16 April 2013

Cukuplah Allah Bagiku

[Kredit]

Buat anda yang teristimewa. Moga terus istiqamah dan tsabat di atas jalan ini. Moga menjadi sahabatku di dunia, juga di sorga sana..

***

"Salaam. Nak date boleh..?"

Send.

Selang beberapa saat selepas itu, Xperia Z milik Hanbali bergetar, tanda ada mesej yang masuk. Pantas.

"Jommmm! Mana..??"

Hanbali berfikir sejenak. Dengan sedikit ragu-ragu dia menaip balas.

"Uhm.. Area sini je la. Boleh..? Malaslah nak jalan jauh. Asif susahkan.."

Send.

Kali ini mesej balas yang diterima sedikit lewat. Lewat beberapa saat. 

"Bulehhhh. Kita lunch sekali deh..? Nanti saya dah gerak, saya beritahu. ;)"

Hanbali tersenyum seorang. Dia tahu, Zikri tidak mungkin akan mengecewakan dirinya. Abang Zikri. 

Zikri bukanlah murabbi Hanbali pon. Tapi entah mengapa, dia amat senang berkongsi rasa dan berbicara rahsia dengan al-akh yang seorang ini. Mungkin itulah yang dinamakan ukhuwwah fillah. Manis rasanya. 

Perkenalan mereka biasa-biasa sahaja; di sebuah program yang dihadiri kedua-duanya. Zikri membawa mutarabbinya, manakala Hanbali sebagai peserta. Perkenalan yang bermula dengan pelukan mesra dan pipi berlaga itu akhirnya membawa kepada tautan mesra antara keduanya. 

Hanbali sering mencari Zikri andai dia punya masalah atau perkara-perkara penting yang mahu dikongsi. Bukan dia tidak percaya pda murabbinya sendiri. Bukan juga kerana dia tidak sayang murabbinya itu. Cuma dengan murabbi sendiri, dia rasa seperti tidak bebas. Seolah-olahnya ada penghalang yang memisahkan mereka. Tapi dengan Zikri, dia senang dan selesa untuk meluahkan rasa. Dia merasakan yang dia boleh berbicara apa sahaja dengan Zikri; dari sebesar-sebesar bual bicara kepada seremeh-remeh perkara. Dia merasakan apabila dia meluahkan perasaannya kepada Zikri, dia bebas daripada dihakimi dan diadili, hanya kerana Zikir bukan sang murabbi.

Meski dia tahu, sekiranya ada perkara-perkara penting yang dilapor, pasti Zikri akan memberitahunya juga kepada murabbinya. Dia tidak kisah. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu berhubung langsung dengan murabbinya. 

Yang menjadikan hubungan mereka lebih erat adalah Zikri sendiri yang tidak kisah melayan karenah Hanbali. Apabila Hanbali memerlukan telinga, telingalah yang akan dipinjamkan Zikir. Apabila Hanbali memerlukan bahu, bahulah yang akan dihulurkan Zikri. Mudah. Tanpa kompromi.

Kadang-kadang terbit juga rasa bersalah dalam diri Hanbali. Yalah, tak semena-mena, Zikri terpaksa berjalan jauh semata-mata diminta untuk berjumpa dengan dirinya. Dan kadang-kadang timbul juga rasa bersalah Hanbali pada mutarabbi Zikri. Seolah-olahnya dia merampas kasih pula daripada mereka. 

Hanbali pernah mengutarakan hal ini kepada Zikri. Zikri hanya tertawa mendengarnya. 

"Akhi, ukhuwwah mana boleh paksa-paksa. Jatuh chenta mana boleh paksa-paksa. Kalau dah jatuh chenta, nak buat macam mana...? Ahahaha.."

Merah padam muka Hanbali mendengarnya. Malu. Tapi suka. 

Lamunan Hanbali terhenti apabila Xperianya bergegar lagi. Zikri. Dia tersenyum.

"Ok dah sampai! Jumpa tempat biasa okeh?"

Hanbali bergegas untuk bersiap. Disarungkan seluar jeansnya dan dicampakkan kain pelikatnya ke atas katil. Pintunya bilik ditutup rapi dan dikunci. Segera dia menyarungkan seliparnya dan dituruni anak-anak tangga kolej kediamannya dengan cermat tetapi pantas. Tak sabar. 

Dari jauh dia sudah dapat melihat sosok Zikri. Dia tersenyum. Wajah itu jarang sekali gagal membuatkannya tersenyum. Putih bersih. Tenang. Bercahaya. Dan Zikri tersenyum lebar apabila melihat kelibat Hanbali. Aahhh senyuman itu. 

"Apa khabar..?"

Zikri bertanyakan soalan klise sambil memeluk erat Hanbali. Pipi mereka berlaga mesra, seperti biasa.

"Ke mana kita hari ni..? Tempat biasa..?"

"Uhhmm. Kita pergi tempat lain hari ni boleh..? 

"Mana?"

"Uhhmm..."

 Hanbali memandang sekeliling. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.


"Kita pergi kedai hujung tu la. Tak ramai orang sangat. Best sket nak bercurhat."

Zikri tersenyum. Dipeluknya bahu Hanbali sambil menolaknya untuk berjalan sama. 

"Ok!" 

Dalam perjalanan ke kedai, Hanbali hanya diam membisu. Terukir di raut wajahnya kelesuan dan keserabutan. 

"Anda ok..?"

Hanbali larut dalam lamunannya.

"Anda..?"

Zikri mencubit pinggang Hanbali. Manja.

"Hah..? Ok ok. Err.. Nanti kita cite eh..?"

Zikri hanya menggelengkan kepalanya. Tersenyum. 

Hari itu mereka makan nasi campur. Zikri dengan kuah masak lemak cili apinya, ayam panggang, telur masin dan sedikit ulam raja dengan sambal belacan. Hanbali pula mengambil lauk kegemarannya; ayam goreng kicap halia dan kentang goreng bercili, meski dia tidak punya selera hari itu. 

Sambil makan, Zikri cuba menghidupkan suasana dengan berlawak jenaka serta berkongsi gosip-gosip terbaru yang didengarinya. Satu persatu kisah yang difikirkannya akan menghiburkan Hanbali diceritakannya. Hanbali hanya tersenyum mendengarkan celoteh Zikri. Kalau di hari lain, sudah pasti dia akan tertawa sama. Malah, dia sentiasa ternanti-nanti cerita-cerita baru daripada Zikri. Penghibur hati. Tetapi tidak hari itu. Hari itu dia gundah. Gelisah. 

"Dah dah la monyok tu. Buruk tahu..? Cuba cerita sikit.. Apa masalah ni..? Harga minyak dunia naik lagi ke..? Eheh."

Hanbali tersenyum tawar. Dikacaunya air sirap limau aisnya itu dengan batang straw berjalur merah itu. 

"Anda.. Saya... Hmmm.. Tak tahu nak cakap macam mana... Saya.."

Zikri menanti. Dia tidak mahu tersalah bicara, hingga menyebabkan Hanbali tidak jadi mahu berkongsi. 

"Saya rasa penat ah. Penat nak buat dakwah. Rasa tak semangat.."

Zikri mengangkat keningnya. Terukir senyuman di bibirnya. Senyuman memahami.

"Entahlah anda.. Perasaan ni naik dan turun. Naik dan turun. Selalu je rasa macam ni. Tapi lepas tu ok balik. Datang dan pergi. Tapi kali ni.. Lain macam ah. Hentakan dia terlebih padu.."

Hanbali merenung wajah Zikri. Tenang. Dia mengharapkan Zikri akan berkata sesuatu. Tetapi Zikri terus membisu. Dan tersenyum. Ish..

"Adik-adik, sorang dua je yang menjadi, yang komit usrah. Yang lain-lain tu.. Uhmm.. Entahlah... Ikhwah pulak.. Masing-masing buat hal sendiri. Rasa plastik sangat... Plastik sangat ukhuwwah yang ada.."

Tanpa disedari, menitis air mata Hanbali membasahi pipinya. Cepat-cepat dia menyeka matanya, sebelum empangan kelopaknya pecah. Malu.

"Kadang-kadang tu rasa macam hopeless. Aku nak bawa diorang ni ke mana..? Betul ke benda yang aku buat ni..? Kenapa semua orang macam tak kisah je dengan dakwah ni..? Kenapa aku sorang je yang terhegeh-hegeh nak buat kerja..? Macam tu lah. Lagi layan perasaan ni, lagi menjadi-jadi!" 

Sekali lagi Hanbali memandang Zikri, mengharapkan ada jawapan yang menenangkan hati. Dia kecewa, apabila Zikri sekali lagi memilih untuk hanya tersenyum dan mendiamkan diri. 

Ish dia ni.. Orang nak jumpa sebab ingat dia boleh bagi kata-kata semangat ke apa.. Ini tak.. Kalau macam ni baik makan biskut je kat dalam bilik tadi..! Adoiii.. 

Tiba-tiba Zikri bersuara. Tersentak Hanbali dibuatnya, kerana tidak menyangka. 

"Dah..? Habis dah..?"

Hanbali mengangguk lemah, sedikit mencebik.

"Jom..?"

Zikri lantas bangkit ke kaunter untuk membuat bayaran. Sempat dijelingnya Hanbali yang mencuka. Zikri hanya tersenyum. Mereka kemudian lantas berjalan pulang, menuju semula ke kolej kediaman Hanbali. Perlahan sahaja langkah mereka kali ini. 

"Anda.. Anda pernah dengar kan peristiwa Thaif..?"

Zikri memulakan bicara. 

Thaif..? Pernah kot. Yang Nabi kena halau tu kan..?"

"Haah. Yang tu. Ingat tak doa Nabi di dalam kebun tempat baginda berlindung tu..? Doa yang tangkap leleh tu..? Haha.."

"Doa.. Doa.. Ingat kot.. Sikit-sikit.. Kenapa..?"

Zikri tersenyum. Dipeluknya bahu al-akh kesayangannya itu.

"Thaif merupakan titik hitam yang pekat lagi mendalam dalam sejarah dakwah Nabi SAW. Tetapi ia juga merupakan peristiwa yang banyak mengajar kita sebagai dua't ilallah."

Hanbali mendengar dengan tekun. Walaupon masih ada sisa rajuk dalam dirinya, kerana sikap Zikri yang macam endah tak endah sahaja pada dirinya di kedai makan tadi.

"Nabi hampir-hampir putus-asa di Thaif. Baginda ke Thaif dengan harapan besar yang penduduk di situ akan menerimanya dengan tangan terbuka, setelah penduduk Mekah membenci risalah yang dibawanya. Namun baginda dikejutkan dengan cercaan, makian malah tindakan penuh kebencian. Baginda benar-benar dalam kesedihan dan kekecewaan."

Ok, ni memang nak bakar aku lah ni... Getus Hanbali.

"Tapi Nabi, being Nabi, yang sangat-sangat kasihkan umatnya tu, meski diberi pilihan oleh malaikat untuk menghancurkan seluruh penduduk Thaif dengan hentaman dua buah bukit, memilih untuk mendoakan kesejahteraan mereka. Malah baginda berdoa, agar suatu hari nanti, penduduk Thaif akan menerima cahaya kebenaran. Kita belajar daripada sejarah, betapa berkat kesabaran dan kelapangan dada baginda, penduduk Thaif akhirnya menerima hidayah, malah menjadi antara golongan yang paling setia dengan Islam, hingga ke akhirnya.

Dan doa Nabi.. Pergghh.. Memang potong bawang ah. Anda tahu part mana yang paling menggugah jiwa saya..? Bila Nabi cakap, 'Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah kepadaku.'

Juga, 'Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau.'

Ohoi, nanges kottt..??"

Sepanjang-panjang itu Hanbali hanya memandang ke bawah. Dan air matanya tidak tertahan lagi. 

Zikri berhenti. Hanbali juga terpaksa memberhentikan langkahnya. Zikri berpusing sedikit dan kini betul-betul menghadap Hanbali. Dia memegang kedua-dua bahu Hanbali.

"Hey... Anda.. Jalan yang sedang anda lalui ini adalah jalan yang pernah dilalui oleh para anbiya'. Ia jalan yang suci. Ia jalan yang agung. Oleh sebab itu juga, ia penuh dengan liku dan duri. Ia panjang. Sumpah panjang. Dan ia tidak ditaburi dengan dafodil wangi atau ada arnab gemok yang berlari riang."

Hanbali tertawa kecil. Dia menyeka air matanya lagi.

"Dan anda. Anda tidak keseorangan di atas jalan ini. Ramai lagi orang di luar sana yang sedang melalui jalan yang sama. Dan saya antaranya.."

Zikri tersenyum.

"Dan saya tidak mahu berjalan seorang-seorang diri. Loser kot. Saya nak berjalan dengan anda. Sebab saya nak masuk sorga, sama-sama dengan anda. Ok..?"

Hanbali memandang wajah Zikri. Matanya berkaca-kaca. Ah sumpah aku cinta kau kerana Allah!

"Ok..."  

"Yang paling utama, kalau pon anda terpaksa menelusuri jalan ini seorang diri, ketahuilah, Allah kan ada..? Haaa..."

Kali ini Zikri memeluk erat Hanbali. Dia berbisik kepada Hanbali.

"Akhi fillah.. La tahzan, innallaha ma'ak.."

Berombak-ombak dada Hanbali, cuba menahan tangis yang sudah mahu teresak. 

"Laaa... Nanges pulak diaa.. Chill sudehhh. Hahahaa.. Dah dah, buruk laaa!" 

Hanbali tertawa dalam tangisnya. Malu pon ada. Cepat-cepat dia menyapu wajahnya dengan bajunya. 

"Nah, saya ada sesuatu untuk anda."

Hanbali sedikit terkejut. Teragak-agak dia mengambil beg kertas berwarna merah itu daripada Zikri. 

"Laaah janganlah tengok sekarang. Tak seprais aaahhh! Isshh.."

Hanbali tertawa lagi. Dia lega. Dia berasa sangat gembira dan bersyukur, dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Zikri. Terasa seperti seguni beras berat sudah diangkat daripada bahunya. Namun sengal-sengalnya masih ada.

"Anda jaga diri elok-elok ok..? Jaga iman, jaga amal. Kalau ada apa-apa lagi, jangan segan-segan kontek saya. You know I will always be there for you, biidznillah.."

Hanbali mengangguk sambil senyuman chenta terukir pada wajahnya. Mereka berpelukan erat, pipi berlaga sebelum berpisah. 

Hanbali bergegas naik ke biliknya. Tidak sabar-sabar mahu membuka hadiah yang diberikan kepadanya oleh Zikri. Perlahan-lahan dia mengeluarkan bungkusan yang dalam beg kertas itu. Sedikit rakus dan gopoh, dia mengoyakkan bungkusan itu. Senaskhah buku. 

'Ikhwah Pakai Jeans: Kerana Akhirnya Ikhwah Itu Seorang Lelaki' oleh Inche gabbana. Hanbali tertawa kecil. Sudah lama dia teringinkan buku itu. Dan sudah lama juga dia memberi isyarat kepada Zikri untuk membelikan untuknya. Akhirnya impiannya tercapai. 

Bersama dengan buku itu ada penandanya sekali. Penanda buku buatan sendiri. Di atasnya tertulis 'A.U.F.J.' Hanbali tersenyum. Dia faham benar maksud akronim itu. 

Namun yang lebih menarik perhatiannya adalah mukasurat yang ditandai oleh penanda itu. Matanya pantas menangkap sepotong ayat Quran pada mukasurat itu.

"Hasbunallahu wa ni'mal wakeel. Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung."
[ali-Imraan, 3:173]


Allah.. Hasbunallahu wa ni'mal wakeel...

Air mata Hanbali laju mencurah. Pipinya basah. 

Dia segera mencapai Xperianya. 

***

Nokia 3310 Zikri bergetar. Dia mencapainya sambil matanya memandang ke hadapan dan tangan kanannya kejap memegang stering. 

"Jazakallahu khairan akhi. AUFJA. Nak masuk sorga dengan anda.."

Zikri tersenyum. 

Hasbunallahu wa' ni'mal wakeel.

-gabbana-

Teruskan melangkah, walau ia payah. 
Teruskan menapak, walau ia tidak semerbak.
Teruskan berlari, walau ia penuh dengan duri.
Kerana ketahuilah, Dia sentiasa ada di sisi. 

Senyum. 

23 Caci Maki Puji Muji:

Payung_hujan 16/04/2013, 18:13  

Inche Gabbana!

Saya yakin bukan kebetulan untuk saya buka blog APG hari ni setelah sekian lama tak menjenguk dekat sini.

Doa Nabi Muhammad itu sangat sangat menyentuh hati! (':

Dan ditakdirkan Allah, saya juga tengah mencari kekuatan untuk menasihati seorang adik ni, tetapi masih ada perasaan berat hati, takut kalau adik itu lari lagi jauh atau benci saya lepas ni

Tapi tapi tapi, Innallah ha ma'ana kan? :)

Jazakallah khair akhi

Hopeless 16/04/2013, 18:17  

Kenal seorang akhi, jiwa nya sangat besar, hampir setiap minggu mengajak sy keluar, walau pun menolak secara lembut, tetapi serba salah kerana penyebabnya ialah urusan dunia semata-mata.. mungkin akhi tersebut juga pernah seperti hanbali, putus harapan sementara.. semoga dikuatkan semangatnya untuk berkongsi manis ukhwah fillah.

Anonymous 16/04/2013, 19:36  

AUFJ? ana uhibbuka fillah eh.j tu ape?

Anonymous 16/04/2013, 19:39  

AUFJA tu ape?please penasaran ingin tau

Anonymous 16/04/2013, 20:28  

Ehem.
16 April.dan hari ini adalah hari lahir seorang rakan.sama dgn nama dlm post kali ini.

cacacacacacaca 16/04/2013, 21:00  

inche gabbana dah maju heh.dowh,tulis buku bagai.
bole saya pinjam buku tu?sounds good.

Anonymous 16/04/2013, 21:14  

AUFJ - ana uhibbuka fillah jiddan! (saya sangat menyayangi awak kerana Allah)

AUFJA: ana uhibbuka fillah jiddan aidhon ! (saya sangat menyayangi awak kerana Allah juga)

Eh, ke x? hew2

Unknown 16/04/2013, 23:49  

Allahuakbar. entah bagaimana, tapi terima kasih.

Anonymous 17/04/2013, 00:49  

Sebuah kenangan^^

Anonymous 17/04/2013, 01:31  

Jangan padam pos ni, walau apapun.

Anonymous 17/04/2013, 08:39  

Nice post.. Lgi2 doa nabi saw .

Inche gabbana 17/04/2013, 09:04  

Enonimus yang tolong terjemah kan AUFJ dan AUFJA benar. ;)

cahaya menerangi 18/04/2013, 09:56  

Alhamdulillah.sangat tersentuh...

Nabihah Aqilah 18/04/2013, 10:21  

Barakallah inche gabbana.
Janatullah alaik inche gabbana.
Amin..Amin...
Syukran.

Anonymous 18/04/2013, 14:01  

memey dah buat buku ke inche gabban ni ? >.<" . jawab lah -_-" .

gatal nak comment jugak.. 18/04/2013, 15:44  

haha....

memang tangkap leleh doa nabi..
meleleh2 abih..

da lme tak jenguk blog ni..

Allah mahu menyiram hatiku dengan air2 keimanan..
alhamdulillah... ^_^

Anonymous 18/04/2013, 22:49  

anda menulis buku ke? jawab la akhi syg~~

pengembara tegar 19/04/2013, 02:49  

Jazakallahu khair akhi.
Entah kenapa Inche Gabbana punya post kali ni betul2 kena dengan Ana dan sahabat Ana sendiri.

Semoga perjalanan Inche Gabbana dalam jalan-jalan dakwah dan taman-taman tarbiyyah ini akan terus dirahmati oleh Allah swt

Inche gabbana 19/04/2013, 09:22  

InshaAllah suatu hari nanti saya akan keluarkan buku tu. Doakan. ;)

Unknown 20/04/2013, 07:13  

Hampir menangis baca post ni. Sirius, kadang2 rasa sangat sendiri. Rasa macam Takda sapa yang faham kerja yang kita lakukan.
Kadang2 juga terlupa yang kita ada Ikhwah berdekatan untuk kita mintak nasihat. Akhi, dont stop writing. Post ini sesungguhnya telah membakar semangat dlm hati ini hingga menyalak nyala. Redha Allah yang kita cari, jadi cukuplah Allah untuk kita.
:')

Anonymous 21/04/2013, 00:55  

alhamdulillah,. D saat diri ini perlukan kekuatan,time kaseh..^^

Anonymous 22/04/2013, 20:48  

kenapa inche gabbana macam bole baca perasaan sy ek???sentap sgt... :'(

...miSS fAi... 23/04/2013, 10:44  

nanges..

T_t

walau sendirian di jalan ini, tapi Allah kan ada... terima kasih atas peringatan itu. terima kasih. bukan kebetulan saya membaca entry ini disaat ini. bukan satu kebetulan, tapi itu takdir.

T_t

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP