Penumpang Feri Yang Terlalu Taat
[Kredit] |
Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kejadian sebuah feri yang diberi nama 'Sewol' yang terbalik dan tenggelam di Korea Selatan. Tragedi feri karam itu telah mengorbankan lebih 300 orang penumpang, yang kebanyakannya adalah para pelajar Sekolah Tinggi Danwon.
Ada banyak teori yang dilontarkan untuk menjelaskan bagaimana tragedi itu boleh terjadi. Ada yang mengatakan bahawa muatan kargo di dalam feri itu telah melebihi had yang ditetapkan. Ada juga yang mendakwa feri itu dipandu lebih laju daripada biasa.
Kejadian ini telah menimbulkan kemarahan yang luar biasa pada rakyat Korea Selatan. Pihak kerajaan telah dihentam dengan begitu teruk sehinggakan mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sensitif atau melakukan perkara-perkara bodoh yang boleh menyemarakkan lagi kemarahan rakyat akan dipecat atau diminta untuk meletakkan jawatan. Terbaru, Perdana Menteri Korea Selatan, Jung Hong-won telah meletakkan jawatan kerana merasa bertanggungjawab atas tragedi yang berlaku.
Di sebalik semua itu, apa yang lebih menyayat hati adalah apabila ramai yang terkorban dan majoriti daripadanya adalah anak-anak remaja. Diceritakan bagaimana detik-detik sebelum feri itu karam, arahan telah dikeluarkan oleh anak kapal agar para penumpang tenang dan duduk di tempat masing-masing.
Namun yang paling tidak boleh diotakkan adalah apabila kapten dan anak kapal lari menyelamatkan diri dan membiarkan para penumpang terkapai-kapai menyelamatkan diri masing-masing! Walhal mereka mengeluarkan arahan agar para penumpang tenang dan tidak perlu berbuat apa-apa! Kegilaan.
Arahan itulah yang mungkin telah membunuh begitu banyak nyawa pada hari itu. Dilaporkan bahawa para penumpang yang 'degil' dan tidak mengikut arahan itu sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar dari feri sebelum ia karam.
Namun yang lebih menggaru kepala adalah hakikat bahawa sebahagian besar daripada para penumpang yang terkorban, taat dan patuh pada arahan tersebut. Para penganalisis mengaitkan situasi ini dengan budaya dan tradisi rakyat Korea yang sudah dididik sejak kecil untuk sentiasa patuh dan tidak mempersoalkan apatah lagi melawan orang yang lebih dewasa atau orang yang punya kedudukan yang lebih tinggi.
Meski teori ini masih boleh diperdebatkan, namun dari suatu sudut ada kebenarannya. Dalam suatu budaya di mana elemen ketaatan sudah dibasuhotakkan dan diterapkan sejak kecil lagi, tidak mustahil hatta dalam situasi yang mendesak sebegitu rupa, mereka tidak mampu berbuat apa-apa melainkan patuh dan tunduk pada arahan. Meski arahan yang akhirnya membuatkan mereka sendiri terkorban.
Ketaatan yang akhirnya membawa padah.
Tragedi feri Sewol akan terus dikenang sebagai antara sebuah tragedi kesilapan manusia yang terburuk dalam sejarah. [Kredit] |
Betulkan kolar. Duduk tegak. Ok anda yang di bawah umur bolehlah pergi bermain polis sentri. Kerana penulisan selepas ini mungkin tidak sesuai dengan anda. Wahai!
Dalam beramal jamai'e, elemen ketaatan merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Tanpa ketaatan, sesuatu jemaah akan goyah dan akhirnya hancur, kerana ahli-ahlinya yang masing-masing mahu membawa kepala sendiri. Jemaah yang tidak tersusun adalah jemaah yang tidak munzim dan pastinya sukar sekali untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh jemaah tersebut.
Maka tidak hairanlah, Almarhum Imam al-Banna meletakkan taat sebagai salah satu rukun dalam rukun bai'ah; rukun yang keenam selepas faham, ikhlas, amal, jihad dan pengorbanan. Kerana pentingnya untuk para jundullah taat kepada arahan qiyadah (kepimpinan) bagi memastikan pergerakan para jemaah Islam dapat disusun dengan baik dan berkesan.
Sebagaimana kata-kata Saidina 'Ali r.a.:
"Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan al-haq yang tidak terancang."
Namun malangnya, ada pihak-pihak yang sering menyalahgunakan elemen ketaatan ini. Ketaatan dijadikan senjata untuk menundukkan orang bawahan. Ketaatan dijadikan cemeti untuk menghukum sesiapa sahaja yang mungkin berlainan fikiran dengan kepimpinan. Ketaatan dibuat pasung untuk mengikat para jundiy yang dilihat melawan arus dan tidak mahu mengikut arahan.
Walhal ketaatan itu tidak boleh dipaksa-paksa. Ketaatan itu lahir dari rasa tsiqah dan hormat pada kepimpinan. Malah ketaatan itu lahir dari hati yang ikhlas, rasa kasih dan sayang seorang tentera dalam barisan kepada jeneralnya yang mengeluarkan arahan.
Taat dengan sukarela, bukan paksarela!
Tarbiyah tidak sepatutnya melahirkan para tentera yang dungu, yang hanya mengikut-ngikut tanpa menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk berfikir. Tarbiyah itu sifatnya mengembangkan potensi dan bukannya membantutkan diri. Tarbiyah yang melahirkan para jundiyy pak turut dan 'Ya Tuan!' adalah tarbiyah yang gagal dan jumud.
Mungkin sebab itulah, taat diletakkan selepas faham, ikhlas, amal, jihad dan pengorbanan.
Perlu faham dahulu peranannya sebagai 'abid dan khalifah di muka bumi.
Perlu ikhlaskan diri, segala sesuatu hanya untukNya.
Perlu beramal yang akan melahirkan pengalaman.
Perlu berjihad, bersungguh-sungguh dalam berjuang.
Dan perlu berkorban, agar dari pengorbanan itu akan lahirlah kelazatan iman.
Nah, selepas itu baharulah seorang jundiyy itu diminta untuk taat. Kerana selepas semua itu, baharu bermakna erti sebuah ketaatan itu. Baharu benar ketaatan yang diberikan.
Bukan ketaatan yang sebarangan. Bukan ketaatan yang semberono. Tapi ketaatan yang lahir dari aset pengalaman dan kebijaksanaan.
Perlu juga disebut di sini, Risalah Taalim yang ditulis oleh Imam al-Banna itu (rukun bai'ah yang sepuluh terkandung di dalamnya) ditujukan khas buat ikhwan mujahid, yakni mereka yang sudah benar-benar terbukti jihadnya untuk Islam. Maknanya, sebelum mahu berbai'ah dengan jemaah Islam, mesti ada ciri-ciri dan kriteria tertentu yang perlu dahulu dipenuhi. Agar mereka yang sudah menyatakan kerelaan dan kesanggupan untuk bersama dengan jemaah perjuangan Islam terdiri dalam kalangan mereka yang benar-benar layak dan berkualiti!
Kerana itu juga, dalam fiqh dakwah, amal jamai'e itu hanya datang selepas aqidah yang mantap dibumikan dan dakwah yang kencang dilaksanakan! Kerana fungsi amal jamai'e itu sendiri adalah agar usaha-usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah itu jadi lebih mudah dan berkesan.
Mungkin akan ada yang mengkuot ayat 59 surah an-Nisa' yang femes itu untuk menjustifikasikan ketaatan tanpa sempadan kepada pihak pemerintah/pimpinan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu."
[an-Nisa', 4:59]
Benar ia adalah firman Allah. Benar ia adalah perintah agung dan suci. Namun jangan lupa, sebelum ayat 59 itu ada ayat 58:
"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil."
[an-Nisa', 4:58]
Arakian sebelum ketaatan itu boleh dituntut, terlebih dahulu hak-hak yang sepatutnya mesti dipenuhi. Sebelum mahu para jundiyy taat kepada pimpinan, ada amanah yang perlu dipenuhi. Dan ia mesti dipenuhi dengan adil dan saksama. Wahai!
Baharulah sinergi antara jundiyyah dan qiyadah akan berlaku dengan penuh bergaya. Si jundiyy memandang sang qaid (pemimpin) dengan penuh rasa hormat dan kasih. Dan si qaid pula melihat sang jundiyy dengan penuh harapan mata bersinar-sinar berkaca-kaca agar dapat menggantikan saf-saf jemaah pada suatu hari nanti.
Sebuah jemaah itu juga boleh diibaratkan seperti feri atau kapal yang berlayar di lautan. Ada nakhodanya. Ada anak-anak kapalnya. Ana peonnya. Dan ada para penumpangnya. Benar, si nakhoda dan anak-anak kapalnya lebih arif akan fungsi kapal, lebih berpengalaman akan keadaan laut dan lebih pakar dalam mengemudikan perjalanan. Sayugia bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar dan mudah dan keselamatan seluruh isi kapal terjamin, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli kapal dan para penumpang yang lainnya taat dan patuh pada arahan mereka ini.
Namun para penumpang perlu bijak untuk membezakan, arahan mana yang dikeluarkan untuk kepentingan bersama atau kepentingan diri. Sama ada arahan yang diberikan mengarut atau patut. Dapat membedakan arahan yang baik dan buruk.
Ini.. Ini.. Dalam. Sumpah dalam! [Kredit] |
Kerana ketaatan itu pertama-tamanya pada Allah yang Maha Agung, keduanya pada ar-Rasul yang maksum dan baharulah kepada manusia yang layak menerima ketaatan itu; manusia yang tidak mungkin sempurna buat selamanya! Berpada-padalah dalam ketaatan, jangan sampai ketaatan yang kita berikan itu membawa lebih banyak mafsadah dan mudharat, daripada maslahah dan manfaat.
Jika tidak, andai kapal yang dinaiki mahu karam, maka kita juga akan ikut tenggelam!
-gabbana-
7 Caci Maki Puji Muji:
Yes, tau bezakan yang haq dan batil,baik dan buruk through ilmu,experiences. di sini, akal mengambil langkah seterusnya.
betul sangat. kita kena bezakan yg mana betul. kesian dekat para penumpang sbb si kapten tu pentingkan diri. hurm..
"Tarbiyah tidak sepatutnya melahirkan para tentera yang dungu, yang hanya mengikut-ngikut tanpa menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk berfikir. Tarbiyah itu sifatnya mengembangkan potensi dan bukannya membantutkan diri. Tarbiyah yang melahirkan para jundiyy pak turut dan 'Ya Tuan!' adalah tarbiyah yang gagal dan jumud."
Betul tu inche gabana. Terima kasih sebab ingatkan :D
setuju!
mereka yg sinis akan gerakan jemaah ini suka mempertikaikan isu ketaatan ini. sedangkan mereka hanya duduk ditepi, dan mengeji dengan penilaian sendiri. tanpa mahu bertanya.
Ana peonnya tu apa? (Or was it typo?)
suka sangat. mentadabur setiap kejadian dengan kaca mata kefahaman. Penulisan yang berani. Berani kerana benar.
Hakikatnya pengendalian dan isi usrah lebih banyak penekenannya pada 'form' berbanding 'substance' yang membuatkan usrah menjadi romantisistik. Tidaklah ingin menganjurkan agar semua mutarabbi menjadi pakar falsafah macam Aristotle ata Imam al-Ghazali, namun pengujaan terhadap perbincangan isu-isu yang realistik dan semasa diperlukan agar pemahaman terhadap isi dan maksud sebenar pengisian usrah dapat dihadam dan diterjemahkan dengan tindakan yang membumi dan praktikal.
Post a Comment