8 January 2015

Menyingkap Fantasi Program Realiti

[Kredit]

Ewah kau tajuk.

Ehem.

Fenomena rancangan berbentuk realiti semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Bermula dengan ledakan Akademi Fantasia (AF) lebih sepuluh tahun yang lalu, ia diekori oleh entah beraneka macam program-program realiti yang lainnya seperti Mentor, One In A Million, Malaysian Idol, Jangan Lupa Lirik, Maharaja Lawak dan macam-macam lagi.

Ada yang berjaya, sekiranya rating penonton dan berapa lama program tersebut bertahan diambil sebagai neraca. Dan tidak kurang yang terkubur hanya setelah setahun dua disiarkan. 

Melihatkan peluang dan ruang yang ada, rancangan realiti Islamik turut tidak mahu ketinggalan. Maka wujudlah program-program seperti Imam Muda, Ustazah Pilihan, Akademi al-Quran, Pencetus Ummah dan Dai’e Milenia.

Oleh kerana neraca yang digunakan untuk menentukan keberjayaan program-program realiti Islamik ini sama dengan program realiti yang lainnya iaitu rating penonton, maka tidak hairanlah ada program yang masih bertahan, ada juga yang telah lama terkorban. 

Seminggu yang lepas, saya ada menulis status di laman MukaBuku saya berkenaan dengan papan tanda Pencetus Ummah yang gah berdiri di kawasan Ampang.

Status saya berbunyi begini, “Nampak billboard Pencetus Ummah di tepi jalan. ‘Selalu berhibur tak semestinya lupa agama.’ Saya rasa macam tak kena. Anda rasa bagaimana?”

Rentetan daripada status itu, saya menulis pula satu lagi status:



Saya kira, status yang saya tulis dan kongsikan itu bolehlah dikira sebagai lembut dan rendah skala kesentapannya, jika hendak dibandingkan dengan kritikan-kritikan lain yang pernah saya baca tentang rancangan realiti berbentuk Islamik ini. Dan sudah ramai juga yang menulis dan mengomen tentang ‘realiti’ rancangan realiti, antaranya adalah Ostad Hasrizal, seorang tokoh agama yang amat saya hormati.  

Maklum balas yang saya terima daripada kedua-dua status itu cukup memberansangkan. Overwhelming lah bak kata omputih. 

Ramai yang sokong; tidak kurang juga yang membangkang dan menyatakan ketidaksetujuan mereka.

Yang menyokong status itu tampil dengan macam-macam hujah. Ada yang mengatakan program-program sebegini memperdagangkan agama, bala dakwah komersial, fitnah akhir zaman dan macam-macam lagi.

Yang membantah pula, kebanyakannya berhujah dengan hujah-hujah berbaur *ehem* sedikit emosi saya kira. Betapa kita tidak boleh mempersoalkan keikhlasan mereka, dakwah sebegini lebih baik daripada tiada langsung, pengaruh artis boleh melebarkan lagi dakwah, asalkan tujuan baik, sudah ramai yang tersentuh dan sebagainya.

Bukan mahu berjiddal. Apatah lagi berdebat dan bertekak dengan anda semua, yang sudah tentunya tidak akan mendatangkan apa-apa faedah untuk ummah.

Namun ijinkan saya untuk berkongsikan buah fikiran saya; dengan harapan dapatlah anda semua lebih faham apa yang bermain di fikiran saya dan pendirian saya tentang program-program realiti ini. Dan yang lebih utama, harapannya dengan perkongsian saya yang marhaen ini, dapatlah kita selongkar dan hancurkan beberapa fantasi yang berlegar-legar seputar program realiti ini.

Baiklah. Anda sudah bersedia? Marilah!

Apa salahnya pihak Astro / Media Prima nak terbitkan rancangan atau program realiti Islamik sebegitu? Kan ke bagus tu? Sekurang-kurangnya adalah program dakwah yang mengajak orang yang menonton telebisen ke arah kebaikan!
Hujahan sebegini cuba untuk menjustifikasi dan mempertahan tindakan Astro / Media Prima (atau mana-mana sahaja syarikat penyiaran) menerbitkan dan menyiarkan program-program realiti Islamik seperti yang sedia ada. Realitinya, selagi mana syarikat-syarikat sebegini dipegang dan dikuasai oleh golongan kapitalis, kita perlu menelan hakikat yang masin lagi pahit bahawa apa-apa sahaja keputusan yang dibuat, ia adalah dalam rangka untuk memaksimakan keuntungan syarikat sebanyak-banyaknya.

Seperti yang saya sebut di dalam status MukaBuku saya itu, bagaimana program yang bagus seperti Akademi al-Quran terpaksa dihentikan penyiarannya kerana ia tidak lagi mendapat sambutan hangat daripada para penonton di rumah. Alahai.

Kandungan, hala tuju, pengisian dan persembahan akan ditentukan oleh pihak atasan yang mana objektifnya tidak lain adalah untuk memaksimakan rating penonton. Nah, bagaimana kita mahu memastikan bahawa dalam keadaan sedemikian, tiada langsung prinsip Islam yang tidak tergadai dan dikorbankan? Geleng kepala.

Apabila rating penonton yang dijadikan matlamat, jangan hairan apabila yang menjadi pilihan hati para penonton adalah Imam Muda yang paling kacak atau Ostajah Pilihan yang paling pandai buat lawak. Atau Pencetus Ummah yang paling jambu dan Dai’e Milenia yang paling menawan kalbu. Adeh.



Pada masa yang sama, tidak rasa hipokritkah Astro dan Media Prima yang menyiarkan rancangan-rancangan sedemikian rupa, namun pada masa yang sama galak juga menyiarkan rancangan-rancangan hiburan melampau di siaran-siaran yang lainnya?

Alah Inche gabbana ni, jangan syadid sangat boleh tak? Kan lebih bagus begitu daripada tiada langsung?

Haila. Bagaimana sekiranya ada sebuah kedai menjual arak yang menyediakan kelas mengaji al-Quran pada masa yang sama? Atau sebuah kelab malam yang terkenal dengan pesta seks pada masa yang sama menyediakan ruangan untuk mendirikan solat? Adakah kita akan mengatakan bahawa kedai arak itu bagus? Atau kelab malam itu sangat bertimbang rasa? Masihkah kita tergamak mahu menggunakan hujah ‘sekurang-kurangnya ada’??

Al-Haq dan al-batil tidak mungkin akan bercampur aduk. Apabila kebaikan itu ditenyeh, dilumurkan dan dicampur-campur dengan kejahatan, kebobrokan dan kekejian, tiada apa lagi yang baik dan wangi yang tinggal.

“Kemudian Kami jadikan engkau (Ya Muhammad) di atas syariat di antara urusan (agama), maka ikutilah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa orang-orang yang tidak berilmu.”
[al-Jatsiyah, 45:18]

Inche gabbana jangan jumud dan poyo sangat boleh tak? Islam tak larang berhibur kan? Asalkan tahu batas syaraknya, ok apa. Ish.
Saya kurang selesa dan mudah resah dengan alasan atu hujah sebegini. Mengapa? Kerana kita seolah-olahnya sengaja berdiri di hujung cerun gunung, menanti masa untuk ia runtuh dan akhirnya jatuh ke dalam gaung yang paling dalam.

Benar, Rasulullah SAW sendiri pernah suatu ketika menyuruh Abu Bakr r.a. agar membiarkan sahaja sekumpulan wanita yang menyanyi dan berhibur sewaktu hari perayaan. Namun kamonlah, sekiranya kita membaca dan menghayati sirah perjalan hidup baginda dan para sahabat, pernahkah kita terjumpa mana-mana kisah yang menceritakan baginda istiqamah berhibur berjam-jam lamanya, sekali seminggu dan empat kali sebulan? Atau mana-mana para sahabat yang asyik menyanyi dan menari, atau berlakon dan bersajak, bersungguh-sungguh bertanding sesama mereka untuk melihat siapakah yang lebih hebat dan bergaya?

Apabila kita beralasan “Takpe, aku tahu batas-batas aku,” saya ingin bertanya, apa batas-batas yang kita maksudkan itu? Sejam sehari? Tiga jam seminggu? Sepuluh jam sebulan? Asalkan tidak lagha? Lagha yang bagaimana yang kita maksudkan?

Ha ha, kan dah menggelupur nak jawab!

Meskipon memang terdapat dalil-dalil sahih yang mengharuskan hiburan, tapi hiburan yang bagaimana? Dan jangan pula dilupakan dalil-dalil sahih lain yang trang tang tang melarang kita daripada menjerumuskan diri di dalam kelaghaan dan perbuatan yang sia-sia!

“Sesungguhnya, beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang lagha.”
[al-Mu’minuun, 23:1-3]

“Sebahagian daripada kesempurnaan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.”

[Hadith hasan, diriwayatkan oleh Termizi]

Nah, bagaimana?

Tapi Inche gabbana, ada je orang yang tersentuh dan kena tampar dengan Makcik Hidayah lepas tonton program realiti Islamik ni. Kan ke bagus tu?
Benar. Sungguh hidayah itu milik Allah. Kalau Allah nak bagi hidayah, tonton Doraemon pon boleh dapat hidayah. Eh.

Pergi dakwah dari pintu ke pintu pon boleh sebabkan orang dapat hidayah kan? Dakwah secara individu (Baca: Dakwah fardhiyyah) pon boleh buat orang kena tampar dengan Makcik Hidayah kan? Berbulatan gembira lagi bahagia pon boleh menjadi asbab untuk seseorang itu kembali kepada Allah kan?

Seolah-olahnya kita mencari-cari ruang dan peluang untuk menjustifikasikan juga pelaksanaan dan penyiaran program-program realiti ini. Atau dengan kata lain, mahu menyedapkan hati.

Pernahkah dibuat kajian, berapa ramai orang yang tersentuh atau mahu berubah setelah menonton program dan rancangan realiti Islamik ini? Ada tak statistik yang benar-benar membuktikan bahawa program realiti ini betul-betul berkesan dalam membawa perubahan di luar sana?

Ish Inche gabbana ni. Allah kan tengok pada usaha, bukan pada hasil?

Ya benar tu, saya tak nafikan hakikat itu. Namun andai jutaan wang ringgit dibelanjakan untuk pelaksanaan program sedemikian, kemudian jutaan pula yang habis semata-mata mahu mengundi Ostad atau Ostajah pilihan hati, bukanlah lebih baik wang tersebut dibelanjakan untuk usaha-usaha tarbiyah dan dakwah menyantuni masyarakat (Baca: Turun padang) atau pembangunan pusat dan markas dakwah yang seringkali kita dengar, dhaif sehelai sepinggang? Yang mana hasilnya untuk ummah inshaAllah lebih memberansangkan?

Yang kita mahu ubati dan rawat ini adalah ummah yang sedang nazak dan tenat; bukan seorang dua individu sahaja. Yang mahu kita tangani dan santuni adalah masyarakat yang benar-benar sudah jauh daripada Islam, bukan hanya tiga empat orang yang ditakdirkan tertengok sebuah rancangan realiti Islamik di telebisen.

Nah, bolehkah ini dilakukan dengan program-program realiti yang menjadikan rating penonton sebagai sandaran? Bisakah ummah ini digerakkan, dihidupkan dan dibangkitkan dengan rancangan-rancangan yang modus operandinya adalah hiburan?

Tepuk dada, tanyalah iman. Dan sekiranya iman anda memberikan jawapan, sila kongsikan! Err.

“Tetapi, hakikat ini telah tidak difahami oleh ramai orang. Mereka merasai jalan ini cukup dengan sekadar pidato, syarahan, ceramah, resolusi­resolusi dan konvensyen seminar semata-mata. Seorang da’i Islam yang agung, Syakib Arsalan Rahimahullah telah berusaha bersungguh-sungguh mengajar mereka jalan yang betul, namun dia tidak berjaya.

Di dalam sebuah risalahnya yang diterbitkan pada tahun 1931 dan disiarkan salinannya di dalam majalah al-Muslimun, beliau berkata kepada salah seorang warga Palestin, ‘Banyak surat-surat sampai kepadaku, sama ada dari Maghribi, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu, Palestin. Penulis­-penulisnya mencadangkan supaya diadakan satu perhimpunan besar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab, ‘Kita wajib memulakan usaha ini dari bawah. Kita perlu mentarbiyah individu.’

Seterusnya beliau berkata, ‘Apalah gunanya mengadakan perhimpunan yang mengumpulkan orang-orang yang lemah, yang tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan apa-apa keputusan atau resolusi. Apa faedahnya itu semua? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?’” – Fiqh Amal Jamai’e Dalam Bentu Baru, al-Muntalaq

Tapi Inche gabbana, bagus-bagus je saya tengok para peserta program-program realiti Islamik ni. Ada potensi besar untuk memimpin ummah! Hensem-hensem pula tu! Eh.
Sudah saya katakan, saya tidak punya sebarang masalah dengan para peserta yang menyertai program-program sebegini. Soal mereka ikhlas atau tidak, kita serahkan kepada Allah untuk menilai.  

Yang saya khuatirkan adalah halatuju program-program realiti ini dan bagaimana ia dirancang dan dilaksanakan. Benarkan untuk memenuhi vakum dan kelompongan dalam masyarakat yang benar-benar dahagakan pengisian yang mengisi jiwa? Atau usaha mengambil kesempatan masyarakat yang sememangnya sukakan hiburan, lantas dimekap dan dihiaskan rancangan-rancangan hiburan ini supaya tampak Islamik? Aduh.

Itu pon, saya berasa kasihan dan simpati dengan para peserta ini sebenarnya. Betapa dalam Islam kita amat dituntut untuk menjauhkan diri daripada sanjungan dan pujian yang bisa memakan dan merosakkan hati. Tetapi dengan menyertai program-program sebegini, seolah-olahnya mereka sudah sengaja menjerumuskan diri ke dalam bahaya yang mengundang penyakit-penyakit hati yang bakal membunuh diri. Gulp.

Kita amat maklum bahawa para peserta program sebegini perlu bersaing sesama mereka; siapa suaranya yang paling lunak, siapa yang pandai berpidato, siapa pula yang pandai berjenaka. Semuanya atas dasar mahu mendapatkan undian atau sokongan yang paling tinggi dalam kalangan penonton.

Aduhai, kecelakaan apakah ini??

Imam al-Ghazali pernah berkata:

“Di antara manusia ada yang mengharapkan pujian dan sanjugan serta reputasinya tersebar, sehingga dia berusaha untuk mendapatkan semua itu dengan segala sesuatu yang dapat dia lakukan meskipon dengan berbuat riya’ dalam beribadah, tidak peduli dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang, kerana hati manusia sudah condong kepadanya dan lisan mereka sudah mengucapkan sanjungan. Hal ini termasuk perkara-perkara yang merosak. 

Di antara mereka ada yang menginginkan sanjungan itu dan memintanya dengan perbuatan-perbuatan yang mubah (harus) dan tidak memintanya dengan ibadah atau tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang. Ini sudah berada di tepi jurang yang runtuh, batasan-batasan perkataan dan perbuatan yang disenangi oleh hati tidak dapat dikendalikan, sehingga dia hampir terjatuh kepada perbuatan yang tidak boleh demi mendapatkan sanjungan, maka dia sudah sangat dekat dengan orang-orang yang rosak.”

Katanya lagi:

“Ketahuilah bahawa orang yang paling besar menjadi hancur kerana berasa takut dengan cacian dari manusia dan berasa senang dengan sanjungan daripada mereka, sehingga gerakan-gerakan mereka menjadi tergantung kepada sesuai dengan keredhaan manusia…” - Rakaizud Dakwah, Bab Ikhlas

Para sahabat dan salafus soleh amat takut dan gerun kepada nama, kedudukan dan populariti. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan diri dari fitnah bling bling keglamoran. Namun fenomena program realiti Islamik ini seolah-olahnya menggalakkan pula anak-anak muda di luar sana untuk mencari dan menempa nama. Pergi mengaji di sekolah pondok bukan kerana mahu menjadi ustaz pemimpin ummah, tapi agar dapat menyertai program Imam Pilihan atau Pencetus Ummah!

Innalillahi wa innailaihi raji’un.

Ibn Mas’ud r.a. berkata, “Hendaklah kalian menjadi sumber-sumber ilmu, lampu-lampu hidayah, peralatan rumah tangga, pelita-pelita di malam hari, hati yang baru dan pakaian yang tidak using, diketahui oleh penghuni langit dan tersembunyi dari penghuni bumi.”

Ibrahim bin Adham rahimahullah pula berkata, “Tidak jujur kepada Allah orang yang mencari populariti.”

Saya doakan para sahabat dua’t saya yang lahir dari program-program realiti sebegini dikuatkan hati dan jiwa mereka dalam menghadapi fitnah dan ujian hati sebegitu rupa. Amin.

Imam Muda. [Kredit]

Hmmm. Tapi kan Inche gabbana, dalam dunia serba-serbi digital dan canggih, budak tujuh tahun pon dah ada akaun Instagram, makcik-makcik pon sibok bergosip di MukaBuku, kita perlukan figur-figur besar dan ternama untuk membawa mesej dakwah. Mereka ini lebih berpengaruh dan masyarakat lebih mudah mahu menerima mesej yang mereka bawa!
Bagi saya, ia merupakan suatu penyakit kronik dan musibah besar dalam masyarakat, apabila hanya kata-kata selebriti sahaja yang mahu mereka dengari.

Kita perlu menyelamatkan ummah ini dengan mengeluarkan mereka dari kejumudan yang dahsyat ini. Apabila yang bernilai di sisi mereka hanyalah keglamoran dan populariti, bukan lagi iman dan taqwa.

Maka nilai ilmu, keabsahan fakta dan kerelevenan sesuatu perkata bukan lagi menjadi neraca utama; tetapi Ostad mana yang lebih ramai pengikutnya, Ostajah mana yang kicauannya mendapat paling banyak kicau semula.

Walhal Ostad atau Ostajah yang lebih tinggi ilmunya, yang lebih lejen amalnya, yang lebih benar kata-katanya dan yang lebih tawadhu’ akhlaknya, dipandang enteng dan ditolak tepi hanya kerana mereka tidak cukup hensem atau tidak pandai berlawak jenaka. Geleng kepala.

Dan kalau betul pon memang kita memerlukan dai’e yang popular untuk memastikan masyarakat boleh menerima mesej-mesej dakwah dengan baik, tak perlu pon kan rancangan atau program realiti untuk menjadikan ia suatu kenyataan bukan? Tengok sahaja Ostad Azhar Idrus, Ostajah Nurhafizah Musa, Professor Muhayya dan yang seangkatan dengan mereka; mereka popular bukan kerana program realiti, tapi kerana ilmu dan mesej yang mereka bawa. Senyum. 

Pada masa yang sama, saya tidak menafikan pentingnya pada dua’t di zaman digitALL ini untuk memanfaatkan teknologi yang ada sebaiknya bagi menyebarluaskan lagi mesej-mesej Islam. Cuma awas! Jangan sampai tertipu; teknologi ini hanyalah alat dan bukannya matlamat! 

Dah. Inche gabbana nak kata langsung tak payah ada program-program realiti Islamik? Dan biarkan puak-puak kapitalis tu terus menerus menguasai media massa kita? Begitu?
Eh, ada ke saya kata begitu? Anda jangan putar-belit pula!

Umat Islam perlu menguasai media massa, apatah lagi ia merupakan senjata yang amat berkuasa untuk mempengaruhi jiwa dan minda.

Namun ia perlu diuruskan dan ditadbir dengan cara yang benar-benar dan seratus persen Islam, dan bukannya bernaung di bawah mana-mana syarikat kapitalis yang menjadikan kepentingan material sebagai objektif mereka yang utama. 

Di dalam buku Sinatul Hayah tulisan Syaikh Ahmad Rasyid, bagaimana as-syaikh menekankan betapa para dua’t mesti menceburkan diri di dalam bidang media ini, kerana jika tidak yang menguasainya pastilah orang-orang biasa yang hanya mahu berhibur yang menguasainya. Atau lebih teruk lagi, dikuasai oleh taghut yang punya agenda untuk melemahkan umat Islam!

Habis tu, apa alternatifnya Inche gabbana? Asyik hentam je, tapi taknak bagi solusi. Cet!
Saya tak pasti mengapa anda perlu emo. Chill boleh tak? Eheh.

Sekiranya saya mahu katakan, tamatkan semua program realiti Islamik yang ada! Tak payah dah buat rancangan-rancangan realiti ni! Saya rasa itu kurang tepat dan adil. Yang lebih rasional adalah cara pelaksaannya perlu dikaji semula. Halatuju dan objektif yang mahu dicapai sewajibnya untuk memberi manfaat kepada Islam dan ummah, dan tiada yang lainnya.

Saya rasa kita perlu banyak banyak belajar bagaimana ikhwah di Indonesia mengendalikan program-program realiti di sana. Dalam hal ini, mereka sudah jauh terkedepan, baik dari segi kualiti program mahupon bagaimana ia benar-benar mengesani masyarakat di sana. Itu pon saya yakin, ia hanyalah sebahagian daripada alat-alat dakwah mereka; melengkapi kerja-kerja tarbiyah dan dakwah di medan yang tidak pernah mereka tinggalkan.

Pada masa yang sama, kita juga perlu memasang azam dan impian, agar suatu hari nanti kita sendiri akan mempunyai stesen telebisen kita sendiri, yang halatuju dan polisi-polisinya ditentukan oleh kita sendiri. Juga para dua’t perlu menguasai media massa agar ia menjadi alat yang benar-benar bermanfaat untuk dakwah.

Yang lebih utama, kita perlu kembali kepada keaslian dakwah itu sendiri, yakni mengajak orang ramai kembali kepada Allah dengan cara apa sekalipon. Makanya, tanpa program-program realiti sebegini sekalipon, dakwah wajib berjalan. Hati-hati manusia di luar sana perlu disentuh. Jiwa-jiwa masyarakat perlu disantuni dan disirami dengan sentuhan rabbani.

Saya sendiri lebih berat untuk berdakwah dengan cara yang ‘tradisional’ yakni pergi mengetuk pintu-pintu hati mad’u di luar sana, tidak kiralah sama ada dengan cara berbulatan gembira, pergi dari bilik ke bilik, dakwah fardhiyah, berhalaqah Quran dan sebagainya. Saya yakin cara sebegitu lebih berkesan kerana ia lebih menyentuh hati dan meninggalkan kesan untuk suatu tempoh yang lebih lama.

Tarik nafas.

Begitulah.  

Terpulanglah kepada anda sama ada mahu melihat tulisan saya ini sebagai kritikan atau sekadar sebuah pandangan. Yang pasti, tujuan saya menulis artikel ini adalah untuk menyingkap fantasi yang menyelubungi program-program realiti ini, agar segala apa yang kita lakukan dipandu oleh hati yang penuh rasional dan disimbahi cahaya iman, bukan nafsu raksasa yang merosakkan.

“Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka dia pon lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya-foya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.” – Hassan al-Banna, Wahai Pemuda

Cukuplah. Kita sudah cukup berhibur.

Sudahlah. Sudahlah berseronok-seronok dan bergelak tawa.

Berhentilah. Berhentilah daripada terus melakukan perkara yang sia-sia. 

Setiap kali kita bergelak tawa atau menanges di hadapan telebisen menonton program-program realiti Islamik ini, ingatlah, ingatlah akan umat di luar sana yang sengsara dan menderita, yang amat memerlukan kita.

Sudah tiba masanya kita keluar dari alam fantasi ini, menuju kepada kehidupan realiti!

-gabbana-

Saya amat mengalu-alukan komen, kritikan dan maklum balas anda semua. Saya masih lagi belajar, dan seperti anda semua, masih lagi tercari-cari apakah solusi yang terbaik untuk ummah ini.

Silalah tegur dan betulkan mana-mana fakta atau bahagian yang dirasakan tidak tepat atau menyeleweng. Moga kita saling berpesan dengan kebaikan dan kesabaran. Kerana kita sayangkan agama ini bukan?


Senyum.

27 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 08/01/2015, 23:52  

terbaikk! agreed. membuka minda :)

Anonymous 09/01/2015, 00:03  

Gebuna, aku baca, aku fikir, aku kaji.. Cis poyo! Erkk


Silakan untuk tidak bersetuju dengan aku. Haila haila. Sebab tu aku tak suka ade media sosial, kerana ia telah menjadi medan untuk aku menjadi keyboard warrior! :( May Allah forgive me.

Ingin sekali lari betul-betul dari media sosial!

Aku cepat terprovokasi.. My bad.


Kapitalis atau tidak terpulang pada mereka. Itu urusan mereka dengan Allah.. Ikhlas itu pula tiada siapa yang tahu.


Win-win situation. Jika kapitalis yang mereka inginkan. Itu urusan mereka dengan Allah. Aku akan banyak kali tegaskan itu urusan mereka dengan Allah.

Aku sangat positif dengan program begini. Kau ada banyak ilmu, silakan dengan hujah hujah kau. Aku raikan dan sangat meraikan. Terpulang kau nak ambil atau campak pemikiran aku ke laut. Memangdangkan aku hanya orang yang pergi usrah sahaja dan sempat talaqqi pon dengan beberapa guru je.

Aku positif kerana:

1. Pulangan yang lumayan pada dakwah atau dalam memberi ilmu kepada audiences. Berapa ramai audiences yang menonton; rating bagus. Alhamdullilah.

2. Ya, aku tahu usrah itu penting. Tapi aku dan kau tak mampu nak bawak sampai ke dua belas usrah. Sekurangnya, dengan kelemahan kita. Sekurangnya mereka yang tercicir dari usrah dapat ditarbiyah secara tidak langsung daripada program tersebut. Sekurang kurangnya, usrah dan program bergerak. Tak tahu la kalau usrah tak bergerak, bermalasan nak bawak usrah banyak. Dan lantas mulut membebel ke arah program yang bertali arus di talibesen.

3. Jika dulu dan sekarang dengan AF, One in a Million.. Sekarang sudah ke program islamic. Aku bersyukur sekurang-kurangnya, Melesia sudah setapak melangkah ke arah 'islamic culture'.

4. Aku kalau nak buat sesuatu mesti aku akan fikir cara bagaimana untuk mendapatkan audiences ramai. Sekurangnya dalam 1 juta, insyaAllah akan ada 30 ribu yang Allah gerakkan hati untuk basah. Bagaimana aku nak sampaikan sesuatu jika hanya pada sebilangan kecil audiences. Mungkin orang akan cakap kualiti penting dari kuantiti.. Simpan di tepi ayat cliche. Cuba melihat kepada 'Bagaimana untuk menyampaikan ilmu dengan berkesan dengan cara yang berkesan dengan bilangan yang memuaskan'

Aku bagi contoh macam belog kau la. Kau menulis dan rating kau aku tengok sekarang 8 ribu ++. Alhamdullilah kau mampu memberi kesan kepada 8 ribu ++ dengan cara yang efisyen. Dan dalam masa yang sama kau bawak usrah dua belas grouo. Fulamak. Berjalan atas air kot!


Itu sahaja Gebuna. Aku penat nak tidor. Ya Allah malas dah rasa belog kau. Asyik nak menimbulkan provokasi je. Penat jadi keyboard warrior. Apa salahnya kalau kita ni gi bawak usrah sampai lebam mata tak cukup tidor. Tsk tsk. May Allah forgive us. Ameen.


Semoga aman tanpa perang. Kau teruskan dengan pendirian kau, aku dengan pendirian aku.


Anonymous 09/01/2015, 00:13  

baru sedar.... jzkk ig

Anonymous 09/01/2015, 00:18  


Sambungan aku di atas; anonymous 00.03 yang panjang berkajang. Aku dah kata, start aku menulis. Bom atom aku tak hirau ade sebelah. Ok lepas nie aku janji nak tidor. Esok pon banyak research paper kena baca dari baca belog je.

"Saya sendiri lebih berat untuk berdakwah dengan cara yang ‘tradisional’ yakni pergi mengetuk pintu-pintu hati mad’u di luar sana, tidak kiralah sama ada dengan cara berbulatan gembira, pergi dari bilik ke bilik, dakwah fardhiyah, berhalaqah Quran dan sebagainya. Saya yakin cara sebegitu lebih berkesan kerana ia lebih menyentuh hati dan meninggalkan kesan untuk suatu tempoh yang lebih lama.

Tarik nafas.

Begitulah."

Aku terasa macam aku mencari kesilapan. Tsk tsk. May Allah forgive me. Ameen.


Boleh saya menangis sebentar. Terasa sangat mahu menangis. Rasa macam nak menangis sangat!


Why not you stop belog? Jual buku dan terus ke agenda kau dakwah tradisional? Jangan cakap, but prove it!


Cukup la banned sesuatu. Kau tak rasa sesak dada ke?

Anonymous 09/01/2015, 00:22  

Silakan menangis anon ^

Anonymous 09/01/2015, 01:05  

Assalamualaikum tuan APG serta tuan2 dan puan2 sekalian.

saya sealiran dengan tuan APG dalam bab tidak (berapa) menyokong program realiti islamik (kerana faktor kapitalis populariti terutamanya). tapi bukanlah secara sepenuhnya sebagaimana tuan. saya tetap merasakan ada baiknya program sedemikian. saya agak bersetuju dengan pendapat tuan Anon 0003. Apa yang diperkata beliau (dalam komen pertama) ada benarnya.

Kita harus sedar, kita bermula dari zero dan tidak terus melompat menjadi hero. Ada tingkat-tingkat yang perlu dilalui. Saya melihat program2 realiti islami ni sebagai salah satu anak tangga menuju 'hero'. kita tidak mampu untuk terus jadi sempurna. sekurangnya ada hati-hati yang berjaya ditusuk panah islam melalui program sebegini.

Saya menjunjung tinggi impian2 besar tuan APG (dan yang lain2) agar umat islam mampu mempunyai rangkaian televisyen sendiri. Namun sekiranya majoriti hati-hati penonton adalah hanya terarah ke arah AF, mustahil untuk rangkaian televisyen islam untuk memenangi hati yg ramai. Apa salahnya kita pandang program realiti islami sebagai pelentur hati tahap pertama buat hati-hati yang selalunya hanya sukakan AF.

Kalau ingin program yang terus 100% hardcore.. waduhhh..lepas tengok satu episod, terus nak tengok dah.

wallahua'lam :)

-wt

Anonymous 09/01/2015, 07:31  

Sy harap penerbit rancangan atau sesiapa yg terlibat dgn program realiti islamik membaca post ini dan smoga hati mereka terkesan. Smoga stesen tv juga turut menghentikan penyiaran sgala drama tak berfaedah dan melebihkan dokumentari serta rancangan dakwah. Muak dgn rancangan tak berfaedah.

Anonymous 09/01/2015, 08:25  

Saudara, sy rasa saudara perlu kenal inche gabbana in person, then you know whether he proved his words or not.

Anonymous 09/01/2015, 08:40  

Benar. Risau umat sekarang menghormati manusia kerana personalitinya/popularitinya bukan kerana ilmunya.

Anonymous 09/01/2015, 10:50  

Bagus! Perbincangan yang baik, sama ada dari IG dan komentor-komentor. Semoga kita terus buka mata dengan permasalahan ummat dan semoga kita semua terus tsabat hingga ke akhirnya. Aminn ya Rabb.

Anonymous 09/01/2015, 11:04  

Sedangkan ikhlas tu pon malaikat tak tahu. Inikan manusia hina macam kita..

Sangat judgemental penulisan ini.

Anonymous 09/01/2015, 11:28  

Inche gabbani ni ok ke? Hehehe, takpelah, ada pulangan ilmu jugak kan, ehehe, sbb bukan smua org ada msa nak pergi masjid dgor kuliah, ada bnda mcm ni, dptla ilmu sikit, tak banyak sikit pun jadilahh. Hehe. Maafkan saya, saya komen je, jangan bash sayee eh?

sh 09/01/2015, 12:19  

Kne rmai brothers n sisters terjun dlm bidang penyiaran.. ni balik2 top scorer pi jd duktur.. engineer..
tv, radio, dan seangkatan dgnnye.. adlh satu institusi yg AMAT2 berjaya utk pengaruh masyarakat.. dakwah trdisional isnt bad, tapi kalau bidang penyiaran ni dinaungi oleh mereka yg faham,, jauhh lebih baik kn? So we shud see this as PELUANG.
halakan anak2 muda ke bidang kritikal dalam dakwah..
puak kuffar sendiri menjadikan penyiaran sbg medium utk lksanakn GHAZWULFIKR yg sgt sukses..kita masih mahu brpuas hati dgn traditional approach? Yes..mmg x ckop..
Kita perlukan lebih ramai tenaga dakwah yg btol2 specialist dlm bidang2 spt ini. Bidang yg involve manusia dgn manusia.
Kot lps ni inche gabbana bole buat seminar kerjaya demi masa depan islam..AMIN2!!

Anonymous 09/01/2015, 12:41  

Macam mana pulak kalau penonton hanya tengok rancangan islamik. Masa rancangan hiburan yang lain macam AF dia tak tengok tv? Adakah perumpaan rancangan tersebut masih sama macam kedai jual arak dan kelas mengaji serentak? Sedangkan dia hanya pilih rancangan islamik untuk dapat ilmu je.

Anonymous 09/01/2015, 15:23  

Anon 003 bagus jgk dia punya point. apg pun bagus jugak.
tapi kali ni tak berapa nak setuju dengan apg.program ni semua sy rasa byk beri kesan pada saya.

Anonymous 09/01/2015, 16:44  

Yang baik kita ambil yang tak baik kita tinggalkan. Setuju juga dgn Anonymous 00:03 punya pendapat. Kalau tiada langsung program realiti keagamaan di TV, macam mana pula ya keadaannya? Honestly saya tak pernah tgk Pencetus Ummah sbb sibuk dgn study, tapi baru-baru ni masa Finale PU dan time tu saya cuti Hari Krismas so balik rumah lah kan, saya rasa gembira bila satu family saya ada di hadapan TV menonton bersama dan alhamdulillah program tersebut pun ada menambahkan ilmu saya, bukanlah sekadar program kosong. Tapi terpulang juga, ada orang suka dgn penyampaian dakwah macam dalam PU, ada orang suka macam dalam bentuk Tanyalah Ustaz, ada orang suka membaca blog APG eheh, dan banyak lagi cara lain. Terpulang, asalkan terus menuju kepada Allah. Tapi pandangan APG kita terima dan sama-sama berlapang dada. Saling berdiskusi menambahkan kualiti. Salam terima kasih.

Daniel hatta 09/01/2015, 17:04  

Bagus.

Cuma, tulis juga artikel berkenaan,

Akademi Fantasia
Gegar Vaganza
The Band
Kilauan Emas
Ceria Pop Star

Rancangan ini telah memabukkan dan mencandukan rakyat dari segenap lapisan umur.

Hendaklah adil dalam memberi penjelasan. Takut orang awam keliru. Jgn bagi org lari dgn Islam. Allah utuskan kita utk org lain yang melihat kita, dia akn suka dgn ISLAM. Bukan benci.

Pokok pangkalnye, pihak atasan lah iaitu *ehem* yang berkuasa mengubah semua ini.
Jadi, anda sudah baca artikel inche gabbana ini?
Anda boleh berfikir dan buat penilaian?
Undilah pihak yang boleh dipercayai.

Inche gabbana 09/01/2015, 22:38  

Salaam a'laikum warah matullah,

Maaf baru berkesempatan nak duduk betul-betul dan reply.

Mula-mula jom kita istighfar dulu. Kita sama-sama niat apa-apa komen dan perbincangan yang kita nak lontarkan dalam ni adalah sebab sayangnya kita pada agama kita. Bukan sebab ego, bukan nafsu, bukan.

Ok?

Baiklah.

Saya kurang senang dan tak boleh nak terima bila kita cakap something like "Itu urusan mereka dengan Allah." Dalam al-Quran, banyak kali Allah berfirman yang kita ni kena jadi orang yang berfikir, melihat. Allah jadikan kita sebagai khalifah kat muka bumi ni. Untuk apa? Untuk tegakkan al-Haq. Untuk sebarkan kebenaran. Untuk hapuskan kemungkaran.

Dah kalau benda maksiat/mungkar atau benda-benda yang trang tang tang tidak bermanfaat untuk ummah berlaku depan mata kita, kita masih nak cakap itu urusan mereka dengan Allah? Saya rasa, kita boleh jadi jauh lebik bijak daripada tu.

Musuh-musuh Islam sukalah kalau kita beri alasan sebegitu. Sebab senang-senang depa boleh plan untuk hancurkan kita kerana akhirnya kita akan kata, itu urusan mereka dengan Allah. La hawla wala quwwata illa billah.

Jangan lupa, sejak dulu lagi musuh-musuh Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan umat Islam dari al-Quran, dari agama. Dan salah satunya menerusi hiburan. Kadang-kadang benda tu halus je. Oh takpelah berhibur, hiburan yang Islamik kan? Betul ke Islamik? Apa batas-batasnya? Macam mana kita nak tahu yang kita tak lagha?

Inilah yang saya risaukan apabila kita membuka ruang kepada unsur-unsur syubhat untuk menyelinap masuk. Boleh baca syarah hadith 6 untuk mengetahui betapa bahayanya ancaman perkara-perkara syubhat ni.

Keduanya, saya tak pernah kata pon para peserta program realiti Islamik ni tak ikhlas. Cuba baca balik post saya ni betul-betul.

Saya hanya mengatakan, dengan mereka menyertai program sebegitu, mereka telah mendedahkan diri mereka kepada bahaya riya' dan takabbur. Seolah-olahnya macam sengaja masuk ke dalam kandang rimau kat zoo tu, walhal boleh je nak tengok dari jauh. Faham ke..? ^^"

Bacalah hadith-hadith sahih tentang ikhlas, atau amalan-amalan para sahabat, tabi' tabi'en dan sebagainya. Kita akan dapati betapa bersungguhnya mereka ini mahu menjaga amal-amal mereka daripada dicemari dengan unsur-unsur riya', 'jub, takabbur dan penyakit-penyakit hati yang lain.

Ketiga, saya juga tak cakap yang saya tak sokong langsung program-program realiti Islamik ni. Sekali lagi, cuba baca tulisan saya tu betul-betul. Yang saya anjurkan adalah agar program-program sebegini dikaji semual halatuju dan cara pelaksanaannya.

Dan akhir sekali, apabila kita menjustifikasikan sesuatu tu hanya kerana ada kebaikan yang sedikit padanya, sekali lagi kita sengaja membuka pintu-pintu syubhah. Bla pintu syubhah dah terbuka, akan masuk mula raksasa bernama haram. Huhu.

Sama lah macam arak. Allah memang berfirman dalam al-Quran bahawa ada kebaikan pada arak tu, tapi keburukan lebih banyak padanya, dan oleh sebab itu ia diharamkan. (Jangan salah faham, saya bukan mahu menyamakan program realiti dengan arak. Hanya sebagai analogi perbandingan).

Mungkin ada yang tak perasan dengan beberapa status saya di FB hari ni, tapi alhamdulillah, saya dihubungi oleh salah seorang finalis sebuah program realiti Islamik (dia sendiri minta agar namanya dan program itu dirahsiakan). Katanya, walaupon dia tidak bersetuju dengan beberapa hujahan yang dibangkitkan di dalam post ini, dia bersetuju dengan keseluruhan artikel ini. Malah katanya, itulah yang dia rasakan.

Allahu a'lam. Teruskan berbincang, andai ia menambahkan amal-amal kita, dalam menjadikan kita seorang manusia yang lebih berjiwa hamba.

Namun andai kita mahu berjiddal hanya kerana mahu memuaskan ego kita, silakan berhenti. Beristighfar. Dan moga Allah pandu hati-hati kita biidznilah.

Moga Allah ampunkan kita semua. ;)

Anonymous 10/01/2015, 07:46  

Hujah yg sgt mantop..inche gabbana..jzkk utk artikel ni..sgt membuka minda

Anonymous 10/01/2015, 18:20  

APG, saya setuju bahawa cara perlaksanaan program realiti islamik perlu dikaji semula tapi apg tak boleh samakan program realiti ini dengan arak sebab jauh berbeza. Arak adalah benda yang diharamkan Allah dalam Quran. Tetapi program realiti Islamik Allah tidak haramkan. Memang saya setuju dengan sesetengah pendapat APG tapi tidaklah sampai menolak program erealiti ini sejauhnya. Ingin saya katakan bahawa saya pernah melihat seorang lelaki non Muslim yang memeluk Islam dan dia telah menerangkan bahawa dia tersentuh dengan pengisian program Pencetus Ummah.
http://www.guatv.com/2014/11/video-kisah-warren-fernandez-mendapat.html

berikut adalah bukti dari apa yang saya katakan. Maksud saya, ada kebaikannya dalam rancangan ini. Apa apa benda yang kita tak tau boleh jadi kita tahu daripada program islamik ini. Yang SALAHnya adalah kadangkala sistem pengundian itu. Ya, kita tidak boleh mengklasifikasikan sesuatu itu baik kalau ada keburukan padanya tapi 'even' manusia juga ada keburukan, even saya dan even sheikh2 yang tak maksum itu ada keburukan yang Allah tutup, adakah itu bermaksud mereka jahat? Tidak! Pada saya, program program ini tidak membazir kerana ia ada pengisian. Ia tidak lagha kerana saya sendiri pernah terkesan dengan program sebegini. Saya menyokong bahawa program program realiti islamik perlu
-mengubah niat dan tidak kepada rating penonton semata2
-ubah sistem undian terletak pada juri semata atau hanya 10 peratus terletak pada penonton(untuk tahu siapa yang dapat mengesankan ramai pihak dari hujahnya)
-tidak mengkanselkan program hanya sebab rating.(saya pun marah sebab APG kata diorang kansel akademi Quran sebab rating)
-dan beberapa lagi perubahan yang boleh dicadangkan.

Kesimpulannye(sorry la kalau panjang sanga:)) yang kita perlu buat sekarang bukan mengharamkan atau mengkondem program realiti ini tapi mungkin pihak Astro atau yang berkenaan perlu mengkaji cara perlaksanaannya. Siapa yang nak amik tulisan saya silalah siapa yang tak we agree to disagree.Peace:)

Zyra Roxx 11/01/2015, 13:56  

Memang tak pernah tonton mana2 rancangan realiti, sbb tahu tak realiti sangat pun. Wondering jugak, kalau kata program cmni boleh tarik org utk kembali ke pangkal jalan, cemana dgn rumah yg tak ada astro? Or worse, yg takda tv (komen utk anon keyboard worriets katanya). Nak lepak kedai mamak tgok astro pun asik tayang bola je, hihihihihi.

Satu lagi, drama bersiri sekarang pun makin nazak pengisiannya. Kisah isteri durhaka kt suami gara2 kawen paksa, isteri termengandungkan anak boifren sbb xsuka suami lembut. Astaghfirullah.... apa tauladan drama2 cmni kat masyarakat? Sweet ke?

Entahlah, langsung tak faham dgn masyarakat skrg

Zyra Roxx 11/01/2015, 14:08  

Lagi satu, maaf teekomen panjang dan dua kali plk tu, hihihi.

Hidayah perlu diusahakan jgk utk dicari. Takkan terlentang dpn tibi je blh dpt hidayah. Saya sendiri xperfect, tp ambiklah inisiatif buka tafsir alquran atau quran yg bertafsir. Kita selalu bc quaran tp xtau makna. Ambik lah inisiatif, xkan nk harap program tv je.

Tau x ramai org kafir mat saleh, cina india mendapat hidayah utk peluk islam sbb diorg baca tafsir dlm bahasa mereka, so diorg boleh faham makna alquran lalu tersentuh hati mereka. Kita? Tersentuh hati sbb tgok program tv? Ish.

Tak setuju lah kata program cmni ni bagus sgt. Ye astro blh tgok balik cmna diorg conduct program blabla tp pokok pngkalnya tetap buat duit.

Apa apa pun, semua dtg dari kita. Make an effort, jgn tggu hidayah dtg sendiri. Yelah, hrp program tu dpt buka hati kita utk make an effort ye dokk

Anonymous 12/01/2015, 03:19  

Assalamualaikum saudara. rasanya saudara kurang faham maksud inche gabbana. kiranya sepatutnya kalau astro nak buat program islamik tak sepatutnya dalam cara persaingan yg mana meraih undi penonton. anda tak boleh suruh inche berhenti blog sbb beliau bukan berblog sambil bersaing siapa juara spt program realiti sekarang. malah, org spt inche, azfar hamdi, ustaz adnin roslan ni lah yg banyak bagi tarbiah sentap dan sendirinya famous sbb info dan nasihat mereka. tanpa bantuan astro atau media prima yg mintak duit. saya juga sebenarnya kurang setuju dgn program sebegini dimana persaingan menjadi keutamaan bukannya. sekian maaf sekiranya saya jdi keyboard warrior kejap. wassalam.

Unknown 12/01/2015, 10:31  

setuju dengan anon 03:19 :)

yasmin 12/01/2015, 23:32  

Setuju juga dengan 03:19

Farah Madihah 25/01/2015, 03:03  

Jazakallahhu Khairan Kathir atas perkongsian. Setuju. Memang betul pun apa yg IG cakap. Semuanya berbalik pada niat. Wallahua'lam :D

Anonymous 17/06/2015, 17:18  

kita patut campakkan para du'at kita dalam kancah media ni. para du'at harus lebih berani untuk terlibat dalam lurang media yang lebih banyak gelap dari cahayanya. lebih banyak tikus gemok dari arnab bulat yang berlari comel. arnab kurus pun susah nak jumpa. eheh.
do dare yourself mate;)
apa kata kita dah ada ijazah dalam syariah, cuba lapangkan masa untuk ambil diploma penyiaran pula. huhu
sebelum kita attack musuh kita kena kenal musuh dulu. kalau tak, senjata makan tuan.
peace yaw..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP