21 August 2014

Pada Arnab Gemok Berlari Riang Ada Sebuah Nasihat

Gambar ini terlalu comel untuk saya abaikan dan buat-buat tak nampak. Errrghhhh! [Kredit]

Salah satu kewajipan seorang Muslim adalah menasihati saudaranya apabila diminta.

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila salah seorang daripada kamu meminta nasihat daripada saudaranya maka hendaknya (yang diminta) memberi nasihat."

[Hadith riwayat Bukhari]

Nasihat merupakan pondasi yang amat penting dalam Islam. Saling menasihati merupakan antara syarat utama kepada keberuntungan seseorang itu.

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati di dalam kebenaran dan saling menasihati di dalam kesabaran."
[al-'Asr, 1-3]

Perkataan 'tawasi' di dalam surah al-'Asr ini membawa maksud saling, yakni hubungan dua hala. Ia disebut dua kali; satunya dengan kebenaran dan satu lagi dengan kesabaran. Betapa besarnya penekanan yang Allah berikan kepada kepentingan memberikan nasihat ini. Maka bayangkanlah, betapa ruginya kita apabila kita tidak saling menasihati sesama kita!

Tidak hairanlah, di dalam sebuah lagi hadith seperti yang diriwayatkan oleh Tamim ibn Aus ad-Dari r.a., daripada Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya agama itu nasihat." Kami (para sahabat) bertanya, "Untuk siapa?" Baginda menjawab, "Untuk Allah, kitab, Rasul, para pemimpin umat Islam dan manusia secara amnya."

[Hadith Riwayat Muslim] 

Betapa hebatnya nasihat itu sehinggakan ad-deen ini disimpulkan sebagai sebuah nasihat!

(Nota: Perbahasan tentang maksud 'nasihat' di dalam hadith di atas panjang dan dibincangkan dengan panjang lebar oleh para ulama'. Saya tidak berniat untuk berbicara tentang itu di sini. Silalah buka kitab syarah hadith untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Sekian.]

Melihatkan betapa pentingnya nasihat dalam kehidupan seharian kita, pastinya Allah telah menyediakan beraneka jenis sumber nasihat dan memudahkan kita untuk mendapatkan nasihat. Malah alam ciptaan Allah dan interaksi alam dan manusia sehari-hari juga bisa menjadi sumber nasihat yang sangat baik untuk kita. Cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya. 

Anda tidak percaya? Ayuh kita kaji!

Ketumbukan semut yang menghurung gula dengan riang gembiranya
Di sini kita dapat melihat betapa setiap peluang dan rejeki yang ada jangan sama sekali dilepaskan. Semangat kepasukanan sekalian semut juga mengajar kita untuk bekerjasama dalam menggapai kejayaan dan tidak kedekut taik idung masin dalam berkongsi rejeki. Kagum melihat semut-semut ini yang seolah-olahnya tidak penat bekerja sehinggalah ketulan gula yang dihurung berjaya dibawa masuk ke dalam sarang mereka. 

Ok tapi janganlah terlalu asyik memerhatikan semut sehingga terlepas solat berjemaah Maghrib di mesejid itu! Peluh. 

Air sungai yang mengalir lesu
Air di sungai, dalam keadaan apa pun ia, akan tetap dan terus mengalir. Kerana sekiranya ia berhenti mengalir, ia akan menjadi keruh lalu busuk. Maka begitulah kehidupan kita. Ada masanya kita penuh bersemangat waja, dan ada kalanya pula, kita lemah tidak bermaya. Meski apa pon keadaan kita, kehidupan kita mesti diteruskan. Perjuangan menegakkan agama ini mesti terus mengalir, agar ia tidak kaku dan mati!  

Lembu gebu yang diperah susunya

Mooooo. [Kredit]
Terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil daripada seekor lembu betina gebu yang merelakan susunya diperah dan diminum manusia. Bayangkan, makanan yang dimakan lembu (rumput, air dan sebagainya) bercampur pula dengan darah di dalam badannya dapat diproses dengan begitu baik untuk menghasilkan susu yang manis dan enak. Sumpah mengagumkan bukan? Tidak hairanlah Allah sendiri merakamkan kehebatan lembu ini di dalam al-Quran:

"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya."
[an-Nahl, 16:66]

Begitulah sepatutnya akhlak kita sebagai manusia di muka bumi. Segala macam bisikan jahat dan nafsu raksasa yang menyerang kita, jiwa kita sewajarnya mampu untuk menyaring, menapis dan memprosesnya sehinggalah yang keluar sebagai amalan kita sehari-hari adalah amalan yang manis dan enak. Senyum.

In before, "Mamak! Teh tarik susu lembu satuuu!"

Makcik nasi lemak yang menjual nasi lemak bungkus sambal kerang
Menjadi seorang makcik yang menjual nasi lemak bungkus sambal kerang bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Seawal tiga pagi lagi, usai menunaikan solat tahajjud dua rakaat, si makcik terpaksa bertungkus lumus menanak nasi, menggoreng kacang dan merebus telur bagi menyediakan nasi lemak yang terbaik dari ladang. Namun dengan sebungkus nasi lemak berharga sehinggit duaposen itu, apa sangatlah yang makcik itu dapat? Alahai.

Kepuasan, ya kepuasan. Melihatkan para pelanggan yang tersenyum berseringai hingga ke telinga setiap kali dapat membeli nasi bungkusnya. Atau pelanggan yang merayu-rayu agar disimpankan beberapa bungkus untuk mereka. Atau pelanggan yang menanges-nanges berhingus bagai (sumpah huduh!) apabila nasi lemaknya telah habis disapu bersih.

Kepuasan.

Pengorbanan adalah rencah utama dalam kehidupan, meski pulangannya seperti tiada apa-apa. Namun pengorbananlah yang menghidupkan kehidupan. Pengorbananlah yang memberi erti kepada sebuah hayat dan usia. Dan pengorbanan jugalah yang memberikan kita kepuasan dalam memaknai hidup ini. Senyum. 

Panda tembam mengunyah pucuk buluh
Jangan sangka, seekor binatang yang tampak lembut, berbudi bahasa dan tidak ganas ini mampu memberikan impak yang besar kepada dunia dan seisinya. Buktinya, panda menjadi maskot rasmi buat WWF (baca: World Wildlife Fund dan bukannya World Wrestling Federation). Buktinya lagi, manusia sanggup membelanjakan jutaan ringgit semata-mata mahu menerbangkan beberapa ekor panda dari China terbang nun ke sebuah negara dan ditempatkan di dalam zoo yang lengkap dengan penghawa dingin. Hebat kan panda..?

Pandang kiri, pandang kanan. Lari laju-laju. Wahahaha.

Jadilah seperti panda! 

Arnab gemok berlari riang di tengah-tengah rimbunan dafodil segar
Hidup ini penuh dengan mehnah dan tribulasi, cubaan dan ujian. Ujian dan kesusahan adalah asam ragam dalam kehidupan. Namun ujian dan cubaan inilah yang sebenarnya memeriahkan lagi kehidupan. Mehnah dan tribulasi inilah yang sebenarnya menjadikan kita lebih kuat dan positif dalam mengharungi masa hadapan. 

Maka jadilah seperti seekor arnab gemok yang memaknai kehidupannya dengan sepenuh hati. Meskipon menghadapi masalah berat badan yang seriyes, beliau masih mampu untuk berlari-lari dengan penuh semangat (tapi termengah-mengah lah juga) sambil menikmati kesegaran bungan-bunga dafodil yang mewangi. Ah.

Ada kena mengena tak..? Ohoi!

Burung pipit berterbangan bebas membelah awan
Burung adalah antara makhluk ciptaan terhebat Allah. Dalam banyak-banyak makhluk ciptaanNya, burung adalah makhluk yang dipilih untuk mampu terbang tinggi di kayangan, membelah langit dan awan. Tipulah sekiranya anda beritahu saya, seumur hidup anda, anda tidak pernah mahu jadi seperti burung, berterbangan bebas di awangan? Bukan?

Di dalam Quran ada beberapa ayat yang menceritakan tentang burung. Antara yang paling femes sudah tentunya kisah burung Hud Hud dengan Nabi Sulaiman. Namun ayat tentang burung yang paling mengesankan saya adalah ayat tujuh belas surah al-Mulk:

"Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pengasih, Dia Maha Melihat segala sesuatu."
[al-Mulk, 67:19]

Begitulah. Sekiranya burung yang berterbangan itu sudah mampu menjadikan kita kekaguman dan keterujaan, apatah lagi dengan ciptaan-ciptaan Allah lain yang jauh lebih hebat seperti langit, gunung-ganang, planet-planet dan penciptaan manusia itu sendiri? Bukankah kita yang berhidung kemek, mata sepet, telinga capang dan dagu berlekuk ini juga diciptakan oleh Tuhan yang Maha Pengasih, Maha Melihat segala sesuatu?

Abam kacak yang memandu kereta Nissan Sunny usang

Nissan Sunny yang lejen. [Kredit]
Menjadi seorang abam kacak tidak semestinya mesti memandu Audi TT Roadster. Samalah; menjadi seorang kakak bertudung tidak semestinya tidak boleh memandu kereta Peugeot putih. Eh. 

Rupa tidak membawa apa-apa makna dalam kehidupan ini. Orang yang lebih kacak dan bergaya tidaklah lebih baik daripada seorang lelaki nerd yang tidak tahu berfesyen. Seorang wanita yang debabom cara pemakaian dan penampilannya, tidaklah lebih bagus daripada seorang makcik penjaga tandas awam yang pakaian sehari-harinya hanyalah uniform rasmi syarikatnya. 

Tidak.

Tetapi yang menjadikan kita benar-benar istimewa dan dipuja oleh sekalian penduduk langit adalah taqwa. Dan taqwa ini datangnya daripada hati yang ikhlas dan bersederhana. Kerana itu seorang abam yang kacak tidak kisah memandu sebuah Nissan Sunny usang sekiranya dalam hatinya ada taqwa.

Senyum.

Ok cukuplah setakat itu. Saya yakin anda kini sudah tahu apa yang saya maksudkan dengan nasihat adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan.

Saya juga yakin otak anda yang cukup kreatif itu kini sudah mula berfikir-fikir apakah nasihat dan ibrah yang boleh anda perolehi apabila melihat kucing comel yang sedang mencakar sofa atau Puan Ibu anda yang sedang asyik membuang insang ikan yang mahu dimasaknya untuk makan malam nanti atau cengkerik yang tersesat masuk ke dalam jamban anda. Err.

Kerana sungguh Allah telah ciptakan segala apa yang ada di alam buana ini untuk kita manusia, sebagai manfaat dan nasihat buat kita. 

"Sungguh, telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul.)"
[ali-Imraan, 3:137] 

Sungguh, kehidupan ini adalah sebuah nasihat dan nasihat itu menghidupkan.

Senyum.

-gabbana- 

Menulis ini sambil ditemuramah oleh @twt_buku di Pengicau. Puas.

Moga anda manfaatnya! 

6 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 21/08/2014, 20:21  

My Rabbit i will never forget you! Sudah berada dalam perut sepupu aku. Arghhh.


A lot of ibrah!

Hah ade ape lagi yg boleh dikaitkan dgn binatang comel gebu-gebu. Silakan cerita. Mata terkelip nak dengar.


Keep writing!

Anonymous 22/08/2014, 08:52  

(y)

Teacher Basariah 22/08/2014, 10:31  

menarik..setiap yang dijadikan Allah ini cantik..kan kecantikan itu subjektif ?

Anonymous 22/08/2014, 16:08  

Haih..asik senyum sampai ke telinga je bila layan belog ni...jazakallahu khairan jaza' bro!

Anonymous 25/08/2014, 09:17  

Slm alaik bro n sis..nk minta tlg..sape ade idea, hujah, psl tjuk debate ' the house should encourage university student to enter into marriage institution '..btw bro ig pndebat terbaik kn?? Debaqq coz x prnh msk debate

Kausar Amin 26/08/2014, 14:08  

Subhanallah nice writing. Thanks for sharing this.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP