28 December 2018

Antara Fitnah Dajjal, Materialisme dan al-Kahfi (Bhg 2)

[Kredit]

Assalamua'laikum semua! Apa khabar?

Dah mandi sunat Jumaat? Dah cukur misai janggut? Dah cabut bulu ketiak? Hehe.

Di pagi Jumaat yang mulia ini, saya ingin menyambung perkongsian saya tentang surah a-Kahfi dan bagaimana ia boleh menjadi senjata yang ampuh untuk melindungi diri kita dan keluarga daripada fitnah dahsyat al-Masih ad-Dajjal.

Baik, anda sudah bersedia?

Dalam penulisan yang lepas, saya telah bercerita panjang lebar tentang salah laku dan korupsi pihak gereja Roman Katolik yang akhirnya membuka jalan kepada 'Dajjalisme' untuk tersebar luas. Bolehlah kita fahami Dajjalisme ini adalah suatu kefahaman bahawa sesuatu itu hanya dapat diyakini apabila dapat dilihat dengan mata, atau sekurang-kurangnya dapat dibuktikan kewujudannya dengan pancaindera. 

Maka Dajjal kelak akan keluar ke muka bumi membawa keajaiban-keajaiban yang dapat dilihat, didengari dan dirasai sendiri oleh manusia-manusia sehingga menyebabkan mereka terpedaya dengan dakyah Dajjal yang akan mengaku dirinya bukan sahaja sebagai mesiah penyelamat ummah tetapi sebagai Tuhan. 

Di sinilah surah al-Kahfi sebenarnya telah memberikan kita 'jawapan bocor' untuk berhadapan dengan fitnah Dajjal. Rugilah kita yang selama ini membaca surah al-Kahfi tanpa mentadabburinya, sehingga terlepas pandang bimbingan ar-Rahman yang cukup luar biasa yang dibawakan surah ini! 

Bekalan pertama yang dicampakkan al-Kahfi kepada kita adalah pada ayat pertama surah ini lagi:


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kitab (al-Quran) kepada hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya bengkok." 
[al-Kahfi, 18:1]

Perkataan 'عِوَجً' dalam ayat ini bererti terseleweng atau tersimpang. Untuk memahami betapa signifikannya perkataan ini, kita bayangkan sebuah titik yang bergerak di atas satu garis yang lurus. Apa yang akan terjadi sekiranya titik itu terseleweng walau pada sudut yang sangat kecil? Semakin jauh ia terseleweng, semakin jauh dia dari garisan lurus itu bukan?

Begitulah dengan 'عِوَجً' itu. Ia menggambarkan penyelewengan yang meski sedikit sahaja di peringkat awal akan mengakibatkan kekufuran dan keingkaran yang maha dahsyat di akhirnya. Dajjalisme yang melanda umat manusia pada hari ini mungkin kelihatannya tidak ada apa-apa atau tidak memberikan kesan yang besar, namun apabila Dajjal muncul kelak, ia akan mengakibatkan kesesatan massa yang menggila! 

Mula-mula hanya tidak percaya kepada kewujudan malaikat. Kemudian mula was-was dengan hari kebangkitan. Akhirnya membawa kepada keraguan bahawa Allah itu Tuhan dan Dia wujud! Semuanya hanya kerana materialisme/Dajjalime yang sudah berkarat di jiwa; percaya pada sesuatu hanya apabila dapat melihat dan merasainya. La hawla wala quwwata illa billah! 

Maka berpegang teguh dengan al-Quran sahajalah yang akan memastikan kita akan sentiasa terpandu untuk bergerak di atas perjalanan kehidupan yang lurus. Al-Quran, yang merupakan kalamullah, ialah panduan Ilahi yang tidak mungkin akan tersilap, apatah lagi menyimpang jauh dari kebenaran. Kefahaman al-Quran yang membumi dan menyerap jauh ke dalam hati, akan menjadi neraca yang amat ampuh apabila berhadapan dengan fitnah Dajjal nanti. 

Baiklah. 

Mari kita lihat EMPAT kisah utama yang dimuatkan di dalam surah al-Kahfi. 

Kisah pertama bercerita panjang lebar tentang perjalanan hidup para pemuda gua. Bagaimana mereka bangkit menentang sang tirani yang kufur lagi zalim dan akhirnya terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan aqidah dan keimanan mereka. Setelah ditidurkan lebih 300 tahun lamanya, mereka dibangkitkan semula oleh Allah untuk melihat keimanan yang sudah tersebar luas dalam kalangan masyarakat ketika itu. 

Kisah kedua berkongsi tentang dua orang sahabat; seorang digambarkan sebagai sangat kaya, memiliki dua kebun yang cukup luar biasa. Seorang lagi adalah pemuda beriman yang cuba menasihati rakannya agar bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah. Di akhir kisah ini ditunjukkan bagaimana Allah menghancurkan kebun milik pemuda pertama dek keingkarannya. 

Kisah ketiga pula ialah perjalanan epik Nabi Musa AS bertemu dengan seorang hamba Allah yang soleh (Nabi Khidir AS) setelah ditegur Allah SWT kerana merasakan diri baginda adalah manusia yang paling tahu di muka bumi. Kesabaran baginda teruji dengan dahsyatnya dalam musafir menuntut ilmunya dengan Nabi Khidir AS.

Dan kisah keempat pula adalah kisah seorang raja agung yang beriman, Zulkarnain. Allah menggambarkan bagaimana baginda memerintah secara adil dan saksama meskipun diberikan kekuasaan yang cukup hebat. 

Jika kita perhatikan dan tadabbur empat kisah ini, kita boleh simpulkan ada EMPAT fitnah (ujian) utama yang diketengahkan.
  1. Kisah Pertama = Fitnah aqidah/keimanan
  2. Kisah Kedua = Fitnah harta
  3. Kisah Ketiga = Fitnah ilmu
  4. Kisah Empat = Fitnah kekuasaan
Menariknya, keempat-empat fitnah ini jugalah yang akan dibawa oleh Dajjal nanti! Mak aih.

Dajjal akan keluar dan mengaku dirinya sebagai Tuhan dan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa = Fitnah aqidah

Dajjal akan keluarkan segala hasil mahsul yang dikandung bumi sebagai 'rasuah' untuk sesiapa sahaja yang mahu mengikutinya = Fitnah harta

Dajjal akan menunjukkan ilmu-ilmu yang tidak pernah diketahui/dikuasai manusia, contohnya menghidupkan orang yang sudah mati = Fitnah ilmu

Dan Dajjal akan menjadi sang penguasa yang bermaharajalela, yang menguasai hampir keseluruhan dunia! = Fitnah kekuasaan

Perlu diingatkan di sini yang semuanya ini boleh berlaku hanya dengan izin Allah. Dengan kata lain, Allah mahu menguji umat manusia dengan fitnah Dajjal. Tidak hairanlah fitnah Dajjal ini merupakan fitnah paling dahsyat yang boleh menimpa anak-anak Adam sekaliannya! 

Maka surah al-Kahfi, dalam peranannya untuk melindungi orang-orang beriman daripada fitnah Dajjal ini, telah membekalkan kita dengan perkara yang paling asas dalam berhadapan dengan sebarang kesulitan atau cabaran; itulah dengan mengetahui apakah cabaran-cabaran dan ujian-ujian itu terlebih dahulu.

Adakah surah al-Kahfi setakat berhenti di situ sahaja? Sekadar memberitahu kita apakah bentuk fitnah Dajjal yang terpaksa kita hadapi nanti? 

Sudah tentu tidak! Surah al-Kahfi juga memberitahu kita, apakah penawar dan solusi kepada keempat-empat fitnah ini. Kerana itu di awal penulisan ini saya sudah pon memberitahu anda bekalan pertama yang diberikan al-Kahfi kepada kita adalah berpegang teguh dengan al-Quran. 

MashaAllah la hawla wala quwwata illa billahil aliyyil adzim. Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada para hamba-Nya! 

Lantas, apakah perisai atau senjata bagi menghadapi keempat-empat fitnah yang sudah tentunya dahsyat lagi menggugah jiwa itu? 

InshaAllah saya akan sambung dalam bahagian yang ketiga dan terakhir. Wahahaha. Eh. 

Nantikan!

-gabbana-

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 30/12/2018, 00:03  

Mohon cepat sikit sambungannya pleasee

Anonymous 31/01/2019, 20:33  

Masih menanti sambungan.. tak sabar ni

aliah 31/03/2019, 22:05  

Allahu,,baru nak feeling,dah habis😭😭

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP