16 July 2012

Kesan Rama-Rama

[Kredit]

Pernahkah anda mendengar tentang Kesan Rama-Rama (Baca: The Butterfly Effect)..?

Ya, Kesan Rama-Rama. Di mana suatu kejadian yang besar dimulakan oleh suatu tindakan atau kejadian yang kecil/tidak signifikan, yang tampaknya seolah-olahnya tidak kena-mengena atau ada hubungan saudara-mara antara satu sama lain.  Contohnya, bolehkah ribut taufan di Mombasa, Kenya dimulakan oleh kuakan sayap rama-rama di Osaka, Jepun? Atau banjir besar di Rio de Janeiro, Brazil disebabkan oleh hujan renyai-renyai di Ketereh, Kelantan..?

Walawww. Ini merupakan suatu idea yang ekstrem dan kontroversi bukan? Selama ini kita sering diajar bahawasanya sesuatu kejadian itu mestilah disebabkan atau dimulakan oleh sesuatu yang punya hubungan langsung dengannya bukan? Gunung berapi Luzon meletus disebabkan oleh kerak bumi yang bergesel lantas mengeluarkan lava yang akhirnya akan dimuntahkan keluar. Atau kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Karak disebabkan sebuah lori yang terlebih muatan memandu laju dan terbabas di sebuah selekoh. Atau si Zubaidah Hashim yang gagal dalam pelajarannya kerana setiap hari dia bukan belajar pon asyik nak main permainan video sahaja kerjanya selepas itu bulatan gembira pula yang disalahkan heyy...! Err.

Kita melihat setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hubung kait dengan penyebab atau pemulanya secara terus dan langsung. Kita sukar untuk menerima hakikat bahawa sesuatu perkara atau kejadian itu mungkin berlaku disebabkan oleh sesuatu yang tampaknya seperti tiada relevan atau kepentingan dengan situasi tersebut. Dengan kata lain, di dalam kepala kita sudah tertanam suatu keyakinan bahawasanya kesan atau natijah mesti berkadar langsung dengan penyebabnya.

Tiada masalah dengan idea atau mentaliti sebegitu. Cuma, tidak semua peristiwa, kejadian atau sesuatu yang berlaku itu mesti ada penyebab langsungnya. Inilah idea yang cuba diketengahkan melalui teori Kesan Rama-Rama - sesuatu itu boleh sahaja terjadi tanpa perlu ada pemula atau pemangkin secara terus.

Saya melihat teori Kesan Rama-Rama sebagai sesuatu yang amat menarik dan mengujakan sekali untuk diaplikasikan dalam dakwah dan tarbiyah. Malah, sekiranya difikirkan secara teliti, ia sebenarnya amat berkait-rapat dengan dakwah dan tarbiyah. Malah sekali lagi, sebenarnya Kesan Rama-Rama adalah antara idea utama yang diperjuangkan dalam dakwah dan tarbiyah.

Ha? Bagaimana tu Inche gabbana..? Anda jangan nak pandai-pandai buat teori sendiri tahu..?? Kami ni semua jantan sejati, mana kelas dikaitkan dengan rama-rama yang harap sahaja cantik tetapi sebenarnya lemah dan rapuh itu...!

Err. Pandang kiri, pandang kanan. Berlalu pergi dengan penuh bergaya sekali. Wahahaha...

Begini.

Kesan Rama-Rama seakan-akan suatu motivasi untuk kita untuk bekerja dengan sesungguh-sungguhnya dalam dakwah dan tarbiyah, tanpa berfikir terlalu seriyes dan mendalam dengan kesan dan impak yang akan dibawa. Tidak, saya tidak mengatakan natijah atau kesan itu tidak penting atau signifikan. Yang saya katakan adalah kadangkala kita terlalu sibuk dan risau akan kesan dan hasil daripada usaha-usaha dakwah dan tarbiyah kita, sehinggakan kita lalai dan terlupa bahawasanya kadangkala Allah sengaja tidak memihak kepada kita sebagai ujian membersihkan dan menyucikan hati.

Persoalannya, adakah kita lebih sering gagal daripada lulus apabila berhadapan dengan ujian sebegini..? Air mata menitik-nitik.

Hakikatnya, bukan kita untuk menentukan apakah natijah dan kesan daripada kerja-kerja dakwah dan tarbiyah kita. Tugas kita hanyalah bekerja, bekerja dan teruskan bekerja. Benar, sebagai seorang dai'e yang bergerak di dalam gerabak jemaah, kita wajib mengatur strategi, membuat pelan dan tindakan serta mengadakan sesi muhasabah secara berkala untuk menghasilkan keluaran dakwah dan tarbiyah yang paling muntij dan efisien sekali. Tetapi itu perancangan di pihak kita, yang mengharapkan hasil yang lumayan di akhirnya. Realitinya, Allah sahajalah yang berhak menentukan kadar pulangan untuk kerja-kerja kita.

"Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang mu'min..'"
[at-Taubah, 9:105]

Masalahnya (saya melihat ia sebagai suatu masalah), hasil didikan kita sejak kecil dan faktor sosio-budaya yang telah membentuk pemikiran kita sejak sekian lama, kita sering melihat kejayaan berbentuk material dan pencapaian itu sebagai sesuatu yang mesti diraikan, manakala kegagalan dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan perlu dihukum dan didenda. Sedangkan lebih sering daripada tidak, kejayaan itulah yang bakal mengundang kecuaian, kesombongan dan akhirnya tergelincir daripada landasan yang sebenar sedangkan kegagalan itu menjadi sifu besar yang akhirnya menunjuk ajar dan membimbing kita merangkak, berjalan dan akhirnya berlari ke arah sirna kecemerlangan. Ewaaaahhh!

Inilah akibatnya apabila kita terlalu menekankan akan aspek pencapaian akhir atau kejayaan yang berbentuk material. Apabila kita terlalu asyik menekankan peri pentingnya mencapai sasaran KPI (Key Performance Index) dan mengabaikan proses dan kaedah yang digunakan untuk mencapai KPI tersebut. Sayugia mulalah kita sibuk dan ghairah bermesyuarat dan berbincang tentang KPI apakah dan manakah yang perlu diletakkan, supaya kita tampak lebih gah dan bergaya daripada orang lain. Mulalah kita mengadakan acara lari berganti-ganti, siapakah yang lebih hebat dan laju dalam menggapai KPI yang telah ditetapkan.

Sedangkan KPI itu fungsinya hanya untuk memudah cara dan sebagai lampu neon di tepi untuk menerangkan jalan, dan bukannya matlamat akhir yang ingin dicapai. Ia sebagai indikator kesihatan dakwah dan tarbiyah sesuatu organisasi atau kawasan dan bukannya tubuh badan itu sendiri. Akibat terlalu memberat-beratkan pencapaian 'duniawi' ini, akhirnya jadilah kita seperti badan-badan atau organisasi-organisasi umum yang lainnya; terlalu sibuk dengan rencah dan kuah, terlalu asyik dengan hiasan dan kain ropol-ropol, sehingga melupakan resipi dan inti, matlamat dan objektif yang ingin dicapai.

Inilah yang tidak kita mahukan dalam tarbiyah. Tarbiyah menekankan peri pentingnya proses, langkah-langkah dan kaedah dan bukannya hasil dan pencapaian akhir. Tarbiyah mengajar kita untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai kembali langkah-langkah yang telah kita ambil sebelum ini bagi menjaga keaslian dakwah agar ia tidak menyeleweng. Dan tarbiyah juga menuntut untuk kita bekerja bersungguh-sungguh dan seikhlas setulus nurani, kerana yang kita kejarkan bukanlah kemenangan di dunia ini, tetapi redha dan sorgaNya di akhirat sana.

"...Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
[at-Taubah, 9:111]

Ini jugalah apa yang saya fahami dengan Kesan Rama-Rama dalam acuan dan konteks dakwah dan tarbiyah.

Kesan Rama-Rama mengajar saya untuk terus menyentuh hati-hati di luar sana, kerana siapa tahu, hasil usaha dakwah dan tarbiyah saya yang tidak seberapa ini, akhirnya suatu hari nanti Puan Mama dan Inche Papa akan tersentuh jua hati mereka..?

Kesan Rama-Rama mendidik saya untuk terus menyumbang dalam bidang penulisan ini, meskipon tulisan-tulisan saya lebih banyat karut-marutnya daripada isi-isi penting yang berguna, kerana siapa tahu, akan ada juga hati-hati yang cair dan basah dengan penulisan picisan ini..?

Dan Kesan Rama-Rama juga meyakinkan saya untuk tidak sekali-kali berputus-asa dan berasa bawah dengan jalan dakwah dan tarbiyah yang panjang lagi berliku ini, kerana siapa tahu, setiap langkah yang saya sambil di atas jalan ini mungkin akan meninggalkan jejak yang seterusnya akan diikuti oleh generasi harapan di masa hadapan..? 

 
Siapa pon kita, pastikan kita bersungguh dan ikhlas dalam melaksanakan amanah kita sebagai 'abid dan khalifahNya! [Kredit]

Kadang-kadang kita tidak perlu pon menjadi gergasi atau raksasa Godzilla dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini; cukuplah sekadar kita menjadi kader-kader bawahan yang menjalankan 'kerja-kerja kotor' (Baca: Dirty works) di medan. Tidak perlu pon kita menjadi adiwira gagah perkasa (walaupon tidak kisah juga sebenarnnya ohoiii!), yang memakai sut dan mantel kacak bergaya; cukuplah kita menjadi semut-semut yang rajin dan betungkus-lumus bekerja, walaupon matinya kita dipijak diinjak manusia tidak disedari oleh sesiapa. Tidak perlu pon kita menjadi suara jurucakap yang terkehadapan untuk gerabak ini; cukuplah sekadar kita menjadi Strepsils dan Fisherman's Friend yang merawat dan melegakan tekak yang kesakitan. Eh.

Kerana bukan nama yang kita cari. Bukan glamor yang kita buru. Dan bukan populariti yang kita dambakan.

Tiada yang lain yang kita mahukan melainkan melangkahkan kaki-kaki yang hina-dina ini ke dalam sorgaNya yang abadi, dalam penuh kechentaan dan keredhaan.

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.

Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam sorgaKu."
[al-Fajr, 89:27-30]

Siapa tahu, kuakan sayap rama-rama anda yang rapuh itu, bakal menghuru-harakan dan menggegarkan dunia dengan gelombang Islam dan obor kebenaran yang anda bawa..??

-gabbana-

Masih segar dalam ingatan, sewaktu bertaaruf ketika berjaulah di bumi Koala gemuk sewaktu ketika dahulu, kami diminta untuk mengaitkan diri kami dengan sebarang objek dan jelaskan juga apa rasionalnya kami memilih objek tersebut.

Saya telah memilih ulat bulu. Kerana ketika itu saya melihat diri saya begitu marhaen, masih bergelumang dengan jahiliyyah dan maksiat. Masih banyak dosa dan noda  yang memalit dan mengotori diri ini. Tetapi suatu hari nanti saya mahu bermetamorfosis, melalui proses tarbiyah yang suci lagi menyucikan, lantas menukar ulat bulu yang hodoh ini menjadi seekor rama-rama cantik memukau mata, yang bakal menggegarkan dunia dengan libasan sayapnya!

Senyum.

5 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 16/07/2012, 12:14  

smoga mnjadi rama rama yg cantik dimata Allah juga

MHM 16/07/2012, 14:25  

^__^ Jazakallahu khoir. Kerana "penulisan picisan" akhi telah menaikkan semangat ana. Hmm. Adakah ini butterfly effect??! O_o OSEM!!!

Spec_Cikgu 17/07/2012, 12:25  

sudah setahun ana berada di medan amal ana, sedihnya tarbiyyah itu masih belum berjaya disemaikan dgn baik di sini..

jazakallahu khairan katheera, penulisan ini membuatkan ana untuk melihat ke'tidak berjaya'an ini dari sisi yang baru =)

"kadangkala kita terlalu sibuk dan risau akan kesan dan hasil daripada usaha-usaha dakwah dan tarbiyah kita, sehinggakan kita lalai dan terlupa bahawasanya kadangkala Allah sengaja tidak memihak kepada kita sebagai ujian membersihkan dan menyucikan hati"

kura2 18/07/2012, 02:25  

pertama kali mendengar teori rama2 yg dicetuskan oleh profesor madya Inche gabbana bergaya..

seperti yg kita tahu, sayap rama2 yg cantik itu adalah hasil perkumuhannya spanjang proses metamorphosis (kerana itulah kita lihat tiada najis yg bertaburan di bawah kepompong bukan..? ) bahan perkumuhan adalah najis,tetapi akhirnya mnjadi sayap yg indah, sama sperti manusia..tp bukan najisnye..uhuhu.. bahan perkumuhan yg dimaksudkn adalah kelemahan dan dosa. andai kelemahan dan dosa itu diproses dengan tarbiyah, maka ia akan bertukar menjadi kekuatan dan pahala..bagaimana dosa mnjadi pahala?jawapannya dgn taubat.. science formulae dlm dakwah dan tarbiyah eh?haha

maka dengan ini saya menerima bulat2 kek coklat akan teori rama2 ini.. ^^

Hadek Hangkat 19/07/2012, 00:24  

Dulu pun pernah fikir. Alah, Inche Gabbana dah ada. Buat apa orang lain nak sibuk2 lagi tulis blog yang berunsurkan Islam.

Then, terfikir balik benda macam ni. Cuma takdelah tahap sampai discover butterfly effect tu. Huhu.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP