15 June 2011

Makan Maggi Dan Sardin Boleh Tahan Lazat Juga

[Kredit]

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Tora datang lagi! Dengan izinNya semalam saya telah selamat pulang ke rumah setelah dua hari satu malam bermukhayyam di Sungai Tekala, Semenyih, tidak jauh dari Bukit Broga yang entah mengapa cukup popular mutakhir ini.

Kepada anda yang tidak biasa dengan perkataan 'mukhayyam' atau berasa alerjik dengan perkataan Arab yang cuba dirojakkan dengan Bahasa Melayu, mukhayyam membawa erti, err, perkhemahan dan aktiviti lasak yang pasti mengeluarkan peluh dan aktiviti ukhuwwah yang sungguh menggembirakan. Lebih kurang begitulah.

Saya selaku Kem Komandan (Ya, sila tenyeh mata anda beberapa kali dan baca semula kenyataan saya ini sekiranya anda sukar untuk mempercayainya. Hakikatnya, percayalah!) untuk mukhayyam ini diamanahkan memastikan segala program dan aktiviti yang telah dirancang dapat berjalan dengan baik dan lancar. Tidak ramai di kalangan para penganjur atau habang-habang yang dapat menyertainya memandangkan mukhayyam ini diadakan pada hari bekerja. Arakian agak besar juga amanah yang saya pikul di bahu.

Mujurlah bilangan peserta juga tidak ramai; dua belas orang tidak termasuk para fasilitator kesemuanya. Pada mulanya, dijangkakan kurang lebih empat puluh peserta yang akan mengikuti mukhayyam ini. Akhirnya hanya dua belas orang sahaja yang dapat mengkomitedkan diri. Dan benarlah perancangan Allah itu adalah sebaik-baik peracangan. Dek bilangan peserta yang kecil, lebih mudahlah kerja saya untuk membuli menjaga mereka dan pada masa yang sama, ukhuwwah yang terjalin antara kami lebih rapat dan mesra. Alhamdulillah.

Memandangkan saya masih teramat penat dan letih daripada mukhayyam itu, maaf saya tidak dapat untuk berkongsi segala-galanya. Insha-Allah saya akan berkongsi beberapa aktiviti atau perkara-perkara yang sumpah menarik yang saya rasa saya patut terjun bangunan kalau tidak dikongsikan bersama anda.

Jam tangan dan henpon para peserta 'disimpan' oleh pihak penganjur bagi memastikan mereka bebas daripada gangguan-gangguan dunia luar di samping tidak terpengaruh dengan jam biologi mereka (i.e. pukul dua kena makan, pukul lima kena buang air dan pukul dua belas kena tidur). Ternyata tindakan ini membuahkan hasil apabila mereka tampaknya benar-benar henjoy dengan segala aktiviti yang telah disediakan untuk mereka. 

Aktiviti merentas hutan yang disediakan agak pendek dan kurang mencabar daripada biasa (walaupun untuk setengah jam yang pertama, agak termengah-mengah juga saya menaiki bukit.. hohoho..). Maka saya terpaksa memikirkan cara untuk memanjangkan sedikit aktiviti kami. Tiga kali kami berhenti sepanjang perjalanan; kali pertama untuk mendegar 'tazdumin' - tazkirah dua minit -, kali kedua untuk bermain permainan Jejak Kasih Si Buta dan kali ketiga untuk mendengar satu lagi tazdumin di samping bermain permainan Si Buta Mengelak Halangan Di Depan Tapi Sungguh Sukar Untuk Mereka Hey! Ok ada unsur-unsur tokok tambah di situ. 

Petangnya selepas Asar selepas bermain Osom Gergasi versi Badang, Puteri dan Harimau (kalau anda tak faham ni sila buat-buat teruja dan sangat-sangat nak tahu permainan apakah ini lantas berusaha mencarinya di Google). Kemudian, setelah berpeluh-peluh ketiak keseronokan, kami masuk ke dalam kawasan sungai dan air terjun untuk melakukan aktiviti Tafakur/Tadabbur Alam. Aktivitinya amat mudah sekali; para peserta tidak dibenarkan bercakap atau membuat apa-apa aktiviti lain melainkan duduk menikmati keindahan ciptaan Allah sambil membaca al-Quran. 

Dan antara aktiviti yang paling tidak boleh dilupakan pada petang itu adalah sesi memasak makan malam. Mereka diberitahu yang akan diadakan pertandingan Siapa Masak Paling Best Walaupon Hanya Ada Maggi Dan Sardin Hoyeaaahh! Dan sesuai dengan usia mereka yang masih muda maka hormon untuk bertanding adalah sangat dominan, mereka begitu bersungguh dalam menyahut cabaran itu. Hasilnya..? Memang cukup mengagumkan! Dengan hanya berbekalkan bahan makanan yang begitu terhad variasinya, mereka telah berjaya menghasilkan hidangan yang sungguh, err, menarik! Malah ada satu kumpulan (ada dua kumpulan je pon... Hohoho..) yang menghasilkan 'susi' sardin yang cukup kreatif..! Fulamaweh!

Inilah antara hidangan yang mereka berjaya sediakan. Ok tipu. Wahaha.. [Kredit]

Dan anda tahu apa yang paling senggama minda dengan pertandingan itu..? Ia bukannya satu pertandingan pon! Wahahaha.. Ia hanya satu gimik bagi memberi mereka semangat untuk memasak dengan penuh bersungguh! Dan sebenarnya ia adalah acara untuk merapatkan lagi ukhuwwah, kerana setelah itu mereka diminta untuk bertukar-tukar hidangan. Dan tiada seorang pon yang merungut atau menunjukkan tanda-tanda kechiwa dengan permintaan itu. Mereka memang terbaik! Mereka semua adalah juara..! Tahniah!

Malamnya, selepas pengisian ringkas oleh seorang akh Super Saiya yang dijemput khas, para peserta diminta untuk tidur... hanya untuk setengah jam kurang lebih, tanpa pengetahuan mereka sudah semestinya. Kerana mereka kemudiannya dikejutkan dengan penuh bergaya oleh Kem Komandan (ohohoho..) untuk bersiap-siaga untuk...BERPERANG..!! Ya, pada malam itu mereka bermain permainan perang bersenjatakan belon air berperisaikan surat khabar Utusan Malaysia. Wahahaha.. 

Seusai permainan perang, bagi meraikan pengorbanan mereka dan ke'kool'an mereka kerana tidak grumpy dan moody dikejut pada tengah-tengah malam (walaupon mereka langsung tidak tahu pukul berapa mereka dikejutkan), telah diadakan pula sesi bbq. Bukan, bukan sesi bakar-membakar yang itu, tetapi sesi bakar-membakar anjing panas (Baca: HOTdog) dan roti pusing. Dan setelah itu, walaupon kepenatan, mereka dihendaki pula berhirasah, yakni berjaga malam sesuai dengan perjalanan dan tema mukhayyam. Dan anda tahu apa yang paling Ultraman sekali..? Mereka langsung tidak merungut apabila diminta untuk berjaga malam, walaupon seharian kepenatan dengan pelbagai aktiviti. Mereka memang sungguh walaweh..!

Tidak susah mencari kayu api, dek kerjasama mantap yang diberikan oleh para peserta! [Kredit]

Esoknya, akibat kepenatan yang melampau, kami (para pengajur) memutuskan untuk memberi mereka berehat sahaja seusai solat Subuh. Malah kami juga menyediakan sarapan pagi untuk mereka supaya mereka tidak perlu bersusah-susah mencari kayu api dan sebagainya pagi itu.

Dan satu-satunya aktiviti utama pada hari itu adalah aktiviti air, acara yang dinanti-nantikan ramai terutamanya pada mereka yang sudah tidak mandi selama tiga hari. *koff koff*

Sebelum bersurai, diadakan juga sesi memberi feedback dan muhasabah bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman, suka dan duka (juga bagi kami untuk menilai setiap peserta.. Hihihi..). Dikongsikan di sini beberapa feedback mereka sepanjang program mukhayyam ini yang sama ada cukup menitiskan air mata jantan atau membakar 'rare' hati-hati yang mendengarnya (versi tokok tambah tolak saya):

"Waktu sesi tafakur alam tu, ana tak boleh nak fokus. Teringin jugak nak rasa keasyikan menghayati keindahan ciptaan Tuhan, tapi tak boleh sebab memikirkan masalah umat. Macam mana nak fokus? Maksiat berlaku terang-terang depan mata!"

"Saya tak plan pon nak datang mukhayyam ni. Tapi saya langsung tak menyesal ah datang. Memang perancangan Allah adalah yang terbaik!"

"Sesi yang paling syahdu adalah time duduk baca quran kat tepi sungai tu. Sayu tengok air sungai mengalir laju. Kan best kalau dosa-dosa kita pon mengalir macam tu. Tapi tak, dosa-dosa kita bertambah-tambah banyak adalah..."

"Bersyukur sangat dapat datang mukhayyam ni. Bersyukur sangat Allah pilih untuk datang. Walaupon dua hari je, tapi manfaat yang dapat sangatlah banyak. Kalau duduk rumah tak taulah apa jadi.."

"Walaupon saya kenal Inche A baru pertama kali, tapi dah rasa macam kenal bertahun-tahun. Kalau orang luar tengok, mesti diorang ingat dah kenal sejak lahir. Itulah ukhuwwah. Tapi saya harap hubungan yang terjalin ni adalah hubungan hati dan tak akan berakhir di sini sahaja.." 

Dan banyak lagi feedback/perkongsian yang menarik yang tak dapat saya kongsikan di sini dek tahap ingatan saya seperti seekor hamster comel. Eh. Tu belum lagi tazdumin mereka yang menghiris nipis-nipis hati saya ini. Mereka memang terbaik. 

Dan pulang dari mukhayyam itu, saya memilih jalan kampung untuk pulang ke rumah. Dan buat pertama kalinya saya melihat keindahan dan keoseman empangan Semenyih. Sungguh osem sumpah tak tipu. Sekarang saya dah tahu di mana nak bawak hadek-hadek berjalan-jalan gembira sambil mencandat sotong kurita. Wahahaha. Gelak keji tapi mulia pada masa yang sama.

Setibanya saya di rumah, saya terbongkang kepenatan. Sehingga saat post ini ditulis, masih terasa kesengalan otot-otot dan tulang sum-sum saya. Mata juga rasa begitu berat. Kalau boleh nak tidur di hadapan komputer ini sekarang juga. Heh. Tapi Aiman tak kisah. Pengalaman dan memori yang saya timba sepanjang mukhayyam itu teramatlah paling super berharga. Tiada galang gantinya. Seperti yang saya beritahu kepada para peserta ketika sesi penutup:

"Sayalah yang patut berterima kasih kepada anda semua. Saya lagi banyak belajar daripada anda. Erti hidup pada memberi; the more you give, the more you will get back. Jadi, terima kasih banyak-banyak kepada anda semua!"

Ya, erti hidup pada memberi. Senyum kepuasan.

-gabbana-

Insha-Allah kalau ada foto-foto menarik sepanjang program, akan saya kongsikan dengan anda semua di lain masa. Aman. 

12 Caci Maki Puji Muji:

budak sekolah 15/06/2011, 15:19  

waaaaa en gabbana amik cuti ke? kalah budak2 skolah, diorang pn dah start skolah dah....

zulaikha 15/06/2011, 16:52  

salam ziarah (:

rindunyer pergi mukhayyam, tambah2 yang dapat meningkatkan sinergi diri agar terus melompat-lompat kegirangan mengenali alam ciptaan Tuhan dengan lebih dekat lagi..

memang soothing kan ble dapat feedback yang begitu memberangsangkan daripada peserta?

memang Allah jua yang mengawal hati masing2 ^^


well,well,well, welcome back, inche gabbana!

budak still on holiday~ :) 15/06/2011, 18:56  

I once heard someone said:
"Dengan mentarbiyah orang lain, kamu sebenarnya tengah mentarbiyah diri sendiri."

Btw ada x post2 before dis yg ckp pasal jaulah? not really jaulah actually, tapi mcm mana nak tarik member yg holiday sama2? apa nak/ boleh buat eh? Ni bukanlah jln2 yg end up pi winter gath tapi jln2 biasa2 je.

Abe Am 16/06/2011, 16:08  

uhuk33x...

"Dek bilangan peserta yang kecil, lebih mudahlah kerja saya untuk membuli mereka.."

takde2. ayat tu baru betol...kih33


tak mandi 3 hari? phewww... sape lar tuh...

paling lawak dan memahat memori, hirasah last sgt2 'comel'...
kih4...

biler pulak nak wat dgn geng2 kolej maha busy, mane tahu buleh join ag...
ihik3

نور توفيقة ادريس 16/06/2011, 18:54  

Lelaki pun ada jugak baca Quran tepi sungai and rasa syahdu..

Lelaki pun main game2 sama..

..Baru tahu..

Inche gabbana 17/06/2011, 14:50  

budak sekolah: harusssla. igt budak sekolah je ke yg boleh bercuti...? kami, golongan kuli dan marhaen perlu juga bercuti tahu...? aman.

Inche gabbana 17/06/2011, 14:51  

zulaikha: apa lyg anda tunggu lagi..? pergi kemas barang2 anda sekarang juga dan terus berlari girang menuju hutan yg terdekat ntok bermukhayyam...!

hoyeeaaahhhh!!! eh.

Inche gabbana 17/06/2011, 14:52  

budak still on holiday~ :): sapa yg cakap tu..? meh sini saya nak jumpa dia lantas menepuk bahu dia sambil berkata, "Syabas beta...!" Wahahaha.. err..

uhm. ada kot. tak sure ah. dah tak mampu nak hengat. hohoho..

Inche gabbana 17/06/2011, 14:53  

abe am: cis am. tgk ah mukhayyam seterusnya, pasti teruk anda saya kerjakan...! muahahaha.. *gelak separuh keji*

iAllah plannya bulan semilan ni. anda dah fly ke blom time tu..?

Inche gabbana 17/06/2011, 14:53  

nur taufiqah idris: ya, untuk pengetahuan anda, ikhwah juga adalah seorang lelaki dan lelaki juga adalah seorang manusia.

peace.

Abe Am 18/06/2011, 02:42  

enggak tahu saya inche bila mara mau anta pegi...
sama ada lepas raya atau sebelom raya...

Inche gabbana 20/06/2011, 15:46  

Abe Am: sebelum raya ah best, baru dapat merasa berpuasa dan beraya di negara org.

dan dapat ah tgk anda menangis bercucuran berpisah ngan family nnt! wakakaka..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP