18 November 2014

Salaam Akhi. Enta Apa Khabar?

[Kredit]

Telefon segi empat tepat nipis berjenama Lenovo itu bergegar. Tanda ada mesej yang masuk.

Hamidun seperti nak tak nak sahaja mengambil telefonnya itu. Seolah-olah dia sudah boleh mengagak siapa yang menghantar mesej itu.

Dia menekan punat kecil pada bahagian atas telefon. Skrin yang tadinya gelap kini bercahaya. Sekilas lalu mesej yang dihantar terpampang pada skrin lebar telefonnya. 

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Sangkaannya tepat. Abang Salikin, murabbinya. Adoi.

Masuk hari itu, genaplah lima minggu Hamidun tidak hadir ke bulatan gembiranya. Pontenglah senang kata.

Pada minggu pertama dan kedua, Hamidun punya alasan yang kukuh untuk tidak hadir. Pada minggu pertama, dia terpaksa ke luar negeri atas urusan kerja. Pada minggu kedua pula, tiba-tiba sahaja ibundanya di kampung jatuh sakit dan dia terpaksa bergegas untuk pulang ke kampungnya di Samarahan, Sarawak. Jauh bak hang!

Masuk minggu ketiga, dia sudah berasa malas untuk ke bulatan gembira. Bukan sebab tak mahu tengok wajah Abang Salikin, murabbinya yang boleh tahan hensem itu. Atau sebab malas mahu memandu ke tempat bulatan gembira yang sentiasa ditukar-tukar setiap minggu.

Tapi dia berasa segan; segan dengan Abang Salikin dan ahli-ahli usrahnya yang lain. Segan untuk menjawab nanti apabila mereka bertanyakan soalan-soalan perihal dirinya. Meski dia tahu dia punya alasan yang kukuh untuk ketidakhadirannya pada dua sesi bulatan gembira yang telah berlalu.

Maka minggu itu dia mereka alasan. Dia beritahu Abang Salikin yang kerja-kerjanya di kantor melambak, bergunung tinggi. Sememangnya kerjayanya sebagai arkitek junior di sebuah firma arkitek tersohor memerlukan komitmen yang tinggi. Memang amat mudah untuk Hamidun memberikan alasan kerjayanya sebagai benteng pertahanan diri. Dan memang mudah juga untuk Abang Salikin menerimanya. 

Namun orang seperti Hamidun, yang sudah kurang lebih tiga tahun bersama dengan tarbiyah, dia mampu sahaja untuk tidak memberikan alasan. Untuk orang seperti Hamidun, yang layaklah dipanggil budak usrah, alasan kerjaya seperti itu kelihatannya remeh dan kekanak-kanakan. Hamidun tahu itu. Malah selama ini Hamidun tidak pernah pon menjadikan kerjayanya sebagai alasan untuk tidak hadir ke bulatan gembira.

Tapi minggu itu, entah, Hamidun turut hairan, tertanya-tanya bagaimana dia cukup berani dan tergamak untuk menggunakan alasan kerjayanya. Berat juga jari-jemarinya untuk menghabiskan ayat dan menekan butang Send. Untuk menyedapkan hatinya, disertakannya emotikon senyum berpeluh. 

Masuk minggu keempat, Hamidun menjadi semakin segan. Malu untuk hadir ke bulatan gembira minggu itu. Bermacam-macam sangkaan yang bermain di kepalanya.

Ish mesti depa ingat aku futur.

Alah segan la nanti kalau Burhan tanya kenapa dah tiga kali aku tak datang usrah.

Nanti ada lah tu yang jeling-jeling. Ingat aku tak tau ke. Ish malaslah. 

Otaknya ligat memikirkan alasan apa pula yang patut diberikan minggu itu. Takkan mahu dijual lagi cerita kesibukannya di tempat kerja? Tak sanggup rasanya. 

Tiba-tiba Hamidun dapat satu idea. Idea nakal. Entah dari mana datang wahyu. 

Malam itu Hamidun pulang awal dari tempat kerja. Jam enam setengah dia sudah ada di rumah. Memang luar biasa. 

Dia cepat-cepat bersiap untuk berjemaah Maghrib di masjid. Usai solat, dia segera ke restoran Mamak at-Taqwa tidak jauh dari masjid untuk menikmati makan malamnya. Capati dan ayam tandoori; pantas dan mudah. Juga secawan teh o' limau panas.

Tepat jam lapan malam, dia bergegas pulang ke rumah setelah menjelaskan enam ringgit lima puluh sen kepada mamak cashier. Dia sempat tersenyum lebar kepada mamak itu kerana tidak sabar untuk melaksanakan pelan tindakannya. 

Sampai sahaja di rumah, setelah berkumur dan menggosok gigi sekadar mana, cepat-cepat dia naik ke atas katil dan menyelimutkan dirinya dengan duvet tebal yang dibeli di IKEA tidak lama dahulu. Dia meletakkan telefonnya di sisinya dengan mod senyap terpasang. Sebelum itu dia sempat memasang penggera setiap setengah jam bermula jam satu pagi untuk mengejutkan dirinya menunaikan solat Isyak.

Esoknya, apabila waksep dari Abang Salikin masuk, bertanyakan perihal dirinya malam sebelumnya, dengan yakin Hamidun membalas,

"Asif bang. Semalam ana tertidur awal."^^"

Sengal. Memang sengal.

Boleh tahan bijak aku ni, getus Hamidun.

Hari ini sudah masuk minggu kelima. Hamidun sudah mati akal, alasan apa lagi yang mahu diberikan.

Jauh di sudut hatinya, Hamidun tidak mahu ini berterusan. Dia mahu kembali semula berbulatan gembira. Dia rindukan bulatan gembiranya. Dia rindukan kepetahan Abang Salikin berbicara dan menyentuh hati-hati yang ada dengan taujihatnya yang menggugah jiwa. Dia rindukan keletah Zunnurain yang tidak pernah duduk diam itu. Dia rindukan ekspresi Malik yang sering malu-malu apabila diusik. Dia rindukan buah fikiran yang rasional dan bijaksana oleh Farid. Dia rindukan bicara Burhan dengannya setiap kali usai bulatan gembira. Dia rindukan akviti mengeteh dengan ahli-ahli bulatan gembiranya. Dia rindukan semua itu. 

Jujur, dia tidak mahu futur. Dia takutkan kefuturan. Cerita-cerita gugurnya ikhwah di atas jalan dakwah yang selalu dikisahkan oleh Abang Salikin di dalam bulatan gembiranya, kini sedang dihadapinya sendiri. Jauh di sudut hati, dia takut. Dia gerun. Dia risau. 

Namun entah mengapa, perasaan segan dan malunya untuk bertemu dengan ikhwah, untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya, untuk berhadapan dengan Abang Salikin, mengatasi segala-galanya. Perasaan itu yang lebih menguasai rasional pemikirannya. 

Sejak minggu pertama dia tidak hadir ke bulatan gembira, Abang Salikin tidak pernah letih menghantar waksep kepada Hamidun. Dan setiap kali itu, pasti waksepnya akan dimulakan dengan kata-kata yang sama dengan emotikon yang sama;

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Hati Hamidun berdebar-debar setiap kali menerima waksep dari Abang Salikin. Dia terasa seperti dia dibicarakan. Dia terasa seperti Abang Salikin mahu menyoal siasatnya. Dia terasa seolah-olahnya Abang Salikin mahu mencari kesalahannya. 

Dia tahu semua itu hanyalah dzan yang lahir dari nafsu dirinya. Dia tahu semua itu adalah bisikan syaitan yang mahu memporakperandakan ukhuwwahnya dengan Abang Salikin.

Namun bisikan-bisikan itu seperti bertubi-tubi menyerang dirinya. Kebelakangan ini, bisikan-bisikan itu semakin kuat didengari. Dia rimas apabila mendapat mesej waksep dari Abang Salikin. Dia curiga. Dia tidak percaya. 

Akhirnya pada minggu itu, minggu kelima sejak dia tidak lagi hadir ke bulatan gembira, dia mengambil keputusan yang sukar; dia mahu mendiamkan diri sahaja. Dia tidak mahu membalas waksep Abang Salikin atau Burhan atau Zunnurain. Dia mahu berehat. Dia mahu diberikan masa. 

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Direnungnya waksep Abang Salikin itu. Timbul rasa sayu dan sebak pada diri Hamidun. Dia memejamkan mata dan membiarkan dirinya begitu untuk seketika. Dia tekad. Waksep Abang Salikin itu tidak akan dibalasnya.

Minggu keenam berlalu. Selang sehari, pasti Hamidun akan menerima waksep dari Abang Salikin.

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Begitu juga dengan minggu ketujuh dan kelapan. Abang Salikin seperti tidak pernah letih, tidak pernah berputus-asa untuk menghantar waksep dengan lima perkataan ringkas itu.

Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)

Masuk minggu kesembilan, Hamidun tidak lagi menerima waksep dari Abang Salikin. Hari pertama dan kedua, Hamidun berasa sedikit lega. Namun masuk hari ketiga, entah mengapa timbul rasa cemas dalam dirinya. Hari itu berlalu tanpa sebarang waksep yang masuk dari Abang Salikin.

Masuk hari keempat, selang sepuluh minit, Hamidun merenung skrin telefonnya, dengan harapan tertera nama Abang Salikin. Dia seperti orang gila. Tidak senang duduk. Asyik-asyik dia akan menekan punat pada bahagian atas telefonnya, dengan harapan yang samar-samar dia terlepas pandang mesej Abang Salikin.

Dia hampa. Dia seperti tidak percaya. Masakan Abang Salikin boleh lupa pada dirinya?

Oh macam ni lah ikhwah! Konon ukhuwwah fillah bagai! Mana entah pergi uhibbuka fillah semua tu! Bila orang dah jadi macam ni, tiada siapa yang peduli! Pffftt! 

Hatinya memberontak. Dia tahu, dia tiada hak untuk menyalahkan sesiapa di dalam hal ini, melainkan dirinya. Namun nafsu amarahnya menguasai dirinya. Semua orang pon salah. Semua orang pon tak betul. Semua orang tak peduli lagi pada dirinya. Semua orang tak sayang dirinya. Semua orang dah lupa dirinya. Termasuk Abang Salikin!

Malam itu sebelum tidur, Hamidun bermuhasabah panjang; suatu ritual yang sudah lama ditinggalkannya. Sebelum memejamkan mata, dia sempat menjeling pada skrin telefonnya. Masih ada sisa-sisa harapan yang nama Abang Salikin atau siapa-siapa sahaja ahli bulatan gembiranya yang akan muncul. Dia rindu pada kalimah itu;

Salaam akhi. Enta apa khabar?

Malam itu Hamidun tidur bertemankan embun panas yang membasahi pipinya.

Hamidun terjaga kurang lebih jam empat dua puluh lima minit pagi. Dia menggosok-gosok matanya yang bertahi itu dan kemudian meregangkan otot tangan dan kakinya. 

Fikirannyanya kosong. Lama dia duduk di atas katilnya tidak berbuat apa-apa. 

Akhirnya dia mengambil telefonnya, menggaru-garu skrin telefon dengan corak tertentu sebagai kata laluan untuk masuk dan terus ke aplikasi waksep. 

Dia membaca beberapa mesej yang belum dibacanya. Kemudian dia segera menekan ikon untuk menulis mesej baharu.

Dia menatal senarai nama-nama yang tertera dan dengan segera menekan pada nama Abang Salikin. Ditariknya nafas dalam-dalam dan dengan pantas dia menekan aksara-aksara yang tertera pada skrin telefonnya.

"Salaam bang. Abang apa khabar? ;)"

-gabbana-  

Saya masih menanti-nanti penyertaan-penyertaan masterpiece untuk Pertandingan Mereka Kaver Baru IPJ. Saya tahu ramai yang mempunyai bakat yang luar biasa di luar sana. 

Ayuh! Apa yang anda tunggu lagi tu? Cipta sejarah atau anda yang akan menjadi sejarah! Eceh.

18 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 18/11/2014, 13:28  

SubhanAllah, menggugah jiwa time rehat macamni.

piamas 18/11/2014, 14:03  

Mesti murobbi dia happy gila!

oppo 18/11/2014, 14:35  

Terus Abang salikin buat sujud syukur :p

nadiah 18/11/2014, 14:51  

this entry is a lifesaver :')

Anonymous 18/11/2014, 15:54  

Mcm kena ada sambungan je...
Mcm mana dia boleh kuat untuk pergi semula ke bulatan gembira dia?

Mawar 18/11/2014, 16:31  

sudah lima minggu tak hadir bulatan gembira...serius saya rindu adek2 akhawat...

Anonymous 18/11/2014, 18:04  

Wah sentapnya!macam terkena hidung batang sendri..slalu mersakan perasaan macm tu...bukan slah murrabi atau akhwat yg salah adlah nafsu sndri yang sudah futur malah memghiasi kefuturan tu...:(.

Anonymous 18/11/2014, 18:23  

kenape cerita kali nie tergantung?

Anonymous 19/11/2014, 11:48  

oh. saya sakit jantung.

Afen 19/11/2014, 16:46  

Saat hati terdetik untuk meninggalkan jalan ini,

Duduk sebentar dan pejamkan mata,

Kenang kembali,

Saat-saat indah kita di jalan ini,

Saat-saat pertama kali kita melafazkan rasa cinta akan jalan ini,

Saat-saat pengorbanan harta, masa dan tenaga terasa manis,

Saat-saat kantuk menyerang tika qiam dan mabit bersama ikhwah akhawat,

Saat-saat lantunan tilawah ikhwah akhawat menjadi halwa telinga,

Saat-saat tidur dan istirehat tidak pernah cukup kerna memikirkan kecukupan mutarabbi melebihi kecukupan sendiri,

Mana mungkin kita meneruskan hidup tanpa jalan ini,

Moga terus melangkah, walau perlu merangkak, asalkan masih di jalan yang mempertemukan kita.

P/S:Di jalan ini, Allah mempertemukan dengan terlalu ramai ikhwah dan akhawat, walau ada yang sekadar berbalas senyuman dan salam. Namun hati ini yakin, kita dipertemukan kerna cinta kita pada jalan ini.

"Kita ini dipertemukan Allah dan kita menemukan cinta dalam dakwah. Apa pantas sesudah dakwah mempertemukan kita lalu kita meninggalkan dakwah. Saya cinta kamu dan kamu cinta saya, tapi kita pun cinta Allah"

KH Rahmat Abdullah

Anonymous 19/11/2014, 18:19  

Deep. Terima kasih.

Anonymous 20/11/2014, 21:10  

Deep!!

kisah ni baru ja berlaku antara hadek2 bulatan chenta kami

Tapi murabbi kami bertindak bijak halus and luaq jangkaan

Bila rasa futur ingtlah kembali tanggungjawab SH..walaupun berat.. terus melangkah!!


Anonymous 21/11/2014, 15:29  

Uhhukk....tacing pun iya, mcam sayalah pulak Abang Salikin tu en :p
Salaam akh. Enta apa khabar? ;)

Nurul Syahirah 21/11/2014, 20:14  

Sukanya dengan entri APG kali ini. Sungguh.

as syUhAda' wAsholihin 23/11/2014, 07:57  

Xde plk murobbi dia nk face to face ziarah dia ek? Juz follow up by wasep.heheh

Anonymous 07/12/2014, 10:25  

Murobbi tu ape?

Anonymous 12/12/2014, 10:37  

Naqib @ ketua usrah

Anonymous 28/12/2014, 01:19  

Saya dulu waktu asasi pun ada rasa macam ni, baru follow dalam sebulan macam tuh. Kemudian bila seminggu tak hadir, nak mulakan langkah balik rasa takut je. Macam2 benda negatif terjah otak, bila difikirkan balik. Apalah salahnya kalau aku mulakan langkah, apa yang jadi kemudian abaikan je lah. Terasa rugi dan menyesal pula sekarang ni.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP