22 July 2014

Pencarian Makcik Laila dan Pakcik Qadar

[Kredit]

Tersebutlah kisah seorang petani di sebuah desa nun jauh di pedalaman Thailand sana. Mari kita namakan dia Pakcik Kungkrep Sepai Sepai.

Suatu hari, Pakcik Kungkrep telah diberitahu bahawa dalam sebidang tanah yang dimilikinya, tertanam harta karun yang berusia ratusan tahun lamanya. Rupa-rupanya tanahnya itu pernah didiami oleh Sang Raja Siluman Padprik Pattaya suatu ketika dahulu. 

Harta itu dikatakan mampu untuk menampung kehidupan Pakcik Kungkrep dan seluruh isi keluarganya untuk seribu bulan lamanya. Siapa yang tidak teruja apabila mengetahui tanah yang dimiliki mengandungi kemewahan dan kemakmuran yang bisa menanggung hidup untuk bertahun-tahun lamanya?

Maka bermulalah operasi mencari harta karun oleh Pakcik Kungkrep dibantu oleh ahli-ahli keluarganya yang lain. Mereka mengorek dan mengorek tanah tanpa mengenal erti penat dan lelah, meski sudah bergelen-gelen air peluh dirembeskan dan basah kuyup ketika mereka dibuatnya. Uisshh siapa yang tidak mahu jadi kaya dengan harta pusaka milik Sang Raja bukan?

Pakcik Kungkrep ini, meski dahulunya bersekolah setakat derjah tiga, adalah seorang yang bijaksana. Mana-mana tanah yang sudah digali dan dikorek namun tiada apa-apa yang dijumpai, akan disemai dengan biji-biji benih durian belanda dan buah naga (sebab harga kedua-dua buah ini tinggi di pasaran antarabangsa). Makanya, tidak lama selepas itu, meski harta karun yang didakwa itu masih belum dijumpai, pokok-pokok durian belanda dan buah naganya sudah mula memutikkan bunga. 

Pakcik Kungkrep Sepai Sepai meneruskan usaha-usahanya mencari harta karun itu dengan penuh gigih dan istiqamah. Tidak pernah terdetik pon di dalam hatinya untuk berputus-asa kerana dia yakin suatu hari nanti dia pasti akan menjumpainya.

Masa pon berlalu. Langit tetap biru. Awan kumulonimbus yang gebu-gebu itu akan tetap menurunkan hujan. 

Pakcik Kungkrep mula dikenali sebagai usahawan durian belanda dan buah naga yang berjaya. Buah-buahnya dieksport nun jauhs ehingga ke Zimbabwe dan Argentina sana. Tanahnya itu begitu subur dan amat produktif untuk ditanam dengan kedua-dua jenis buah-buahan itu. Pakcik Kungkrep kini sudah kaya raya dan sudah mampu untuk memasang dua cakera Astro di rumahnya. Eh. 

Dek kekayaannya yang semakin bertambah, kini Pakcik Kungkrep semakin mampu untuk membeli jentera yang lebih mahal dan sistem pengesan yang lebih canggih untuk mencari harta karun yang masih tersimpan misteri entah di mana.

Akhirnya, pada suatu hari, ditakdirkan Ilahi, Pakcik Kungkrep berjaya menemukan harta karun milik Sang Raja Siluman Padprik Pattaya seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Namun entah mengapa, Pakcik Kungkrep tidaklah terlalu teruja atau terasa mahu berjimba dengan kekayaan yang baharu ditemukan itu. Ya, dia bersyukur malah sempat buat sujud syukur lagi. Tetapi seolah-olahnya perasannya natural sahaja. Tidaklah terlalu mengharukan atau meluap-luap kegembiraannya itu. Tidak overwhelming lah senang omputih kata. 

Kerana rupa-rupanya kekayaan yang dia kumpulkan selama ini dalam mencari harta karun yang tersembunyi, sudah jauh daripada mencukupi. Sudah menjadikan dia lebih bersedia untuk berhadapan dengan kekayaan yang lebih besar nanti. 

Maka jadilah Pakcik Kungkrep orang kaya raya di desanya. Bukan orang kaya raya yang calang-calang, tapi orang kaya raya yang sangat kaya tetapi seorang yang rendah diri dan pijak semut pok tak mati pula.

Tamat cerita pendek tentang Pakcik Kungkrep Sepai Sepai.

Saya kira, begitulah kurang lebih misi memburu malam yang lebih baik daripada seribu bulan untuk kita semua.

Motivasi lailatul qadr membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk memperbaiki amal ibadah kita sehari-hari, baik dari segi tilawah Qurannya, zikir hariannya, pertuturan dan akhlak kitanya, solat malamnya, sedekahnya dan lain-lain laginya. Dengan penuh pengharapan kita akan terpilih untuk menjadi salah seorang tetamu agungNya untuk bersua dan bertemu mata dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu. 

Saya yakin, inilah hikmahnya mengapa tarikh sebenar lailatul qadr itu dirahsiakan, meskipon ada sesetengah pendapat secara sarih (terang dan jelas) memilih malam ke duapuluhtujuh sebagai tarikh lailatul qadr. Unsur saspens dan misteri itu menjadikan kita lebih teruja dan bersungguh untuk memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar. Dan buat mereka yang benar-benar ikhlas dan istiqamah, mereka tidak akan berputus-asa sehinggalah mereka berjaya menemukan malam yang penuh barakah dan keajaiban itu.

Sayugia amalan-amalan yang dilakukan sehari-hari, dilaksanakan dengan imanan wahtisaban (bersungguh dan penuh pengharapan) pastinya akan mendarah daging dalam diri. Solat-solat malam yang didirikan itu tidak lagi dirasakan payah dan susah. Tilawah Quran sejuzuk sehari itu tidak lagi dirasakan lama dan leceh. Zikir-zikir harian yang sentiasa diulang-ulang itu tidak lagi terasa dipaksa-paksa untuk melafazkannya.

Benih-benih amal yang kita tanam dengan penuh pengharapan dan keikhlasan, sebagai persiapan kita untuk berjumpa dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar sudah mula membuahkan hasilnya. Sehinggalah kita dapat merasakan kemanisan melakukan semua itu. Sehinggalah kita dapat merungkaikan rahsia keindahan beramal dengan semua itu. 

Ya, itulah keistimewaan dan nilai sebenar sebuah malam yang bernama lailatul qadr.

Sehingga apabila kita benar-benar diizinkan untuk bertemu sendiri dengan malam yang penuh kehebatan itu, ia sepertinya natural sahaja untuk kita. Seolah-olahnya kita sudah boleh menjangkakannya. 

Kerana motivasi lailatul qadr itu hanyalah alat, bukannya matlamat. Matlamat sebenarnya tetap untuk mencari dan memburu keredhaan Allah yang hakiki. Apabila keredhaan Allah itu sudah diperolehi, tiada suatu apa pon di dunia ini yang dapat menggantikannya, hatta seluruh dunia dan seisinya!

Orang yang hanya bersungguh-sungguh mengejar Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu hanya untuk nilai luarannya sahaja, percayalah, mereka tidak akan memperolehi apa-apa. Sedangkan mereka yang ikhlas dan penuh keterujaan mencari dan memburu malam penuh barakah itu demi mencari kechentaan Tuhan, percayailah, mereka inilah yang akan menemukannya.

Kerana nilai lailatul qadr itu bukan pada air yang tiba-tiba membeku. Bukan pada pokok yang rukuk dan sujud. Bukan juga pada malam yang tenang, cahaya bulan yang samar-samar dan angin yang bertiup senang. 

Tapi pada seorang hamba yang bangun dan bersengkang mata, berdoa penuh pengharapan dengan linangan air mata mengharapkan keampunan daripadaNya.

Senyum. 

-gabbana-

Sila sampaikan salam saya pada Makcik Laila dan Pakcik Qadar sekiranya anda cukup bertuah, terpilih untuk bertemu dengan mereka. Beritahu pada mereka, tahun depan mereka dijemput bertandang ke rumah saya pula. Eheh.

Terus tembakkan doa untuk saudara-saudara kita di Ghazzah, yang saban harinya sentiasa dipenuhi dengan peluru dan darah. Mereka mungkin tidak punya peluang dan ruang untuk memburu lailatul qadr seperti kita ini, namun mereka dalam misi yang lebih besar dan mulia; misi memburu syahid, yang nilainya jauh lebih tinggi dan mahal daripada beribadah seperti 1000 bulan lamanya. 

Doa kita juga untuk para mangsa dan keluarga penerbangan MH17. Moga ruh mereka yang terkorban tenang di sana, dan semoga ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan ujian yang cukup getir ini.

Moga Allah angkat doa-doa kita ini dan memakbulkannya. Amiin ya robbal a'lamin.

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 22/07/2014, 13:04  

Tq...tulisan anda sentiasa dpt mgharukn saya sehingga tnanti - nanti pula.

Anonymous 22/07/2014, 13:05  

Thanks APG...
Moga Allah memilih anda untk Lailatul Qadar. Biiznillah.

Anonymous 23/07/2014, 07:08  

As salam Inche Gabanna, boleh tuliskan article syria for dummies? Atau pun memang sudah ada penulisan berkaitannya yang mungkin saya terlepas pandang?

Itminaan 04/08/2014, 10:29  

First time ever sy baca entry psl Lailatul Qadr yg mcm ni.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP