu..."

"Awak, percayalah, abang sayangkan awak sangat-sangat. Abang tak pernah ada perasaan macam ni pada mana-mana perempuan sebelum ni. Sumpah. Awak boleh belah dada abang kalau awak tak percaya. Haha. 

Kalau ikutkan abang, abang pon nak spend masa sepanjang masa dengan awak. Nak duduk rumah je dengan awak. Tak keluar malam-malam bawak usrah, takyah pergi daurah sume tu. Nak dengan awak je sepanjang masa."

Suhail berhenti seketika. Dia mahu kata-katanya itu meresap ke dalam sanubari Sakinah. Meresap ke dalam sudut yang paling dalam.

"Tapi wak... Umat kat luar tu sedang tenat. Umat kat luar tu tengah sesat. Umat tengah nazak tunggu sakarat. 

Umat tu perlukan dua't ilallah macam kita. Macam awak. Macam abang. Umat sangat-sangat perlukan orang untuk bimbing diorang keluar dari kegelapan jahiliyyah yang sangat pekat tu.

Dan kalau bukan orang macam kita yang nak buat, siapa lagi..? Kita zalim wak, kalau kita tak laksanakan amanah syahadatul haq ni. Kita tersangatlah zalim kalau kita tak laksanakan tanggungjawab dakwah ni. Apa kita nak jawab depan Allah di Mahsyar kelak??"

Suhail berhenti dan menghirup air kopinya yang sudah sejuk. Masih kaw.

"Tak...Tak cukup ke saya dok rumah jadi isteri yang solehah je bang?"

Suhail tersenyum.

"Cukup. Memang cukup. Tapi cukup untuk awak seorang je la. Awak sorang-sorang je la masuk sorga nanti.

Abang takkan kawin dengan awak kalau abang tahu awak nak jadi isteri yang solehah je. Abang takkan terima borang awak dulu, kalau abang tahu awak setakat nak jadi pelengkap tulang rusuk kiri abang je.

Abang terima awak dulu, sebab abang tahu awak akan jadi penguat abang. Abang setuju untuk kawin dengan awak dulu, sebab abang yakin awak akan sama-sama bantu abang untuk bergerak laju bersama-sama dengan gerabak dakwah ni. Dan abang betul-betul tenang untuk bina BM dengan awak sebab abang tahu, awak bukan sekadar pelengkap tulang rusuk abang, tapi awak jugak akan jadi tulang belakang abang.

Bukan kebetulan wak Allah pertemukan kita. Allah dah tulis jodoh kita di Lauh Mahfuz lagi. Dan abang sangat-sangat yakin, sebab utama mengapa awak ditakdirkan menjadi isteri kita, adalah sebab dakwah. Sebab seorang perwira macam abang takkan mampu untuk berjuang seorang diri, kalau takde srikandi macam awak."

Sakinah sebak. Ada butir air di hujung matanya.

Perlahan-lahan Suhail mencapai kepala Sakinah. Dengan penuh rasa chenta, dia mengusap lembut kepala isterinya itu.

"Sayang... Awak bukan akhawat yang biasa biasa. Awak seorang ukht yang luar biasa. Dan umat di luar sana tu, perlukan seorang ukht macam awak ni.   

Awak dah jadi sakinah dalam hidup abang. Dan abang nak kongsikan sakinah ni dengan ramai lagi orang kat luar sana. Tahu?"

Suhail mengelap air mata yang tumpah membasahi pipi Sakinah dengan buntut tapak tangannya. 

Sakinah mengangguk perlahan. Ada sinar cahaya pada matanya.


***

EPILOG 

"Ana takkan percaya dengan antum..."

Sakinah merenung mata-mata adik-adik yang dengan penuh tekun dan bersungguh memandangnya. Masing-masing sudah bersedia untuk menyalin bulat-bulat apa yang bakal terhambur dari mulut Sakinah. Ada bibit kekaguman, harapan dan semangat pada wajah-wajah mereka. Adik-adik harapan pelapis dakwah, yang Sakinah harapkan, akan bersedia untuk bersama-sama dengannya memegang erat obor perjuangan yang membara.

Sakinah sengaja lambat-lambat menghabiskan kata-katanya, untuk menghasilkan impak yang paling dahsyat kepada pendengar. Teknik yang dipelajarinya dari Suhail, suaminya yang terchenta. 

"Ana takkan percaya dengan antum di atas jalan dakwah ini selagi antum tak melepasi dua ujian besar..."

Sekali lagi Sakinah merenung setiap wajah yang ada di dalam dewan kecil itu. Dia pastikan tidak ada satu wajah pon yang dia terlepas pandang. Sakinah tersenyum nakal. Kerana dia tahu rata-rata daripada adik-adik di hadapannya tidak sabar mahu mendengar penyudah kepada ayatnya itu. Dia seronok mengusik mereka begitu. 

Sakinah sempat beristighfar sebelum dia mahu menghabiskan kata-katanya. Kerana dia tahu, apa yang bakal diungkapkannya mahal harganya. Kerana dia tahu, apa yang bakal diucapkannya amat dekat dengan dirinya. Dan kerana dia tahu, apa yang bakal keluar dari mulutnya selepas ini, adalah sesuatu yang amat bermakna buat dirinya.

"...ujian kerjaya dan ujian berBM!"

-gabbana-

Fuh. Akhirnya tamat juga.

Moga ada manfaatnya di bulan Ramadhan ini! Hoho.

>> Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian I)
>> Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian II)

17 June 2015

Ada Apa Dengan Ramadhan?

[Kredit]

Saya tahu, saya tahu.

Di luar sana, sudah berlambak-lambak artikel dan penulisan tentang Ramadhan. Malah tulisan-tulisan tersebut saya yakin jauh lebih bagus dan mantap daripada apa yang bakal saya nukilkan.

Malah saya sendiri, rasanya setiap tahun sejak saya menulis belog ini, pasti akan ada artikel yang berbicara tentang Ramadhan. Termasuklah tahun ini. Eheh. 

Nah, apa istimewanya Ramadhan di dalam kehidupan kita? Apa signifikannya dipertemukan dengan bulan Ramadhan, berbanding dengan bulan-bulan yang lainnya?

Dengan kata lain, ada apa dengan Ramadhan? 

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu bertanyakan beberapa lagi soalan. Soalan yang dijawab dengan soalan. Harap tidak pening kepala lah. Wahaha. 

Soalan yang pertama, bagaimana kita sendiri melihat Ramadhan itu? 

Adakah ia sekadar satu lagi bulan dalam bulan-bulan kalendar Islam? Adakah ia bulan yang kita terpaksa berlapar dan berdahaga di siang hari untuk sebulan lamanya? Adakah ia satu-satunya bulan yang kita boleh dapatkan stok ayam percik dan lompat tikam tanpa had dan tanpa orang jeling semacam pada kita? Err.

Sekiranya itulah mentaliti yang berlegar-legar di kepala kita, langkah pertama yang perlu kita lakukan adalah ubah dan tajdid mentaliti ini. Baharulah kita dapat memaknai Ramadhan dalam erti katanya yang sebenar. 

Makna Ramadhan dapat disimpulkan dalam satu ayat ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 3:183]

Ya, saya tahu, ia klise. Tapi seklise mana pon ia, itulah hakikatnya. Dan meskipon ia klise, berapa ramai daripada kita yang benar-benar memaknainya? Gulp.

Mulai dari sekarang, kita wajib melihat Ramadhan itu sebagai suatu bulan tarbiyah yang menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk kita menjadi lebih baik. Kita perlu melihat Ramadhan itu sebagai platform untuk kita berubah dan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kita mesti melihat Ramadhan itu sebagai tempat untuk kita memperbanyak amal dan mengurang dan membuang terus semua kemungkaran dan maksiat yang mungkin menjadi kebiasaan kita.

Pendek kata, Ramadhan itu adalah sebuah madrasah untuk mendidik kita menjadi seorang pelajar yang bertaqwa. 

Sekiranya kita berjaya menanamkan mentaliti sebegini, percayalah, kita tidak akan melihat Ramadhan dengan pandangan yang sama lagi. Kita akan menjadi sangat teruja menantikan kehadiran Ramadhan. Kita akan memanfaatkan masa-masa yang ada di dalam bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya dan tidak akan membazirkannya dengan upacara menghasilkan air liur basi, tawaf qudum di bazar dan berterawih di Masjid India. Eheh.

Siang-siang hari kita di bulan Ramadhan tidak akan sama lagi. Terawih dan tahajjud kita tidak akan sama lagi. Sahur dan berbuka kita tidak akan sama lagi. Tilawah dan tadabbur kita tidak akan sama lagi. Iktikaf kita tidak akan sama lagi. Malah ziarah kita ke bazar Ramadhan dan aktiviti moreh juga tidak akan sama lagi. Percayalah. Senyum.

Kedua, sudah menjadi fitrah manusia biasa, kita amat sukakan hadiah dan insentif. Tiada seorang pon di seluruh alam semesta ini, yang tidak sukakan hadiah dan ganjaran yang lumayan. Hadiah dan ganjaran akan menjadikan kita termotivasi untuk berbuat sesuatu.

Maka kita juga perlu ambil tahu, apakah hadiah dan ganjaran yang Allah telah sediakan untuk kita di bulan Ramadhan?  

Sudah tentu, ada banyak dalil-dalil terutamanya hadith-hadith yang sahih yang menceritakan kepada kita fadhilat bulan Ramadhan. Maka ijinkan saya untuk berkongsikan beberapa hadith peberet saya tentang bulan Ramadhan:

Hadith 1

"Siapa berpuasa Ramadhan imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." 

(HR. Bukhari dan Muslim)

Hadith 2

"Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu sorga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu."

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith 3


“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar.”

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith 4  

"Setiap amalan anak Adam akan dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan akan berlipat menjadi 10 kebaikan sampai 700 kali lipat. Allah 'Azza wa Jalla berfirman, ‘Kecuali puasa, sungguh dia bahagianku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, kerana (orang yang berpuasa) dia telah meninggalkan syahwatnya dan makannya kerana Aku.’ Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan; gembira ketika berbuka puasa dan gembira ketika berjumpa Tuhannya dengan puasanya. Dan sesungguhnya bau mulutnya lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.”

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith 5

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pon yang dibuka, dibuka segala pintu sorga hingga tidak ada satu pintu pon yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru, 'Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan).' Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).”

(Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.) 

Apa macam?  Tak rasa seronok tahap gaban kah membaca hadith-hadith di atas? Tidak rasa seperti mahu beramal sebanyak-banyakkah sepanjang bulan Ramadhan ini? 

Tawaran penghapus dosa ada. Tawaran lipatkali ganda pahala ada. Tawaran terbuka pintu soga dan tertutup pintu neraka ada. Tawaran untuk tidak lagi diganggu langsuir dan hantu pocong pon ada. Eh.

Hanya orang-orang yang berhati keras dan hitam penuh dengan maksiat sahaja yang tidak terasa apa-apa dengan promosi ekstravaganza ini! Gasp.

Dan yang ketiga, untuk mengetahui apa istimewanya Ramadhan ini, kita juga perlu ambil tahu, bagaimana orang-orang dahulu memaknai Ramadhan mereka. Kerana jangan buat-buat tak perasan, di dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang dibaca sebentar tadi, disebut dengan jelas, "...sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu."

Nah, sekiranya kita menelusuri sejarah, kita pasti akan berasa malu, teramat malu sehingga bolehlah berlari keliling bandar dengan t-shirt menutup muka apabila mengetahui peristiwa-peristiwa hebat yang berlaku di bulan yang mulia ini.

Antaranya termasuklah:
  • Turunnya Jibril AS menyampaikan risalah kerasulan kepada Muhammad SAW 
  • Perang Badar (Badr al-Kubro)
  • Perang Khandaq/Ahzab
  • Fathu Mekah (Pembukaan kota Mekah oleh umat Islam)
  • Hancurnya berhala-berhala utama di Mekah; al-Uzza, Suwa’ dan al-Manat
  • Peperangan Tabuk
  • Tariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roddrick di Andalus
  • Pembebasan al-Quds oleh Salahuddin al-Ayyubi
  • Umat Islam menewaskan tentera Tartar di Ain Jalut
Wow! Depa ni tak penat ke Inche gabbana, berperang dalam keadaan berpuasa..?? 

Ha itulah bezanya depa dengan kita!

Kita ni, baru berlapar dan dahaga sikit, dah macam kebuluran setahun! Baru terawih lapan rakaat, penatnya macam pergi beperang sepanjang hari! Baru bangun malam untuk tahajjud dan sahur, dah tak larat lemah longlai pada siang harinya. Alahai.

Mujurlah masih ada saudara-saudara kita di Palestin yang membuktikan ruh Ramadhan itu masih lagi hidup dan segar di zaman ini. Peperangan Asfim Maakul dan peperangan al-Furqan contohnya, yakni peperangan melawan kekejaman dan pencerobohan Israel laknatullah, kedua-duanya berlaku di bulan Ramadhan! Subhanallah!

Untuk mereka ini, Ramadhan bukan bulan untuk berlapar semata-mata! Untuk mereka, Ramadhan bukan bulan untuk meninggalkan perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan yang boleh membatalkan puasa sahaja! Untuk mereka, Ramadhan bukanlah bulan yang memenatkan dan meletihkan!

Namun untuk mereka, Ramadhan adalah bulan untuk mereka memperbanyak amal kebaikan. Untuk mereka, Ramadhan adalah bulan untuk mereka berlumba-lumba, siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik dan bersungguh amalannya. Untuk mereka, Ramadhan adalah bulan yang cukup menghidupkan!

Kerana mereka benar-benar memaknai bahagian 'agar kamu bertaqwa' itu! Aiwah!

Nah, bagaimana? Adakah sekarang anda merasakan Ramadhan itu benar-benar istimewa dan penuh bergaya? Adakah kini anda tidak sabar-sabar untuk menyambut Ramadhan dan berazam untuk memenuhkan Ramadhan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan?

Jika ya, tahniah!

Jika belum, anda masih punya masa untuk bermuhasabah!

Kerana Ramadhan itu bukanlah bulan untuk orang-orang yang baik sahaja. Tetapi yang lebih utama daripada itu, Ramadhan adalah bulan khas untuk orang menjadi baik! Wah!

Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang paling bermakna buat kita!

Moga-moga Ramadhan kali ini bakal menjadi saksi kepada perubahan kita!

Dan moga-moga Ramadhan kali ini, kita bakal terpilih menjadi hambaNya yang bertaqwa!

Moga-moga!

-gabbana- 

Di kesempatan ini, saya dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1436H kepada seluruh umat Islam, terutamanya umat Islam di Malaysia. Lebih utama lagi, para peminat tegar APG yang terus setia membaca belog ini. Hehe.

Moga Ramadhan kali ini benar-benar menjadikan kita manusia berjiwa hamba. Senyum.
  

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP