10 December 2013

Formula Yang Dilupakan

[Kredit]

Anda tidak berasa pelikkah, meskipon pelbagai tips dan panduan telah diberikan kepada seorang pelajar sekolah menengah yang akan mengambil SPM, termasuklah membuat persediaan lebih awal, menjawab soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya, membuat latihan latih tubi, malah sehingga memakan kismis minda dan minum air yang sudah dikhatamkan Muqaddam seribu kali dan direndam dengan sarang anai-anai yang makan Quran sehingga juz 27, namun pelajar tersebut masih tidak berjaya untuk skor dalam peperiksaan tersebut?

Atau tidak berasa pelikkah anda, apabila seseorang yang sangat terinspirasi untuk menjadi seorang usahawan, lantas mendapatkan nasihat daripada mereka yang telah pon berjaya, tidak cukup dengan itu, dia hadiri pula seminar-seminar dan kursus-kursus yang memberikannya panduan dan formula untuk berjaya, ditambah pula dengan segala tok nenek buku panduan dan motivasi yang ditulis oleh pakar-pakar dalam bidang bagaimana nak jadi kaya, namun dia masih tidak kaya-raya..?

Atau tidak berasa pelikkah anda, dengan seorang ahli sukan yang bercita-cita mahu menempa nama dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa, lalu mendapatkan bimbingan daripada ahli-ahli sukan yang sudah pon dikira berjaya, ditambah pula dengan kelas-kelas dan forum-forum yang dihadiri bagi memberi tips dan mendedahkan rahsia bagaimana mahu menjadi seorang atlet yang sukses, kemudian dengan testimoni-testimoni oleh atlet-atlet yang telah pon menggegarkan dunia sukan tentang formula untuk menjadi seorang atlet yang benar-benar berkualiti, namun akhirnya dia masih tidak mampu untuk menggapai cita-citanya itu...?

Pelik kan? Sedangkan segala tips dan panduan telah diberikan. Entah bermacam bimbingan dan rahsia telah ditunjukkan. Semuanya memberikan jaminan, sekiranya formula dan panduan ini diikuti, dipatuhi dan diamalkan dengan penuh berdisiplin, konsisten dan bersungguh-sungguh, tiada yang lain yang akan diperolehi melainkan kejayaan. 

Jadi mengapa mereka ini masih tidak berjaya mencapai apa yang diinginkan? Mengapa mereka masih gagal untuk menempa kejayaan, meski beraneka nasihat, panduan dan tips telah diberikan..?

Pelik kan...?

Fenomena yang sama berlaku dalam dunia tarbiyah dan dakwah. Pelbagai tips, cadangan dan nasihat telah diberikan oleh para 'alim ulama', shuyukh dan asatizah tentang formula kebangkitan ummah, berdasarkan kajian mereka yang mendalam terhadap al-Quran, hadith dan sirah Nubuwwah. Ratusan, malah ribuan naskhah kitab dan buku telah ditulis untuk tujuan ini. Entah pelbagai ceramah, kelas-kelas pengajian dan talaqi ilmu diadakan untuk menyebarkan formula ini. Dari seumum-umum dan semudah-mudah formula, kepada seteliti dan sepayah-payah rahsia dan tips. Pendek kata, semuanya ada!   

Contohnya, dalam al-Muntalaq, Syaikh Abu Ammar menyatakan dengan jelas, betapa, "...untuk menyelesaikan masalah dunia Islam hari ini, sebenarnya tidak perlu kepada berpindahnya lebih ramai orang yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang lebih diperlukan dari itu ialah menyedarkan dengan cepat mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan himmah mereka dan memperkenalkan kepada mereka toriq amal dan fiqh da’wah."

Atau Sayyid Qutb, dalam karyanya yang cukup menggugah jiwa, Hazaddeen, beliau mengungkapkan formula ini dengan begitu baik sekali. Katanya, "Manhaj Ilahi yang dicernakan melalui Islam dan didatangkan oleh Nabi Muhammad SAW ini tidak terlaksana di muka bumi atau di tengah dunia manusia semata-mata kerana ia diturunkan oleh Allah. Manhaj ini tidak terlaksana dengan hanya menggunakan kalimah Ilahi: 'Jadilah' sebaik sahaja ia diturunkan. la juga tidak terlaksana melalui penyampaian dan penjelasan semata-mata. Manhaj ini juga tidak terlaksana dengan perintah Ilahi sebagaimana yang Allah tetapkan pada cakerawala dan bintang-bintang. Manhaj ini hanya dapat dilaksanakan jika ia dipikul oleh sekumpulan manusia yang benar-benar mengimani kebenaran manhaj ini. Mereka ini beristiqamah dengan manhaj ini menurut kemampuan mereka dan berusaha untuk menerapkannya di dalam hati dan kehidupan manusia. Mereka akan mengorbankan segala-galanya demi merealisasikan matlamat ini, Mereka akan melawan kelemahan dan keinginan hawa nafsu yang sudah sebati di dalam jiwa manusia. Mereka akan menentang sesiapa sahaja yang dikuasai oleh kelemahan hawa nafsu ini dan yang menghalang usaha ini. Dengan segala kesediaan ini mereka akan melaksanakan manhaj ini semaksima mungkin menurut kemampuan fitrah manusia, menurut kemampuan diri dan realiti mereka. Mereka akan memulakan usaha ini bertitik tolak daripada sejauh mana kemampuan yang mereka miliki. Mereka tidak lupa realiti mereka dan segala persediaan yang perlu mereka miliki dalam melangkah melalui proses penerapan manhaj Ilahi ini."

Apa pula kata Imam Hassan al-Banna tentang teori kebangkitan ummah ini..?

"Tiada satu sistem pun di dunia ini yang mampu membekalkan segala sistem, dasar, emosi dan sentimen seperti yang mampu dilakukan oleh Islam. Al-Quran al-Karim sarat dengan ayat yang khusus menggambarkan aspek ini. Al-Quran juga memaparkan beberapa contoh yang adakalanya secara ringkas dan adakalanya secara terperinci. Islam menyelesaikan semua aspek hingga ke akar umbi dan memimpin sesebuah bangsa hingga mereka mencapai apa yang mereka ingini." 
- Risalah 'Menuju Sinar Cahaya'

Nah, kesemuanya berbicara tentang Islam. Ketiga-tiga mereka menekankan aspek untuk berpegang kepada perkara-perkara yang asas. Dan mereka seolah-seolah sepakat yang tiada cara lain untuk memenangkan ummah ini melainkan kembali dan berpegang teguh dengan Islam!

Itu baharu tiga. Belum lagi kita kaji dan terokai teori-teori dan tips-tips oleh entah puluhan, malah ratusan para 'alim ulama' dan shuyukh yang pastinya pakar dalam mengkaji al-Quran, as-Sunnah dan seerah.

Mereka bukan beromong kosong. Sejarah telah membuktikan betapa para salafus soleh berjaya menguasai seluruh alam buana apabila Islam dijadikan panduan utama. Lebih daripada itu, tamadun Islam adalah satu-satunya tamadun yang berjaya mengeluarkan manusia bukan sahaja dari kejumudan material dunia, malah berjaya membebaskan manusia daripada terus terbelenggu dengan rantai akhlak jahiliyyah yang merosakkan.

Ribuan tahun lamanya tamadun Islam gah di puncak dunia, menjadi pujaan dan kehormatan oleh bangsa-bangsa yang lainnya. Manusia berbondong-bondong ke negara-negara Islam untuk menuntut ilmu dari universiti-universiti yang terbina. Negarawan, ahli politik dan bangsawan, semuanya cemburu dan hairan, bagaimana para pemerintah Islam ketika itu bisa memerintah negara dengan begitu adil dan saksama.

Dan semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan andai Quran dan as-Sunnah diabaikan. Faktor utama kepada kejayaan golongan terdahulu adalah kerana dekatnya mereka dengan Tuhan. 

Kita tahu semua itu. Kita telah telaah kesemua fakta-fakta itu dalam kitab-kitab kita. Kita telah dengar ceramah-ceramah, kita hadiri konferens-konferens riang yang berbicara tentang rahsia ummah terdahulu.

Namun, kita masih di sini. Umat Islam terus-menerus dipijak dan dihinjak. Islam dan kemajuan seolah-olahnya adalah dua perkataan yang tidak boleh disamakan. Negara-negara yang diperintah si zalim kuffar semakin maju ke hadapan, sedangkan negara-negara umat Islam terus mundur ke belakang. Sehinggakan para pemimpin umat Islam ini sendiri tidak yakin dengan formula yang diketengahkan oleh Islam, lantas memilih ideologi-ideologi asing yang dicipta oleh tangan-tangan manusia.

Kapitalisme. Liberalisme. Komunisme. Utilitarianisme. Sosalisme. Senarainya tidak berpenghujung.

Nah, di mana silapnya? Mengapa kita masih tercari-cari formula dan rahsia untuk mengobat umat ini, sedangkan segala-galanya sudah terbentang di depan mata? Mengapa kita masih jauh dari cahaya dan sinar kemenangan, walhal contoh dan model terbaik sudah pon ditunjukkan oleh golongan yang terdahulu...?

Mengapa Perdana Menteri Malaysia tidak mengambil sahaja model negara Madinah yang dipimpin oleh manusia terbaik di muka bumi, Muhammad SAW? Mengapa dunia Islam, baik Arab Saudi, Jordan, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan entah apa-apa lagi, tidak mencontohi zaman pemerintah khulafa' ar-Rasyidin yang sudah terbukti berjaya dan memakmurkan itu? Mengapa kita sendiri tidak benar-benar memperjuangkan cara pemerintahan dan undang-undang Islam, sedangkan itulah formula yang sudah jelas akan memberi kemaslahatan bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi seluruh alam semesta...? 

Pelik kan...?

Sebenarnya, tiada apa yang pelik sekiranya segala tips, formula dan nasihat yang diberikan itu tidak diikuti. Sekiranya kita buat biskut Meri sahaja terhadap segala panduan dan bimbingan yang diberikan. Apalah yang pelik sangat, apabila kita sendiri tidak beriman dengan formula-formula ini. Kesemua bimbingan dan panduan yang diberikan, hanya tinggal tulisan pada kitab-kitab dan buku-buku yang dihasilkan dan hanya tinggal suara dan lawak jenaka di TiubAnda dan fail-fail mp3 milik kita itu. Andai kita menuruti sekalipon tips-tips dan panduan yang diberikan, kita tidak sungguh-sungguh dan berdisiplin dalam mematuhinya.

Apatah lagi kita sekarang ini hidup di dalam masyarakat jahiliyyah, yang mengamalkan cara hidup dan undang-undang jahiliyyah. Arakian segala apa yang Islam perjuangkan, akan tampak pelik dan janggal. Undang-undang Islam itu ekstrem. Pemerintahan Islam itu radikal. Sistem ekonomi Islam itu jumud dan ketinggalan zaman. Semua ini bertubi-tubi menyerang pemikiran kita, sehinggakan kita umat Islam sendiri seringkali berasa was-was dan ragu-ragu dengan solusi yang ditawarkan oleh Islam.

Allahu. Potong bawang kecil.

Sekarang, sudahkah anda bersedia dengan garisan penumbuk (Baca: Punch line) artikel ini...?  

Apalah peliknya semua itu, sekiranya kita fikirkan, di dalam al-Quran sendiri, Allah sudah pon memberikan formula dan tips-tips bagaimana mahu menjadi manusia yang berjaya, bukan sahaja di dunia bahkan di sorga, namun kita masih tidak mahu mengikutinya?

Apalah peliknya semuanya itu, apabila Allah sudah pon menurunkan ar-Rasul SAW untuk membimbing sekalian manusia, memberi panduan untuk menyelamatkan kita dari azab seksa api neraka, tetapi kita masih berdegil, mahu menurutkan hawa nafsu kita yang bermaharajalela?

Dan apalah peliknya semua itu, jika dalam seerah sudah trang tang tang kisah pengorbanan dan perjuangan para sahabat yang benar-benar mendambakan sorga dan bencikan tipu daya dunia, jelas memberikan kita pengajaran dan panduan bagaimana mahu selamat dunia dan akhirat, namun kita masih lagi berlagak dan angkuh, seakan-akanya kita tidak pernah tahu semua itu...?

Allah larang kita daripada bercakap sesuatu yang kita sendiri tidak melakukannya, namun kita tidak patuh. Allah larang kita daripada mengumpat dan mengeji, namun kita ingkar. Allah larang kita daripada makan rasuah, mengambil riba', berzina, minum arak, membunuh, menganiaya orang lain dan sebagainya, namun kita lakukan semua itu. 

Sedangkan semuanya sudah termaktub dalam al-Quran apakah balasan untuk golongan yang ingkar ini. Semuanya sudah dilafazkan oleh ar-Rasul SAW, apakah azab yang menanti mereka yang terus-menerus berbuat dosa. Pendek kata, segala tok nenek pakcik makcik tips dan panduan sudah diberikan Allah dan ar-Rasul, bagaimana mahu menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa, yang berjaya di dunia dan akhirat.

Namun, kita semakin jauh dari Allah, semakin dekat dengan jahiliyyah. Kita semakin jauh dari chenta Rasulullah, semakin dekat menjadi pengikut iblis laknatullah. Kita semakin jauh dari sorga, dan semakin mendekati neraka.

Nanges sampai lebam. 


"Mengapa mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu memperhatikan bagaimana kesudahan buruk orang-orang yang sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka; dan untuk orang-orang kafir (akan mendapat kebinasaan) yang sama seperti itu."
[Muhammad, 47:10]

Rahsia akan tinggal rahsia. Tips akan tinggal tips. Dan formula akan tinggal formula.

Kerana kita tidak mahu belajar dari kesilapan umat terdahulu. Kita tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan apa yang telah diajar oleh generasi awal. Dan kita terlalu asyik, larut dengan kesenangan dan kemewahan dunia, sehingga kita melupakan formula yang menjamin kejayaan kita di dunia dan akhirat.

Nah, sekarang tidak lagi pelik bukan...?

-gabbana-

Sangat teruja untuk habiskan Ainul Mardhiah. Tapi saya tidak mahu larut dengan keasyikan menulis cerita pendek itu. Saya merasakan mesej yang mahu saya sampaikan dalam post kali ini lebih besar prioritinya.

Moga bermanfaat untuk semua. Moga Allah redha.  

11 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 10/12/2013, 10:41  

Formula yg dicari2.
Ainul mardhiah tu kita biarkan tergantung la. Biar konklusinya ditelah sendiri oleh pembaca.

Anonymous 10/12/2013, 11:11  

weh mane bole x de ending .. penat gua tggu ..

Faqir 10/12/2013, 11:38  

entry yang sangat dekat dengan hati semua. fuhh....memang susahh betoll hidup di zaman moden ni. jihad an-nafs...=_=!

Anonymous 10/12/2013, 12:10  

indah nya hati kalian sudah merasakan dan benar2 memahami arti dakwah,tarbiyyah dan semua2tu
aku juga mahu merasakn indahnya hati itu
aku juga mahu memahami semua-semua tu
aku juga mahu memiliki semangat hati2 kalian
aku ingin bebas dari hati ini!!!

Iffah 10/12/2013, 20:44  

Perkongsian yang bagus .. Memang kena sentap bila baca entri kali ni . Baru sedar . Kalau tak lagi kita leka .

p/s : tk sabar utk sambungan Ainul Mardhiah . :)

Unknown 10/12/2013, 21:48  

Setuju!tips akan jd sekadar tips dan teori serta formula dlm buku jika x di amalkan .gulp!

Senyum sampi telinga sbb ainul mardhiah dah ade smbgn!
(baru peghasan.last bace part 1 T_T)

Anonymous 11/12/2013, 01:14  

ehh.. xleh2.. kne habiskan jgk.. setiap ssuatu kne ad penyudahnya.. ya dak.? hehe

dira 11/12/2013, 03:59  

Memang. Menangis sampai lebam!

LaLana 11/12/2013, 06:58  

Mende yang hampir semua org tahu, tetapi buat tak tahu.

Betul ke kita yakin ISLAM yang terbaik?? huhu

muhasabah bersama

Unknown 11/12/2013, 18:57  

sambil potong bawang besar plus lada hidup...

entri ini sangat menyentap jiwa...

Anonymous 11/12/2013, 21:54  

entri ni agak serius...sob, sob T_T

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP