21 September 2011

Tak Pedihkan Mata!


Anda masih ingat semasa kecil-kecil dahulu, ketika Puan Ibu atau Inche Ayah anda memandikan anda? Saat-saat apakah yang paling ditakuti atau paling tidak disukai..?

Jika anda bertanyakan kepada saya, nescaya saya akan mengatakan saat ketika disyampu rambut saya. Mengapa..? Kerana takut betul syampu masuk ke dalam mata dan memedihkan mata..!

Tetapi jangan khuatir..! Syampu Johnson & Johnson datang untuk menyelamatkan makhluk bergelar kanak-kanak kecil riang gembira. Entah bagaimana, mereka berjaya menghasilkan produk syampu yang tak memedihkan mata! Walaweh!

Anda pasti ingat moto atau tagline produk tersebut yang cukup feymes: 

"Syampu Johnson & Johnson... Tak pedihkan mata..!"

Arakian tidak hairanlah produk tersebut cukup popular di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang kecil. Kerana untuk mendidik mereka supaya mandi dan menjaga kebersihan mereka, pastinya ibu bapa seboleh-bolehnya mahu mengelakkan perkara-perkara yang boleh menakut-nakutkan anak-anak mereka. Di peringkat sebegitu, ibu bapa pastinya mahu memastikan anak-anak mereka membesar dengan baik, cergas dan cerdas; maka sebarang unsur-unsur yang boleh membantutkan hal ini perlu dielakkan.

Inilah syampu yang klasik dan sungguh ajaib itu. [Kredit]
Marcapada ini, ramai orang yang mahu melakukan kebaikan. Di luar sana, ramai orang yang baik-baik sebenarnya. Bahkan, bukan sahaja mereka ini baik seorang-seorang diri sahaja; mereka juga mahu mengubah dunia dengan membawa seribu satu kebaikan kepada umat manusia.

Tapi malangnya, mereka tidak tahu cara yang terbaik lagi tepat untuk mengubat masyarakat yang sedang sakit tenat ini. Mereka fikir mereka tahu, mereka arif dengan apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat.

Maka mereka tubuhkan pusat-pusat komuniti untuk mendekati masyarakat. Mereka tubuhkan badan-badan kebajikan untuk membantu masyarakat yang mereka fikirkan memerlukan bantuan mereka. Mereka sanggup masuk ke dalam pedalaman hutan atau ke tengah padang pasir, untuk memberikan perkhidmatan percuma berupa kesihatan, pendidikan dan sebagainya kepada mereka yang tinggal di kawasan tersebut. 

Tidak kurang yang bersungguh-sungguh mengadakan kempen-kempen kesedaran yang menyentuh pelbagai isu. Tidak kurang juga yang melakukan ceramah-ceramah, bengkel-bengkel dan forum-forum untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada orang ramai. Cukup ramai yang mendermakan harta, tenaga dan masa untuk kerja-kerja sukarela ini.

Semuanya kerana mereka adalah orang yang baik dan mereka juga mahu melihat golongan yang kurang bernasib baik mungkin untuk sama-sama menikmati kebaikan ini.

Tetapi malang sekali, mereka tersasar jauh daripada niat murni ini. Mereka fikir mereka telah melakukan yang terbaik dan mereka berpuas-hati dengan kerja-kerja mereka. Rupa-rupanya, selama ini mereka hanya merawat dan membuang simptom-simptom penyakit yang sedang dihidapi masyarakat. Mereka tidak merawat dan mencantas punca sebenar penyakit tersebut. Mereka ibarat merawat kudis yang tidak pernah dan tidak akan pulih, kerana kudis itu hanyalah simptom atau hasil sampingan daripada penyakit yang sebenarnya.

Akibatnya, dek tidak menggunakan kaedah dan cara yang paling tepat dengan fitrah dan tabi'e manusia, masyarakat sedikit-sedikit, perlahan-perlahan menjauhi mereka ini; sama ada secara fizikal atau mental. Ya mungkin mereka menyokong penuh usaha-usaha murni yang dilakukan ini. Malah mereka juga mungkin turut sama dalam kerja-kerja merawat masyarakat ini. Tetapi sekadar fizikal dan kudrat mereka sahajalah. Sedangkan ruh, jiwa dan hati mereka tidak benar-benar menghayati dan diresapi aura perubahan ini. 

Sewajarnya kita mencontohi Puan Ibu dan Inche Ayah dalam mengsyampu anak-anak kecil mereka. Dalam menggalakkan anak-anak mereka untuk mandi dan membersihkan rambut mereka yang masam dan berkulat itu, mereka gunakan syampu berjenama Johnson & Johsnson dan bukan sekadar syampu cap badak air Sumatera. 

Mengapa? Kerana ia tak pedihkan mata...!

Begitulah. Kita tidak sewajarnya 'menakut-nakutkan' masyarakat dengan arus perubahan yang ingin kita bawa. Kita khuatir mereka terkejut dengan semangat dan visi kita, sehinggakan mereka terus lari daripada kita. Dan dosa besar kerana menyebabkan mereka semakin jauh dengan Islam itu pastinya perlu kita galas, kerana kita sendiri tidak menguasai hikmat-hikmat atau kiat-kiat yang betul dalam membawa perubahan ke dalam masyarakat!

Sehebat mana atau se-gah mana sekalipun teknik dan kaedah yang digunakan, tetapi sekiranya ia tidak menepati dengan kehendak ruh dan jiwa seorang manusia itu, percayalah, pastinya metod tersebut akan tersungkur jatuh, gagal dengan bergayanya. Dan kadang-kadang, kaedah yang paling amat very the berkesan tidak perlu pun kepada belanja yang mahal atau tenaga yang besar!

Saya masih ingat, bagaimana Puan Mama menceritakan, Inche Pak Cik yang menghidapi sejenis penyakit mulut. Merata-rata dia pergi untuk mendapatkan rawatan. Segala tok nenek hospital pakar telah dia kunjungi untuk mencari penawar bagi penyakitnya itu. Tiada satu hospital atau doktor pun yang berjaya memberikan diagnosis yang tepat dan ubat yang berkesan.

Sehinggalah di ke Singapura untuk bekerja dan ditakdirkan, dia berkunjung ke sebuah hospital pakar di sana. Dan anda tahu apakah diagnosis yang diberikan doktor di sana?

Punca penyakitnya adalah sapu tangan yang selalu digunakannya untuk melap mulut! Dan sungguh benar, sebaik sahaja Inche Pak Cik membuang tabiatnya itu, penyakitnya beransur-ansur pulih! Subhanallah..

Begitu juga dengan usaha kita dalam mendidik dan merubah masyarakat. Tanpa kita sedari, rupa-rupanya teknik dan kaedah yang paling berkesan dan terbaik itu kadang-kadang berada di depan hidung kita sahaja sepanjang masa..!

Justeru, apakah teknik yang terbaik, terbukti berkesan dan dijamin bagus untuk merawat masyarakat yang sedang sakit tenat ini..?? Bacalah karya-karya shuyukh besar seperti Sayyid Abul 'Ala al-Maududi, Syaikh Abul Hassan Ali an-Nadwi, Syed Qutb, Imam Syahid Hassan al-Banna, Syaikh Ramadhan al-Bouti, Syaikh Ahmad Rasyid dan banyak lagi tokoh-tokoh tersohor yang lain. Anda akan jumpa satu persamaan di dalam anjuran mereka dalam mengubati masyarakat:

Tarbiyyah. 

Tiada yang lain. Hanya tarbiyyah dan tarbiyyah. Dan tarbiyyah ini mesti bermula dari bawah. Hati dan jiwa masyarakat perlu disentuh dengan tangan-tangan yang penuh dengan kasih- sayang dan rasa tanggungjawab untuk menegakkan kembali Islam di muka bumi ini. 

Dan walau apa pun yang berlaku, tarbiyyah ini tidak boleh ditinggalkan. Para dua't yang mula leka dan lalai atau larut (tamayu') di dalam masyarakat atau akibat terlalu asyik dengan kerja-kerja merawat simptom tadi, perlu dikejutkan daripada lena dan tidur mereka. Kalau terpaksa menumbuk muka mereka, menendang perut mereka atau memotong jari-jemari kaki mereka, dipersilakan dengan penuh rasa hormat dan rendah diri. Wahahaha..

Ok seriyes seriyes. 

Kerana hanya tarbiyyah yang berkesan dan berterusan sahajalah yang bisa memberikan ubat paling efektif untuk mengembalikan semula ruh Islam dan Iman yang sudah malap dan mengilang daripada jiwa-jiwa masyarakat. Mengapa? Kerana ia bertepatan dengan fitrah dan tabi'e seorang makhluk bergelar manusia.


Sentuhlah dan dekatilah masyarakat dengan penuh kasih-sayang; pasti anda akan terkejut dengan respon yang akan mereka berikan! [Kredit]

Dah oh, cara ini telah pon dibuktikan berkesan, dijamin hebat dan komfem baaaggguussss tahu..?? Tidak percaya..? Sila baca sirah Nubuwwah dan para sahabat, mahupun tokoh-tokoh salafus soleh di masa lampau. Pasti mulut anda akan ternganga besar, leher anda akan mengangguk-ngangguk tanda setuju apabila membaca perjuangan dan jihad mereka dalam mengubah masyarakat yang sudah jauh daripada pimpinan Ilahi.

Perlu juga disebut di sini, saya tidak memperkecil-kecilkan atau menolak secara total kebaikan atau faedah yang dibawa oleh cara-cara lain yang turut seta mahu mengubah dan mengubat masyarakat. Tidak. Malah saya yakin mereka ini ikhlas dan telus dalam usaha mereka ini, Insha-Allah.

Tetapi, sungguh rugi, tenaga-tenaga yang hebat, sumber-sumber kebijaksanaan dan kekreativitian yang ada, wang ringgit yang begitu besar nilainya, digunakan ke arah sesuatu yang tidak dapat menyelesaikan masalah secara holistik dan total. Bayangkan, apa yang kita boleh lakukan, paradigma jenis apa yang boleh kita langkaui seandainya khazanah dan kehebatan-kehebatan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya...?? Osem, sumpah osem..!

Samalah seperti syampu rambut cap lain. Ya, syampu-syampu ini dapat juga membersihkan rambut. Dapat juga menghilangkan daki-daki dan bau masam dan kepam pada rambut. Tetapi sekiranya ada syampu Johnson & Johnson yang wangi, berkesan dan paling penting, tidak memedihkan mata, mengapa tidak kita manfaatkannya..?? Kerana akhirnya, rambut anak-anak kecil itu yang disyampu; kita mahukan mereka riang gembira dan seronok dengan apabila rambut mereka dibasuh dan dicuci bersih! 

Maka sekiranya anda mencari-cari teknik-teknik atau kaedah-kaedah yang paling berkesan untuk mengubah masyarakat dan mengembalikan nur Islam di galaksi bimaksakti ini, nasihat saya..

Carilah sesuatu yang TAK PEDIHKAN MATA...!

-gabbana-

Nota: Johnson & Johnson adalah salah satu jenama kepada korporat yang menyokong rejim Zionis Israel. Anda dinasihatkan untuk memboikot dan tidak membelinya. Artikel ini ditulis semata-mata untuk mengambil moto 'Tak Pedihkan Mata' yang sungguh catchy itu dan bukannya untuk mempromosikan produk-produk jenama Johnson & Johnson. Harap maklum sekian terima kasih.

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 21/09/2011, 16:18  

Tarbiyah bukanlah segala2nya.. Tapi segala2nya bermula dgn tarbiyah:)

Unknown 22/09/2011, 11:28  

entahpape anonymous.
hmm,setuju lah juga dengan entri ni~

me 22/09/2011, 17:21  

disebabkan sume manusia tidak akan menunjukkan tindak balas yg serupa dgn sesuatu syampu, jd kalau syampu tu x pedihkan mata kita, jgn la pulak kita marahkan atau berpndgn sipi kpd org yg matanya ter-pedih guna syampu tu.. kena paham la Allah ciptakan manusia ni berbeza2,x gitu Inche Gabbana?

belle 22/09/2011, 17:51  

x bek kata gitu kat encik anonymous.


yep. saya pun x pernah sangka tarbiyah boleh buat sampai mcm ni kat saya. :')

alhamdulillah.

[MH] 22/09/2011, 20:14  

indeed!

seringkali cikgu doktor berpesan kepada saya

"treat the cause, not the symptoms"

Inche gabbana 22/09/2011, 21:17  

err.. rasanya anda semua salah faham dgn enonimus ni. kata2 tu mmg wujud, dan maknanya baik.

maksudnya lebih kurang, bukan semua benda dalam hidup kita adalah tarbiyyah. ada masa kena makan, ada masa kena kahwin, ada masa kena bersukan, etc.

tapi sume benda tu bermula dgn tarbiyyah (pendidikan). sbb kalau takde tarbiyyah mcm mana kita nak tau nak buat sume benda tu.

kurang lebih tambah tolak.

allahu a'lam, harap dapat menjernihkan memana yg keruh.

aman.

Anonymous 25/09/2011, 09:07  

bole inche G suggest karya-karya shuyukh besar yg cmne sesuai utk yg low religious knowledge? (eg:saya...gulp)...sbb slalu konfius dgn istilah2 yg bombastik

-thanks-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP