10 April 2014

Buah-Buah Chenta

[Kredit]

Antara perkara yang paling sukar dalam hendak menjadi baik dan osem pada pandangan mataNya adalah konsisten dengan kebaikan dan keosemnessan itu. Atau dengan bahasa yang lebih tarbawinya, istiqamah.

Ya, istiqamah.

Istiqamah membaca Quran setiap hari, meski ada banyak perkara-perkara lain yang lebih menyeronokkan diri.

Istiqamah memakai tudung labuh meski teringin juga bergaya mekap tebal seinci seperti wanita-wanita lainnya.

Istiqamah berbulatan gembira walau tersangatlah sibuk mengalahkan Perdana Menteri Sudah Selatan.

Istiqamah bangun malam bermunajat kepadaNya walau sudah hampir setiap hari mata lebam menjadi zombie.  

Istiqamah mengeluarkan infaq mingguan atau bulanan, meski poket kiri dan kanan sudah rabak minta simpati.

Ya, istiqamah untuk taat dan melaksanakan apa yang disukai Allah itu amat sukar. Dan berat.

Begitu berat sehinggakan dikisahkan bagaimana ar-Rasul SAW sendiri beruban apabila turun wahyu yang satu ini:

"Maka tetaplah engkau (di jalan yang benar), sepertimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kau kerjakan."
[Huud, 11:112]

Fastaqim kamaa umirta. Tetaplah engkau. Istiqamahlah engkau.

Sekiranya kita faham betapa signifikan dan seriyesnya ayat ini, saya jamin kita semua akan turut beruban seperti baginda. Silap haribulan, botak licin terus! Wahai! 

Arakian tidak hairanlah, istiqamah ini adalah amalah yang paling dichentai Allah. Walau kecil istiqamahnya. Meski sedikit istiqamahnya.

"Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupon sedikit."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Lantas, bagaimana mahu istiqamah? Bagaimana mahu konsisten dan berterusan dalam beramal dan mendekatkan diri denganNya? Bagaimana mahu tidak berasa lelah dan payah melaksanakan segala arahanNya dan meninggalkan segala laranganNya..?   

Memikirkannya sahaja sudah bisa mengalirkan peluh besar. Waduh.

Jangan khuatir! Jawapannya sudah termaktub di dalam al-Quran. Allah sudah lama membekalkan kita dengan panduan dan bimbingan untuk beristiqamah menerusi ayat-ayat chentaNya.

Ayuh kita sama-sama tadabbur ayat lejen dari surah Ibrahim ini:

"Tidakkah kamu melihat memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.

(Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."
[Ibrahim, 14:24-25]

Aik? Kenapa ayat ini pula Inche gabbana? Apa kena-mengena pokok dengan istiqamah? Garu kepala. 

Ha, itulah yang mahu saya kongsikan tu! 

Istiqamah itu berasal dari perkataan 'qama' yakni berdiri tegak dan lurus. Maka perumpamaan apakah yang lebih baik untuk menggambarkan hakikat berdiri tegak dan lurus kalau bukan sebuah pohon yang baik, yang akarnya membumi dan cabangnya melangit? 

Sungguh mengujakan bukan?

Nah, apakah rahsia untuk istiqamah yang terkandung di dalam dua ayat chenta ini?

Pertama: Akarnya kuat
Akar yang kuat adalah manifestasi kepada aqidah yang mantap dan membumi. Hanya mereka yang benar-benar beriman dan chenta kepadaNya dengan sepenuh jiwa dan raganya sahaja yang benar-benar dapat memaknai istiqamah. Hanya mereka yang sudah tersibghah dengan manhaj dari langit itu sahaja yang akan terus kuat, tabah dan tidak berputus-asa dalam menjadi hamba kepadaNya.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah,' kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir dalam diri mereka dan mereka pula tidak bersedih hati."
[al-Ahqaf, 46:13]

Orang yang dengan penuh keyakinan dan keimanan mengaku bahawa "Tuhan kami adalah Allah" tidak punya sebab untuk berasa khuatir, sedih dan takut apabila berhadapan dengan dunia di luar sana. Dia merasakan dirinya sentiasa dibimbing oleh tanganNya dan dipandu oleh nur dan cahayaNya. Apabila dia ditimpa musibah atau bencana, dia tetap bersabar menghadapinya kerana dia tahu bahawa perancangan Allah pastilah yang terbaik untuk dirinya. 

Oleh sebab itu, aqidah yang mantap adalah asas untuk beristiqamah.

Kedua: Cabangnya menjulang ke langit
Akar yang jauh membumi, pasti akan menghasilkan cabang dan ranting yang melangit tinggi. Aqidah yang mantap, pasti akan melahirkan fikrah yang sejahtera pula. Fikrah di sini bermaksud cara fikir atau ideologi yang memandu hidup kita sehari-hari. 

Andai aqidah kita komunis, pastilah secara otomatik kita akan berfikrah komunis. Jika kita beraqidahkan kapitalisme, cara fikir juga sudah tentu akan berpaksikan kapitalisme. 

Sayugia apabila akar aqidah kita berpaksikan Islam yang tulen, sudah tentulah cara fikir kita dalam menjalani hidup kita diredhaiNya dan sangat hampir dengan cara hidup Rasulullah SAW. 

Hanya fikrah yang benar-benar sejahtera sahaja yang dapat mengekalkan diri kita untuk terus istiqamah. Apabila kita punya fikrah yang benar, hidup kita sehari-hari akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan. 

Nak pakai seluar tiga suku boleh atau tidak. Mahu makan cokolat Ferrero Rocher boleh atau tidak. Mahu masuk ke dalam panggung wayang boleh atau tidak. Mahu lompat banji bersama rakan taulan boleh atau tidak. Mahu berpegangan tangan bermesra dengan zaujah terchenta di khalayak ramai boleh atau tidak. Ehemmm.

Malah fikrah yang sejahtera ini teramatlah penting bagi seorang manusia yang bergelar dai'e ilallah. Hanya dengan fikrah yang jelas dan sahih sahaja dia dapat menentukan apakah thariq amal (jalan amal) dan fiqh dakwah (cara berdakwah) yang paling tepat untuk dilaksanakan dalam sesuatu tempat dan masa. 

Sesuai atau tidak mahu berdakwah kepada bukan Islam. Bagus atau tidak mahu berdebat tentang kalimah Allah. Apa keperluan untuk beryahanana. Perlu atau tidak melakukan kerja-kerja kebajikan ketika umat sedang tenat. Adakah sudah sesuai untuk memasuki fasa dauli (negara) atau belum lagi. 

Begitulah.

Ketiga: Menghasilkan buahnya pada setiap waktu
Buah kepada aqidah yang mantap dan fikrah yang sejahtera, sudah tentu adalah amal yang bermanfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah setiap orang yang berada di sekitarnya. Untuk istiqamah, seseorang itu mestilah beramal dengan apa yang dia faham dan imani, agar dia sendiri dapat merasakan betapa enak dan lazatnya nilai sebuah amal itu. 

Apabila melihatkan orang lain mendapat faedah daripada amalnya, berasa seronok dengan sentuhan-sentuhannya dan hidup dengan bimbingan dan tunjuk ajarnya, baharulah seseorang itu berasa kuat dan bersemangat untuk kekal konsisten dan teguh di atas jalan amal ini.

Dan hebatnya orang yang istiqamah ini, 'tu'ti ukulahaa kulla hiin'; dia bukan sahaja menghasilkan buah, bahkan dia menghasilkan buahnya pada setiap waktu! Walawehhh!
 

Buah durian pon ada musimnya. Pokok manggis pon bukan setiap masa berbuah. Buah mangga manis belakang rumah jiran kita yang selalu kita curi semasa kecil-kecil dahulu, itu pon bukan setiap waktu ia ranum berputik.

Tapi orang yang istiqamah..? Buahnya ranum dan lazat, manis dan segar, dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja setiap masa dan ketika.

Allah Allah. Nanges. 

Lihat sahaja kepada Nabi SAW yang amat kita chenta itu. Dakwahnya mengambil masa dua puluh tiga tahun lamanya - tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Namun buahnya? Subhanallah, sehingga kini kita dapat menikmati manis dan lazatnya Islam!

Terima kasih kepada istiqamahnya Nabi SAW dan para sahabat baginda, buah-buah chentaNya tumbuh subur dan dapat dipetik oleh setiap orang yang melalui pohon Islam  yang rendang dan dedaunnya yang merimbun, lebih seribu empat ratus tahun lamanya.

Tu'ti ukulahaa kulla hiin.

Senyum, lap air mata.   

Keempat: Dengan izin Tuhannya
Akhirnya, istiqamahnya kita di atas jalan ini hanya sahaja dengan ijinNya. Hanya sahaja. 

Maka jangan sesekali lupa untuk bermunajat dan sentiasa memanjatkan doa-doa chenta kepadaNya, agar ditetapkan hati kita di atas jalan ini. Agar dikuatkan jiwa dan ruh kita untuk sentiasa berpegang teguh dengan kebenaran

"Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat); dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya."
[al-Kahfi, 18:17]

Sungguh Allah lah yang memegang hati-hati kita. Dia lah yang menguasai seluruh alam buana dan apa-apa sahaja yang terkandung di dalamnya. Jatuh bangunnya kita, ke depan ke belakangnya kita, maju undurnya kita, semuanya adalah di bawah kekuasaan dan pengetahuanNya yang Maha Agung itu. Arakian siapa lagi yang boleh kita harapkan dan bergantung kalau bukan padaNya..?

Allahumma ya muqallibal qulub, tsabbit qalbi 'ala deenik. Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, Kau tetapkanlah hati kami di atas agamaMu.

Semoga kita semua kekal istiqamah dan tsabat di atas jalan kebenaran ini, biidzni rabbiha. 

Tarik nafas. 

Nah, bagaimana?

Tidak begitu susah kan mahu jadi istiqamah? Tidak mustahil bukan untuk dilakukan?  

Apa? Anda masih ragu-ragu? Masih rasa sukar dan perit? Payah macam nak buat kuih semperit? Eh.

Nah, mungkin ini akan membantu.


"Sesungguhnya orang-orang yang berkata 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka istiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan sorga yang telah dijanjikan kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30]

Kalau bukan malaikat-malaikat yang turun untuk menenangkan kita, saya tidak tahu apa lagi yang dapat memujuk kita untuk istiqamah.

Kalau bukan kerana janji Allah berupa sorga yang luasnya lebih luas lagi dari langit dan bumi, saya tidak tahu janji apa lagi yang dapat membahagiakan kita untuk istiqamah. 

Dan kalau bukan kerana Nabi SAW dan para sahabat telah pon menunjukkan jalan-jalannya kepada kita, saya tidak tahu apa lagi yang dapat meyakinkan kita untuk kekal istiqamah. 

Istiqamahlah, agar kita dapat merasakan betapa lazat dan manisnya buah-buah chentaNya.

Senyum.

-gabbana-

Maaf, terasa begitu lama tidak menulis. Semuanya gara-gara sibuk menguruskan tempahan buku pertama saya.

Doakan agar ia tidak menjadi fitnah, apatah lagi jahiliyyah yang menghambat jiwa. Doakan agar ia akan menjadi buah-buah chenta, yang dapat dinikmati anda semua. Senyum.

11 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 10/04/2014, 12:14  

Tanggungjawab melebihi masa yg ada.
It's proven.
Fastaqim kamaa umirta.
#pray4misr#

Anonymous 10/04/2014, 12:35  

Inche kan, blh tanye, bila u tulis ni, betul2 u rasa or sebab u nak perkara ni rasa kat hati.
Sbb kdg2 teruja jgk bila u tulis dgn penuh semangat dan bertubi2, but, really bila kita x selalunya rs camtu....
Mcm betul ke apg ni? Dia ni mcm x penah down jer.
Maybe bkn down la, tapi hidup biasa2 aja.
Ke mmg hidup as selebriti ni mmg teruja saja?
Jealous nya kat org2 mcm apg nih!

Unknown 10/04/2014, 16:21  

yippi!! ada entri baru. walaupun mula-mula malas nak baca sebab panjang, tapi bila dah baca susah nak berhenti.

Unknown 10/04/2014, 18:25  

oh ye...donut dan falafel apa citer?? huhu..:)

Adzrif 10/04/2014, 19:00  

"Lihat sahaja kepada Nabi SAW yang amat kita chenta itu. Dakwahnya mengambil masa dua puluh tiga tahun lamanya - tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Namun buahnya? Subhanallah, sehingga kini kita dapat menikmati manis dan lazatnya Islam!"

Betul tu. Ya Allah, sampaikan salam rindu kami kepada Rasulullah. Ya Rasulullah, wait us at jannah !

Anonymous 10/04/2014, 21:27  

ya en gabbana,

saya jahil, ini .. apa doa utk hilangkan kejahilan ...

Anonymous 11/04/2014, 11:51  

Buku? Cana nak beli? Kami dari Brunei nak beli jua. ^__^ In shaa ALLAH semoga ALLAH redha akhi.

SHAFIKA AMIN 12/04/2014, 14:01  

Allahuakbar.. sedih mengenang diri sendiri. :'(

El_Fatih 13/04/2014, 08:08  

Entry yg menarik
Ayt pon fehh Bm A plus haa 🔝

Anonymous 19/04/2014, 04:55  

Jazakallah kher ^^

Unknown 21/04/2014, 19:43  

Buah yang manis.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP