10 February 2012

Inche al-Quran, Mahukah Anda Jadi BFF Saya..?

[Kredit]

Rabu lepas, saya berkesempatan menghadiri ceramah sempena Maulidur Rasul di opis yang sumpah osem. Jarang nak jumpa ceramah yang hidup dan segar sebegitu. 

Ceramahnya tidak berkisarkan tentang kehidupan atau perjalanan hidup Nabi SAW secara langsung. Itu antara sebab yang menjadikan ceramah tersebut lain daripada yang lain, meskipon ia adalah ceramah sempena Maulidur Rasul.

Tetapi ia berkisarkan tentang mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Muhammad SAW; tidak dan tidak bukan, Inche al-Quran yang sungguh bergaya itulah. 

Sebelum itu diterangkan dahulu apa yang dimaksudkan dengan mukjizat. Mukjizat dari segi bahasanya bermakna 'sesuatu yang melemahkan.' Dari segi kontekstualnya pula, mukjizat mempunyai empat ciri yang mengesahkan sesuatu itu sebagai mukjizat. Empat ciri-ciri tersebut adalah:

  1. Luar biasa sifatnya
  2. Datangnya dari Allah
  3. Dikurniakan kepada Nabi dan Rasul
  4. Sifatnya yang melemahkan

Maka apabila dilihat kepada mukjizat yang dikurniakan kepada para nabi dan rasul yang terdahulu, semuanya memenuhi empat ciri-ciri ini.

Misalnya, Nabi Nuh 'alahi solatul wassalam. Mukjizatnya yang terbesar tanpa syak lagi adalah bahtera supernya itu. Ia luar biasa sifatnya; besar gedabak dan mampu memuatkan ratusan malah ribuan makhluk baik manusia mahupon haiwan. Pembinaannya diilhamkan oleh Allah. Dibina khas untuk kegunaan Nabi Nuh dan para pengikutnya. Dan bahteranya itu melemahkan mereka yang ingkar kepada Allah dan risalah yang dibawa baginda. Bagaimana..? Masih ingat kisah anak Nabi Nuh yang enggan bersama-sama ayahnya menyelamatkan diri menaiki bahtera? Sebaliknya dia yakin dan percaya yang dia boleh menyelamatkan dirinya dengan mendaki puncak bukit yang tertinggi..?

Apa kesudahan anak Nabi Nuh itu..? Mati ditenggelami air bah yang merupakan bala daripada Allah. Begitu juga dengan puak-puak kuffar yang selama lebih sembilan ratus tahun Nabi Nuh berdakwah dan mentarbiyah, mereka ini pula tidak pernah berputus-asa menentang risalah yang dibawa baginda dan menyebarkan dakyah-dakyah jahat kepada sekalian manusia. Akhirnya mereka mati katak mulut berbuih, dek keangkuhan dan keingkaran mereka.

Mari kita lihat mukjizat yang Allah beri pada Nabi Musa 'alaihi solatul wassalam pula. Mukjizat yang Allah kurniakan pada Nabi Musa mungkin banyak jumlahnya, tapi of koslah yang paling glamor adalah tongkat saktinya itu. Mari kita kaji sama ada tongkatnya itu memenuhi empat ciri yang kita sebutkan di awal tadi.

Luar biasa? Weyh, ada ke tongkat kat dunia ni yang boleh bertukar menjadi ular sebenar, boleh pula membelah lautan luas?? Itu.. Itu.. Itu sumpah ajaib! Datangnya dari Allah? Abes tu, tongkat sebegitu boleh dibeli di Pasaraya Mydin ke..? Dikurniakan kepada Nabi dan Rasul? Ya, bukan pada Rasul Melayu mahupon David Cooperfield. Eh. Melemahkan? Ha, yang ni kena syarah dan bagi contoh sket. 

Anda ingat kisah perlawanan ala-ala Street Fighter antara Nabi Musa dengan tukang sihir Firaun? Bagaimana pada mulanya, tukang sihir terhebat dan termahsyur di seluruh Mesir melemparkan tali-tali mereka yang kemudiannya bertukar menjadi ular pada pandangan mata manusia? Kemudiannya Nabi Musa yang pada mulanya berasa cuak, melemparkan tongkat saktinya dan ular besar yang menjelma daripada tongkat itu menelan kesemua tali-tali tukang sihir Firaun tadi..? Masih ingat?

Apa kesudahan kepada cerita ini..? Anda bersedia untuk berasa kagum lagi terlopong mulut..? Ya, kesemua tukang sihir itu akhirnya sujud menyatakan keimanan mereka. Sebagai orang yang faqih (mahir, arif) dalam profesion sihir-menyihir, mereka tahu yang tidak mungkin sebatang tongkat boleh bertukar menjadi ular yang sebenar, melainkan ia adalah mukjizat yang dikurniakan Allah kepada pesuruhNya yang benar. Akhirnya pencerahan agung itu menyebabkan mereka sujud pembebasan; kebebasan hakiki yang membebaskan diri dan ruh mereka daripada penyembahan kepada Firaun kepada penyembahan yang total kepada "..Tuhannya Harun dan Musa." 

Yang lebih hoyeeaaahhh lagi, keimanan mereka bukanlah keimanan 'Touch N Go.' Bukan juga keimanan Nini Cokelat Celup, celup celup! Err... Tapi adalah keimanan sejati yang sebenar, yang tiada tolok tandingnya. Buktinya..? Apabila Firaun mengugut untuk menyeksa dan membunuh mereka dan mengarahkan mereka untuk kembali menyembahnya, mereka enggan dan tetap teguh dengan kemanisan iman yang baharu mereka rasai. Inilah yang dikatakan mukjizat itu melemahkah; kuasa luar-biasa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa telah berjaya melemahkan tukang sihir Firaun yang selama ini menjadi kebanggaan dan kemegahan Firaun laknatullah 'alaih, sehingga mereka jatuh tersungkur beriman, malah memeluk dan menggengam pula iman itu sekuat-kuatnya.

Kisah ala-ala Hikayat Merong Mahawangsa tentang Nabi Musa dan tukang sihir Firaun ini ada diwarkahkan dengan panjang lebar dalam surah Taha, surah keduapuluh mulai ayat lima puluh enam sehingga ayat tujuh puluh enam. Err, sebenarnya jauh lebih kool dan berfaedah pula daripada Hikayat Merong Mahawangsa itu. Wah!

Sayugia mari kita lihat dan kaji al-Quran pula - benarkah ia mukjizat yang terbesar dan teragung..? Tanpa syak lagi, ciri kedua dan ketiga mukjizat berjaya dipenuhi oleh al-Quran dengan penuh bergayanya; of koslah ia diwahyukan oleh Allah melalui perantaraan Jibril 'alaihi solatul wassalam kepada ar-Rasul SAW. Tetapi bagaimana dengan ciri yang pertama dan keempat; adakah al-Quran itu luar biasa dan melemahkan sifatnya..?

Rasanya tak perlu lagi dihurai panjang lebar tentang keajaiban al-Quran. Sudah banyak makalah dan risalah di luar sana yang telah membuktikan kehebatan dan keoseman al-Quran dari pelbagai aspek dan sudut. Dan terbaru walaupon takdelah baru mana, adalah kecenderungan untuk membuktikan ayat-ayat al-Quran dari kajian ilmiah dan saintifik. Anda boleh rujuk karya dan buku-buku tulisan Harun Yahya dan Syaikh Majid Zindani, juga ilmuwan-ilmuwan tempatan seperti Dr. Zainal Abidin dan Ustaz Jamnul Azhar untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehebatan al-Quran dari sudut pandangan ilmu moden.

Dan di sinilah, sifat al-Quran yang melemahkan sebagai mukjizat itu jelas kelihatan. Jika di zaman Firaun, tukang sihir menjadi lemah dengan tongkat sakti Nabi Musa, di zaman moden ini, berapa ramai ahli saintis terkemuka juga ilmuwan dan ahli akademik yang tersungkur dek kehebatan dan kewalawehhhan al-Quran..?? Ramai. Antaranya termasuklah Dr. Keith L. Moore, pakar embriologi yang cukup takjub dan mengagumi kehebatan al-Quran dalam menghuraikan secara terperinci proses kejadian manusia. Juga Dr. Tejasen, seorang pakar kulit di Thailand yang memeluk Islam setelah memperakui kehebatan al-Quran dalam menjelaskan tentang fungsi kulit.

Nah! Itulah kehebatan mukjizat al-Quran. Ia cukup luar biasa dan ia bisa melemahkan sesiapa sahaja yang cuba untuk menentangnya! Juga menundukkan mereka yang benar-benar ikhlas dalam mencari kebenaran. Golongan ini pasti akan tertunduk, air mata mengalir laju dan mata bersinar-sinar selepas menerima pencerahan agung dari langit, yang sudah jelas lagi trang tang tang, bahawasanya al-Quran itu adalah kalam Allah yang suci dan bukannya tulisan atau rekaan manusia.  

Kini sudah terbukti, tanpa syak wasangka dan kompromi lagi yang al-Quran itu merupakan suatu mukjizat agung yang cukup luar biasa, yang dianugerahkan Allah kepada kekasihNya yang terchenta, Muhammad SAW dan mempunyai kuasa yang cukup ajaib untuk menundukkan dan melemahkan sesiapa sahaja yang menentangnya.

Tibalah masa untuk saya bertanyakan kepada diri sendiri dan anda semua soalan yang lebih penting dan utama; di manakah kedudukan al-Quran di sisi kita..? Sebelum itu, mari kita lihat sejarah peradaban manusia sepanjang masa, apakah akibatnya kepada mereka yang mengingkari dan menentang mukjizat yang dikurniakan Allah kepada para pesuruhNya.

Dup dap dup dap jantung berdegup kencang.

Kaum Nabi Nuh yang meningkari bahtera yang dibina baginda akhirnya tenggelam dimakan bah besar. Kaum Tsamud, kaum Nabi Salleh yang ingkar akan arahan baginda dengan menyembelih unta betina putih, yang merupakan suatu mukjizat Allah kepada baginda, akhirnya mati bergelimpangan dalam keadaan yang sangat dahsyat dan memalukan. Firaun dan para tenteranya, mati dalam keadaan terlaknat, ditelah laut Merah setelah terus-menerus ingkar kepada dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa, meskipon setelah menyaksikan kehebatan dan keluarbiasaan mukjizat baginda. 

Pompeii: Kota 'hebat' yang dimurkai Allah. Adakah kita mahu menerima nasib yang serupa..?? Na'udzubillah.. [Kredit]

Jadi.. Dup dap dup dap.. Err... Peluh besar mula menitik. Kita tak takutkah bala dan azab Allah menimpa kita bilamana kita menjauhi, malah mengingkari mukjizat yang Allah turunkan kepada Nabi dan Rasul kita...? Air mata mengalir laju, habis sekotak tisu.

Dan bila kata kita ingkar dan tolak al-Quran, tak bermakna kita tolak secara terang-terangan seperti memijak al-Quran atau mengoyak lantas membakarnya lembaran-lembaran ayat-ayat suci itu dengan penuh rakus dan ganas. Tidak. Tidak juga bermakna kita secara terang-terangan mengakui kekufuran kita, mengherdik Allah dan ar-Rasul, atau secara jelas lagi tidak tahu malu melakukan maksiat dan perbuatan keji. Tidak semestinya.

Boleh jadi ingkar pada al-Quran itu bermaksud, kita ambil mana-mana bahagian yang kita suka dan kita tolak sebahagian yang lain. Boleh jadi kita tolak al-Quran itu bermakna, kita amalkan Islam 'Happy Meal.' Dan boleh jadi kita derhaka pada al-Quran itu bererti, kita tidak sesungguhnya dan seikhlasnya berusaha untuk menghidupkan dan menghayati ruh al-Quran itu sendiri.


"...Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar kepada sebahagian (yang lain)? Maka tidak ada balasan (yang pantas) bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu selain kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat.."
[al-Baqarah, 2:85]


Sniff sniff. Eh, anda ada bau sesuatu yang hangit tak..?

Wahai para pembaca yang budiman sekalian. Al-Quran itu Allah turunkan sebagai manual sepanjang zaman kepada kita semua, manusia hambaNya. Anugerah agung ini bukan untuk tenggiling hutan, bukan untuk gunung Everest dan bukan juga untuk ikan di lautan. Tetapi untuk kita semua, khalifahNya di muka bumi ini, sebagai panduan ketika sesat, sebagai penghibur ketika duka dan sebagai pengingat ketika lupa.

Ayyuhal insan. Ayuh kita jadikan al-Quran kita sebagai teman sepanjang zaman. Ayuh kita abadikan al-Quran sebagai sumber kekuatan kita, tidak kira masa dan ketika. Ayuh kita janji pada diri kita, kita akan hidupkan a-Quran bukan sahaja ketika kita memerlukannya, tetapi dalam apa jua keadaan. Insha-Allah.

Moga al-Quran menjadi Best Friend Forever Ever and Ever, Happily Ever After kita. Yang bakal menemankan kita di kubur nanti. Yang bakal menjadi teman mesra, menuntun tangan kita di Mashyar nanti. Dan yang bakal menjadi peguam bela kita ketika berhadapan dengan Hakim Mahkamah Agung kelak.

Ya Allah Kasih Sayangilah daku dengan sebab Al-Quran ini.
Dan jadikanlah Al-Quran ini 
sebagai pemimpin,
sebagai cahaya,
sebagai petunjuk,
dan sebagai rahmat bagiku.

Ya Allah ingatkanlah daku
apa-apa yang aku lupa dalam Al-Quran yang telah Kau jelaskan,
dan ajarilah apa-apa yang aku belum mengetahui.
Dan kurniailah daku selalu sempat membaca Al-Quran,
pada malam dan siang hari.
Dan jadikanlah AlQuran ini sebagai hujjah bagiku.

Ya Allah Tuhan semesta alam!


-gabbana-

Alhamdulillah, setelah sekian lama, akhirnya dapat juga menghapdet belog. Kepuasannya ibarat orang yang mengantuk bukan sahaja disorongkan bantal, malah katil Dreamland, selimut kulit bebiri dan bilik sejuk nyaman dengan pendingin hawa dua kuasa kuda. Wahahaha...

Masih berada di negeri Serambi Mekah. Masih menanti-nanti sekiranya ada yang sudi berjumpa untuk berukhuwwah mesra. Senyum.

6 Caci Maki Puji Muji:

yang bertanya 11/02/2012, 00:07  

salam.mcm mana ya nk capai satu tahap yg mana kta solat dn ibadah tu sebab kta cinta.bukan smta2 sebab kta rasa perlu. bukn semata2 sebab 'klu ak x semayang nt allah x bg ak markah bgos'? 'klu ak x smayang nt tuhan bg bala'?

Anonymous 11/02/2012, 00:25  

En gabbana....siapa en ni pun x knl,cmne nk berukhuwwah mesra...takkan nak buat pertandingan mencari Siapa En Gabbana....or explorace APG: siapa di sebalik topeng en gabbana...ke seantero dunia dh tahu saper en ni?

Nways, mmg best ar if en AQ jd bff,sure takkan penah sedih dan down...

Cr. Siti Hazreen Shahrom 11/02/2012, 10:55  

"nini cokelat celup" haha lawak lawak

pengembara kecil 11/02/2012, 11:55  

walaupun post nya santai dan penuh selingan..tapi, hati tetap diketuk keras untuk lebih mencintai Al-Quran..
syabas en. Gabbana..
moga dengan penulisan di sini menjadi saksi penyebaran agama ALLAH di akhirat kelak... Insyaallah

berkemban dlm bilik 11/02/2012, 14:54  

teringat time kecik kat sekolah ptg dulu ustazah selalu citer kisah nabi sgt seronok sampai tertido kdg2..tp masa terus berlalu..manusia mudah alpa..semoga al-quran juga sudi menerima diri as bff dunia akhirat..nak pegi baca n peluk quran.bye

ViSiTmE@FaTiN CoRnEr 11/02/2012, 22:45  

tak bosan walaupun entry panjang alam.alhamdulillah..sy dapat byk ilmu..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP