27 February 2014

Sudah Berlalu Waktu Berdengkurku

[Kredit]

Nabi SAW ketakutan apabila melihat Jibril AS dalam rupanya yang sebenar berada di kaki langit. Baginda bersegera pulang ke rumah dan menyuruh isterinya yang terchenta, Khadijah r.a. untuk menyelimutinya. 

"Zammiluni! Zammiluni! Selimuti aku! Selimuti aku!"

Sang isteri yang mulia patuh pada permintaan suaminya. Maka diselimutkanlah suami yang sudah menggigil-gigil kerana ketakutan.

Maka turunlah firman Allah yang agung lagi mulia:

"Wahai orang yang berkemul! Bangkitlah, dan berikanlah peringatan!"
[al-Muddathir, 74:1-2]

Lantas baginda, yang amat menjiwai dan memahami perintah Allah itu, segera bangkit dan tanpa berlengah-lengah lagi pantas melaksanakan amanahnya sebagai seorang rasul.

Dan kata-katanya yang lejen kepada Khadijah menjadi saksi dan manifestasi kepada kesungguhan dan keazamannya untuk melaksanakan tugas Syahadatul Haqnya:

"Sudah berlalu waktu tidurku..."

***

Antara cabaran yang dihadapi oleh seorang dai'e, yang benar-benar menghambat fizikal dan emosinya adalah ujian kepenatan.

Ya, kepenatan. Kepenatan yang terlalu amat sangat sehingga ada yang tertidur di atas motor. Sehingga tertidur dengan lampu yang masih terbuka dan pakaian yang tidak ditukar. Kepenatan sehingga datang ke kantor atau dewan kuliah seperti zombie Kampung Cempedak Goreng.

Malah baru-baru ini, seorang al-akh tertidur di dalam keretanya setelah memarkir keretanya tidak jauh dari pangsapurinya. Entah jam berapa pagi, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan pada tingkap keretanya. Dia dirompak oleh dua orang orang lelaki bersenjatakan batang besi. Mujurlah dia tidak diapa-apakan. Mujur juga tidak banyak barang yang dirompak.

Juga baru-baru, seorang al-akh yang amat saya chentai keranaNya, kecelakaan apabila dia terlanggar treler di hadapannya akibat terlelap ketika memandu. Diceritakan bagaimana hanya lima minit sebelum itu, isterinya menelefonnya dan dia kedengarannya baik-baik sahaja. Jika dilihatkan pada kerosakan pada kereta yang dipandunya, siapa sangka yang Allah masih mahu memanjangkan umurnya. Alhamdulillah syukur, dia kini sedang semakin pulih daripada kecederaannya.

Kepenatan. 

Kepenatan bekerja di kantor yang benar-benar menyedut segala tenaga yang ada. Kepenatan menyiapkan segala tok nenek jenis tugasan dan projek di universiti yang melayukan jiwa. Kepenatan menguruskan keluarga dan urusan rumah tangga sehingga sakit-sakit dan sengal-sengal satu badan. 

Lantas, apa lagi yang tinggal untuk tarbiyah dan dakwah? Apa lagi yang dapat disisakan untuk kerja-kerja menyentuh jiwa di luar sana? Apa lagi yang berbaki untuk dimanfaatkan untuk menyebarkan risalah agung ini? 

Nanges laju-laju. 

Kadangkala, dek terlalu penat dan lesu, fikiran kita jadi tidak menentu. Otak kita tidak lagi dapat berfikir dengan waras, Jiwa kita kacau, ruh kita meracau. Sehingga kita melakukan perkara-perkara yang tidak akan kita lakukan apabila fikiran dan hati kita lebih tenang dan rasional.

Kita mudah menjadi emosional. Tidak sabar. Gatal-gatal tengkuk menahan marah. Mudah terasa. Mengarut-ngarut dalam berbicara. Makan tak tentu hala. Gelak macam hantu puaka.

Itulah. Itulah kepenatan yang mematikan. Mematikan hati. 

Dan kadangkala kepenatan juga boleh menjadikan kita semakin jauh daripada Allah. Bagaimana? 

Dengan kita meninggalkan lembaran-lembaran chenta daripadaNya dek kerana tidak punya selera untuk membacanya. Dengan kita tidak bangun malam bermunajat kepadaNya, kerana terlalu risau yang kita tidak akan cukup tidur nanti. Dengan kita meninggalkan tarbiyah dan dakwah, kerana merasakan diri tidak larat dan memerlukan rehat. 

Allah Allah. Tunduk malu, air mata mengalir laju. 

Sedangkan Allah itulah sumber kekuatan kita yang utama. Allah itulah pemilik segala kekuatan dan kekuasaan. Allah itu jugalah yang bisa sahaja memberikan keberkatan kepada masa dan tenaga yang ada pada kita. 

"Sungguh bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan bacaan (di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:7]

"Tapi Inche gabbana, dai'e tu kenalah jaga kesihatannya kan...?"

"Ish ish ish Inche gabbana ni, ekstrem betul! Fitrah la tu rasa penat bagai! Kita ni bukannya robot!"

"Entah apa-apa Inche gabbana ni. Mengarut! Sesat! Cakap takde fakta! Pigiiidaaaah!"

Ok yang terakhir itu sedikit emosional. Tapi saya menjangkakan, sebegitulah agaknya respon-respon segelintir daripada anda apabila membaca tulisan saya ini. 

Iya benar, saya tidak nafikan kita ini hanyalah manusia yang biasa. Perlukan rehat. Perlukan masa-masa untuk menguatkan kembali tubuh badan. Perlukan ruang untuk tubuh badan kita mengecaj semula tenaganya.

Namun saya begitu khuatir, andai semua itu menjadi alasan semata-mata untuk kita bermalas-malasan dan berehat-rehat. Saya risau andai itu hanyalah eskapisme untuk kita menjustifikasikan keculasan dan kegemokan kita. Dan saya risau, amat amat risau, andai itu tidak lebih hanyalah jahiliyyah kita yang semakin menebal di hati.

Lontar bawang pada mata. 

Kerana jika kita kaji sejarah, baik sejarah para sahabat atau salafus soleh, kita akan dapati amal-amal mereka seakan-akan mereka punya dua puluh lima jam dalam sehari, lapan hari seminggu. Ada yang bisa menghabiskan bacaan Quran semalaman sahaja. Ada yang berkemampuan menulis puluhan, malah ratusan buah kitab dalam tempoh usia yang cukup singkat. Ada yang mengembara ribuan batu jauhnya, pada usia yang sudah cukup tua, hanya semata-mata kerana mahu melaksanakan amanahnya sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi. 

Mereka bukan malaikat. Mereka ini bukannya Rasul atau Nabi. Hatta mereka juga bukan Otromen atau Superman (Suparman mungkin. Eheh.). Mereka adalah manusia biasa seperti kita; makan dan minum seperti kita, tidur seperti kita, punya tangan, kaki dan mata seperti kita dan kadangkala tidur berdengkur juga seperti kita. Eh. 

Nah, apa rahsia mereka?

Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana kuatnya hubungan mereka dengan Allah. Mantapnya pergantungan mereka kepada robbul jalil. Hebatnya keyakinan mereka kepada Allah yang memegang segala sesuatu.

Dan kerana mereka juga berpegang pada mantera "Sudah berlalu waktu tidurku..." yang cukup menggugah itu. 

Mantera inilah yang membakar jiwa dan hamasah mereka. Kata-kata inilah yang memberikan mereka dorongan dan semangat yang tidak henti-henti. Formula inilah yang menjadikan mereka menggila di atas jalan perjuangan ini.

Tiada lagi alasan untuk bermalas-malasan! Tiada lagi ruang untuk acuh tak acuh! Tiada lagi masa untuk dibazirkan! 

"Bukankah para Nabi itu hanya sibuk penat kerana manusia, mengajak mereka kepada kebaikan dan melarang mereka dari kejahatan?"
- Ibn al-Jauzi, Said al-Khatir (Diambil dari Muntalaq, Bab 8: Asas Fiqh Amal Jamai'e Menurut Salafussoleh)

Tak mustahil kan kita semua terkeluar (Baca: All-out) dalam kerja tarbiyah dan dakwah kita, dan masih sentiasa kuat dan segar setiap hari?

Tak mustahil kan tidur kita hanya tiga empat jam sehari, tetapi kita kekal bertenaga melaksanakan tugas-tugas kita, baik di kantor atau sebagai pelajar di universiti?

Tak mustahil kan kita bekerja di siang hari dan masih teruja dan rancak membawa bulatan gembira di malam hari?

Tak mustahil kan kita membawa tiga, empat bahkan lima bulatan gembira di puncak kesibukan kerjaya kita?

Tak mustahil kan kita menguruskan anak-anak yang gebu-gebu dan tembam-tembam itu dan pada masa yang sama menerima jemputan menjadi muwajjih di hujung minggunya?

Tidak mustahil kan semua itu? Tidak mustahil kan...??

Hasbunallahu wani'mal wakeel. 

Ya, kita akan kekal penat berkejar-kejar untuk membawa bulatan gembira.

Kita akan terus lesu dihambat di kantor atau kampus, memenuhi kehendak dunia yang fana.

Kita akan terus layu, dibelasah teruk oleh fitnah-fitnah dunia yang mencengkam dan menggila.

Kita akan terus letih melayan karenah hadek-hadek bulatan yang entah bermacam-macam itu.

Dan kita akan terus pening dan berserabut memikirkan musykilah-musykilah dakwah yang tidak pernah berhenti kunjung tiba.

Ya, kita tidak mungkin akan dapat lari daripada kepenatan, andai kita benar-benar adalah golongan yang bekerja.

Namun biarlah ia kepenatan demi mengejar redhaNya.

Biarlah ia kelesuan dalam menggapai sorgaNya.

Biarlah ia keletihan yang penuh dengan kenikmatan.

"Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruskan berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruskan berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruskan bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu."
-Ustaz K.H. Rahmat Abdullah

Suatu hari nanti kita pasti akan berehat jua. Dan moga rehat kita itu adalah rehat yang abadi di dalam sorga. 

Senyum. Menitis air mata.  

-gabbana-

Sejak kebelakangan ini dihambat dengan fitnah kantor yang amat dahsyat sekali. Sehingga diri terasa begitu lesu dan tidak bermaya. Dan kadangkala sehingga terabai hak-hak orang lain, dek diri yang tidak lagi bertenaga. Nanges.

Moga diri ini tidak menjadi fitnah kepada perjuangan tarbiyah dan dakwah ini. Moga Allah redha. Amiin. 

24 February 2014

Chenta Maathurat

[Kredit]

Hatinya berdebar-debar. Kencang. 

Jari-jemarinya rancak menderam pada meja kayu di hadapannya. Dia cuba menenangkan hatinya, namun selagi kelibat Aliyah tidak kelihatan, dia tidak mampu untuk memujuk perasaannya.  

Tidak lama selepas itu, terukir senyuman lebar pada bibirnya. Aliyah berjalan perlahan memasuki dewan kuliah bersama teman-temannya yang lain. Aliyah memeluk beberapa naskhah buku dan fail pada dadanya. Sopan. Ayu.

Bergetar hati Uwais melihat kelibat Aliyah. Matanya tidak berkedip, mengekori setiap langkah Aliyah. Tudung labuh berwarna hitam yang dipakai Aliyah menggerbang senada dengan langkahnya menaiki tangga kuliyah.

Tidak semena-mena Aliyah tersenyum lebar, entah pada jenaka temannya mungkin. Matanya bulat bercahaya. Keningnya tebal, turut tertawa sama. Lesung pipitnya dalam. Merah padam wajahnya menahan tawa.

Aduuuhhh manisnyaaaaaa. Uwais mengetap giginya. Geram. 

Sepantas itu Uwais mengalihkan pandangannya. Ditampar Makcik Hidayah agaknya. Dengan segera dia terkumat-kamit beristighfar. 

Dia tahu apa yang dilakukannya itu salah. Merobek kehormatan seorang wanita dengan pandangan matanya yang bernafsu itu. Nafsu syaitan!

Namun dia tidak dapat menahan dirinya. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, dia sering ditembak dan dilontarkan dengan soalan-soalan cepu gangsa yang menyebabkan telinganya bernanah.

"Wes, aku rasa, semua ikhwah kat muka bumi ni dah BM, kecuali kau. Bila lagi...? Kekeke."

"Akhiiii. Bila lagi anta nak naik tangga ni...?? Takkan nak tunggu eskalator siap kottt...??"

"Uwais, kau tunggu apa lagi ni..? Janganlah cerewet sangat. Tutup mata, baling dadu, pilih satu! Eheh."

Siapa yang tidak tergugat dengan desakan-desakan sebegitu? Meski Uwais tahu rakan-rakannya itu hanya berjenaka dan mahu mengusiknya sahaja, tetapi hati siapa yang tidak terkesan dengan gurauan sebegitu rupa? 

Walhal dari segi umur, Uwais masih boleh dikira muda lagi. Masih lagi seorang pelajar universiti yang punya setahun pengajian lagi untuk dihabiskan.

Namun mungkin kerana ramai ikhwah dan rakan-rakannya yang berkahwin muda, maka sedikit sebanyak ia mengesani Uwais. Melihatkan rakan-rakannya ramai yang sudah mendirikan masjid bertangga, malah beberapa orang sudah pon menukar foto profail Mukabuku dengan foto selfie mereka dengan anak pertama yang gebu lagi tembam, menjadikan Uwais kadangkala tidak keruan. 

Dalam keserabutannya mencari teman hidup, muncullah Aliyah dalam bentuk seorang akhawat yang menepati hampir semua ciri-ciri idaman Uwais. Waduh, kalau bukan suratan, apa lagi yang Tuhan mahu tunjukkan...?

Dulu Uwais tidak begitu. Dia tidak minat pada perempuan-perempuan berhijab dan berbaju longgar. Apatah lagi pada mereka yang bertudung labuh dan berjubah besar.

Dibesarkan dalam keluarga yang agak moden, bersekolah pula di sekolah bandar yang bercampur antara lelaki dan perempuan, Uwais punya minat dan kriteria tersendiri pada perempuan yang menjadi taruhan perasannya. 

Dia amat mudah teruja apabila melihatkan perempuan-perempuan yang tidak bertudung, berambut hitam lebat dan panjang, berbaju ketat, ranggi dan seksi. Apatah lagi dengan suara-suara lunak yang manja, dengan senda-gurau yang mesra, Uwais mudah sekali jatuh hati pada mereka ini.

Meski Uwais tidak pernah punya pengalaman berteman wanita yang serius, namun teman biasa tapi mesranya ramai. Kononlah mereka ini dilayan seperti teman-teman lelaki Uwais yang lain. Sama rata. Tiada diskriminasi. Namun seperti lelaki-lelaki tulen yang lain, tiada siapa yang bisa menahan nafsu ketika ia rancak bergelojak raksasa. Bukan sekali-sekali Uwais melempiaskan nafsunya dengan berzina mata, mulut dan hati dengan mereka ini. 

Dasar lelaki.

Dan teman-teman perempuannya pon seakan-akan tidak kisah. Selamba badak air sahaja. Gurau senda dan gelak tawa, sentuh-menyentuh dan kejar-mengejar itu ibaratnya sudah biasa sahaja. Kawan biasa-biasa sahaja kan..? Tidak lebih daripada itu kan..?

Hakikatnya, seorang perempuan tidak mungkin menjadi hanya seorang sahabat biasa kepada seorang lelaki. Pastinya akan jadi lebih daripada biasa.

Selera Uwais serta-merta berubah apabila dia ditumbuk Makcik Hidayah dan dicampak masuk ke dalam kandang tarbiyah. Pada mulanya dia tidak perasan dengan perubahan hormonnya itu. Namun lama-kelamaan, dia mula sedar bahawa dia tidak lagi minat pada perempuan yang tidak menjaga auratnya. Dia rimas mendengar gelak-tawa manja kaum Hawa. Dia jelik dengan perangai sesetengah rakan-rakan kuliahnya yang tergedik-gedik meminta perhatian dan belas.

Dia seperti tidak punya lagi perasaan terhadap spesis ini. 

Namun minat dan hatinya beralih kepada perempuan-perempuan yang bertudung. Bukan sekadar bertudung biasa, tetapi bertudung labuh dan berpakaian longgar. Menutup aurat mereka dengan sempurna. Bergaya. 

Dia tahu itu adalah ujian untuk dirinya yang baharu setahun jagung dalam tarbiyah. Dia tahu dia perlu kuatkan mujahadah. Dia tahu semua itu hanyalah sebahagian daripada tribulasi dan mehnah, dalam pengembaraannya menuju jannah.

Dia tahu semua itu. Dia tahu iblis memang bijak meniupkan sangkakalanya dan bermain senjata!

Tapi sejak kebelakangan ini dia sering tewas. Tewas pada keayuan Aliyah. Kalah pada gerak-gerinya yang sopan dan berbudi bahasa. Jatuh chenta pada keakhawatan yang jelas terpancar pada diri perempuan itu! 

Selama ini entah mengapa, dia tidak menyedari kewujudan Aliyah. Walhal sudah lebih satu semester mereka berkuliah bersama-sama. Hanya selepas Aliyah dan rakan-rakan sekumpulan projeknya membentangkan hasil dapatan mereka di hadapan untuk dikongsikan dengan semua, baharulah Uwais menyedari keberadaan Aliyah.

Selepas itu hidup Uwais tidak keruan. Solatnya tidak khusyu'. Tilawahnya tersekat-sekat. Bacaan Mathuratnya tidak lancar. Setiap masa dan ketika, dia akan cuba mencari-cari peluang untuk terjumpa atau terselisih dengan Aliyah. Tidak tergambar perasaan bahagianya setiap kali dia berjaya berbuat demikian.

Dia pernah menyuarakan perasaannya itu kepada murabbinya. Dan murabbinya berjanji untuk diusahakan hasrat Uwais untuk mendirikan al-Baitul Muslim dengan Aliyah.

Namun sehingga kini, belum ada apa-apa perkembangan yang positif dari murabbinya itu. Itu tiga bulan yang lalu. Apabila ditanya tentang status permohonannya itu, murabbinya itu hanya menyuruhnya untuk bersabar kerana dia masih lagi berusaha untuk mencari jalannya.

Alahai aku nak kahwin pon susah. Bukan mintak nak kahwin dengan Heliza Helmi pon!

Uwais tahu dia perlu berbuat sesuatu. Dia perlu cepat bertindak. Dia tidak sanggup lagi berzina begitu setiap hari. Dan tidak dapat digambarkan kehancuran perasaannya andai Aliyah jatuh ke tangan orang lain!

Dia menghubungi salah seorang rakan rapat Aliyah, Sarah, yang ditakdirkan merupakan rakan sekolah Uwais dahulu. Dia meminta jasa baik Sarah untuk menyatakan hasratnya kepada Aliyah; betapa sekiranya Aliyah masih belum berpunya, apalah kiranya Uwais mahu ke taman memetik bunga. Ewah.

Dia tekad. Meski dia tahu tindakannya itu tidak tepat dan penuh kontroversi, dia terpaksa melakukannya demi kemaslahatan umat sejagat.

Dikirimkan bersama-sama dengan hasratnya itu senaskhah maathurat nipis, sebagai hadiah kepada Aliyah. Diletakkan penanda khas berwarna kuning terang pada ayat dua puluh satu surah ar-Rum:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang."

Terangkat kening Sarah apabila Uwais mengirimkan maathurat itu bersama. 

"Perlu ke...?" 

Uwais hanya tersengih sebagai jawapan. 

Lama Uwais menunggu jawapan daripada Aliyah. Sepanjang tempoh itu, hidupnya benar-benar tidak tenang. Sehinggakan Uwais terpaksa meminta izin daripada murabbinya untuk tidak hadir ke usrah, khuatir Aliyah akan memberikan jawapannya ketika sesi usrahnya sedang berjalan. Tak pasal-pasal dia menjerit penuh kegembiraan (atau kesedihan) dan berlari mengelilingi kompaun kampusnya nanti.

Benarlah penantian itu satu penyeksaan. Dan seksaan yang sedang dihadapi Uwais ini lain macam peritnya.

Tidak pernah dirasakannya perasaan seumpama itu. Jawapan daripada Aliyah bakal merubah hidup Uwais. Buat selama-lamanya. 

Ya atau tidak. Ya. Atau tidak. Ya atau. Tidak.

Genap seminggu, akhirnya Sarah menghubungi Uwais. Rasa seperti mahu meletup dada Uwais dan terbeliak biji matanya apabila menerima pesanan ringkas Waksep daripada Sarah. 

"Aku kena jumpa kau. Sebab Aliyah pon ada kirim barang." 

Sepanjang perjalanannya untuk bertemu Sarah, tiada apa yang didengari Uwais melainkan bunyi degupan jantungnya. Peluh sejuk tidak berhenti-henti dirembeskan dari tepi dahinya.

Tiba di tempat yang dijanjikan, Sarah sudah setia menanti, ditemani oleh seorang lagi rakan perempuannya. Dia memegang sebuah beg kertas kecil. Sebaik sahaja pandangan mata Uwais jatuh pada beg kertas itu, ia tidak berganjak ke tempat lain lagi. 

"Nah."

"Apa ni..?"

"Entah. Aku pon tak tahu. Tengoklah sendiri."

Sarah dan temannya itu pantas berlalu pergi.

"Eh tunggulah!"

"Laaah nak apa lagi...?"

"Dia cakap apa...?"

"Tengoklah sendiri!"

Jelas kehampaan pada wajah Uwais. Dia menyangkakan yang Sarah akan datang membawa berita gembira untuknya. 

Tanpa berlengah lagi, dengan rakusnya Uwais segera mengambil apa yang terkandung dalam beg kertas itu.

Eh ini maathurat yang aku bagi hari tu. Apa ni...?

Penanda kuning yang diletakkanya dahulu sudah tiada. Tapi ada tiga penanda baru yang diletakkan Aliyah. Merah. Hijau. Dan ungu. 

Jantung Uwais berdegup kencang. 

Penanda merah:


"Katakanlah: 'Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (Kejahatan) ke dalam manusia. Dari jin dan manusia."

Uwais terasa seperti ditampar. Dia menyelak pula muka yang bertanda dengan penanda hijau.


"Ya Allah, sesungguhnya aku berpagi di dalam nikmat, kesihatan dan perlindungan dariMu. Maka sempurnakanlah nikmat, kesihatan dan perlindunganMu untukku di dunia dan akhirat."

Mahu gugur jantung Uwais. Dia tidak pasti sama ada dia mahu meneruskannya.

Namun dia tidak dapat menahan rasa ingin tahunya. Perlahan-lahan diselak pula muka yang bertanda dengan penanda ungu.

"Aku mohon perlindungan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dan dari kejahatan makhluk yang Dia ciptakan."

Uwais terduduk. Terkedu.

-gabbana-

Antara komen-komen yang boleh saya jangkakan daripada cerita pendek ini termasuklah:

"Mabruuuukk IG! Dah tak lama dah tuuu! Jangan lupa ajak kami nantiii!"

"Pak kepuk kepuk kepak kepak kepuk kepuk! Eh bunyi kompang mana pulak tu...??"

"Ish IG ni, asyik-asyik post pasal kahwin. Asyik-asyik post pasal BM. Dah takde topik lain ke..? Dah sampai seru la tu!" 

Muka biskut Meri baru lepas cicah teh-o panas. 

20 February 2014

Pada Firaun Ada Harapan

[Kredit]

Membaca tajuk post ini, pasti ada yang sedikit terbeliak matanya. Mungkin tidak kurang yang menggaru kepala. 

Tetapi mata anda tidak tersilap. Dan InshaAllah, saya juga harapnya tidak terkhilaf dalam memilih tajuk. 

Ya, pada Firaun ada harapan. Bukan harapan yang biasa-biasa, tetapi harapan yang menggunung tinggi.

Hah? Firaun yang selalu kita baca dalam al-Quran tu? Firaun yang lawan dengan Nabi Musa tu?

Ya, Firaun yang itu. Senyum.

Tahukah anda, nama Nabi Musa AS adalah nabi yang paling banyak sekali disebut di dalam al-Quran? Bukan Nabi Adam, bukan Nabi Nuh, bukan Nabi Ibrahim, bukan Nabi Isa malah bukan juga Nabi Muhammad SAW? Tapi Musa, seorang nabi kelahiran Bani Israil?

Mengapa? Kerana dari kisah baginda, terlalu banyak ibrah dan pengajaran yang boleh diambil oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya, bukan sahaja dalam merencanakan kehidupan sehari-hari, tapi yang lebih utama, dalam menyusun gerak kerja dalam tarbiyah dan dakwah.

Arakian ibrahnya terus mengalir kepada kita pada hari ini. Setiap kisah tentang Musa AS yang disebut Allah di dalam kitab suci al-Quran, sebenarnya cukup bermakna dan mengesani jiwa andai kita benar-benar menghayatinya.

Lantas, apabila berbicara tentang Musa AS, tidak boleh tidak, kita pasti akan berbicara tentang Firaun laknatullah 'alaih. 

Ya, si watak antagonis itu. Si nemesis kepada Musa. Sang tirani yang menjadi penghalang utama kepada dakwah yang ingin dibawa oleh Musa dan saudaranya, Harun.

Lantas, celah mana si Firaun itu datang memberikan harapan? Dari sudut pandang yang mana si Firaun yang dilaknat Allah sepanjang zaman itu memberikan kita sinar pengharapan yang tidak malap ditelan masa? Ewah. 

Sebagai permulaan, bayangkan, siapa sebenarnya Firaun itu di sisi Musa AS? Firaun bukanlah sekadar seorang raja yang zalim. Bukan juga setakat seorang pembunuh kejam yang mengarahkan penyembelihan anak-anak lelaki Bani Israil. Dan bukan juga sekadar seorang manusia angkuh yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. 

Namun pada Musa, Firaun itu adalah ayahnya! Ya, lupakah kita bahawa di dalam istana Firaunlah Musa dibesarkan sehingga dia dewasa? Benar kita tidak mungkin dapat menebak apakah perasaan Musa terhadap Firaun yang telah membesarkannya itu, namun kita dapat mengagak, pasti ada walau sekelumit cuma perasaan terhutang budi dan kasih pada lelaki yang telah mengizinkan Asiah isterinya untuk mengambil Musa sebagai anak angkat mereka. 

Nah sekarang bayangkan pula, apa perasaan Musa apabila diarahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah agung kepada ayahnya sendiri? Dan apa pula perasaannya apabila Firaun mentah-mentah menolak dakwah yang diperjuangkan baginda?

Cukup meluluhkan perasaan bukan? Cukup menggamit dan menghancurkan jiwa bukan? 

Sekarang bayangkan pula dengan situasi kita pada hari ini. Apalah sangat cabaran dan cobaan yang kita terima dalam menjalankan tugas-tugas tarbiyah dan dakwah kita? Puan Mama tak bagi keluar rumah? Inche Abah marah-marah sebab kita sertai usrah? Tuan Abang perli-perli kita sebab selalu berkonferens riang dan jarang berada di rumah? Alahai.

Ada tak Pun Ibu mengupah pembunuh upahan untuk menamatkan riwayat kita? Atau Tuan Ayah menghantar samseng-samseng untuk memukul kita dan hadek-hadek bulatan gembira kita? Atau Cik Kakak menyimbah asid pada tudung labuh kita, mengugut untuk mencederakan kita andai kita tidak mahu menemaninya pergi membeli-belah...? 

Jika ada anda memang layak dikalungkan dengan jambangan bunga dafodil oleh saya.  

Kemudian bayangkan pula, betapa tinggi dan haibatnya kasih-sayang dan rahmat Allah itu apabila Dia menugaskan Musa AS untuk pergi berdakwah kepada Firaun. Mengapa? Kerana ilmu Allah yang meliputi segala sesuatu di muka bumi, apa-apa sahaja yang telah, sedang dan akan berlaku, sudah pon Mengetahui bahawa Firaun itu pada suatu hari nanti akan mati sebagai seorang kafir yang zalim. Namun itu tidak menghalang Allah daripada menghantar Musa untuk memberi peringatan kepada Firaun!

"Pergilah kepada Firaun; dia benar-benar telah melampaui batas."
[Thaha, 20:24]

Subhanallah! Tidakkah itu cukup menakjubkan kita...?? Tidakkah itu membuatkan mata kita bersinar-sinar penuh dengan harapan...??

Nah, manusia sejahat Firaun itu pon Allah berikan peluang, takkanlah kita ini tidak diberi ruang? Betapa sejahat mana pon kita, ketahuilah, Allah tidak pernah berputus-asa dengan kita!

Allah Allah! 

Nanges laju-laju.

Tidak cukup dengan itu, Allah bukan sekadar menyuruh Musa AS untuk pergi menghadap Firaun untuk berdakwah kepadanya, namun Allah memerintahkan baginda agar berlemah-lembut dengan si raja bengis itu!


"Maka katakanlah kepada Firaun, 'Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri dan engkau akan ku pimpin ke jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?'"
[an-Nazia't, 79:18-19]

Bayangkan! Bayangkan!

Si Firaun yang mengaku Tuhan itu! Si Firaun yang membunuh anak-anak tidak berdosa dari bangsa Bani Israil itu! Si Firaun yang terus-menerus menipu dan bertindak zalim pada rakyatnya itu! Di sebalik semua itu, Musa AS disuruh untuk memimpin Firaun ke jalan Tuhan, agar dia kembali bertaubat dan rasa takut kepadaNya!

Hanya orang gila sahaja yang tidak merasa apa-apa apabila menghayati hakikat ini. Mana mungkin kita tidak berasa takjub dan kagum dengan situasi yang amat sukar sekali diotakkan ini?

Lantas, sebagai seorang dai'e ilallah, kita diajar untuk terus bersabar, berlapang dada dan bersikap santun dengan subjek dakwah kita. Manakan tidak! Sedangkan Firaun yang maha zalim itu pon diberikan layanan ala hotel bertaraf lima bintang, takkanlah mad'u kita yang jauh lebih baik dan jauh lebih manusia daripada Firaun itu kita layan mereka dengan kasar dan tanpa sentuhan kasih dan sayang?

Dan sebagai seorang manusia, sebagai seorang hamba, sekali lagi kita diberikan harapan yang menggunung tinggi melalui kisah ini. Sedangkan Firaun yang jahat dan lebih keji daripada raksasa gorgon itu pon Allah berikan peluang untuk bertaubat dan kembali kepadaNya sedemikian rupa, takkanlah kita ini tidak layak diberi peluang yang sama, malah lebih baik lagi...? Takkanlah kita ini lebih jahat lagi dari si Firaun laknatullah itu..?

Aduh nanges gue. 

Dan akhirnya kita dikisahkan bagaimana Firaun dan konco-konconya itu diazab di dunia lagi, dengan cara mereka ini ditenggelamkan oleh Laut Merah dek kekufuran dan kezaliman mereka yang berterusan. Kita juga diberitahu menerusi firmanNya yang mulia, bagaimana di penghujung hayatnya, Firaun mengaku akan keEsaan Allah dan mahu segera bertaubat. Namun bak pepatah Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun lagi, nasi sudah menjadi bubur ayam Mekdi. Eh. Malaikat dihantar oleh Allah untuk menyumbat mulut si Firaun itu dengan tanah, agar dia tidak dapat melafazkan rasa penyesalannya itu.

Nah, apa ibrah yang boleh kita ambil daripada kehancuran Firaun dan anjing-ajingnya itu? Bagaimana kita dapat memaknainya agar menjadi obor pelita yang menerangi jalan perjuangan kita ini?

Betapa Allah pasti akan memenangkan dakwah. Lambat atau cepat, Allah tetap akan menyempurnakan cahayaNya, meski ia amat dibenci dan ditakuti oleh musuh-musuh Allah. Para dua't dan pejuang agamaNya, hanya perlu berusaha sehabis baik, walau ia memerlukan pengorbanan yang begitu besar nilainya. Walau ia menuntut nyawa sebagai harganya.

Sepertimana perjuangan Musa AS dan para pengikutnya yang setia dalam menyebarkan risalah Allah. Meski mereka diuji dengan berat sekali, dicuba dengan mehnah yang begitu menguji diri dan emosi, namun mereka tetap teguh, istiqamah memperjuangkan risalah Allah ini.

Begitu banyak akhlak yang boleh kita contohi daripada kecekalan dan sikap Musa AS dalam mendepani Firaun. Dan Allah telah membayar keteguhan hatinya dan keyakinannya terhadap Allah dengan menghancurkan Firaun dan konco-konconya dan mewariskan peninggalan Firaun kepada Musa dan para pengikutnya.

"Maka Kami seksa Firaun dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut. maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang zalim."
[al-Qasas, 28:40]

Firaun. "Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu agar engkau dapat menjadi pelajaran kepada orang-orang yang datang setelahmu..." [Yunus, 10:92] [Kredit]

Ya, sebagai seorang dai'e, kisah Musa dan Firaun ini sewajarnya memberikan kita motivasi dan harapan. Ia sepatutnya membakar semangat perjuangan dan bara kecekalan kita untuk terus berusaha memenangkan agama ini sehinggalah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. 

Kalah atau menang, kita serahkan kepada Allah. Andai kita kalah, inshaAllah kita akan mati syahid dalam memperjuangkan risalah ini. Dan andai kita menang, kita akan hidup mulia. 

Siapa sangka, Musa AS itu akhirnya dapat menewaskan Firaun, si raja Mesir yang cukup gagah dan berkuasa..? Seperti itu juga, kita perlu yakin bahawa suatu hari nanti, Allah pasti akan memenangkan agama ini, dengan atau tanpa kita. 

Fuh.

Daripada Firaun kita belajar bahawa meski kita ini si pendosa, namun pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka.

Daripada Firaun kita belajar, kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan dan kebencianNya.

Daripada Firaun kita belajar untuk menyantuni dan mengasihi mad'u dan subjek dakwah kita.

Daripada Firaun juga kita belajar, bahawa Islam pasti akan menang suatu hari nanti, walau ditentang oleh sekalian manusia di muka bumi. 

Bagaimana..? Benar bukan si Firaun itu memberikan kita harapan...?

Senyum.

-gabbana-


18 February 2014

Apa Yang Melayu Takutkan?

[Kredit]

Dalam kehidupan kita, ada banyak perkara-perkara yang kita takutkan atau risaukan. 

Boleh jadi perkara-perkara tersebut adalah benda-benda yang fizikal dan hidup seperti labah-labah berbulu sebesar tapak tangan, lipas yang menyusup masuk ke dalam telinga, kemalangan jalan raya dan terputus kepala, sedang berjalan untuk ke kantor tiba-tiba ada cermin tingkap terjatuh dan memotong otak kita atau seorang pembunuh bersiri yang gila tiba-tiba mengetuk pintu rumah kita.

Gasp. 

Dan boleh jadi juga perkara-perkara yang kita gerunkan/khuatirkan itu adalah sesuatu yang abstrak dan halus, seperti risau dibuang kerja, harga barang naik dan terpaksa menjual kereta Vios yang baru dibeli itu, gerun akan turunnya Dajjal sedangkan kita masih tidak bersedia dan prospek diserang penyakit-penyakit merbahaya seperti kanser, H1N1 dan sebagainya.

Jika difikirkan satu-persatu perkara-perkara yang menakutkan dan merisaukan kita, sudah pastilah kehidupan kita akan jadi sangat tertekan sehingga membuatkan rambut kita beruban dan memaksa kita untuk terjun banji ke dalam gaung. Begitu banyak dan mengerikan bukan..?

Lebih menarik sekiranya kita mengkaji dan membuat deduksi, apakah yang ditakuti oleh kebanyakan daripada rakyat Malaysia? Malah untuk lebih fokus dan menjadikan kajian kita lebih praktikal dan bermanfaat, kita kecilkan taburan subjek eksperimen khusus kepada masyarakat Melayu Muslim sahaja.  

Nah, apakah yang paling ditakuti dan digeruni oleh masyarakat Muslim Malaysia sehingga membuatkan mereka menggigil kepala lutut dan terkencing-kencing di dalam seluar? Mari kita lihat!

1. Babi
Entah mengapa, orang Melayu Muslim di negara kita begitu takutkan makhluk Allah yang satu ini. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan lembu pendek ini dikira sebagai tabu dan haram totok. Sekiranya mak atau kakak saudara kita terbeli kasut yang tapaknya diperbuat daripada kulit babi, itu adalah hari kiamat untuk mereka. 

Dan begitu mudah untuk membangkitkan kemarahan dan mengganggu jiwa masyarakat Melayu Muslim di negara ini, anda hanya perlu mencampakkan secebis/sepotong daging babi ke dalam masjid/surau yang berdekatan. Mahu lagi ekstrem silakan bawa kepala babi sekali. 

Arak? Tadehal. Zina? Biasalah tu. Judi? Eh, trend semasa kan..? Babi? HAAARAAAAMMMM!

Peluh besar.

2. Cina
Satu lagi perkara yang amat ditakuti dan menyebabkan fobia/trauma tahap gaban bagi masyarakat Melayu Muslim adalah kaum Cina. Kaum India ok, tapi kalau kalum Cina, kena hunus keris! Eh. 

Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kaum ini. Perompak harta negara la. Tak kenang budi la. Pendatang haram la. Semuanya tuduhan-tuduhan tidak berasas yang mampu mengganggu-gugat keaman dan kestabilan negara.  

Walhal kalaulah orang Melayu Muslim ini belajar sejarah dan mengkaji susur-galur Tanah Melayu dengan adil dan saksama, mereka akan mendapati keberadaan kaum Cina di negara ini adalah seawal penubuhan Kerajaan Melayu Melaka lagi. Malah antara teori kemasukan Islam ke negara ini adalah menerusi para pedagang Cina yang sudah pon memeluk Islam ketika itu. 

Mungkinlah ini sebabnya orang Cina begitu fedap dan fobia untuk mengenali dan mempelejari Islam. Sampaikan kalau mahu masuk Islam, mereka terpaksa masuk 'Melayu' dengan menukar nama mereka dan belajar memakai kain pelikat.

Yang membezakan antara kita hanyalah taqwa, kan..? [Kredit]

3. Hantu dan segala bagai makhluk halus
Ha, ini juga merupakan antara benda/perkara yang amat ditakuti oleh masyarakat Melayu Muslim di negara ini. Sikit-sikit, akan dikaitkan dengan hantu. Sikit-sikit, akan dikaitkan dengan rasukan jin. Ternampak kain putih yang berterbangan di luar tingkap, terus dituduhnya sebagai pontianak busuk sundal malam, walhal Puan Isteri terlupa nak angkat kain jemuran di siang hari.  

Masyarakat Melayu Muslim kita rupa-rupanya masih lagi begitu mudah terpedaya dengan perkara-perkara khurafat sebegitu. Bukan mahu menafikan kewujudan jin, namun tidak perlulah berlebih-lebihan dalam berbicara dan bertindak terhadap kewujudan mereka ini.

Ironinya, di dalam ketakutan masyarakat terhadap hantu, topik ini jugalah yang paling hangat dan seronok untuk dibincangkan di kedai-kedai kopi atau forum-forum di alam maya. Setiap tahun, pasti lebih daripada sepuluh filem yang berkisarkan hantu dan jin akan dihasilkan.

4. Wahhabi
Pandang kiri, pandang kanan.

Ini adalah fenomena sedikit baru (dalam 4-5 tahun kebelakangan ini) di mana masyarakat Melayu Muslim di negara ini begitu takutkan sekelompok manusia lain yang berfahaman dengan fahaman Wahhabi. Jujur saya tidak mampu untuk komen panjang lebar pada ruangan yang terhad ini.

Namun cukuplah saya simpulkan, terlalu banyak salah faham tentang Wahhabi ini. Benar, memang ada segelintir daripada mereka yang berfahaman dengan fahaman yang ekstrem dan kita menolak kefahaman yang ghuluww (berlebih-lebihan) sebegitu. Namun untuk menuduh semua orang yang tegas dan syadid dalam pendirian mereka dalam melaksanakan hukum dan syariat Islam, itu tidak tepat sama sekali. Dan memburuk-burukkan Syaikh Muhammad Wahab (dituduh sebagai pengasas Wahhabi, walhal di zamannya dia tidak pon menggelarkan ajarannya sebagai Wahhabi) tanpa fakta dan dalil yang sahih dan kukuh, adalah perbuatan yang terkutuk dan dilaknat. 

Hanya kerana seseorang itu berbeza pendapat dengan kita, kita terus tuduhnya sebagai Wahhabi. Hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kita, pantas kita labelnya sebagai Wahhabi! 

Tidak membaca Qunut ketika solat Subuh? Wahhabi! Tidak membaca doa secara berjemaah selepas solat? Wahhabi! Pakai kopiah senget sikit? Wahhabi! Pppffftt.

5. Agenda Freemason dan Yahudi
Semua benda pon adalah salah Freemason. Semua benda pon adalah disebabkan agenda si Yahudi yang jahat dan keji itu.

Ekonomi negara terjejas teruk? Itu rancangan Yahudi! Pelancong takut nak datang Malaysia? Itu agenda Freemason! Kalah dalam pemilihan Jawatankuasa Keceriaan dan Kebersihan Kampung? Yahudi punya kerjalah ni! Kereta rosak di tengah jalan? Ah ini semua propaganda Freemason!

Walhal ekonomi teruk sebab rasuah dan pecah amanah. Walhal pelancong tak datang sebab jenayah yang semakin menakutkan. Walhal tak terpilih dalam pemilihan sebab rumah sendiri tunggang langgang. Walhal kereta rosak sebab air enjin dah habis!

Aduhai.  


Ok ini memang buat gue gelak guling-guling. [Kredit]

6. Tiada air
Uisshh kalau yang ini, saya pon takut! 

Agak menarik apabila difikirkan, bagaimana rakyat Malaysia boleh untuk berasa risau dan takut dengan kebarangkalian ketiadaan air di rumah, di dalam sebuah negara yang terletak di atas garisan Khatulistiwa. Dalam banyak-banyak negara di dunia ini, Malaysia sepatutnya menjadi antara negara yang tidak perlu risau akan berlakunya krisis kekurangan air!
 

Saya boleh faham mengapa rakyat Malaysia begitu fobia dan trauma dengan kejadian tiada air ini. Sekali air dicatu, bagaimana mahu mandi tiga kali sehari? Bagaimana mahu mandi wajib? Ambil wudhu'? Buang air besar? Mencuci kereta? Menyiram pokok? Memandi kucing? Parah parah.

7. Tak dapat menunaikan umrah dan haji
Hal ini mungkin lebih relevan kepada golongan yang sudah berusia. 

Sejak azali kita sudah diajar bahawa mengerjakan haji dan umrah itu wajib bagi mereka yang berkemampuan, dan definisi berkemampuan adalah mempunyai wang dan dana yang mencukupi. Maka wang hasil titik peluh akan disimpan di bawah bantal atau di atas almari untuk tujuan perbelanjaan mengerjakan haji/umrah. 

Tidak dapat mengerjakan haji itu merupakan suatu ketakutan yang amat dahsyat bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang masih belum berpeluang mengerjakannya. 

Pada masa yang sama, ada pula segelintir manusia yang hampir setiap tahun mengerjakan umrah dan tiga empat tahun sekali, mengerjakan haji. Alangkah bagusnya andai wang yang dibelanjakan itu disedekahkan untuk membiayai mereka yang masih berpeluang ke Tanah Haram..? Atau diinfaqkan untuk tujuan amal-amal fi sabilillah..?

Saham-saham sorganya berterusan dan bercucu-cicit hatta kita telah lama meninggalkan dunia yang fana ini! Pergh. 

8. Anak tak dapat sambung belajar
Ini juga merupakan antara faktor ketakutan yang menyebabkan ramai ibu ayah dan mak abah tak tidur malam; anak mereka tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Meski faktor ini ada relevannya, namun tidaklah wajar andai ia begitu ditakuti sehingga seolah-olahnya tiada lagi hari esok atau anak itu wajar ditolak masuk gaung sahaja. Eh.  Ditambah pula dengan faktor (2) seperti di atas, mak ayah kita terlalu amat fobia andai ada dalam kalangan anak-anak mereka yang gagal melanjutkan pelajaran.

Kadangkala saya merasakan ibu bapa di Malaysia ini terlalu jumud fikirannya. Dan terima kasihlah kepada sistem pendidikan negara yang sedia ada, yang jarang sekali meraikan dan memperkasakan minat dan kesukaan seseorang itu.

Dengan sistem pendidikan yang semakin mengarut dan entah apa-apa, kasihan juga pada mak ayah dan anak-anak zaman moden ni. Bersyukurlah Malaysia masih aman. Eh.

9. Anak-beranak / saudara-mara / sepupu-sepapat masuk usrah
Usrah itu ekstrem. Dalam usrah belajar buat bom. Antara yang diajar dalam usrah adalah bagaimana mahu kumpul duit untuk pergi ke Afghanistan. 

Hallo?? Ini zaman MukaBuku dan Pengicau kot..? Wardina Safiyyah pon sertai usrah tahu...?

10. Tak kahwin-kahwin
Err. Err. maaf tak boleh nak huraikan panjang lebar, tak sesuai untuk bacaan bawah umur.

Wahahaha. Lari laju-laju.

Ehem. 

Di sebalik perkara-perkara yang paling ditakuti oleh masyarakat Melayu Muslim seperti yang disenaraikan di atas, menarik juga sekiranya kita melihat pula apakah perkara-perkara yang paling tidak ditakuti dan dirisaukan oleh mereka. 

Menurut kajian yang dilakukan oleh para penyelidik di Universiti Hang Li Poh beberapa bulan yang lalu, mereka mendapati, sepuluh perkara berikut merupakan perkara-perkara yang jarang sekali menjadi kerisauan atau igauan ngeri masyarakat Melayu Muslim di negara ini.
  1. Rasuah yang bermaharajalela 
  2. Kebejatan sosial yang melibatkan segenap lapisan masyarakat, baik tua atau muda, selekeh atau bergaya
  3. Ahli politik yang zalim dan pecah amanah
  4. Budaya hedonisme (berjimba dan berhuha-huha) yang melampau-lampau
  5. Remaja berusia lima belas tahun tapi masih tidak reti mengucap syahadah apatah lagi bacaan tahiyat akhir
  6. Anak umur doblas dah ada gelpren/boipren
  7. Orang Melayu Muslim main judi, minum arak dan hisap dadah
  8. Negara porak-peranda dan kacau-bilau sebab ada orang yang sengaja suka untuk menyebarkan fitnah dan mengadu-domba
  9. Orang bukan Islam yang semakin jauh dengan Islam dek perangai dan akhlak orang Islam sendiri
  10. Bala Allah yang mungkin turun akibat semua perkara di atas
Begitulah sedikit-sebanyak faktor-faktor ketakutan (dan faktor-faktor yang tidak ditakuti) oleh kebanyakan daripada masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ada antaranya adalah faktor yang evergreen, laku dan benar sepanjang zaman. Ada pula faktor-faktor yang berevolusi mengikut keadaan dan perkembangan semasa.

Nah, anda bagaimana..? Apa pula faktor-faktor yang menakutkan anda..?

-gabbana-

Pernah dengar perkataan sarkasme tak...? 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP