Sukarnya Menjadi Orang Yang Beragama
[Kredit] |
Penulisan kali ini mungkin lebih seriyes daripada biasa.
Seriyes.
Semalam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah usai kerja, seperti biasa yang saya menghabiskan sedikit masa untuk memeriksa hapdet-hadpet terbaru di Mukabuku. Ketika sedang asyik menatal garis masa MukaBuku, saya terbaca sesuatu yang amat menyedihkan saya.
Seseorang telah berkongsikan keratan akhbar tabloid Metro, akhbar yang paling laris jualannya dalam kalangan para pembaca Melayu.
"Kitab Ibn Qayyim sesat."
Not again. Getus hati saya.
Perkataan sesat itu diboldkan dan dimerahpekatkan.
Yang saya sedihkan dan kesalkan bukanlah sangat hinaan dan cercaan terhadap Ibn Qayyim itu, meski saya tetap berasa tidak senang dengannya.
Namun dengan trend dan budaya label-melabel, kafir-mengkafir dan sesat-menyesat yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Sikit-sikit kafir. Sikit-sikir bidaah. Sikit-sikit wahhabi.
Aduhai, lancang benar mulut kita mengeluarkan kata-kata yang cukup nista!
Buka sahaja MukaBuku, tidak sah kalau tidak jumpa orang ini bertelagah dengan orang tu. Tidak lengkap sekiranya tiada pertengkaran antara kumpulan ini dan kumpulan itu. Pelik benar andai dalam satu hari, MukaBuku aman dan tenang daripada jiddal dan perdebatan antara puak ini dan puak itu.
Alahai. Alahai. Alahai.
Lantas ia membawa saya kepada suatu persoalan yang lebih besar; sampai bila kita harus begini? Sampai bila umat Islam akan tersu bercakaran, bergaduh dan berperang sesama sendiri? Sampai bila orang-orang yang marhaen, jahil dan tidak berilmu seperti saya ini, akan terus menjadi penonton kepada para ulama', masyaikh dan asatizah yang terus bertikam lidah sesama sendiri?
Yang lebih menakutkan dan mengerikan adalah pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku antara gerakan-gerakan Islam, yang sepatutnya menjadi benteng paling hadapan dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Ahli-ahli daripada gerakan-gerakan ini yang tampaknya paling galak dalam melabel orang ini dan menyesatkan golongan itu. Mereka yang kononnya mengaku dirinya berjemaahlah yang paling banyak mendatangkan fitnah kepada agama ini.
Na'udzubillah. Moga Allah menjauhkan kita semua daripada bala bencana besar ini.
Tidak hairanlah ramai manusia di luar sana yang fobia dengan agama ini. Padanlah ramai orang di luar sana yang tidak bersedia, rimas dan tidak berminat untuk menyertai mana-mana jemaah dakwah. Patut sangatlah begitu ramai orang yang skeptikal, prejudis dan bersangka buruk terhadap jemaah-jemaah haraki yang ada di Malaysia ini.
Kerana tanpa kita sedar, kadangkala kitalah yang sebenarnya telah mencalitkan lumpur pada jemaah atau gerakan yang kita sertai. Sikap kita yang terlalu emosional dan terburu-buru telah memadamkan kebenaran yang sepatutnya jelas dapat dilihat. Akhlak kita yang amat mudah dipengaruhi oleh isu dan propaganda seringkali tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenar.
Pada kita mereka tidak nampak qudwah dan tauladan.
Pada kita mereka tidak merasakan betapa istimewanya Islam dan makna sebuah perjuangan.
Pada kita mereka tidak dapat menghargai erti kelazatan iman.
Pada kita yang mereka lihat hanyalah pergaduhan dan pertelingkahan.
Dan pada kita, mereka tidak lihat adanya solusi dan harapan.
Nanges.
Inilah yang saya rasakan ketika ini. Inilah perasaan dan luahan rasa yang ingin saya kongsikan dengan anda.
Sudahlah mahu berubah dan menjadi yang lebih baik itu sudah cukup sukar, rupa-rupanya mahu mempertahankannya jauh lebih sukar lagi. Sudahlah mahu mengajak orang lain untuk bersama-sama kita sudah cukup sulit, mahu meyakinkan mereka untuk terus dan kekal bersama-sama dengan kita rupa-rupanya jauh lebih sulit lagi.
Aduh. Sukarnya mahu menjadi orang yang beragama!
Air mata mengalir perlahan.
"Abdul Wahhab Azzam rahimahullah telah melawat sebahagian besar dunia Islam. Beliau telah menjelajah dunia Arab, Turki, India, Pakistan dan lain-lain lagi untuk mengkaji realiti umat Islam secara dekat. Akhirnyanya beliau membuat kesimpulan bahawa umat Islam tidak kekurangan apa-apa kecuali perpaduan." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan
Perpaduan. Ya, itulah yang amat kita perlukan sekarang ini!
Orang yang baik sudah cukup ramai di luar sana. Orang yang berilmu dan bersijil ijazah sarjana muda dan tua juga sudah cukup ramai di luar sana. Orang yang berharta dan punya aset yang tidak ternilai harganya, juga sudah tidak terkira.
Yang kita perlukan sekarang ini, adalah untuk kita sama-sama ketepikan perbezaan dan kekhilafan antara kita yang sedikit itu, dan tumpukan sepenuh tenaga dan upaya kita untuk menguatkan dan memantapkan lagi titik-titik persamaan yang ada.
"Janganlah kamu berasa tertipu dengan kerosakan yang zahir dan kejahatan yang melata di sana sini dalam kalangan umat Islam. Janganlah kamu gentar mendengar orang ini dan itu sudah rosak. Orang yang baik sebenarnya lebih ramai daripada orang yang jahat. Tetapi, golongan jahat mengibarkan bendera mereka lalu orang jahat dan pengikut mereka berhimpin di bawah naungannya. Golongan yang baik lalu lari, tidak bersama-sama golongan jahat ini dan suara mereka tidak kedengaran apa-apa.
Sekiranya panji kebaikan dikibarkan, tentu mereka yang baik-baik itu berkumpul di bawahnya. Golongan jahat tentu akan diam dan mereka tidak akan menjadi mahsyur lagi." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan
Meski kadangkala saya sendiri sukar untuk mempercayainya, dengan kekacauan-bilauan dan kekucar-kaciran umat Islam hari ini, melihatkan pertelingkahan mereka yang mengaku diri sebagai dua't seperti tidak akan ada titik noktahnya, namun jauh di sudut hati, saya tahu harapan itu masih ada.
Ini adalah fasa ujian. Fasa mehnah dan tribulasi yang menggila. Fasa di mana mereka yang mengaku dirinya sebagai para pejuang agamaNya akan ditapis dengan sebersih-bersihnya.
Kita akan dibelasah teruk, dipijak, dipukul, dilempang, disilambam, dihina, dicaci dan diludah, sehingga kita menjadi lumat. Layu. Lesu.
Sehingga kita sendiri tidak pasti, sama ada kita akan sempat untuk menyaksikan kemenangan yang agung itu. Yang lebih merbahaya, kita akan diuji dan diuji, sehingga kita sendiri merasakan, seolah-olahnya harapan itu sudah mati.
"Ramai manusia yang baik sebenarnya menjadi bingung. Bila mereka lihat besarnya kerosakan di negeri mereka, melihat lintag-pukang neraca dan nilai, melihat orang jahat berkuasa, mereka mula menyangka bahawa semua benda telah hancur punah dan tida dapat dibaiki lagi. Kufur telah berkuasa penuh menyebabkan mereka terpaksa memilih sama ada diam membisu atau berhijrah ke negeri yang kurang kejahatannya dan 'menganggur' di sana." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan
Dan kita akan terus diuji dan ditapis, dicuba dan dibersihkan, sehinggalah yang tinggal dalam kalangan kita ini, yang benar-benar ikhlas dan tulus dalam memperjuangkan panji-panji kebaikan ini. Sehingga yang tinggal, hanyalah mereka yang benar-benar sabar dan yakin dengan ketentuanNya.
Hanya yang benar. Dan sabar.
"Wahai Rasulullah, sekiranya kita berada di pihak yang benar, mengapa engkau tidak mendoakan sahaja kemenangan untuk kita?"
Tanya seorang sahabat, Khabab bin al-Arat r.a. kepada Rasulullah SAW pada suatu hari.
Apa jawapan baginda?
"Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki
yang telah digalikan lubang untuknya, ditanam, kemudian didatangkan
dengan sebilah gergaji diletakkan diatas kepalanya dan menggergaji
sehingga dipotong dua, mereka yang disikat dengan sikat besi – sehingga
bercerai daging dan tulangnya - tetapi perkara tersebut tidak dapat
menghalangnya daripada agamanya, sesungguhnya Allah akan menebus perkara
ini sehingga manusia boleh berpergian dari San’a ke Hadhramaut tanpa
rasa takut kecuali kepada Allah dan serigala terhadap ternakannya,
tetapi kamu tergesa-gesa."
Allah Allah. Nanges laju-laju.
Bersabarlah wahai hati. Sungguh kemenangan itu sudah tidak jauh lagi.
"Aliif laam miim. Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
[al-Ankabut, 29:12]
Ya, menjadi orang beragama itu memang sukar. Kerana kelazatan dan kenikmatan yang menanti tidak mungkin tergambar!
-gabbana-
Seperti masih ada yang tersisa di hati, yang mahu diungkapkan dan dikongsi. Tetapi entah... Cukuplah setakat ini.
Moga Allah kuatkan hati ini. Moga Allah redha.
10 Caci Maki Puji Muji:
Let's change ourself first before we change others! Perpaduan, Qudwah ... Allah Allah.
T_T hmm..
http://www.youtube.com/watch?v=dM8XANi4b8g
Jika yang sudah faham makna perjuangan begitu, yang biasa-biasa ini bila dalam situasi sama, lagi teruk dirasakan.
Bila 'yang atas' menunjukkan teladan begitu, yang sakitnya adalah kami yang baru hendak bertatih ni. Belum sempat melangkah, sudah jatuh rebah hingga rasa tak sanggup bangun lagi.
Bak kata APG, sehingga kita sendiri merasakan, seolah-olahnya harapan itu sudah mati.
Benarlah bahawa hanya Allah tempat bergantung harap.
-CQ-
..mungkinkah, kerana manusia tidak ada yg Allah cipta sempurna.walhal,ahli2 jemaah juga manusia biasa..bukan jua diistimewakan untuk dicipta lebih baik dr manusia yang lain.
..Allah tidak mengukur kejayaan kita dalam dakwah itu,tp Allah mengukur sejauh mana usaha kita untuk terus berjuang pada jalanNya..dan Allah pasti meletakkan manusia di level2 tertentu sesuai dengan usahanya..
..Apa yang kita lihat hari ini,adalah ujian bkn hanya untuk mereka yang sedang bertelagah,bahkan kita yang dipilih untuk hanya menjadi pemerhati..
..Dari kita untuk memilih..bagaimana menghadam rahsia2 cinta yang Allah kirim melalui hadiah,bernama ujian..lalu untuk terus melangkah menuju redhaNya..
*semoga terus kuat..di jalan org2 terpilih..jalan yang xpernah menjanjikan hanya suka & xakan pernah sunyi dari air mata..='}
macam mana nak dakwah? takutlah diri pon orang tak nampak lagi qudwah. kalau nonmuslim tanya, kita takahu nak jawab camna?
Dakwah manusia seiring membaiki diri..istiqamah membaiki diri dan kekallah berdamping dgn kumpulan yg baik dan memperbaik..;)
people always taking ig.. dn jalan ni.. mmg penuh air mata.. cuma kita kena kuat.. untuk jadi org yg asing..
"Wahai Rasulullah, sekiranya kita berada di pihak yang benar, mengapa engkau tidak mendoakan sahaja kemenangan untuk kita?"
Tanya seorang sahabat, Khabab bin al-Arat r.a. kepada Rasulullah SAW pada suatu hari.
Apa jawapan baginda?
"Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki yang telah digalikan lubang untuknya, ditanam, kemudian didatangkan dengan sebilah gergaji diletakkan diatas kepalanya dan menggergaji sehingga dipotong dua, mereka yang disikat dengan sikat besi – sehingga bercerai daging dan tulangnya - tetapi perkara tersebut tidak dapat menghalangnya daripada agamanya, sesungguhnya Allah akan menebus perkara ini sehingga manusia boleh berpergian dari San’a ke Hadhramaut tanpa rasa takut kecuali kepada Allah dan serigala terhadap ternakannya, tetapi kamu tergesa-gesa."
Boleh sy tau ni martabat hadis ni dan siapa yg meriwayatkan?
Tq.
Anonymous:
Diriwayatkan Bukhari, taraf sahih.
Boleh rujuk di http://sunnah.com/riyadussaliheen/1/41
Post a Comment