Nilai Sebuah Tarbiyah
[Kredit] |
Dalam surah al-Kahfi, Allah SWT telah merekodkan sebuah kisah yang luar biasa; yang bukan sahaja begitu unik dari segi jalan ceritanya, tetapi juga mengandungi ibrah dan hikmah yang sungguh di luar kotak.
Ia adalah kisah tentang pertemuan seorang nabi agung, Musa AS dengan seorang hamba Allah yang disifatkan sebagai "...yang telah Kami berikan rahmat kepadanya dari sisi Kami dan yang telah Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami."
Ia bermula dengan ayat 60:
Perkataan 'huqub' di hujung ayat itu membawa maksud 'hayat' (baca: lifetime). Huqubaan adalah dalam jamak-nya. Maka ia bermaksud banyak hayat, atau berulang-kali hayat.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا
"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, 'Aku tidak akan berhenti sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan bertahun-tahun.'"
[al-Kahfi, 18:60]
Perkataan 'huqub' di hujung ayat itu membawa maksud 'hayat' (baca: lifetime). Huqubaan adalah dalam jamak-nya. Maka ia bermaksud banyak hayat, atau berulang-kali hayat.
Dalam konteks ayat ini, ia menunjukkan kesungguhan dan keazaman Nabi Musa AS untuk bertemu dengan hamba Allah itu (di dalam kitab tafsir disebut nama hamba Allah itu sebagai Khidir AS) walau apa pon cabaran dan halangan yang bakal dihadapi.
Lantas kita bertanya, apa yang menyebabkan Nabi Musa begitu bersemangat? Apa yang membakar tekadnya sedemikian rupa?
Berdasarkan kitab tafsir, ia berikutan teguran Allah SWT - murabbi Nabi Musa AS - terhadapnya berkaitan dengan pengakuan baginda bahawa bagindalah orang yang paling tahu (baca: bijaksana) dalam kalangan manusia. Maka Allah menegur baginda dan mengatakan bahawa ada orang yang lebih tahu daripadanya, i.e. hamba Allah Khidir AS.
Maka teguran dari Sang Murabbi diambil serius, terus masuk ke dalam hati. Nabi Musa AS, seorang rasul Ulul Azmi yang tidak dapat dinafikan pengorbanan dan kehebatannya, langsung merendahkan egonya untuk pergi mencari hamba Allah yang dimaksudkan itu. Kerana baginda tahu, pasti hamba Allah itu begitu luar biasa sehingga Allah menyuruh baginda untuk mencari dan bertemu dengannya.
Bermulalah pengembaraan Nabi Musa AS, yang berjanji tidak akan berhenti (huqubaan) selagi tidak mencapai objektifnya. Demi apa?
Demi sebuah tarbiyah.
Ya, Nabi Musa AS sanggup untuk berjalan ribuan batu jauhnya hanya semata-mata kerana Allah SWT telah menasihatinya.
Nabi Musa AS sanggup berkorban sebegitu rupa kerana mahu berjumpa dengan seseorang yang lebih baik dan tahu daripadanya.
Nabi Musa AS sanggup merendahkan egonya untuk belajar dan mengambil manfaat, agar dirinya menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya.
Demi sebuah tarbiyah. Dan itulah harga yang sanggup dibayar Musa AS, kerana baginda sedar dan faham, betapa besarnya nilai sebuah tarbiyah itu!
Bagaimana dengan kita? Apa sikap kita dalam menanggapi tarbiyah?
Adakah kita sanggup bermusafir sedemikian jauh hanya untuk menghadiri halaqah usrah atau daurah?
Atau belum apa-apa lagi sudah terpacul dari mulut kita, "Alah jauhnyaaa. Buat dekat-dekat tak boleh ke??"
Adakah kita sanggup menginfaqkan wang, harta dan tenaga kita demi setitis ilmu dalam lautan fikrah yang begitu luas?
Atau wang dan tenaga kita, kita simpan untuk dibelanjakan demi kepuasan nafsu dan keinginan sendiri?
Adakah kita sanggup mengorbankan emosi dan ego kita, untuk ditegur, dinasihati, dibimbing dan disusun agar menjadi diri kita yang lebih baik?
Atau kita ini pantang ditegur dan sentiasa merasakan diri lebih baik dan sentiasa betul?
Apa nilai tarbiyah di sisi kita?
-gabbana-
1 Caci Maki Puji Muji:
Jzkk atas peringatan. Moga dpt teruskan menulis, kerana akh & akhowat yg menulis inilah source kami untuk mendapatkan penulisan tarbawi dan tanasuh.
Post a Comment