16 December 2015

PRU14: Satu Analisa Marhaens

[Kredit]

Buat kesekian kalinya, Perhimpunan Agung UMNO, atau lebih mesra dipanggil PAU kacang merah telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lepas. Perhimpunan yang menghimpunkan 2,762 perwakilan dari 191 bahagian dari seluruh negara ini amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli-ahli UMNO mahupon Barisan Nasional, tetapi seluruh rakyat Malaysia melihatkan pelbagai krisis dan isu yang sedang dihadapi oleh kerajaan dasawarsa ini. Ewah dasawarsa kau.

Meskipon banyak isu dan persoalan gagal dijawab dengan baik oleh UMNO pada perhimpunan kali ini, terutamanya isu 1MDB, ada satu perkara yang semakin jelas dan sukar dinafikan lagi usai PAU kali ni. Bahawasanya Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak tidak akan tunduk pada tekanan untuk berundur dari jawatan itu (dan secara otomatiknya Perdana Menteri Malaysia) dan akan terus menerajui barisan kepimpinan UMNO sehinggalah PRU yang berikutnya. Malah, majoriti para penganalisa politik secara berjemaahnya bersetuju yang kedudukan Dato' Sri Najib kini semakin kukuh dan mantap melihatkan kepada sokongan ahli-ahli UMNO yang tidak berbelah bahagi kepadanya. PAU menjadi neraca dan tanda aras untuk mengukur kepopularitian beliau di peringkat akar umbi dan terbukti sokongan untuknya masih lagi kuat dan sukar digugat. 

Antara seruan yang dicanangkan-canangkan oleh Dato' Sri Presiden UMNO di PAU kali ini ialah keperluan untuk seluruh jentera baik UMNO mahupon BN untuk mula fokus kepada Pilihanraya Umum (PRU) 14 yang akan datang. Walaupon PRU14 tidak akan berlaku sehinggalah 2018 selepas tamat penggal lima tahun kerajaan BN memerintah, seruan Dato' Sri Najib dilihat relevan melihatkan prestasi BN pada PRU yang lepas. Juga mengambil kira sentimen rakyat masa kini dan prestasi wakil rakyat BN yang dilihat gagal membawa banyak isu jalanan ke pihak atasan untuk diambil tindakan. 

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Zahid Hamidi juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan kerisauan dan konflik yang dihadapai barisan kerajaan BN kerana tidak berjaya memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada PRU13 yang lepas, menyebabkan BN tidak boleh meminda mana-mana peruntukan perlembagaan sewenang-wenangnya. (Adakah maknanya sebelum PRU12 kerajaan BN seringkali meminda perlembagaan negara ikut suka hati mak ayah mereka? Eheh.)

Sekiranya kita kerap dan hanya gembar membaca The Malaysian Insider, Malaysiakini. Free Malaysia Today, Harakah, Rocket Kini dan yang seangkatan dengannya, sudah tentulah kita dengan penuh optimis dan yakin akan kekalahan BN pada PRU14 nanti. Ditambah pula dengan isu kos sara hidup yang semakin menggila sejak kebelakangan ini - GST, kenaikan kos pengangkutan awam, kenaikan harga kereta, kenaikan tol dan entah bermacam-macam lagi yang naik - kebarangkalian untuk BN menang pada PRU akan datang tampak tipis, senipis kulit bawang merah. 

Namun pemerhatian yang lebih teliti dan adil mungkin masih memberikan harapan kepada BN. Dan membuatkan pakatan pembangkang (ada ke pakatan?) sepatutnya lebih berhati-hati dan mengikat tali pinggang keledar dengan lebih kemas dan ketat. 

Begini.

Semenjak gelombang perubahan berlaku pada PRU12 pada 2008 yang menyaksikan buat pertama kalinya BN hilang dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat, kita melihat perubahan yang signifikan pada geopolitik negara, yang mana majoriti para pengundi bandar telah berubah angin kepada barisan pembangkang. Meskipon barisan pembangkang kehilangan Kedah pada PRU13, namun trend pengundi bandar menyokong barisan pembangkang berterusan, malah lebih ketara lagi. 

Buktinya, pada PRU13, daripada 43 kerusi bandar yang dipertandingkan, 38 daripadanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat (ketika itu) dan hanya 5 kerusi berjaya dimenangi oleh BN. Dan daripada 54 kerusi separuh bandar (Baca: semi urban) kerusi yang dipertandingkan, 30 daripadanya berjaya menjadi milik Pakatan Rakyat. 

Undi popular pula menyaksikan lebih dari 3.5 juta pengundi bandar dan separuh bandar mengundi Pakatan Rakyat berbanding kurang leboh 2.5 juta pengundi yang menyokong BN. Perbezaan hampir sejuta orang pengundi!

Sebagai perbandingan, daripada 125 kerusi luar bandar yang dipertandingkan, 108 kerusi berjaya dibolot oleh BN. Undi popular pula menyaksikan 2.7 juta pengundi luar bandar memilih BN, jika hendak dibandingkan dengan 2 juta pengundi luar bandar yang mengundi Pakatan Rakyat. 

Yang paling ketara pada PRU13 ialah perubahan citarasa pengundi berbangsa Cina yang seolah-olahnya merajuk dengan BN dan mempunyai konsensus untuk mengundi Pakatan Rakyat secara berjemaah. Daripada 30 kerusi Parlimen dengan kependudukan kaum Cina yang paling ramai, baik di bandar, separuh bandar mahupon luar bandar, kesemua kerusi berjaya dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Tapi ini tidaklah bermakna pengundi Cina mengamalkan dasar rasis (walaupon mustahil lah kalau nak nafikan secara total kan?). Kerana daripada 30 kerusi yang dipertandingkan itu, ada sahaja calon-calonnya yang bukan berbangsa Cina. Pendek kata, pengundi Cina seolah-olahnya mahu menunjukkan protes mereka terhadap kerajaan yang dipimpin oleh BN.  


Nah, apa yang dapat kita deduksikan daripada semua ini?

Yang jelas, benteng terkuat BN masih lagi terletak pada pengundi luar bandar. Dan kekuatan Pakatan Rakyat jelas sekali berpunca daripada para pengundi bandar dan separuh bandar. 

Ada TIGA sebab yang utama mengapa para pengundi bandar dan separuh bandar beralih angin kepada barisan pembangkang:

  1. Majoriti daripada mereka terdiri daripada anak-anak muda. Anak-anak muda yang lebih terdedah dengan keadaan politik semasa dan dunia dan ideologi politik yang berasaskan keadilan dan kebebasan bersuara melalui media-media sosial, lebih kritis dalam berfikir untuk menentukan parti mana yang berhak mendapat undi mereka.
  2. Media alternatif telah mengambil tempat media bercetak dalam menyebarkan berita dan hapdet yang terkini. Penduduk bandar mempunyai akses yang lebih baik kepada internet lantas pendedahan yang lebih kerap oleh media alternatif, menjadikan mereka lebih celik dan cakna tentang isu-isu semasa. Dengan ini mereka juga mendapat gambaran yang lebih besar dan adil dalam sesuatu isu, yang seringkali disembunyikan oleh media yang dikuasai kerajaan.
  3. Banyak polisi-polisi kerajaan mengesani para penduduk bandar, lebih daripada penduduk luar bandar. Belanjawan negara (Baca: Bajet) saban tahun yang diumumkan juga lebih banyak memberi manfaat kepada penduduk luar bandar. 
Tiga faktor inilah yang menyumbang kepada kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dan kemerosotan mendadak pada undi BN.

Dengan pengumuman kenaikan harga tol, kos pengangkutan awam dan kemungkinan kenaikan harga kereta nasional pada tahun hadapan, ditambah pula dengan GST dan kesan langsung/tidak langsung GST pada kos sara diri, bakal menyaksikan penurunan sokongan penduduk bandar dan separuh bandar terhadap kerajaan BN menjadi bertambah dramatik

Pada masa yang sama, kenaikan kos sara diri ini tidaklah memberikan kesan yang besar pada penduduk luar bandar. Mereka tidak perlu risau dengan kenaikan harga tol kerana ia hanya melibatkan tol dalam bandar. Mereka tidak perlu garu kepala dengan pengumuman kenaikan kos pengangkutan awam kerana tiada LRT di Felda Andak Taib atau Kampung Ceruk Tuk Kun. Mereka tidak perlu rungsing dengan GST kerana kebanyakan barangan atau makanan yang mereka beli termasuk dalam senarai barangan yang dikecualikan GST.

Semua ini menjadikan penduduk luar bandar kalis atau immune dengan pengumuman kenaikan harga barang dan kos sara diri. Melainkan sekali-sekala apabila mereka berjalan makan angin ke bandar-bandar besar terutamanya Kuala Lumpur dan Lembah Klang, mereka tidaklah terlalu terkesan dengan peningkatan kos sara diri yang seolah-olahnya disasarkan kepada para penduduk bandar.

Kebetulan? Saya tidak rasa begitu.  

Anda rasa kerajaan pimpinan BN ni bodoh sangat ke, tak tahu dan tak perasan itu semua? 

Dah anda rasa mengapa banyak dasar kerajaan terutamanya yang membabitkan ekonomi banyak memberi manfaat kepada penduduk luar bandar? Setiap kali pengumuman bajet, siapa yang paling banyak dapat hadiah percuma selalunya? Dan siapa pula yang paling terbai dan disisihkan? 

Mereka yang berpendapatan rendah (yang kebanyakannya duduk di luar bandar) lah yang paling banyak mendapat manfaat setiap kali bajet diumumkan, sedangkan mereka yang berpendapatan sederhana (selalunya anak-anak muda atau keluarga kecil yang tinggal di bandar) pula yang seringkali disisihkan. 

Oleh sebab itu kerajaan akan terus 'menyogok' penduduk luar bandar dengan BR1M, program subsidi ini, subsidi itu, bantuan ini dan bantuan itu, walaupon sebenarnya bantuan kewangan seperti ini tidak produktif dan efisien dari kaca mata ekonomi. Untuk apa? Untuk memastikan penduduk luar bandar akan terus-menerus memangkah dacing pada pilihan raya yang akan datang. 

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?

Maka sekiranya barisan pembangkang benar-benar seriyes untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang, saya kira mereka tidak perlu risau sangat sebenarnya dengan anak-anak muda yang bermastautin di bandar. Kerana tanpa perlu gigih menawan hati mereka sekalipon, mereka ini secara otomatiknya benci kepada kerajaan BN kerana mereka merasakan diri mereka ditindas dalam banyak hal  

Apa yang perlu mereka fokuskan adalah bagaimana mahu menawan hati rakyat yang tinggal di luar bandar terutamanya mereka yang berbangsa Melayu. Bagaimana mahu meyakinkan mereka ini bahawa jatuhnya kerajaan BN bukanlah pengakhiran untuk segala-galanya. Bagaimana untuk buktikan kepada mereka ini sekiranya BN dan UMNO kalah pada pilihan raya yang berikutnya, ia tidak akan menggugat kedudukan kaum Melayu yang sudah pon dijamin di dalam perlembagaan negara

BN pula, sekiranya mahu mendapat semula dua pertiga kerusi Dewan Rakyat dengan cara yang sah, mereka perlu menghentikan polisi-polisi dan dasar-dasar yang tampaknya seolah-olah membalas dendam kepada para pengundi yang yang tidak menyokong mereka dalam pilihan raya sebelum ini. Kaum Cina dan anak-anak muda adalah dua kumpulan yang paling banyak menjadi sasaran kepada polisi 'balas dendam' ini. 

Dah kalau budak-budak tu dah menanges, meroyan menjerit-jerit nak minta sesuatu, kita pula pergi bambu dan rotan dia, apa agaknya reaksi pada emosi dan tindakan budak tu? Bukankah lebih baik kita pujuk dia dengan gula-gula, bagi patung beruang gebu dan kata-kata yang menenangkan? Itu analoginya. Mungkin BN dan UMNO terutamanya, perlukan lebih ramai pakar psikologi kanak-kanak sebagai penasihat untuk menasihati mereka dalam membuat dasar dan polisi. Eheh.    

BN juga perlu merangka strategi untuk menawan semula hati anak-anak muda di bandar, yang saya kira dilakukan dengan sangat baik oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin buat masa. ini Dah boleh dapat Dato' dah tu. Wahahaha. Sangat baik tetapi belum lagi mencukupi. Juga menguasai media-media alternatif dan sosial yang kini jelas dikuasai oleh barisan pembangkang.  

Sesuatu yang amat menarik lagi mengujakan pasti akan berlaku pada PRU14 nanti. Dengan barisan pembangkang yang tampak kucar-kacir dan tidak tersusun, sibuk berbalah sesama sendiri, masih ada ruang dan harapan untuk BN menang sekali lagi dalam PRU14 nanti, meskipon untuk mendapat dua pertiga kerusi Dewan Rakyat tetap menjadi cabaran besar buat mereka. 

Persoalannya sekarang, mahukah anda negara diperintah oleh kerajaan BN untuk tempoh lima tahun lagi? 

Gelak kecil. 

Sekian melaporkan. Eheh.

-gabbana-

Tiba-tiba rasa nak sambung Masters dalam Politik dan Ekonomi pula. Kekeke.      


10 December 2015

Menjadi Lelaki Macho Terakhir

[Kredit]

Dalam banyak penulisan saya sebelum ini, saya kelihatannya seperti banyak membambu atau membelasah kaum perempuan, sehinggakan ada yang menuduh saya sebagai chauvinis, menstereotaipkan perempuan dan tipikal saorang lelaki. Gulp. 

Tetapi anda yang membaca tulisan-tulisan saya itu dengan mata hati, pasti boleh bersetuju dengan banyak perkara yang saya nukilkan. Lebih penting dari itu. anda pasti dapat melihat betapa ikhlasnya saya menegur kerana chenta dan sayangnya saya pada kaum hawa ini.

Ehem ehem melambung tinggilah saham saya selepas ini! Kekeke. 

Jadi hari ini, bagi meredakan sedikit keadaan dan tidak mahu dilihat sebagai tidak adil dan berat sebelah, saya ingin menulis sesuatu khas buat kaum Adam pula. Dan saya bagi amaran awal-awal, sekiranya selama ini anda rasa anda macho, anda tidak pernah menolong Puan Mak potong bawang di dapur atau mata anda tidak pernah masuk habuk, kali ini ia tidak akan jadi semudah yang anda sangka. 

Dan saya nasihatkan, bagus juga andai anda dapat sediakan kit menjahit untuk menjahit semula hati yang bakal koyak atau peti kecemasan untuk merawat jiwa yang bakal luka teruk. Wahahaha.

Baiklah. 

Ayat tiga puluh surah an-Nur sering dijadikan rujukan atau hujah betapa pentingnya untuk lelaki yang beriman menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya. Ayat yang berbunyi:

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
[an-Nur, 24:30]

mengandungi begitu banyak ibrah dan hikmah untuk kita sama-sama renungi dan amalkan. Betapa tanggungjawab menundukkan pandangan itu jatuh ke bahu lelaki dahulu, sebelum ia dipertanggungjawabkan kepada kaum perempuan (kerana ayat selepas itu menyuruh agar perempuan beriman pula menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan mereka).

Hal ini besar signifikannya. Dari segi psikologi dan biologinya, sememangnya kaum lelaki akan lebih mudah teransang dan teruja hanya dengan melihat berbanding dengan kaum perempuan. Oleh sebab itulah, tidak menjadi kehairanan bagaimana industri pornografi lebih popular dan lebih banyak dilanggani oleh kaum yang berbuah halkum itu! Err. 

Tidaklah bermakna kaum perempuan tidak perlu menundukkan pandangan. Hari ini kita menyaksikan betapa ramai perempuan, baik yang bertudung atau tidak, yang berambut atau botak, tinggi atau pendek, kurus atau gemok, cantik atau tidak, yang tewas dan hanyut dengna kejambuan dan kekacakan artis-artis dari Korea terutamanya, sehingga melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah dan kehormatan mereka.

Eh terbelasah juga perempuan. Sory sory. Alang-alang kan. Kekeke.

Berbalik semula kepada ayat tiga puluh surah an-Nur itu, meskipon ia mengandungi hikmah dan pengajaran yang cukup hebat dan agung, berapa ramai daripada kaum lelaki yang benar-benar memaknainya? Berapa ramai daripada anda wahai kaum Adam yang beriman sekalian, yang merasakan betapa Allah benar-benar sedang menyeru kalian dan menyuruh kalian untuk menundukkan pandangan? Berapa ramai yang merasakan bahawa mereka perlu untuk bersegera memenuhi tuntutan ayat ini tanpa sebarang songeh atau kompromi? 

Shiuhh shiuhhh saki baki angin monsun barat daya bertiup perlahan. 

Kerana itulah kita perlu melihat surah an-Nur ini secara keseluruhannya dan tidak hanya pada ayat tiga puluh sahaja. Dan tidak perlu kita scan keseluruhan surah pon kita sudah dapat memahami betapa berat dan signifikannya ayat tiga puluh itu. Cukuplah kita mentadabbur dan memaknai ayat satu surah ini.

Fuh. Anda bersedia? Tarik nafas dalam-dalam.

"(Inilah) suatu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukumnya) dan Kami turunkan di dalamnya tanda-tanda (kebesaran Allah) yang jelas, agar kamu ingat."
[an-Nur, 24:1]

Peh. Peh. Pehhh!

Tarik nafas sekali lagi. Anda nampak tak permainannya kat situ??

Allah turunkan surah an-Nur ini tidak lain dan tidak bukan, untuk segala perintah dan arahan yang terkandung di dalamnya dilaksanakan! Kerana terdapat di dalamnya tanda-tanda kasih-sayang dan keagungan Allah yang jelas! Walaweh!

Nah sekarang baca semula ayat tiga puluh surah an-Nur itu. Dapat rasakan perbezaannya? Dapat rasakan bulu tengkuk anda berdiri teguk? Dapat rasakan tubuh anda seram sejuk? 

Wahai kaum lelaki yang beriman di luar sana!

Ketahuilah, suruhan untuk menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan itu bukan suatu suruhan acah-acah atau main-main dari Allah! Ia adalah suatu arahan dan suruhan yang WAJIB dilaksanakan! Kerana sungguh, ia mengandungi ubat untuk pelbagai penyakit masyarakat yang semakin membarah pada hari ini!
 
Lihat sahaja sekeliling; betapa rosak dan nazaknya masyarakat hari ini dek kegagalan kaum lelaki untuk menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan! Kes zina yang sudah tidak dapat diotakkan lagi. Rogol yang semakin menjadi-jadi. Jenayah seksual yang ibaratnya tiada berpenghujung dan sempadan. Saban hari kita mendengar berita-berita sebegini sehingga otak dan telinga kita sudah kekeringan, tidak mampu lagi untuk merembeskan darah!

Suka atau tidak, beban pertanggungjawaban itu yang pertamanya sudah tentulah pada kaum lelaki! 

"Lelaki itu pelindung bagi perempuan, kerana Allah telah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki)..."
[an-Nisa', 4:34]

Tapi Inche gabbana. Takkan setiap masa nak tundukkan pandangan? Nanti jalan habis langgar tiang semua. Guane boh?

Ok, anda cukup matang dan bijaksana untuk tidak buat khalakar sebegitu rupa. 

Kerana itu frasa menundukkan pandangan itu dipasangkan dengan menjaga kemaluan/kehormatan. Anda perlu tahulah batas-batasnya dan apa yang perlu dijaga!

Termasuk di dalam menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan ialah menjaga ikhtilat anda dengan perempuan yang bukan mahram. Tidak menonton movies, drama dan yang seangkatan dengannnya yang sah-sah ada adegan yang boleh menaikkan syahwat (Hallo..? Dalam sejuta movie Hollywood, agak-agak berapa kerat je yang tiada adegan lucah dan bercumbuan?). Tidak melayari laman-laman sesawang yang ada bau-bau lucah atau mengandungi foto/video yang boleh membuatkan mata dan hidung anda berdarah. Tidak membaca majalah atau komik yang mengandungi unsur-unsur lucah dan meliarkan fantasi anda. Tidak bermain game yang ada watak-watak perempuan yang berpakaian mencolok dan menggaru mata. Tidak follow instagram perempuan (tak semestinya artis) dengan niat untuk menatap gambar-gambar mereka. Tidak merenung lama-lama rakan sekuliah yang cun melecun bulu mata melentik dan ada lesung pipit di pipi. Err. Dan banyaaaakk lagi.

Susah? Memang susah.

Tidak hairanlah Allah menjanjikan sorga yang kekal abadi buat mereka yang kuat menahan nafsunya. 

"Dan ada pon orang-orang yang takut dengan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya, maka sungguh sorgalah tempat tinggalnya."
[an-Nazi'at, 79:40-41]  

Begitulah. 

Berapa ramai ikhwah di luar sana, yang kadangkala tewas juga dengan ujian menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan ini. Yang tidak khusyuk tahajjudnya dek memikirkan akhowat itu. Yang tergagap-gagap maathuratnya kerana sibuk terkenang akhowat ini. Yang tidak cukup mutabaah amalnya kerana asyik berwaksep dan bertelegram dengan akhowat.

Allah Allah!

Sikit-sikit bergetar tulang rusuk. Sikit-sikit bakal zaujah. Sikit-sikit mahligai kasih.

Penampar nak? Haish.

Jika kita betul-betul mahu menjadi orang yang beriman, mahu 'rasa' dengan panggilan Allah untuk lelaki beriman di dalam ayat tiga puluh surah an-Nur itu, mahu masuk sorga sebagai VIP terhormat, mahu jadi BFF Rasulullah SAW di sorga nanti kerana bersungguh mengamalkan sunnah dan wasiatnya, maka tidak boleh tidak kita kena bersungguh dan bermujahadah menjadi lelaki macho yang terakhir.

Kerana sungguh, spesis lelaki macho yang benar-benar gentlemen, yang bersungguh menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan ini, semakin pupus ditelan zaman!

Inche gabbana?

Ye saya?

Point yang kat atas tu, maknanya boleh lah kalau nak tenung rakan sekuliah yang cun sekejap-kejap je?

Jatuh kerusi berguling-guling.

-gabbana-

Mula-mula ingat nak selitkan juga tentang pengakuan Imam gay yang agak viral di Pengicau sekarang ini. Tapi mungkin di penulisan yang lain biidznillah. Doa-doakan! 

2 December 2015

Apa Faktor Ketakutan Anda?

[Kredit]

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita bahawa pengganas meletup diri Daesh berjaya menyelinap masuk ke dalam negara kita.

Entah mengapa, timbul perasaan cuak dan takut di dalam diri saya. Tiba-tiba saya membayangkan yang saya berada di KLCC dan dikejutkan dengan bunyi letupan yang menghancurkan daging dan tulang-belulang. Gulp. Ngeri weh!

Selama ini kita hanya membaca di surat khabar atau memandang dari jauh sahaja kejadian meletup diri di Palestin, Iraq, Syria dan sebagainya. Namun kini kebarangkalian untuk ia turut berlaku di negara kita sudah ada. 

Peluh.  

Takut ialah suatu perasaan yang cukup hebat sekali. Ia bukan setakat hebat, malah cukup pawerrr sehingga kadang-kadang ia sampai jadi mengerikan. Cukup luar biasa.
Anda tidak percaya? 

Cuba bayangkan kejadian ini. Anda diberitahu oleh Puan Mak anda yang dia ternampak seekor cencurut (Baca: Tikus gergasi) keluar dari lubang jamban. Nah, anda beritahu saya, adakah anda kini berani untuk berak di jamban itu lagi? Wahaha.

Atau anda diberitahu yang saorang perompak dan pembunuh ganas sedang bebas di kawasan perumahan anda. Adakah anda berani untuk keluar lewat malam lagi selepas itu? Jangankan lewat malam, silap hari tak keluar rumah terus! 

Atau ketika baharu sahaja mahu keluar dari kereta anda ternampak seekor anjing besar lagi garang yang sedang berlari-lari penuh gembira tidak jauh dari anda. Apa yang anda akan buat? Boleh jadi habiskan sahaja btilawah 1 juzuk Quran di dalam kereta!

Ya tanpa kita sedari atau tidak, hidup kita seringkali ditentukan dan diperintah oleh rasa takut itu. 

Malah Allah SWT sendiri mengiktiraf rasa takut ini. Contohnya:

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan..."
[Al-Baqarah, 2:155]

Juga:
"Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali yang pertama. Kamu tidak menyangka bahwa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahwa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka dari (siksa­an) Allah; maka Allah mendatangkan kepa­da mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah mencam­pakkan ketakutan ke dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang yang beriman. Maka ambillah untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai pandangan."
[Al-Hasyr, 59:2] 

Takut ialah sebuah senjata yang amat berkuasa dan berkesan. Di dalam sesebuah peperangan, yang menjadikan sebuah pasukan tentera itu hebat bukanlah senjatanya. Bukanlah kelengkapan perangnya. Bukan juga berapa sado dan taf para tenteranya. Bukan. Tapi sejauh mana sesebuah pasukan itu berjaya menimbulkan rasa takut dan gerun pada pihak musuhnya. 

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan peristiwa serangan pengganas secara besar-besaran terhadap kota Paris. Penuh laman Mukabuku, Pengicau dan yang sewaktu dengannya dengan hashtag #ParisAttacks bagi menunjukkan sokongan dan solidariti rakyat alam maya terhadap rakyat Perancis. 

Saya bukanlah saorang penggemar teori konspirasi, namun sejak peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat, terlalu banyak perisitiwa dan kejadian yang berlaku yang menjadikan saya sangsi dan curiga. Dengan kehebatan teknologi perisikan dan maklumat yang ada pada Barat, masakan serangan terancang secara besar-besaran sebegitu boleh terlepas begitu sahaja?

Saya juga percaya, kebangkitan Daesh (Baca: ISIS) di Timur Tengah tidak mungkin akan berlaku tanpa campur tangan dan bantuan dari musuh-musuh Islam sendiri. Melihatkan kecanggihan persenjataan mereka, kecekapan mereka dalam melancarkan serangan dan kehebatan perisikan mereka, sesiapa sahaja akan tertanya-tanya siapakah sebenarnya Daesh ini. 

Nah, ada persoalan yang lebih utama yang perlu kita tanya. Siapa yang mendapat manfaat dan keuntungan daripada ini semua?

Fikirkan. Serangan pengganas yang berlaku saban tahun (jika anda perasan, setiap tahun pasti akan ada kejadian pengganas besar-besaran yang melibatkan umat Islam) menjadikan masyarakat dunia paranoid dan hidup dalam ketakutan. Serangan bom di Bali, letupan di dalam tren bawah tanah di London, penculikan besar-besar remaja perempuan oleh Boko Haram di Nigeria, pembunuhan kartunis Charlie Hebdo dan lain-lain lagi, semuanya menjadikan masyarakat dunia takut dan semakin benci kepada Islam. 

Ketika inilah pihak-pihak yang bertanggungjawab merancang semua ini akan mengaut keuntungan. Bagaimana? Rakyat negara akan memberikan mandat kepada kerajaan mereka untuk menyerang mana-mana negara yang disyaki menjadi sarang pengganas, contohnya Iraq dan Libya. Mereka juga memberi mandat kepada kerajaan mereka untuk berbuat apa sahaja yang dirasakan perlu untuk memerangi keganasan. Maka dengan mandat sedemikian rupa, kerajaan mereka boleh sesuka hati mengebom dan menyerang mana-mana negara yang dituduh melindungi pengganas. 

Maka bersorak rianglah para pengeluar senjata dan kelengkapan perang. Pada tahun 2013 sahaja, 100 syarikat utama pengeluar senjata telah mencatatkan hasil jualan sebanyak USD402 bilion! SEPULUH pengeluar utama senjata, kesemuanya berpengkalan sama ada di Amerika Syarikat atau Eropah; dan dari sepeuluh pengeluar utama ini, ENAM daripadanya berpengkalan di Amerika! Amerika Syarikat sahaja merupakan pengeksport senjata yang paling besar di dunia sejak 2010 sehingga 2014 , membolot 31% bahagian dari pasaran global! Walawww!

Anda sudah nampak permainannya di sini? 

Amerika Syarikat memperuntukkan sehingga USD598.5 bilion untuk perbelanjaan ketenteraannya; 54% daripada peruntukan bajet untuk perbelanjaan discreationary nya. Daripada jumlah ini, suatu jumlah yang signifikan 'dihadiahkan' kepada Israel. Secara puratanya, rakyat Amerika menyumbang USD10.2 juta setiap hari kepada Israel! Gila!

Selain itu, paranoid dan ketakutan ini juga membuka pintu kepada kuasa-kuasa asing untuk campur tangan di dalam kedaulatan dan isu-isu dalaman sesebuah negara. Lihatlah bagaimana Arab Saudi dan Kuwait suatu ketika pernah membenarkan Amerika Syarikat untuk menggunakan pengkalan tentera udara mereka ketika misi menghancurkan kerajaan Saddam giat dilaksanakan. Negara jiran kita, Singapura, merupakan sekutu kuat Amerika dan Israel di rantau ini, dan menjadi pengkalan untuk Amerika di dalam peperangan melawan keganasan.

Bila-bila sahaja musuh-musuh Islam boleh masuk ke mana-mana negara pilihan mereka, atas nama kerjasama dan koperasi menentang keganasan. Peristiwa 11 September benar-benar telah merubah geo- dan sosio-politik dunia. Musuh-musuh Islam telah memanipulasi perasaan takut yang ada pada kita untuk mengusai dunia. 

Kebetulan? Saya percaya, kebetulan itu ialah bahasa Argentina; ia tiada di dalam kamus hidup saya! 

Sudah saya katakan, ketakutan merupakan suatu senjata yang amat berkuasa, juga merbahaya apabila ia disalahgunakan. Pada hari ini kita melihat dengan mata kepala kita sendiri, bagaimana kelam-kelibut dan kucar-kacir dunia dibuatnya dek perasaan yang bernama takut ini. 

Lantas, apa maknya semua ini untuk kita? Siapa pula yang paling malang dan terzalimi oleh ini semua?

Lihat sahaja di sekeliling anda; bukankah kita, umat Islam, yang paling terkesan dan tertindas pada hari ini?

Mungkin sebuah sebuah hadith yang boleh tahan femes boleh menjelaskan ini semua. 

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda:
 

"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad SAW menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati."


(Hadith riwayat Abu Daud)

Ya, suatu ketika dahulu, kita pernah digeruni oleh musuh-musuh kita dek semangat jihad kita yang membara.

Suatu ketika dahulu, kita pernah ditakuti oleh kuasa-kuasa besar dunia, kerana hebatnya kita di medan perang.

Dan suatu ketika dahulu, melihat sahaja ke'gah'an dan kemachoan parajurit tentera Islam boleh membuatkan tentera-tentera kuffar goyang lutut dan kencing di dalam seluar.

Dan takutnya mereka ini kepada kita bukanlah kerana persenjataan kita yang hebat. Bukanlah kerana baju besi dan pedang kita yang kukuh dan tahan karat. Bukan juga dek kegarangan dan keperwiraan kita di medan perang yang maha dahsyat. Bukan.

Tetapi kerana Allah lah yang telah mencampakkan rasa takut dan gerun itu ke dalam hati mereka!      

Bagaimana? Kerana kita suatu ketika dahulu adalah suatu umat yang bertaqwa. Kita suatu ketika dahulu ia suatu umat yang menchentai mati dan akhirat melebihi chenta kita pada keluarga, harta dan dunia. Kita suatu ketika dahulu, lebih takut kepada Allah melebihi segala-galanya! 

Hari ini??

Kalahnya umat Islam pada hari ini bukanlah kerana musuh-musuh kita kuat. Teruknya umat Islam pada hari ini bukanlah kerana persenjataan dan teknologi Barat yang dahsyat. Tertindasnya umat Islam pada hari ini bukan juga disebabkan perancangan musuh yang teliti dan hebat.

Tetapi kerana kita yang banyak bermaksiat. Kerana kita yang terlalu chentakan dunia dan amat takut akan mati yang mendekat. Kerana kita sudah tidak lagi takut pada Allah yang Maha Kuat

Kerana itulah Allah cabut rasa takut di dalam hati musuh-musuh kita dan campakkannya pula ke dalam hati-hati kita!

Nanges laju-laju. 

-gabbana-

Malas nak buat konklusi. Hampa pikiaq la sendiri noh? Eheh.

Sumber:
1)http://www.tharawat-magazine.com/trending/2174-top-10-largest-weapons-manufacturing-companies-in-the-world.html
2) https://www.nationalpriorities.org/campaigns/military-spending-united-states/
3) http://www.ifamericansknew.org/stat/usaid.html
4) https://en.wikipedia.org/wiki/Military_budget_of_the_United_States 
      


Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP