Uswah

15 April 2013

Mungkin Sudah Tiba Masanya..

[Kredit]

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita duduk sejenak, tarik nafas dalam-dalam dan melakukan muhasarawak dan refleksi diri; sejauh mana kita sudah memenuhi tujuan hidup kita sebagai 'abid dan khalifah Allah di muka bumi. Adakah setiap masa dan ketika, dalam setiap perlakuan dan kehidupan kita sehari-hari, kita benar-benar menjadi hamba? Adakah setiap peluang yang datang menerpa, baik di kantor atau di tempat pengajian, baik di pasar atau masjid, baik di padang permainan atau kompleks beli-belah, kita manfaatkannya sebaik-baiknya untuk menegakkan kebenaran dan kalimah Allah yang mulia..? 

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita meneliti semula keikhlasan kita dalam beramal, sama ada kita meletakkan Allah sebagai ghayah kita yang paling utama dan pertama. Sama ada kita benar-benar membutuhkan redha dan chentaNya, atau ada udang di sebalik mee Anis sup Utara? Eh. Mungkin selama ini kita bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini kerana kita jatuh hati dengan akhawat itu, atau mahukan kedudukan dan pangkat tertentu, atau mungkin juga kerana hanya gerabak ini sahaja kita merasakan diri kita diterima, walhal kita tidak mungkin seglamor atau sebergaya ini andai kita bersama dengan gerabak yang lain..? Astaghfirullah. 

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita lebih seriyes dan bersungguh dalam bermunajat dan memanjatkan doa kita kepadaNya. Niatnya. Lafaznya. Makhrajnya. Maksudnya. Kita sering berasa hairan mengapa doa kita umpamanya tidak didengari Allah, apatah lagi dimakbulkanNya. Rupa-rupanya kita bermain-main dengan doa kita. Kita tidak seriyes dengan apa yang kita ungkapkan. Lebih teruk lagi, kita tidak yakin pon dengan apa yang kita ucapkan. Alahai. Bagaimana Allah nak kotakan..? 

Mungkin sudah tiba masanya kita perbanyakkan istighfar penghapus dosa dan bangun malam penghancur noda. Hati kita sudah lama kering, mula membenihkan lalang-lalang beracun dan merekahkan tanah-tanah jiwa yang dahagakan sentuhan rabbani. Dalam kita ligat dan galak ke sana ke mari mentarbiyah dan berdakwah, kita lupa bekalan dan makanan ruh untuk diri sendiri. Istighfar kita hanya air liur pembasah bibir. Solat malam kita ala kadar, mamai-mamai tahi mata menebal pada kelopaknya, tidak sedar pon apa yang kita lafazkan. Aduhai. Sudah, bagaimana kita mahu melembutkan hati-hati di luar sana sedangkan hati kita sendiri merekah penuh sengsara?

Mungkin sudah tiba masanya kita lebih berhati-hati dan telus dalam mentadabbur al-Quran; lebih seriyes, lebih ikhlas dan lebih bersungguh dalam mencari chentaNya yang terkandung dalam setiap helaian mushaf dari langit itu. Sering kita tergaru-garu kepala, mengapa kita sukar benar terasa basah dan tersentuh dengan ayat-ayat yang kita baca. Walhal tarannum dan bacaan kita dah ala-ala Fatih Seferagic dah. Eh. Rupa-rupanya kita  bertilawah sekadar mahu mencukupkan mutabaah amal yang ditugaskan kepada kita. Rupa-rupanya kita mentadabbur al-Quran dalam keadaan tidak rela, hanya ketika berbulatan gembira semata. Rupa-rupanya alunan merdu suara kita melagukan bacaan kita adalah kerana kita mengharapkan pujian dan pujaan daripada mereka yang mendengarnya. Wahai, jangan hairan andai bacaan ayat-ayat chenta anda itu mengundang murka dan bukannya redha!

Mungkin sudah tiba masanya kita lebih berlapang dada dalam menanggapi masyarakat di luar sana. Allah, apalah hebat sangat kita ini; ilmu baharu sekelumit cuma di dada, sudah mahu memandang orang lain dengan pandangan keji dan hina..? Baru ikut dan membawa bulatan gembira, dijemput beri perkongsian sekali-sekala, kita sudah mahu mendabik dada? Berapa ramai di luar saya yang menyatakan rasa kechiwa, langsung tidak berminat mahu bersama-sama kita, dek keangkuhan dan kejahilan diri kita sendiri..? Alahai, kita ini sudahlah biasa-biasa sahaja, marhaen lagi hina, fikrah pon belum benar-benar membumi di jiwa, dan kita sudah pandai menghukum orang itu dan mengkritik orang ini..? Kita ni bukan maksum pon; sudah konfem masuk sorgakah..?

Dan mungkin sudah tiba masanya kita lebih bersungguh-sungguh dan berkorban sepenuh jiwa dan raga kita untuk perjuangan terchenta ini. Ya, kita rasakan kita sudah bersemangat. Kita jangka kita sudah keluarkan semua (Baca: All out). Kembang-kempis hidung kita, penuh keyakinan yang kita sudah berikan yang terbaik. Uhm uhm. Benarkah? Cuma tengok kehidupan sehari-hari kita bagaimana; masih ada masa yang kita bazirkankah untuk sesuatu yang tidak menguntungkan Islam? Masih banyakkah jahiliyyah yang berkarat di dalam jiwa? Masih banyakkak harta dan tenaga kita yang kita manfaatkan untuk urusan dunia yang tidak memberi laba kepada agama..? Dan sudah tertunaikah sumpah setia kita lima kali sehari itu - "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam"..?

Nanges. 

Mungkin sudah tiba masanya... Atau belum tibakah waktunya..? 

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik."
 [al-Hadid, 57:16]

Nah pisau. Sila tikam diri sendiri. Tepat pada jantung tahu..?

-gabbana-

13 Caci Maki Puji Muji:

Nor Izzati 15/04/2013 23:28  

Haihh. Memang sudah tiba masanya.
Tenat sgt dah ni.

Oh, terima kasihlah. Tak mahu lah pisau itu. Tak cium bau syurga tahu?
(Eh, sahihkah ini?)

Aman tanpa perang.

Anonymous 15/04/2013 23:30  

APG selalu betul buat post yang memang apa yang saya tengah fikirkan..
Masalahnya selalu sangat.. dah kerapkali.. bila terfikir je.. eh eh.. APG dah buat post.. dah lah bersangkut paut.. teguran..mcm spy hati pun ade gak. kadang2 cuak sendiri, mgkin APG pernah berada berdekatan saya tp xmungkin..
ape pong..Subhanallah..
Allah lah yang gerakkan hati APG untuk menyentuh hati-hati di luar sana dgn tulisan anda..termasuk hati saya.
JZKK akh di atas peringatan.

Anonymous 15/04/2013 23:47  

Jazakallah :)

Anonymous 15/04/2013 23:52  

kalau kena tusuk pisau, mungkin mati, dah kurang kader dakwah

Anonymous 16/04/2013 00:11  

Terima kasih enhe gabbana. Persoalan demi persoalan yg merentap hati. Jangan kita terus duduk shj. Buat all out demi mengejar chenta dan redha nya.

Anonymous 16/04/2013 00:17  

thnx.. :(

ninadiana 16/04/2013 11:40  

Buat buku please!!!!

Anonymous 19/04/2013 20:37  

moga Allah berkati sedara.aku dah lost dari jalan tuhan.meski aku baca al-quran setiap hari,tapi aku tak rasa apapun.aku x ikhlas mungkin.mungkin sekedar amik syarat : setiap hari musti baca al-quran.

sedara tak payah nak suruh amik pisau dan cucuk pada jantung.sebab aku dah memang rasa nak mati setiap hari sebab aku rasa aku tak disayangi tuhan.sebab aku hamba tak baik.

aku memang baca selalu status twitter fesbuk dan entry blog sedara.ada yang menyentuh bagi aku.ada yang bagi aku sedara macam syok sendiri sebab tulis panjang panjang.bosan juga aku.make it simple dah sedara.i like your entry anyways.cuma bila panjang,aku serabut.mcam komen aku ini haaaa.panjangkan? haha

cik salmah dokter to behhh

Anonymous 03/05/2013 19:19  

20:37.
Tuhan tu ar Rahim tahu.
dan jgn lupa itu.

SF 13/05/2013 22:40  

Tahniah Inche Gabbana. Pisau yg diberi tepat menikam hati. nanges.. T_T

Farah Najihah Razali 14/05/2014 14:53  

terima kasih inche gabbana!

Anonymous 02/06/2014 13:28  

Allah.
Kena tikam.
Dalam sampai tembus!

Shukran IG!

Anonymous 12/10/2014 19:51  

Bismillah~

Allahu..
TerTAMPAR ada..TerTIKAM pun ada rasa.

Honestly, betul apa yang dinukilkan kenyataan dalam entry ini. Itulah diri aku! Hamba yang marhaen lagi hina.

Bahkan mungkin tidak aku layak untuk mencium bau SORGA. Allahu Rabbi!

Tatkala aku membaca satu persatu ayat IG membuatkan aku berfikir panjang. Apakah semua amalan yang aku buat sepanjang 22 tahun diterima Allah? Apakah aku benar2 ikhlas dalam lakukan ibadah? Astaghfirullah!!

Ampunkan aku hamba yang sentiasa bergelumang dengan noda dan dosa Ya Allah.

Terima kasih IG memberi sedikit TAMPARAN buat hamba yang berdosa ini. Terima kasih kerana menjadi asbab untuk saya kembali ke jalan asal.

-Calon Ahli Kubur-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP