20 February 2016

Tarbiyah Itu Luar Biasa

[Kredit]

Saya yakin, setiap orang yang membaca post ini, pasti pernah berjumpa dengan orang yang berubah dari kegelapan kepada cahaya, dari tak pernah solat kepada tak pernah langsung miss solat berjemaah dan dari tak tutup aurat kepada pakai tudung labuh DBKL menyapu lantai. Eh. Senang kata, orang yang berhijrah lah. 

Sekurang-kurangnya seorang. Betul kan?

Nah, apa perasaan kita apabila melihat geng hijrah ini? Apa reaksi kita? 

Kagum? Takjub? Ternganga? Terkedu? Rasa macam nak lari keliling kawasan perumahan sampai menjerit tidak percaya?  

Malah saya sendiri pernah menulis sebuah post khas tentang hijrah Mizz Nina yang cukup epik itu. Sumpah lejen! 

Saya juga yakin, 'orang-orang tarbiyah' amat faham terkesan dengan hal ini. Sama ada melihat perubahan pada diri sendiri atau paling tidak, melihat perubahan yang berlaku pada ikhwah dan akhawat yang lainnya. 

Melihat Akh Marlboro yang dahulunya perokok tegar tetapi kini setiap kali melihat kotak rokok dia akan mengurut dada sambil beristighfar.

Atau menyaksikan Ukhti Marylin Monrose yang dahulunya bertukar-tukar kapel setiap sebulan sekali tetapi kini amat menjaga ikhtilat dengan lelaki.

Atau melihat Akh John Lennong yang amat lagha dalam berhibur tetapi kini zikrullah basah di bibir dan al-Quran amat dekat di hati.

Atau menyaksikan Ukhti Madunnah yang dahulunya amat kuat bergossip dan mengadu-domba tetapi kini amat menjaga tutur kata dan perilakunya.

Atau melihat sendiri Akh Berek Odama yang dahulunya amat kuat menganjing orang ini dan melabel orang itu tetapi kini amat suka menjalinkan silaturrahim dan sangat menjaga ukhuwwah. 

Begitulah tarbiyah telah mengubah kita, sehinggakan perubahan pada diri kita atau ikhwah akhawat yang kita kenali itu seringkali membuatkan orang lain berasa takjub dan terpesona.

"Demikianlah sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Taurat dan sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Injil, iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya; tanaman itu mempesonakan hati penanam-penanamnya..."
[Al-Fath, 48:29]

Orang-orang mu'min itu, seperti yang disebut dalam ayat duapuluhsembilan surah al-Fath, diibaratkan seperti biji benih yang baik yang tumbuh membesar menjadi pokok yang tinggi dan kuat. Dan pokok yang hebat ini mempesonakan hati dan mengujakan perasaan orang-orang yang melihatnya. 

Menyenangkan hati Puan Mak dan Inche Bapak yang melihat kita yang dahulunya tak pernah solat tetapi kini berkejar-kejaran untuk ke mesejid setiap kali masuk waktu solat.

Mengujakan hati cikgu-cikgi kita yang melihat kita yang dahulunya samseng sekolah dan tiada masa hadapan tetapi kini boleh memberi ceramah motivasi di sekolah dan menjadi idola kepada para pelajar sedia ada.

Mempesonakan hati jiran tetangga kita yang melihat kita yang dahulunya langsung tidak pernah bertegur sapa dengan mereka dan sering mengacau anak dara mereka tetapi kini amat mesra dengan mereka dan berakhlak mulia sehingga mereka pula yang teringin nak menjadikan kita sebagai menantu mereka. Eh. 

Mengagumkan hati kenalan dan taulan kita yang melihat kita yang dahulunya suka merepek dan mengarut bila berkata-kata tetapi kini bukan sahaja bijak berbicara tapi penuh berisi dan basah bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Demikianlah tarbiyah telah mengubah kita. 

Dan selayaknya memang begitulah tarbiyah. Ia bukan hanya mengubah kita dari seekor raksasan menjadi saorang otromen, bukan hanya menjadikan kita dari tidak tahu baca Quran kepada johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau bukan hanya dari pakai jeans koyak-rabak kepada memakai jubah dan serban. 

Tetapi ia mengeluarkan potensi yang tersembunyi di dalam diri kita. Ia mengasah bakat-bakat yang kita ada agar ia bermanfaat kepada ummah seluruhnya. Ia mengubah kita manusia-manusia yang lalai dan amat jauh dariNya kepada manusia yang berjiwa hamba yang mulia.

Ia mengejutkan gergasi yang sedang tidur nyenyak di dalam diri kita! 

"Masyarakat dapat melihat seorang Ikhwan berada di mihrabnya dengan penuh khusyu', bermunajat, menanges dan merendahkan dirinya. Namun tidak lama kemudian orang yang sama berubah menjadi seorang yang memberi nasihat dan pengajaran yang mengetuk pintu hati dengan bimbingan-bimbingannya. Tidak lama kemudian anda lihat orang yang sama berubah menjadi ahli sukan yang cergas sedang menendang bola atau sedang berlari atau berenang. Tidak lama kemudian orang yang sama berada di kedainya atau bengkelnya menjalankan urus niaga dengan amanah dan ikhlas. Masyarakat mungkin melihatsemua keadaan ini tiada kaitan antara satu sama lain. Jika mereka tahu semua ini wujud daialm Islam dan diperintahkan oleh Islam malah digalakkan oleh Islam, sudah tentu mereka dapat merasakan hubungan semua ini. Walaupun berfahaman syumul namun Ikhwan akan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan mereka dikritik atau dicemuh." - Imam Hasan al-Banna, Risalah Muktamar Kelima

Itulah yang kita mahukan dari setiap al-akh dan al-ukht yang faham, ikhlas dalam beramal, kuat mujahadahnya dan besar pula pengorbanannya. 

Kerana tarbiyah itu mengeluarkan potensi, bukan menyembunyikan apatah lagi menguburkannya.

Kerana tarbiyah itu menajamkan bakat, bukan menumpulkannya.

Kerana tarbiyah itu meninggikan akhlak, bukan merendahkannya.

Kerana tarbiyah itu memperbaiki diri, bukan merosakkannya.

Kerana tarbiyah itu membuka minda, bukan menutup rapatnya.

Kerana tarbiyah itu menambahkan ilmu, bukan mengurangkannya.

Dan kerana tarbiyah untuk menghidupkan jiwa, bukan mematikannya.

Sungguh, tarbiyah itu benar-benar luar biasa!

Senyum. 

-gabbana- 
 

14 February 2016

Kita Ada Tuhan; Apa Yang Kita Nak Takutkan?

[Kredit]

Saya kira, kita yang kononnya bergelar dua't ilallah di Malaysia ini, tidak mungkin dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang dirasakan oleh para sahabat Nabi SAW sewaktu ketika dahulu. Kerana kebanyakan daripada kita ialah dua't yang gemok, pemalas, lebih suka goyang kaki di atas sofa sambil menikmati popkon perisa karamel masin, culas dalama bekerja dan lebih gemar memberikan alasan dalam setiap perkara. 

Dah macam mana musuh nak rasa terancam dengan dakwah kita? Bagaimana seruan dan risalah yang kita bawa nak goncangkan kekuatan pihak musuh Islam? Macam mana kita semua nak kena tangkap, dihumban masuk ke dalam penjara dan diseksa oleh musuh-musuh Allah? Malah mereka amat seronok dan berterima kasih dengan kita semua; kerana kita amat malas dan gemok menyebarkan risalah al-haq dan menegakkan kebenaran! Mereka sedikit pun tidak takut atau gerun dengan dakwah yang kita bawa!

Alahai!

Oooppsss. Maaflah saya terlalu jujur dalam berkata-kata. 

Jika ada pon para pejuang agama Allah yang merasakan asam garam perjuangan di atas jalan yang sumpah panjang ini, mungkinlah mereka itu di Palestin, Syria atau Mesir. Memang ada kita dengar, mereka ini diburu oleh pihak berkuasa, dicampak masuk ke dalam penjara dan diseksa dengan begitu zalim sehingga ada yang menemukan ajal di dalam sel penjara mereka.

Hanya kerana mereka mahu menegakkan kalimah 'Lailaha illallah' dan hak-hak yang datang bersama-sama dengannya. 

Tarik nafas dalam-dalam. 

Namun begitu, tidaklah saya menidakkan usaha-usaha tarbiyah dan dakwah di Malaysia ini. InshaAllah, saya percaya, di luar sana, sehinggalah kalam ini ditulis, masih ramai yang ikhlas dalam beramal dan bersungguh dalam menyebarkan kebaikan. Dan nau'dzubillah, tidaklah pula saya meminta agar para dua't (termasuk saya biidznillah!) ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Cuma itulah, sekiranya kita menelusuri seerah para sahabat dan menghayati kisah-kisah para pejuang jantan lagi tulen di atas jalan ini, kita akan dapati memang itulah sunnahnya; dibenci oleh musuh dengan kebencian tahap Mahadewa Kaiou. Eh. 

Seperti kata Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah 'Antara Semalam Dan Hari Ini':

"Saya ingin jelaskan kepada kalian bahawa dakwah kalian ini masih belum dikenali ramai. Apabila tiba masanya ketika mereka mengenali dan memahami tujuan dan matlamat dakwah ini, dakwah ini akan ditentang dan dimusuhi dengan hebat. Kalian akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Pelbagai rintangan akan menghalang jalan kalian. Pada ketika itu barulah kalian melalui jalan para pendokong dakwah. Kini kalian masih belum dikenali. Kalian baru melangkah ke arah dakwah. Kalian masih mempersiapkan diri untuk sedia berjuang dan berjhad.

Kejahilan masyarakat tentang Islam yagn sebenar akan menjadi halangan sepanjang jalan kalian. Kalian akan berhadapan dengan beberapa tokoh agama dan beberapa ulama' tradisi. Mereka akan menolak fahaman kalian tentang Islam dan jihad kalian untuk Islam. Para pembesar, pemimpi dan mereka yang berkuasa akan irihati dengan kalian. Semua kerajaan akan menghalang jalan kalian. Setiap kerajaan akan menyekat kegiatan kalian dan mereka akan mewujudkan pelbagai sekatan seppanjang jalan kalian. 

Mereka akan bekerjasama menggunakan apa sahaja cara untuk menghapuskan kalian dan melenyapkan sinar dakwah kalian. Mereka akan mempergunakan segala kerajaan yang lemah, golongan yang berakhlak buruk, golongan yang pada satu masa menghulur tangan mengharapkan bantuan mereka dan dalam masa yang lain menghulur tangan menindas dan memusuhi kalian. Semua pihak akan menimbulkan wasangka dan fitnah kepada dakwah kalian. Mereka akan cuba memburuk-burukkan dakwah ini. Mereka akan memaparkan dakwah ini kepada orang ramai dalam bentuk yang amat buruk. Mereka akan menggunakan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada mereka. Mereka akan bertindak menggunakan segala harta dan kuasa yang mereka miliki. 

Sudah tentu kalian terpaksa melalui era ujian dan cubaan. Kalian akan dipenjara dan ditangkap. Kalian akan dihalau dan diusir. Segala harta kalian akan dirampas. Kalian akan dipecat dan rumah kalian akan digeledah. Mungkin ujian ini akan berlaku dalam tempoh yang lama."

Peh. 

Itu pun, di sebalik aman-damai dan keselesaan berdakwah di Malaysia ini, kita masih lagi ada perasaan takut-takut untuk menyatakan kebenaran, untuk all-out dalam melaksanakan syahadaul haq, untuk bersungguh-sungguh berjihad mencegah kemungkaran.

Takut pada apa? 

Takut pada pihak universiti yang mungkin akan menghentikan pembelajaran kita. Takut pada pihak PTPTN yang mungkin akan memotong elaun bulanan. Takut pada mak bapak yang mungkin akan marah dan putuskan hubungan. Takut pada pakgad yang mungkin akan lari berganti-ganti mengejar kita. Takut pada rakan-rakan sekuliah yang mungkin akan memberikan jelingan maut kepada kita.

Segala macam kemungkinan!  

Alahai sekali lagi!

Marilah kita mengambil ibrah dan motivasi daripada kisah Nabi Musa AS. 

Di sebalik kekuasaan dan kekuatan yang ada pada Firaun, di sebalik pengaruh dan kedudukan yang ada padanya dan di sebalik arahan dan perintahnya agar semua anak lelaki bani Israil dibunuh, Allah masih menyelamatkan Musa AS. Malah seolah-olah seperti mahu 'menganjing' Firaun, Musa bukan sekadar diselamatkan malah dibesarkan di istana Firaun sendiri!

Siapa sangka, peristiwa yang amat Firaun takuti akhirnya berlaku di hadapan matanya sendiri. Anak lelaki bani Israil yang diramalkan akan menghancurkan kerajaan Firaun, rupa-rupanya ialah Musa yang diberi makan dan perlindungan oleh Firaun sendiri! Walaweh! 

"Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan Kami teguhkan kedudukan mereka di bumi dan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama bala tenteranya apa yang selalu mereka takutkan dari mereka.
[Al-Qasas, 28:5-6]

Ibrahnya di sini, sehebat mana pon ancaman musuh, sebesar mana pon marabahaya yang ada dan seganas mana pon penentangan taghut, ketahuilah, sekiranya Allah bersama-sama dengan kita, tiada apa yang perlu kita takutkan. Apabila Allah yang menjadi Pelindung dan Penyelamat kita, sungguh, tiada apa pon yang mampu untuk mengganggu-gugat kita. Dan jika Allah yang menjadi tempat kita bergantung, hati kita akan kuat sekuat besi dan tenang setenang air tasik Chini. Ewah

Seperti Bilal bin Rabah r.a. yang terus utuh dan lantang dengan kalimah "Ahadun ahad!", meski disalai di tengah padang pasir yang membakar.

Seperti Khubaib al-Ady r.a. yang tidak berganjak walau sedikit, meskipon disalib dan dilapah dagingnya hidup-hidup.

Seperti Abdullah bin Hudzafah as-Sahmi r.a. yang tidak tergugat walau seinci, meski diperlihatkan di hadapannya satu-persatu sahabatnya dicampakkan ke dalam kawah berisi minyak panas yang menggelegak. 

Dan yakinlah, apabila kita ikhlas membuat kerja-kerja dakwah, bersungguh-sungguh beramal untuk menyebarkan kebaikan dan berkorban masa, tenaga, harta dan jiwa demi agama-Nya, Allah itu sentiasa ada bersama-sama dengan kita. Allah sentiasa ada melindungi kita!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47:7]   

Harapannya, bila tiba masanya nanti dakwah kita sudah benar-benar hebat, tarbiyah kita sudah benar-benar mengesani jiwa masyakarat, amal-amal kita sudah mula menggangu-gugat musuh dan taghut yang bersepakat, ketika itu kita sudah benar-benar berani. Diugut dengan penangkapan? Bring it on! Diancam dengan penjara? Say what? Diprovok dengan seksaan dan pembunuhan? Hei, aku anak jantan lah!

"Dai'e Islam sebenar, akan sentiasa bekerja walau di mana pon dia berada dan ke mana pon dia diusir. Dia langsung tidak rindu dan teringat kepada mana-mana tanah. Dia tidak sempit seperti orang lain dengan batas sempadan yang diada-adakan oleh penjajah. Dia merasai seluruh umat Islam adalah saudaranya. Jika dia tidak mengembara berjalan kerana dakwah, kemungkinan pada masa itu disebabkan kerana dipenjara. Maka penjara pada masa itu adalah pengembaraan rohani dan pemikirannya. Hinggakan apabila dia digantung, maka rentapan tali gantung itu sebenarnya mengangkatnya ke tempat yang mulia dan indah di dalam sorga." - Muntalaq, Kriteria Generasi Taasis

Bila hati kita sudah teguh, apa lagi yang kita nak takutkan?

Bila jiwa kita sudah utuh, apa lagi yang kita nak risaukan? 

Bila ruh kita sudah kuat dan jitu, apa lagi yang kita nak gerunkan 

Yakinlah dengan perancangan Allah. Yakinlah dengan perlindungan Allah untuk orang-orang beriman. Yakinlah dengan janji-janji Allah bahawa Islam pasti akan menang!

Nah sila beritahu saya.

Bila kita ada Tuhan di hati, apa yang kita nak takutkan lagi?

Senyum.

-gabbana-       

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP