Iman, Si Mujahid Setia
Saya menghantar pesanan Whatsapp kepada seorang akh. Ketika itu, saya baharu sahaja usai memberikan perkongsian dengan ikhwah.
Sejurus selepas itu, telefon saya berdering. Saya berdebar-debar untuk mengangkatnya.
"...[Inche gabbana]... Dia... Dia dah takde. Dia dah meninggal. Aku pun baru je tahu ni. Fazli bagitau. Aku on the way ke hospital ni.."
Entah mengapa, saya tenang menerima berita itu. Jauh di lubuk hati saya, saya seperti sudah boleh mengagak jawapan kepada pertanyaan saya itu.
Retorik.
Pagi itu, sebelum saya bertolak ke selatan tanah air untuk sesi perkongsian dengan ikhwah, saya habiskan hampir tiga jam lamanya di hospital, bersama-sama dengan ikhwah dan ahli keluarga terdekat menjaga Iman.
Malam sebelumnya, ketika pertama kali menerima berita tentang kemalangan yang menimpa Iman, saya dan beberapa orang ikhwah sibuk menguruskan perihal motornya; pergi mencari motornya yang kemalangan itu, membawanya ke balai polis untuk ditangkap gambarnya dan akhirnya menghantar motor itu pulang ke rumah. Kurang lebih jam lima pagi baharulah saya berpeluang untuk ke hospital semula. Dan ketika itu, Iman baharu keluar daripada bilik pembedahan, maka berpeluanglah kami untuk melihat sendiri keadaannya.
Jujurnya, saya tidak sanggup untuk melihatnya. Malah, hanya dengan melihatnya dari jauh terlantar di atas katil di wad Unit Penjagaan Rapi (ICU) cukup membuatkan hati saya sebak. Berkali-kali saya menyeka air mata yang tumpah.
Ah murahnya air mataku ini!
Akhirnya saya memberanikan diri mendekati Iman, yang masih tidak sedarkan diri. Melihatkan pelbagai jenis wayar yang berlingkar di seluruh tubuh dan wajahnya, juga luka-luka dan calar-balar yang berbekas pada tangan dan wajahnya, membuatkan saya luluh. Air mata saya tidak tertahan lagi. Saya dekatkan diri lantas berbisik kepadanya.
"Iman... Ni [Inche gabbana] ni.. Aku kat sini Man... Kuatkan semangat Man... Kuatkan semangat... Kalau kau pergi, aku redha Man. Tunggu aku kat syurga Man.."
Sukar sekali saya menghabiskan kata-kata saya. Malah menaip kembali monolog saya itu ketika ini juga cukup membuatkan saya sebak.
Dia kaku. Tidak memberikan sebarang maklum balas. Hatta kerdipan mata atau anggukan kepala. Yang ada hanyalah dadanya yang berombak, naik dan jatuh, naik dan jatuh, mengambil nafas dengan bantuan mesin. Jauh di sudut hati, betapa saya berharap dia mendengar setiap butir kata yang saya ucapkan.
Berbelah bahagi juga untuk pergi meninggalkan dia pagi itu. Kerana entah mengapa, hati saya kuat mengatakan mungkin itulah kali terakhir saya akan bertemu dengannya. Namun amanah dan jemputan ikhwah mesti dipenuhi. Dengan berat hati, saya melangkah pergi untuk melaksanakan tugas Syahadatul Haq saya.
Sepanjang perjalanan saya menuju ke destinasi, ingatan dan memori silam saya bersama Iman sering menerjah ke fikiran. Beberapa kali saya terpaksa mengelap pipi yang basah, dek habuk yang banyak masuk ke dalam mata. Wahahaha.. Beberapa kali, saya berbisik kepada diri,
"Kalau kau pergi, aku redha Man.. Aku redha."
Mengimbau kenangan lalu, hubungan saya dengan Iman terlalu unik dan menarik sifatnya. Saya mengenalinya buat pertama kali pada tahun 2006. Ketika itu, dia merupakan junior saya di Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan. Jujur, atas sebab-sebab yang saya rasa tidak enak untuk dikongsi di sini, kami saling tidak menyukai. Bertegur-sapa jarang sekali. Malah Iman sendiri mengakui hal ini beberapa tahun selepas itu, apabila ukhuwwah antara kami bertaut.
Lu bikin gua panas bro! Eh.
Saya masih ingat ketika masuk tahun kedua di Kerajaan Bersatu, ketika itu saya baharu tiba di lapangan terbang Heathrow selepas habis percutian musim panas. Ditakdirkan Allah, Iman yang baru beberapa hari tiba di Kerajaan Bersatu berada di situ untuk menjemput kawannya yang juga baharu tiba.
"Pehal mamat ni buat kat sini..?" Saya berbisik.
Saya hanya tersenyum kepadanya, menegur sepatah dua sebelum meneruskan perjalanan saya. Rupa-rupanya, itu adalah permulaan kepada pertemuan-pertemuan yang lebih bermakna selepas itu. Rakan serumah saya, telah ditugaskan untuk menDF pelajar-pelajar baru tahun satu yang belajar di University of Greenwich, yang mana Iman merupakan salah seorang daripadanya. Itulah titik permulaan bagaimana Iman akhirnya menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah ini.
Perhubungan kami mulai rapat *garu tengkuk yang tidak gatal* ketika jaulah musim sejuk di akhir tahun 2008. Ketika itu saya merupakan mas'ul kepada jaulah tersebut. Entah mengapa, Iman merupakan antara insan yang banyak saya habiskan masa bersama sepanjang jaulah tersebut, walaupon sekiranya diambil kira sejarah silam kami di kolej dahulu, Iman mungkin adalah orang terakhir yang mahu saya rapat dengannya. Mungkin sifat Iman yang semulajadi mesra alam itu menjadikan ia lebih mudah buat kami. Ahah.
Tak kenal maka taaaruf. Tak kenal maka tak chenta. Senyum.
Perhubungan kami juga sangat unik sifatnya. Kami berkongsi banyak perkara yang sama, yang tidak dikongsinya dengan orang lain. Walaupon saya bukanlah murabbinya, selalunya dia akan mencari saya untuk bercurhat perkara-perkara yang mungkin dia tidak selesa untuk menceritakannya kepada murabbi terchenta. Dan selalunya juga, saya lah yang akan ditugaskan untuk menegur dan menasihatinya, andai orang lain tidak bisa melaksanakannya.
Saya masih ingat dengan jelas, bagaimana pada suatu malam yang hening, saya dan seorang lagi al-akh, telah ditugaskan untuk pergi berjumpa dengan Iman dan menasihatinya untuk suatu perkara. Ketika sesi yang boleh saya kira cukup sensitif dan perlukan keberanian yang tinggi itu berjalan, saya tidak semena-mena mengalirkan air mata.
Ketika itu saya merasakan betapa indah dan nikmatnya berada dalam lembayung tarbiyah dan dakwah, kerana ada orang yang sudi dan sanggup untuk saling mengingatkan dan menasihati, hanya semata-mata kerana tidak rela melihat al-akh yang dichentai berada dekat dengan jurang api neraka. Allahu rabbi...
Iman sering meminta nasihat saya, baik dari segi urusan peribadi mahupon dakwi. Malah saya berani kerat jari, saya merupakan antara orang yang paling dipercayainya untuk meminta nasihat dan bimbingan, selain beberapa orang ikhwah yang lain. Setiap kali dia meminta untuk dinasihati atau meminta panduan daripada saya, setiap kali itu juga saya merasakan amat dihargai.
Ketika saya sudah pulang ke Malaysia secara baik (Baca: Back for good), berlaku suatu kejadian di Kerajaan Bersatu sana yang menyebabkan kami tidak dapat lagi berhubung secara rapat seperti selalu. Terlalu banyak salah faham, terlalu banyak prasangka, yang akhirnya menyebabkan sukar untuk kami berkomunikasi dengan baik.
Hal ini berlangsung setahun lamanya, hinggalah Iman sendiri sudah pulang secara baik. Suatu sms telah mengubah segala-galanya. Saya bertanyakan kepadanya, adakah dia masih percaya kepada saya..? Dipendekkan cerita, dia yang ketika itu berada di kampung halamannya di Perak, sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk bertemu-mata dengan saya.
Saya masih ingat hari itu, berjam-jam kami habiskan bersama untuk bercurhat dan merungkaikan segala simpulan yang selama ini menjadi halangan. Dan hari itu telah merobah perjalanan tarbiyah dak dakwah dirinya. Alhamdulillah. Semenjak hari itu, dia terus memecut laju ke hadapan, tanpa menoleh ke belakang lagi. Saya adalah orang yang paling gembira melihat sumbangan dan komitmennya pada perjuangan ini, kerana saya tahu potensi pada dirinya yang cukup besar dan haibat.
Meskipon dia masih melihat saya sebagai seorang abang, sebagai seorang senior yang membimbing, kami banyak bekerja bersama-sama. Dan saya melihatnya sebagai seorang ahli pasukan yang terpercaya dan amat boleh diharapkan. Ada masa-masanya saya akan menegurnya. Ada masa-masanya kami akan saling menasihati.
Perlu saya akui, kadang-kadang ego dan cemburu menguasai diri. Melihatkan Iman yang begitu kuat bekerja, timbul nafsu dalam diri untuk menegurnya, walhal mungkin teguran itu tidak diperlukannya. Apabila melihat dirinya yang begitu hebat menDF dan mudah sahaja masuk dengan hampir semua orang, terbit cemburu pada diri yang menyebabkan rasa mahu memperlekeh dan merendahkan dirinya.
Astaghfirullah... Nanges.
Semalam, ketika masih dalam perjalanan ke selatan, baharu saya sedar betapa saya benar-benar menchentainya kerana Allah. Bahawa dia adalah seorang al-akh yang amat saya kasihi dan rindui di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini. Perasaan itu membuak-buak dan begitu hebat sekali. Lantas terbit rasa sesal yang teramat, yang sepanjang saya mengenalinya, saya sekali pon tidak pernah mengatakan kepadanya, "Ana uhibbuka fillah."
Maka dalam linangan air mata, saya menghantar mesej Whatsapp kepada seorang al-akh yang saya tahu berada di hospital untuk menjaga Iman.
"Max. Aku takut tak sempat... Tlg bisikkan kt iman, yang aku cintakan dia kerana Allah. Uhibbuka fillah. Aku x pnah nk ckp camtu kt dia masa dia sihat... Kalau dia pergi, soh dia tunggu aku kt syurga... *sebak*"
Potong bawang laju-laju.
Ahamdulillah, permintaan saya itu berjaya dilunaskan oleh al-akh tersebut. Meski Iman mungkin tidak lagi dapat mendengarnya atau memahaminya, saya yakin, Dia amat tahu lagi mendengar.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah mendapat berita perginya Iman menghadap Ilahi, telefon saya tidak henti-henti bergegar dan berbunyi, tanda sentiasa adanya maklumat terbaru yang masuk perihal Iman. Saya tatal garis masa MukaBuku saya, dan saya dapati terlalu banyak post dan hapdet tentang sosok ini.
Semuanya memuji amal soleh sepanjang hidupnya di muka bumi. Semuanya meratapi pemergian seorang al-akh assodiq di atas jalan dakwah ini. Tidak ada satu pon post yang saya temui, bercakap atau berbicara perkara yang tidak enak tentang figur yang seorang ini.
Lantas saya cemburu. Sumpah cemburu. Kerana amalnya yang soleh lagi ikhlas sewaktu dia masih bernyawa dahulu, betapa Allah telah menunjukkan kepada seluruh umat manusia betapa amalannya telah diangkat ke langit sana.
Iman pernah menyatakan betapa dia cemburu dengan amal-amal saya, espeseli dengan tulisan-tulisan dan video osem di belog saya yang marhaen ini. Ketahuilah kini wahai saudaraku, kau lebih aku cemburui! Malah seluruh dunia dan seisinya mencemburui dirimu!
Iman, dikau mungkin tidak dikenali di dunia, tetapi kau selebriti di langit sana..!
"Dan jangan sesekali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."
[ali-Imraan, 3:169]
Semua orang yang mengenali Iman dan yang pernah mendapat sentuhan tarbiyahnya, pasti akan setuju dan mengakui, betapa dia adalah seorang insan yang terlalu amat istimewa. Sentuhannya berbisa. Taujihatnya membara.
Dia amat semangat dan teruja sekali setiap kali berada di hadapan, memikul amanah untuk menyampaikan pengisian atau taujihat tarbawi. Hampir setiap orang yang saya temui, yang pernah mendengarnya mengisi, sama ada akan terpukul dan tertampar berkali-kali, atau pantas menuduhnya sebagai ekstrem dan tidak berhati budi. Ahahaha.
Dan saya kira saya lebih beruntung dan berasa istimewa lagi. Kerana saya mengenali dirinya sebelum dan selepas dirinya dilanggar Makcik Hidayah. Iman adalah manifestasi kepada hadith logam yang sering dicanang-canang itu. Iman adalah 'Umar al-Faruq versi moden. Iman adalah seorang al-akh yang benar-benar beriman dengan hadith halawatul iman, yang tidak sanggup dan mahu berpaling ke belakang lagi.
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk."
[ali-Imraan, 3:103]
Terima kasih Allah, untuk ukhuwwah ini. Meski ia singkat, walau ia sekejap cuma, namun aku dapat merasakan kemanisannya. Aku dapat menikmati kelazatannya.
Iman, kau tidak mungkin dapat membaca ini. Kau mungkin tidak tahu apa yang terbuku di hati.
Namun ketahuilah..
Aku amat merindukan gelak tawa mu.
Aku amat merindukan kesengalan dirimu.
Aku amat merindukan senyuman manismu.
Aku amat merindukan gurauan kasarmu.
Aku amat merindukan taujihat basahmu.
Aku amat merindukan saat dikau meminta nasihatku.
Aku amat merindui dirimu...
Dan ketahuiah, walau kau tidak mampu untuk mendengarnya kini, ana uhibbuka fillah. Aku amat-amat menchentai dirimu kerana Allah. Moga ia akan menjadi bumbung chenta dan payung keselamatan, ketika kita berlari-lari mendapatkan perlindungan di Mahsyar nanti.
"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka (ada pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pon tidak mengubah (janjinya)..."
[al-Ahzab, 33:23]
Iman, aku menjadi saksi betapa dikau telah melaksanakan tugasmu sebagai 'abid dan khalifah di muka bumi.
Aku menjadi saksi betapa hidupmu dihabiskan untuk berbakti kepada agamaNya yang terchenta.
Aku menjadi saksi betapa dikau benar-benar ikhlas dan bersungguh memegang dan mengibarkan panji perjuangan ini!
Aku menjadi saksi betapa dikau sentiasa mencari-cari ruang dan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya!
Aku menjadi saksi betapa dikau sungguh-sungguh bencikan jahiliyyah dan kejahatan, sepertimana dikau benci dicampakkan ke dalam api neraka sesudah Allah menyelamatkan dikau daripadanya!
Dan aku menjadi saksi, betapa dikau amat-amat menchentai tarbiyah dan dakwah ini, melebihi dikau menchentai dirimu sendiri!
Air mata mencurah-curah.
Bergembiralah wahai saudara seibu aqidah dan sebapa fikrahku! Kau pergi tatkala kau masih teguh di atas jalan ini! Nyawamu diambil di saat kau masih tsabat dan bersemangat dengan perjuangan ini! Dan dikau pergi menghadapnya dengan penuh redha dan bahagia..! Bergembiralah! Bergembiralah...!
Dan aku menjadi saksi. Dan aku menjadi saksi. Dan aku menjadi saksi...!
Buat ikhwah, rakan-rakan yang masih bersedih hati, bagi saya itu normal. Apatah lagi Iman telah meninggalkan bekas yang cukup mendalam pada hati dan jiwa kalian. Namun jangan biarkan ia menguasai diri kalian. Jangan sesekali biarkan ia terus menjadi beban kepada kalian.
Kerana saya yakin, bukan itu yang dimahukan Iman. Dia pasti mahu kita semua terus teguh di atas jalan ini. Terus bersemangat menegakkan Syahadatul Haq. Terus ikhlas dan laju memacu gerabak ini.
"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau terbunuh, kamu berbalik ke belakang? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikit pon..."
[ali-Imraan, 3:144]
Ketahuilah, dakwah tidak rugi sedikit pon dengan kehilangan Iman. Perjuangan ini tidak kehilangan apa-apa dengan pemergiannya. Kerana hakikatnya, dakwah dan perjuangan ini tidak memerlukan sesiapa.
Namun kitalah yang rugi kerana sepanjang hayatnya dahulu, kita tidak memanfaatkan keberadaannya untuk dakwah ini. Kitalah yang rugi kerana semasa dia masih bernyawa, kita tidak kutip permata-permat yang ada pada dirinya. Kitalah yang rugi, kerana semasa dia masih ada, kita tidak mahu belajar daripada kehebatan yang Allah kurniakan kepada dirinya!
Iman, kematianmu telah menghidupkan ribuan, malah mungkin jutaan kehidupan.
Tidurmu telah membangkitkan banyak jiwa-jiwa yang lena di luar sana.
Dan rehatmu telah menggerakkan ramai sosok-sosok yang bermalas-malas sebelum ini!
Pergimu tidak sia-sia wahai saudaraku. Pergimu menjadikan kami lebih bersemangat untuk berlari lebih laju mengejarmu!
Iman, aku tahu dikau sedang berbahagia di sana. Aku tahu kau sedang tersenyum di pintu sorga. Dan aku tahu, kau sedang menanti kami semua dengan penuh setia.
Tunggu aku akhi fillah, ya...?
Kejarlah dikau kejora sorga,
Dakaplah,
Genggamlah,
Sehingga aku datang menyertaimu!
Muhammad Nur Iman Shafiq (1989-2013). Dikau dalam kenangan. Aku dalam kerinduan. |
-gabbana-
Muhammad Nur Iman Shafiq bin Abdul Rahman telah kembali menghadapNya dengan penuh redha dan chenta pada jam kurang lebih 5:30 petang, pada hari Sabtu 16 Mac 2013 bersamaan dengan 4 Jamadil Awwal 1434H, setelah hampir 24 tahun bernafas di muka bumi Allah ini.
Almarhum telah kemalangan motor, yang melibatkan sebuah Alphard di Lebuh Raya KL-Seremban ketika pulang daripada kerja di Selayang. Ketika itu Alrmarhum sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi. Malam itu juga, sepatutnya Almarhum menghadiri katibahnya.
Almarhum telah selamat dikebumikan, berada di dalam mahligainya yang baharu, di kampung halamannya di Taiping, Perak pada jam kurang lebih 2:30 pagi hari ini (17 Mac).
Moga Allah redha dengan kehidupannya di dunia. Moga Allah menempatkan ruhnya dalam kalangan para syuhada', dalam kalangan para kekasihNya.
Mohon pada semua, dapat memaafkan dan menghalalkan sebarang salah silap atau hutang Almarhum yang mungkin ada.
Moga Allah redha.
31 Caci Maki Puji Muji:
Nangissss......Pintu syurga menantimu di sana.... aameen...
En. gabbana... sebak saya..basah pipi.. T_T
mnaufa : akhi...nanges.....teringa gurau senda akah iman time. daurah kolper dulu
allah berada di kalangan orang orang beriman :')
moga ditempatkan di sorga .
Harimau mati meninggalkan belang nyer,
Akhi Iman pergi meninggalkan manfaat nyer...Allah
al-fatihah...
sebak..semoga dia berbahagia di sana..sungguh! ramai yg menjadi saksi!
Sungguh saya meman menunggu post ini...
Saya selalu membayangkan betapa iman sgt menyayangi IG melalui certa2nya berkenaaan IG dgn mata bersinar2....
*Senyum*
Singkap kembali detik akhir bersama
Linangan airmataku menitis
Dalam pelukan dakapan yang terakhir
Mengalir darah membasahi bumi
Pergi yang tak kembali untuk selamanya
Segar indah namamu di hatiku
Perjuanganmu bagai lilin membakar
Bersinar menerangi kegelapan
Rela berkorban meredah onak berduri
Jasa baktimu sejernih air di kali
Bersemadilah engkau aman di pusara
Sinar cahaya murni keramatmu
Berjihad biar menitis oh darah terakhir
Menjadi lambang cinta yang terluhur
Sayu dan pilu bermain di jiwaku
Hilang mu kini tiada pengganti
Hanya namamu tersemat di kalbuku
Menjadi satu kenangan abadi
Menjadi satu kenangan yang abadi
abg iman dulu senior saya di semesti dahulu..dan sejujurnya beliau antara black list senior yg saya agak x suka sbb selalu buli saya dan kawan2...tp tuh semua sejarah,,,mcm yg i.g mention awal2 pasal pertemuan dgn beliau..andai betul dia dh berubah,x pe,, saya maafkan segala salah dan silap beliau...=)
moga syurga Allah buat diri nya...
Walaupun hanya kenal di sekolah dulu...x pernah berjumpa dengan dia lpas tu..Tapi bila baca semua menulis semua kebaikan tentang dirinya sewaktu dia hidup..membuat kan hati ini tersentuh...bergenang air mata tatkala teringat akan diri nya..Setiap perilakunya yg amat ceria.. Allah amat menyayangi iman...iman seindah namanya..doa ku mengiringi kepulangan mu menghadap Allah yang esa...amanlah dikau di sana.. Amin...
walaupun akk tk pernah mengenali iman tapi nukilan adik ni buat akk rasa sebak sangat.. bergenanang airmata akk teringat kisah sahabat akk yg meninggal akibat kemalangan juga bulan lepas. semoga arwah ditempatkan di kalangan org yg beriman...
menangis saya baca kisah ni.....bersemangat saya untuk berdakwah......Ya Allah bantulah diri ini...
Mungkin saya tidak pernah mengenali akhi iman atau pun x pernah berjumpa sekali pon, namun, hati saya tertarik dalam ingin mengenali akhi Iman.. Ibarat akhi iman ini dekat di hati saya meskipun tidak pernah bersua dan hanya mendengar khabart sahaja dari rakan2..
teringat kenangan pabila saya mensukarelakan diri untuk menjaga seorang sahabat di hospital. macam i.g cakap, air mata ni tak tertahan nak jatuh pabila melihat sahabat yang ketika sihatnya seorang yg sangat aktif dalam dakwah,terbujur sebentar di atas troli. sepanjang mengiringi si dia, air mata saya laju mengalir. alhamdulillah,kini dia dah sihat. dan dia dah meneruskan perjalanan dakwahnya. duhai sahabat, ketahuilah,aku juga mencintaimu,meski aku tidak pernah menuturkan kata2 cinta buatmu.
walaupun ana tak pernah kenal arwah..nukilan anta tlah mmbuatkan arwah tenang di sana..segala amalnya di dunia telah membuatkan arwah selesa di sana.. INSYAALLAH.. setiap yg hidup pasti akan merasai mati..hya amal shja bekalan kita di akhirat..walaupun kita tak sempat mnyatakan kita bersahabat krna Allah..tetapi Allah ada..Allah tahu segala isi hati kita,keikhlasan kita..wallahualam..
Dulu arwah sekolah menengah di mana,ya?
Salam,
Abg Nazri tak kenal dia, tapi sbg ahli IKRAM HL pernah beberapa kali ternampak dia masa program khatibah dan program daerah.
Masih terbayang dia bercakap semasa khatibah 2 minggu lepas.
Entahlah walaupun tak berapa kenal tapi kematiannya menimbulkan keinsafan diri ini.
Nazri Hassan
IKRAM HL
Assalamualaikum. Boleh ana tahu kubur Cikgu Iman di mana?
Enonimus yang bertanyakan tentang sekolah Iman: Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI)
Enonimus yang bertanyakan tentang kubur Iman di mana: Di kampung halamannya di Taiping. Maaf saya lupa exact locationnya.
Ah, air mataku tumpah lagi membaca kembali tulisa ini...
Hari tetiba rasa nak type nama arwah , jumpa blog ni . Rindu Arwah Cikgu Iman .
saudara mengingatkan saya kembali tentang arwah iman syafiq.insyaallah arwah dalam husnul khatimah. saya dipilih allah untuk menjaganya disaat akhir dan saya tahu betapa istimewanya hamba allah ini pada saat sakaratul maut. pertama kali wad bergema dengan bacaan yasin dikalangan sahabat. dan allah swt permudahkan segala urusan tentang arwah iman..semoga allah swt hadiahkan ganjaran syurga buatnya. amin
super senior kyuem ?
Semoga Allah swt merahmati anda disana
Sek men sains teluk intan
Di kampung jambu taiping perak
still didnt met someone that can move me.. maybe its not the time yet, or maybe im the one who didnt try to know it.. btw, love to read ur blog. at least this is my 1st step..
subhanaAllah. walaupun saya tidak kenal siapa arwah, tidak kenal siapa penulis blog ini. namun bila membaca cerita saudara..hanya Dia yang tahu sebaknya saya, sedihnya saya. airmata sentiasa mengalir semasa membace entry ini.
Harini baca balik entry ni stelah skian lama xbaca.
Ahhhh air mata mengalir ttp mngalir.
Coretan ni benar2 booster!
IG nk request. Klu ade cerita2 psl arwah iman yg mnggugah iman nak minta IG tulis entry satu. Jzkk!
Menerima tarbiah pada tahun 2014, dan tahun 2016 seseorang menceritakan kisah arwah Iman yang tidak kami kenali pun sosok dia selama ini. Benarlah, orang yang beramal soleh kebaikannya tidak akan putus-putus dicerita orang.
Even after all these years, I will always keep coming here searching for this post. Setiap kali diminta mengisi, pasti akan selit kisah Iman. Bukti penyaksian kebenaran. And I bear witness upon his deeds! T_T
Post a Comment