21 July 2012

Hadiah Agung Dari Tuhan, Di Bulan Ramadhan

[Kredit]

Mungkin ada yang sudah tahu.

Mungkin ada juga yang belum.

Malam semalam sudah saya luahkan di MukaBuku dan Pengicau saya.

Allah, tidak tergambar perasaan dan rasa bersyukur ketika ini. 

"Kau orang semua pasti tak percaya apa yang Puan Mama akan pakai. Suatu perubahan yang bombastik!" Kata Cik Adik Perempuan semalam.

Ketika itu kami sedang menunggu untuk keluar makan malam bersama.

"Kau orang pasti tak percaya!" 

Tidak lama selepas itu, Puan Mama menuruni tangga dari biliknya. Kelihatan tersarung tudung menutupi kepalanya, yang selama ini terdedah, berjurai-jurai rambut tumbuh darinya.

Allahu Allah.

Seakan tidak percaya, saya lantas menggosok-gosok mata sekuat hati sampai berdarah, dan kemudian menghempaskan pula kepala saya ke dinding.

Err.

Ok tipu gila. Menipu tak batal puasa kan..? Ahah. 

Saya tersenyum melihat Puan Mama begitu. Tidaklah terasa seperti mahu melompat kegembiraan atau menerkamnya lantas memeluk erat, tapi ya, saya gembira.

"[Inche gabbana] nak peluk dan cium Puan Mama boleh..?" 

Ujar saya seikhlas hati. Lantas saya menghadiahkannya suatu rangkulan erat dan dua tiga tembakan cium di pipinya. Hadiah marhaen dari saya buat si ibu terchenta. 

Di dalam kereta, tatkala Inche Papa memandu di sebelah, hati saya bermonolog.

"Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu. Aku bersyukur ya Allah! Mungkinkah ini juga ujian buat diriku..?" 

Senyuman tidak lekang dari bibir Puan Mama. Cik Adik Perempuan pula sibuk mahu membetulkan pemakaian tudung Puan Mama. Cik Adik Perempuan turut terkesan dengan keputusan Puan Mama itu. Berkali-kali dia berkata, "Terasa macam nak pakai tudung pula." 

Iya, baguslah tu. Cik Adik Perempuan bila lagi..? 

"Lawo dio paka tudung," kata kakak kedai tomyam yang selalu kami kunjungi kepada Puan Mama. Tidak saya sangka pula dia perasan akan perubahan Puan Mama.

Ah, bukan lawa atau pujian yang dipinta. Tapi redha Allah dan keampunanNya!
 
Ya, ia mungkin perubahan kecil pada pandangan sesetengah daripada anda. Ia mungkin tiada apa-apa dan tiada nilainya bagi sebilangan daripada anda.

Tetapi ia penghijrahan besar buat Puan Mama. Setelah lima puluh lima tahun hidup di dunia ini, dia mengambil keputusan yang saya kira cukup mencabar dan berat buat dirinya. Pastinya ia sesuatu yang sukar buatnya.

Dan ia memberikan impak besar buat diri saya. Setelah begitu lama menunggu, akhirnya...

Air mata bercucuran.

Hari Isnin ini bakal menjadi penentu dan ujian besar buat Puan Mama, kerana buat pertama kalinya dia akan ke opis dengan berlitup kepala.

"Mesti boss [Puan Mama] pelik tengok," ujarnya.

"Tidak mengapalah. Biasalah tu, baru lagi pakai tudung," kata saya menenangkannya. 

Moga tabah menghadapi jelingan wahai Puan Mama! Moga bersabar berhadapan dengan cemuhan atau ejekan Puan Mama! Dan moga tegar, terus istiqamah dengan perubahanmu ini, hai Puan Mama terchenta!
 
Ketahuilah, kini setiap langkahmu tidak seperti dahulu. Setiap langkahmu insha-Allah ditemani dengan keredhaan dan kechentaan Tuhan! Allah sentiasa bersama-samamu, melindungi dirimu dan melimpahkan kasih-sayangNya kepada diriMu, semuanya kerana satu perubahan! Dan ya, anakmu ini akan sentiasa membimbing dan menyayangi dirimu sepenuh dan seikhlas hati, hingga nyawa dipisah dari badan!

Ya, perjalanan ini masih panjang. Dan perjuangan ini masih jauh untuk selesai. Tapi kini hidung saya lebih kembang kempis dan mata bersinar-sinar untuk melalui setiap inci daripada jalan ini. Saya lebih yakin dan percaya untuk menyusuri jalan yang penuh berliku ini!

Janji Kau sesungguhnya benar, ya Allah..!

"Sesugguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami adalah Allah" kemudian mereka beristiqamah, tidak ada rasa khuatir pada diri mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati." 
[al-Ahqaf, 46:13]

Malam itu kami berterawih bersama-sama; saya mengimamkan Puan Mama dan Cik Adik Perempuan.

Malam itu saya tidur awal daripada biasa. Dan sudah lama saya tidak tidur senyenyak dan senyaman itu.

Senyum.

-gabbana-

Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus menitipkan doa buat saya dan keluarga. Saya yakin, doa-doa yang terbit ikhlas dari hati dan bibir anda turut memainkan peranan untuk perubahan ini.

Moga Allah memberikan anda semua dengan sebaik-baik ganjaran, biidznillah. Teruskan berdoa untuk saya dan keluarga. Doa saya untuk anda semua juga.

Terima kasih ya Allah, untuk hadiah agung ini. Tidak mungkin dapat aku membayarnya...  

14 Caci Maki Puji Muji:

MakNana 21/07/2012, 10:05  

SubhanaAllah, mudah2an dengan perkongsian pengalaman/cerita kamu ini juga mampu untuk membuka mata hati muslimah2 yg masih tidak sempurna dalam menjaga aurat agar istiqamah menutup aurat! insyaAalah :)

Inspector Saahab 21/07/2012, 10:17  

;')

'
'
'
'

air mata gembira bercucuran. not literally.

yui 21/07/2012, 10:22  

alhamdulillah.. ini perubahan yg baik.. semoga allah memberkati =p

Anonymous 21/07/2012, 11:30  

sungguh ia adalah satu perubahan yang besar serius happy , pernah rasa bila melihat orang yang diimpi bertudung akhirnya bertudung , sungguh kelihatan amat chantek.. subhanallah,,keep it up inche gabbana teruskan mencucuk jarum agar bersama seeking for MARDHATILLAH!

pembacategar 21/07/2012, 11:37  

Alhamdulillah. dulu waktu seorang sahabat saya tiba-tiba keluar bertudung pun dah tak terkata gembira hati ini, inikan pula keluarga sendiri kan. semoga Allah beri kekuatan untuk istiqamah pd puan mama IG :)

iTTeW saYe... 21/07/2012, 12:19  

alhamdullilah..semoga ALLAH kuatkn hati puan mama inche gabana...dan semoga puan mama inche gabana istiqamah..

Ir Jinggo 21/07/2012, 12:54  

Alhamdulillah.. kegembiraan yang berkali ganda! bertemu Ramadhan itu pun lebih manis.. wahh.. doakan supaya Puan Mama terus istiqamah

izyan.ariff 21/07/2012, 13:43  

:')

dr_nana 21/07/2012, 18:37  

tsk tsk tsk... sebak kot... didoakan seluruh ahli keluarga dan generasi inche gabbana akan dikurniakan hidayah dan kekuatan utk mempertingkatkan diri ke arah yg lebih osem dan gojes di sisi Allah.
dan kpd semua org yg membaca juga, insyaAlah. g smbung nangis kejap.

Kemoning 21/07/2012, 21:04  

Masya Allah alhamdulillah. My situation is merely the same with inche gabbana. But in my case, im struggling to tarik my sibs. Darn hard to tell you. But then, inche gabbana opended my eyes wide open! THIS IS A PROVE THAT OUR DOAs ARE ALWAYS BEING HEARD BY ALLAH. And insyaAllah i'll never quit praying till this kind of miracle happens to my life. Allah bless you, inche gabbana, Allah bless!

dn 21/07/2012, 21:42  

Alhamdulillah ala kulli hal.

Hidayah itu milik Allah & kita hanya mampu berusaha.
Sentiasa mengharapkan satu sinar yg akan membawa perubahan yg baik terutama sekali pada Ramadhan ini buat ahli keluarga sendiri yang mungkin masih belum sedar dengan sapaan hidayahNya.
Semoga kita & mereka sentiasa dibukakan hati olehNya untuk sentiasa dikurniakan hidayah & taufiq serta diberikan kefahaman dlm ad-din. Aamiin.

Anonymous 22/07/2012, 16:19  

turut merasa kegembiraannya...seriuslyy!alhamdulillah..thanks to Allah~

Habibah 22/07/2012, 16:43  

Nangis...
Terima kasih.
Moga sy jg kuat,
agar Allah memberikan hadiah yg sama buat kami

Annyss 25/07/2012, 12:59  

Alhamdulillah..
Bergenang air mata bila baca ni. InsyaAllah, saya juga dalam proses untuk memperbaiki diri. Semoga mama anda terus istiqamah.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP