26 August 2015

Ikhwah Lipas

Balik je rumah, nampak benda ni. Menjerit melompat atas almari tak dibuatnya kita? Eheh. [Kredit]

Apabila mendengar sahaja perkataan lipas', benda apa yang pertama sekali menerjah kepala dan otak anda?

"Ewwwww!"

"Serangga perosaaaak!"

"Makhluk paling pengotorrr!"

"Ewwwww!"

"Geliiiiiii!!!"

"Ewwwww!"

Dan beberapa lagi reaksi dan respon yang tidak sanggup saya tulis di sini. Begitulah stereotaipnya masyarakat kita tentang lipas.

Lipas ialah makhluk yang seringkali disalahertikan, sebaris dengan babi dan ikan jerung. Kasihan mereka ini yang sering menjadi mangsa su'udzan manusia. Eh.

Hakikatnya, lipas adalah salah satu daripada makhluk terhebat ciptaan Allah. Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, lipas adalah makluk bertaraf super yang tiada tolok tandingnya.

Anda tidak percaya?

Mari kita lihat beberapa fakta tidak terpercaya tentang lipas. 

  1. Bukan semua lipas ialah serangga perosak. Ada 4,000 spesis lipas dan hanya kurang lebih 30 sahaja yang dikategorikan sebagai serangga perosak.
  2. Lipas sudah pon melata di muka bumi Allah ini sejak tiga ratus lima puluh juta tahun yang lampau! 
  3. Lipas boleh hidup dalam keadaan yang amat mendesak. Ia malah boleh hidup tanpa sebarang makanan untuk enam minggu lamanya!
  4. Lipas boleh makan apa sahaja dan ini antara sebabnya mengapa kadar survival nya amat tinggi
  5. Lipas boleh hidup berminggu-minggu lamanya tanpa kepala! Apa?? 
  6. Lipas adalah serangga yang sangat laju pergerakannya. Apabila keenam-enam kakinya beraksi, ia boleh bergerak selaju 80 sentimeter per saat (atau 3 batu per jam)! Tak hairanlah ada simpulan bahasa 'lipas kudung'!
  7. Lipas boleh menahan nafas sehingga empat puluh minit lamanya. Kalau kita tu mahu muka dah biru pekat jadinya!
  8. Lipas Jerman hanya memerlukan tiga puluh enam hari untuk membesar menjadi lipas dewasa! 
  9. Dan ini fakta yang paling meletupkan otak: Lipas boleh kekal hidup hatta selepas letupan nuklear...!! (Pasukan Mythbuster telah membuktikan fakta ini dengan sedikit diskelemer)

Bagaimana? Tidakkah kini anda merasakan lipas bukan calang-calang makhluk? Bukankah kini anda melihat lipas tidak sama seperti dahulu? Bukankah kini anda terasa seperti mahu membela lipas dan menjadikan ia sebagai serangga kesayangan anda? Wahahaha. 

Nah, apa kena-mengena lipas dalam kehidupan sehari-hari kita, apatah lagi untuk ikhwah (dan akhawat) seperti yang dicadangkan oleh tajuk post ini? Selain daripada serangga perosak yang sering menghabiskan sisa-sisa makanan kita, yang berlegar dan merayap di dalam kereta kita yang kotor dan sebab utama mengapa kita membeli Ridsect atau Shieldtox? 

Saya ingin mengambil ibrah daripada fakta-fakta menakjubkan tentang lipas seperti yang saya kongsikan dan kaitkan dengan kita semua. 

Anda sudah bersedia? Tahan nafas anda. 

Bukan semua lipas adalah serangga perosak
Seperti lipas, kehidupan sebagai seorang al-akh juga sering disalahertikan. Ikhwah tidak kool. Ikhwah tidak hensem. Ikhwah skema. Ikhwah takde life. Ikhwah itu dan ini.

Kasihan kan menjadi ikhwah? 

Namun itulah kepahitan yang terpaksa kita telan apabila dahulunya kita melompat masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Menjadi seorang al-akh bermakna bersedia untuk menjadi ghuraba' di dalam dunia fana yang penuh fatamorgana ini. Eceh. 

Melihatnya dari satu sudut yang sedikit berbeza, ia sebenarnya adalah motivasi untuk kita agar lebih giat dan bersungguh dalam menyebarkan dakwah, agar orang di luar sana tahu betapa bahagia dan terujanya menjadi sebahagian daripada konspirasi tarbiyah ini. Eheh. 

Biarlah orang salah sangka dan salah erti kita ini seperti lipas sekalipon, asalkan kita ini lipas yang menuju redha Allah! Eh.

Lipas sudah wujud sejak ratusan juta tahun
Obor dakwah yang kini di tangan kita, sebenarnya sudah menyala sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Jika kita menelusuri al-Quran, kita akan dapati semua Rasul dan Nabi membawa risalah tauhid yang sama. Mereka menyeru dengan seruan yang sama dan mengajak dengan ajakan yang sama.

Makanya, kita perlu berasa teramat bangga bahawasanya al-Haq yang kita perjuangkan ini bertokmoyangkan para Nabi dan Rasul kekasih Allah semuanya! Allahu Akbar!

Lipas adalah survivor
Sebagai seorang dai'e, tidak boleh tidak, kita pasti akan diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Dan kadangkala, cubaan yang menimpa kita tersangatlah berat dan mencabar, sehinggakan yang tinggal ketika itu hanyalah kita dan Allah semata. Hatta rakan-rakan dan keluarga kita juga mungkin akan meninggalkan kita! 

Maka bersedialah. Ketika kita diuji pada titik kita yang paling lemah, sehingga kita tergolek dan terduduk, tersadung dan terjatuh, ketika itu, ingatlah pada semangat lipas!

Lipas boleh makan apa sahaja
Kadangkala sumber-sumber untuk berdakwah yang ada pada kita tersangatlah terhad. Mungkin pada satu ketika, kita tidak punya kenderaan untuk bergerak. Pada ketika yang lain, mungkin kita tiada satu sen pon untuk dibelanjakan. Dan pada masa masa yang lain, kita tidak punya masa dan tenaga, kerana terlalu penat diperah dan dikerah oleh dunia. 

Ketika itu, kita perlu manfaatkan apa sahaja yang kita ada agar obor dakwah itu akan terus menyala. Kita perlu gunakan segala sumber yang tersisa agar tarbiyah dan dakwah itu agar terus hidup di dalam diri kita! 

Lipas boleh hidup tanpa kepala
Ha yang ini sangat menarik untuk diinterpretasikan. Kadangkala kita terpaksa meneruskan kehidupan dakwah kita hatta tanpa murabbi yang membimbing kita. Contoh yang sangat praktikal adalah apabila kita tercampak nun ke hujung ceruk tok kun atau tempat jin bertendang sana, sama ada disebabkan kerjaya atau balik kampung. Buatnya pulak tiada internet atau lebih teruk, talian telefon! Adeh. 

Nah, ketika itu takkanlah kita sanggup membiarkan tarbiyah diri yang sudah terbina sejak sekian lama tergadai terkorban begitu sahaja?

No no no! Jadilah seperti lipas yang boleh hidup berminggu lamanya walaupon tanpa kepala!

"Oh kalau macam tu Inche gabbana, lepas takde murabbi untuk berminggu lamanya, boleh futur lah?"

Tersedak. 

Lipas kudung
Seperti lipas, seorang dai'e murabbi itu mesti pro-aktif dan sentiasa laju di dalam setiap tindakannya. Bukan gopoh, tapi laju! 

Tidak perlu sentiasa menanti arahan murabbi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sentiasa sensitif dengan keadaan ikhwah dan sebarang konflik/isu yang ada. Sentiasa pantas melangsaikan sesuatu tugasan dan taklifan yang diberikan. Sentiasa merebut peluang dakwah yang ada tanpa menunggu sesiapa. Dan dengan penuh keterujaan dan semangat menyebarkan syahadatul haq!  

"Err Inche gabbana, kalau murabbi ajak berbulatan gembira atau konferens riang, lepas tu saya cepat-cepat lari, itu dikira mengambil semangat lipas tak?"

Jatuh kerusi.  

Lipas boleh menahan nafas lama
Err.

Kadangkala kita ditahan daripada sumber yang paling asas dalam berdakwah; tarbiyah contohnya. Hal ini boleh jadi disebabkan oleh keadaan setempat yang punya banyak kelemahan sehingga tarbiyah para kader dakwah diabaikan. Atau boleh jadi disebabkan oleh cabaran-cabaran kehidupan seperti kerjaya, keluarga dan sebagainya.

Apabila kita dilanda badai sebegini, tatkala sumber asas yang memberi kehidupan kepada jiwa dan ruh kita ditarik dan dirampas, ketika itu kita mesti punya kebolehan untuk terus bertahan dan bertahan. Paling koman, kita masih punya tarbiyah dzatiyah untuk dijadikan pergantungan. 

Terer tak saya goreng? Wahahaha. 

Lipas boleh membesar dalam tempoh yang singkat
Dalam dakwah, kita perlu menjadi matang dengan cepat. Matang itu bukan bermakna berjambang, jalan mendabik dada dan apabila ada orang terlanggar bahu, kita marah-marah. Itu bukan matang. 

Tetapi matang yang dimaksudkan di sini adalah tidak kebudak-budakan, manja dan mengada-ngada dalam berdakwah. Semuanya nak mengharapkan pada murabbi sahaja. Ikhwah tegur sikit dah merajuk belakang pokok. Semua perkara nak siap tersedia tanpa kita mengeluarkan sebarang usaha. Kena berkorban sikit dan mengeluh berjela. Kalau murabbi atau mas'ul tak suruh, satu benda pon tak jalan.

Tak lipas la bro!

Lipas boleh tahan letupan nuklear
Akhirnya, kita perlu menjadi seorang dai'e murabbi yang punya jati diri yang utuh dan keimanan yang kukuh. Sehinggakan apabila musibah yang paling dahsyat dan mehnah yang paling mengerikan datang melanda sekalipon, kita tetap berdiri dengan hensem bergaya.

Tidak kiralah musibah berupa pergolakan jemaah, keluarga yang tidak memahami, kesempitan hidup, masyarakat yang menolak dakwah yang kita bawa atau pihak penguasa yang memburu kita, sehebat dan sekuat mana pon ujian yang datang menyerang kita, kita akan tetap tsabat di atas jalan perjuangan ini. 

Kerana apa? Kerana kita punya Allah di sisi. 

Senyum.

Begitulah sedikit sebanyak pengajaran dakwi dan tarbawi yang boleh kita ambil dari kehidupan saorang lipas. Eh maksud saya, seekor lipas. Siapa sangka bukan, dari lipas yang sering disalaherti itu pon, rupa-rupanya ada banyak pengajaran dan hikmah yang boleh kita ambil dan amalkan?

"Tidakkah engkau tahu bahawa apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak antara manusia? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pon yang akan memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki."
[al-Hajj, 22:18]

Ayuh ikhwah!

Jika lipas yang kecil dan tidak dikurniakan akal itu pon boleh jadi sebegitu hebat, manusia yang Allah kurniakan akal fikiran, tinggikan derajat dan muliakan melebihi sekalian makhluk yang lainnya, wajiblah menjadi jauh lebih hebat lagi kan?? 

Malulah kalau pada bila-bila masa, hatta sesaat cuma, perangai dan akhlak kita menjadikan kita lebih hina dari lipas!
Ayuh jadi ikhwah lipas!

Err maksud saya, ayuh jadi sehebat lipas! Wahai!

-gabbana- 

Saya ada beberapa cerita yang menarik tentang lipas:

1) Saya pernah dengar kes kemalangan yang melibatkan akhawat kerana terlalu sibuk mahu membunuh lipas di dalam keretanya. Moral dari cerita ini? Jangan biarkan ada sisa makanan di dalam kenderaan anda.

2) Ada satu tips berguna untuk memerangkap lipas yang berkeliaran di dalam kereta anda. Dapatkan sebotol minuman manis dan minum air di dalamnya sehingga hampir habis. Biarkan botol itu tanpa penutupnya. Tinggalkan di dalam kereta anda buat semalaman. Esok pagi, anda pasti akan dikejutkan dengan nenek lipas, atok lipas, mak lipas, bapak lipas dan anak beranak lipas sedang berkenduri kendara di dalam botol itu. Tutup dan buang botol itu. 

3) Orang Sarawak menggelar orang Semenanjung sebagai 'lipih' iaitu lipas. Mengapa? Sila dapatkan kawan Sarawak yang terdekat dengan anda dan tanyakan kenapa. 


Mohon jangan ada mana-mana pengarah atau penerbit yang mencari saya selepas ini untuk menulis skrip filem terbaru berjudul 'Lipas Man.' Kekeke. 


8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 26/08/2015, 13:44  

Good points Inche Gabbana! Tp still nk bayangkn lipas tu...errrr...

Anonymous 26/08/2015, 17:38  

Selama ni pandang lipas tu tak lebih daripada sekadar makhluk perosak, hari ni alhamdulillah dapat ilmu baru. Benarlah, bukan saja-saja Allah ciptakan sesuatu melainkan untuk dijadikan pengajaran untuk umat manusia. :)

Anggerik Kecil 02/09/2015, 10:28  

Lipih tu mcm x sopan, haha

Anonymous 19/09/2015, 23:51  

Hahaha sampai lipas pun boleh jadikan contoh.. Nice one inche gabbana. good entry!

Anonymous 28/10/2015, 23:35  

Salam . Gabbana ni banyak sangat Allah bagi nikmat . Lipas pon boleh diambil ibrah . Ma sha Allah . Bersyukurlahhhh

preetymangster 10/11/2015, 02:43  

Jelas sgt.

Unknown 24/01/2016, 11:14  

yeepiee .. sentap lagi !

Unknown 24/01/2016, 11:24  

bukan setakat meng'goreng sahaja die pandai , die juga saorang lipaih ! ahah

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP