19 March 2015

Cerita (Pendek) Seram III

[Kredit]

Markonah melihat jam Hello Kitty di tangannya. Pukul tujuh empat puluh tiga. Malam.

Dia baru usai solat Maghrib dan kini dia mahu ke Puchong untuk berbulatan gembira bersama hadek-hadeknya. Dia sedikit cemas kerana kemungkinan untuk dia tiba lewat itu ada. Walhal dia sudah berjanji dengan hadek-hadeknya untuk memulakan bulatan gembira tepat jam lapan setengah malam.

Qudwah bhai, qudwah!

Belum kira lagi keadaan jalan yang jem steroberi dan marmaled di masa-masa seperti itu. Adeh.

Hatta senyuman kucing berwarna putih pada jam tangannya itu gagal menghilangkan keresahan dalam dirinya.

Dia sempat menjeling pada kaki langit. Ungu gelap, dengan sisa-sisa merah kejinggaan sang suria yang sepertinya degil, tidak mahu bagi can pada malam melabuhkan tirainya.

Markonah tinggal di tingkat lapan belas apartment Reranting di pinggir megalopolis Kuala Lumpur. Dia tinggal bersendirian di apartment yang disewanya sejak tujuh bulan yang lalu itu.

Bukan dia tidak mahu duduk bersama dengan orang lain. Dan bukan dia tidak pernah mencari teman-teman untuk tinggal bersamanya.

Tapi Markonah cerewet orangnya. Dia punya kriteria tersendiri untuk siapa yang sesuai dijadikan temah seruhmahnya. Orang itu mestilah pembersih, pengemas, pandai masak, tidak berkira, bergaya, rajin, bangun awal pagi dan senarainya berterusan sehinggalah kerbau pulang ke rumah.

Akhirnya Markonah membuat keputusan yang lebih baik dia tinggal bersendirian. Tidak apalah sedikit kesunyian. Tidak mengapalah dia terpaksa membayar lebih untuk sewa bulanan. Tidak apalah kadangkala dia terpaksa makan megi asam laksa berseorangan. Dia rasa lebih bebas dan tidak perlu susah hati ada rambut yang terkumpul pada lubang air bilik mandinya.

Markonah mengunci gril putih apartmentnya dengan rapi. Dia membaca basmalah sebelum melangkah pergi.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja bulatan gembira dengan hadek-hadeknya itu dibuat di rumahnya. Mudah. Senang. Ditambah dengan rasa letih dan lelah seharian di kantor, nafsunya membuak untuk menghantar waksep kepada hadek-hadeknya agar bulatan gembira hari itu dibuat di Reranting sehaja.

Namun dia tahu itu tidak sihat untuk dirinya. Sekali-sekala mungkin tidak mengapa. Tapi jika dibiasakan, diseringkan, khuatir nanti dia akan jadi gemok, selesa dan mengada-ada. Dia tidak boleh membiarkan mujahadah dan hamasahnya berlemak dan tembam dengan sifat malas dan bermudah-mudahan.

Biarlah penat sedikit pon. Biarlah letih sekelumit pon.

Harga kenikmatan bermujadah itu tidak mungkin ada yang dapat menandinginya.

Koridor menuju ke lif sunyi sepi. Seram juga dibuatnya, apatah lagi blok apartment Markonah letaknya bersebelahan dengan hutan rimba yang bolehlah dikira sebagai spesis terancam di ibukota seperti Kuala Lumpur itu. Di waktu-waktu selepas Maghrib seperti itu, memang jarang ada orang berkeliaran di kawasan apartmentnya, apatah lagi majoriti penghuni apartment itu adalah orang Melayu.

Klise.

Pernah sekali tu Markonah seperti terlihat ada lembaga putih yang bertenggek pada sebuah pokok besar di tepi bukit bersebelahan dengan apartmentnya. Ketika itu tengah malam; Markonah baru pulang dari bulatan gembiranya sendiri. Kecut perut Markonah dibuatnya. Markonah cuba husnuzhon bahawa itu hanyalah imaginasinya sahaja. Namun bulu tengkuknya yang berdiri tegak seakan-akan mengiyakan bahawa itu bukan sekadar sebuah imaginasi. Terkumat-kamit Markonah menghamburkan entah macam-macam jampi serapah dan doa-doa dalam maathurat kubro.

Sampai sahaja di hadapan pintu, Markonah tidak berlengah lagi, disegerakan urusan membuka dan menutup pintu rumahnya itu. Namun matanya gatal sempat melirih pada pokok besar itu. Terasa mahu pengsan dibuatnya apabila melihat lembaga yang bertenggek itu sedang merenung tepat ke arahnya. Hanya mata dan rambut yang panjang mengurai. Mata yang bulat dan hitam.

Malam itu Markonah tidur berselebung selimut tidak keluar-keluar sehinggalah azan Subuh berkumandang.

Itulah sekali sahaja pengalaman ngerinya di apartment Reranting itu. Dia pernah dengar macam-macam cerita dari jiran tetangganya. Kononnya apartment itu dibina di atas bekas kubur lah, bukit bersebelahan dengan apartment itu dahulunya adalah pusat penyembelihan komunis lah, itulah inilah.

Mula-mula Markonah senyum kambing sahaja mendengar cerita-cerita sebegitu. Alah ini tak pernah dengar Usul 20 lah ni, getus hatinya. Namun pengalamannya bersua dengan lembaga putih itu menjadikan dia sedikit beriman dengan kisah-kisah sebegitu.

Markonah menekan butang untuk ke bawah. Memang tidak ada butang lain dah pon; tingkat lapan belas adalah tingkat tertinggi di blok itu. Dia memerhatikan angka pada skrin kecil di atas lif. Angka lima. Perlahan-lahan angka itu bertukar kepada enam, tujuh, lapan dan seterusnya. Lembap. Macam siput babi. Apartment lama lah katakan.

Markonah memandang sekeliling. Luar biasa sunyinya. Sepi. Timbul perasaan seram di dalam dirinya.

Dia membelek-belek mesej waksep yang ada, untuk mengalihkan fokusnya. 

Ting. Pintu lif terkuak buka. Kosong.

Markonah melangkah masuk dengan lafaz bismillah. Hidungnya mengembang dan mengempis, memberontak menangkap bau hancing di dalam lif itu. Hish. 

Markonah menekan butang ‘B’, terus ke tempat letak keretanya. Pintu lif tertutup rapat sebelum daya momentum mengambil tempat. Perlahan-lahan lif itu bergerak ke arah bawah, berkeriuk dan mengeluarkan bunyi yang bising. Tanda protes agaknya, dek sudah terlalu tua untuk melakukan kerja seperti itu.

Markonah menggaru-garu skrin telefonnya, sementara menunggu lif usang itu untuk membawanya ke tingkat bawah. Dibacanya semula mesej-mesej yang terkandung di dalam group waksep Buri-Buri Zaemon, group bulatan gembiranya bersama hadek-hadek terchenta. Tersengih dia seorang diri, entah apa yang lucu, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Tiba di tingkat tiga belas, lif itu berhenti. Markonah mendongak, melihat angka yang tertera pada skrin kecil di dinding lif. 

Ting. 

Pintu lif terbuka.

Tiada siapa-siapa yang masuk. Hanya kegelapan malam yang masih muda yang menyapa.

Markonah mendengus. Geram. 

Budak-budak main-main la ni. 

Markonah menekan butang untuk menutup pintu lif.

Sekali lagi lif berkeriuk dan perlahan-lahan ia turun ke bawah.

Tiba-tiba lampu lif berkelip-kelip. Mula-mula berkelip selang dua ke tiga saat. Kemudian semakin laju. Setiap selang sesaat. Dan kemudian ia padam. Padam!

Markonah kaget. Dia rasa cemas. Tak pasal-pasal je.

Markonah memandang pada skrin lif. Angkanya semakin berkurang. Tandanya lif itu masih lagi beroperasi. Mujur. Mungkin hanya lampunya sahaja yang rosak. 

Ting. 

Lif itu berhenti lagi. Kali ini di tingkat sembilan.

Timbul sedikit kelegaan dalam hati Markonah. Kalau ada orang lain nanti, tidaklah terlalu takut dibuatnya.

Pintu lif terbuka. Gelap gulita. 

Satu blok ni ke lampu rosak? Ish pelik. 

Sekali lagi, tiada siapa yang masuk ke dalam lif. Markonah rasa tidak sedap hati.

Di hadapan Markonah adalah satu koridor yang memanjang. Di dalam keadaan yang gelap sebegitu, Markonah tidak nampak di mana penghujungnya. 

“Halo assalamu a’laikum? Ada sesapa nak turun ke?” 

Markonah memanggil-manggil. Dia memberanikan diri untuk menjenguk ke luar.

Tiba-tiba Markonah nampak bayangan seorang kanak-kanak yang sedang mengayuh basikal roda tiga tidak jauh dari tempat dia berada. Kanak-kanak itu seolahnya semakin menghampiri Markonah.

Entah kenapa Markonah rasa seram semacam. Cepat-cepat dia masuk semula ke dalam lif dan menekan butang tutup. Pintu lif itu tidak mahu tutup. Berkali-kali Markonah menekan butang tutup, namun pintu lif itu masih berdegil, tidak mahu tutup.

Kanak-kanak itu semakin menghampiri Markonah. Markonah sudah boleh nampak wajah kanak-kanak itu. Tiada wajah. TIADA WAJAH!

Terbeliak mata Markonah. Dia tidak pasti yang memang kanak-kanak itu tiada wajah atau dalam keadaan gelap sebegitu, dia tersilap pandang. Apa pon jawapannya, Markonah tidak mahu tahu. Dia tidak mahu tunggu sampai kanak-kanak itu berada di hadapannya.

Tidak semena-mena kedengaran kanak-kanak itu tertawa. Di dalam keadaan biasa, Markonah mungkin merasakan gelak tawa sebegitu comel dan mencairkan. Tapi dalam keadaan ketika itu, gelak tawa kanak-kanak itu menyebabkan Markonah rasa mahu terkencing.

Mujur akhirnya pintu lif itu tertutup. Itu pon setelah berapa kali tasbih, berapa kali tahmid, berapa kali tahlil dan berapa kali takbir yang diwiridkan Markonah.

Markonah menarik nafas yang panjang. Lega. Berpeluh-peluh satu badannya dek kecuakan dan ketakutan yang dahsyat.

Markonah menekan butang ‘B’ berkali-kali. 

Ya Allah cepatlah sampai. Ya Allah tolonglah!

Ting. 

Lif itu berhenti sekali lagi. Kali ini di tingkat enam. 

Allah apa pulaaaakk. 

Terbuka sahaja pintu lif, mata Markonah rasa seperti mahu berdarah. Dalam keadaan yang gelap gelita itu, jelas kelihatan seorang wanita tua berpakaian serba putih sedang tercegat di hadapan lif.

Wajah wanita itu pucat lesi. Dia memandang tepat wajah Markonah. Tiada perasaan. Rasanya wajah Markonah ketika itu juga pucat. Lebih pucat dari wajah wanita tua itu.

Cepat-cepat Markonah menekan butang tutup. Bertubi-tubi. 

Tutuplah cepat. Tutuplaah cepaaaattt! 

Wanita tua itu seperti mahu mengatakan sesuatu. Tetapi belum sempat apa-apa terhambur dari mulutnya, pintu lif tertutup. Mujur!

Markonah tidak tertahan lagi. Dia menanges-nanges dalam ketakutan. Tidak pernah dia berasa takut sedahsyat itu.

Sudah bermacam surah dan bermacam doa yang dibacanya. Ayat Kursi. Ayat Seribu Dinar. Doa masuk tandas. Doa sebelum makan. Semua-semualah! Namun tetap tidak dapat menghilangkan ketakutan yang sedang dialaminya. Dia hanya mampu berdoa dan berdoa, agar kesengsaraannya itu akan tamat dengan segera.

Terlintas di dalam hatinya, esok juga dia akan mula mencari rumah sewa yang baru. Tidak sanggup dia untuk tinggal di apartment berhantu itu. Buat sakit jantung je. Hangus duit deposit yang telah dibayar pon, hanguslah! Terpaksa berkongsi rumah dengan akhawat selekeh pon, terpaksalah! 

Ting. 

Lif itu berhenti lagi. Tingat G. Ground floor.

Perlahan-lahan pintu lif terbuka.

Markonah tidak tahu apa yang boleh dijangka. Apa yang bakal menjelma.

Pada masa yang sama, timbu sedikit perasaan lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu yang dia sudah berada di tingkat atas tanah. Jika apa-apa berlaku sekurang-kurangnya dia boleh angkat kaki langkah seribu!

Sekonyong-konyong muncul suatu lembaga, tercokoh di hadapan lif.

Markonah tidak percaya. Matanya terbeliak. Terasa seperti mahu menjerit sekuat hatinya namun tiada apa yang keluar dari kotak suaranya.

Lembaga di hadapannya itu lebih menakutkan dari kanak-kanak kecil di tingkat sembilan. Lembaga yang sedang memandangnya itu lebih mengerikan dari wanita tua berpakaian serba putih di tingkat enam. 

“Markonah?” 

Lembaga itu bersuara.

Naqibahnya.

Dan ketika itu juga Markonah baru teringat yang dia masih belum lagi melangsaikan ODOJnya!

Seram bak hang! 

-gabbana- 

Gelak guling-guling.
 
*ODOJ = One day one juzu’ al-Quran. 

14 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/03/2015, 23:26  

APG buat suspen! Hahaha cerita pasal kanak-kanak tu pulak camne? hahaha

Anonymous 20/03/2015, 00:58  

Berdegup-degup jantung ni suspen sekali last jumpa naqibah....hahaha.

Mysura 20/03/2015, 08:10  

part last tu buat tak henti gelak >_< tq APG

Anonymous 20/03/2015, 08:15  

apa kaitan cerita jumpa benda2 tu semua lepas tu tetiba jumpa naqibah? mcm tak kena je.

Anonymous 20/03/2015, 13:17  

Markonah dah lewat setengah jam. Hadek dia tepon lah naqibah sbb lambat tu. Kebetulah naqibah yang otw, singgah sbb markonah tak angkat henfon. semasa dalam lif tiada service. atau terdapat gangguan paranormal lain.
now, anyone can create a story. best tak?

Anonymous 20/03/2015, 15:44  

Part yg paranormal tu best.

Anonymous 20/03/2015, 15:46  

Takde rasa nak gelak pun dekat mana2 part. Apa yg kelakar?

encikk 20/03/2015, 17:34  

hahhaaa..ni kelakar.. penggunaan bahasa IG mmg mantop,, ayat2 IG mmg kelakar bila dibaca walaupon sebenarnya benda yg nak disampaikan tu bukan sesuatu yg kelakar,, mmg patut jdi penulis pon.:D
lain orang lain rasanya,, your sense of humour kurang kot anonymous 15:46:D

Anonymous 21/03/2015, 12:04  

Err apa kaitan jumpa dengan benda2 tu dengan naqibah dengan ODOJ err btw kipidap !

Anonymous 24/03/2015, 11:02  

memula rasa jugak seram sebab baca kat tempat gelap (sengaja cari tempat gelap)

last2 macam tak tahu apa yang mengerikan. apa kena mengena naqibah, ODOJ dengan hantu lif?

hampeh....

Anonymous 24/03/2015, 11:30  

Mmg xkan faham klu x alami sendiri :'D

Anonymous 29/03/2015, 21:29  

odoj tu amende?

Anonymous 18/04/2015, 17:38  

budak tu cuma anak jiran yang bermain kat luar sebab rumah gelap blackout. budak nakal pakai topeng nak menakutkan orang dalam lif. mak cik tu pulak nak pi surau solat berjemaah waktu isyak. tau-tau bila lif bukak si watak utama terus tutup pintu lif. itu yang mak cik bukak mulut. sebenarnya nak suruk tunggu dulu. dia nak masuk jugak dah terlambat nak ke surau..

Anonymous 22/04/2015, 10:40  

sambil scroll sambil tunggu lift cepat bergerak. mau tak seram >_<

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP