4 December 2012

Pelempang Sakti


[Kredit]

Anda pernah dilempang..? Anda tahu apa itu pelempang..?

Anda yang pernah dilempang pasti faham benar bagaimana perasaanya bukan. Pasti masih terngiang-ngiang wajah cikgu disiplin anda, bermuka agarang, bermisai lentik, berkening tebal, membuat pusingan seratus enam puluh tiga darjah melempang anda dengan sekuat hatinya. Nak tersembam anda dibuatnya. Aduh, kalau dipegang dan diraba-raba pipi anda sekarang ni pon, pasti masih terasa betapa birat dan pedihnya lempangan agung itu. Semuanya gara-gara anda yang ponteng puasa, dikantoikan oleh si cikgu disiplin sedang makan megi sambil berbokser sahaja. Wahahahaha.. Err.

Penangan pelempang ni memang haibat. Sampai mati pon wajib teringat!  

Untuk anda yang tidak tahu apa itu pelempang, malah mungkin pertama kali mendengar perkataan itu, dek dibesarkan dalam suasana manja dan terpelihara, tidak ke sekolah asrama, semuanya yang di sekeliling anda adalah gula-gula kapas dan bunga-bunga dandelion semata... Mari sini saya terangkan apa itu pelempang.

Pelempang adalah sejenis senjata merbahaya yang menggunakan tangan sebagai alatan utamanya. Pelempang selalunya akan diiringi dengan perasaan marah melampau yang meluap-luap, sebab hanya dengan perasaan sebegini sahaja seseorang itu dapat melempang dengan sesungguh hati. Dan kalau tak marah yang meluap-luap, ia tidak dipanggil pelempang tapi dipanggil pelampung. Eheh. 

Si pelempang selalunya tidak merancang pon nak lempang. Ia datang dengan spontan dek perasaan marah menggila yang meracuni dan merasuk otak si pelempang. Sejurus selepas membuat keputusan untuk melempang, si pelempang akan segera mengangkat/menarik ke belakang tangannya setinggi/sejauh mungkin dan kemudian mensasarkan kepada pipi mangsa. Dengan sekuat hati, pelempang akan dilepaskan. Tapak tangan yang dipilih untuk melempang pada kebiasannya adalah tangan utama yang selalunya membuat kerja-kerja rutin harian. 

Selepas pelempang dilepaskan, impaknya akan dilihat serta-merta. Pipi mangsa akan menjadi merah dengan segera. Selalunya dia akan segera menggosok-gosok pipinya bagi menghilangkan kesakitan yang teramat yang dirasainya. Dalam kes-kes terpencil, mangsa mungkin akan terpelanting atau terperosok, tersembam jatuh dek impak lempangan yang tersangat kuat. Si pelempang pula, kalau tersalah teknik melempang, akan menyebabkan tapak tangannya kesakitan dan silap haribulan, boleh membengkak kesakitan.

Kesan lempangan pasti tidak akan dilupakan sampai mati. Selain impak pada fizikal yang akan kekal sakit dan pedih untuk beberapa hari lamanya, impak pada emosi juga akan menyebabkan si mangsa trauma, berhari-hari malah mungkin berbulan lamanya. Kesan lempangan di pipi mungkin akan hilang, tapi kesan di hati siapa yang tahu..? Ewah.

Err. Ok ini bukan kelas atau latihan melempang. Malah saya tidak galakkan anda melempang siapa-siapa pon, walau marah anda sedang memuncak raksasa. Kerana saya merasakan melempang adalah hukuman yang kejam dan merendahkan martabat dan kehormatan seseorang itu. Tiada siapa pon yang layak dilempang dan tiada siapa pon yang cukup haibat dan terhormat untuk melempang. Itu saya yang rasakanlah. 

Tapi ada satu pelempang yang lain daripada yang lain. Pelempang ni halal lagi tayyibah, malah amat-amat digalakkan pula. Dan saya yakin, anda juga pernah dilempang etlis sekali dalam hidup dengan pelempang ini.

Pelempang cap apa tu Inche gabbana..? Pelempang wanita kah..?

Bukan. Ehem. 

Saya panggil pelempang ni pelempang sakti. Kenapa sakti..? Sebab ia adalah lempangan daripada Allah. Ya, pelempang Allah. Tapi janganlah bayangkan secara literal, Allah melempang secara fizikal pula! Peluh besar. Allah melempang, tapi menerusi ayat-ayat chentaNya. 

Pelempang dari Allah ni memang perit dan menyakitkan. Ia berbekas bukan di pipi, tapi di hati. Sekali kena lempang, memang berbirat hati berhari-hari. Tapi ia bagus, kerana lempangan ini, meskipon ia meninggalkan bekas yang mendalam di hati, ia amat-amat diperlukan oleh hati yang sakit dan hampir mati. Ia menghidupkan hati yang layu dan menyegarkan jiwa yang tertidur. Masakan tidak, kena pelempang kot! Wahahaha.. 

Nah, hari ini saya nak melempang diri sendiri dan anda semua dengan ayat-ayat lempanganNya. Terasa macam sangat-sangat perlukan lempangan daripadaNya dengan segera. Anda sudah bersedia...?

Gulp.

Kita ni kaki mengumpat..? Sambil mengunyah sireh dan mencuci kain di tepi sungai, sambil-sambil itu syok juga kita mengata si Leha janda beranak tiga tu ya? Eh. Sukar berlapang dada; baru sekali si Ajis Wakagama itu tidak hadir ke bulatan gembira, terus sahaja kita tuduhnya sebagai si pemfutur tegar...? Suka mengadu-domba dan gembira melihat orang lain sengsara dek mulut kita yang macam light saber?

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik..."
[al-Hujuraat, 49:12]

Paaaannggggg! Lempangan pertama.

Kita tak takut buat dosa? Merasakan tiada siapa yang melihat kemungkaran kita..? Alah sekali-sekala berpegang tangan dengan awek terchenta yang sungguh lembut lagi ayu itu apa salahnya? Aish mana ada lelaki yang tak pernah tengok porno? Kadang-kadang tiada salahnya, kubur masing-masing beb! Curang sana, pecah amanah sini. Tipu sana, bohong sini. Wahai!
"Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: 'Aduhai celakanya kami! Kitab apakah ini? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan tercatat semuanya!' Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun."
[al-Kahfi, 18:49]

Paaaannggggg! Lempangan kedua. 

Sudah berkali-kali kita diingatkan tapi kita masih memilih dunia daripada akhirat sana..? Kita tunduk dan mengutamakan nafsu kita yang hina daripada menjunjung syariat Allah yang terutama..? Sudah berbuih mulut orang mengajak kita ke arah kebaikan tetapi kita masih berdegil, keras kepala dan tidak sanggup mengorbankan kepentingan diri kita...??

"Dan sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya, dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan (lidahnya) juga. Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami..."
[al-'Araf, 7:176]

Paaaannggggg! Lempangan ketiga.

Eh, anda masih ok..? Bagus. Baik, kita teruskan.  

Kita rasa syok dengan amal ibadah kita? Kita yakin yang kita dah tempah tiket kelas pertama untuk ke sorga...? Kita super duper pasti yang amalan kebaikan kita sudah cukup bagus untuk menjamin kita masuk ke sorga dan mengeluarkan kita daripada seksaan api neraka? Tidak cukup dengan itu, kita berasa bangga seluar kembang dengan pencapaian diri sendiri dan memandang hina dan keji pula pada orang lain??

"Katakanlah (Muhammad), 'Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?'

(Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya. 

Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) terhadap pertemuan denganNya. Maka sia-sia amal mereka..."
[al-Kahfi, 18:103-105]

Paaaannggggg! Lempangan keempat. 

Kita tidak yakin yang di akhirat sana akan ada pengadilan Allah yang tidak menzalimi sesiapa? Kita lihat menari dangdut itu lebih mulia daripada bersolat di masjid, bercengkerama di kaki lima itu lebih suci daripada membuka lembaran ayat-ayatNya? Kita terus-menerus berbuat maksiat kerana menuruti hawa nafsu dan kalah kepada bisikan syaitonirojim? Kita rasa kita akan hidup selama-lamanya, Izrail tidak berani menyentuh, meragut nyawa kita..??

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk), sehingga mereka bergelimang dengan kesesatan. 

Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk (di dunia) dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."
[an-Naml, 27:4-5]

Paaaannggggg! Lempangan kelima. Jatuh terduduk.

Err.. Anda masih mahu teruskan lagi...? Baiklah.

Kita banyak sangat bagi alasan kat dunia ni? Kita eksyen dan bajet hottt sangat..?? Dekat dunia ini kitalah hero, kitalah jago dalam membuat tipu-daya, agar kita terlepas daripada melaksanakan suruhanNya? Kita tahu kewajipan melaksanakan tugas Syahadatul Haq kita dan keperluan untuk kita bersegera dengannya, tapi kita terus berdolak-dalih, memberikan sejuta satu alasan dan penipuan..??

"Inilah hari, saat mereka tidak dapat berbicara, adn tidak diizinkan mereka mengemukakan alasan agar mereka dimaafkan.

Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

Inilah hari keputusan; (pada hari ini) Kami kumpulkan kamu dan orang-orang yang terdahulu. Maka jika kamu punya tipu-daya, maka lakukanlah (tipu daya) itu terhadapKu.

Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran)."

[al-Mursalat, 77:35-40]

Paaaannggggg! Lempangan keenam. Terburai gigi.

Kita sibuk sangat dengan urusan dunia sampai tiada masa untuk berbulatan gembira..? Kita lebih utamakan urusan keluarga daripada memenuhi tuntutan Allah dan ar-Rasul? Azan sudah berkumandang dan ketika itu siaran telebisen drama 'Adam & Hawa' sedang ditayangkan dan kita tidak pasti nak utamakan yang mana...?? Panggilan jihad sudah berkumandang tapi kita masih berat punggung dan keras kaki, semuanya kerana penyakit wahan yang sudah membarah di hati...??

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.'"  
[at-Taubah, 9:24]

Paaaannggggg! Lempangan ketujuh. 

Anda? Anda? Goncang badan. Anda hidup lagi ke ni..? Ok bagus. Kita teruskan ya..? 

Kita malas nak turun ke medan amal berjihad dalam konteks kita sebagai seorang dai'e? Kita banyak bagi alasan; kerjalah, komitmen keluargalah, kucheng matilah, pokok tumbanglah..? Kita rasa berat sangat dengan amanah yang Allah letakkan pada pundak kita ni dan lebih suka pada kehidupan dunia..? 

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, 'Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,' kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit!

Jika kamu tidak berangkat, nescaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikanNya sedikit pon. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
[at-Taubah, 9:38-39]

Paaaannggggg! Lempangan kelapan. Mata berpusing. 

Kita cakap tak serupa bikin? Lebih banyak air liur yang keluar daripada peluh yang terbakar? Seekor singa yang gagah dan garang di alam maya tapi kijang yang pengecut di luar sana..? Hidung kembang kempis ke demo Palestin kemudian pulang ke rumah singgah di pandu lalu Mekdogol untuk membeli secawan Kokakola sejuk..??

"Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu katakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

(Hal itu) sangatlah dibenci di sisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
[as-Saaf, 61: 2-3]

Paaaannggggg! Lempangan kesembilan.

Berbuih mulut. Err.. Satu lagi, satu lagi. Masih mampu bertahan kan...?  

Kita tahu kita diserang oleh raksasa futur, tapi kita biarkan ia terus mengasak kita. Kita tahu kita sedang dirasuk oleh pontianak gugur, tapi kita berasa syok pula kena rasuk. Dan kita jelas benar yang iman kita sedang melemah, yang jiwa kita mula goyah, yang kita mula berjinak-jinak kembali kepada jahiliyyah, tapi kita biarkan sahaja keadaan itu kerana entah, rasa masyuk pula. 

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik."

 [al-Hadid, 57:16]

Paaaannggggg! Cukup sepuluh pelempang.

Bagaimana..? Ada terasa macam dilempang oleh Inche Berusli berkali-kali tak..? Gigi anda masih tersusun rapi atau sudah berterabur pergi? Wahahaha.. Peluh kecil.

Saya tahu masih banyak lagi ayat-ayat pelempang dalam al-Quran itu. Tetapi cukuplah setakat ini. Saya risau anda yang tidak sanggup dilempang, lantas bersegera untuk terjun gaung atau melompat di hadapan komuter nanti heyyy!

Sakit? Perit..? Terasa macam nak tercirit..? Ya saya tahu dan faham semua itu. Tetapi lebih baik begitu. Lebih baik sakit dan pedih sekarang ni. Biarlah lempangan-lempangan ini berbekas terus di hati, agar menjadi peringatan di saat kita lupa diri, menegur kita di kala kita sudah mula berbasa-basi.

Ya, ia bukan sekadar lempangan yang biasa-biasa. Ia lempangan sakti, yang merobah jiwa dan hati, agar terus tunduk dan patuh pada perintahNya setiap masa dan ketika, tanpa kompromi. Ia lempangan ajaib yang mampu mencairkan hati yang keras, menggugah jiwa yang degil dan menggerakkan ruh yang malas. 

Ya, ia lempangan sakti, terus dari Ilahi.

Lebih baik kena lempang di dunia ini berkali-kali, daripada kena lempang kat akhirat sana tak henti-henti. Bukan..?

Senyum minta pelempang.

-gabbana-

17 Caci Maki Puji Muji:

Mummy Poko 04/12/2012, 17:47  

Bengang giler bila ada orang touching tentang masalah remeh temeh.sabar je la dengan dia *tetibe pulak kan. :)

Anonymous 04/12/2012, 18:27  

|potong bawang| T____T

jazakallahu khairan kathira inche gabbana.smoga Allah merhmati inche senantiasa

Husna Zaki 04/12/2012, 21:49  

Well explained.

Allah telah terlebih dahulu memberi peringatan kepada kit melalui ayat-ayatNya.

iza 04/12/2012, 22:09  

terdapat ayat2 di atas yg sy mark sbb memang terasa sangat Allah ckp direct kt sy. aah. rs kena pelempang lah tu. moga kita terkesan selamanya..

miranadia 04/12/2012, 22:41  


kadang kadang kita ni pandang ringan. padahal benda tu terang benderang salah.

semoga kita sentiasa diberkati olehNya.

Anonymous 04/12/2012, 23:02  

telah dilempang berkali-kali.
hmm saya berpendapat bahawa *rasa saya* saudara tak perlu kot retweet setiap tweet lempangan.. cukuplah sekadar satu dua. ye saya tahu, kita semu tahu saudara bagus dalam menulis, tapi rasanya biarlah rasa gembira itu disimpan untuk diri sendiri dan Allah swt shj.. nnt tak pasal2 tertimbul dah riak.. hmm errr ini pendapat peribadi saya shj. ok dah. assalamualaikum.

haryzkhairuddin 04/12/2012, 23:14  

memang terlampau banyak lempangan dari Allah ni.. baik yang lemah gemalai ataupon yang mampu menterbalikkan kepala. tapi, berapa ramai yang terkesan dengannya? adakah makin sedar atau tetap leka selepas dilempang..?? peringatan buat diri.

pembacategar 05/12/2012, 00:00  

cukup 10 mmg mencurah T_T. jzkk for the reminder IG ;'(

Anonymous 05/12/2012, 00:12  

Encik gabanna pandai la menulis! Semoga ramai yg terasa lempangan. Satu cadangan, kurangkan sikit introduction, takut org malas nk bace. En gabanna berbakat, rugi org x baca. Maaf cuma cdgn :)

Unknown 05/12/2012, 02:39  

hehe xperlu kot pk si penulis akan riak ker ape,amek apa yang nak disampaikan,toalk tepi siapa dan macamna si penyampai..insyallah kta akan dapat sesutu.sesama menyucikan hati insyallah=)

Muhammad Nur Fitri 05/12/2012, 07:21  

selagi kita mampu beri peringatan, sampaikan lah...Jangan kata sape2 riak..mne tahu, mungkin ade insan-insan yg akan ditiup hidayah hasil tweet & update Inche Gabbana...
insyAllah :))) husnuzon byak2 yer ikhwah wa akhowat...

Rue Anemone 05/12/2012, 08:12  

sudah bertaburan gigi...hurmmm..

Farah Hanim Mohd Alwi 06/12/2012, 00:00  

*lap air mata bercampur darah dek lempangan yang amat menyakitkan*

T______T

Anonymous 06/12/2012, 11:31  

kalau enche gabbana dapat sertakan ayat-ayat al-quran tersebut dalam bahasa arab lagi osem. :)

btw, terima kasih di atas post yang memberi kesan di hati ini. semoga Allah merahmati enche gabbana selalu.

Anonymous 06/12/2012, 11:38  

di harapkan penulis lebih2 lagi mengambil iktibar daripada tulisan sendiri... mudah-mudahan bukan termasuk orang yang pandai menulis sahaja...

bannie 07/12/2012, 09:45  

Thanks for the lempangan.sakit dan berbirat.T.T

Capital A 26/12/2012, 08:24  

Ouchhh.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP