11 February 2016

Titik Tolak

[Kredit]

Masih ingatkah kita pada saat pertama kita tersentuh dengan tarbiyah dahulu?

Masih ingatkah kita pada detik-detik sewaktu hidung kita kembang-kepis, penuh bersemangat untuk memperjuangan deenul haq ini?

Masih ingatkah kita pada waktu-waktu jiwa kita penuh membara melaungkan "Allahu ghayatuna!" dan "Ar-Rasul qudwatuna!" dan berazam mahu sehidup semati dengan dakwah ini?

Masih ingatkah kita pada momen-momen manis dan basah kita berukhuwwah fillah di atas jalan ini dan merasakan tiada  yang lebih indah daripada itu?

Masih ingatkah kita pada titik-titik tolak kita di atas jalan para pejuang ini yang benar-benar membakar hamasah kita untuk menang atau syahid?

Masih ingatkah kita? 

Nah, ke manakah perginya saat-saat itu? Ke manakah hilangnya momen-momen itu? Ke manakah lesapnya detik-detik itu??

Ke mana..??

Hari ini kita mentarbiyah dan berdakwah tanpa punya halatuju. Kita tidak lagi tahu mengapa kita berbuat itu semua.

Hari ini kita berbulatan gembira kerana rasa terpaksa; tidak mahu mengecilkan hati sesiapa atau tidak mahu dipandang hina.

Hari ini apabila kita bercakap tentang fikrah, tentang dakwah, ibaratnya seperti membaca skrip sahaja; kita sendiri tidak pasti tentang apa yang keluar dari mulut kita.

Hari ini kita bersama-sama dengan jemaah Islam hanya ikut-ikutan, kita sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diperjuangkan.

Hari ini kita tidak lagi berani bersuara atau menyuarakan pendapat, kerana tidak mahu dilabel sebagai derhaka atau tidak taat.

Apa sudah jadi??

Dahulu kita adalah manusia yang tidak tahu apa-apa, jahil dan hampir-hampir tersadung masuk ke dalam jurang neraka. Hari ini kita mengejek, mencebik dan mencerca orang-orang jahil di luar sana.

Dahulu kita terkapai-kapai hampir lemas di dalam maksiat, hampir mati dengan dosa dan noda, sehinggalah kita diselamatkan oleh tangan-tangan mulia yang kasihan akan kita. Hari ini kita tak rasa apa-apa membiarkan ramai orang di luar sana yang terus hanyut di dalam banjir kemungkaran, tidak ada langsung rasa simpati pada mereka. 

Dahulu kita seringkali mengadu betapa keringnya diri kita tanpa tarbiyah, betapa tandusnya kita tanpa dakwah. Hari ini kita rasa selesa tidak mentarbiyah dan rasa bahagia apabila tidak perlu berdakwah.

Dahulu kita amat benci dan tidak suka apabila dihakimi (Baca: Judge) tanpa mengenal siapa diri kita yang sebenarnya, kerana kita merasakan itu sangat tidak adil dan tidak beradab. Hari ini kita amat mudah menghakimi orang lain hanya kerana dia tidak sekepala atau sealiran dengan kita. 

Dahulu kita amat tersentuh dengan ukhuwwah di atas jalan ini sehinggakan ukhuwwah itulah yang meneguh dan menguatkan kita di atas jalan perjuangan ini. Hari ini ukhuwwah itu hilang entah ke mana, tidak punya lagi makna; kita tidak bertegur-sapa, tidak mahu bertanya khabar hatta sampai sanggup mencerca, mengumpat dan mengata ikhwah akhawat yang pernah kita kasihi suatu ketika dahulu.

Nanges laju-laju. 

Kenangkan semula titik-tolak yang pernah menghidupkan jiwa-jiwa kita yang mati.

Imbau semula titik-tolak yang pernah membakar semangat kita yang sudah lama pudar.

Cari semula titik-tolak yang pernah memberi makna kepada kehidupan kita.

Kembalikan titik-tolak yang pernah menyelamatkan kita dari jurang api neraka.

Dan hidupkan semula titik-tolak yang pernah menjadikan kita seorang perwira di atas jala ini.

Moga ia menjadi titik-tolak yang baru buat kita, untuk terus kekal istiqamah dan bersemangat di atas jalan ini!

Moga-moga!

-gabbana-

Saya rasa saya perlu meminta maaf kepada anda semua untuk belog yang telah lama berhabuk ini. Sungguh saya rindukan masa-masa saya begitu aktif menulis dan berkongsi di belog ini dahulu.

Namun saya ada berita baik untuk anda. Kurangnya saya menulis di belog ini kerana, ehem, saya sedang memberikan fokus kepada buku baharu saya yang bakal terbit tidak lama lagi.

Silalah berasa teruja! Eheh.
 

2 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 11/02/2016, 22:31  

Alhamdullilah. Post baru! :) dah lama menanti

Cik Ebba 12/02/2016, 01:03  

tajuk apakah inche gabbana ? okey nanti cari buku nie

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP