5 June 2015

Rohingya: Ada Cahayakah Di Hujung Terowong?


Menjadi seorang muslim yang membentuk sebahagian daripada kurang lebih 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, adalah sesuatu yang amat mencabar. Malah saya berani katakan, menjadi umat Islam pada masa sekarang ini boleh jadi adalah fasa yang paling mencabar dalam sejarah ketamadunan manusia. Sumpah tak tipu.
 
Di mana-mana kita lontarkan pandangan, kita akan dapati umat Islam tertindas dan teraniaya. Nun Afrika sana, krisis kemanusiaan di Somalia dan Sudan seolah-olahnya tidak punya kesudahannya. Kumpulan ekstremis Boko Haram di Nigeria memeriahkan lagi isu-isu umat Islam Afrika.
 
 Di Timur Tengah pula, Palestin adalah paling senior dalam mengungguli carta umat Islam yang dizalimi. Saudara-saudara kita di Syria menang dari segi jumlah dan skala penderitaan yang terpaksa mereka alami. Kebangkitan sebuah kumpulan ekstremis ISIS dengan berita-berita tentang keganasan mereka yang tidak diketahui kesahihannya menjadikan al-Qaeda tampak seperti seekor panda yang jinak sahaja. Terbaru, peperangan antara puak Syiah Houthi dan Sunni di Yemen menambah pergolakan di rantau Timur Tengah. 
 
Penderitaan saudara-saudara kita di Kashmir yang tersepit dek pertelingkahan antara Pakistan dan India akan terus menghantui kita. Umat Islam di Republik China, meskipun puluhan juta jumlahnya, terpaksa tunduk dengan dasar-dasar dan polisi diskriminasi dan kezaliman kerajaan komunis China. Tidak dilupakan sahabat-sahabat Chechnya dan Kosovo yang tidak diketahui masa hadapan mereka kerana terus dibayangi oleh kuasa besar Russia.
 
Fuh. Sudah saya katakan, menjadi umat Islam di zaman ini memang mencabar. Sumpah mencabar! 
 
Terbaru, kita digegarkan dengan krisis kemanusiaan yang melibatkan saudara-saudara Rohingya kita. Ya, penderitaan mereka bukan baharu. Kesengsaraan mereka bukan sesuatu yang kita tidak pernah tahu. 
 
Tetapi apa yang terjadi baru-baru ini benar-benar menggugah jiwa. Apa yang sedang berlaku di hadapan mata adalah pada skala yang sukar sekali untuk kita percaya. Sehinggakan kita sendiri resah dan tertanya-tanya, benarkah apa yang sedang kita lihat dan baca?
 
Pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai saudara-saudara Rohingya kita dari tanah air mereka, Myanmar oleh pihak ekstremis Buddha.
 
Kemudian krisis negara-negara Asean yang tidak mahu menerima masuk pelarian-pelarian Rohingya yang berjaya menyelamatkan diri daripada kekejaman ekstremis Buddha di negara mereka.  
 
Tidak cukup dengan itu, yang paling menggemparkan apabila pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menjumpai kem tahanan pelarian Rohingya di tengah-tengah hutan rimba di selatan Thai dan utara Perlis. Kem-kem yang hanya layak didiami oleh lembu dan kambing, kerbau dan babi. Kubur-kubur juga ditemukan, di mana ada antara mayat-mayat yang dijumpai menggambarkan bahawa ia baharu sahaja mendiami bumi.
 
Baru-baru ini pula berita, pelarian Rohingya yang terselamat dari neraka dunia itu menceritakan bagaimana kebanyakan tahanan wanita dijadikan hamba seks oleh para pengawal kem tahanan durjana!
 
La hawla wala quwwata illa billah! 
 
Kegilaan apakah ini..??
 
Hanya manusia yang tidak berhati sahaja yang tidak merasakan apa-apa apabila membaca tentang penderitaan saudara-saudara kita di Rohingya. Hanya hantu dan jembalang sahaja yang tidak kisah dan tidak peduli dengan kezaliman yang sedang berlaku ke atas mereka. Dan hanya binatang dan raksasa sahaja yang memilih untuk berdiam sambil goyang kaki sambil makan popkon berselang-seli dengan minum air jus oren melihat saudara-saudara seaqidah diperlakukan sedemikian rupa! 
 
Ah malas saya mahu berbicara tentang hipokrasi Barat dengan apa yang berlaku. Saya sudah tahu lama lagi yang mereka itu sememangnya hipokrit. Apabila peristiwa Cahrlie Hebdo di Perancis itu terjadi, bukan main lagi dunia Barat bangkit penuh kemarahan, siap dengan hashtag #JeSuisCharlie lagi.
 
Tapi apa yang berlaku pada saudara-saudara Rohingya kita, juga Palestin, Syria, Iraq, Sudan dan lain-lain lagi, jelas menunjukkan nyawa umat Islam di sisi mereka, tiada nilainya berbanding dengan nyawa kaum sebangsa dan seagama dengan mereka. Tidak perlu hashtag #WeAreAllRohingyas pon tidak mengapa. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah sisi kemanusiaan anda itu.
 
Saya juga tidak kuasa mahu berdebat panjang tentang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh kerajaan-kerajaan Asean terutamanya, yang merupakan jiran terdekat kepada Myanmar. Masing-masing hanya sibuk mahu menjaga kain sarung, kain pelikat dan kain kapan masing-masing sahaja.
 
Lebih malas dan culas mahu bercakap tentang Aung San Suu Kyii, tokoh demokrasi yang pernah meraih hadiah Nobel itu. Terpulanglah anda nak katakan itu strategi senyapnya untuk memenangi pilihanraya kah, dia tidak punya banyak pilihan kah, atau apa-apa sahaja. Bagi saya, sekiranya dia benar-benar seorang manusia yang punya hati dan perut, dia akan lakukan lebih daripada sekadar berdiam diri seperti sekarang ini. Memualkan.
 
Nah, kepada siapa mereka ini boleh bergantung harap? Kepada siapa mereka ini boleh menghulurkan tangan dan pasti akan disambut dengan kejap? Kepada siapa mereka ini bisa menjerit meminta pertolongan dan tanpa ragu-ragu akan ada yang menyahut menganggap?

Kita. Ya, kitalah, umat Islam, saudara seaqidah mereka semua! 
 
 
Bilakah umat Islam mahu bangkit dari terus dipijak dan dihenjak? [Kredit]


Walaupon anda sudah bosan mendengarnya, meskipon andah sudah muak dan juih membaca tulisan saya ini dan hatta anda sudah rimas dengan apa yang bakal saya katakan ini, solusi kepada semua permasalahan ummah ini hanya satu.  
 
Apa dia Inche gabbana? Kena tunggu Imam Mahdi turun datang untuk selamatkan kita kah?
 
Err. Pandang ke atas, tangan letak di dada.
 
Saya yakin dan percaya, antara faktor utama mengapa umat Islam ditindas dengan begitu dahsyat sekali dan mengapa musuh-musuh Islam begitu berani menghenjak dan memijak kepala-kepala kita tanpa ada rasa segan mahu pon silu adalah kerana kita sudah tiada lagi khalifah untuk melindungi kita.
 
Nabi SAW pernah bersabda: 
 
“Sesungguhnya seorang Imam (Khalifah) adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung (bagi dirinya).” 
 
[Hadith riwayat Muslim]
 
Pernah suatu ketika dahulu, seorang muslimah dicabul kehormatannya oleh sekumpulan pemuda kafir. Berita ini sampai ke telinga khalifah ketika itu. Khalifah lantas menghantar utusan kepada gabenor wilayah (atau pemerintah kawasan) di mana kejadian itu berlaku. Khalifah memberi kata dua kepada sang gabenor; selesaikan isu yang berlaku dengan segera atau aku akan hantar satu battalion tentera untuk membela nasib si muslimah! 
 
Peh.
 
Nah, kita lihat apa nasib ibu-ibu, kakak-kakak, adik-adik dan saudara-saudara perempuan seIslam kita pada hari ini. Dicabul! Dirogol! Dibakar! Dipukul! Dibunuh dengan sesuka hati! Ibaratnya nyawa mereka langsung tidak punya nilai yang berharga. Dan apa yang kita lakukan? Apa yang kita lakukan untuk membela nasib mereka ini..?? Setakat menghamburkan kemarahan dan kegeraman di MukaBuku dan Pengicau, kemudiannya esoknya kembali sibuk dengan drama Korea dan keputusan terbaru La Liga..?? 
 
Errrghhhhhh!
 
Nanges laju-laju.
 
Mana perginya ‘Umar al-Faruq hari ini yang tidak pernah gentar menegakkan kebenaran?? Mana Salahuddin al-Ayyubi hari ini yang bermati-matian berjuang untuk membebaskan umat Islam?? Dan di mana Muhammad al-Fateh hari ini yang sanggup menjual harta dan dirinya hanya kerana mahu meyaksikan Islam tertegak di muka bumi?? 
 
Mana..? Mana..??
 
Sungguh umat Islam pada hari ini berada dalam kecelakaan yang sangat besar. Bukan sahaja kita sudah tidak punya khalifah untuk melindungi keselamatan kita dan membela nasib ummah pada hari ini, tapi kita sendiri terlalu larut dengan kemewahan dunia yang durjana, sehingga kita tidak lagi punya kesedaran dan kemahuan untuk mengembalikan sistem khilafah itu. Lebih menakutkan, Allah cabut rasa takut di dalam hati musuh-musuh kita yang suatu ketika dahulu terketar lutut dan terkencing-kencing dibuatnya apabila berhadapan dengan umat Islam, dan Allah campakkan rasa takut dan kecut itu ke dalam hati-hati kita pula. Allahu.
 
“Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi Muhammad SAW menjawab, "Cintakan dunia dan takutkan kematian.” 
 
[Hadith riwayat Abu Daud]
 
Geleng kepala sambil lap air mata. 
 
Yang paling dekat pon yang kita ada pada hari ini adalah Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki itu. Dia sahajalah yang berani menempelak Israel atas sikap Zionis laknatullah yang menindas Palestin itu. Dia sahajalah yang cukup jantan untuk tidak menerima undangan PBB untuk duduk semeja dengan al-Sisi si pengecut itu. Dan dia sahajalah yang punya hati dan budi untuk menghantar kapal perang bagi membantu pelarian Rohingya yang tiada punya tanah air itu. 
 
Itu pon dia masih lagi dibelenggu oleh undang-undang dunia dan polisi PBB yang entah apa-apa itu, yang sengaja direkayasa oleh musuh-musuh Islam untuk memastikan Islam terus mundur dan tidak berkembang. Itu pon dia masih lagi tersekat dan terhalang oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Russia, Amerika dan Kesatuan Eropah yang pastinya sedang memerhatikan Turki di bawah pemerintahan Erdogan dengan penuh syak dan teliti.
 
Wuwuwu. Dah macam mana Inche gabbana? Macam mana nak kembalikan semula sistem khilafah itu? Apa yang boleh kita lakukan?
 
Ia bermula dengan kita wahai saudara-saudaraku. Kitalah khalifah itu; khalifah untuk diri kita dahulu dan orang-orang tersayang di sekeliling kita sekurang-kurangnya.
 
Ia bermula dengan seorang. Kemudian dua. Kemudian tiga. Dan berkembang. Dan berkembang. Sehingga kebaikan dan kebenaran tersebar luas di muka bumi.
 
Ia bermula dengan seorang. Perlahan-lahan tetapi pasti. Sedikit dan berdikit tapi akan menjadi bukit.
 
Kita mahu kumpulkan individu-individu soleh yang kemudiannya membentuk keluarga-keluarga yang soleh pula. Keluarga-keluarga ini akan membentuk masyarakat dua’t yang rabbani. Masyarakat yang hidup dengan cara hidup Islam yang sebenar ini akan semakin membesar dan berkembang, sehinggalah kita sudah bersedia untuk membentuk kerajaan dan memerintah negara sendiri. Bermula dari sinilah kita akan melantik seorang khalifah yang akan bertanggungjawab ke atas hal-ehwal ummah ini.
 
Dengan izin Allah, Islam akan kembali gemilang sepertimana ia pernah berada di puncak cemerlang suatu ketika dahulu. Umat Islam akan menjadi semakin kuat, baik dari segi ekonomi mahupon sosio-politiknya, ketenteraan atau keilmuannya. Dan Islam akan kembali menjadi pusat rujukan kepada seluruh alam buana, disegani dan dihormati oleh seluruh umat manusia!
 
Untuk semua ini, kita perlu bermula dengan tarbiyah. Tarbiyah yang akan membekalkan makanan kepada ruh dan jiwa kita yang hampir mati kelaparan. Tarbiyah yang akan mengisi tangki hamasah dan tekad kita yang hampir kosong itu dengan minyak kebangkitan penuh semangat. Tarbiyah yang akan menjadi obor penerang untuk menunjukkan kita jalan keluar di tengah-tengah kegelapan jahiliyyah yang dahsyat.
 
Tarbiyah yang akan menundukkan kepala dan jiwa kita kepada Tuhan yang satu, bukan pada mana-mana manusia atau kuasa yang lainnya. 
 
Tarbiyah yang akan menjadikan kita chenta pada sunnah perjuangan ar-Rasul SAW melebihi chenta kita pada diri, keluarga dan harta benda. 
 
Tarbiyah yang akan menjadikan kita punya rasa belas pada umat manusia di luar sana yang masih belum dapat melihat cahaya kebenaranNya. 
 
Tarbiyah yang akan membuatkan kita sentiasa bersiap-siaga sekiranya gendang perang dibunyikan. 
 
Tarbiyah yang akan melatih diri kita untuk mendahulukan kepentingan dakwah melebihi kepentingan diri sendiri. 
 
Tarbiyah yang akan menjadikan pengorbanan itu rasa manis di bibir kita.
 
Tarbiyah yang akan melahirkan rasa rindu dan chenta yang teramat sangat pada mati di atas jalanNya. 
 
Dan tarbiyah yang setiap kali kita saudara-saudara seaqidah kita di luar sana menderita, akan membuatkan kita mampu untuk mengungkapkan: 
 
“…mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri. Demi kasih-sayang ini kita sedia jadikan nyawa kita sebagai penebus demi mengembalikan kehormatan bangsa ini. Nyawa ini sedia dikorbankan demi menebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka jika perlu. Pendirian ini lahir dari rasa hati yang sekian lama mencengkam hati ini. Rasa hati yang sekian lama menyelubungi perasaan ini. Rasa hati yang menyebabkan mata ini tidak lena tidur. Rasa hati yang menyebabkan air mata ini sentiasa bercucuran. Rasanya terlalu sukar untuk sekadar melihat nasib yang menimpa masyarakat kita kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan ini atau redha dengan segala kehinaan ini, atau sekadar mendiamkan diri. 
 
Demi Allah, kita akan bekerja di jalan Allah untuk kepentingan manusia lebih daripada untuk kepentingan diri sendiri.” Imam Hassan al-Banna, Daawatuna 
 
Tetapi tarbiyah sebegini, sekiranya kita benar-benar mahu ia membuahkan hasil yang manis dan lazat, dapat pula dinikmati oleh generasi demi generasi berkurun lamanya, memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia memakan masa yang lama.
 
Oleh sebab itu, ramai yang skeptikal dengan tarbiyah ini. Ramai yang ragu-ragu dan syak wasangka dengan kemampuan tarbiyah sebegini menghidupkan dan menggerakan umat manusia untuk menjana perubahan. Malah tidak kurang juga yang pada mulanya bersama-sama dengan gerabak tarbiyah ini, namun dek rasa rimas dan tidak lagi mampu bersabar, awal-awal lagi sudah minta untuk diturunkan, kemudian dari luar, dia mengejek dan mentertawakan pula mereka yang masih lagi teguh mahu memperjuangkan tarbiyah ini. 
 
Alahai. 
 
Untuk golongan yang ragu-ragu dengan cara ini, kita katakan kepada mereka: 
 
“Marilah kita sama-sama memperjuangkan kebenaran dan menegakkan Islam di muka bumi, sehingga sama ada kita hidup mulia dengannya atau mati syahid kerananya. Terpulanglah anda ingin menggunakan cara apa sekalipon; jangan sesekali tinggalkan perjuangan ini. Allah akan membalas setiap usaha dan pengorbanan anda untuk agama ini, selagi mana anda ikhlas keranaNya. Ayuh berhenti daripada menikam sesama sendiri, menjatuhkan dan memburuk-burukkan satu sama lain. Umat ini sedang nazak kesakitan dan kita tidak punya masa untuk dibazirkan. Moga Allah pertemukan kita pada suatu titik tengah di atas jalan perjuangan ini dan moga kita dipertemukan di sorga, biidznillah.” 
 
Buat saudara-saudara Rohingyaku, juga saudara-saudara Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Kashmir dan lain-lainnya, maafkan saudara-saudaramumu ini kerana tidak banyak yang mampu kami lakukan untuk membantu kalian. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami. Nanges.
 
Bersabarlah dan teruskan bersabar. Kerana sungguh, di dalam terowong kehidupan yang pekat hitam penuh kegelapan ini, ada cahaya yang bersinar di hujungnya. 
 
Senyum. 
 
-gabbana-
 
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Ramadhan datang dengan penuh vogue dan bergaya. Agak-agaknya nyawa kita cukup panjang tak untuk menyambutnya..? Gulp.

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 07/06/2015, 15:58  

Sentap

Anonymous 08/06/2015, 22:39  

Menyentuh jiwa..mohon izin untuk dishare.moga Allah memberkatimu

Anonymous 11/06/2015, 16:46  

mashaAllah !! masih banyan perkara yg masih belum diketahui . terima kasih Allah kerana mnjadikan inche INI sbg wasilah .

Skin 21/06/2015, 01:07  

Inche Gabbana, about that picture kalau org islam itu bangkit, yang lain akan jatuh'.. Deep..

miraleyy 18/09/2015, 21:19  

INCHE GABBANA!!!!!!!!!
MACAMANA NAK DAPAT SEMUA ISU SEMASA NI

MawaddahMTS 09/12/2015, 20:50  

Nanges

Meghan Kestner's Blog 22/10/2023, 02:52  

This was lovely to rread

Meghan Kestner's Blog 27/11/2023, 00:19  

Apprreciate this blog post

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP