21 December 2011

Durian, Febreeze dan Daun Pandan

[Kredit]

Semalam saya mengambil cuti tahunan yang masih berbaki. Saya sudah boleh menjangkakan pastinya saya akan berasa penat tahap peguin diRaja yang seusai menjaga anaknya selepas bermukhayyam pada wiken lepas. Sungguh tepat jangkaan saya itu. 

Ditakdirkan Puan Mama juga mengambil cuti pada hari yang sama. Maka saya tidak melepaskan peluang ini untuk berpolitik sakan dengan Puan Mama. Bukan senang woo nak ada masa-masa 'makan malam berlilin' bersama Puan Mama; Inche Papa, Inche Abang Besar dan Cik Adik Perempuan semuanya bekerja. Arakian tinggallah saya berdua dengan Puan Mama.

Paginya kami pergi bersarapan terlebih dahulu. Selesai bersarapan, saya memandu Puan Mama ke rumah seorang rakan baiknya di Bukit Jelutong dan bukan Bukit Beruntung (khas kepada individu itu. Senyum.). Puan Mama ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan dengan rakannya itu. Hendak dijadikan hikayat Merong Mahawangsa, rakan Puan Mama itu pula ingin melakukan upacara penyerahan beribu-ribu buah durian kepada Puan Mama. Ok tipu.

Tapi banyak jugalah durian yang dimuatkan ke dalam Humaira' (kepada yang masih belum mengenali Humaira', saya perkenalkan, ini Humaira; Humaira', mereka ini semua pembaca belog saya. Wahahaha..) Adalah kurang lebih dua puluh empat biji juga.

Maka anda bayangkanlah sekonyong-konyong semerbak harum bau durian yang memenuhi segenap pejuru dan ruang Humaira'. (Oklah... Humaira' tu nama kereta saya.) Saya yang kaki durian ini pon terasa nak termuntah dan pening-pening langau dengan baunya yang maha dahsyat itu. Nak dijadikan cerita lagi, sejurus selesai urusan Puan Mama di rumah rakannya itu, kami tidak terus pulang ke rumah. Kami ke IKEA di Mutiara Damansara terlebih dahulu. 

Sayugia anda bayangkan pula kengerian yang terpaksa kami tempuhi setelah selesai urusan di IKEA. Kereta yang dibiarkan selama dua jam lamanya dengan muatan berisi buah-buahan tempatan yang lebih glamor dengan panggilan raja buah itu... Peluh besar menitik-nitik. Sepanjang perjalanan kami terpaksa membuka tingkap untuk menyahbau bau durian yang kini sudah seperti bau tempoyak pula. Itupon hidung kami kembang-kempis jugalah menahan sisa-sisa bau yang masih melekat kuat.

Anak kepada kawan Puan Mama ada memberikan tips sebelum kami bertolak pulang. Dinasihatkan saya untuk meletakkan sebanyak-banyaknya daun pandan di dalam bonet dan kereta untuk menyahbau bau durian yang maha dahsyat itu. Menurutnya lagi, hatta Febreeze sekalipon tidak dapat menandingi keangkuhan bau raja buah itu. Hanya bau daripada daun pandan sahajalah yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bau durian.

Dan itulah yang saya lakukan sebaik sahaja tiba di rumah sepetang berkeliaran bersama Puan Mama. Puan Mama dengan penuh baik hati dan tidak malunya pergilah mencantas beberapa helai daun pandan milik jiran sebelah rumah. Oh tidak mengapa, kerana memang sudah ada perjanjian senyap antara kami jiran tetangga; daun pandanmu, daun pandanku juga. Wahahaha..

Saya pon tanpa berlengah-lengah lagi terus mencampakkan berhelai-helai daun pandan di dalam bonet kereta dan beberapa helai lagi di dalam kereta. Ketika saya mahu ke masjid untuk solat Maghrib petang itu, seperti tidak percaya, bau durian yang menghantui Humaira' kini sudah dapat dikurangkan sebanyak sembilan puluh satu perpuluhan tiga lapan peratus. Walaweh. Daun pandan memang osem. 

Walaupon bau durian masih tegar dan kental, tidak dapat dinyahbaukan seratus peratus lagi, tetapi sekurang-kurangnya hidung saya tidak perlu lagi terseksa menahan serangan bau yang zalim lagi tidak berperikedurianan. Tambahan pula, bau daun pandan yang sedap mengingatkan saya kepada kuih gula melaka a.k.a. onde-onde dan juga nasi lemak kukus panas-panas lazat-lazat. Nyaaamm nyaamm. Eh. Bau pandan yang manis dan wangi itu sememangnya telah berjaya mensejahterakan dan memurnikan bau durian. Syabas..!

Apa pengajaran yang saya dapat daripada kejadian ini..? Banyak. 

Anasir-anasir jahiliyyah adalah seperti durian itu. Malah sungguh cantik sekali perumpamaan itu melihatkan sifat-sifat durian yang 'berduri tajam' dan aromanya yang sungguh kuat. Isinya pula cukup lazat, manis dan berlemak.

Begitulah sifat-sifat jahiliyyah; buruk, keji dan menyakitkan. Tapi kepada yang sudi dan mahu menempuhi semua itu, jahiliyyah menjanjikan keseronokan dan kenikmatan hidup yang melalaikan. Susah sebenarnya nak buat benda-benda jahiliyyah ni, jika hendak dibandingkan dengan kebaikan.

Anda tak percaya..? Mai mai saya buktikannya. 

Cuba bayangkan anda berniat mahu berzina. Pertamanya, kena fikir nak berzina dengan siapa. Adakah si dia sudi untuk berzina dengan anda. Kemudian kena fikirkan pula di mana mahu berzina. Adakah selamat tempat yang bakal dipilih itu. Hatta selepas menjumpai pasangan dan tempat yang sesuai sekali pon, anda pasti akan tertekan pula kerana setiap saat dan ketika, anda khuatir sekiranya anda akan diserbu dan ditangkap. Belum lagi dikira sekiranya anda sudah berkahwin atau berpunya. Pastilah kena fikirkan pula konsekuensi sekiranya pasangan anda mengkantoikan perbuatan terkutuk anda itu!

Itu baru berzina. Cuba kita lihat membunuh pula. Pertamanya, kena jelas apa motif untuk pembunuhan yang bakal kita lakukan. Kemudian kena fikirkan pula teknik-teknik untuk membunuh supaya mempunyai alibi yang cukup kuat. Ok terasa canggih sebentar kerana menggunakan perkataan alibi. Wahahaha.. Kemudian kena cari mangsa, masa yang sesuai, tempat yang ideal, bla bla bla.. Aduhai. Baik duduk di rumah makan bertih jagung sahajalah.

Mari lihat pemain game tegar pula. Eh, anda ingat senangkah mahu duduk di depan komputer atau permainan video selama berjam-jam lamanya, sehingga sanggup meninggalkan waktu makan, masa-masa berkualiti di bilik air dan sebagainya..? Susah tahu..?? Belum lagi dikira wang ringgit yang perlu dibakar untuk membeli segala tok nenek perkakas dan perlatan untuk bermain game. Juga masa yang banyak dibuangkan sehingga sanggup pula dimarahi cikgu atau pensyarah kerana gagal menyiapkan tugasan yang diberikan. Itu belum lagi dihitung entah berapa gazaillion kali waktu solat yang dilewat-lewatkan semata-mata tidak mahu terlepas peringkat game yang seterusnya. *koff koff* Bagaimana..? Amat sukar bukan..??


Uish kalau dari kecil sudah ditarbiyyah begini, bayangkan betapa ruginya masa dan peluang yang spatutnya digunakan untuk melahirkan al-Fateh yang seterusnya! [Kredit]


Begitu juga dengan perbuatan-perbuatan jahiliyyah yang lain. Pastinya banyak perkara-perkara yang perlu diambil kira sebelum melakukan jahiliyyah tersebut. Masa, tenaga, wang ringgit dan emosi yang habis tergadai begitu sahaja, yang itu toksah ceritalah. Pendek kata, nak melakukan jahiliyyah ini memang sukar dan memerlukan dedikasi dan komitmen yang tinggi!

Abes tu Inche gabbana, mengapa lebih ramai orang yang terjerumus ke dalam kancah maksiat, bergelumang dengan dosa dan noda berbanding dengan mereka yang mahukan kebaikan..? Tanya anda sambil menggaru hidung.

Itulah, kerana isi durian yang enak dan baunya yang cukup mahsyuk itulah. Menyebabkan ramai yang terlupa dan terleka dengan duri-duri tajam si durian yang mampu melukakan! Punyalah khusyuk dan asyik mahu menikmati isi durian yang lazat, berlemak lagi mengalirkan air liur, sehinggakan anda terlupa 'penderitaan' yang terpaksa anda lalui sebelum dapat mencapai isi durian yang lembut dan pejal itu.

(Nota: Analogi durian ini sebenarnya dapat juga digunakan untuk menggambarkan kesusahan dan cabaran yang ada pada jalan dakwah ini. Tapi sila jangan rosakkan analogi saya pada kali ini, untuk menyesuaikannya dengan konteks jalan cerita ini. Sekian.)

Dan punyalah hebat sibghah - acuan/celupan - yang ada pada durian ini, sehinggakan durian yang disimpan di dalam bonet boleh mempengaruhi keseluruhan aroma dalam kereta. Walhal isinya sudah pun dilindungi oleh kulit yang keras lagi tajam. Tetapi sibghahnya yang cukup kuat lagi padu menyebabkan keseluruhan bau kereta terpaksa tunduk kepada bau durian yang lebih gagah dan berani.

Jadi apakah solusinya..? Apakah senjata dan pertahanan yang dapat digunakan bagi melawan kembali, atau et lis bertahan daripada serangan ganas lagi bertubi-tubi oleh jahiliyyah ini..?

Daun pandan.

Ya, daun pandan. Of kos lah, sila jangan buat khalakar di sini. Bukanlah maksud saya untuk melawan jahiliyyah, maka anda perlu menggunakan daun pandan. Saya tidak bertanggungjawab tahu, sekiranya selepas ini ada yang ke hulu ke hilir mengikat daun pandan di kepala atau memakain tangkal berisi potongan daun pandan..?? Wahai. Sila jangan jadi terlalu lurus dan mengambil sebijik-bijik apa yang saya katakan. Aduhai. 

Maksud saya, untuk melawan bau durian yang maha dahsyat itu, kita gunakan bau daun pandan yang wangi lagi menyegarkan. Guna Febreeze pon tak jadi. Mengapa..? Kerana hanya bahan semulajadi sahaja yang dapat menangani masalah yang diwujudkan oleh bahan-bahan semulajadi yang lain. Guna Febreeze, bau kuat durian tak akan hilang. Mungkin hilang untuk sekejap cuma, tapi bau yang hantu itu akan kembali berkuasa.

Tapi gunakan daun pandan, *petik jari* sekejap sahaja bau durian itu dapat diganti dengan bau daun pandan yang manis dan harum. Tidak perlu membazir berbelas ringgit membeli Febreeze apabila daun pandan yang percuma boleh didapati dari jiran sebelah rumah anda. Hoyeeaahh. 

Jangan jadi Febreeze; harap mahal je lebih, tapi belum tentu lagi benar-benar berkesan menghilangkan bau durian! [Kredit]

Tapi jadilah seperti daun pandan, walaupun murah dan boleh didapati di mana-mana, tapi sumpah osemmness! [Kredit]


Begitulah dalam peperangan kita melawan jahiliyyah. Selama ini kita berhabis tenaga, wang, emosi dan entah bermacam lagi sumber-sumber yang ada untuk mengatasi masalah sosial yang bermaharajalela. Kita pelajari falsampah dan polisi yang diamalkan di Barat. Kita cipta pula teori dan penyelesaian kita sendiri. Dan apa hasilnya..? Bukan sahaja masalah tidak selesai, malah menjadi lebih teruk lagi. Seperti kudis, mungkin kita sangkakan masalah telah selesai dengan solusi-solusi kita yang bijaksana itu. Walhal punca sebenar dan kepada masalah tidak ditangani. 

Rupa-rupanya solusi yang dicari-cari selama ini ada di rumah jiran sebelah rumah.

Begitu juga dalam gerak kerja dakwah kita. Ar-Rasul SAW, para sahabat dan golongan salafus-soleh telah pon menunjukkan jalannya. Mereka bukan sahaja telah menyusuri jalan yang sama, mereka tinggalkan pula kita dengan lampu sorot, lampu kelip-kelip, lampu suluh dan bermacam jenis lampu lagi untuk menerangkan jalan ini. Supaya mudah untuk kita melaluinya dan tidak terjatuh atau lebam terlanggar tiang dan sebagainya.

Tetapi malangnya, kita masih berdegil, memandai-mandai mahu menggunakan cara dan kaedah kita sendiri. Kita rangka dan kita cipta penyelesaian yang kita rasakan paling sesuai untuk keadaan dan masa ketika itu. Kita justifikasikan tindakan kita itu sebagai mengikut waqi' (persekitaran) semasa. Ya, solusi dan kaedah yang kita tawarkan itu mungkin tampaknya cukup menarik tertarik kau memang dabommm. Tampaknya seolah-olahnya kool dan bergaya. Dan mungkin juga ia berjaya untuk menyelesaikan masalah. Tetapi untuk satu tempoh waktu yang cukup singkat dan solusinya juga tidak menyeluruh.

Begitulah. Kembalilah kepada assolah (keaslian) dakwah. Kembalilah kepada cara dan kaedah yang telah ditunjukkan oleh ar-Rasul SAW. Tidak yakinkah kita kepada janji dan seruannya, barangsiapa yang mengikuti al-Qurandan sunnah baginda, pastilah dia tidak akan sesat selama-lamanya..?

Kemudian, untuk menghadapi durian yang hebat lagi dahsyat itu, kita juga perlu menjadi hebat dan dahsyat. Daun pandan hebat dan dahsyat juga, kerana itulah ia amat berkesan dalam membanteras bau durian yang mencucuk hidung itu. Sekiranya saya menggunakan bunga ros atau bunga cina kuning, belum tentu lagi bau durian dapat dihilangkan dengan berkesan dan dalam masa yang singkat. Tetapi dek keharuman dan kekuatan bau daun pandan adalah dominan dan cukup bergaya, maka ia setanding malah dapat mengalahkan pula bau durian.

Begitulah kita sebagai dua't yang memperjuangkan agama Allah ini. Kita sedang menghadapi, berperang dengan musuh-musuh yang bukan calang-calang. Malah kebanyakan masanya, kita sendiri tidak menyedari bahawa mereka ini adalah musuh yang nyata lagi marabahaya. Setiap masa dan ketika, mereka mempersiapkan diri mereka untuk menghancurkan kita. Mereka sentiasa menunggu masa yang sesuai untuk menjerat kita dan kemudiannya bertepuk gembira melihat kita terseungkur menyembah bumi.

Hebatnya sibgah durian sehingga mampu mempengaruhi bau satu kereta, maka sibgah daun pandan perlu menjadi lebih pekat dan hebat lagi untuk mengalahkan bau durian itu. Sekiranya celupan dan acuan jahiliyyah itu cukup pekat dan tegar sehingga menyebabkan ramai yang tertewas dengan fitnah dan pujuk rayunya, maka tidak boleh tidak, sebagai pembawa panji dan obor agama Allah ini, celupan dan acuan yang kita perjuangkan wajibkah lebih hebat, kool, bergaya dan osem daripada apa-apa jenis celupan di dunia ini.

"Sibgah (celupan/acuan) Allah; dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah..?"
[al-Baqarah, 2138]


Arakian untuk menghadapi musuh-musuh yang kuat ini, kita juga perlu kuat. Malah untuk memenangi peperangan dan perjuangan ini, kita perlu menjadi lebih kuat daripada mereka. Persiapan dan persediaan kita dari segenap aspek, baik jasadi mahupon rohani, baik mental mahupon fizikal, segala-galanya perlu dipersiapkan untuk memastikan kemenangan yang hakiki berpihak kepada kita.

"Persiapkanlah dirimu dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada..."
[al-Anfal, 8:60]

Rupa-rupanya untuk berhadapan dengan jahiliyyah dan taghut yang keji dan menyesatkan itu, kita juga perlu kental dan kuat. Dan rupa-rupanya, untuk menjadi kental dan kuat itu, tidak perlu bersusah-payah pon kerana selama ini, penyelesaiannya sudah lama berada di depan mata..!

Ya, untuk berhadapan dengan durian, maka kita perlulah menjadi daun pandan!

-gabbana-

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga siapkan satu post setelah berhari-hari asyik mengepost hasil titik peluh video osem itu sahaja. Moga bermanfaat untuk anda yang membacanya!

3 Caci Maki Puji Muji:

cikLah 21/12/2011, 08:50  

(daaah sy igt aka prasan ayat untuk seseorg tu ditujukan untuk diri y lemah ini. sigh.. -_-')


tp sunggoh! sunggoh osem analogi inche gabbana! ^^
hebat.. subhanallah.. dr sekecik2 perkara buleh kita ambik ibrahnya.... =l

Syamil 21/12/2011, 11:17  

Subhanallah..sungguh osemm saya kira...lagi bergaya dan mantap.

saya menjadi terinspirasi.. :)
syukran jaziilan akhi..

mengingatkan diri saya terhadap lemakbya diri dalam menyampaikan dakwah.

Anonymous 21/12/2011, 17:53  

Askm wrh wbt...

Alhamdulillah segala pujian itu hanya milik Allah SWT yang Maha Hidup lagi Terus-Menerus mentadbir.

MasyaAllah, segala analogi yang kita rumuskan dalam keidupan di dunia ini, tidak lain tidak bukan merupakan bayangan kepada lalaun kehidupan menuju akhirat...

Apapun jua seluruhnya...cuma sudut pandangan manusia dalam melihat sesuatu analogi itu berbeza-beza. kerana yang dikejar hanya untuk mencapai maksud kedunian. sedangkan keperluan dunia setiap individu tidak sama antara satu sama lain.

Tetapi, jika disimpulkan sesuatu analogi itu demi mencapai maksud akhirat, tentu setiap kita akan dapat melihat aspek yang sama dalam mana-mana kiasan dunia ini kerana semua dari kita mempunyai keperluan akhirat yang sama. yakni keredhaan & rahmat Allah SWT.. Allahuakbar..

Adapun mencipta pelbagai kaedah bagi menyelesaikan masalah dalam memenuhi kehidupan keduniaan mungkin dilihat sebagai kejayaan, namun kejayaan di dunia semata-mata bukan pengukur kejayaan akhirat. kerana hakikat kejayaan samada di dunia mahupun di akhirat adalah mencapai redha Allah SWT, meraih rahmat Allah SWT.

Maka itu Allah tetapkan kehidupan beragama untuk mencari keperluan akhirat.

Apakah dia kehidupan beragama yang dapat menentukan kejayaan dunia & akhirat manusia itu?

"ati'ullah wa 'atiurrasul, waulilamri...."

maksudnya (insAllah): "taatlah engkau pada perintah Allah, dan taatilah Rasul, dan juga Ulilamri"

InsyaAllah, ada kejayaan dunia dan akhirat di dalamnya.

saya budak baru belajar.. >_<
kalau ada salah dan silap mohon diperbetulkan...

semoga ada keberkatan dariNya. InsAllah...

wasalam...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP