31 July 2012

Ikhwah Pondan

[Kredit]


Tersedak.

Apa anda gilakah Inche gabbana..?? Tajuk harusss bagi sensasi, panas lagi kontroversi en..?? Tidak bolehkah anda lebih bertatasusila beradab keTimuran sedikit...?? Haish.

Tepuk tepuk belakang badan. Err, anda okaykah..? Ahahaha.

Tapi betullah anda, memang wujud lah ikhwah pondan. Apa, anda tidak percaya..?

Mari saya buktikan.

Siapa dia ikhwah pondan tu..? Adakah seorang akh yang berpewatakan lembut lemah gemalai berjalan pula ala-ala itik pulang petang gitu..? Atau seorang akh yang belakang-belakang suka memperagakan diri di hadapan cermin besar dengan tudung labuh fesyen terkini dan abaya hitam import dari Itali? Err. Atau bagaimana pula dengan seorang akh yang tampak gagah di luar, tapi apabila dicubit perutnya atau digeletek pinggangnya, melompatlah dia dengan penuh terkujat sambil mengeluarkan suara kepit serak-serak basah yang mengejutkan siapa sahaja yang mendengarnya...?

Mereka inikah yang dikatakan sebagai ikhwah pondan..? 

Geleng kepala. Senyum keji. 

Dah tu siapa dia ikhwah pondan tu Inche gabbana..? Garu kepala.

"Wujud dan hidup mereka secara ini, yakni secara beriktikad kepercayaan dan beribadah secara Islam tapi mengikut arus jahiliyyah dalam segala segi kehidupan sehari-hari, walaupun jumlah mereka (orang Islam) itu ramai dan majoriti, tidak mungkin membawa kepada wujudnya Islam secara langsung; kerana peribadi-peribadi Muslim PONDAN yang masuk ke tengah masyarakat jahiliyyah akan terpaksa tunduk dan patuh kepada kehendak masyarakat jahiliyyah...

Atau dengan perkataan lain, orang-orang Islam PONDAN itu dari segi amalan dan tindakannya, akan ikut memperkuatkan wujud dan hidupnya masyarakat jahiliyyah itu, seperti mana mereka juga akan menolak segala faktor yang boleh mengancam hidupnya masyarakat jahiliyyah itu."

- as-Syahid Syed Qutb, Ma'alim fi at-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan)

Nah! Itulah yang dikatakan sebagai ikhwah pondan! 

Seorang akh yang kononnya sudah beriltizam dengan gerabak dakwah dan tarbiyah ini, tetapi hidupnya masih berselimutkan jahiliyyah! Seorang akh yang mendakwa dirinya sudah berintima' dengan gerakan dakwah tetapi sehari-harinya dipenuhi dengan aktiviti dan kegiatan jahiliyyah! Dan seorang akh yang menyatakan bahawasanya dirinya sudah bersedia untuk berkorban jiwa, harta dan tenaga untuk kepentingan dakwah dan tarbiyah, tetapi hakikatnya banyaknya harta, tenaga dan jiwanya dihabiskan untuk kepentingan jahiliyyah..!

Itulah IKHWAH PONDAN..!

Gulp.

Jujur saya katakan, saya amat terasa dengan bait-bait panas lagi pedas oleh Syed Qutb ini. Ia ibaratnya sebuah pukulan kuat ke jiwa. Ia seolah-olahnya hentaman keras ke kepala. Ia semacam sebatan pedih lagi perit tepat ke hati.

Hallo..?? Kau katakan kau dai'e tapi kau masih sukar dan susah nak tinggalkan karat-karat jahiliyyah kau tu..?? Kau pondan..!

Air mata mengalir laju.

Ramai daripada kita yang yang bergelar dua't ini, sebenarnya sedar dan tahu bahawa sesetengah perkara atau aktiviti yang dilakukannya sehari-hari adalah sebahagian daripada jahiliyyah, kerana kita tidak mungkin dapat membohongi hati dan diri kita sendiri. Tetapi entah mengapa, kita terus mempertahankan tindakan kita itu, mencari-cari alasan untuk menjustifikasikan perbuatan kita.

"Alah, takpe kot tengok wayang sekali-kala. Bukannya aku pergi dengan awek ke apa, semua kawan lelaki juga! Cerita pon ok, mana ada tayang romen-romen sangat. Alah, ok je lah!"

"Eh ok je kan masuk karaoke nyanyi-nyanyi ni..? Ada je saya nyanyi nasyid, kira orait la tu. Eleh, si Husna Mawaddah bertudung labuh tu pernah masuk karaoke, apalah salahnya saya nak masuk. Ye dok..?" 

"Ekeleh hang ni. Awat la hang kecoh sangat..?? Biaq pi la aku nak men game ni! Suka ati aku la! Bukannya aku susahkan idop hang pon! Lagi pon, baguih hang tau dak main game ni, dia bagi cerdaskan otak..!" 

Err.

Kadang-kadang kita sengaja mencari-cari hujah atau dalil untuk menyedapkan hati dan perasaan kita. Sudah begitu banyak fatwa yang dikeluarkan oleh alim ulama', sudah begitu panjang-lebar syarah yang dihasilkan oleh mashaiykh dan asatizah, tapi kita tetap gigih mencari fatwa dari Zimbabwe atau hujah dari Nicaragua, semata-mata mahu menghalalkan tindakan kita itu. 

Maka terlonjak penuh kegembiraanlah kita apabila terjumpa dengan fatwa Uganda yang tidak mengharamkan rokok. Bersorak rianglah kita apabila terbaca entah di mana-mana pendapat yang dikeluarkan oleh seorang Syaikh Kazakhstan bahawa memakai tudung itu tidak wajib. Dan menjerit yabedabedu lah kita apabila kita diberitahu oleh rakan kita, seorang ustaz yang menuntut di Bulgaria mengatakan bahawa harus berzina..!

Allahu Allah. 

Arakian bertepuk kegembiraanlah si kuffar bersama-sama tentera-tentera jahiliyyahnya, apabila melihatkan berbondong-bondong umat Islam yang jatuh ke dalam perangkap mereka. Tidak mereka sangkakan, rencana mereka untuk menguasai dunia menjadi bertambah mudah dengan sokongan padu dan bantuan mantap daripada  umat Islam sendiri.

Masakan tidak, kelembutan dan ketidakseriyesan kita dalam membuang jahiliyyah yang berkarat dan melekat kuat pada hati dan jiwa kita ini, secara tidak langsung telah memberi kekuatan kepada pihak musuh! Kedegilan kita untuk segera meninggalkan jahiliyyah yang sudah sebati dengan diri kita, telah memberi talian hayat dan bantuan tambahan kepada gerabak musuh untuk merempuh umat Islam dengan lebih berani lagi! Dan keliatan, keraguan dan rasa was-was kita untuk menarik kuat jahiliyyah yang sudah berakar umbi dalam diri, kerana takutnya dan risaunya diri kita kehilangan kenikmatan dan keseronokan yang terhasil daripada jahiliyyah itu, menjadikan musuh-musuh Islam bertambah perkasa dan bertambah subur dan segar-bugar ranting, dedaun dan buah-buah dosa dan nosa yang tumbuh.

Tapi Inche gabbana.. Kami tak buat semua tu; karaokelah, tengok wayanglah.. Apatah lagi jenayah berat macam merokok dan berzina..! Ish sumpah kami tak buat..! Jadi kami ni bukan pondanlah kan..? Kan...??

Wahai, sungguh yakin di situ! Anda yakinkah..? Tahukah anda jahiliyyah bagi seorang dai'e itu tidak sama dengan jahiliyyah orang kebanyakan di luar sana..?

Ehem. Sudahkah anda bersedia dengan losen kalis api dan jaket kalis peluru dan bom itu..?

"Ish tidak mengapa kot kalau aku tak baca Quran hari ini. Sunat je kan..? Penatlah, ke hulu ke hilir berbulatan gembira. Mana ada masa nak baca Quran..??"

"Allahu akbar Allahu akbar!" *Azan subuh berkumandang* Tarik selimut. "Assolatu khairu minan naum...!" Masuk dalam selimut, tutup satu badan.

 "Akhi, anta tak boleh nak paksa-paksa kebaikan atas orang lain akhi. Kalau anta nak buat, anta buatlah! Kalau anta nak syadid, syadid la sorang-sorang. Anta tak boleh nak paksa orang lain syadid sama!"

"Ala bang, saya tak bersedia la nak bawa bulatan gembira... Hhhmm, bukan apa, saya sedar je tanggungjawab Syahadatul Haq tu semua. Saya tahu. Tapi.. Saya rasa leceh la benda tu semua. Tak boleh ke saya nak baik sorang-sorang je..?"

Sebelum hekzem: "Aih, banyaknya masa aku ni. Nak buat apa eh..? Uhm, baca komiklah."
Selepas hekzem: "Ya Allah apalah dosa aku, teruk sangat keputusan hekzem aku ni. Ni lah, selalu sangat pergi bulatan gembira dan konferens riang! Aduhai..." 

"Uish terernya saya bagi ceramah tadi. Semua orang ketawa terbahak-bahak dengan lawak jenaka saya. Ohoi saya ni memang best lagi kacak bergaya ah!"

"Sampai sekarang kau tak dapat-dapat tangkap lai hadek-hadek masuk bulatan gembira? Loser doh kau ni. Kau tengok aku, bukan aku yang kejar diorang tu, tapi diorang yang terhegeh-hegeh lari nak masuk bulatan gembira aku! Wahahahaha.. *Gelak Action Kamen*"

Hey hey, akulah manusia paling kool tahu..?? [Kredit]

Peluh kecil.

Ketahuilah, jahiliyyah bagi seorang dai'e amat mudah menipu dan memperdayakan kita. Ia lebih merbahaya kerana seringkali ia bertopengkan kebaikan dan berkulitkan amalan. Namanya mungkin lain, rupanya mungkin berbeza, tapi ruh dan isinya tetap sama! Dan kita amat mudah terasa hati, panas punggung dan berdiri bulu tengkuk apabila dikatakan semua itu jahiliyyah, kerana sememangnya kita terjebak dan terlibat dengannya!

Eh eh, tiba-tiba basah pula baju saya ni.

Ketahuilah, tiada jalan tengah di dalam kehidupan ini. Tiada warna kelabu; yang ada hanyalah hitam dan putih sahaja. Jauh di sudut hati kita, kita sedar dan tahu akan pilihan kita. Kita tidak mungkin boleh berdusta kepada diri kita sendiri. Dan seandainya sekali-sekala kita dapat membohongi diri kita sekalipon, ketahuilah wahai sahabat-sahabatku, kita tidak mungkin dapat membohongi Dia.  

"Dan sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya, dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan (lidahnya) juga. Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami..."
[al-'Araf, 7:176]

Astaghfirullahal adzim... Ish, hujan tak, ribut tak, kenapa basah lagi baju saya ni..??

Ayuh ikhwah dan akhawat sekalian! Ayuh kita perkasakan diri kita, gagahkan diri kita untuk sesungguhnya meninggalkan jahiliyyah yang sudah lama berkarat tebal di dalam jiwa kita!

Jangan biarkan tentera-tentera syaitonirojim mengmabil kesempatan atas kelemahan dan kedegilan diri kita! Jangan sesekali berikan sokongan kepada mereka dek keculasan kita untuk membuang jauh-jauh jahiliyyah yang ada pada diri. Dan jangan tunduk dan patuh kepada kehendak mereka ini, kerana Islam tidak mungkin tertegak di atas dasar dan pondasi jahiliyyah yang kukuh lagi rapuh!

Jangan jadi IKHWAH PONDAN...!

-gabbana-

Ini adalah peringatan keras untuk diri sendiri terlebih dahulu, sebelum saya meningatkan anda yang lain.

Akhawat sila terasa sama, walaupon tajuk post dan penulisan berkisarkan kepada ikwah. Ahah!

Selamat menghidupkan dua puluh Ramadhan yang terakhir! Ayuh pecut!

26 July 2012

Tips Menyegarkan Di Bulan Ramadhan

[Kredit]

Ramadhan adalah bulan mujahadah; ia adalah bulan yang sangat mencabar, baik dari segi ruhnya, mentalnya mahupon fizikalnya. Kita tidur lewat di bulan Ramadhan kerana mahu bertadarus bersama-sama hadek-hadek riang gembira di masjid, bangun awal pula untuk tahajjud dan bersahur, tidak tidur selepas itu kerana mahu mendapatkan keberkatan sahur dan sepanjang hari tidak makan dan minum bagi memenuhi tuntutan bulan Ramadhan.

Untuk anda yang bekerja seperti saya, gejala bertukar menjadi zombi Kampung Nangka mungkin bukan sesuatu yang luar biasa lagi. Muka seperti nak makan orang, mata kuyu, wajah pucat lesi, rambut kusut-masai.. Aduhai, silap hari bulan, zombi pon gentar melihat anda..! Wahahaha..

Sewajarnya kita menjadi qudwah terhaibat di bulan Ramadhan ini, terutamanya kepada mereka yang tidak beragama Islam. Walaupon kita berpuasa, kita wajar menunjukkan kepada mereka yang kita masih lagi gagah bergaya walaupon seharian tidak makan dan minum (Eleh, dah melantak sepinggan nasi kukus dengan ayam goreng kampung berempah semasa sahur tadi, takkan tak cukup kot bang..??). Kerja semua beres. Dalam mesyuarat tidak terlentok-lentok terkeluar air liur basi. Ewww. Ketika memberikan pendapat, kitalah yang paling bersemangat dan bernas sekali. Ah persetankan bau mulut anda itu; bukankah ia lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah..?

Kita patut berlari-lari anak sambil menutup muka malu dengan generasi terdahulu, yang berperang dan berjuang di bulan Ramadhan, di tengah-tengah padang pasir panas yang menggigit kulit. Kita..? Aduhai, tewas di medan opis berhawa dingin. Tunduk malu. 

Oleh itu, di kesempatan yang ringkas ini, ingin saya kongsikan beberapa tips untuk kita sama-sama manfaatkan, dalam memberikan kita kesegaran dan keceriaan sepanjang bulan Ramadhan ini. Oh ini adalah hasil pengalaman diri sendiri dan ada lah bacaan dan rujukan di sini sedikit dan sana sedikit. Makanya, kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti terkena penyakit sopak atau tiba-tiba sahaja anda tidak boleh berhenti tertawa akibat mengamalkan tips saya ini, er, saya berada di Uganda tahu ketika itu..?? Wahahaha..

Baiklah.

Tips Segar Bulan Ramadhan!

1. Bersahur.

Penting untuk anda bangun bersahur. Selain mendapat keberkatan dalam waktu sahur itu, ia juga memberikan anda tenaga untuk melalui satu hari tanpa makanan dan minuman. Tak perlulah bantai nasi tiga pinggan beserta pencuci mulut dan kopi secawan. Ehem. Cukuplah sekadar mengalas perut dan membekalkan tenaga kepada anda. Malah, banyak kali sudah sampai ke telinga saya ini, ramai yang hanya bersahur dengan buah tamar dan air kosong sahaja, demi mendapatkan barakah sahur itu. Itu pon sudah memadai!

2. Berbuka dengan buah tamar/kurma. 

Selain mencontohi sunnah Nabi, kajian yang dilakukan oleh Jabatan Buah-Buahan Eksotik dan Terancam, Universiti Addis Ababa mendapati, buah tamar dapat membekalkan tenaga segera kepada anda yang memakannya. Kandungan gula mudah hadam yang tinggi dalam buah tamar memastikan ia meresap masuk dengan segera ke dalam darah lantas membekalkan tenaga yang diperlukan setelah seharian kepenatan. 

Ohoii yang kau pergi balum seguni kurma tu buat apa...?? [Kredit]
Er, tapi janganlah pulun sekotak Yuuusssuffff Taiyyyoooob (berbisik) itu. Peluh. Ikutlah sunnah Nabi; yakni berbuka dengan tiga biji buah tamar seadanya.

3. Berbuka dengan sederhana. 

Ya, saya tahu. Anda terliur melihat daging salai masak lemak cili api Kak Jah itu. Anda juga kepingin nak merasa roti boom Abang Man Manja, juga sudah lama mengidam nak merasa ayam golek tergolek Kampung Titian Pisang di samping nak sodaqallahul adzim dengan cendol lima rasa. Tapi err.. Kasihanlah kepada perut anda itu. Seharian tidak diisi dengan apa-apa, tiba-tiba diterjah dengan segerombolan makanan dan minuman. Mahu tak terkejut dibuatnya!

Rancang pemakanan anda dengan bijak lagi bergaya. Hari ini pekena ayam percik, esok daging bakar pula. Ewaaaahh! Poket jimat, perut pon sihat. Pemakanan yang cemerlang dan terbilang sebegini akan menjadikan tubuh badan anda lebih sihat dan segar sepanjang bulan Ramadhan ini. 

Dan.. Apa sudah jadi dengan rancangan anda untuk menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilo itu..? *Koff koff*

4. Senaman ringan

Siapa kata bulan Ramadhan adalah bulan berehat daripada sebarang aktiviti lasak mahupon sukan..? Kalau dahulu sahabat mengangkat pedang di bulan Ramadhan, apa salahnya kita beriadhah ringan dan bersenam badan? Tidak perlulah mengalirkan peluh bergelen-gelen; cukuplah sekadar menggerakkan otot-otot yang malas dan mengaktifkan tubuh badan yang culas itu.

Di bulan Ramadhan ini, saya memilih untuk berjalan kaki dari stesen LRT untuk pulang ke rumah. Tidak kisahlah berpeluh ketiak sedikit, perjalanan selama dua puluh minit itu tidak dirasai sangat pon kerana masa itulah saya gunakan untuk menghubungi ikhwah dan hadek-hadek terchenta. Dan err.. Bolehlah singgah-singgah cuci mata di bazar Ramadhan, mencari-cari juadah untuk berbuka! Ahah!

Setiap pagi juga, saya akan bergayut pada batang dagu (Baca: Chin-up bar) yang tergantung merentasi pintu bilik Inche Abang Besar. Adalah dalam dua puluh ke tiga puluh saat saya berdagu dan bergayut di situ. Eheh.

Senaman ringan akan memastikan tubuh badan anda lebih peka dan segar, walaupon berlapar dan dahaga, serta mengekalkan fungsi normal pada tubuh badan anda. Juga berguna untuk membakar lemak-lemak tambahan sekiranya anda gagal mengikuti tips nombor tiga. Wahahaha.. 

5. Kurangkan tidur.

Ya, anda mungkin tidak percaya dengan tips ini. Tapi sebenarnya banyak tidur menjadikan anda lebih penat tidak bermaya. Hal ini telah disahihkan oleh Jabatan Kaji Cuaca dan Meteorologi San Paulo, Brazil. Dan selalunya apa yang anda rasakan sebaik sahaja anda bangun dari tidur..? Lapar terasa seperti mahu makan nasi lemak ayam goreng berempah ketika itu juga bukan..?? Err. 

Espeseli selepas waktu bersahur, elakkan daripada menjadi ular sawa. Gunakan waktu senggang antara sahur dan Subuh untuk bertilawah, zikir dan sebagainya. Waktu sahur adalah waktu yang sangat penuh dengan barakah. Manfaatkan ia sebaik-baiknya. Sumpah rugi kalau anda memilih untuk tidur selepas sahur; anda tidak tahu kerugian yang bagaimanakah yang telah anda lakukan! 

6. Bangun malam (qiamullail)

Ish Inche gabbana ni, kalau bangun malam, lagi mengantuk dan penatlah dibuatnya di siang hari nanti..!

Siapa kata..? Anda dah pernah cuba belum..?

Ha, inilah rahsia besar pada bangun di tengah malam untuk bermunajat dan bertahajjud kepadanya. Menurut suatu kajian terperinci yang telah dilakukan dengan penuh gigih lagi kesabaran oleh pihak Fakultas Air, Udara, Tanah dan Api Universitas Gadjah Mada, Indonesia, mereka mendapati udara pada jam tiga ke lima pagi adalah udara yang paling segar dan berkhasiat sekali. Maka udara segar yang masuk ke dalam tubuh badan ini pastinya akan menjadikan anda lebih segar dan bertenaga sepanjang hari.

Ini adalah antara resipi rahsia yang digunapakai oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Dan memang Allah dah berfirman tentang hal ini di dalam al-Quran:

"Sungguh bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan bacaan di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:6]

Maka tidak hairanlah para sahabat dahulu semuanya gagah lagi perkasa! Dan patut juga kita ni sentiasa lembik, lemah tidak bermaya...! Adoyai. 

7.  Perbanyakkan zikir dan tilawah al-Quran

Di samping mengisi masa-masa lapang yang ada justeru mengelakkan kita daripada berasa bosan lantas mengantuk dan tertidur (*koff* ada pengalam ke? *koff*), juga menambahkan saham-saham sorga, aktiviti sihat lagi berkhasiat ini juga insha-Allah akan menguatkan jiwa dan hati pengamalnya. 

Bukankah ingatan pada Allah akan menenangkan jiwa..? Dan bukankah bila hati tenang, fikiran dan tubuh badan juga akan ceria dan menceriakan suasana..? Wahai!

Manusia yang paling hensem di dunia adalah dia yang banyak tilawah al-Qurannya. Sumpah! [Kredit]
  
8. Dhuha

Ok yang ini seriyes berkesan. Espeseli bila mata anda sudah berpinar-pinar di waktu pagi dan yang anda nampak di depan mata anda ayam mask merah ros, pulut panggang dan kuih koci. Berhenti sebentar daripada apa yang sedang anda lakukan dan bersegeralah ke musolla yang berdekatan.

Segarkan tubuh badan anda dengan air wudhu' nan sejuk dan hidupkan kembali minda dan jiwa anda dengan solat sunat dua rakaat, bertasbih memujiNya. Alah, bukan lama pon. Lima ke sepuluh minit je pon. Takkanlah Puan Bos Besar nak marah.

Kalau dia marah juga, beritahu padanya, "Inni soim." Wah! 

9. Sibukkan diri anda dengan aktiviti yang bermanfaat

Ketika inilah anda mahu mengejar semula rakaman-rakaman ceramah yang anda tidak dapat dengar sebelum ini, menelaah dan mengulang-kaji nota-nota penting dan membaca buku-buku fikrah yang menyebabkan anda menjadi lebih mengantuk sudah lama anda tangguhkan itu. Di samping menjadikan diri anda lebih peka dan otak anda lebih aktif bekerja, kurangnya makan juga menjadikan fokus anda lebih tajam dan fikiran anda lebih selesa untuk berfikir.

Saya tidak hairan sekiranya keluarnya anda daripada madrasah tarbiyah Ramadhan nanti, anda sudah boleh bergelar seorang ustaz atau ahli pakar dek barakah dan bermanfaatnya masa anda sepanjang bulan Ramadhan ini! Walawehhh!

10. Tulis belog

Ok ini cara saya bagi menghilangkan rasa lemau, layu dan mengantuk! Wahahahaha...

Err ok syok sendiri. Peluh kecil sambil tersipu malu.

Bagaimana..? Harapnya dapatlah membantu anda sebanyak sedikit dalam menjadikan anda lebih segar, ceria bergaya dan bertenaga dalam menghadapi hari-hari dalam bulan Ramadhan ini!

Kita kan mahu berpesta ibadah sepanjang bulan Ramadhan ini..? Makanya, pastilah kita perlu sentiasa segar-bugar, bertenaga dan riang gembira!

Anda ada tips-tips lain yang boleh kongsikan..? Marilah kongsikan bersama kami dan tambah saham-saham sorga anda..!

Senyum.

-gabbana-

Sudah lima hari Ramadhan berlalu. Berjayakah kita sejauh ini dalam menghidupkan ruh Ramadhan..? Tepuk jiwa tanyalah iman anda!

25 July 2012

Ayat-Ayat Chenta Yang Menggirangkan


Semalam ketika sedang gigih berusaha melengkapkan Cabaran Ramadhan 1433H APG bahagian tilawah dan tadabbur al-Quran, saya terlanggar bahu dengan ayat ini:

"Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mendapat rezeki.

Mereka bergembira dengan kurnia yang diberika Allah kepadanya, dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati."
[Ali-Imraan, 169-170]

Ketika mentadabbur ayat 170, kepala saya terasa seperti ditonyoh beberapa kali. Eh kenapa macam baru pertama kali membaca ayat ini..?? Mengapa sebelum ini seperti tidak terperasan dengan ayat ini...?? Eh eh...!!

Mungkinkah begini perasaan 'Umar al-Khattab ketika dibacakan ayat 144 surah ali-Imraan..? Hohoho.. 

Err.. Apa yang speselnya dengan ayat ini Inche gabbana..? Biasa-biasa je saya rasa.

Hallo..?? Biasa-biasa..?? Cuba baca ayat tu elok-elok dan baik-baik.

"...dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka."

Itu anda katakan biasa-biasa...?? Ppfffttttt...!

Ketika mentadabbur ayat ini, ya Allah, tak tahu nak cakap bagaimana, tetapi tiba-tiba saya berasa sangat bersemangat dan teruja. Bukan kata hidung kembang-kempis lagi dah, ini dah sampai tahap nak melompat keluar tingkap dan terbang tinggi-tinggi...! Mata tak perlu cakaplah, bersinar-sinar cerah gilang-gemilang..! Walawehhh..!

Apa..?? Anda masih tak merasakan apa yang saya rasakan...?? Tarik nafas, mata pandang ke atas.

Cuba anda baca ayat itu sekali lagi. Kali ini tarik nafas dalam-dalam, tenangkan hati dan hayati setiap butir kata daripada ayat ini.

"...Dan. Bergirang. Hati. Terhadap. Orang. Yang. Masih. Tinggal. Di. Belakang. Yang. Belum. Menyusul. Mereka."

Nah, sekarang anda rasakan ada apa-apa perubahan..? (Sila buat-buat angguk kalau tak saya akan berasa super duper kechiwa. Eheh.)

Anda tahu apa yang saya bayangkan ketika membaca ayat ini...??

Rasulullah SAW, Abu Bakr, 'Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, 'Ali bin Abi talib, Mus'ab bin 'Umair, Abdul Rahman bin 'Auf, Abu 'Ubaidah al-Jarrah, Saad bin Abi Waqqas, Abdullah bin Jashy, Hamzah bin Abdul Mutallib, Jaafar bin Abu Talib, Abdullah bin Rawahah, Zaid bin Harithah, Imam Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Syaikh Ahmed Yassin, Salman Ayyash, pemuda di hujung kota dalam surah Yassiin dan raaaammmaaaiii lagi insan-insan bertuah yang telah dipilih oleh Allah untuk mati syahid, sedang menunggu-nunggu dengan penuh keterujaan untuk kita menyertai mereka di sorga sana...!!

Walawwww...! Ini.. Ini.. Ini sumpah osemmmnessss bukan...??  

Aaarrrggghhhh saya tidak dapat nak gambarkan perasaan saya ketika ini...! Kegembiraan, kegirangan dan keterujaan yang melampau-lampau sehingga boleh dituduh sebagai puak pelampau gembira! Eh. 

Saya nak mati syahid! Saya sangat-sangat mahu mati syahid...! Sebab ada segerombolan manusia super saiya yang sudah mendahului saya, sedang bergembira di sorga dan mereka dengan girang riangnya sedang menanti-nanti saya untuk menyertai mereka...!

Saya mahu...! Sumpah mahu....!!!

Wahai, anda tidak mahukah...?

"Di antara orang-orang mukmin itu, ada orang-orang yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)..."
[al-Ahzab, 33:23]

-gabbana-

Ok post ini seriyes banyak betul tanda seru dan tanda soal. Membuktikan saya benar-benar teruja. Hohoho..

Selamat menghidupkan Ramadhan keempat! Ayuh kita buru redhaNya! Ayuh kita buru syahid...! Muka teruja.

23 July 2012

Cabaran Ramadhan 1433H APG (Revised)



"Barangsiapa yg berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan kerana mencari pahala (di sisi Allah) diampunkan Allah baginya apa-apa yang telah mendahuluinya dari dosa-dosanya; dan barangsiapa berdiri (yakni, menetapi ibadah) pada malam qadar kerana keimanan dan kerana mencari pahala (di sisi Allah) diampunkan Allah baginya apa-apa yg mendahulukannya (dosa-dosanya)."
[Hadith riwayat Bukhari]


Imanan wahtisaban.

Hari ini sudah masuk Ramadhan yang ketiga. Mungkin agak terlewat untuk saya menulis post ini. Tetapi, bak kata omputih, lebih baik lewat daripada tiada langsung bukan? Eheh.

Ehem. Betulkan kolar baju.

Sempena Ramadhan 1433H tahun ini, saya ingin mengajak diri saya sendiri terlebih dahulu, dan juga anda semua wahai para pembaca budiman sekalian, untuk kita bersama-sama meningkatkan amal kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Untuk kita saling berlumba dalam memburu redhaNya. Untuk kita berkejar-kejaran mencari redha dan sorgaNya.

Kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan pelbagai fadhilat dan hikmah.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya.

Bulan Ramadhan adalah bulan pemilik satu hari yang bersamaan dengan seribu bulan.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mana amalan sunat akan diberikan pahala fardhu, dan amalan fardhu akan dilipatkaligandakan pahalanya sebanyak tujuh puluh kali! 

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sentiasa dirindui kedatangannya oleh orang-orang yang soleh lagi beriman.

Dan bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan maghfirahNya, bulan pemmbersih dan pencuci dosa! 

Atas kesedaran itu, dan merasakan betapa pentingnya untuk kita semua berlomba-lomba lari dalam guni, bersaing hebat dalam mengejar keampunan dan keredhaanNya, buat julung-julung kalinya belog APG yang serba marhaen ini ingin menganjurkan suatu, err bukan pertandingan sebab tiada siapa yang menang mahupon kalah, dan tiada hadiah tempat pertama, kedua mahupon ketiga yang disediakan, tapi lebih berupa cabaran untuk kita semua.

Saya gelarkannya...

Cabaran Ramadhan 1433H APG!

Woohhhoooo!

Err.. Ok syok sendiri. Walhal cliche gila nama tu. Wahahahaha.. 

Mudah sahaja cabaran ini. Perhatikan senarai amal ibadah yang akan saya senaraikan sebentar nanti. Sekiranya anda merasakan anda mampu untuk melakukannya, terima cabaran ini dengan meletakkan gambar/kain rentang di bawah ini di belog atau laman MukaBuku atau Pengicau anda, sebagai tanda anda menerima cabaran ini.

Setiap minggu, amal anda akan dimutabaah (dinilai). Bagaimana? Ha, yang itu tidak boleh diberitahu sekarang ini. Tetapi Insha-Allah, kiranya akan ada satu mekanisme untuk memastikan yang anda benar-benar seriyes dalam melaksanakan cabaran ini.

Tetapi awas! Mari sini saya mahu beri disklemer awal-awal; anda mestilah meniatkan cabaran ini untuk memburu redha dan keampunan Allah semata, selain menambah pelaburan saham-saham sorga anda..! Dan bukannya semata-mata  untuk menyahut seruan Inche gabbana, apatah lagi untuk meletakkan poster yang kiut-miut itu pada belog anda..!! Peluh.

Saya tidak akan bertanggungjawab, sekiranya anda dipersoalkan di akhirat nanti tahu..?? Hohohoho..

Baiklah, cukup mudah bukan? Anda sudah bersedia untuk melihat apakah Cabaran Ramadhan 1433H APG itu..?

Tarik nafas, hembus nafas. Sila buka mata anda besar-besar.

Baiklah.

  1. Solat berjemaah, et lis tiga kali sehari
  2. Khatam al-Quran, et lis sekali dengan maksudnya sekali sepanjang bulan Ramadhan
  3. Solat terawih tak tinggal sepanjang bulan Ramadhan, et lis lapan rakaat
  4. Bangun malam menunaikan tahajjud et lis sekali seminggu
  5. Solat sunat witir tak tinggal sepanjang bulan Ramadhan, et lis tiga rakaat
  6. Solat sunat dhuha, et lis dua hari sekali dua rakaat setiap kali
  7. Iktikaf et lis tiga kali pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan
  8. Perbanyakkan: a) sedekah (et lis seminggu sekali bersedekah), b) Istighfar (et lis 70 kali sehari) c) zikir-zikir yang maathur dan d) senyuman. Semuanya perlu diperbanyakkan lebih banyak daripada biasa! Hoyeaaahh.
  9. Menjamu orang berbuka puasa et lis dua kali sepanjang bulan Ramadhan
  10. Memasak juadah berbuka untuk keluarga (et lis satu lauk) sekali sepanjang bulan Ramadhan
  11. Perbanyakkan doa ketika berbuka dan bersahur. Antara doa yang perlu dilafazkan:
  • Pembebasan Palestin
  • Pembebasan Syria
  • Pembebasan seluruh umat Islam dari cengkaman musuh-musuh Islam 
  • Dimasukkan ke dalam sorga FirdausNya, bersama-sama dengan orang-orang terchenta dan seluruh umat Islam
  • Diampunkan segala dosa dan ditutup rapat pintu neraka untuk diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan seluruh umat Islam 
Bagaimana..? Mudah sahaja bukan. Senyum.

Sekali lagi saya mahu ingatkan, sekiranya anda sanggup menerima cabaran ini, sila niatkannnya sepenuh hati sekembang hidung untuk Allah dan Allah semata. Dan tidak bermakna, apabila anda menerima cabaran ini, anda tidak perlu atau tidak mahu buat amalan-amalan yang lain pula! Masih banyak lagi amalan-amalan lain yang boleh dilakukan selain daripada yang saya senaraikan di atas!

Cabaran ini sekadar suatu inisiatif marhaen daripada saya, untuk sama-sama mengajak saudara-saudari seaqidah saya, berlomba-lomba untuk berpesta ibadah. Juga sebagai penolak dan penggalak untuk diri sendiri, untuk memperbanyakkan amalan sepanjang bulan yang penuh barakah ini.

Oh, memandangkan kita bermula tiga hari lewat, maka tiga hari yang sebelum ini tidak dikira dalam mutabaah nanti. Cabaran ini bermula pada hari ini. Ya, hari ini!

Dan oh sekali lagi, sila sebarkan-sebarkan cabaran ini kepada rakan taulan, sahabat handai, jiran sebelah rumah, nenek angkat belah bapa saudara tiri, guru mengaji sekolah rendah, mak cik penjual kuih seri muka dan sesiapalah yang relevan! Lagi ramai lagi meriah! Lebih ramai yang menyertainya, lebih banyak saham-saham sorga kita semua..! Vavavum!

Seperti yang dijanjikan, ini adalah poster/kain rentang yang perlu anda letakkan di belog/MukaBuku/Pengicau anda sebagai tanda anda menerima Cabaran Ramadhan 1433H APG ini.


Jadi bagaimana..? Ada berani..?

-gabbana- 

Jangan lupa mulakan dengan Basmalah sekiranya anda mahu menerima cabaran ini! Senyum kenyit mata.


21 July 2012

Hadiah Agung Dari Tuhan, Di Bulan Ramadhan

[Kredit]

Mungkin ada yang sudah tahu.

Mungkin ada juga yang belum.

Malam semalam sudah saya luahkan di MukaBuku dan Pengicau saya.

Allah, tidak tergambar perasaan dan rasa bersyukur ketika ini. 

"Kau orang semua pasti tak percaya apa yang Puan Mama akan pakai. Suatu perubahan yang bombastik!" Kata Cik Adik Perempuan semalam.

Ketika itu kami sedang menunggu untuk keluar makan malam bersama.

"Kau orang pasti tak percaya!" 

Tidak lama selepas itu, Puan Mama menuruni tangga dari biliknya. Kelihatan tersarung tudung menutupi kepalanya, yang selama ini terdedah, berjurai-jurai rambut tumbuh darinya.

Allahu Allah.

Seakan tidak percaya, saya lantas menggosok-gosok mata sekuat hati sampai berdarah, dan kemudian menghempaskan pula kepala saya ke dinding.

Err.

Ok tipu gila. Menipu tak batal puasa kan..? Ahah. 

Saya tersenyum melihat Puan Mama begitu. Tidaklah terasa seperti mahu melompat kegembiraan atau menerkamnya lantas memeluk erat, tapi ya, saya gembira.

"[Inche gabbana] nak peluk dan cium Puan Mama boleh..?" 

Ujar saya seikhlas hati. Lantas saya menghadiahkannya suatu rangkulan erat dan dua tiga tembakan cium di pipinya. Hadiah marhaen dari saya buat si ibu terchenta. 

Di dalam kereta, tatkala Inche Papa memandu di sebelah, hati saya bermonolog.

"Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu. Aku bersyukur ya Allah! Mungkinkah ini juga ujian buat diriku..?" 

Senyuman tidak lekang dari bibir Puan Mama. Cik Adik Perempuan pula sibuk mahu membetulkan pemakaian tudung Puan Mama. Cik Adik Perempuan turut terkesan dengan keputusan Puan Mama itu. Berkali-kali dia berkata, "Terasa macam nak pakai tudung pula." 

Iya, baguslah tu. Cik Adik Perempuan bila lagi..? 

"Lawo dio paka tudung," kata kakak kedai tomyam yang selalu kami kunjungi kepada Puan Mama. Tidak saya sangka pula dia perasan akan perubahan Puan Mama.

Ah, bukan lawa atau pujian yang dipinta. Tapi redha Allah dan keampunanNya!
 
Ya, ia mungkin perubahan kecil pada pandangan sesetengah daripada anda. Ia mungkin tiada apa-apa dan tiada nilainya bagi sebilangan daripada anda.

Tetapi ia penghijrahan besar buat Puan Mama. Setelah lima puluh lima tahun hidup di dunia ini, dia mengambil keputusan yang saya kira cukup mencabar dan berat buat dirinya. Pastinya ia sesuatu yang sukar buatnya.

Dan ia memberikan impak besar buat diri saya. Setelah begitu lama menunggu, akhirnya...

Air mata bercucuran.

Hari Isnin ini bakal menjadi penentu dan ujian besar buat Puan Mama, kerana buat pertama kalinya dia akan ke opis dengan berlitup kepala.

"Mesti boss [Puan Mama] pelik tengok," ujarnya.

"Tidak mengapalah. Biasalah tu, baru lagi pakai tudung," kata saya menenangkannya. 

Moga tabah menghadapi jelingan wahai Puan Mama! Moga bersabar berhadapan dengan cemuhan atau ejekan Puan Mama! Dan moga tegar, terus istiqamah dengan perubahanmu ini, hai Puan Mama terchenta!
 
Ketahuilah, kini setiap langkahmu tidak seperti dahulu. Setiap langkahmu insha-Allah ditemani dengan keredhaan dan kechentaan Tuhan! Allah sentiasa bersama-samamu, melindungi dirimu dan melimpahkan kasih-sayangNya kepada diriMu, semuanya kerana satu perubahan! Dan ya, anakmu ini akan sentiasa membimbing dan menyayangi dirimu sepenuh dan seikhlas hati, hingga nyawa dipisah dari badan!

Ya, perjalanan ini masih panjang. Dan perjuangan ini masih jauh untuk selesai. Tapi kini hidung saya lebih kembang kempis dan mata bersinar-sinar untuk melalui setiap inci daripada jalan ini. Saya lebih yakin dan percaya untuk menyusuri jalan yang penuh berliku ini!

Janji Kau sesungguhnya benar, ya Allah..!

"Sesugguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami adalah Allah" kemudian mereka beristiqamah, tidak ada rasa khuatir pada diri mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati." 
[al-Ahqaf, 46:13]

Malam itu kami berterawih bersama-sama; saya mengimamkan Puan Mama dan Cik Adik Perempuan.

Malam itu saya tidur awal daripada biasa. Dan sudah lama saya tidak tidur senyenyak dan senyaman itu.

Senyum.

-gabbana-

Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus menitipkan doa buat saya dan keluarga. Saya yakin, doa-doa yang terbit ikhlas dari hati dan bibir anda turut memainkan peranan untuk perubahan ini.

Moga Allah memberikan anda semua dengan sebaik-baik ganjaran, biidznillah. Teruskan berdoa untuk saya dan keluarga. Doa saya untuk anda semua juga.

Terima kasih ya Allah, untuk hadiah agung ini. Tidak mungkin dapat aku membayarnya...  

20 July 2012

Mengapa Anda Perlu Rasa Teruja Menyambut Ketibaan Ramadhan

[Kredit]

Ok kalau kita rasa lebih teruja dengan kedatangan Olimpik 2012 daripada bulan Ramadhan al-Mubarak, ada sesuatu yang tidak kena dengan saraf tunjang dan modula oblongata kita. 

Kalau nak sebut satu persatu fadhilat bulan Ramadhan, rasanya tak tersebut di sini. Lagi pon, untuk anda pembaca tegar belog ini, anda tahu stail saya bukan begitu; bukan menyuapkan fakta semberono begitu sahaja. Saya suka melihat sesuatu itu dari pandangan mata burung Rajawali (Baca: Bird's eyes view) atau dengan gambaran yang lebih besar. 

Dan kalau anda betul-betul mahu tahu fadhilat bulan Ramadhan yang sumpah osem lagi mulia ini, mudah sahaja. Silakan bertanya kepada as-Syaikh Google atau terus sahaja ke toko-toko buku berdekatan dan belilah senaskhah dua buku yang berkaitan dengan kebsarandan kepentinga bulan Ramadhan! Senyum sedikit keji. 

Maka hari ini, saya ingin berkata tentang kepentingan untuk kita berasa teruja, seronok dan gembira menyambut Ramadhan yang bakal tiba kurang lebih beberapa jam sahaja daripada sekarang. 

Sekiranya dahulu, sebelum kita dilanggar oleh Mak Cik Hidayah dan ditangkap dan disumbat masuk ke dalam gerabak dakwah (mata pandang ke atas, tangan melekap ke dada), ini mungkin antara beberapa sebab utama mengapa kita berasa teruja dengan kedatangan Ramadhan:

  1. Dapat makan masakan ektra spesel oleh Puan Mak
  2. Dapat makan juadah berbuka yang tidak wujud di luar bulan Ramadhan, contohnnya ayam golek berempah, ayam percik kuah putih, popiah basah rangup, cendol agung tanpa kolestrol, air bandung jagung cincau dan entah apa-apa lagi lauk-pauk yang dijual
  3. Dapat jumpa rakan-rakan secara berjemaah di masjid ketika menunaikan solat Tarawih
  4. Dapat main bunga api dan mercun
  5. Dapat turunkan berat badan barang sekilo dua
  6. Dapat bertukar-tukar juadah berbuka dengan anak dara Pak Cik Termizi Bustamam sebelah rumah. Err..
  7. Dapat beli baju raya dan kasut raya dan kuih raya
  8. .........Dapat makan daging salai masak lemai cili api! Ohoiii...!

Ehem.

Tetapi itu dahulu. Sungguh wahan, saya tahu. Tetapi alhamdulillah, kini hati ini cair diayat oleh ayat-ayat chenta Allah, setelah jiwa ini terpaut pada gerabak dakwah dan tarbiyah dan setelah mata ini dipakaikan dengan kanta sesentuh dakwah dan tarbiyah yang sumpah kool dan bergaya itu, keterujaan menyambut Ramadhan tidak lagi sama seperti dahulu. Malah kini jauh lebih teruja, hidung kempang-kempis dan rambut ditiup angin shiuu shiuuu setiap kali mendengar nama Ramadhan. 

Tipulah sekiranya saya katakan, langsung tidak teruja dengan sebab-sebab di atas. Oh tidak sabar mahu ke bazar Ramadhan membeli daging salai masak lemak cili api! Terliur. Tapi yang menjadikan Ramadhan lebih istimewa adalah kini ia tidak lagi dilihat menerusi kaca mata duniawi sahaja; ia disambut dengan penuh rasa keinsafan dan pengharapan untuk menggapai redhaNya yang abadi. Ramadhan terasa lebih basah dan hidup, kerana ia tidak lagi disambut bersandarkan kayu ukur duniawi semata!

Maka di sini ingin saya kongsikan, mengapa anda perlu (kalau sebut wajib, nanti anda kata saya pandai-pandai keluarkan fatwa pula!) berasa teruja menyambut Ramadhan. Atau boleh juga dijadikan panduan untuk anda, bagaimana mewujudkan rasa keterujaan yang melampau-lampau dalam menyambut ketibaan Ramadhan! Senyum nampak gigi kuning. 

Sebab 1
Sepanjang tahun ni, agak-agaklah berapa guni dosa yang telah kita kumpulkan? Kalau tak guni pon, mungkin lori jugalah. Berapa banyak orang yang telah menjadi mangsa umpatan kita? Berapa ramai pula yang menjadi mangsa kerakusan mata kita? Berapa kali kita sengaja melewat-lewatkan solat? Berapa kali kita meningginkan suara terhadap Inche Papa dan Puan Mama..?? Air mata bercucuran laju.

Maka kita perlu rasa teruja dengan kedatangan Ramadhan kerana ia adalah bulan pembersih dan pencuci dosa.

Abu Hurairah telah berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang
Ramadhan yang bermaksud: 'Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.'"

[Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi]

Saya rasa-rasalah, pasti iblis dan konco-konco syaitonirojimnya berasa amat bengkek dengan bulan Ramadhan kerana penat-penat mereka bertungkus-lumus menghasut dan menyesatkan manusia, alih-alih semasa bulan Ramadhan, Allah ampunkan segala dosa! Walawehhh!!

Sebab 2
Bulan Ramadhan adalah masa yang paling sesuai untuk merapatkan silaturrahim dan ukhuwwah Islamiyah, baik sesama ahli keluarga atau pon sesama ikhwah dan akhawat. Err.. Ikhwah dengan ikhwah dan akhawat dengan akhawat tahu..??

Masa-masa seperti iftar jamai'e, iktikaf, qiam perdana dan sebagainya, wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk bermuayasyah (bergaul mesra) dan berborak bantal seikhlas jiwa, bagi mengenali hati budi masing-masing.

Percayalah, sekiranya anda melakukan ini dengan setulus hati sebersih nurani, anda akan keluar dari bulan Ramadhan berasa lebih segar dan mata bersinar-sinar. Aiwah! 

Sebab 3 
Atas sebab yang hampir sama dengan Sebab 2, bulan Ramadhan juga adalah masa yang paling osem untuk melaksanakan kerja-kerja menjerat kijang dan menjoran ikan (Baca: Dakwah fardhiah. Wahahaha). Ketika ini anda punya banyak masa dan peluang keplatinuman untuk menyentuh hati-hati mad'u di luar sana.

Uish anda bayangkan sahajalah, apa perasaan hadek terchenta apabila anda membawa seekor ayam golek berempah Hadharamaut, sebungkus cendol gergasi dan cucur badak air rangup untuk berbuka bersama-sama dengannya..? Ok tiba-tiba perut saya bernasyid pula ketika ini. 

Selain menyentuh perut mereka, anda juga boleh menggunakan alasan Ramadhan untuk sama-sama bertilawah, qiam atau beriktikaf dengan sasaran dakwah anda. Hati mana yang tidak cair apabila ada abang kachak yang sudi menemankan si hadek lepak-lepak di masjid untuk beriktikaf..? 

Sebab 4 
Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk kita merancang gerak kerja dakwah kita. Bayangkan, anda sudah berjaya menjimatkan waktu bersarapan pagi (setengah jam) dan makan tengah hari (paling kurang satu jam) semasa Ramadhan. Itu belum lagi dikira spesis-spesis yang minum pagi jam sepuluh dan minum petang jam empat. Wahai, berapa banyak masa yang dapat dijimatkan tu..??

Sayugia gunakanlah masa-masa yang sudah dijimatkan itu untuk berjalan-jalan di bazar Ramadhan memburu lauk-pauk yang paling merembes pundi air liur merancang bahan-bahan dalam bulatan gembira, perancangan konferens-konferens riang di masa-masa hadapan, artikel apa yang hendak ditulis, perancangan tajmik hadek-hadek dan macam-macam lagilah yang boleh dilakukan! 

Dan yang lebih menarik, Ramadhan menjadikan kita lebih fokus dan seriyes dalam bekerja. Mengapa? Kerana kurangnya kita makan. Bila makan banyak, perut jadi buncit. Eh. Bila makan banyak, fokus kita mudah hilang dek zat-zat besi yang turun ke kelopak mata. Eheh. Dan hati kita juga lebih bersih dan suci ketika Ramadhan insha-Allah; menjadikan lebih mudah untuk kita faham dan berfikir dengan lebih efisien hal-ehwal gerak kerja dakwah kita.

Ini.. Ini.. Ini sumpah osemness...! Tidak dapat diragukan lagi...!

Sebab 5
Kata omputih, 'Save the best last.' Sebab kelima ini tiada keraguan lagi adalah sebab utama mengapa kita perlu dan wajar rasa teruja semaksima mungkin dalam menyambut ketibaan Ramadhan. 

Sebagai seorang dai'e, tidak boleh tidak, bekalan ruhiyy adalah bekalan terpenting yang menguatkan jiwa-jiwa kita. Dalam kita sibuk dan aktif berdakwah dan mentarbiyah di luar sana, bekalan yang meniupkan semangat dan hamasah untuk ruh dan jiwa sama sekali tidak boleh dilupakan.

Maka Ramadhan adalah masa dan platform terbaik untuk menampal lompong-lompong yang kita tinggalkan sepanjang tahun, dek kelemahan dan kealpaan diri kita. Inilah peluang kita untuk mengejar kembali bacaan al-Quran yang kita abaikan. Inilah peluang untuk kita memperbanyak hafazan kita yang tidak sempat kita lakukan di masa-masa yang lain. Inilah peluang untuk kita bangun setiap malam, bermunajat dan mengalirkan air mata yang tulen lagi gemok. memohon kekuatna dan keampunan seikhlas hati. Inilah peluang untuk kita memperbanyak sedekah dan amal jariah. Dan inilah peluang kita untuk menjinakkan nafsu serakah kita yang ganas itu, kerana terlalu banyak peluang dan ruang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya!

Pendek kata, peluang untuk kita memantapkan jiwa dan mengukuhkan iman kita amat terbuka luas di bulan Ramadhan! Bulan Ramadhan adalah bulan kita berpesta ibadah! 

Dan yang lebih utama daripada semua itu, kita amat wajar mengimani bahawa segala amal kebaikan ini tidak hanya semangat dilakukan di bulan Ramadhan semata. Bulan Ramadhan wajar dilihat sebagai sebuah madrasah tarbiyah yang mendidik jiwa kita untuk jatuh chenta dengan amalan-amalan kebaikan yang telah kita latih dan semaikan sepanjang satu bulan ini. Tilawah dan tadarus Quran, bangun malam, amalan bersedekah, bertukar-tukar juadah dengan anak dara Pak Cik Termizi Bustamam, menahan, melatih dan mendidik nafsu dan segala tok nenek amalan kebaikan yang kita sungguh-sungguh lakukan di bulan Ramadhan, wajar diteruskan sepanjang tahun.

Berakhirnya kita menuntut di madrasah Ramadhan nanti, kita selayaknya memegang segulung ijazah, bukan untuk dibingkaikan dan digantung di dinding ruang tamu utama, tetapi untuk kita kita bawa ke mana-mana sahaja kita pergi, sebagai manifestasi yang kita sudah berjaya ditarbiyah oleh Ramadhan. Keluarnya kita dari madrasah Ramadhan nanti, sewajarnya kita menjadi seorang makhluk yang lebih baik dan osem daripada yang sebelumnya!

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 2:183]


Ya, Ramadhan adalah untuk orang-orang yang bertaqwa. Dan untuk mereka yang mencari dan memburu taqwa. 

Orang-orang terdahulu sudah pon berjaya merangkul gelaran taqwa itu. Tidak mengapalah sekiranya kita belum lagi dimuliakan oleh Allah dengan gelaran itu, kerana inilah masanya untuk kita mendapatkannya! Senyum kenyit mata.

Selamat berpuasa dan menghidupkan Ramadhan anda! Err.. Korek idung batal puasa tak..? Eh. [Kredit]

Cukuplah lima sebab untuk membangkitkan keghairahan anda menyambut kedatangan Ramadhan. Bagaimana..? Sudah terujakah anda? Adakah kini anda terasa seperti mahu melompat-lompat kegirangan dan menjerit yabedabedu kerana tinggal beberapa jam sahaja lagi Ramadhan akan membuka tirainya..? 

Eh eh, anda nak ke mana tu Inche gabbana..? Tergesa-gesa dan lintang-pukang nampaknya tu..?

Lah, nak kena mana lagi..?? Saya nak sediakan pasukan kompang dan bunga manggar, dan saya mahu bentangkan permaidani merah tebal tujuh inci untuk menyambut ketibaan Ramadhan..! Mari..?

Ahlan ahla ya Ramadhan! Wa marhaban bika! 

-gabbana-

Tahun lepas alhamdulillah saya dapat merasakan kemanisan dan kelazatan Ramadhan. Sumpah.

Semoga tahun ini Ramadhan sudi menjadi tetamu agung saya. Semoga Ramadhan kali ini jauh lebih baik buat diri saya daripada tahun-tahun yang sebelum ini!

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak 1433H anda semua! Semoga ia membawa seribu satu keberkatan, kegembiraan dan kechentaan kepada anda seisi keluarga! Semoga kita semua lulus dengan cemerlangnya daripada Universiti Ramadhan nanti!

Ayuh kita semarakkan Ramadhan!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP