3 January 2016

Dakwah Tahun Baru Yang Mencengangkan!

[Kredit]

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang itu cukup baik hati memanjangkan usia kita untuk melangkah masuk ke dalam tahun baru 2016. 

Alhamdulillah, Allah yang Maha Pengasih itu cukup pemurah melimpahkan rezeki-Nya ke atas kita semua meski kita banyak berbuat dosa di sepanjang tahun lepas.

Dan alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah itu cukup tidak lokek masih lagi memberikan saya kekuatan, kemahuan dan ilham untuk menulis post yang pertama untuk tahun 2016. 

Senyum.

Jika difikir-fikirkan, tahun ini ialah tahun kesembilan (atau kelapan, bergantung dari sisi mana anda melihatnya) belog ini wujud di alam maya ini. Saya tidak tahu sama ada itu berita baik atau buruk, tapi pastinya saya amat berharap belog ini banyak memberikan manfaat buat anda yang membacanya.

Dan jika difikir-fikirkan, tahun ini juga tahun kesembilan (atau kelapan, bergantung dari sisi mana anda melihatnya) saya sudah bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Bukan suatu tempoh yang pendek, apatah lagi jika dilihat dari perspektif saorang anak kecil; dari merangkak dan jalan terkedek-kedek, kini sudah mahu masuk kelas derajah tiga! 

Di suatu sisi saya rasa bersyukur yang tidak terhingga kerana Allah masih lagi memilih saya untuk menapaki jalan yang penuh berduri ini. Namun di sisi yang lain, saya terasa amat cuak, takut dan nebes kerana saya tidak pasti selama lapan tahun ini, adakah saya sudah melaksanakan tugas saya sebagai seorang 'abid dan khalifah dengan baik. Gulp.

Astaghfirullah. Subhanallah walhamdulillah wallahu akbar! 

Oleh sebab itu, memandangkan ini ialah post pertama untuk tahun ini, saya kira ada baiknya sekiranya kita sama-sama bermuhasabah, melihat kembali apa yang telah kita sumbangkan untuk ummah ini, untuk tarbiyah dan dakwah ini, dan untuk agama ini. Adakah kita saorang manusia yang berjasa, atau hanya lebihan (Baca: Sampah) yang tidak berguna?

Allah Allah!

Untuk tujuan itu, saya ingin berkongsikan dengan anda dua potong ayat daripada al-Quran yang pendek sahaja tidak panjang mana, tapi inshaAllah bisa merobek hati dan mengoyakkan jiwa andai kita tadabburnya dengan chenta.

Anda bersedia? Baiklah!

"Qaf. Demi al-Quran yang mulia.

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi ingatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir, 'Ini adalah suatu yang sangat ajaib.'"
[Qaf, 50:1-2] 

Risalah yang dibawa oleh Nabi SAW ialah sesuatu yang cukup besar dan signifikan di zamannya. Ia menongkah arus. Ia melawan adat resam masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Ia juga mencabar kedudukan politik para pembesar Quraisy ketika itu. 

Nabi SAW membawa risalah tauhid yang mengajak sekalian manusia mengEsakan Allah, dan meninggalkan sembahan berhala yang ketika itu ada 360 berhala banyaknya di Mekah sahaja! Masakan orang Arab Quraisy mahu menerima ajakan Nabi SAW yang mahu mereka meninggalkan tinggalan dan warisan nenek moyang mereka? 

Nabi SAW juga mengajak mereka untuk meninggalkan penzinaan, judi dan perhambaan, mengasihani orang miskin dan anak yatim, berbuat baik dan macam-macam lagi yang sememangnya amat sukar diterima dan dipraktikkan oleh masyarakat ketika itu. 

Namun yang lebih menarik untuk kita fikirkan, apa yang dibawa oleh Nabi SAW sebenarnya amat mudah dan lurus ke hadapan. Manhaj dan konsep kebenaran yang ingin ditegakkan oleh baginda sebenarnya adalah sesuatu yang amat logik dan boleh diterima akal. 

Mengapa kalian perlu menyembah berhala yang begitu banyak jumlahnya, malah tidak boleh bercakap, bergerak apatah lagi mengenyit mata itu? Sedangkan Allah yang Esa lagi Maha Berkuasa itu ada? 

Bagaimana kalian tergamak berzina sedangkan perbuatan itu jijik dan merosakkan kehormatan nasab keturunan? Bagaimana kalian boleh berjudi sedangkan ia menindas dan merugikan? 

Bagaimana kalian sanggup menghina dan menyeksa golongan hamba dan anak yatim? Ke mana perginya belas kasihan dan kasih-sayang kalian yang amat terkenal itu? 

Kerana itu orang Arab Quraisy ketika itu sampai tercengang dengan dakwah yang dibawa Nabi SAW. Kerana ia terlalu benar lagi jujur. Ia ibarat mengetuk kepala mereka dengan tukul batu besar yang amat kukuh dan keras. Ia menyakitkan. Amat menyakitkan. 

Yang menambahkan rasa hairan dan ajaib mereka, Nabi SAW berasal dari kalangan mereka sendiri. Muhammad bin Abdullah yang mereka kenali sebagai al-Amin itu, yang mereka kenal dengan baik budi pekerti dan kejujurannya itu, yang mereka tahu sebagai manusia mulia yang tiada tolok bandingannya dari segi akhlaknya. Yang tampak tidak mahu mencampuri urusan harian mereka malah di satu ketika membawa dirinya bertahannuth di Gua Hira' untuk sekian lamanya. 

Ah pedulikan Muhammad itu, dia dengan urusannya dan kita dengan urusan kita!

Tapi kini dia bangkit membawa satu risalah yang menongkah arus, melawan adat dan mencabar kebiasaan mereka? Ini sungguh ajaib! 

Begitulah ibaratnya perjuangan yang dibawa oleh Nabi SAW dan para sahabat. Dakwah baginda ialah dakwah yang mencengangkan mulut dan mengerutkan dahi. Keberadaan dan kesungguhan baginda dan para sahabat menyebabkan orang kafir Quraisy merasakan ia sesuatu yang ajaib, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mereka selama ini.

Lantas dakwah kita pada hari ini bagaimana? 

Adakah ia sudah cukup mencengangkan sasaran dakwah kita? Adakah ia sudah menjadikan orang di sekeliling kita garu kepala? Adakah ia sudah berjaya menyebabkan mad'u kita berkerut dahi tak terpercaya? 

Mesej yang ingin kita bawa pada hari ini TIADA bezanya dengan risalah yang dibawa oleh Nabi SAW. Bezanya hanya masa dan waqi' semasa. Itu sahaja. 

Ia menongkah arus. Ia berlawanan dengan adat dan kebiasaan masyarakat setempat. Dan ia mencabar kedudukan sosial, politik dan ekonomi sesetengah pihak. 

Sewajarnya ia begitu. 

Kita mengajak orang ramai untuk kembali kepada Islam yang sebenarnya, dan meninggalkan ideologi-ideologi sesat yang menjauhkan kita dari agama. 

Kita menyeru masyarakat untuk membezakan alat dan matlamat, tahu apa prioriti mereka di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Kita menyuruh manusia di luar sana untuk mengenali siapa diri mereka yang sebenar dan fahami tujuan hidup mereka diciptakan di muka bumi. 

Kita menasihati abam-abam dan kakak-kakak di luar sana untuk meninggalkan maksiat tegar yang sudah berdaki dan berkarat di dalam diri mereka. 

Kita menjemput rakan-rakan kita untuk sama-sama mengemban tugas dakwah ini kerana sungguh, ia adalah tanggungjawab kita bersama.

Dan kita mahu melihat Islam itu kembali bangkit, menjadi rujukan buat sekelian alam dan oleh sebab itu, kita mahu lebih ramai orang Islam bersama-sama dengan perjuangan kita ini.

Konsepnya mudah. Mesejnya tidak susah. Logiknya tidaklah payah.

Sewajarnya sesiapa sahaja yang mendengarnya akan tercengang dan garu kepala, kerana besarnya impian kita tapi mudahnya konsep dan rasionalnya! Walaweh!

Pernah saorang al-akh yang amat saya chentai, menceritakan bagaimana saorang mutarabbinya mendapat satu tugasan bertulis di universitinya yang kurang lebihnya begini: Apa yang ingin anda lakukan untuk merubah dunia? 

Anda tahu apa yang ditulis oleh mutarabbinya itu? Dia bercerita panjang lebar tentang konsep maratibul amal, bagaimana dunia ini dapat diubah dengan cara yang amat mudah; ia bermula sedikit demi sedikit dari bawah. Kita bina dan didik orang, yang kemudiannya akan membina dan mendidik manusia yang lainnya. Kemudian kita bentuk satu kumpulan orang-orang yang faham yang telah terbina dan terdidik ini, kita ramaikan lagi orang-orang yang punya pemikiran yang sama. Setelah cukup ramai, punya suara dan pengaruh yang tersendiri, kita wujudkan pula suatu sistem dan akhirnya sebuah kerajaan dan negara untuk menyebarluaskan lagi ideologi dan pemikiran kita. Sehinggalah seluruh manusia menerimanya. 

Anda tahu berapa markah yang dia dapat untuk tugasan itu. Markah penuh! Dan anda tahu apa komen pensyarahnya? Dia sangat kagum malah tertanya-tanya dari mana pelajarnya itu mendapat idea yang sebegitu hebat itu!

Apabila saya mendengar cerita ini, saya tersenyum bangga dan berkata di dalam hati, dari bulatan gembiralah mana lagi! Gelak kecil. 

Ya, dakwah kita ini sebenarnya mudah sahaja. Ia amat mudah difahami dan senang pula diterima. 

Apatah lagi apabila yang menyampaikan mesej ini ialah kita; anak-anak kepada Inche Papa dan Puan Mama kita, rakan kepada sahabat-sahabat kita, anak murid kepada cikgu cikgi kita, sepupu kepada saudara-mara kita. Pastinya ini menjadikan mereka bertambah cengang dan hairan lagi! 

"Ha, si Borhan yang dahulu UPSR dapat 3A dulu tu? Sekarang ni dah berdakwah nak ajak orang tegakkan Islam? Biar btoll!"

"Aku dengar Markonah anak Pakcik Supian penjual air tebu tu sekarang ni sibok ajak orang berbulatan gembira bagai. Peh peh memang pehhh laaa!"

"Seriyeslaaah Quhaidar anak Tan Sri Raof tu dengarnya ke hulu hilir bagi ceramah agama?? Mantap sangat tuuu!" 

Malangnya, semua ini tidak berlaku dan akan kekal menjadi coretan merapu di belog ini sahaja. 

Tiada orang yang tercengang dengan dakwah kita.

Tiada orang merasa hairan dan ajaib dengan mesej-mesej yang kita bawa.

Dan tiada orang yang berasa kagum sehingga tergaru-garu hidung dan kepala dengan pandangan dan pendirian kita.

Mengapa? 

Kerana pengorbanan kita untuk dakwah tidak seperti Nabi SAW dan para sahabat.

Kesungguhan dan keazaman kita untuk menyebarkan Islam dan menegakkan keadilan tidak sekuat dan sehebat para generasi awal.

Mujahadah dan semangat kita untuk menyampaikan mesej yang mudah difahami ini tidak mencapai standard yang sepatutnya.

Tekad dan keyakinan kita dengan fikrah dan manhaj perjuangan ini tidak sekukuh dan seutuh mereka yang telah syahid kerana mempertahankan gagasan ini.

Kita lebih banyak bermain-main. Lebih banyak memasang angan-angan. Dan terlalu banyak memberikan alasan.

Itulah yang berlaku pada tahun 2015 dan tahun-tahun yang sebelumnya. Kerana itu Islam masih tidak naik-naik sehingga sekarang, masih di takuk lama malah mungkin lebih teruk lagi!

Dakwah kita tidak cukup mencengangkan. Tidak cukup menghairankan. Dan gagal menjadikan orang ramai berasa ajaib dengannya. 

Dan ia akan terus begitu untuk tahun 2016 ini, sekiranya kita masih kita yang dulu, tiada apa-apa perubahan pada diri kita yang luar biasa yang berlaku. 

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."
[ar'Ra'ad, 13:11]

Moga tahun 2016 ini bakal menyaksikan sesuatu yang hebat dan luar biasa untuk Islam.

Moga tahun 2016 ini menjadi titik tolak untuk kita menjadi penyebab kepada kemenangan Islam.

Dan moga tahun 2016 ini bakal menjadi tahun yang akan kita kenang sebagai tahun yang cukup bermakna buat kita dan agama!

Dengan izinNya!

-gabbana-

Proses menulis buku baharu agak perlahan berlaku. Mungkin dengan doa anda yang ikhlas dan hebat itu, ia bakal bertambah laju? Senyum. 

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 03/01/2016, 16:38  

Assalam...boleh saya mntak inche berikan saya cadangan bagaimana nak menjadi seorang pndkwah yg memberi kesan pd mad'unya?

I am I 04/01/2016, 10:33  

Syukran ats muhasabah.

Anonymous 04/01/2016, 18:16  

Assalam.. Inche, mutarabbi sy sgt suka berahsia,tnya apa2 pun sepatah2 dia jawab. payah nk selami hati dia.. Inche ad tips utk sentuh hati dia yg pendiam n perahsia tu? Jzkllh.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP