28 October 2014

Sudah Habilkah Kita?

[Kredit]

Apa perasaan kita, sekiranya kita telah membelanjakan ratusan, malah ribuan ringgit mungkin, untuk membeli tiket konsert atau teater, kemudian bersusah-payah pula untuk bersiap-siap agar penampilan kita kena dengan suasana dan persekitaran konsert/teater itu, datang dengan penuh harapan dan keterujaan, hanya untuk dihampakan dengan suatu persembahan yang lugu, tidak hidup dan hambar?

Mesti rasa macam nak bagi penyiku, pelutut dan pembukulali kepada pihak penganjur tu kan? 

Err saya tak rasa apa-apa Inche gabbana sebab sumpah seumur hidup saya tak pernah teringin nak pergi konset atau tengok teater! Wahahaha lari!

Mata ke atas, tangan di dada. Ok fine

Di dalam Quran, dikisahkan secara ringkas hikayat dua orang putera Nabi Adam AS, yang terkenal dengan nama Habil dan Qabil (mengikut pendapat mufassirin). Di dalam tafsir Ibnu Kathir, diceritakan bagaimana Nabi Adam AS mengarahkan kedua puteranya itu melakukan korban untuk menyelesaikan isu perkahwinan mereka berdua. 

Habil mempersembahkan korban yang terbaik berupa kambing yang gemok sedangkan Qabil hanya memberikan hasil pertaniannya yang buruk. Maka korban Habil diterima oleh Allah manakala korban Qabil ditolak.  Hal ini disebut di dalam surah al-Maidah, ayat 27:

"Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, 'Sesungguhnya, aku pasti membunuhmu!' Dia (Habil) berkata, 'Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa.'"
[al-Maidah, 5:27]

Kisah ini berakhir dengan Habil yang dibunuh oleh Qabil dan Qabil menyesal dengan perbuatannya itu. Ada mesej dan ibrah yang cukup besar yang Allah mahu kita pelajari apabila mendatangkan seekor burung gagak untuk mengajar Qabil bagaimana mahu menguruskan mayat Habil.

Mahu tahu lebih silalah ambil wudhu', buka tafsir al-Quran dan baca sampai lebam! Wah! 

Nah, apakah yang membezakan korban Habil dan Qabil, sehingga korban Habil diterima Allah manakala korban Qabil ditolak? Adakah pada gemoknya kambing Habil? Atau kerana Habil mengorbankan binatang sedangkan Qabil hanya mengorbankan hasil tanian? Atau kerana Habil lebih kacak dan hensem dan Qabil itu huduh rupanya? Ok yang terakhir itu macam kurang relevan. 

Apakah kelebihan Habil? Di manakah terletaknya keistimewaan korban Habil?

Jawapannya sudah terang lagi benderang di hadapan mata anda. Sekiranya anda tidak melihatnya, sama ada anda perlu membuat cermin mata baharu atau anda sengaja mengada-ngada menjadi kura-kura di dalam perahu.

Ya, jawapannya pada taqwa itu. Taqwa itulah yang menjadikan korban Habil itu begitu berharga. Taqwa itulah yang menjadikan kambing milik Habil begitu bernilai di sisi Allah. 

Kerana taqwa itu adalah ibarat melalui sebatang jalan yang penuh dengan duri dan kaca; pastinya kita akan berhati-hati menelusurinya.

Kerana taqwa itu adalah God's consciousness; merasakan kehadiran Allah dalam setiap perbuatan dan kelakuan, di setiap tempat dan masa.

Dan kerana taqwa itu adalah chenta; seseorang yang dilamun chenta pastikan akan melakukan yang terbaik, terhensem dan tercantik untuk yang dichentainya.

Kerana itulah korban Habil diterima Allah. Kerana taqwalah yang memberikannya nilai yang tidak terhitung harganya.    

Nah, sekarang ayuh kita bermuhasabah diri. Bagaimana kita dalam mempersembahkan amal kita kepada Allah? Sehebat Habil atau seburuk Qabil? Sesungguh Habil atau ala kadar seperti Qabil? Yang terbaik seperti kambing Habil atau jelik dan busuk seperti hasil taniannya Qabil?

Solat kita itu; ditunaikan pada awal waktu atau sudah masuk waktu-waktu kecemasan? Pakaian kita ketika berhadapan dengan Allah, wangi dan cantik, atau pakaian yang sama kita pakai tatkala menggoreng ikan dan menumis sambal? 

Bagaimana dengan bacaan Quran kita? Bersungguh-sungguh membacanya dengan tajwidnya, tartilnya dan tadabburnya atau sekadar melepaskan batok di tangga, hanya sahaja mahu menyudahkan mutabaah amal harian?

Waduh, bagaimana pula dengan bacaan maathurat kita? Dengan penuh penghayatan dan keinsafan, atau kita memasang mod auto-pilot; laju macam lipas kudung terkincit-kincit entah mahu ke mana? 

Aduhai, lantas bagaimana pula dengan dhuha kita? Dilaksanakan dengan penuh khusyu' dan tawadhu', benar-benar bergantung harap dan bertawakkal kepadaNya, atau kita tunaikannya tatkala kita bosan dan sudah tidak apa-apa perkara lain yang mahu kita lakukan?

Sudah, bagaimana pula dengan witir kita? Kita dirikannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah, kita benar-benar dapat merasakan malam kita ditutup dengan penuh indah, atau mata sudah tidak boleh dibuka sebelah, hanya tunggu masa sebelum rebah?

Alahai, bagaimana dengan qiyamullail kita? Kita bangun dengan penuh rasa keterujaan, tidak sabar untuk bertahajjud chenta, mahu melepaskan rindu padaNya, mahu mengadu sudah dan senang padaNya atau pon, err, kalau sudah bangun pagi untuk solat Subuh itu sudah cukup bagus? 

Dan dan... Bagaimana dengan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita? Aduh. Kita lakukannya dengan penuh kefahaman, penuh ikhlas, semangat dan sentiasa bersedia untuk berkorban? Atau.. Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam, hidup segan mati tak mahu? Hanya pandai melaung-laungkan Allahu ghayatuna! Ar-Rasul qudwatuna di dalam konferens-konferens riang namun hakikatnya kita jauh dari semua itu..?? Membawa bulatan gembira hanya untuk mengisi masa lapang sekali seminggu..??

Allah Allah! Pediiihhh! 

Nanges. 

"Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain..."
[al-Insyirah, 94:7]

Kita dituntut untuk memberikan yang terbaik dalam setiap amalan kita, apatah lagi amalan kita yang mahu dipersembahkan kepadaNya. Kita dituntut untuk itqan, beriltizam dan bersungguh-sungguh dalam beramal, bukan sekadar asalkan buat. 

Maka selepas melihat semua ini, adakah kita merasakan amal kita akan diterima Allah? Adakah kita yakin Allah redha dengan persembahan amal ibadah kita sehari-hari? Adakah Allah memandang 'pengorbanan' kita ini dengan chenta?

Boleh tolong campak bawang merah itu tepat ke mata saya? 

Kita berada di pentas dunia yang amat pendek hayatnya, mempersembahkan amalan kita di hadapanNya, dengan harapan ia akan diterima olehNya. Ya, ada masa kita berasa penat. Ada masanya kita letih juga. Ada masanya kita terpaksa berhenti untuk melepaskan lelah di dada.

Namun persembahan terpaksa diteruskan, sehinggalah langsir pentas dilabuhkan. Persembahan kita akan terus berjalan sehinggalah Tuan Direktur memberikan arahan agar ia ditamatkan. 

Ketika itu, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapNya, dengan bekalan amal yang kita bawa? Yakinkah kita amalan-amalan kita akan menyelamatkan kita dari azab seksaNya? Adakah kaki kita nanti akan diizinkan untuk melangkah masuk ke dalam sorga?

"...dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap."
[al-Insyirah, 94:8]

Hanya taqwa sahaja yang dapat menyelamatkan kita. Hanya taqwa sahaja yang akan menjadikan amalan kita berharga di sisiNya. Dan hanya taqwa sahaja yang akan membezakan amalan kita, sama ada ia kambing yang gemok atau hasil tanian yang busuk. 

Lantas bagaimana? Sudah Habilkah kita?

-gabbana- 

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/10/2014, 09:14  

jzk akhi. artikel yg tepat pd masanya utk ana

Anonymous 29/10/2014, 13:28  

terlalu banyak lompang lompang yang perlu ditutup.. terlalu banyak... huhuhu

Terima kasih IG...

aiman arif 29/10/2014, 16:15  

saya suka dgn artikel nih......Masya-Allah..PENYAMPAIAN YG BEGITU BERKESAN... :)

Ani Haryani 30/10/2014, 15:26  

Subhanallah. Terima Kasih atas peringatan

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP