10 December 2008

Akhi - Bahagian Kedua

Kali kedua aku melihatnya adalah di dewan sekolah pada malam itu, untuk sesi orientasi. Secara jujurnya, aku amat terkejut melihat dia berada di sini. Bagaimana aku boleh tidak perasan kelibatnya sewaktu pendaftaran ya? Kami dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan dan dia bukan di dalam kumpulanku. Aku lihat dia begitu ceria, amat mudah mesra dengan mereka yang berada di sekelilingnya; tidak seperti aku yang agak keseorangan. Aku lebih mudah untuk menjawab soalan sahaja, daripada memulakan bicara. Dan senyumannya... Ah, cukup manis! Mana mungkin luput daripada ingatanku.

Tiba-tiba matanya mengesan aku. Dia seperti terkejut seketika, sebelum dia memberikan aku senyuman manisnya. Sudah! Aku sedikit kaget. Aku menundukkan kepalaku cuba untuk menyembunyikan wajahku yang aku kira sudah merah menyala. Aku berkira-kira apakah tindakannya selepas ini. Adakah dia akan datang kepadaku dan menyapaku? Atau adakah dia akan menjerit memanggil namaku? Tak mungkin; kami masih belum berkenalan. Adakah dia akan.... Fikiranku menerawang ke ruang angkasa Bimasakti, memikirkan segala macam kemungkinan apakah yang mungkin akan dilakukan olehnya selepas ini. Namun, tiada apa yang berlaku.

Selepas tamat orientasi, aku mahu segera pulang ke dorm asramaku kerana aku begitu penat dan tidak bermaya, mungkin kerana ini adalah hari pertamaku. Tatkala aku sedang berjalan longlai tidak menghiraukan keadaan sekelilingku, tiba-tiba bahu aku ditepuk oleh seseorang. Dia tersenyum.


“Masykur.” Dia menghulurkan tangannya.


“Err… Mik. Mikail.” Aku menyambut tangannya.


Kami berjalan beriringan pulang. Tidak banyak bercakap antara keduanya. Aku lebih selesa begitu. Seolah-olah dia faham yang aku tidak punya selera untuk berbual. Namun pada masa yang sama aku berasa sedikit gembira, kerana pada masa-masa beginilah aku memerlukan seseorang untuk menemani diri yang begitu sunyi ini. Sebelum kami berpisah (kami ditempatkan ke dorm yang berlainan), dia sempat berpesan, "Jumpa esok ya?" bersama senyuman manisnya yang percuma. Aku mengangkat tangan tanda mengiyakan dan aku membalas senyumannya, walaupun aku tahu senyumanku tidak cukup gula.


Malam pertama aku cukup menyeksakan. Aku tidak bisa lelap. Sekejap aku mengiring ke kanan. Sekejap ke kiri. Kemudian aku meniarap. Semuanya tidak kena!
Aku menangis sendirian tidak tertahan. Aku rindu akan Ummi dan Abbi, Man dan Dol, katil berkembar empuk di bilikku, masakan Ummi, loyar buruk Abbi… Haih... Air mataku bertambah laju. Ummi memberikan aku kain batiknya untuk menghilangkan rindu apabila perlu ujarnya. Aku hanya tertawa sinis apabila Ummi berkata begitu. Kini aku tahu, tanpa kain batik merah berbunga kalung itu, aku pasti sudah meraung… Aku cuba menahan rengekku, malu. Hanya 2-3 tahun selepas itu barulah ku tahu yang hampir separuh daripada rakan-rakan satu batchku menempuhi malam yang sama; ngeri dan tiada berpenghujung...

***

Kami ibarat langit dengan bumi, Sony Ericsson dengan Nokia, KLCC dengan Sg. Wang. Begitu jauh berbeza. Dia begitu ceria dan amat mudah mesra dengan semua. Aku agak bersendiri dan sukar untuk masuk dengan sesiapa. Dia amat aktif bersukan. Aku pula lebih gemar aktiviti-aktiviti berpersatuan. Aku amat pemarah dan tidak sabar orangnya. Dia pula sangat penyabar dan senyumannya amat mudah mencairkan sesiapa. Aku sangat boros orangnya; lebih gemar makan di kantin dan sanggup berbelanja besar di hujung minggu. Dan dia, setahu aku, tidak pernah ke kantin melainkan dewan makan pada hari itu menghidangkan ikan paus masak lemak atau telur raksasa goreng bercili. 

Kadang-kadang aku tertanya bagaimana mereka boleh memberi kami makan sedemikian rupa...? Kawanku Idris sering mengusik yang makanan yang mereka hidangkan hanya sesuai untuk kucing-kucing yang membiak dengan sihatnya di dewan makan itu. Masykur hanya tersenyum dan mengeleng-gelengkan kepalanya setiap kali dia mendengar sesiapa yang mengeluh tentang makanan yang disediakan. Katanya, "Haih, bersyukurlah..." Dan kami sering membalas, mengusik, "Encik Ayyub dan Puan Sarah memang pandai memilih nama!" Masykur hanya tertawa setiap kali.

Entah bagaimana, kami segera menjadi kawan baik, kemudian semakin akrab dan akhirnya, dialah sahabat sejatiku. Ya, kami mungkin banyak perbezaan, tapi bukankah itu yang melengkapkan? Ya, kami mungkin tidak sedondong dalam banyak perkara, tapi bukankah itu suatu rahmat dariNya? Dan ya, kadangkala kami mungkin tidak sehaluan, tapi bukankah itu yang merapatkan? Entahlah, bila aku fikir-fikirkan kembali, aku juga hairan bagaimana kami bisa menjadi begitu rapat dan akrab.

Mungkin, cuma mungkin, suatu peristiwa yang berlaku sewaktu kami di tingkatan satu dahulu yang memulakan segalanya. Ketika itu, aku dan Masykur hanyalah dua insan yang biasa, tiada apa-apa hubungan istimewa. Suatu petang Sabtu, yakni hari yang dibenarkan untuk kami keluar ke pekan mengurus diri, aku baru sahaja pulang dari luar membeli sedikit barang keperluan. Ketika aku lalu di hadapan blok asramaku, aku lihat kelibat Masykur yang sedang duduk termenung seorang diri. 

Entah mengapa aku mengambil keputusan untuk menyertainya. Mungkin hairan, mengapa waktu-waktu sebegini Masykur tidak pergi bermain bola seperti biasa. Atau mungkin perasaan ingin tahuku yang sangat kuat, melihat Masykur sebegitu rupa. Mungkin. Tetapi yang pasti, aku amat bersyukur dan amat berterima kasih kepadaNya kerana pada hari itu, Dia telah mengilhamkan aku untuk pergi dan duduk bersama Masykur.

Dia segera menyedari kehadiranku dan seperti biasa, menghadiahkan aku dengan senyumannya. Aku duduk di sebelahnya dan mengambil sesuatu daripada beg plastik yang aku bawa. Aku buka sepaket biskut coklat Famous Amos kegemaranku, lantas memulakan bicara.

"Kau ok Kur? Menung panjang aku tengok..."

"Hah...? Oh, aku ok je. Jangan risau." Senyum.

"Ye ke ni? Tak pernah aku tengok kau termenung panjang macam ni sebelum ni?"

Diam. Sunyi sebentar, seolah-olah alam turut mencuri dengar.

"Hhmmmm... Aku tak tahu macam mana nak cakap la Mik. Aku... Aku..."

Tiba-tiba air mata keluar mencurah-curah daripada kelopak matanya. Aku sedikit gelabah.

"Eh.. Kenapa ni Kur? Ko ok tak ni...?" Jelas sekali bibit-bibit kerisauan dan ketakutan dalam nadaku. Dan dia tersenyum, dalam air matanya.

"Aku ok. Aku ok. Cuma..."

Air matanya tidak tertahan-tahan lagi. Aku memandang sekeliling jika ada orang lain yang sedang melihat. Hanya kami berdua.

"Kau tengok si Man tu, betapa mesranya dia dan keluarganya. Aku cemburu Mik... Dan kau... Ibu bapa kau sering saja datang menziarah. Kau mungkin tidak pernah sedar, tetapi aku..." Dia tersedu, Aku juga hampir tertangis melihat gelagatnya. Cukup syahdu!

"Aku... Selalu cemburu melihat kemesraan yang terpancar pada kau dan keluargamu.."

Kini aku faham apa masalahnya. Aku tahu dan aku tidak bertanya, khuatir keadaan akan menjadi lebih buruk. Masykur mengelap air matanya dengan lengan bajunya. Aku juga segera mengesat titis-titis basah yang mula keluar dengan buntut tapak tanganku.

"Hahaha.. Bodoh kan aku? Memalukan diri sendiri di hadapan kau... Aku minta maaf, Mik..."


"Apa yang kau merepek ni Kur...? Mulai hari ini, kalau ada problem, aku sentiasa bersedia nak jadi telinga kau. Apa saja, kau cakaplah. Mulai hari ini, kau anggaplah aku sebagai keluargamu sendiri. Ok?"

Dia tersenyum. Dan aku membalas senyumannya. Dan kami diam untuk beberapa ketika. Hanya deruan angin petang yang berdesir menusuk koklea telinga. Kemudian, setelah beberapa lama kami begitu, dia memandang tepat pada mataku;

"Terima kasih Mik. Terima kasih..."

Aku tahu dia maksudkannya. Dan aku tahu dia tahu yang aku juga maksudkannya, apabila aku menawarkan diri menjadi tempat mengadu. Entah mengapa. Entah mengapa aku sanggup menawarkan sesuatu yang belum pasti aku bisa memenuhinya. Mungkinkah aku kasihan kepadanya? Atau mungkin aku terpaksa kerana tidak mahu dia terus mengalirkan air mata? Tidak, aku tidak rasakan begitu, kerana aku pasti, aku benar-benar ikhlas. Hatiku benar-benar ikhlas ketika menghulurkan tangan kasih sayang itu.

Ya, mungkin juga kerana petang itu. Apabila difikir-fikirkan kembali, petang itu sungguh ajaib; penuh rahmah dan barakah dariNya. Kerana setelah petang itu, hubungan kami secara misterinya semakin rapat dan erat. Kami sering berjalan sama, sama ada ke surau, ke kelas, ke dewan makan atau ke mana-mana. Kami juga sering meluangkan masa menelaah dan mengulangkaji pelajaran bersama, walaupun kami tidak sekelas.

Setiap kali Abbi dan Ummi datang melawat, aku pasti mengajak Masykur untuk menyertai kami. Walaupun pada mulanya dia segan dan malu, namun setelah dipujuk dan diyakinkan, dia bersetuju. Dan melihat layanan Abbi dan Ummi yang begitu mesra, sejak daripada itu, dia tidak pernah menolak setiap kali aku mengajaknya untuk meluangkan masa bersama kami. Malah, kadangkala dia yang terlebih seronok apabila Abbi dan Ummi datang menziarahi! Hahaha, Masykur, Masykur...

Abbi dan Ummi juga tampak amat selesa dengan kehadiran Masykur dalam hidupku. Setiap kali jika aku ingin melakukan sesuatu, asalkan ia dengan Masykur, pasti mereka tidak pernah ragu untuk memberikan keizinan. Seolah-olah Masykur adalah lesen besar buat diriku. Alhamdulillah, aku pula tidak pernah menyalahgunakannya. Kami sangat rapat sehinggakan sering dijadikan bahan gossip oleh rakan-rakan. Mereka dengan nakal menggelarkan kami 'M&M: Cair di mulut tidak di tangan!' dek hubungan kami yang sangat akrab. Mujurlah kami sangat rapat dengan rakan-rakan
batch yang lain. Tidaklah aku ambil hati sangat dengan usikan mereka.

Oh! Sudahkah aku memberitahu kalian yang Masykur sangat nakal orangnya? Hobinya mengusik orang. Dan akulah yang selalu menjadi mangsanya...! Pernah suatu ketika, ketika kami di tingkatan tiga, dia dengan mengah dan cungapnya datang menemui aku. Dia memberitahu yang Tuan Haji Pengetua ingin menemuiku. Penting, katanya. Soal disipilin, tambahnya lagi. Aku kaget. Takut. Risau. Segala jenis perasaan datang bertubi-tubi menyerang! Aku tidak merokok, fikirku. Aku tidak pernah ponteng kelas. Aku bukan kelawar hitam, terbang bebas di waktu malam. Aku bertambah risau. Sekarang! Desak Masykur lagi. Aku tiada pilihan melainkan terpaksa bergegas ke bilik pengetua ketika itu juga.

Setelah Puan Zaiton Samudi, setiausaha kepada Tuan Haji Ariff mengesahkan yang Tuan Pengetua sememangnya sedang menunggu aku, aku semakin takut. Cuak. Pundi kencingku memberikan amaran. Ah sudah! Aku mengetuk hormat bilik pengetua. Masuk, aku diberi kebenaran.

"Assalamua'laikum Tuan Haji..."


"Waa'laikumussalam warah matullah. Ha Mikail, jemput duduk."

"Tidak mengapa Tuan Haji. Biarlah saya berdiri saja... Err..., ada apa Tuan Haji mahu berjumpa dengan saya ya?"

Aku cuba menyorokkan rasa cemasku. Mataku melirik, gerun melihat ibu rotan sebesar ibu jari Bob, rakan se
batchku di sudut sebelah kiri bilik itu.

"Oh... Tak, Masykur ada datang berjumpa saya. Dia bilang, kamu ada suatu projek besar untuk
batch kamu. Untuk meningkatkan kecemerlangan PMR katanya. Saya amat sokonglah cadangan kamu tu. Cuma, saya naklah kamu sediakan kertas cadangan yang formal. Boleh? Eh, kamu ni, kenapa terkejut satu macam ni?"

"Hah....?? Projek kecemerlangan PMR....? Oh ya ya. Ada ada Tuan Haji. Masih di peringkat perbincangan dengan rakan-rakan yang lain. Insha-Allah, saya akan cuba usahakan untuk menyiapkan kertas cadangan tu secepat mungkin."

"Bagus! Semangat macam ni lah yang saya mahukan pada setiap pelajar sekolah ni. Baik, teruskan usaha murni kamu tu. Kalau kamu ada apa-apa masalah, jangan teragak-agak nak jumpa saya minta nasihat dan sokongan, ok?"

"Ok Tuan Haji. Terima kasih."

Aku keluar daripada bilik pengetua terpinga-pinga. Dari jauh lagi sudah ku dengar hilai tawa Masykur dan rakan-rakanku yang lain. Aku begitu marah dan geram. Mukaku merah menyala menahan marah. Jika tidak kerana kelas Kemahiran Hidup yang terpaksa aku hadiri, sudah pasti aku sudah kejar si Masykur itu, dan aku cekik-cekik lehernya, aku patah-patahkan lengannya dan aku siat-siat kulitnya!! Satu hari itu aku begitu terkesan dengan peristiwa yang berlaku. Satu hari itu aku tidak bercakap dengan Masykur. Memandangnya sekali pun tidak aku ingin.

Masykur tahu yang dia sudah melampaui batas. Sebelum ini, usikannya yang paling hebat pun hanyalah dengan melumurkan mukaku dengan ubat gigi ketika aku sedang tidur. Oh! Bukan, bukan yang itu. Dia pernah menyimpan telur tembelang sebulan lamanya, semata-mata untuk dilontarkan kepadaku pada hari lahirku.
Birthday present katanya. Hampir sebulan aku rendam bajuku dengan Clorox, semata-mata mahu menghilangkan bau tengik dan kepam yang tidak tertanggung! Haih... Aku masih boleh bersabar dengan karenahnya selama ini. Tetapi kali ini... Dia sudah melangkaui garisan batasannya.

Dan dia tahu aku merajuk dengannya. Dia cuba memujuk. Dia meminta maaf berulang kali. Aku tidak bujuk. Akhirnya pada malam itu, dia datang kepadaku dengan membawa suatu bungkusan berwarna merah.

"Mik....
Sorry la... Aku betul-betul menyesal ni..."

Aku buat-buat tidak endah.

"Mik... Janganlah macam ni... Ni, nak buktikan betapa sesalnya aku, aku nak bagi hadiah kat kau ni..."

Masykur... Dia memang arif benar akan kelemahanku! Aku tersenyum.

"Ha, macam tu la! 0-0 ya kita? Nah, ambillah! Tapi jangan buka sekarang. Aku tak bolehlah, orang buka hadiah depan aku..."

Dia tersenyum lagi. Tapi kali ini senyumannya lain macam. Manis masih manis. Tetapi sedikit pedas... Dia pergi meninggalkan aku yang agak jelas begitu gembira dengan pemberian itu. Tetapi entah mengapa, aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena...


Aku buka perlahan-lahan bungkusan merah itu. Cermat. Teruja. Eh, ada bungkusan yang lain pula, tetapi hanya dibalut dengan kertas surat khabar. Jelas kelihatan Siti Nurhaliza tersenyum bangga kepadaku. Aku buka pula balutan itu dan George W. Bush sedang menantiku dengan wajah yang masam. Mukaku terasa panas. Kepalaku mula gatal-gatal. Aku buka lagi balutan kertas surat khabar yang kedua itu. Giliran David Beckham pula yang menyambutku dengan senyuman nipisnya. Sabar Mik, sabar. Setelah 3 Ketua Negara, 5 artis tempatan dan antarabangsa, 4 selebriti sukan dan 3 krisis kemanusiaan, barulah 'hadiah' yang aku nanti-nantikan muncul tiba. 3 biji gula-gula Hacks berperisa oren gedang...

MASYKURRRRRR.............!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

***

bersambung lagi...


-gabbana-

6 Caci Maki Puji Muji:

Ahmad Zharif Ahmad Zahir 11/12/2008, 20:45  

uh owh!! pandai kamu, u got a knack.... but this smhow shows tht there are so much drama in you... lalalalal :p

Inche gabbana 12/12/2008, 01:28  

hahahaha.. i dunno whether to accept tht as a complement or an insult...! hehehe ;p

but im surprised that u actually got the time to read them! wut an honor...! ;)

thanx!

emir.abu.khalil 22/12/2008, 17:47  

nak jadi telinga kamu juga... boleh? eheh~ tapi tak boleh jadi m&m... tak matching... camne akh?

Anonymous 29/12/2008, 03:13  

rupanya, adam nih banyak juga persamaan dengan aku nih.. menarik2..

Inche gabbana 29/12/2008, 07:32  

to azmir: hahaha... A&A pon ok gak ape.... tho bunyinye die x best!! hehehe ;p

to roslan: persamaan yg macam mana tue akhi...? ;)

Qasrus Syuhada 28/05/2012, 18:47  

ikan paus masak lemak atau telur raksasa goreng bercili?????

alahai..dahsyatnya menu! erk..apa2pun karya anda sgt hebat..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP