3 May 2009

Baguih Dok Ado...!!!

Kadang-kadang bila membaca blog orang lain, hati ini terasa begitu kecil. Blog mereka bukan sahaja mempunyai layout yang sangat menarik, malah lebih penting daripada itu, artikel atau karya yang disiarkan dalam blog mereka cukup professional. Seolah-olah mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran semulajadi untuk menyentuh hati orang yang membaca blog mereka.

Dan aku tidak merujuk kepada blog-blog seperti Saiful Islam, Kickdefella atau pun blog Faisal tehrani. Tidak. Mereka sememangnya sangat dikenali dalam dunia blogging ini. Justeru, bukan lagi satu pertikaian blog mereka ini sudah mencapai tahap moksya. Tetapi aku merujuk kepada blog-blog mereka yang seangkatan denganku; mereka yang berkecimpung dalam dunia blog ini sewaktu dan sezaman denganku. Ketika mana blog-blog muncul dengan begitu banyak sekali - bukan sekadar seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, malah seperti virus demam selsema babi a.k.a. virus Influenza A (H1N1) yang merebak dengan kepantasan yang begitu dahsyat sekali.

Bukan semua yang boleh bertahan dalam dunia blog ini. Ramai yang syahid berbanding yang bertahan. Malah ramai juga yang hanya mampu untuk menghasilkan 2-3 post sebelum terkorban dalam perjuangan ini. Aku sebenarnya kagum dan tabik kepada mereka yang bukan setakat bertahan dalam dunia blog ini, malah terus menghasilkan karya dan artikel yang bermutu untuk tatapan ramai. Besar pahala mereka seandainya artikel yang mereka paparkan di blog milik mereka mempunyai nilai-nilai murni, mengajak masyarakat untuk berfikir dan bertindak secara rasional. Apatah lagi artikel-artikel keagamaan, yang memuatkan ayat-ayat al-Quran dan hadith, nasihat-nasihat yang mempunyai ruhnya yang tersendiri, membacanya sahaja sudah pasti akan menambah nilai akaun pahala milik si penulis. Kalau diamalkan, ha, berlipatkali gandalah pahala yang akan didebitkan ke dalam akaun penulis. Kadar faedahnya bukan lagi tahunan, bukan juga bulanan, malah harian hatta minit dan saat! Amanah Saham Bumiputra pun tidak dapat nak menandingi pelaburan melalui penulisan blog ini! Subhanalllah...



Maka, setelah membicarakan soal penulisan yang berpengaruh, penulis blog sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang lebih daripada sekadar mengemaskini blog miliknya. Dia harus bertanggungjawab dalam menulis artikel dan sebarang karya yang hendak dipaparkan di dalam blognya. Dia perlu
sedar bahawa blognya dipasarkan di alam maya, sebuah alam tanpa sempadan mahupun batasan. Sesiapa sahaja boleh membaca dan menilai hasil penulisannya. Walaupun penulis blog boleh mengehadkan siapakah pembaca yang dibenarkan mengakses blognya, persoalan utama mash kekal tidak berubah - ada orang di luar sana yang membaca karya penulisan anda!

Penulis blog harus sedar dan faham bahawa penulisannya mungkin akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku para pembacanya. Terutamanya mereka yang setia mengikuti blognya. Di sinilah seorang penulis blog wajib memainkan peranannya sebagai seorang yang bermoral, yang berakhlak, untuk tidak mengambil kesempatan atas peluang ini. Bukan semua orang boleh menulis dengan berkesan, maka kepada mereka yang mempunyai kelebihan ini, gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin.




Bayangkan sekiranya anda menulis tentang suatu isu dan secara berjenaka, mengesyorkan agar tindakan dan gerak kerja tertentu diaplikasikan. Bayangkan pula segelintir pembaca yang setia mengikuti blog anda terkesan apabila membaca penulisan tersebut dan terus bersetuju dengan syor yang dicadangkan lantas segera bertindak, tanpa menyedari anda sebenarnya tidak serius. Bukankah buruk akibatnya? Dan bercakap tentang soal berdakwah melalui blog, seorang penulis sewajarnya menulis berdasarkan sumber-sumber yang sahih lagi boleh dipercayai, tidak terburu-buru dalam berbahas tentang sesuatu isu. Jika tidak, bukan saham pahala yang berkembang biak, tetapi saham dosa...! Astaghfirullah... Jangan jadi seperti mereka ini, yang kononnya hendak berjenaka dan mempermainkan agama, tetapi akibatnya telah mencipta agama yang baru! Bertuhankan The Flying Spaghetti Monster... Ish ish ish, tak ke bahlul namanya tu...?

Kesimpulannya? Mudah. Teruskan menulis. Teruskan perjuangan melalui pena moden ini. Tetapi jadilah seorang penulis yang bijak dan penuh dengan rasa tanggungjawab kepada ummah ini. Jangan jadi penulis picisan; tidak bermoral dan hanya tahu mengambil kesempatan. Menulis, menulis juga, tetapi baguih dok ado...!

-gabbana-

7 Caci Maki Puji Muji:

Musafir Kelana 03/05/2009, 07:30  

Mengehadkan bukan menghadkan.

Bagi perkataan satu suku kata seperi sah, had, pin, bom dll, apabila apitan atau awal meN- disisip pada perkataan itu, akan berlaku perubahan struktur imbuhan.

sah >> mengesahkan
had >> mengehadkan
pin >> mengepin
bom >> mengebom

Sekian...

Ustazah Sopiah Hanum

Inche gabbana 03/05/2009, 07:34  

terima kasih ustazah!

-lebai kulop seman-

faisalzulkifli 03/05/2009, 09:23  

all da best exam boss...lama x dgr citer..sorile, ak gagal memanfaatkan masa dgn bijak..so akhirnya kelam kabut di saat akhir..doakan aku tidak tumbang yeh kawan..jzkk

Amri Rahamat 03/05/2009, 14:52  

Kesian kepada pengikut agama spaghetti.

-DM- 03/05/2009, 15:12  

tu la..tak pernah tau pun pasal kewujudan agama spageti nih..baca blog nih baru tau..ish2..
Pelik bebenar la manusia zaman skang nih..

Inche gabbana 03/05/2009, 16:28  

cha: all the best to u too, sir..! ;) IAllah, aku doakan sumenye selamat ntok ko! ble balik mesia?

amri: mmg kesian. kesian dengan kebodohan dan kejahilan mereka!

DM: Pelik tetapi benar. Believe it or NOT!

Anonymous 04/05/2009, 00:24  

Nak aje aku sekeh kepale pakcik spaghetti tu...eiii.

Ya Allah, hinanye agama spaghetti tu. Meat ball, spaghetti...ish..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP