Sabar Itu Bukan Saudara-Mara Puan Sabariah
[Kredit] |
Pada bulatan gembira minggu lepas, saya telah membuat satu ala-ala perjanjian dengan hadek-hadek bulatan gembira saya, di mana sepanjang minggu ini kami semua akan cuba bersabar sebaik-baiknya.
Sebarang kejadian yang menyebabkan diri terkantoi sabar, maka perlu dicatatkan. Kemudian akan dikongsikan pada sesi bulatan gembira yang akan datang.
Sehingga kini, saya telah terkantoi sebanyak tujuh kali kurang lebih. Sungguh membanggakan bukan..? Peluh besar.
Mari saya kongsikan salah satu peristiwa yang menyebabkan saya terkantoi itu.
Pada hari Jumaat dan Sabtu yang lepas, suatu konferens riang telah dianjurkan untuk hadek-hadek kolej-kolej persediaan seluruh Lembah Klang bersempena dengan Hari Malaysia. Err. Bersempena dengan CUTI Hari Malaysia. Heh. Jadi, ramailah yang datang menyerah diri dan mereka termasuklah hadek-hadek dari Kolej Maha Busy, Kolej Tanah Terbiar, Kolej Mata Sayu dan beberapa kolej yang lain.
Ditakdirkan Allah, seorang hadek di bawah jagaan saya, Hadek K telah mengadu kesakitan yang teramat. Arakian saya telah membawa Hadek K ke hospital pada pagi Sabtu, ditemani oleh Hadek B yang merupakan rakan rapat kepada Hadek K. Pada mulanya Hadek K enggan kerana dakwanya, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Tetapi saya berkeras (dengan penuh kasih-sayang *koff koff*) untuk membawanya juga ke hospital, kerana dia sudah pon mengadu kesakitan sejam malam sebelumnya lagi.
Sakit apa? Anda bertanya. Tidak perlulah saya menjawabnya kerana saya khuatir Hadek K tidak akan dapat tidur malam akibat diganggu mimpi ngeri selama tiga tahun lamanya sekiranya dia mendapat tahu saya memecahkan rahsia ini kepada anda semua. Wahahaha..
Tetapi cukuplah sekadar anda tahu bahawa penyakit itu boleh tahan juga seriyesnya. Maka pada pagi itu, seusai solat Subuh berjemaah, saya bersama-sama dengan Hadek K dan B (juga seorang lagi hadek yang ingin menumpang kereta ke stesen bas yang terdekat) menuju ke Hospital Putrajaya. Ya, Hospital Putrajaya. Sila ingat nama itu dengan baik.
Kami tiba di bahagian trauma dan kecemasan Hospital Putrajaya sebelum jam 7.30 pagi. Itu saya pasti. Mengapa saya memilih untuk ke bahagian trauma dan kecemasan? Kerana saya pasti Hadek K sedang mengalami kesakitan yang sumpah tidak osem. Ketika itu, bahagian trauma dan kecemasan juga kelihatannya tidak ramai pesakit ada. Maka saya kira pastilah Hadek K dapat menerima rawatan dengan segera.
Saya tersilap. Sungguh tersilap.
Setelah sejam lebih menunggu, nama Hadek K belum lagi dipanggil. Para pesakit yang datang ke bahagian trauma dan kecemasan juga sudah semakin ramai. Yang lebih menghairankan, dalam tempoh itu, nama pesakit yang dipanggil masuk untuk menerima rawatan juga amat sedikit. Eh tiada doktor yang bertugaskah?
Perut sudah mula berkeroncong. Cadangannya, selepas Hadek K menerima rawatan, kami bertiga akan mencari-cari gerai untuk menikmati nasi lemak yang sungguh osem di pagi Sabtu. Air liur mengalir.
Masa terus berlalu, namun nama Hadek K masih belum lagi dipanggil. Perasan jugalah saya, ada juga pesakit yang datang lebih lewat tetapi namanya dipanggil masuk dahulu. Kerana tidak berpuas hati, saya pergi bertanyakan kepada Puan Risepsyenis yang bertugas. Menurutnya, doktor akan memanggil masuk pesakit yang dirasakan lebih wajar diutamakan, bergantung kepada jenis sakit atau kecederaan yang dialami. Kesabaran pula menipis, senipis kulit bawang merah.
Dua jam berlalu. Nama Hadek K terlalu mahal harganya agaknya.
Saya mula mempersoalkan definisi 'kecemasan' pihak hospital. Kerana ramai juga saya lihat pesakit yang seolah-olah biasa sahaja sakitnya tetapi dipanggil masuk terlebih dahulu. Tak tahulah, dzan saya sahaja mungkin.
Akibat terlalu lapar, saya keluar untuk membeli sedikit makanan ringan untuk dijamah oleh kami bertiga. Hadek K dan Hadek B yang pada mulanya agak riang gembira, kini sudah lesu akibat terlalu lama menunggu. Malah Hadek K yang tidak demam pada mulanya, suhu badannya mula naik. Panas. Kasihan.
Ada seorang wanita membawa ayahnya pulang, seorang lelaki sudah berusia yang berdarah wajahnya akibat terjatuh (saya tercuri dengar.. hohoho..) dek tak tertahan lagi menunggu terlalu lama. Itu pun dia sampai lama selepas kami bertiga tiba di hospital. Haih.
Saya sudah tidak lagi dapat duduk diam. Mundar-mandir ke sana ke mari. Dan setiap kali mendengar pembesar suara dinyalakan, penuh pengharapan saya agar nama Hadek K yang akan dipanggil. Tetapi hampagas cap Dyson, nama pesakit lain yang dipanggil.
Agak menyakitkan hati apabila melihat kedua-dua Puan Risepsyenis kelihatan riang gembira di tempat kerja mereka. Siap boleh melantak nasi lemak lagi tu woiii..! Yalah, saya faham, bukan salah mereka. Tetapi tidak perlulah makan di hadapan kami semua yang sedang sakit (dan sakit hati..) ini! Paling koman mereka sepatutnya lebih simpati dan tunjukkan sedikit usaha yang mereka benar-benar telus mahu agar rawatan disegerakan. Tidak mengapalah, mereka penat agaknya. (Alasan yang diri saya sendiri sukar untuk mempercayainya).
Akhirnya, beberapa minit lagi sebelum jam sepuluh, saya bertekad untuk membawa Hadek K ke klinik swasta sahaja. Panas juga punggung ni, hampir tiga jam menunggu tidak berbuat apa-apa! Puan Risepsyenis yang membatalkan nama Hadek K, langsung tidak memohon maaf atau menunjukkan rasa kesal. Terima kasih banyak-banyak ya..?
Di klinik swasta, cepat sahaja urusan rawatan terhadap Hadek K dilakukan, alhamdulillah. Agak cemas juga apabila Puan Doktor yang merawat Hadek K memberi isyarat seolah-olah penyakit yang sedang dihidapi Hadek K agak seriyes. Ketika kami masuk ke dalam bilik rawatan selepas Hadek K diberikan suntikan dan rawatan yang sepatutnya, saya bertanyakan kepada Puan Doktor:
Saya: Bagaimana Puan Doktor? Apa penyakit yang dihidapi oleh Hadek K? Seriyeskah..?
Puan Doktor: Uhm, nanti saya jelaskan. (Muka sedikit seriyes) Sekarang ni kita bagi dia rehat dahulu.
Wahai. Sungguh mendebarkan jantung bukan...?? Tapi alhamdulillah, walaupun agak seriyes juga penyakit yang menimpa Hadek K, ia boleh dirawat. Malah Hadek K berasa amat lega setelah menerima suntikan dan memakan ubat yang dibekalkan oleh Puan Doktor.
Tidak mengapalah terpaksa membayar sejumlah wang untuk perkhidmatan rawatan yang telah diterima. Sekurang-kurangnya gembira dan lega melihat Hadek K yang tampak lebih segar dan semakin pulih. Risau juga melihat Hadek K yang terhuyung-hayang berjalan dan panas badannya ketika kami pulang merajuk dari Hospital Putrajaya! Dan sekurang-kurangnya kuranglah sikit dosa saya. Kalau lebih lama kami menunggu di hospital tadi, sudah tentu lebih banyak dosa-dosa kering yang saya hasilkan...!
Peluh kecil mengalir perlahan.
Susah rupa-rupanya nak jadi orang yang bersabar ni. Sebab tu agaknya perkataan 'sabar' disebut oleh Allah sebanyak sembilan puluh kali di dalam al-Quran. Ya, SEMBILAN PULUH KALI...! Sungguh osem bukan...??
Sabar ye wak, sabar. Kalau tak sabar, nanti jadi Sabariah..! Wahahaha.. [Kredit] |
Saya kira, anda sudah dapat meneka, dalam banyak-banyak kekantoian saya untuk bersabar, datangnya banyak daripada mana...! Aduhai. Itulah.. Itu, yang selalu membuatkan saya bertukar menjadi raksasa gorgon itu. Peluh.
"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."
[al-Baqarah, 2:155-157]
Macam tak layak je saya nak dapat berita gembira tu... Air mata berketul-ketul.
Dan bersabar tu satu hal, bersabar dengan sabar yang baik itu, satu hal lagi..!
“Maka bersabarlah dengan sabar yang baik..."
[al-Ma'arij, 70:5]
Fasbir sabran jameela; bersabarlah dengan kesabaran yang baik...!
Ya Allah! Jadikanlah hambaMu ini seorang hamba yang sabar lagi penyabar. Dan jadikan hambaMu ini mampu untuk bersabar dengan kesabaran yang baik! Amin ya robbal alamin.
Dan oh, anda tahu apakah moral terbesar daripada kisah saya ini..?? Kalau anda dalam kecemasan, JANGAN sesekali ke hospital milik kerajaan...! Seriyes kena tukar nama jadi wad KETENANGAN..! Wahahahaha..
Terima kasih hospital kerajaan secara amnya dan Hospital Putrajaya secara khususnya, kerana telah berjaya menguji kesabaran saya dengan cemerlang sekali..! Eh.
-gabbana-
Para pembaca yang terdiri daripada para doktor kerajaan, sila jangan marah. Kalau marah nanti cemas. Bila cemas nanti kena masuk wad kecemasan..! Gagagaga..
12 Caci Maki Puji Muji:
kolej tanah terbiar?..apakah??hahaaha
kolej mata sayu? **KMS oh o0h oh. anyway, emm sabar antara mujahadah yg paling2 dan paling susah, mase berbulatan gembira sering diingatkan dan sering juga mengigatkan, dan setiap kali itu diuji. pernah juga meluahkan rasa hati dgn sahabat2 setiap kali diuji, tapi sahabat yg baik nasihatkan, sebab Allah sygkan hambanya dia diuji, utk memastikan org yg bercakap itu menunaikan ape yg dikatakannya, supaya dimanfaat dan diamalkan. :D alhamdulillah.
selamat bersabar!
pernah mengalami situasi yang sama di hospital kerajaan di negeri lain. diri sendiri yang sakit, sangatlah azab!! lepas 2 jam menunggu dan tak dipanggil2 jugak, akhirnya ambil keputusan utk pergi jumpa ahli farmasi di kedai je. dapat la hilangkan simptom sakit tu, kebetulan minggu depan tu dah spatutnya jumpa doktor (appoinment) utk sakit tu jgk, ape lagi.. mengadu dr A-Z la kat doktor tu.. [naseb baek panjang umur lg buah pinggang aku.. huhu]
Hospital Putrajaya mmg byk kes nyer... bukan en sorg shj diuji kesabaran..masih ramai yang teruji di sana. boleh bg gelaran Hospita Penguji kesabaran
mmg kes kecemasan kat hosp kerajaan dia pentingkan yg wajar je dulu cam exsiden teruk2...ade gak yg pakai sistem tapisan..dia x nmpak pun padahal yg sakit perut tu pun sebenarnya emergency case..sy sendiri pun x setuju ngan sistem, yg sebegini aish,,bersabarla
bukan kerajaan malaysia je yg buat sistem cm tu.. kat ostrolia ni pon cm tu jgk...kwn saya kene gigit anjing, tunggu lama berjam-jam kt emergency dept smpai ngantuk baru dipanggil..
pahala sabar untuk orang yg susah nak sabar pastinya lebih tinggi/banyak dari orang yg mudah untuk sabar ... apa pun, sabarlah dalam melatih kesabaran heh
salam..nk minta penjelasan boleh..ape maksud bersabar dgn kesabaran yg baik? boleh tolong terangkan?..terimakasih..
tadi kan, kite kan, kite kehilangan sabar kite tau. kite kan, kite marah kat GemokManager (GM) kite dalam meeting.
kite pun nak menang jugak. tak aci lah bagi dia je kan. hihihi
apehal si clarky tu? ahaks
sabar sabar.kau ni inche gabbana.aku rasa kau boleh bersabar je,kalau tak dah lama kau gegar kaunter receptionist tu kan.LOL.
mungkin boleh perbaiki lagi tahap kesabaran~ :P
beribiru: uhm, secara jujurnya, saya tak pernah lagi byk tafsir pasal ayat tu.
tp berdasarkan kefahaman sy yg lemah dan limited ni, sabar dgn kesabaran yg baik ni adalah kita bersabar dgn kefahaman islam dan iman.
contohnya, anda kena kutuk kaw2 punya. anda berkata dalam hati anda, 'sabar che mah, sabar. nnt kau tgk la nnt aku balas balik. hari ni hari kau, takpe.. sabar je la.."
ha, tu sabar gak tu kan..? tapi bukan sabar dgn kesabaran yg baik.
kalau anda sabar dgn kesabaran yg baik, anda pasti redha, tidak dikuasai amarah dan mudah memaafkan.
allahu a'lam. moga bermanfaat. ;)
sabar itu pada benturan yg pertama http://hatohato.wordpress.com/2011/03/12/sabar-itu-pada-benturan-pertama/
Post a Comment