10 January 2016

Sang Penggunting Rambut

[Kredit]

Mungkin sudah ramai yang mendengar kisah ini.

Kisah saorang penggunting rambut yang tidak beragama (atheis) cuba memprovok pelanggannya. Kisahnya begini.

Suatu hari, di sebuah galaksi yang jauh sekali, saorang penggunting rambut sedang menggunting rambut pelanggannya. Sengaja mahu memprovok pelanggannya, sang penggunting rambut memulakan bicara:

"Tuan, tuan percaya tak kalau saya cakap Tuhan tak wujud?"

Si pelanggan hanya mengangkat kening, terkejut mungkin dengan kenyataan penggunting rambut itu.

"Kenapa pula?"

Sang penggunting rambut tersenyum. Menyangka yang umpannya sudah mengena.

"Cuba tuan tengok di luar sana. Ramai kan orang yang fakir miskin? Yang kebulur tak makan? Cuba tuan tengok lagi. Ramai kan penjenayah yang bermaharajalela? Orang kaya bertambah kaya dan orang miskin papa kedana? Jika benarlah Tuhan itu wujud, mana mungkin Dia biarkan semua itu berlaku! Bukankah Tuhan itu kaya dengan sifat kasih-sayang? Bukankah Tuhan itu sepatutnya Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani? Kerana itu saya katakan Tuhan tak wujud!"

Si pelanggan mengerutkan dahinya, namun kemudian tersenyum. Dia memikirkan apa jawapan yang paling sesuai untuk diberikan kepada sang penggunting rambut. Salah jawab, silap haribulan telinganya yang terpotong!

"Encik, cuba encik lihat di luar sana. Ramai tak orang yang berambut panjang?"

Sang penggunting rambut terhenti, tidak pasti adakah ini cubaan atau betul-betul soalan.

"Err ramai je. Kenapa?"

"Kalau macam tu, penggunting rambut macam encik ni tak wujud! Penipu je semua!"

Sang penggunting tercengang sebentar. Tak sangka agaknya yang ayat itu yang akan keluar dari mulut pelanggannya.

"Aik kenapa pulak??"

"Dah tu. Kalau penggunting rambut tu wujud, tak mungkinlah ada orang yang masih berambut panjang di luar sana! Tak begitu?"

Sang penggunting mahu membuka mulut, mahu memprotes ketika dia menyedari yang dia sudah terkena. Dia hanya terdiam seribu bahasa. Dan si pelanggan tersenyum puas.

Wahai anda semua,

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu, sentiasa membuka ruang dan peluang untuk kita kembali kepada-Nya. Dia sama sekali tidak pernah menutup pintu untuk kita menjadi baik, berubah kepada fitrah kita sebagai saorang hamba. 

Namun pilihan di tangan kita. Kita yang memilih sama ada mahu 'berambut panjang' atau sebaliknya. 

Allah berfirman di dalam al-Quran yang mulia:

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar."
[al-Balad, 90:10-11]

Allah sentiasa menunjukkan kepada kita jalan yang benar. Jalan menuju kebaikan. Jalan yang diredhai-Nya. Dan sememangnya fitrah kita sebagai manusia, kita sentiasa chenta kepada kebaikan, walau sejahat mana pon kita.

Kerana itu hati kita mudah tersentuh melihat makcik tua kerepot yang terpaksa berjalan jauh menjual kerepek.

Kerana itu kita mudah sekali mahu menghulurkan derma apabila ada si buta atau si tempang yang datang menghulurkan tangan meminta.

Kerana itu air mata kita mudah jatuh melihat kesengsaraan dan penderitaan orang lain meskipon kita tidak pernah mengenali mereka.

Kerana itu kita mudah sekali rasa bersalah, hati kita meronta setiap kali kita berbuat dosa.

Dan kerana itu juga hati kita mudah sejuk melihat sesiapa sahaja yang berwajah bersih suci bercahaya kerana jauh di sudut hati kita, kita juga mahu jadi sebegitu rupa. 

Kerana itu fitrah kita. 

Cuma, jalan kebaikan itu penuh dengan liku dan duri. Ia tida mudah. Ia payah. Kerana sorga itu hiasannya bukan bunga atau permata, tapi ranjau dan kaca. 

Ramai sekali manusia tertipu dengan hakikat ini, lantas "...tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar." Dia malah memilih jalan pintas ke neraka, yang sentiasa dihiasi dengan syahwat dan perkara yang sia-sia. 

Aduhai. 

Kita tahu semua itu. Kita sedar semua itu. Dan kita faham semua itu.

Kerana itu pilihan di tangan kita. 

Dan kerana itu juga, di akhirat kelak, kita tidak mungkin mampu untuk menyalahkan Allah kerana membiarkan 'rambut kita panjang' dengan dosa dan noda. Kerana sepanjang hidup kita di dunia, Allah sentiasa memanggil-manggil kita untuk kembali kepada-Nya. Allah telah pon menunjukkan kita jalan menuju-Nya.

Majlis-majlis ilmu dan zikir  begitu banyak dikelolakan baik di mesejid atau surau.

Program-program dan ceramah agama kini semakin popular di telebisen dan corong-corong radio.

NGO-NGO kebajikan yang ikhlas membantu ramai manusia kurang upaya tumbuh bagai cendawan.

Kursus atau forum yang fokusnya mahu membantu ramai orang di luar sana untuk berubah dan mencari Tuhan tidak terhitung banyaknya.

Bulatan-bulatan gembira yang mencari redha-Nya bersepah-sepah di merata-rata tempat.

Hanya kita sahaja yang gagal memilih. 

Gagal pilih tukang gunting rambut tidak mengapa.

Tetapi gagal memilih jalan beragama, itu bahaya!

-gabbana-

Jika anda tahu dari mana asalnya kisah sang penggunting rambut itu, sila beritahu saya untuk saya berikan kredit yang selayaknya. Senyum. 

3 Caci Maki Puji Muji:

Kek Coklat 13/01/2016, 00:44  

Saya! Saya tak tau Dari mana asalnya kisah sang penggunting rambut tu.

Fauzan Ahmad 17/01/2016, 06:53  

terima kasih :)
saya pernah tengok video tentang kisah ni kek coklat

Unknown 09/02/2016, 22:35  

Teme

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP