Siddratul Muntaha Aku Datang!
[Kredit] |
Sempena bulan Rejab yang mulia ini, saya ingin berbicara tentang Isra' wal Mi'raj.
Apabila mendengar peristiwa Isra' wal Mi'raj, apa yang terbayang di dalam kepala kita?
Perjalanan penuh mistik Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, berakhir dengan pertemuan baginda dengan Allah di Siddratul Muntaha?
Buraq, sejenis makhluk ajaib yang dinaiki Rasulullah SAW, yang dikatakan bergerak selaju seluas mata memandang?
Pelbagai peristiwa pelik dan ajaib yang dialami Rasulullah SAW, termasuklah bertemu dengan para anbiya' sepanjang zaman juga bakal ahli-ahli neraka?
Seketul batu besar yang dikatakan terapung kerana mahu mengikut Rasulullah SAW naik ke langit?
Rasulullah SAW bersiar-siar riang gembira ke Baitulmaqdis kemudian melancong ke langit pula?
Tersedak.
Macam-macam.
Manusia memang amat mudah terpengaruh dengan kisah-kisah dan hikayat-hikayat, apatah lagi apabila ia ditambah dengan rempah ratus Adabi dan rencah Ajinomoto. Tambah-tambah orang Melayu kita. Goreng pon sodap!
Hakikatnya, ruh atau ibrah daripada peristiwa Isra' wal Mi'raj telah dirakamkan dengan penuh jelas dan simplistik di dalam Quran. Allah berfirman:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesunggunya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
[al-Isra', 17:1]
Mari kita tadabbur ayat ini agar dapatlah kita lebih menjiwai salah satu peristiwa yang terpenting dalam sejarah Islam ini.
Ehem. Betulkan kopiah, walhal tak pakai kopiah pon tapi sebab nak bagi tadabbur mestilah berlagak alim sikit. Eh.
Pertamanya, perhatikan bagaimana Allah memulakan ayat ini dengan 'Subhanalladzi' atau dalam bahasa ibundanya, Maha Suci Allah. Nampaknya seperti tiada apa-apa yang istimewa kan? Namun setiap sesuatu yang tertulis di dalam al-Quran itu bukan kebetulan. Pasti ada sebab-musabab yang cantik lagi mengujakan.
Untuk memahami apa signifikannya Allah memulakan ayat ini dengan kalimah suci itu, penting untuk kita mengetahui apakah sebab Allah telah memperjalankan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam peristiwa yang sungguh epik itu.
Ada beberapa pendapat daripada para ulama' mufassirin dan muhaddithin tentang sebab terjadinya peristiwa Isra' wal Mi'raj ini. Antara yang paling popular termasuklah:
- Berlakunya tahun kesedihan di mana Rasulullah SAW kehilangan dua insan yang paling rapat dengannya; Abu Talib dan Ummahatul Mu'minin, Khadijah binti Khuwailid r.a.
- Penolakan dakwah baginda di Thaif, yang merupakan kemuncak kepada mehnah dan tribulasi yang dihadapi baginda
Eh takkanlah Allah tak dengar doa Nabi?
Ish zalimlah Allah ni, buat Nabi sampai macam tu!
Bagaimana mungkin Allah tidak melihat kesengsaraan baginda...??
Kemungkinan ada para sahabat (atau kita sendiri) yang berfikiran sebegitu, apabila melihatkan ujian dan cubaan yang bertubi-tubi dan bertalu-talu yang menyerang Rasulullah SAW.
Maha Suci Allah. Bukan Allah tidak dengar. Bukankah Dia itu Maha Mendengar?
Maha Suci Allah. Bukan Allah tidak melihat. Bukankah Dia itu Maha Melihat?
Maha Suci Allah. Jauh sekali Allah bersifat zalim. Bukankah Dia itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?
Apatah lagi terhadap sosok yang bernama Muhammad bin Abdullah SAW itu, yang merupakan manusia termulia dan yang paling hampir denganNya!
Aplikasinya sangat besar dalam kehidupan kita sehari-hari. Bukankah Allah yang Maha Agung itu sendiri berfirman:
"Hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
[ar-Ra'ad, 13:28]
Tapi... Mengapa apabila kita sakit perut tercirit-cirit sampai naik biru muka kita, kita bertasbih, sakit itu masih tidak hilang..?
Mengapa apabila kita dilanda tekanan perasaan yang amat sangat kerana kucheng kita mati dilanggar lori, kita bertasbih, namun perasaan kita masih tidak senang...?
Mengapa bila mana kita dimarahi oleh Puan Mama kita kerana terlupa nak tutup gas dapur sehingga meletup hangus dapur rumah kita, kita bertasbih, perasaan muram dan geram masih tidak tenang...?
Kerana kita masih belum mensucikan Allah daripada prasangka dan dzan-dzan kita terhadapNya.
"Wahai Allah. Sampai hati Kau zalimi diri aku begini. Solat aku tak pernah tinggal. Puasa Isnin Khamis aku buat. Sedekah aku perbanyakkan. Tapi mengapa Kau masih timpakan bala bencana sebegini rupa..?"
"Ya Alllllaaaaahhh!! Kenapa ya Allaaaaahhh! Kenapa Kau amik dia dari akuuuu...?? Kenaaappaaaaa....??"
Ok drama.
"Ya Tuhan, saban hari aku tidak berhenti berdoa padaMu. Saban hari aku menanti-nanti Engkau memakbulkannya. Dan saban hari juga Kau terus mengechiwakan aku. Haila."
Subhanallah. Maha Suci Allah daripada prasangka dan su'udzan kita yang tidak bertepi itu.
Kita dianjur untuk berzikir dengan tasbih, tahmid dan takbir tiga puluh tiga kali setiap kali lepas waktu solat itu, bukan semata-mata mahu menambahkan saham-saham sorga kita. Tetapi yang lebih utama daripada itu, adalah untuk membumikan jauh ke dalam hati kita, bahawa Allah itu benar-benar Tuhan kita yang satu. Bahawasanya Dialah yang Maha Agung dengan sifat-sifatNya yang mulia. Dan betapa Dia bebas dan suci daripada sifat-sifat makhluk yang penuh dengan kelemahan itu.
Aplikasinya dalam tarbiyah dan dakwah juga amat praktikal dan tidak kurang pentingnya. Surah dai'e itu, pertama-tamanya menyeru orang kepada Allah. Dakwahnya adalah dakwah rabbani. Perjuangannya adalah mengajak orang untuk memperhambakan diri mereka kepada Allah. Pengorbanannya tidak dan tidak bukan adalah hanya untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Namun apa reaksi kita andai seruan kita ditolak? Apa tindakan kita sekiranya kita dicaci, dihina malah diugut dan dicederakan hanya kerana risalah yang kita bawa? Apa perasaan kita apabila tiada orang yang mahu menyahut panggilan dan seruan kita?
Adakah kita pantas berprasangka pada Allah? Atau mungkin kita memarahi Allah, mencercaNya dengan sangkaan-sangkaan kita yang nista? Atau mungkin kita berputus-asa, tidak yakin lagi dengan kemenangan yang dijanjikanNya...?
Subhanallah. Maha Suci Allah daripada sangkaan-sangkaan kita yang hina lagi jijik itu. Allah, Tuhan yang Maha Gagah dan Perkasa itu, bersih dan suci daripada semua sifat yang tidak selayaknya disifatkan padaNya itu.
Nah, kerana itulah ayat satu surah al-Isra', yang merakamkan peristiwa yang cukup signifikan dan penting itu, dimulakan dengan kalimah tasbih, agar kita menelusuri seluruh peristiwa itu dalam keadaan hati kita yang senang dan tenang dengan perancangan Allah. Agar kita berasa takjub dan kagum dengan ketentuan Allah yang Maha Hebat itu. Agar kita tahu, bahawa perjalanan dakwah Rasulullah SAW adalah perjalanan yang rabbani lagi suci.
Fuh.
Itu baharu satu kalimah. Kalimah tasbih sahaja!
Saya kira cukup dahulu buat masa ini. Khuatir pula saya ada yang terlentok-lentok keluar air liur basi andai artikel ini dijadikan lebih panjang lagi.
InshaAllah, sekiranya diberikan kekuatan dan kesempatan, saya akan menghabiskan taddabur ayat satu surah al-Isra' itu, dalam pengembaraan kita merungkaikan rahsia perjalanan Nabi SAW bertemu dengan Allah 'Azza Wajalla. Biidznillah.
Jangan ke mana-mana!
-gabbana-
Jazakallahu khairan katheera, sedikit rakaman penghargaan buat al-Fadhil Ostad Hasrizal Abdul Jamil, yang telah memberikan perkongsian yang cukup menarik dan berkesan tentang peristiwa Isra' wal Mi'raj semalam. Kebanyakan poin-poin di dalam post ini (dan sambungannya nanti inshaAllah) diambil daripada perkongsiannya.
Moga Allah merahmati dirinya. Senyum.
4 Caci Maki Puji Muji:
Salam broo
Tolong semak kembali. Surah ar-Rad surah yang ke-13 bukan 11. Hewhewhew. Seomga Allah tetap istiqomahkan apg di atas jalan ni.
hurm pat sikit sambung, x sabar ni, baru Subhanalladzi
Betul la APG letak 13: 28..... mane ade 11.... cuba cek balik...anymous
Aku sangat kagum dengan cara penyampaian Inche Gabbana..
tabarakallah
Post a Comment