19 February 2013

Sejuta Impian

[Kredit]
Tahunnya lima hijrah; lima tahun selepas Nabi dan para sahabat menjejakkan kaki di bumi Madinah penuh barakah. Lapan belas tahun selepas Muhammad bin Abdullah diutus menjadi Rasul untuk seluruh alam buana. Tahun itu juga, seluruh kaum kafir jazirah Arab telah bersekutu dan bersetuju untuk menghapuskan umat Islam. Once and for all.

Perang Khandaq. Perang Ahzab. 

Dendam kesumat para pemuka Quraisy tidak dapat dibendung lagi. Kekalahan di Badar masih belum dapat ditebus. Meskipon mereka berjaya menghalang umat Islam daripada menewaskan mereka sekali lagi di Uhud, namun mereka sendiri tidak berupaya untuk mengalahkan tentera-tentera Allah ketika itu. Kali ini mereka tekad, Muhammad dan konco-konconya mesti dihapuskan di muka bumi ini!

Maka mereka merancang. Selain membuat persekutuan dan perjanjian dengan seluruh kaum Arab di jazirah padang pasir itu, mereka juga telah mengadakan perjanjian rahsia dengan orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah. Dengan penyertaan kaum Yahudi dalam persekutuan mereka itu, mereka amat yakin yang Islam akan dapat dihapuskan terus dengan jaya dan bergayanya. 

Keadaan umat Islam ketika itu cukup genting dan mendesak. Dengan ancaman berterusan dari luar dan dalam, kelengkapan perang yang dhaif dan menyedihkan, bekalan makanan yang tidak mencukupi, pengkhianatan orang-orang Munafik dan banyak lagi, menjadikan umat Islam berada dalam keadaan yang cukup tertekan, resah-gelisah dan keliru. Malah, di dalam surah al-Ahzab, disebut bagaimana ada segelintir umat Islam ketika itu mula berprasangka terhadap Allah, seolah-olahnya mereka tidak lagi yakin dengan janji kemenangan Islam, kerana keadaan yang begitu kritikal dan mendesak. 

Ketika inilah, berlatarbelakangkan keadaan yang cukup genting dan situasi yang bukan setakat mengalirkan peluh besar, malah peluh bergelen-gelen, sesuatu yang cukup luar biasa dan di luar norma pemikiran manusia biasa telah berlaku. 

Alkisahnya bermula apabila para sahabat gagal memecahkan sebuah bongkah batu besar ketika membina parit seperti yang dicadangkan oleh Salman al-Farisi r.a.. Lantas mereka berjumpa dengan Nabi SAW untuk meminta pertolongan baginda. Dengan ijin Allah, baginda SAW berjaya memecahkan bongkah batu besar itu dengan tiga pukulan kapaknya. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian Salman ketika baginda dalam usaha memecahkan batu tersebut. Pada setiap kali pukulan, akan ada percikan cahaya yang keluar dan tiap kali itu juga, baginda akan berkata,

“Telah sempurnalah kalimat Rabbmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah-ubah kalimat-kalimatNya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Lantas apabila ditanyakan kepada baginda apakah sebenarnya yang terjadi, baginda memberikan jawapan yang cukup memukau dan mempesonakan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Baginda meramalkan bahawa pada suatu hari nanti, dunia akan menjadi saksi betapa umat Islam akan menawan dan membebaskan kota-kota Kisra Parsi dan Kaisar Romawi. Ya, dua kuasa besar dunia ketika itu. Ibaratnya seperti Malaysia dan Zimbabwe. Eh. Amerika dan China. 

Ayuh kita lihat kata-kata ar-Rasul SAW, utusan Allah yang agung lagi mulia itu, yang tidak mungkin berkata bohong dan berdusta itu, dalam kontes perang Khandaq; umat Islam yang sedang ketakutan akan ancaman luar biasa dari luar dan dalam, keadaan yang huru-hara dan kacau-bilau, kelaparan dan kedhaifan.. Dan ketika itu baginda menjanjikan sesuatu yang cukup luar biasa dan ekstravaganza.

Baginda tidak menjanjikan bahawa umat Islam akan menang dalam Perang Khandaq tersebut. Tidak. Baginda tidak mengatakan bahawa makanan yang lazat-lazat akan turun dari langit, sepertimana mann dan salwa yang dikurniakan oleh Allah kepada pengikut Nabi Musa a.s.. Tidak. Baginda tidak pula menjanjikan yang Kota Mekah, tempat asal bagi kaum Muhajirin yang amat-amat dirindui mereka itu, akan dibuka dan dibebaskan oleh mereka suatu hari nanti. Tidak. 

Tetapi baginda SAW menjanjikan sesuatu yang lebih haibat dan dahsyat daripada itu! Itulah dia Parsi dan Romawi, dua kuasa agung tidak terkalahkan ketika itu! Walaweh! 

Siapa Nabi untuk memberi harapan sebegitu rupa kepada para sahabat, yang ketika itu belum pasti sama ada akan hidup atau mati? Siapa Nabi untuk menjanjikan sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikiran sesiapa pon ketika itu, tatkala yang mereka khuatirkan adalah pengkhianatan oleh orang-orang Munafik dan Yahudi? Siapa Nabi untuk mengatakan sesuatu yang tidak terlintas dek akal, hatta orang yang paling waras dan bijaksana sekalipon, di saat semuanya bersiap siaga untuk mati syahid..?

Itulah dia, Rasul Allah, penutup segala anbiya', manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini; Muhammad bin Abdullah SAW. 

"Rakanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru. Dan tidaklah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut keinginannya. Tidak lain adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)..."
[an-Najm, 53:2-4]

Setiap butir kata yang keluar daripada mulut baginda adalah wahyu. Setiap janji baginda adalah janjiNya yang benar. Setiap jaminan yang diberikan baginda adalah jaminan daripadaNya. Allahu akbar!

Namun ada pengajaran, ibrah dan hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Nabi SAW kepada kita, melalui perbuatannya menjanjikan sesuatu yang cukup besar dan agung, meskipon sepanjang hayatnya, baginda sendiri tidak hidup lama untuk menyaksikan betapa ramalannya sewaktu perang Khandaq akhirnya menjadi kenyataan. Ya, akhirnya, umat Islam berjaya membuka dan membebaskan kota-kota Kisra dan Kaisar seperti yang pernah dijanjikan baginda. Membebaskan kota-kota tersebut daripada kezaliman dan kejahilan manusia, kepada keadilan Islam dan keindahan hidup di bawah pemerintahan manusia yang berakhlak mulia. 

Baginda mengajarkan kita supaya memasang impian. Ya, impian. Bukan angan-angan atau mimpi di siang hari, tapi impian yang benar dan tinggi, yang akan ditanggapi dan diselusuri hinggalah ia menjadi kenyataan. Impian yang padu dan jelas, yang akhirnya akan melukis dan merangka istana kejayaan di hadapan mata. Impian yang agung dan besar, agar kita letakkan sepenuh usaha, tenaga dan kesungguhan kita demi mencapainya.

Ya, suatu impian. Impian..!

Sepertimana baginda juga pernah menanam impian kepada umat Islam untuk membebaskan kota Konstatinopel, betapa pemimpin yang berjaya melaksanakannya adalah sebaik-baik pemimpin dan para tentera ketika itu adalah sebaik-baik pengikut.

Sepertimana Sultan Nuruddin Zinki menyemai impian ke dalam sanubari Salahuddin al-Ayyubi bahawa dialah orang yang dinanti-nanti untuk membuka justeru membebaskan al-Quds daripada cengkaman para tentera Salib yang zalim dan mengerikan.

Sepertimana Syaikh Shamsuddin, murabbi kepada Sultan Muhammad al-Fateh, yang saban hari tidak pernah jemu dan lelah memasang impian di dalam jiwa dan sukma mutarabbinya itu, bahawalah dialah insan bertuah yang dinanti-nanti oleh ummah, untuk membuka kota Konstatinopel justeru memenuhi hadith Nabi. 

Ya, seperti semua itu. Menanam impian yang tampak mustahil, namun berkat kesabaran dan kesungguhan, akhirnya ia berjaya digapai. Impian yang diletak setinggi langit petala, agar andai ia jatuh, ia masih mampu memegang pada bintang-bintang yang bersinar cemerlang. 

Oh, jangan disangka hanya umat Islam yang tahu memasang impian. Tahukah anda, ketika Theodore Herzl, bapa Zionis itu mewarkahkan ideanya tentang sebuah negara merdeka buat bangsa Yahudi pada tahun 1898, dia ketika itu punya impian, paling lewat sekalipon, negara untuk orang-orang Yahudi yang terusir di seluruh dunia mesti diwujudkan dalam tempoh lima puluh tahun? Dan tahukah anda bilakah negara haram Israel secara rasminya ditubuhkan..? Ya, 1948; lima puluh tahun selepas buku 'The Jewish State' ditulis oleh Herzl! 

Jika musuh-musuh Islam punya impian dan cita-cita untuk menghapuskan nur Allah daripada muka bumi ini, maka kita wajib mempunyai impian dan cita-cita yang lebih besar, untuk mempertahankan agama ini hingga ke titisan darah terakhir, untuk menegakkannya sehinga seluruh manusia, bumi dan langit seisinya tunduk patuh hanya padaNya yang Esa dan akan terus menjulang tinggi panji perjuangan ini dan menyalakan obor sepanjang jalan yang sumpah panjang ini, walau apa pon yang terjadi.

Ya, impian kita wajarnya lebih mulia. Impian kita sepatutnya lebih agung. Impian kita sewajibnya tinggi dan suci.

Kerana memasang impian itu adalah langkah pertama untuk menggapai chentaNya. Menanam impian itu adalah menyuntik otak dan jiwa dengan ruh semangat agar kita terus berjalan, hatta berlari untuk mencapai redhaNya. Dan mempunyai impian yang agung lagi benar itu, adalah permulaan langkah untuk kita menyusuri jalan chenta para pejuang ini. 

Ya, saya juga punya impian saya yang tersendiri. Sepertimana 'Umar al-Khattab yang mengimpikan para rijal dan syabab segaban dan seSuper Saiya Muadz bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah dan Salim, saya juga punya impian yang besar untuk agama dan ummah ini.

Saya mengimpikan dalam masa tidak lebih daripada sepuluh tahun daripada sekarang, semua institut pengajian tinggi, baik awam mahupon swasta, baik dalam negara atau persediaan untuk keluar negara, sekurang-kurangnya pernah disentuhi dan ditembusi oleh gerabak tarbiyah dan dakwah. Lebih lapan puluh peratus sekurang-kurangnya akan dikuasai oleh ikhwah dan akhawat.

Saya mengimpikan, dalam masa tidak lebih daripada dua puluh tahun daripada sekarang, Malaysia, negara saya yang amat saya kasihi dan chentai ini, akan disinari dengan cahaya Islam yang gemilang, akan disimbahi dengan keagungan pemerintahan Islam yang cemerlang. Betapa tiada siapa yang akan takut dan gerun untuk berjalan hatta di waktu malam, ke mana-mana yang mereka sukai, melainkan takutnya mereka kepada kemurkaanNya.

Saya mengimpikan suatu hari nanti, ramainya syabab-syabab dan rijal-rijal, ikhwah dan akhawat yang sanggup berkorban masa dan tenaga, emosi dan jiwa semata-mata untuk menegakkan ad-din ini. Ikhwah dan akhawatnya mereka ini, bukan hanya pada nama, tapi pada ruh dan setiap inci tubuh dan jasad mereka. Mereka sanggup untuk disusun, walau terpaksa nun jauh ke Sabah sana, atau berkampung di hutan belantara, semata-mata kerana mahu menyebarkan Islam yang mulia.

Saya mengimpikan agar suatu ketika, cara hidup Islam bukan lagi sesuatu yang pelik dan jelik. Berjanggut dan berjambang kemas itu bergaya. Bertudung labuh dan berjubah lebar itulah caranya. Tiada lagi mata yang memandang serong apabila membaca mushaf di dalam tren. Tiada lagi mulut yang mencebik apabila kedengaran orang berbahasa 'ana-enta' atau bercipiki cipika. Malah, semua orang pon berebut-rebut nak tiru dan gayakan fesyen Islamik (Yang betul-betul Islamik, bukan plastik!) yang terbaru. Kalah Justin Bibir dan Psy macam ni! Wah! 

Saya mengimpikan agar semua orang pon, baik tuan duktur (ehem!), injiniur, cikgu-cikgi, orang bisnes, orang kantor, arkitek, peguam, tukang kebun, pemandu lori dan semua-semualah, semuanya akan bersungguh-sungguh untuk menegakkan risalah Allah yang satu ini. Tidak kira masa dan ketika, tempat dan situasi, semua pon hidupnya hanya untuk tarbiyah dan dakwah. Tugas mentarbiyah, mengajak kepada yang maaruf dan mencegah yang mungkar bukan lagi hanya tipikal pada ostad dan ostajah semata, tetapi untuk semua! Dan semua orang pon kembang kempis hidungnya dan shiuuh shiuhh angin bertiup penuh semangat, untuk melaksanakannya! Allahu akbar!

Saya mengimpikan agar semua negara-negara Islam yang tertindas akan dibebaskan! Palestin, Syria, Kashmir, Afghanistan, Somalia, Sudah dan lain-lain lagi, semuanya suatu hari nanti akan dapat mengecapi erti dan nikmat sebenar kebebasan dan kemerdekaan. Dan yang lebih utama, semua umat Islam akan bersatu di bawah panji sistem khilafah, yang berpandukan manhaj kenabian! Ya, termasuklah Malaysia ini!

Dan sudah tentunya, saya amat mengimpikan untuk mati syahid, dengan darah dan lelah, dengan peluh dan keringat, kerana menegakkan agamaNya ini. Saya amat mengimpikan untuk mencium bau sorga, merasakan kelazatan buah-buahannya, dan bertepuk-tampar penih gembira dengan ikhwah terchenta di tepi sungai indah yang mengalir di dalamnya (dengan arnab-arnab gemok dan comel yang berlari-lari riang ceria! Wahahaha..). Saya terlalu amat mengimpikan untuk bertentang dua mata dan berpelukan penuh chenta dengan Nabi junjungan yang mulia serta para sahabatnya yang lejen kesemuanya. Dan iya, saya mengimpikan, suatu ketika nanti, saya akhirnya akan dapat menatap wajahNya yang agung itu, yang amat saya rindu, yang amat saya mahu, dalam penuh redha, dalam dakapanNya yang penuh chenta.

Allahu rabbi. Air mata mengalir laju. 


[Kredit]

Ya itulah impian saya. Mungkin banyak lagi tersimpan di dalam benak ini, tapi cukuplah saya berkongsi impian-impian besar yang selalu bermain di hati. 

Ya, mungkin saya gagal untuk mencapainya. Atau tidak hidup cukup lama untuk menyaksikannya. Atau tidak cukup kuat dan larat untuk mengejarnya. 

Namun saya telah memasang impian. Penuh yakin. Penuh sabar. Dan penuh chenta. 

Kerana memasang impian itu adalah reseptor pertama untuk merasakan nikmat kejayaan. Menanam impian itu adalah lampu suluh yang menerangi kegelapan. Dan memasang impian itu adalah harapan, yang akan terus memandu hati dan jiwa kita dalam mengejar keredhaan Tuhan. 

Maka impikanlah! 


"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pon tidak mengubah (janjinya)..."
[al-Ahzab, 33:23]

Saya telah memasang impian saya. Milik saya. Harapan saya. Cita-cita saya.

Anda bagaimana..?

-gabbana-

Moga penulisan-penulisan saya yang marhaen dan picisan ini akan terus memberi inspirasi kepada anda, untuk menanam impian tertinggi untuk menggapai redhaNya. Biidznillah.

Allahu yusahhil! Allah, permudahkanlah!

4 Caci Maki Puji Muji:

Akhi. 20/02/2013, 01:33  

Inche,
amatlah tak adil kiranya anda telah mengepost perkara yang sama saya hendak post.
ni Kimia berlebihan dah kita ni, sampaikan ilham daripadaNya pun sama!
:P

Al-Mufakkir Hamidi 20/02/2013, 10:56  

insyaAllah... :)

ukhti 22/02/2013, 01:24  

Impian besar perlukan usaha yg besar..insyaAllah..ameen

Anonymous 22/02/2013, 06:34  

Waaaa..stress. mcam mana enta blh buat post yang bergaya lagi cun ini.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP