27 January 2014

Sesat

[Kredit]

"Bang, kita nak ke mana ni...?"

Lutfi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kedengaran bunyi penggera menandakan pintu monorel yang dinaiki akan ditutup.

Ketiaknya masih melekit dengan peluh dek berjalan kaki dari Stesen LRT Dang Wangi ke Stesen Monorel Bukit Nanas. Sudahlah cuaca di siang itu cukup panas. Menggigit-gigit kulitnya.

Dikebas-kebasnya baju kemeja yang dipakainya pada angin pendingin hawa monorel. Hidungnya sedikit kembang dek bau masam bajunya. Matanya masih tertumpu pada Shahrizan, masih ternanti-nanti jawapan daripada murabbinya itu.  

Shahrizan hanya tersenyum. Nakal. 

"Tunggu je lah. Nanti anda tahulah."

Lutfi menyepetkan mata dan mengerutkan dahinya, tanda tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Namun dia terpaksa mendiamkan diri sahaja, mengenali diri si murabbi yang kuat berahsia. Dia menjeling kepada ahli-ahli usrahnya yang lain - Azril, Anis, Rayyan, Yazid dan Maulana - dengan harapan ada dalam kalangan mereka yang tahu arah tujuan mereka hari itu.

Melihatkan wajah-wajah mereka yang blur, Lutfi hampa. Mereka juga seperti Lutfi, tertanya-tanya ke manakah Shahrizan akan membawa mereka.

Lutfi mengambil keputusan untuk menikmati sahaja pemandangan di luar monorel. Dia merapatkan badannya pada tingkap monorel. Nafasnya yang panas membentuk wap pada tingkap kaca yang sejuk. Dicampakkan pandangannya pada pemandangan di luar sana.

Bangunan pencakar langit. Manusia berlari-larian mahu melintasi jalan. Kereta beraneka warna dan rupa dipandu perlahan. 

Hutan batu. Hutan batu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.   

"Raja Chulan. Raja Chulan."

Lutfi melirih pandangannya pada Shahrizan, mahu tahu sama ada itu adalah stesen perhentian mereka. 

Senyuman. Hanya senyuman. 

Lutfi menggeleng kepalanya sambil tersenyum kelat. Lantas, dia menyambung aktivitinya menikmati pemandangan di luar.

Melintasi bangunan HSBC yang cukup tinggi, kini bilangan jumlah pejalan kaki bertambah ramai. Sibuk. Jalan juga semakin sesak. Dari atas, Lutfi dapat melihat beraneka ragam dan rencam manusia.

Ada yang memegang beg-beg kertas yang banyak, baharu pulang dari membeli-belah agaknya. Dan kebanyakan golongan ini adalah sepasang lelaki dan perempuan; yang lelaki berseluar tiga suku dan berjambang dan yang perempuan pula kebanyakan bertudung labuh hitam. Ada yang berpurdah. Pelancong dari tanah Arab.

Ada yang berkulit hitam, berbaju kemeja cerah dan berseluar jeans. Lutfi tidak dapat membezakan sama ada mereka ini orang Pakistan atau Bangladesh. Tetapi jumlah mereka agak ramai.

Dan sudah tentu, tidak kurang juga bilangan orang Malaysia sendiri yang berpeleseran, sama ada berdiri, menunggu untuk melintas jalan atau berjalan-jalan seperti tiada arah tujuan. Ada yang bertudung, berseluar pendek, berbaju T, bertopi, Melayu, Cina, India... Semuanya ada!

Entah mengapa, hati Lutfi tidak semena-mena berdebar-debar. 

"Bukit Bintang. Bukit Bintang." 

Shahrizan mencuit bahu Lutfi. Dia tersenyum. Dia menggerakkan kepalanya, isyarat untuk turun di stesen itu. Shahrizan juga memberi isyarat pada yang lain bahawa mereka perlu keluar sekarang.

Bukit Bintang...? 

Terbeliak sedikit mata Lutfi, tanpa disedari dirinya. Spontan.

Nak buat apa kat Bukit Bintang? 

Lebih separuh orang di dalam monorel itu turut turun di stesen Bukit Bintang. Namun dalam sekelip mata, monorel itu dipenuhi semula oleh mereka yang sudah lama menunggu untuk tren datang. Sukar juga untuk mereka keluar dari tren dek orang ramai yang merempuh masuk, tidak sabar-sabar untuk menaiki tren.

"Err kita nak buat apa bang kat Bukit Bintang? Abang nak beli gajet ke?"

Soalan itu terpacul keluar dari mulut Yazid. Soalan yang terbuku di hati semua anak usrah Shahrizan. 

Sekali lagi, Shahrizan menghampakan mereka dengan hanya gelengan dan senyumannya. Dia hanya mengisyaratkan anak-anak buahnya itu untuk mengikutinya sahaja. 

Mereka akur. Meski perasaan ingin tahu itu cukup kuat, namun mereka terpaksa mengikut rentak permainan Shahrizan. Dan jauh di sudut hati mereka, mereka tahu yang Shahrizan tidak mungkin akan mengecewakan mereka.

Mereka menuruni anak tangga, menyertai puluhan, mungkin ratusan manusia yang memenuhi kaki-kaki lima kawasan Bukit Bintang. Suasananya cukup hiruk. Manusia dengan beraneka ragam dan perangai yang bermacam, menyebabkan segelintir daripada mereka kecut perut. 

Untuk Rayyan dan Maulana, itulah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke Bukit Bintang. Berasal dan dibesarkan di kampung, belum sampai setahun lagi mereka bermastautin di Kuala Lumpur. Selama ini mereka hanya mendegar sahaja kelejenan tempat itu. Namun hari itu buat pertama kalinya mereka berpeluang untuk melihat sendiri apa yang hebat sangat tentang kawasan yang terletak di dalam segi tiga emas Kuala Lumpur itu. 

Shahrizan berjalan laju, mendahului mereka semua. Azril yang khusyuk memerhatikan gelagat manusia, terkejar-kejar untuk menyertai mereka apabila menyedari yang dia sudah tertinggal di belakang. 

Dari jauh kelihatan logo McDonalds yang cukup besar, gah menghiasi premis restoran makanan segera itu. Lutfi dan Anis saling berpandangan dan serentak mereka menyebut, "Boikot!" Mereka tertawa kecil. Shahrizan turut tersenyum melihatkan telatah anak-anak buahnya. 

Di simpang empat berhampiran McDonalds itu, Shahrizan berhenti. Dia memberi isyarat kepada anak-anak buahnya untuk melintas jalan. Mereka menunggu lampu isyarat untuk bertukar merah dan isyarat melintas jalan bertukar hijau. 

Sebaik sahaja lambang lelaki melintas bertukar hijau dan mengeluarkan bunyi, mereka segera melintas jalan, bersama dengan puluhan pejalan kaki yang lain. Mereka bertembung dengan begitu ramai pelancong asing dari arah bertentangan.

"Weh, rasa macam bukan kat Malaysia pulak. Ramai gila pelancong asing!"

Rayyan berbisik kepada Lutfi. Lutfi hanya menganggukkan kepalanya. Dia juga menyedari perkara yang sama.

Meski Lutfi adalah anak jati Kuala Lumpur dan itu bukanlah pertama kali dia ke kawasan Bukit Bintang, namun entah mengapa, perasaannya lain macam hari itu. Pertama, mungkin juga kerana sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke situ. Dan keduanya, itulah pertama kali dia ke situ sejak bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah. 

Dia terasa janggal. Tidak selesa.

Dahulu, dia dan rakan-rakannya sering juga ke kawasan Bukit Bintang. Terutamanya ke Sungei Wang untuk lepak-lepak dan berpeleseran. Kadangkala ke tingkat paling atas, tempat ramai remaja sebaya dengannya berhibur. Kadangkala, mereka akan ke Berjaya Times Square untuk menonton wayang dan bermain boling. Atau kadangkala, sekiranya ada wang saku yang lebih, mereka akan ke Pavillion untuk berkaraoke dan melepak di kedai kopi dengan secawan kopi berharga lebih RM8! Pendek kata, Bukit Bintang bukanlah tempat yang asing buat Lutfi. Bukit Bintang adalah sorga dunia!

Ah jahilnya aku.

Terasa mahu berdarah mata Lutfi melihat wanita-wanita berambut perang dan bermata biru yang mengenakan pakaian seakan-akan pakaian musim panas di negara mereka. Wanita-wanita tempatan boleh tahan juga, sehingga kadangkala Lutfi tidak mahu percaya bahawa mereka adalah wanita sebangsa dan seagama dengannya. Bukan sekali dua Lutfi terlanggar orang ramai yang berjalan dari arah bertentangan, semata-mata kerana mahu menundukkan pandangannya. 

Jika dahulu sudah pasti dia... Astaghfirullah.

Lutfi sempat menjeling pada ahli-ahli usrahnya yang lain. Melihatkan raut wajah mereka, Lutfi tahu mereka juga berkongsi ketidakselesaan yang sama dengan apa yang Lutfi rasakan. 

Tiba-tiba, entah mengapa, timbul pula rasa geram pada Shahrizan dalam benak Lutfi. 

Ish apa yang dia nak buat ni? Apa yang dia nak buktikan...??

Ketika itu juga Maulana mencuit lengan Lutfi. Matanya sedikit terbeliak.

"Lut.. Kau tengok tu.. Allah..."

Lutfi segera memandang pada arah yang ditunjukkan Maulana. Beberapa orang lelaki Arab sedang khusyuk menghisap syisya sambil bergelak tawa. Pada raut wajah mereka tampak jelas yang mereka sedang menikmati keseronokan. Keasyikan. 

"Ha, kenapa...?"

"Ish... Orang Arab pon hisap syisya ke Lut...? Selama ni, aku punyalah respek pada deme ni. Aku anggap, deme ni lah gambaran orang Islam yang sebenar. Nabi kan ke turun kat Arab..? Bukan patut deme ni ke yang paling faham Islam..? Tapi..."

Jelas terpancar kekecewaan pada raut wajah Maulana. Berkali-kali Maulana menggelengkan kepalanya.

Lutfi hanya tertawa kecil. Tidak disangkanya Maulana selurus itu. Namun dia dapat memahami perasaan sahabatnya itu. Malah jauh di sudut hati Lutfi, dia juga dapat merasakan perasaan yang sama. Kecewa.

Tiba-tiba langkah Shahrizan terhenti. Yang lain-lain turut ikut berhenti. 

Sharizan memandang ke atas. Ke aras papan tanda yang menjadi identiti kepada bangunan yang tersergam indah dan mewah di hadapan mereka itu.

Piccolo Hotel.

Rata-rata mereka terbeliak mata apabila melihat Shahrizan berjalan selamba dan melangkah masuk, menuju ke lobi hotel. Shahrizan sempat berpaling dan memberikan senyuman nakal kepada mereka semua. 

"Eh awat tercegat lagi tu? Meh ah. Kita dah sampai destinasi kita."

Yazid dan Anis berpandangan. Begitu juga Azril, Rayyan dan Maulana. Seperti tidak mahu percaya. Namun mereka segera mengorak langkah apabila melihat Lutfi mendahului mereka.  

Masing-masing terpaku melihat Shahrizan berurusan di kaunter hotel. Dengan pantas dan mudahnya, Shahrizan sudah memperolehi kunci bilik.

Lutfi mengangkat kening.

Uishh. Biar betul. Hebakkk!

"Ok jom, bereh dah."

"Err jom? Jom pegi mana bang?"

"Jom naik bilik ah!"

Shahrizan tersenyum lagi. Senyuman kepuasan. 

Masing-masing tidak tahu bagaimana mahu memberikan maklum balas. Mereka seakan-akan terkesima. Seperti dijampi serapah, menjadikan mereka tidak dapat berfikir dengan sendirinya.

Mereka hanya menuruti Shahrizan yang sudah pon berjalan menuju ke lif. Terkulat-kulat Rayyan, kagum melihat keindahan dan kemewahan lobi hotel. Pertama kali agaknya dia masuk ke dalam hotel seurban itu. 

Shahrizan menekan butang lif untuk ke tingkat atas. Lutfi dan yang lain-lain berdiri di belakangnya. Berdebar-debar. Entah mengapa kali ini tidak terpacul dari mulut sesiapa pon, apakah gerangan yang akan berlaku. Tidak berani agaknya untuk bertanya. Atau tidak mahu merosakkan kejutan yang bakal dibongkarkan. 

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, beberapa orang keluar dari dalam lif. Dua orang mat saleh. Sebuah keluarga yang nampaknya seperti dari India. Dan seorang petugas hotel. Shahrizan mengangguk hormat pada petugas hotel tersebut, sebelum masuk ke dalam lif. Yang lain-lain langsung menurutinya dengan patuh. 

Shahrizan menekan butang angka '9' sebelum menekan butang tutup. Hanya mereka sahaja yang ada di dalam lif. Mujur. Tiada siapa yang bersuara di dalam lif. Diam membatu. Hanya bunyi nafas segelintir daripada mereka yang kedengaran. 

"Berrrpppp. Oppss asif. Alhamdulillah."

Sendawa Anis itu memecahkan keheningan. Gelak tawa yang menyusul akhirnya mengendurkan ketegangan suasana.

Tiba di tingkat sembilan, Shahrizan mengisyaratkan untuk kesemua mereka keluar. Dia yang terakhir keluar sebelum pintu lif tertutup. 

Dia mencari-cari papan tanda yang mempamerkan nombor bilik. Jelas keterujaan pada matanya apabila akhirnya dia ketemu apa yang dicari. Pantas dia berjalan menelusuri koridor hotel sebelum dia berhenti di hadapan sebuah bilik. 

Bilik 924.

***

Malam itu mereka keluar untuk menyaksikan gelagat manusia di Bukit Bintang. Jam ketika itu menunjukkan pukul sebelas tiga puluh tiga minit malam.

Kini baharulah Lutfi faham mengapa Shahrizan sengaja memilih lokasi panas itu sebagai tempat pertemuan mereka hari itu. 

Siang tadi, selepas berehat-rehat sebentar di bilik, Shahrizan akhirnya menjelaskan kepada mereka semua apa tujuannya mereka berusrah di Hotel Piccolo, di tengah-tengah Bukit Bintang itu. Shahrizan mahu mereka merasakan sendiri apakah yang dimaksudkan dengan jahiliyyah. Shahrizan mahu mereka melihat sendiri realiti umat manusia di zaman ini. 

Selama ini mereka hanya mendengarnya di daurah dan majlis-majlis ta'lim. Selama ini mereka hanya mengangguk-angguk di dalam usrah, mempercayai sahaja apa yang diceritakan kepada mereka. Dan selama ini, mereka hanya membacanya sahaja, sama ada di alam maya atau media massa. 

Kali ini mereka bakal merasainya sendiri. Kali ini mereka akan melihat dengan mata kepalanya sendiri. Dan kali ini, mereka akan lebih faham mengapakah taghut dan jahiliyyah itu adalah musuh besar yang sentiasa bekerja keras untuk menghancurkan perjuangan dakwah.

Ainul yaqin. Haqqul yaqin.

Di kesempatan itu, Shahrizan mengajak anak-anak buahnya untuk duduk dan membedah Muqadimmah Fi Zilal al-Quran, karya agung Sayyid Qutb itu. Sepanjang tempoh itu, Shahrizan tampak benar-benar serius. Dengan penuh perasaan dan emosi, dia menghuraikan satu-persatu kata-kata nukilan Sayyid Qutb.

"....jahiliyyah berkecamuk di muka  bumi ini dan aku melihat cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku berasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang?"

Meremang bulu roma Lutfi mendengar perkongsian Shahrizan yang penuh bersemangat. Tidak pernah dilihatnya Shahrizan sebegitu rupa sebelum ini. Hidup. Berapi. Benar-benar menggugah! 

Dan malam itu, mereka menjadi saksi kepada kata-kata Sayyid Qutb itu.

Keluar sahaja dari perkarangan hotel, maksiat sudah terbentang di depan mata. Tidak jauh daripada tempat mereka berdiri, kelihatan sekumpulan anak gadis berpakaian seksi terkinja-kinja menari. Mereka dikelilingi oleh makluk-makhluk rakus yang menunggu masa untuk menerkam mangsanya. Muzik yang membingitkan menjadi wirid dan zikir mereka.

Bukan setakat Rayyan dan Maulana yang terbeliak mata melihat gelagat manusia di Bukit Bintang itu, hatta Yazid dan Azril, yang kononnya budak bandar itu pon seperti tidak percaya dengan apa yang mereka lihat. 

Itu belum lagi dikira dengan anak-anak muda yang berpeleseran dengan pasangan masing-masing. Tiada batas yang menghalang. Tiada siapa yang menentang. Bebas. Bebas! 

Mat-mat Saleh dengan tin-tin arak mereka. Minah-minah Saleh yang terhuyung-hayang, bergelak tawa, berpelukan dengan pasangan masing-masing. Yang tak Saleh pon tidak mahu ikut ketinggalan! Tiada beza pada perilaku dan akhlak mereka. Yang membezakan mereka hanyalah warna kulit dan rambut mereka sahaja! 

Lutfi mengurut dadanya. Dia hanya mampu beristighfar. 

Maulana datang mendekatinya. Lutfi terkejut. Ada air mata yang membasahi pipi sahabatnya itu.

"Lut.. Tolong aku Lut. Tolong aku... Aku tak sanggup. Jom lah balik. Jomlaaah... Kenapa kita ada kat sini...?"

Lutfi hanya mampu memeluk sahabatnya itu dan mengukirkan senyuman buatnya. Sekuntum senyuman yang pahit. 

Lantas Lutfi teringatkan sepotong ayat dari surah al-Falaq, yang sering dikongsikan olehnya dengan anak-anak usrahnya. 

"...dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita."

Aku berlindung denganMu dari kejahatan makhlukMu yang bernama manusia, ya Allah!

Tidak lama selepas itu, Shahrizan mengajak mereka untuk duduk dan bermuhasabah, di tengah-tengah lautan maksiat itu. Dia memilih suatu tempat yang sedikit sunyi, agak jauh dari hiruk-pikuk kekalutan manusia. 

"Nah, anda semua sudah melihatnya sendiri bukan...? Anda sendiri sudah menjadi saksi betapa sakit dan nazaknya umat ini! Umat ini sedang menuju kehancuran tanpa mereka sendiri menyedarinya. Umat ini sedang kelemasan tanpa ada sesiapa yang mahu menyelamatkan mereka!

Dan kita masih mahu berdiam diri..? Dan kita masih mahu larut dan leka dengan bulatan-bulatan gembira kita? Masih mahu berlakon pada pentas dakwah kita? Dan terus membiarkan mereka ini hanyut dan terus hanyut...??

Kita zalim ikhwah! Zalim! Apabila kebenaran yang telah kita perolehi, nikmat hidayah yang telah kita nikmati, tidak kita kongsikan dengan sejumlah besar manusia di luar sana. Kita zalim apabila kita bermalas-malasan, tidak bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan umat manusia yang sedang tenat itu. Kita zalim masa yang kita ada, kita bazirkan untuk perkara-perkara lagha, perkara-perkara yang langsung tidak menguntungkan dakwah ini! 

Kita masih mahu berlengah-lengah..?? Kita masih mahu memberikan alasan...?? Apa yang kita nak jawab di hadapan Allah nanti..? Apa yang kita nak jawab di hadapan sekalian manusia ini nanti...??"

Sebak Lutfi mendengarnya. Dia tidak berani mengangkat mukanya. Tidak berani untuk berhadapan dengan realiti. 

Maulana yang duduk di sebelahnya teresak-esak. Naik turun bahunya. Naik dan turun. 

"Dan kita..."

"Kamu semua ni buat apa di sini..?"

Tidak semena-mena seorang lelaki datang menegur mereka. Rupa-rupanya pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan tempat mereka duduk-duduk itu. 


Shahrizan memandang lelaki itu dengan penuh mesra dan hormat.

"Saja duduk-duduk bang. Borak-borak sikit."

"Kamu ni mesti tengah bincang benda-benda yang ekstrem kan? Sudah sudah! Kamu tidak boleh berkumpul macam ni. Lewat-lewat malam pulak tu. Balik balik!"

Shahrizan mengerut dahinya. Tampak rasa tidak puas hati pada raut wajahnya. Namun Anis dahulu yang bersuara.

"Lah bang, apa yang tak boleh berkumpulnya? Ekstrem? Tu ha, budak-budak kat sana tu. Terkinja-kinja macam monyet. Lagi ekstrem! Dia orang berkumpul macam tu boleh pulak...??"

"Diorang tu bukan hal saya. Diorang tak duduk dekat bangunan ini. Kamu semua dah kira menceroboh harta benda peribadi!"


Anis dan Yazid mahu memprotes, apabila Shahrizan memberikan isyarat agar mereka bersabar.

"Baik bang. Maafkan kami. Kami tak tahu ni harta benda peribadi. Maaf ye?"

Timbul rasa kagum dalam diri Lutfi melihatkan akhlak yang ditunjukkan murabbinya itu. Jika diikutkan hatinya, dia sendiri terasa seperti mahu menghadiahkan pengawal keselamatan itu dengan sebiji penumbuk. 

Mereka semua mengambil keputusan untuk berjalan pulang ke hotel sahaja. Menyambung sesi muhasabah di dalam bilik sahaja. Lebih tenang. Tidak perlu pening-pening.

Dalam perjalanan pulang, tiada tanda-tanda bahawa aktiviti-aktiviti sekalian kupu-kupu dan laron-laron malam akan reda. Malah kelibat-kelibat manusia yang mahu berhibur dan berpeleseran tampak semakin rancak. Muzik semakin kuat.Asap roko dan syisya semakin menebal.

Jelas pada raut wajah Lutfi dan rakan-rakannya kesugulan yang mencengkam. Muram. Benci. Sedih. Jujur mereka keliru. Mereka dihambat dengan pelbagai rasa dan emosi. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan umat manusia yang sedang nazak itu. 

Maulana sempat berbisik kepada Lutfi.

"Sumpah inilah kali pertama dan terakhir aku jejakkan kaki ke Bukit Bintang ni!"

Lutfi hanya mampu memandang sahabatnya itu dengan pandangan belas.  

Lutfi memandang manusia-manusia di sekelilingnya. Dia menarik nafas yang dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia simpati. Kasihan. 

Sampai bilakah mereka akan terus sesat sebegini..?

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya?"
[al-Jatsiyah, 45:23]

Atau aku yang sesat? Tersesat di sebuah planet asing bukan untuk manusia bergelar hamba...?

-gabbana- 

Cerpen ini diolah berdasarkan kisah sebenar. Saya sendiri sebak apabila mendengar kisah ini daripada mulut seorang al-akh terchenta. 

Pengalaman yang cukup ngeri, namun menghidupkan. Pengalaman yang cukup memukul dan menyedarkan.

Moga kita semua bangkit dari lena yang panjang ini. Nanges.

11 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 27/01/2014, 12:53  

serius sebak story ni.

Unknown 27/01/2014, 13:09  

saya tertunggu tunggu cadangan dan elaborasi penyelesaian kepada masalah kesesatan yang digambarkan. selalunya inche gabbana akan ada plan of solutions

Unknown 27/01/2014, 13:18  

pengalaman yg hampir sama, cuma tak se'detail' penceritaan ini, saya takut apabila berada dikalangan persekitaran begini, cuma bezanya, bukan di Malaysia, di sebuah kota metropolitan Jepun. Mereka bukan negara islam seperti kita.
saya juga nak tahu, apa plan of solution dari inche gabbana utk menyelamatkan umat yg kian tenat?

Anonymous 27/01/2014, 13:25  

Sebak... Tafsir fizilal tu acap Kali sy dgr tp... X sedalam nih sy rasakan parah... Even bukit bintang x penah sy anggap sbagai kancah maksiat dsebabkan terlalu bnyak Kali pergi ke sana... Mula2 mmg x sedap hati... Tapi lama2 pndangan itu sudah jadi kebiasaan.... Adakah sy juga seperti mereka.. Apabila hati sy sudah lngsung tidak trusik melihat maksiat Dan jahiliah didepan Mat. .. Allah :'(

UbatPensil 27/01/2014, 15:36  

baca baca baca lama2 mata jadi kabur. tak nampak dah tulisan.

masuk habuk rupanya

Anonymous 27/01/2014, 16:41  

solusinya apa? kita insan kerdil, kalau ada usaha pon yg mmbuahkan hasil itu juga kecil..jadi bagaimana? kita tiada kuasa nak mengubah segala kejahilan ini..mmg ramai org akan kata lebih baik usaha yg kecil dr x buat apa2, nak berdakwah tapi matlamat besar kita, seoalah kita tak nampak..

apa percaturan sebenar yg inche gabbana cuba gambarkan untuk umat islam yg dh punya kefahaman untuk terus pasakkan jatidiri islam dalam masyarakat secara seluas-luasnya?

Anonymous 27/01/2014, 21:25  

Pergi lah situ lagi, pergi rramai. Pakai jubah putih dan berserban/ berkopiah. Lepas tu duk lepak dlm group kt tempat umum, 3-4 org pon ok. Bawa al-quran dan baca. Kalau ade yg Englsih translation, ok jgk.
Mana tau ada hamba lain yg curious tengok apa yg korang buat dan baca. That's for a start. Amacam? Seriously! sincerely.. Jgn berenti setakat observe dan conclude jer, but act. Ade bran?
Terpegun dengar cerita, mat arab pakai jeans baca al-quran mini dlm trem kat mesir.Teringin nk tengok.
apg buat lah story kt urban cairo lak.

Anonymous 28/01/2014, 12:20  

Terbukti, al quran bukan untuk bangsa arab dan memahami bukan dalam bahasa arab.


kerana bahasa alquran adalah bahasa malaikat. Bahasa perintah.

Respon yang terlalu berlebihan.
Daie sebenar ialah daie yang tenang tidak tergugah oleh apapon. Sama ada dalam zon selesa bersama usrah perkumpulan biah solehah apalagi mengitari pesona kemungkaran begitu. Sepatutnya, TENANG bukannya bahkan makin gelisah resah.

Mengapa perlu resah gelisah andai hatimu cukup ditarbiyah?

Rasulullah saw menyebarkan ilmu iman di zaman jahiliah yang lebih ganas dari ini, siap di ancam bunuh. Masih steady. Takda pon cerita TAKUT, BIMBANG, GELISAH.

Itu bermakna, masih ada pengisian paling UTAMA yang hilang dari usaha usrah ini. Amalan hati.

Iman kalau tidak dicabar ia tidak meningkat. Sekian

Anonymous 28/01/2014, 12:51  

astaghfirullah

Dr. Doyot 29/01/2014, 08:44  

Pengalaman masa saya kerja kat bukit bintang lepas spm dulu. Dekat tmpt kerja lelaki x boleh solat jumaat, kena bergilir ikut minggu, tu pon belum tentu, dan yang parah bos ialah islam. Kemudian tempat solat alahai..stor lagi cantik..huhu. Alhamdulillah survive dgn keadaan sana.

Kemudian balik dari kerja akan tgk budak2 muda lepak2 buat breakdance..hmm..kesian tgk diorg mcm x de hala tuju. Dan kemudian lalu dekat sidewalk org2 Arab hisap syisya, masa tu kat Malaysia x de lagi akta Haram hisap SYisya, plus bagi orang Arab laki dan perempuan itu adalah biasa.

Dan kalau x de bus, saya akan lalu shorcut ke KLCC, utk ambik LRT. lagi la haru masa tu, maksiat terang2. kadang2 rasa nak pergi tegur je akak2 and abg2 kat situ supaya stop, tp takut sbb sorang.nguhuhu..

Solution, DNT kena laju, mcmana nak prevent kalau maksiat bercambah lebih cepat dari DNT. (Nota buat diri jugak).Da'ie kena lebih berani. mungkin kita kurang teknik berdakwah kot.X tau mcmana nak tegur masyarakat mcm ni

Anonymous 29/01/2014, 11:00  

apa reaksi @ tindakan yg wajar kita ambil sbg daie utk mghadapi situasi ini?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP