Alhamdulillah, segala puji bagiNya, yang tak henti-henti dan tak pernah kedekut untuk melimpahkan rahmat dan inayahNya kepada hamba yang marhaen dan hina seperti saya ni.
Wiken yang lepas, sekali lagi Dia telah bermurah hati untuk memberi penghormatan kepada saya untuk mengendalikan Konferens Riang Ketiga untuk hadek-hadek KOLPER bahagian selatan. Entah bagaimana, di saat akhir, saya telah diminta untuk menggantikan mas'ul asal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kiranya bidan terjun jugalah. Uhm, tiada kebetulan di dalam hidup ini en? Senyum.
Dan alhamdulillah, konferens tersebut berakhir dengan jayanya (saya rasalah.. hohoho..) selepas Zuhur semalam. Pulang ke rumah, saya betul-betul rata (Baca: Flat). Memang betul-betul penat..! Tapi sumpah penat itu tiada apa-apa sekiranya hendak dibandingkan dengan pengalaman menguruskan konferens riang tersebut dan melihat respon dan semangat hadek-hadek yang terkesan dengan pengisian-pengisian tarbawi yang disediakan ketika konferens. Belum lagi kira hati yang terhibur dapat berukhuwwah dan melihat wajah-wajah ikhwah! Fulamaweh© (term ini baru sahaja direka, gabungan fulamak dengan walaweh. Hak cipta terpelihara. Wahahaha..), memang masyuk...! ;D
Mana-mana jalan (Baca: Anyway), bukan konferens itu yang hendak saya kongsikan di sini. Di lain sesi mungkin, Insha-Allah. Yang hendak saya cerekakan adalah suatu kejadian yang berlaku pada Jumaat malam Sabtu ketika saya sedang cuba untuk menikmati makan malam saya di sebuah kedai mamak. 'Sedang cuba' kerana saya tersilap memilih makanan dan juga suasana di kedai mamak yang cukup menguji keimanan dan kesabaran.
Ketika itu Akh Amir Syahir yang qawiyy lagi kedabom sedang berkongsi perjalanan hidup tarbiyyahnya bersama hadek-hadek. Saya terpaksa mencuri keluar dek perut yang sudah mula mendendangkan lagu dondang sayang dan lagu rakyat Libya, kerana masih belum makan malam walaupun jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Maka mamak nampaknya adalah pilihan yang paling mudah dan segera kerana terletak hanya kira-kira seratus meter dari tempat program.
Setibanya di sana, peluh mula mengalir laju di dahi dek melihatkan begitu banyaknya manusia di kedai mamak tersebut. Ditambah pula dengan bau tengik dan busuk asap rokok yang memenuhi zon udara kedai mamak tersebut, saya agak ragu-ragu sama ada mahu meneruskan rancangan saya atau pun tidak. Namun dek kasihan pada Inche perut dan ada meja kosong, saya mengambil keputusan untuk duduk sahaja, makan dan beredar dari situ sesegera mungkin.
Saya tidak tahu nak makan apa ketika mamak bertugas datang untuk mengambil pesanan. Akhirnya saya membuat keputusan yang akan saya sesali dengan memesan ikan dan kentang goreng (Baca: Fish & Chips). Sungguh bijak bukan saya, memesan ikan dan kentang goreng di sebuah kedai mamak..? Peluh.
Ketika menunggu pesanan saya untuk sampai, ada dua kejadian yang berlaku. Pertama, ada seorang anak muda (walaupun saya masih muda remaja, tapi saya yakin dia lebih muda daripada saya.. Hohoho..) yang datang duduk di meja saya kerana mahu mengecaj henponnya kerana meja yang saya duduki terletak hampir dengan soket. Sepanjang dia di meja tersebut, tiada sebarang konversasi yang berlaku melainkan "Ada orang dok kat sini tak?" dan saya menjawab "Tak." Sedikit menyesal kerana sekiranya saya memulakan perbualan yang lebih mesra, mana tahu dia mungkin tersentuh? Kan hidayah tu milik Allah? Hhmmm.
Peristiwa yang kedua pula berlaku sejurus selepas ikan dan kentang goreng saya tiba. Seorang wanita Cina yang kelihatan lusuh dan tidak terurus masuk ke dalam kedai mamak untuk meminta sedekah. Badannya kurus, pakaian yang dipakainya kotor dan matanya buta sebelah. Memang brutal. Di dalam hati, saya berdoa agar dia tidak akan singgah di meja saya kerana saya khuatir saya akan tewas dalam ujian yang bakal menimpa.
Dan nampaknya Allah sememangnya mahu saya berhadapan dengan ujian tersebut. Hohoho.. Dia datang kepada saya dan meminta wang dengan alasan mahu membeli makanan. Pada mulanya saya tidak melayan permintaannya (taktik kuno) dengan harapan dia akan beredar dengan segera. Namun terbukti dia adalah seorang wanita yang gigih dan berhati waja. Tanpa berputus-asa, dia terus meminta wang daripada saya.
Saya lantas menawarkan ikan saya kepadanya. Beberapa kali juga saya tawarkan ikan saya kepadanya namun dia menolaknya setiap kali. Siap buat muka lagi! Erk. Katanya, dia mahu membeli nasi dan dengan menunjuk ikan saya, dia berkata,
"Makan ini mana boleh kenyang Inche satu hari."
Dan saya pula, dengan penuh su'udzan (bersangka buruk) terus berkata kepadanya,
"Saya takmau bagi awak duit, nanti awak pergi beli benda lain.."
dengan sangkaan yang wanita Cina tersebut adalah seorang penagih dadah. Astaghfirullah..
"Saya tade mau beli benda lain, mau beli nasi saja. Inche, tolong la inche.."
Astaghfirullah...
Lantas saya membuat keputusan yang kurang bernas untuk tidak melayannya lagi. Saya menebalkan muka, mengeraskan hati dan terus makan seolah-olah wanita Cina itu tidak wujud (agak susah juga kerana penampilannya dan desakannya yang cukup istiqamah menyebabkan saya susah untuk fokus pada ikan dan kentang goreng saya). Ketika ini hati saya cukup berkecamuk, bergelojak. Macam-macam yang saya fikirkan.
"Ya Allah kerasnya hati aku ni.."
"Ish, Nabi pun bagi makan kat orang Yahudi..."
"Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah.."
"Kata ikut tarbiyyah..."
|
Tak kisahlah yang meminta itu berkata benar atau tidak, yang penting kita ikhlas memberi... [Kredit Gambar] |
Setelah beberapa ketika, dia masih tidak berganjak dan terus mendesak saya sayugia saya menawarkannya sekali lagi untuk mengambil sahaja ikan saya. Dan dia menolak sekali lagi. Saya sedikit geram. Fedap. Akhirnya saya nekad untuk tidak melayannya dan tidak mahu memberikannya apa-apa.
"Inche.. Inche.."
Dia terus meminta. Akhirnya dia berkata,
"Inche, sepulo ringgit pun you tak boleh kasi nak beli makan ka...?"
Zaaaasssss walaupun sedikit jengkel kerana dia siap menyatakan jumlah yang diharapkannya daripada saya. Peluh kecil.
"Sudahlah, kalau macam ni you tak payah bagilah..!"
Katanya lagi mengakhiri perbualan kami. Dia beredar dan mencari meja yang lain pula, dengan harapan ada orang yang akan bersimpati terhadapnya. Sekali-sekala mamak-mamak yang ada pergi kepadanya dan cuba menghalaunya pergi. Tetapi terbukti wanita Cina tersebut amat persisten dan berhati Suria Perkasa Hitam.
Timbul perasaan menyesal di dalam hati. Espeseli apabila melihat wanita Cina tersebut ke bahagian nasi kandar, melihat-lihat lauk yang ada. Dia pastinya lapar. Allah... Timbul juga niat untuk mengajaknya duduk dengan saya, dan memesan apa-apa makanan yang disukainya. Tetapi setiap kali saya memandangnya, perasaan tersebut akan terbatal dek wajahnya yang sedikit bengis dan gengster. Hohoho.. Tambahan pula selepas itu dia menolak roti canai (tak silap sayalah..) yang diberikan oleh seorang lelaki Arab, yang juga pelanggan di kedai Mamak tersebut, terus hilang selera saya untuk memanggilnya semula.
Selepas selesai makan, saya segera membuat bayaran dan mahu terus segera ke tempat program semula kerana lama juga saya menunggu pesanan untuk sampai tadi. Saya hampir-hampir sahaja membatalkan pesanan. Timbul sekali lagi niat untuk membelikan wanita Cina tersebut makanan, apabila melihat dia masih berdiri di luar kedai memerhatikan para pelanggan yang ada. Tetapi entah kenapa, niat tersebut tidak direalisasikan. Wah hatiku cukup berbolak-balik!
Kejadian yang berlaku menyebabkan saya bermuhasabah. Terasa diri begitu lemah dan masih jauh dalam tarbiyyah. Ini bukan soal kedekut. Tetapi soal dzan saya yang bermacam terhadap wanita Cina tersebut. Juga soal hati yang keras dan pentingkan diri. Astaghfirullahal adzim... [Tee][Underscore][Tee]
Nampaknya saya gagal dalam ujian tersebut. Failed. Dan pastinya Allah mahu saya belajar sesuatu daripada peristiwa tersebut bukan..? Hhhmmm... Terima kasih ya Allah kerana beri aku ujian tersebut. Maafkan aku ya Allah kerana telah gagal...
Saya sempat memandang wanita Cina tersebut buat kali terakhir sebelum kembali ke tempat program. Dia masih meninjau-ninjau keadaan di dalam kedai, masih berharap ada orang yang akan mengasihaninya agaknya. Tak tahulah sama ada saya akan berjumpa lagi dengannya. Jika ya, saya mahu menebus kesilapan saya..! Insha-Allah...
"Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): 'Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.
Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut'."
[al-Insaan, 76:8-10]
-gabbana-