9 November 2013

Bayi Pampers Punggung Gebu

Macam cantik jee.. Macam comel jee... Eh. [Kredit]

Tajuk wajib sensasi. Kontroversi. Fardhu ain katanya. Eh.

Sila baca sampai habis dahulu ya sebelum mahu mengomel dan mengritik. Ehem. 

Bilakah kali terakhir anda mendengar perkataan 'tajarrud?' Biar saya teka; sewaktu berlaku pergolakan di Mesir semasa Dr. Mursi masih lagi menjadi Presiden, yang mana geng tamarrud yang mahukan Dr. Mursi meletakkan jawatan terpaksa berhadapan dengan geng para penyokong Dr. Mursi yang dikenali sebagai tajarrud. Kan?

Nah, pernahkah anda tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan dengan tajarrud?

Bukan, bukan, ia bukan jenama baju sukan. Hah? Apa? Bukan, ia bukan juga sejenis haiwan omnivor yang hidup di padang pasir. 

Dari sudut bahasanya, ia bermaksud menanggalkan atau membersihkan. 

Dalam konteks syari'enya, tajarrud bermaksud melepaskan segala ikatan selain daripada ikatan kepada Allah. Dengan erti kata lain, tajarrud bermaksud mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. 

Bagaimana pula tajarrud dalam konteks tarbiyah dan dakwah?

Imam Hassan al-Banna dalam Risalah Ta'lim mendefinisikan tajarrud sebagai, "...mengosongkan fikrah dari segala dasar dan individu selainnya kerana fikrah kamu adalah yang paling mulia, paling mencakupi dan tinggi. Sebagaimana firman Allah,

"Sibghah (celupan) Allah; maka celupan siapakah yang lebih baik daripada celupan Allah?"
[al-Baqarah, 2:138]

Konsep tajarrud ini sangat-sangat ditekankan oleh al-Banna sehinggakan ia menjadi salah satu rukun wajib dalam sepuluh rukun bai'ah (Akanul Ba'iah) yang diketengahkan beliau. 

Ok Inche gabbana. Jadi, err, apa kena-mengena dengan tajuk post..? Pampers upah Inche gabbana promot barangan diorang ke..? Garu kepala.

Haih, kan saya dah kata, baca dahulu sehingga habis. Orang tua-tua cakap jangan menyampuk! 

Untuk memudahkan anda yang masih tergaru-garu kepala dan hidung, apakah yang dimaksudkan dengan tajarrud, analoginya begini.

Bayangkan bayi yang baharu lahir, yang baru sahaja keluar dari rahim ibunya. Bayi itu berbogel, suci dan bersih daripada apa-apa unsur bukan? Tiada apa-apa yang menyelaputi dan menyelimuti tubuh badannya melainkan kulitnya yang lembut lagi halus itu. Itulah yang dikatakan tajarrud; bersih daripada sebarang unsur ansing melainkan apa yang asli sahaja.

Teka apa yang sedang bermain di kepala saya sekarang ini? Imej punggung bayi iklan Pampers yang sangat gebu dan montel itu. Wah!

Begitu juga kita. Kita datang dari Allah dan akan kembali semula kepadaNya. Itulah yang paling asli buat kita, makhluk yang bernama manusia. Kebergantungan dan pengharapan kita sewajibnya hanya kepada Allah semata.

"Kepada Dialah tempat bergantung bagi segala urusan."
[al-Ikhlas, 112:2]

Malangnya, kehidupan kita sehari-hari marcapada ini penuh dengan pergantungan dan pengharapan kepada yang lain. Ibadah kita bukan kerana mencari redha Allah. Amalan kita bukan kerana kita taat dan patuh kepada perintahNya. Kebajikan yang kita lakukan bukan lagi kerana kita mengejar chentaNya. 

Anda sangsi? Ragu-ragu dengan dakwaan saya itu? Mari, mari kita lihat.

Setiap kali tiba hujung bulan, kepada siapa yang anda bergantung untuk memasukkan duit ke dalam kocek? Puan Bos Besar atau Allah?

Apabila anda pening-pening lalat, kepada apa yang anda harapkan dapat melegakan sakit di kepala? Dua biji panadol atau kekuasaaan Allah?

Melihatkan kekorupsian yang semakin menjadi-jadi di merata-rata, adakah kita mengharapkan sistem demokrasi yang dicipta Barat itu atau mata kita masih bersinar-sinar yang manhaj Islam lah satu-satu solusinya?

Anda sudah masih punya harapan pada sistem ekonomi kapitalisme meskipon sudah trang tang tang ia gagal untuk mengagihkan kekayaan secara sama rata kepada umat manusia?

Kita merasakan harta yang kita miliki adalah hasil titik peluh ketiak kita berusaha memperolehinya, atau kita beriman bahawasanya semuanya itu milik Allah..? 

Atau anda yang menjawab hekzem; kebergantungan anda kepada usaha anda selama ini, pakcik pengawas peperiksaan di depan dan Puan Cikgu Pemeriksa Kertas atau kepada si Dia yang mengatur alam ini?

Nah, bagaimana sekarang…? Adakah kita benar-benar tajarrud? Membersihkan diri kita daripada sebarang ikatan, ideologi dan karat-karat dunia dan meletakkan sepenuh kebergantungan kita kepada Allah semata?

Wahai, lupakah kita kepada azam dan janji yang kita laungkan hampir setiap hari itu..? 

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, tuhan seluruh alam!"
[al-An' am, 6:162]

Rentung. 

Of kos, contoh-contoh di atas tidak menafikan dan tidak menidakkan usaha-usaha kita sebagai makhluk Allah yang sememangnya dituntut untuk mengerah kudrat dan menggerakkan segala anggota bagi mencapai impian yang dicita.  Tetapi adakah kita tajarrud pada hasil yang bakal kita terima? Adakah kita meletakkan seluruh kebergantungan dan pengharapan kita kepada Allah semata? 

Tsk.

Konsep tajarrud ini lebih besar ertinya dalam tarbiyah dan dakwah. Kita yang kononnya menggelarkan diri kita sebagai seorang dai'e ini, adakah kita sudah benar-benar tajarrud dengan fikrah Islam yang kita perjuangkan? Adakah kita benar-benar mengajak orang kepada Allah semata dan tidak kepada yang lainnya? Adakah kita sungguh-sungguh mahu menegakkan Islam di muka bumi ini atau kita punya agenda yang tersendiri?

"Wahai Ikhwan, apakah yang kita mahu? Adakah kita mahu mengumpulkan harta sedangkan harta itu akan lenyap? Adakah kita mahukan pengaruh sedangkan ia suatu yang tidak bererti? Adakah kita mahu bermaharajalela di muka bumi?

"Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya."
[al-A'raf, 7:128]

Bukankah kita pernah membaca firman Allah Taala:

"Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak betujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."
[al-Qasas, 28:83]

Allah menjadi saksi bahawa kita tidak pernah sedikit pon mahukan semua ini. Bukan itu tujuan kita bekerja dan bukan ke arah itu dakwah kita."

- Imam Hassan al-Banna, Antara Semalam Dan Hari Ini

Gulp.

Tajarrud dalam dakwah juga bermaksud kita menjadikan dakwah sebagai neraca utama dalam setiap kehidupan kita. Dakwah adalah nadi yang berdetik setiap saat dalam tubuh badan kita. Dakwah adalah darah yang mengalir di segenap pelusuk anggota yang ada. Dakwah adalah nafas yang kita sedut dan hembus setiap masa, yang memberi nyawa kepada kehidupan kita.

Makanya, ijazah yang bakal kita ambil, baik injiniur, kedukturan, ekonomi, sastera, pendidikan dan segala bagai yang lain, mestilah memberi manfaat kepada dakwah. Dengan siapa yang mahu kita kahwin, neracanya mestilah dakwah. Rumah mana yang kita akan beli, kereta jeni apa yang bakal kita pandu, sekolah mana yang akan kita hantar anak-anak kita beljar nanti (ehem!), semuanya itu, tidak boleh lari daripada memenuhi kepentingan dakwah dahulu sebelum yang lainnya. 

Makan dan minum kita adalah kerana dakwah. Tidur dan bangun kita adalah kerana dakwah. Hatta hidup dan mati kita adalah kerana dakwah. 

Segala apa yang ada pada diri kita hanyalah pinjaman daripada Allah semata. Wajib untuk kita memanfaatkannya di jalan perjuangan ini dan tidak pada lainnya.

Itulah tajarrud. 

Sudah tiba masanya kita tajarrud dengan fikrah Islam ini; membebaskan diri kita daripada isme-isme yang lain dan berpegang sepenuhnya dengan Islam yang asli. Sudah tiba masanya kita bersihkan hati kita daripada sebarang karat-karat jahiliyyah dan agenda-agenda peribadi yang membusukkan hati. Dan sudah tiba masanya kita bergantung harap sepenuhnya kepada Allah dan menyerahkan segala-galanya kepadaNya dalam menentukan hasil usaha-usaha kita.

Tugas kita hanyalah bekerja.

Bagaimana? Anda sudah bersedia untuk menjadi seperti bayi Pampers dengan punggungnya yang tembam itu...? Eh.

-gabbana- 

Bulan November adalah bulan kemarau idea. Uhuk.

Akan bermusafir hari ini, biidznillah. Doakan semuanya baik-baik sahaja. 

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 09/11/2013, 14:48  

ayat pertama dah tak boleh tahan..haha.

btw, jzkallahu khayr.

tajarrud dalam dakwah >_<

Anonymous 10/11/2013, 01:41  

Alhamdullilah 5-10 repeating to get the point =_=.

Semoga Allah selamatkan iman kita semua.

Anonymous 15/11/2013, 18:15  

Tajarrud..2tajarrud @ SMIH JB..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP