16 July 2013

Di Sorgakah Aku..? [Hari Ketujuh]

[Kredit]

"Di sorgakah aku...?"

Terpacul daripada mulut Adam sebaik sahaja dia sedar daripada tidurnya. Kelopak matanya masih tertutup rapat.

Dia mengulangi pertanyaan itu dengan penuh harap. Dia menunggu seketika.

Hampa.

Dia lantas membiarkan kelopak matanya terbuka perlahan-lahan. Dia bingkas bangkit. Dengan tahi mata yang masih bersisa, dia memerhatikan sekelilingnya. Idris dan Abdul Ghaffur masih nyenyak dibuai lena. Namun Qatadah sudah tiada di tempat tidurnya di dalam khemah yang kecil itu.

Ah, Qatadah! Sekali lagi kau mendahului aku!

Adam menggeliat, meregangkan otot tangan dan kakinya sehingga dia berasa puas. Mulutnya ternguap luas sehingga matanya basah dengan air mata. 

Perlahan-lahan Adam keluar dari khemah kanvas kecil itu, tidak mahu mengejutkan sahabatnya yang masih tidur. Angin sejuk menampar wajahnya, sebaik sahaja kakinya melangkah keluar. Dia pantas memeluk tubuhnya dan menggosok-gosok lengannya. Sejuk. Gigil.

Di luar sudah ada beberapa orang yang mendirikan solat malam. Tidak kurang juga yang ditugaskan untuk berjaga malam, menjadi pengawal keselamatan sukarela yang tidak berbayar. Mata Adam pantas menangkap kelibat Qatadah yang sedang rukuk ketika itu. Lama rukuknya. Adam tersenyum lebar memerhatikan gelagat sahabatnya itu.

Ah betapa aku ingin menjadi temanmu di sorga ya akhi!

Adam segera mencari botol yang masih berisi air putih, bersih. Dia tersenyum apabila melihat satu bersandar di tepi khemahnya. Dengan cermat dia mengambil botol itu dan bersedia untuk berwudhu' dengannya. Dengan berhati-hati, dia kepit botol itu antara dua pehanya dan berdikit-dikit menuang air ke telapak tangannya. 

Bismillah. Diusap wajahnya dengan tapak tangannya yang basah tadi. Dingin. 

Ya Allah, moga wajahku ini nanti bersinar cerah ketika bertemu menghadapMu.

Digosok pula tangan kanannya hingga ke siku.

Ya Rahman, moga aku menerima kitab amalku dengan tanganku ini. 

Tangan kirinya pula yang dibasahkan dengan air.

Ya Rahim, gugurkanlah dosa-dosaku yang diperbuat oleh tanganku ini.

Dengan lembut dia membasahkan kepalanya dengan titisan-titisan air yang bersisa.

Ya Muqit, lindungi kepalaku ini daripada panas terik matahari yang membakar di Mahsyar kelak. 

Kedua telinganya digosok cermat.

Ya Muhaimin, lindungi kedua telingaku dan pancaindera yang lainnya daripada berbuat onar yang mengundang murkaMu.

Akhirnya, dia mencuci kedua belah kakinya hingga ke paras buku lali. 

Ya Rauf, moga kaki kananku inilah yang akan melangkah masuk ke dalam sorgaMu, dan moga Dikau ampunkan dosa-dosaku yang disengajakan atau tidak aku sengajakan. Amiin ya Robbal 'alamin. 

Adam mencari tempat yang sesuai untuk dia bertahajud chenta dengan Tuhannya. Tempat yang selalu didudukinya sudah diambil orang lain. Akhirnya dia memilih lokasi yang berdekatan dengan unggun api. Sedikit hingar tetapi sekurang-kurangnya dia tidak perlu menggigil kesejukan. 

Dengan penuh tawadhu', dia mengangkat takbir memuji kebesaran Tuhannya. Dengan penuh khusyu', dia mulakan bicara chenta dengan kekasihnya itu dengan membaca surah al-Fatihah. Surah kegemarannya, al-Qiyamah, menyusul selepas itu. 

"Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkongan, dan dikatakan (kepadanya), 'Siapa yang dapat menyembuhkan?' dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan), kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau."

Berombak-ombak dadanya menahan esak. Tersekat-sekat kerongkongnya tidak mampu lagi berbicara. 

Dalam sujudnya yang terakhir, dia mengadu pada Tuhannya. Dia kumpulkan segala kekuatan dan kemahuan yang ada untuk berbicara langsung dengan si Maha Mendegar. Dengan air mata yang berlinangan laju, dia tidak malu untuk meminta. 

"Ya Allah, Kau ampunkan segala dosa dan noda diriku, sungguh aku malu denganMu. Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani, kau takdirkanlah aku mati dengan pengakhiran yang baik dan mulia, agar aku dapat menghadapMu dengan penuh yakin tanpa ragu, bahawa aku telah melaksanakan tugasku sebagai hamba dan khalifahMu. Wahai Tuhan yang Maha Mengabulkan, masukkan aku kedalam sorgaMu yang tertinggi bersama-sama dengan para kekasihMu, para Rasul dan Nabi, para syuhada' dan solehin.

Wahai Tuhan, sekiranya perjuangan kami ini benar lagi membenarkan, Kau berikanlah kami dengan kemenangan dalam mengembalikan al-Haq kepada tempatnya. Kau laknat dan jatuhkanlah Presiden Ahmed Subarni yang kejam dan zalim itu. Kau turunkan balaMu yang Maha dahsyat itu kepada anjing-anjingnya yang sungguh banyak membaham dan menyakiti kami, wahai Tuhan yang Maha Menghinakan!"

Adam berhenti seketika. Sungguh, perit untuk dia meneruskan lafaznya. 

"Wahai Tuhan yang Maha Perkasa, Kau bekalkan setiap daripada kami dengan kekuatan dan kemahuan untuk meneruskan perjuangan kami. Kau kuatkan tangan kami yang menghayun dan kaki kami yang melangkah, untuk berdiri teguh di atas al-Haq dan bersungguh-sungguh menentang al-Bathil! Ya Mijibur Rahman, Kau menangkanlah kebenaran dan Kau hapuskanlah kemungkaran!"

Air mata Adam mengalir lagi. Dia menghela nafasnya. Panjang dan dalam. 

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkah hati, Kau tetapkanlah hati daku ini di atas agamaMu. Moga aku kekal tsabat hingga ke akhrinya. Kau bantulah kami, ya Allah, sepertimana yang Kau mahu. Amiin amiin ya Rabbal a'lamin."

Adam bangkit untuk menyudahkan solatnya. Ketika itulah kedengaran bilah-bilah kipas helikopter milik tentera berputar kuat betul-betul di atas kepalanya.

"Buat kesekian kalinya, anda semua diarahkan untuk berundur! UNDURRR! Kosongkan Medan Keadilan ini dengan segera! SEGERAAAA! Atau tidak kami tidak punya pilihan melainkan menggunakan kekerasan!!!"

Kedengaran suara keras amaran dari pembesar suara helikopter yang berlegar-legar di udara.  

Hilang khusyu' Adam sebentar. Telinganya menangkap satu-persatu kata-kata yang dihamburkan oleh si anjing belaan Presiden Ahmed Surbani. Timbul sedikit gentar dalam hatinya. Namun tatkala jari telunjuk kanannya menaik sebagai saksi kepada syahadahnya pada Tuhan yang satu itu, tidak semena-mena perasaan gerun dan gentar itu hilang. Semacam mantera sakti yang mengembalikan semangatnya. 

Lawan tetap lawan! 

Usai memberi salam, Adam bingkas bangun. Dia menyapu-nyapu punggung, baju dan kepalanya yang dilekati butiran pasir. Dia memandang ke arah helikopter yang mula beredar pergi dengan perasaan penuh benci. Sakit hati. 

Tunjukkan pada mereka ya Allah, siapa yang lebih berkuasa dan perkasa!

"Dan mereka membuat tipu daya, maka Allah pon membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya."

Laju lidahnya berzikir dengan sepotong ayat dari surah ali-Imraan itu. Adam amat yakin dengan janji Allah. Dia tidak mungkin berpaling daripada ketentuan yang telah ditetapkanNya! 

"Wahai pejuang agama Allah sekalian! Wahai para penegak keadilan! Wahai pemegang panji kebenaran! Ayuh kita laksanakan tugas kita yang masih berbaki ini! Ayuh kita teruskan perjuangan kita ini!"

Kedengaran suara lantang daripada ketua mereka, Muhammad Fatah, memanggil semua para pemuda yang ada untuk berkumpul. Tegas. Bertenaga. Adam amat hormat dan memandang tinggi kepada sosok bernama Fatah itu. 

"Kita tidak gentar pada Surbani mahupon konco-konconya! Kita tidak takut pada helikopter atau kereta kebalnya! Kita tidak gerun pada cemeti atau bazookanya! 

Kita hanya takut pada yang Esa! Kepada Dia kita serahkan segala-galanya! Kepada Dia kita memohon perlindungan dan meminta bantuan!

Kita akan menang, Insha-Allah! Bukan Yobama yang akan memenangkan kita! Bukan Kameron yang akan memenangkan kita! Bukan juga Patin yang akan memenangkan kita! Tapi Allah! Allah lah yang akan memberikan kita kemenangan yang agung!"

Bergema Medan Keadilan dengan laungan takbir yang menyambut kata-kata Muhammad Fatih. Adam menjulang tinggi tangannya, dengan penuh bersemangat bersama-sama dengan laungan mengagungkan Allah itu. 

Adam segera mendapatkan Qatadah yang tampak sudah bersedia untuk menerima arahan selanjutnya. Idris, Abdul Ghaffur dan rakan-rakan mereka yang lain juga sudah bersiap-siaga untuk meneruskan perjuangan mereka buat hari yang ketujuhnya.

Ya, perjuangan. Kebangkitan menentang kezaliman. Kesungguhan untuk menegakkan keadilan. Dan usaha untuk mendapatkan kebebasan.

Presiden Ahmed Surbani dan konco-konconya yang korup dan zalim sudah lebih tiga puluh tahun memerintah negara Zabalon. Selama itu, rakyat marhaen seperti Adam ditindas teruk. Yang kaya, yang gemuk, yang sihat, yang kuat hanyalah Surbani, keluarganya dan mereka yang sanggup menjilat kaki tuan presiden.

Tiga puluh tahun lamanya, Subarni memerintah dengan kuku besi dan zalim sekali. Segala hasil mahsul negara akan melalui poketnya terlebih dahulu. Mana-mana syarikat antarabangsa yang ingin beroperasi di Zabalon wajib mengambil salah satu daripada anak syarikatnya sebagai rakan niaga. Rakyat terpaksa membayar cukai yang tinggi, pada masa yang sama hidup dalam serba kekurangan. 

Subarni dan keluarganya, serta anjing-anjingnya yang sudah pon menjual maruah agama dan jiwa demi pangkat dan harta, tinggal dalam serba kemewahan dan kesenangan. Istana Presiden yang terletak di puncak bukit Medini, ibu kota Zabalon, dianggarkan bernilai lebih setengah bilion dolar Amerika. Belum lagi dihitungkira mahligai dan aset-aset lain milik Subarni di dalam dan luar negara. Dan rakyat? Terus hidup dalam sengsara.

Namun rakyat tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Subarni memanfaatkan sepenuhnya jaringan tentera dan polisnya untuk mengintip dan mengawal rakyat jelata. Mana-mana pihak yang disyaki cuba menimbulkan 'kekacauan' dan 'ketidakstabilan' kepada keselamatan dan kedaulatan negara akan ditangkap dai dihumban ke dalam penjara. Kebanyakan daripada mereka tidak lagi kedengaran khabar berita selepas itu. 

Semuanya berjalan lancar buat Subarni. Sehinggalah gunung berapi rakyat meletup, tidak tertahan-tahan lagi. Bermula dengan peristiwa seorang pemuda ditangkap dan diseksa kerana tidak berpuas hati dengan pihak polis tempatan yang mengugut dan merampas hasil jualan surat khabarnya, bermulalah merebaknya api kemarahan rakyat yang sudah lama terpendam. 

Di peringkat awal, Presiden Subarni cuba mengawal keadaan dengan menawarkan pelbagai bantuan dan tawaran berbentuk wang dan insentif kepada rakyat jelata. Dia juga berjanji untuk membuat rombakan besar-besaran kepada sistem kerajaan yang sedia ada.

Namun tiada apa yang dapat meredakan ledakan kemarahan rakyat. Subarni dan tali barut pencacainya mesti pergi! Keadilan mesti ditegakkan! Taghut mesti dihapuskan! 

Maka bermulalah demonstrasi besar-besaran yang menuntut agar Subarni dan menteri-menterinya meletakkan jawatan dengan segera. Segenap lapisan masyarakat turun untuk bersama-sama dengan demonstrasi ini bagi menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan tersebut. Tua dan muda, hitam dan putih, beragama atau tidak, masing-masing sepakat untuk menunjukkan kebencian dan kejelikan mereka kepada Subarni. 

Hari pertama dan kedua domonstrasi berjalan dengan aman dan tenang. Malah beberapa orang menteri sendiri turun padang bagi menerima memorandum daripada rakyat. Namun kesabaran Subarni pendek jangka hayatnya. Pada hari ketiga, polis dikerahkan untuk menghalau para penunjuk perasaan. Arahan yang diterima mereka, gunakan apa sahaja cara untuk memastikan Medan Keadilan dikosongkan. 

Namun semangat dan kecekalan rakyat yang sudah lama ditindas terbukti jauh lebih kuat dan utuh daripada pukulan baton dan semburan gas pemedih mata oleh pihak polis. Pelbagai kaedah keji dan ganas digunakan oleh pihak polis untuk menghapuskan demonstrasi, namun tidak berjaya. Adam sendiri merasakan kesakitannya, apabila sebutir peluru getah sesat mengena tepat pada pinggangnya. 

Itu semua tidak menggentarkan semangat Adam untuk terus berjuang. Juga tidak melunturkan tekad lebih lima juta rakyat Zabalon yang lainnya. 

Misi mereka jelas. Objektif mereka tegas. Subarni mesti pergi. Dia dan penjilat-penjilatnya wajib berambus! 

Subarni semakin terdesak. Dia mula mengerahkan tenteranya untuk masuk campur apabila demonstrasi sudah masuk hari yang kelima. Korban pertama di pihak penunjuk perasaan berlaku di hari tersebut, apabila pihak tentera melepaskan tembakan rambang kepada para pemuda yang duduk berhimpun. Kucar-kacir dan kelam-kabut dibuatnya!

Adam masih ingat, bagaimana buat pertama kali dalam hidupnya, dia merasakan maut begitu hampir dengan dirinya, apabila sebutir peluru hampir-hampir mengena batang tubuhnya. Sebaliknya peluru tersebut tersasar dan mengena sebuah binaan marmar di Medan Keadilan lantas pecah terburai. 

Peristiwa tersebut juga meniupkan lagi semangat syahid dalam diri Adam. Melihatkan semakin ramai yang terkorban di tangan Subarni laknatullah, dia berazam untuk mati syahid. Dia begitu rindukan syahid. Bau sorga yang semerbak itu semacam sudah bisa dihidunya. 

Setiap hari dia berdoa tanpa lelah, agar Allah akan memilih dirinya untuk gugur syahid bersama para kekasihNya yang telah pon mendahuluinya. Usai setiap waktu solat, dia tidak pernah gagal untuk menitipkan impian syahidnya, dengan harapan meninggi agar ia terus naik menghadapNya. 

Masuk hari ketujuh, Adam masih lagi bernafas. Ruhnya masih lagi bernyawa. 

Tapi dia tidak berputus-asa. Dia tidak putus harap padaNya. Dia amat yakin yang Allah akan memakbulkan doanya. Dia amat yakin, suatu hari nanti dia akan ketemu juga dengan syahid yang diburunya itu!

"Qatadah saudaraku! Sudahkah kau bersedia untuk mati syahid hari ini??"

Adam berseloroh dengan sahabat baiknya itu. Dia menepuk bahu Qatadah dengan penuh rasa kasih.

"Tentu sekali! Setiap hari wahai sahabatku! Dan engkau? Sudah bersediakah dikau..?"

Adam tersenyum.

"Setiap saat dan detik yang berlalu, wahai Qatadah. Syahid adalah kehidupanku. Syahid adalah tujuan mengapa aku dihidupkan!"

Kali ini Qatadah pula tersenyum. Ada sinar berkaca-kaca pada matanya.

"Dan saudaraku, aku mahu syahid bersama-samamu. Kerana sungguh, aku mahu masuk sorga denganmu...!"

bersambung...

-gabbana-

Asalnya nak tulis pendek sahaja. Tapi.. Adeh. Peluh kecil sambil tersipu-sipu.

Khas buat saudara-saudaraku di Mesir, Palestin, Syria dan lain-lain tempat yang sudah pon menemukan syahid. Sumpah aku amat mencemburui kalian!

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 16/07/2013, 13:27  

next! tak sabo ni.. (Y)

Anonymous 16/07/2013, 15:59  

Adam ....

Anonymous 16/07/2013, 16:52  

semoga syahid yg bakal ditemui wahai inche Adam

Anonymous 17/07/2013, 00:48  

suspen... interesting.. agak2 nya bila dah siap cerita ini... boleh dbukukan x??? n_n

Anonymous 17/07/2013, 07:42  

Owh pertma kali baca entry inche yg penuh rasa semngt wpun starting ada gelak kecik sikit. Semoga Allah redha dengan penulisanmu yg berjaya menyumpit hati ini untuk membuat kptasan.chewah..hehe..jazakallahukhair ya akhi..semoga kita terus tsabat di jalan ini. senyum penuh keyakinan

Anonymous 19/07/2013, 17:13  

menyekang air mata...

Anonymous 21/07/2013, 01:16  

inche adam.. ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP