14 August 2015

Projek Pembodohan Firaun

[Kredit]

Ada sebab yang sangat signifikan mengapa Allah SWT menjadikan mayat Firaun tidak hilang terus ditenggelami Laut Merah atau dimakan ikan jerung atau dimamah sotong kurita gergasi. 

Allah SWT merakamkan hal ini di dalam al-Quran: 

"Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu (Firaun) agar engkau dapat menjadi pelajaran kepada orang-orang yang datang setelahmu..."
[Yunus, 10:92]

Kisah pertembungan epik antara Nabi Musa AS dengan Firaun adalah kisah yang paling banyak diulang-tayang di dalam al-Quran. Selain membekalkan para dua't hari ini dengan pengajaran fiqh dakwah yang tidak ternilai harganya dalam berhadapan mad'u yang bengis dan tidak berhati perut seperti Firaun, catatan demi catatan di dalam al-Quran yang mengisahkan tentang Firaun juga memberi kita maklumat yang berguna tentang aspek siyasah (politik) dan kenegaraan. 

Bagaimana? 

Firaun merupakan seorang diktator zalim yang mempunyai kuasa mutlak dalam memerintah rakyat dan negaranya. Kekuasaan Firaun telah menyebabkan dirinya angkuh sehingga tergamak mengaku dirinya sebagai Tuhan. Hal ini dirakamkan di dalam al-Quran:

"Kemudian dia (Firaun) mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru (memanggil kaumnya), (seraya) berkata, 'Akulah Tuhanmu yang paling tinggi.'"
[an-Nazi'at, 79:23-24]

Geleng kepala. 

Namun Firaun tidak mungkin akan mampu untuk menjadi sebegitu angkuh dan berkuasa sekiranya tidak mendapat dokongan dan sokongan daripada rakyat jelatanya sendiri. Firaun hanyalah seorang manusia biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan luar biasa sekiranya mahu dibandingkan dengan sesiapa di zamannya. Dia tidak boleh terbang, tidak boleh berjalan di atas air dan hatta dengan kuasa bulan sekalipon, dia tidak boleh mengeluarkan api dari tangannya.

Namun oleh sebab dia punya penyokongnya yang tersendiri, ditambah pula dengan tiada kebangkitan rakyat untuk menumbangkannya (setahu saya), Firaun terus kekal berkuasa dengan angkuhnya. 

Tetapi ia tidaklah semudah itu. Nampak macam makan cendol jagung sahaja apabila saya berbicara tentangnya. Namun hakikatnya, ia lebih kompleks dan rumit daripada itu.

Firaun bukan saorang raja yang bodoh lagi dungu. Malah dia ialah saorang penguasa yang amat licik dan bijak. Jika tidak, masakah dia dapat berkuasa untuk tempoh yang begitu lama?

Oleh sebab itu, Firaun menggunakan pelbagai taktik untuk memperdayakan rakyatnya. Dia juga menggunakan pelbagai wahana untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penguasa yang berkuasa mutlak.

Hal ini diperakukan kalam suciNya:
"Lalu Firaun memperbodoh (menyesatkan) kaumnya, lalu mereka mengikutnya. Kerana mereka itu memang kaum yang fasiq."
[az-Zukhruf, 43:54]

Juga tawaran-tawaran lumayan yang diberikan Firaun kepada para pembesar dan pegawai-pegawainya untuk merasuah mereka agar terus kekal setia kepadanya.

"Maka ketika para penyihir datang, mereka berkata kepada Firaun, 'Apakah kami benar-benar akan mendapat imbalan yang besar jika kami menang?'

Dia (Firaun) menjawab, 'Ya, dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat (kepadaku).'"
[asy-Syu'araa, 26:41-42]

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyebut di dalam surah Az-Zukhruf seperti di atas, bagaimana rakyat Firaun secara sukarela akur dan turut kepada projek pembodohan raja mereka itu. Mengapa? kerana "...mereka itu memang kaum yang fasiq"

Menyedari hal ini, Firaun melakukan apa sahaja untuk memastikan rakyatnya kekal fasiq. Meskipon tidak disebut di dalam al-Quran atau mana-mana hadith (setahu saya) secara jelas tentang teknik yang digunakan Firaun, dapatlah kita fahami antara strategi yang digunakannya termasuklah menyediakan hiburan yang melampau dan memberi kemewahan kepada sesiapa sahaja yang setia kepadanya.

"Inilah tafsir yang betul terhadap sejarah. Hanya orang-orang yang fasiq sahaja yang boleh diperdayakan oleh Firaun (lama atau moden). Orang yang beriman kepada Allah tidak akan dapat diperbodohkan oleh taghut dan tidak akan taat kepada perintah taghut," kata Sayyid Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran. Sambungnya lagi, "Begitulah, musuh-musuh Islam telah tahu bahagian penting yang telah diperkenalkan oleh Firaun. Mereka saling merancang untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam dalam lumpur seks, keji dan maksiat. Menjadikan masyarakat sentiasa sibuk dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akhirnya mereka menjadi penat dan letih dengan perut dan seks dan tiada masa lagi untuk mendengar nasihat atau petunjuk dan kembali kepada agama."

Innalillahi wainnailaihi raji'un. Geleng kepala.

Pada hari ini, kita cukup bertuah kerana dapat melihat legasi Firaun ini diteruskan. 

Jatuh kerusi.

Ya benar. Apa anda tidak percaya? Lihatlah sekeliling anda! Apa anda buta??

Lihat sahaja bagaimana pemerintah zalim di mana-mana sahaja bahagian di dunia ini memperbodohkan dan memperdayakan rakyat mereka! 

Mereka lambakkan hiburan-hiburan percuma kepada rakyat mereka. Mereka penuhkan televisyen-televisyen dengan program-program lawak jenaka yang tidak bermanfaat. Mereka sibukkan rakyat dengan pekerjaan-pekerjaan yang menyedut habis sisa-sisa masa yang mereka ada. Mereka tekan rakyat sebegitu dahsyat sehingga rakyat tidak punya hal lain melainkan mahu mencari sesuap nasi semata. Mereka ikat dan belenggu rakyat dengan pelbagai perjanjian, akta dan undang-undang sehingga rakyat menjadi takut dan kecut untuk bangkit bertindak.

Nah, sekarang bunyinya familiar bukan?

"Itulah cara dan taktik mereka," ujar Syaikh Ahmad Rasyid di dalam Muntalaq. "Taktik-taktik kotor, memerangi masjid dengan ballroom, menggantikan isteri-isteri dengan pelacur-pelacur, menyerang akidah menggunakan professor-professor ‘free-thinker’ dan menewaskan seni wira dengan seni hedonisme. Melalui pendidikan ini, mereka telah berjaya mengubah helang rajawali menjadi burung puyuh sebagaimana yang dikatakan oleh Iqbal."

Punyalah hebat perancangan penguasa dan konco-konco mereka yang zalim ini, sehinggakan orang-orang baik juga terbelenggu sama. Mereka juga terjelepok, tidak mampu berbuat apa-apa. Para pemerintah ini akan memastikan agar golongan yang fasiq sahaja akan terus berkuasa. 

Mengapa? 

"Apabila si zalim atau fasik berkuasa, mereka akan melantik orang yang jahat dan fasik seperti mereka juga untuk mengurus apa-apa urusan. Mana-mana si fasiq tak dapat tidak adalah tawanan nafsu dan dah tertutup hatinya. Mereka hidup lalai dan tidak berfikir pun untuk kebaikan bangsa dan negara mereka."

Mereka juga bekerja untuk kepentingan peribadi mereka. Bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan berpotensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa. Tinggallah urusan pentadbiran umat dipegang oleh mereka yang jahil dan berkepentingan. Hasilnya tersebarlah gejala keruntuhan masyarakat yang akhirnya membawa kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu." - Syaikh Ahmad Rasyid, Golongan Baik Yang Dibinasakan, al-Muntalaq

Apa jaminannya perkara sebegini tidak akan berulang lagi kepada anak-anak muda Muslim kita? Allah Allah!

Dahulunya saya sering tertanya-tanya, mengapa susah benar orang baik (Baca: Islamik) untuk naik menjadi pemerintah? Bukankah mereka ikhlas memperjuangkan nasib rakyat? Bukankah mereka tidak ada agenda tersembunyi dan bersungguh-sungguh mengorbankan diri demi rakyat? Bukankah apa yang mereka perjuangkan akan membawa kebaikan yang hebat dan menyeluruh kepada semua? Tetapi kenapa mereka sering ditolak? Bukan oleh orang lain tetapi oleh masyarakat sekeliling sendiri? 

Hari ini saya sudah punya jawapannya.

Kerana rakyat yang fasiq tidak mungkin akan mengundi dan melantik orang-orang baik, orang-orang ikhlas yang memperjuangkan Islam dan orang-orang yang bersungguh-sungguh mahu menegakkan keadilan. Tidak mungkin.

Kerana jiwa mereka sudah rosak dengan hiburan. Hati mereka sudah hitam dengan kemewahan,. Otak mereka sudah pusing dengan kejahatan. Mereka tidak lagi nampak kebathilan sebagai kebathilan, dan kebaikan itu sebagai kebaikan. Semuanya bercampur-aduk, mengikut selera hawa dan nafsu mereka. 

Mereka amat takut andai orang-orang baik ini naik, melepaslah peluang mereka untuk berseronok dan berjimba. Mereka amat risau, sekiranya ostad ostajah ini menjadi pemerintah kelak, maka mereka tidak dapat lagi melanggan pelacur dan menonton porno. Mereka amat gerun, jika tok syaikh dan pak lebai ini memimpin kerajaan, segala kesalahan dan kemaksiatan mereka akan terbongkar. 

"Ish lepas ni susah lah aku nak dapat projek lagi, kalau semuanya nak kena amanah dan jujur!" kata Datuk W .

"Alaaamaakk. Kalau depa ni naik, lepas ni kalau nak main perempuan, nak kena ulang-alik ke Thailand la jawabnya!" keluh Encik U.

"Kita jangan bagi puak-puak ni memerintah. Abes bisnes pub, kasino kita nanti! Silap haribulan, panggung wayang pon puak-puak ni tutup!" tegas Tuan B. 

Begitulah kurang lebih. 

Maka berjayalah musuh-musuh Islam dalam menanamkan rasa benci masyakat kepada perubahan. Sukseslah mereka dalam memastikan benih-benih Islam tidak mungkin akan tumbuh berkembang. Seronok dan geli hatilah mereka apabila orang-orang Islam sendiri menjadi dalang kepada kehancuran dan kerosakan umat Islam. 

Berjayalah pelaksanaan projek pembodohan yang mereka warisi sejak zaman Firaun lagi! 

"Sebenarnya tribulasi orang Islam pada hari ini tidak hanya terbatas pada penguasaan pemimpin yang sesat sahaja, bahkan menjangkau kepada persoalan pendidikan. Korikulum pendidikan dan pelajaran, jawatan-jawatan di universiti, akhbar­-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam. Hinggakan mangsa perangkap musuh ini merasa seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan lama," ujar Syaikh Ahmad Rasyid panjang lebar di dalam al-Muntalaq.

Katanya lagi, "Orang Islam yang maksiat pada hari ini sebenarnya adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya.

Itu semua adalah cara perancangan jahiliyyah sejak dahulu lagi, diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya, berasal usul kepada Firaun."
 

Tidak hairanlah, konsert-konsert terkinja-kinja dan terjerit-jerit itu lebih mudah untuk dianjurkan dan mendapat lesen daripada ceramah-ceramah agama. Sinetron dan drama-drama yang melalaikan lebih banyak di kaca-kaca televisyen berbanding dengan rancangan-rancangan agama yang benar-benar menaikkan iman. Pub-pub dan kasino-kasino yang menyesatkan terus berkembang dengan rancaknya jika hendak dibandingkan dengan pusat-pusat tahfiz atau sekolah-sekolah agama.

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?

Anda mahu tahu apa tandanya projek pembodohan Firaun ini semakin berjaya?

Rakyat diam membisu shiuhh shiuhhh angin petang bertiup meskipon trang tang tang kekorupan dan kezaliman kerajaan yang memerintah terbentang di depan mata!

Anak-anak gadis bertudung tidak malu terkinja-kinja dan berpelukan di konsert K-Pop! 

Anak-anak muda menghabiskan masa menghisap shisha dan menyembur vape di mamak terjerit-jerit menyokong pasukan pilihan EPL mereka!

Golongan muda disibokkan dan perlumbaan kerjaya (rat race), dimomok-momokkan bahawa yang paling hebat dan bergaya itu adalah yang berumah besar dan berkereta mewah!

Rasuah dan pecah amanah bermaharaja lela, sehingga hampir mustahil untuk menjalankan sesuatu perniagaan tanpa ada duit bawah meja bertukar tangan!

Masyarakat berebut-rebut mahu menjadi popular, tidak kisahlah dengan cara apa sekalipon - lelaki berpakaian perempuan untuk berlawak jenaka, melakukan aksi-aksi dubmash yang tidak berakhlak dan tak masuk akal, memfitnah dan mengadu domba agar namanya cepat glamor - asalkan mereka dikenali dan dipuja!

Ostad ostajah sibok bergaduh dan melabel sesama sendiri, menjadikan masyarakat yang dahagakan ilmu dan bergantung harap pada mereka ini, bertambah pening kepala!

Yang kaya dan kuat terus berkuasa dan bermaharajalela dan yang miskin dan lemah, terus ditindas dan dizalimI!

Nah, semuanya ini sudah berada di hadapan kita bukan?? Geleng kepala sambil nanges laju-laju.

Waduh waduhhh! Masih ada harapankah Inche gabbana selepas kami mendengar semua ini? Masih ada cahayakah di hujung terowong?? 

Saya ada berita baik untuk anda. Jawapannya, ya ada.

Dengan syarat, kita perlu sanggup untuk berkorban nyawa dan harta, jiwa dan segala apa yang kita ada, untuk melakukan perubahan yang radikal di luar sana. Ia tidak perlu sesuatu yang besar, tidak perlu sesuatu yang grand, tidak perlu juta-juta. Ia hanya memerlukan pemuda-pemuda yang "mengenali erti tajarrud, merasai keci danhinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah, sabar menghadapi mehnah dan mahi seni memimpin umat." 

Saya namakan ini sebagai Projek Pengislahan Nasional (PPN).

Dan untuk melaksanakan PPN ini, setiap daripada para dua't ilallah, wajib 'memeluk' dan menyantuni masyarakat di luar sana, dengan tarbiyah Islam yang sebenar. Mereka ini tidak mungkin akan menyokong agenda islah dan Islam, hanya dengan sekadar kita menghulurkan bantuan tatkala berlaku banjir besar. Pandangan dan tasawur hidup mereka tidak mungkin akan berubah dengan kita hanya melakukan flashmob di jalanan. Mentaliti mereka tidak mungkin dapat diubah sekelip mata hanya dengan kita mengadakan jamuan hari raya.

Jika kita benar-benar mahu mereka menyokong kita, menyokong agenda Islam yang kita perjuangan, semeja dan sekasut dengan kita dalam projek perubahan yang ingin kita bawakan, maka ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran. Ia memerlukan sentuhan dan belaian. Ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan.

Ia tidak mungkin tercapai dengan retorik-retorik di pentas-pentas ceramah dan majalah-majalah. Ia tidak mungkin digapai dengan pertemuan-pertemuan mingguan (Baca: Liqa) basa-basi sejam dua. Ia tidak mungkin akan dicapai dengan borak-borak politk berapi berbara tetapi tidak disulami dengan iman dan taqwa. 

Kerana ia adalah sunnatullah. Ia adalah syarat yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kemenangan ummah!

Err. Bukan ini yang kita perlukan untuk mengembalikan kemenangan Islam. Pheww lap peluh. [Kredit]
"Mari kita mengharap keberkatan dari Allah pada dakwah ini, keberkatan akan datang dari keyakinan kita kepadaNya bahawa semua kekuasaan, kemenangan dan kekalahan itu terjadi atas kehendak Allah.

Kita tidak sependapat dengan orang yang mengatakan bahawa kospirasi musuhlah yang menyebabkan kekalahan kita. Mahu konspirasi apa sekali pon, kalau Allah tidak berkehendak, ya tidak akan terjadi.

Mari kita melihat amal ini dengan pendekatan dakwah.

Perlu muhasabah... Kita terperangkap secara tidak sedar menjadikan politik sebagai yang utama, lalu dakwah dan kaderisasi kita lupakan.

Yang kita inginkan bukan banyak kursi dan undi, tetapi banyak keberkatannya, itu didapatkan dengan terus menjadikan dakwah sebagai misi utama kita.

Kursi itu bukan tujuan kita, kalau kita pantas, layak menerimanya, Allah akan beri. 

Saya membayangkan seandainya anggota Dewan kita di seluruh negara ini disebar merata ke kampung-kampung yang ada d seluruh negeri, lalu semua berdakwah dan membina masyarakat, dan kita pun mempunyai kemampuan untuk itu, insyaa Allah keberkatan akan turun, tiada kena mengena dengan dapat kursi atau tidak." - Ustaz Salim Segaf al-Jusri, Ketua Majlis Syura PKS. 

Allah Allah!

Ayuh bangkit wahai rijal ummah! 

Cukuplah dengan lena dan kelalaianmu! Cukuplah dengan retorik dan angan-anganmu itu! Cukuplah berseronok di dalam bulatan-bulatan gembira mu itu! 

Jangan biarkan Firaun terus membodoh-bodohkan kita! Jangan biarkan taghut dan kezaliman pada hari ini terus berkuasa! Projek pembodohan ini akan terus berjalan sehinggalah ada tangan-tangan yang menghancurkannya!

Bangkitlah! Bangkitlah menjadi Harun dan Musa!

"Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah walhal ia kelihatan makmur dan maju?"


Amirul mu'minin Saidina 'Umar al-Khattab RA ditanya pada suatu hari. Apa jawapannya?

"Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang yang baik."


Nanges.

-gabbana-  

Subhanallah walhamdulillah wa astaghfirullah. Sudah lama tidak menulis sesuatu yang penuh semangat seperti ini. Sekurang-kurangnya saya sendiri merasakan ruhnya ketika menulis. Haha.

Haadza min fadhli rabbi. Moga ada manfaatnya untuk ummah!

9 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 14/08/2015, 22:50  

Ty

Anonymous 15/08/2015, 02:15  

Saya setuju sangat Inche Gabuna. Cuma, bukankah Nabi juga berpolitik?

Anonymous 19/08/2015, 18:05  

Anonymous, ape kena mengena?

Anonymous 24/08/2015, 14:32  

jzkk encik. cumanya saya rasa ia terlalu idealistik. susah saya nak membayangkan. haha maaf ye. saya berasal daripada keluarga yang bukannya berlatar belakangkan islamik, beragama dan gerakan jemaah atau dengan sewaktunya. persekitaran juga begitu, kawan kawan dan orang awam. tapi, saya berminat dengan fahaman dan wasilah begini bagi mendekatkan diri kepada hidupan beragama.

saya bukan seorang yang baik sangat. dan saya cuba untuk menjadi baik. cumanya, saya kira sepanjang saya berada dalam institusi jemaah, saya banyak kecewa dan sedih. mungkin kerna ekspektasi saya terhadap mereka yang bekerja dalam jemaah terlalu tinggi. maafkan saya. benar, kita perlu banyak bergantung harap kepada Allah atas asbab kita tidak akan pernah kecewa.

tapi, saya agak sedikit geram dengan blog tarbiah. rata ratanya di'manja' kan oleh orang orang sekeliling dalam jemaah. bercerita tentang pengalaman indah dan manis dalam berbulatan. sedangkan saya terkapai kapai, menunggu detik detik manis itu bercambah dan datang. dan akhirnya, saya hampa. mungkin juga faktor kesibukan saya dalam jadual akademik saya begitu ketat, buatkan saya kecewa. dan kecewa yang kedua, saya bukanlah orang yang penting yakni yang paling kurang potensi dan abiliti dalam jemaah.

saya mohon Allah ampunkan saya menulis luahan sebegini rupa. kerna bagi insan seperti saya, sudah banyak kali saya bersangka buruk. dan banyak kali saya pendamkan perkara ini. minta maaf tuan blog. saya harap hari hari tuan sentiasa manis dan bersabar dengan tribulasi dan mehnah.

tuan orang yang baik. :)

Anonymous 12/12/2015, 00:55  

Terima kasih inche. Soalan yg inche ajukan mcm yg "waduh..waduh...." tu buat sy terkejut. Seolah2 inche bole bc minda pembaca! Penulisan inche telah membuka minda sy. Sy x prnh terpikir benda2 mcm ni. Terima kasih skali lg. Sy harap inche trus menulis supaya dpt mmbri manfaat kpd ummah

Unknown 24/01/2016, 12:17  

moga kite sama2 berani nk tinggalkan jahiliyah nohh

Unknown 24/01/2016, 12:18  

speechlesss ...

Jαnnαhツ do not dwell on the past (hazan) and never worry about the future (hamm) - just concentrate on the present moment and be happy! 10/11/2016, 06:45  

Deep writing. Thanks for making this article

Anonymous 10/11/2016, 08:51  

Benar kata inche. Ada betulnya di situ. Akan tetapi jika sistem deen tidak digunakan. Selama itu kita takkan dapat tegakkan deen. Kalau betul nak islam bangkit. Tinggalkan sistem ciptaan manusia. Kita kene tinggalkan yg batil baru deen boleh bangkit. Allah SWT berfirman:
"Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbedaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barang siapa ingkar kepada Tagut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui."
(QS. Al-Baqarah: Ayat 256).... Hehehe. Juz my duaplohsen

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP