26 November 2014

Lap Hingus Tu Boleh Tak?

[Kredit]

Jika anda bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini, anda pasti pernah berasa sedih. Dan anda punya terlalu banyak sebab dan alasan untuk berasa sedih.

Sama ada dakwah yang tidak menjadi.

Hadek bulatan gembira yang melarikan diri.  

Diri yang sering dihina dan dicaci. 

Ujian harta, kerjaya dan keluarga yang menghambat diri.

Masalah ummah yang seakan-akan tidak punya solusi.

Ya, ada banyak sebab untuk kita berasa sedih.

Saya sendiri ada suatu kisah sedih yang ingin saya kongsikan. Di tahun pertama saya mula membawa bulatan gembira saya yang sendiri, telah berlaku suatu peristiwa yang benar-benar menyebabkan saya berasa bawah dan terasa seperti mahu terjun ke dalam gaung yang paling dalam. 

Ketika itu saya masih belajar di Kerajaan Bersatu. Ada seorang hadek yang begitu berpotensi, yang saya letakkan harapan yang tinggi kepadanya, melihatkan kepada personaliti dan kelogaman yang ada padanya. Saya namakan dia sebagai N. Saya begitu optimis pada N. Malah, saya melihat diri saya ada pada N.

Namun selepas cuti panjang musim sejuk, saya menerima satu mesej pesanan ringkas daripada N (semasa itu masih belum ada waksep lagi). Mesejnya kurang lebih begini:

"[Inche gabbana], I'm gonna drop a bomb."

Saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Berderau darah saya apabila membaca penyudahan mesej itu.

"I don't think I want to continue usrah with you. It's nothing to do with you. It's just me."

(Cakap omputoh ok? Eheh.)

Terasa berdiri segala macam bulu yang ada di belakang tengkuk saya. Walaupon dinyatakan bahawa keputusannya itu adalah keputusan peribadi, namun saya tahu benar dua ayat yang terakhir itu adalah ayat penyedap hati. 

Bayangkan sahajalah bagaimana perasaan saya yang baharu mahu merangkak dan bertatih di dalam membawa bulatan gembira ketika itu.

Terasa macam ada seorang lelaki gagah setinggi enam kaki menumbuk tepat pada muka saya, kemudian menggelakkan saya sambil membuat tarian ayam (Baca: Chicken dance). Err. 

Cukup meremukkan jiwa. Cukup menghiris hati. Cukup cukup menyedihkan. 

Tiada salahnya untuk kita berasa sedih. Apatah lagi jalan dakwah ini sememangnya panjang dan berduri, penuh dengan kaca, paku dan gula-gula getah bekas ludahan entah siapa. Eh.

Tapi tidak perlulah kita bersedih dan terlalu bawah, sehingga kita meninggalkan terus kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita. Janganlah terlalu terguris dengan seorang hadek bulatan gembira, sehingga kita abaikan hak-hak hadek-hadek yang lainnya. Janganlah terlalu remuk dan sebak jiwa kita, sehingga kita merajuk berbulan-bulan lamanya. Alahai.

Ditambah pula dengan air hingus yang meleleh, rambut kusut masai dan mata lebam legam anda itu! Buruk bebenor eh! 

Demikianlah peringatan yang diberikan oleh Allah kepada utusanNya yang terchenta, Nabi Muhammad SAW:
"Boleh jadi engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu (dengan kesedihan), kerana mereka (penduduk Mekah) tidak beriman."
[asy-Syu'ara', 26:3]

Nah, sedangkan Nabi SAW yang kita tahu hidupnya diabdikan untuk dakwah itu pon ditegur oleh Allah... Sedangkan ujian dan cubaan yang menimpa dirinya yang mulia itu bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan kita itu pon diingatkan oleh Allah... Sedangkan dakwahnya ditolak oleh berapa ramai manusia, termasuklah ahli-ahli keluarganya yang terdekat itu pon dinasihati oleh Allah... Apatah lagilah kita yang serba marhaen ini?

Layakkah kita untuk berasa sedih sehingga mahu meninggalkan gerabak tarbiyah dan dakwah, sekiranya mahu dibandingkan dengan mehnah yang dilalui oleh ar-Rasul dan para sahabat?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga mahu futur, gugur dari terus kejap memegang obor perjuangan ini sekiranya hendak dibanding dengan kesusahan dan kepayahan yang telah pon dilalui oleh golongan awal?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga tiada apa yang keluar dari mulut kita melainkan keluhan dan aduan, walhal kita masih belum benar-benar menjualkan diri kita untuk dakwah ini?

Allah Allah! Nanges. 

Kerana itu kita dilarang untuk bersedih yang keterlaluan, kerana ia hanya akan membinasakan diri kita.

Keterlaluan yang bagaimana?

Sedih sehingga tidak mahu berjumpa dengan ikhwah/akhawat.

Sedih sehingga tidak mahu hadir ke bulatan gembira.

Sedih sehingga lesu untuk pergi bermuayasyah dengan mutarabbi kita.

Sedih sehingga kita membenarkan diri kita jatuh ke dalam lubang-lubang jahiliyyah.

Sedih sehingga kita mula meninggalkan amal-amal fardhi dan dakwi.

Sedih sehingga kita mula menjauhkan diri daripada kasih-sayangNya. 

Sedih sehingga kita menyalahkan Allah yang kita rasakan tidak berlaku adil kepada diri kita.

Bukankah semua itu suatu kebinasaan?? 

Nastaghfirullah. Ampuni kami wahai Allah. 

"Dan sungguh, Tuhanmu Dialah yang yang Maha Perkasa, Maha Penyayang."
[asy-Syu'ara', 26:9]

Percayalah, setiap apa yang berlaku adalah sebahagian daripada pelan agungNya untuk kita. Setiap ujian dan mehnah yang menimpa kita, adalah antara caraNya untuk mematangkan kita di atas jalan dakwah ini. Kesedihan dan kesusahan yang terpaksa kita hadapi, sekiranya ditanggapi dengan bijak dan sabar, pastinya akan menatijahkan nikmat syukur yang amat besar. 

Tidak mungkin Allah akan membiarkan hambaNya yang mahu berbakti kepada agama ini terkapai-kapai seorang diri.

Tidak mungkin Allah sengaja mahu membuatkan kita berasa sedih dan susah, tanpa ada mutiara yang berharga yang terhasil darinya.

Dan tidak mungkin Allah yang Maha Perkasa dan Maha Penyayang itu, membiarkan kita terus di dalam kesedihan dan kebingungan tanpa menceriakan hari-hari suram kita dengan pelangi nan indah menghiasi sang suria. Ewah. 

"Dan janganlah kamu (berasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman."

[ali-Imraan, 3:139]

Sudah-sudahlah tu. Cukup-cukuplah tu. Boleh dah lap hingus tu. Sila keringkan air mata tu.

Biasalah tu berasa sedih sekali-sekali dengan ujian berat yang menimpa kita di atas jalan dakwah ini. Abam macho berbadan sasa pon sekali-sekala menanges juga apabila menonton drama Korea. Wahahaha.

Namun jangan biarkan kesedihan itu sampai membinasakan diri kita!

Tahu?

-gabbana-  

Ada suatu kejutan untuk anda semua dalam bulan Disember ini, inshaAllah.

Sungguh, tidak sabar rasanya saya mahu berkongsikan berita gembira ini! Aiwah!

21 November 2014

Menjadi Mizz Nina

[Kredit]
Saya bukanlah seorang orang muzik. Dan takdelah minat muzik sangat pon.

Dahulu di sekolah rendah, pernahlah menyertai kumpulan koir sekolah. Itu pon sebab ramai aweks yang saya minat. Alah, chenta babun sahaja masa tu. Wahahaha.

Di Sekolah Bintang pula, saya pernah menyertai pasukan pancaragam sekolah dan dilatih untuk bermain trumpet. Itu pon sebab dipaksa. Akhirnya tak bertahan lama kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga pada aktiviti berdebat. Eheh.

Kemudian semasa di sebuah kolej yang-namanya-dirahsiakan, saya diberi peluang untuk menganggotai kumpulan nasyid kolej. Hallo, suara saya boleh tahan jugak ok? Kekeke. 

Itu sahajalah penglibatan saya dalam bidang muzik. Kalau nak banding dengan ikhwah atau orang lain, memang sikit sangatlah lagu-lagu nasyid yang saya hafal penuh. Boleh bilang dengan jari. Bila ada program atau perhimpunan yang kena nyanyi ramai-ramai, terkial-kiallah saya mencari lirik untuk dijadikan rujukan. Eheh. 

Tapi kalau lagu Barakallahulakuma Maher Zain atau Mabrouukk Irfan Makki, ha yang itu saya boleh usahakan untuk hafal laju-laju! Wahahaha. 

Namun telinga saya ini, boleh tahan jugalah citarasanya. Kalau ada mana-mana lagu yang benar-benar sedap dan berkualiti, baik dari irama mahupon lagunya, tidak kisahlah lagu nasyid ke, zikir Hafiz Hamidun ke, lagu Celine Dion ke, lagu rakyat negara Sudan ke, pasti telinga saya akan cepat menghantar isyarat ke otak lagu otak memproses maklumat itu untuk memberikan saya sebuah fikiran, "Hmmm sedap lagu ni." 

Dan antara lagu yang pernah menarik perhatian saya adalah sebuah lagi yang didendangkan oleh Mizz Nina. Sehingga hari ini saya tak tahu nama lagu itu, tapi baru-baru ini, ketika saya sedang meregangkan otot di sebuah gym, lagu ini dimainkan dan terus saya teringat kepada persepsi saya suatu ketika dahulu tentang lagu ini.

Ketika pertama kali mendengar lagu ini, saya merasakan lagunya catchy dan sedap didengar. Rentak dan iramanya rancak dan moden. Maka saya gagal menyembunyikan rasa terkejut saya apabila mendapat tahu artis yang menyanyikan lagu itu adalah orang Malaysia! Kerana kualiti, irama dan lagunya tidak seperti lagu-lagu biasa yang dihasilkan oleh penggiat seni tempatan. 

Di situlah pertama kali saya mendapat tahu tentang sosok yang bernama Mizz Nina itu (nama sebenar Shazrina Azman). Dengan sedikit pembacaan, satu lagi fakta yang bagi saya mengejutkan adalah Mizz Nina merupakan anak perempuan kepada Tan Sri Azman Hashim, pengasas AmBank dan antara lelaki terkaya di Malaysia ini. Walaweh!

Tidak lama selepas itu, Mizz Nina menimbulkan kontroversi apabila membuat persembahan di sebuah konsert yang ditaja oleh sebuah syarikat pengeluar arak. Itu sahajalah yang saya tahu tentang Mizz Nina. Dan tidak berminat pon nak ambil tahu lebih lanjut. Ada lah dengar dari gosip-gosip sana dan sini yang dia mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh. 

Habis cerita. Hari berlalu seperti biasa. Langit kekal biru dan suhu di Kutub Utara dan Selatan terus berada di bawah paras beku. 

Sehinggalah saya membaca kisah penghijrahan Mizz Nina yang banyak dikongsikan di MukaBuku; bagaimana selepas menunaikan haji bersama Noh pada bulan Oktober 2013, dia telah mendapat hidayah untuk berubah. Alhamdulillah, dia membuat keputusan untuk mengenakan tudung dan berhenti daripada menyanyi buat sementara dan tidak lagi membuat persembahan di atas pentas. 

Ok lah alhamdulillah. Saya tumpang gembira mendengar berita ini. Namun tidaklah ambil port sangat sebab masa tu pon memang tengah musim ramai artis yang berhijrah; Sham Kamikaze, Bob Lokman, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Irma Hasmie dan ramai lagi artis yang telah dibukakan hati mereka untuk melakukan hijrah ke arah yang lebih baik. Moga Allah teguhkan hati mereka ini untuk terus tsabat di atas jalan perbuhan, biidznillah.

Namun ada sesuatu yang menarik dan luar biasa pada penghijrahan Mizz Nina. Pertamanya, saya melihat perubahan Mizz Nina sebagai sedikit drastik; daripada seorang artis hiphop yang bolehlah saya kategorikan sebagai liar, berubah menjadi seorang muslimah yang benar-benar bersungguh mahu kembali ke jalan Allah. 

Keduanya, perubahan yang berlaku kepada Mizz Nina selepas dia berhijrah tampak benar-benar seriyes dan ikhlas. 

Op op, kalau tak mahu kena cubit perut, jangan lontarkan tuduhan yang bukan-bukan kepada saya. Saya tidak katakan artis-artis yang berhijrah yang lainnya tidak bersungguh dan tidak ikhlas dalam berubah. Hanya Allah sahaja yang berhak menilai.

Namun pada pandangan mata kasar saya sebagai seorang manusia yang marhaen ini, saya amat kagum dengan usaha-usaha Mizz Nina dalam menelusuri jalan perubahan. Pada peringkat awal perubahannya, dia tidak mahu ditemubual. Dia terus berhenti daripada membuat persembahan secara total. Tiada publisiti. Tiada bising-bising. Dia hanya tampil bercerita tentang penghijrahannya selepas beberapa bulan berubah.

Ya, mungkin drastik pada sesetengah pihak. Tapi saya kagum. Senyum. 

Ini kenyataan Mizz Nina sendiri tentang perubahan dirinya dalam temubualnya dengan Pancaindera: 

"Tidak. Saya tak rindukan dia (Mizz Nina yang dulu). Saya dah lepaskan segalanya. Semuanya mengenai Mizz Nina dahulu tak lebih daripada sekadar stu pesona bintang di atas pentas hiburan.

Saya sudah rasai semua itu jadi tak ada apa lagi yang saya mahu kejarkan. Namun ya, kadangkal saya rindu untuk menari. Dah bertudung tak beerti saya tak boleh menari bukan? Saya boleh menari semasa menghadiri kelas senaman atau di rumah, betul tak? 

Sikap positif sebegini seharusnya ada dalam setiap wanita Islam yang bertudung. Mengikut tuntutan Islam bukan bermakna semua perkara tidak boleh dilakukan. Ada caranya untuk meneruskan minat anda. kata-kata Mizz Nina yang diluahkan semalam.

Tiada sesiapa yang paksa, saya sendiri yang memikirkan hal itu. Apa nasib saya selepas mati nanti? Cukupkah amalan saya untuk dibawa ke akhirat? Lengkapkah saya sebagai seorang isteri dan Muslimah saat masih hidup ini?

Saya buat semua ini dengan hati yang terbuka. Setiap hari saya tanam azam mahu menjadi lebih baik dari semalam. Ini bukan soal hijab sahaja. Janganlah cuma memandang luaran. Saya buat semua ini kerana Allah SWT sebab saya seorang muslim.

Kalau boleh saya tak mahu orang bertanya hal hijab ini lagi. Cukuplah dengan penjelasan ini. Usaha saya untuk beribadah dan berubah untuk kebaikan.

Kalau ada yang terinspirasi dengan perubahan saya ini, alhamdulillah. Baguslah apa salahnya kita beruba bersama-sama. Itu lebih baik."

Pergh.

Dan baru-baru ini ada orang yang kongsikan di MukaBuku, dialog yang pernah terjadi antara Mizz Nina dan suaminya Noh, ketika Mizz Nina mahu mengejutkan Noh untuk bangun menunaikan solat Subuh, yang dikongsikan oleh Noh sendiri. Kurang lebihnya begini:

"Bangunlah sayang. Kalau sayang tak mahu bangun, nanti saya masuk jannah sorang-sorang."

Terus Noh bangkit dari tidurnya! Wah! 

Bisa bikin gue potong kaki gini! Kehkehkeh. 

Banyak yang boleh kita belajar daripada penghijrahan Mizz Nina itu. Sangat banyak.

Pertamanya - meskipon bunyinya klise dan anda sudah bosan mendengarnya - adalah hidayah itu benar-benar milik Allah. Dan kerana ia adalah milik mutlak Allah, Dia berhak untuk menganugerahkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sesiapa sahaja.

"Sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki., dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
[al-Qasas, 28:56]

Kerana itu kita dilarang untuk menghukum sesiapa sahaja sesuka hati kita, apatah lagi mengkafirkan orang lain. Kerana hidayah itu milik Allah tahu? 

Keduanya, setiap orang punya titik tolaknya yang tersendiri untuk berubah. Mizz Nina dengan hajinya. Kita bagaimana? Titik tolak itu kadangkala perlu dicari dan tidak datang sendiri. Kalau mahu tunggu titik tolak dan seruan itu sampai, silap haribulan kematian dahulu yang sampai. Gulp.

Dan beranikah kita untuk menjawab di hadapan Allah nanti, yang kita tetap kekal di dalam maksiat, tidak mahu berubah dan berhijrah sewaktu di dunia dahulu kerana belum sampai seru? Aduhai. 

"...penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, 'Apakah belum pernah ada orang yang datang memberi peringatan kepadamu (di dunia)?'

Mereka menjawab, 'Benar, sungguh, seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya...'"
[al-Mulk, 67:8-9]

Nanges!

Dan ketiga, yang lebih utama, ramai orang yang mahu berhijrah, mahu berubah. Dan alhamdulillah, sememangnya ramai orang yang sudah pon beruah dan berhijrah. 

Namun ada suatu persoalan yang kerap menghantui mereka yang ditampar oleh Makcik Hidayah ini; bagaimana mahu mengekalkan perubahan itu? Bagaimana mahu istiqamah?

Kebanyakan daripada kita hanya bertahan sekejap sahaja ketika awal-awal mahu berubah. Bak peribahasa omputih, 'Warm-warm chicken shit.' Kah.

Awal-awal nak berhijrah dahulu, punyalah semangat. Yang lelaki tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid. Tukar pakai jubah pakai serban bagai. Kayu sugi tak lekang pada poket atas jubah. Tak tidur malam sebab nak bertahajud. Siang malam baca al-Quran. Puasa Nabi Daud. 

Yang perempuan pula, bukan sekadar tudung yang dikenakan, siap purdah tutup muka. Gaya dan cara hidup berubah 180 darjah serta-merta. Tiada lagi mekap. Tiada lagi gosip-gosip liar, sama ada di MukaBuku, Pengicau mahupon KitaBorak. Pergilah melilau mencari mana-mana kelas agama untuk mengaji.

MashaAllah, ini semua suatu perubahan yang baik. Amat baik.

Tapi berapa lama bertahan? Sebulan. Paling lama, sebulan setengah. Alahai.

Nah, bagaimana kita mahu atasi masalah sukar mahu istiqamah ini? Bagaimana kita mahu benar-benar berubah, bukan berubah ikut trend dan bermusim sahaja?

Puan Yasmin Mujahid di dalam bukunya yang fenomenal 'Kembalikan Semula Hati Anda' itu menggariskan tiga sebab utama mengapa penghijrahan yang berlaku itu tidak kekal lama:
  1. Ramai yang sudah berasa cukup dengan amalan-amalan yang dilakukan selepas berubah, lantas berhenti daripada beramal. Yalah daripada seseorang yang tidak pernah langsung solat, baca Quran, qiam dan sebagainya, tiba-tiba berubah menjadi seorang ostad atau ostajah; pastilah lompatan dari zero ke hero itu dirasakan hebat bukan?
  2. Ramai juga yang merasakan amalannya tidak pernah cukup dan tidak mungkin cukup dek penyesalan yang amat sangat terhadap dosa-dosa yang silam, lantas berasa bawah yang teramat dan hilang motivasi untuk meneruskan amalan. Pulak dah.
  3. Ada juga yang merasakan bahawa perubahan yang berlaku pada diri adalah disebabkan oleh usaha dan pengorbanan diri sendiri; tidak merasakan bahawa hidayah itu adalah milik Allah secara totalnya. Lantas dia menjadi sombong dan takabbur dengan perubahannya itu. 

Ketiga-tiga penyakit ini berhasil selepas syaitan meniupkan kuman-kuman jahatnya kepada kita yang baharu berhijrah. Syaitan yang sememangnya dengki pada makhluk yang bernama manusia, tidak mungkin senang melihat kita yang dahulunya menjadi pengikutnya yang setia, kini sudah berubah dan mahu kembali kepadaNya. 
Maka antara solusi yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dengan permainan syaitan laknatullah itu, dan dengan harapan kita boleh kekal istiqamah adalah:
  1. Sentiasa tajdid dan luruskan niat mengapa kita mahu berubah. Paksikan perubahan kita itu kepada Allah semata. Bukan kebetulan hadith 1 susunan Imam Nawawi itu berbicara tentang niat dan hijrah. 
  2. Jangan pernah berasa cukup dengan amalan kita yang sedikit itu. Sentiasalah kenangkan dosa-dosa dan maksiat kita yang lalu, supaya kita sedar dan tahu bahawa jalan ke sorga itu sukar dan panjang. 
  3. Pada masa yang sama, yakinlah bahawa pengampunan Allah itu jauh lebih besar daripada dosa-dosa kita dan pintu taubatNya sentiasa terbuka
  4. Teruskan beramal dalam keadaan apa sekalipon. Pedulikan kata-kata dan ejekan syaitan-syaitan dalam bentuk jin dan manusia. Anda beramal kerana Allah, bukan kerana mereka. 
  5. Bisikan-bisikan syaitan itu paling mudah menusuk apabila kita berseorangan. Maka carilah teman dan rakan-rakan yang dapat membimbing kita dan sama-sama menelusuri jalan perubahan ini.
  6. Jangan dilupakan dengan kuasa doa. Selalulah berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas Islam dan Iman ini. Beramallah dengan doa, "Allahumma ya muqallibal qulub. Tsabbit qalbi 'ala deenik." (Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati aku di atas agama ini.)

Kerana itu saya katakan saya kagum dengan Mizz Nina, kerana saya percaya dia sudah pon melaksanakan perkara-perkara seperti yang disebut di atas. Bukti bahawa dia ikhlas adalah keengganannya untuk menghebahkan kisah penghijrahannya. Dan dia juga punya Noh sebagai teman, yang bersama-sama berpimpin tangan di atas jalan perubahan. Senyum.  

Ish Inche gabbana ni. Tak payah la puji Mizz Nina lebih-lebih; merosakkan hati dia sahaja!

Haha. Saya yakin Mizz Nina tak baca penulisan ni. Dengar nama Angel Pakai Gucci pon dah angkat kening sebelah. Wahaha. Sebab tu lah saya berani nak puji lebih-lebih. Eheh.

Dan tidak, saya tidak suruh anda menjadi seperti Mizz Nina. Tetapi contohilah semangat dan keikhlasannya dalam berubah. Menjadi Mizz Nina adalah menjadi orang yang ikhlas berubah dan bersungguh mahu mengekalkan hijrah itu. 

Mizz Nina dan Noh. [Kredit]
Saya doakan setiap daripada kita yang mahu berubah, sudah berubah dan akan berubah, dikurniakan kekuatan dan keteguhan iman oleh Allah untuk kita tetap istiqamah, biidznillah.

Kerana kita semua mahu berkumpul, beramah mesra dan bergembira di sorga sana, kan?

Amiin ya Rabb!

-gabbana-

Semalam pertama kali berjumpa dengan Sham Kamikaze dan pertama kali juga mendengar dia berbicara tentang Islam, tentang hijrahnya.

Dan saya kagum. Senyum. 

18 November 2014

Salaam Akhi. Enta Apa Khabar?

[Kredit]

Telefon segi empat tepat nipis berjenama Lenovo itu bergegar. Tanda ada mesej yang masuk.

Hamidun seperti nak tak nak sahaja mengambil telefonnya itu. Seolah-olah dia sudah boleh mengagak siapa yang menghantar mesej itu.

Dia menekan punat kecil pada bahagian atas telefon. Skrin yang tadinya gelap kini bercahaya. Sekilas lalu mesej yang dihantar terpampang pada skrin lebar telefonnya. 

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Sangkaannya tepat. Abang Salikin, murabbinya. Adoi.

Masuk hari itu, genaplah lima minggu Hamidun tidak hadir ke bulatan gembiranya. Pontenglah senang kata.

Pada minggu pertama dan kedua, Hamidun punya alasan yang kukuh untuk tidak hadir. Pada minggu pertama, dia terpaksa ke luar negeri atas urusan kerja. Pada minggu kedua pula, tiba-tiba sahaja ibundanya di kampung jatuh sakit dan dia terpaksa bergegas untuk pulang ke kampungnya di Samarahan, Sarawak. Jauh bak hang!

Masuk minggu ketiga, dia sudah berasa malas untuk ke bulatan gembira. Bukan sebab tak mahu tengok wajah Abang Salikin, murabbinya yang boleh tahan hensem itu. Atau sebab malas mahu memandu ke tempat bulatan gembira yang sentiasa ditukar-tukar setiap minggu.

Tapi dia berasa segan; segan dengan Abang Salikin dan ahli-ahli usrahnya yang lain. Segan untuk menjawab nanti apabila mereka bertanyakan soalan-soalan perihal dirinya. Meski dia tahu dia punya alasan yang kukuh untuk ketidakhadirannya pada dua sesi bulatan gembira yang telah berlalu.

Maka minggu itu dia mereka alasan. Dia beritahu Abang Salikin yang kerja-kerjanya di kantor melambak, bergunung tinggi. Sememangnya kerjayanya sebagai arkitek junior di sebuah firma arkitek tersohor memerlukan komitmen yang tinggi. Memang amat mudah untuk Hamidun memberikan alasan kerjayanya sebagai benteng pertahanan diri. Dan memang mudah juga untuk Abang Salikin menerimanya. 

Namun orang seperti Hamidun, yang sudah kurang lebih tiga tahun bersama dengan tarbiyah, dia mampu sahaja untuk tidak memberikan alasan. Untuk orang seperti Hamidun, yang layaklah dipanggil budak usrah, alasan kerjaya seperti itu kelihatannya remeh dan kekanak-kanakan. Hamidun tahu itu. Malah selama ini Hamidun tidak pernah pon menjadikan kerjayanya sebagai alasan untuk tidak hadir ke bulatan gembira.

Tapi minggu itu, entah, Hamidun turut hairan, tertanya-tanya bagaimana dia cukup berani dan tergamak untuk menggunakan alasan kerjayanya. Berat juga jari-jemarinya untuk menghabiskan ayat dan menekan butang Send. Untuk menyedapkan hatinya, disertakannya emotikon senyum berpeluh. 

Masuk minggu keempat, Hamidun menjadi semakin segan. Malu untuk hadir ke bulatan gembira minggu itu. Bermacam-macam sangkaan yang bermain di kepalanya.

Ish mesti depa ingat aku futur.

Alah segan la nanti kalau Burhan tanya kenapa dah tiga kali aku tak datang usrah.

Nanti ada lah tu yang jeling-jeling. Ingat aku tak tau ke. Ish malaslah. 

Otaknya ligat memikirkan alasan apa pula yang patut diberikan minggu itu. Takkan mahu dijual lagi cerita kesibukannya di tempat kerja? Tak sanggup rasanya. 

Tiba-tiba Hamidun dapat satu idea. Idea nakal. Entah dari mana datang wahyu. 

Malam itu Hamidun pulang awal dari tempat kerja. Jam enam setengah dia sudah ada di rumah. Memang luar biasa. 

Dia cepat-cepat bersiap untuk berjemaah Maghrib di masjid. Usai solat, dia segera ke restoran Mamak at-Taqwa tidak jauh dari masjid untuk menikmati makan malamnya. Capati dan ayam tandoori; pantas dan mudah. Juga secawan teh o' limau panas.

Tepat jam lapan malam, dia bergegas pulang ke rumah setelah menjelaskan enam ringgit lima puluh sen kepada mamak cashier. Dia sempat tersenyum lebar kepada mamak itu kerana tidak sabar untuk melaksanakan pelan tindakannya. 

Sampai sahaja di rumah, setelah berkumur dan menggosok gigi sekadar mana, cepat-cepat dia naik ke atas katil dan menyelimutkan dirinya dengan duvet tebal yang dibeli di IKEA tidak lama dahulu. Dia meletakkan telefonnya di sisinya dengan mod senyap terpasang. Sebelum itu dia sempat memasang penggera setiap setengah jam bermula jam satu pagi untuk mengejutkan dirinya menunaikan solat Isyak.

Esoknya, apabila waksep dari Abang Salikin masuk, bertanyakan perihal dirinya malam sebelumnya, dengan yakin Hamidun membalas,

"Asif bang. Semalam ana tertidur awal."^^"

Sengal. Memang sengal.

Boleh tahan bijak aku ni, getus Hamidun.

Hari ini sudah masuk minggu kelima. Hamidun sudah mati akal, alasan apa lagi yang mahu diberikan.

Jauh di sudut hatinya, Hamidun tidak mahu ini berterusan. Dia mahu kembali semula berbulatan gembira. Dia rindukan bulatan gembiranya. Dia rindukan kepetahan Abang Salikin berbicara dan menyentuh hati-hati yang ada dengan taujihatnya yang menggugah jiwa. Dia rindukan keletah Zunnurain yang tidak pernah duduk diam itu. Dia rindukan ekspresi Malik yang sering malu-malu apabila diusik. Dia rindukan buah fikiran yang rasional dan bijaksana oleh Farid. Dia rindukan bicara Burhan dengannya setiap kali usai bulatan gembira. Dia rindukan akviti mengeteh dengan ahli-ahli bulatan gembiranya. Dia rindukan semua itu. 

Jujur, dia tidak mahu futur. Dia takutkan kefuturan. Cerita-cerita gugurnya ikhwah di atas jalan dakwah yang selalu dikisahkan oleh Abang Salikin di dalam bulatan gembiranya, kini sedang dihadapinya sendiri. Jauh di sudut hati, dia takut. Dia gerun. Dia risau. 

Namun entah mengapa, perasaan segan dan malunya untuk bertemu dengan ikhwah, untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya, untuk berhadapan dengan Abang Salikin, mengatasi segala-galanya. Perasaan itu yang lebih menguasai rasional pemikirannya. 

Sejak minggu pertama dia tidak hadir ke bulatan gembira, Abang Salikin tidak pernah letih menghantar waksep kepada Hamidun. Dan setiap kali itu, pasti waksepnya akan dimulakan dengan kata-kata yang sama dengan emotikon yang sama;

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Hati Hamidun berdebar-debar setiap kali menerima waksep dari Abang Salikin. Dia terasa seperti dia dibicarakan. Dia terasa seperti Abang Salikin mahu menyoal siasatnya. Dia terasa seolah-olahnya Abang Salikin mahu mencari kesalahannya. 

Dia tahu semua itu hanyalah dzan yang lahir dari nafsu dirinya. Dia tahu semua itu adalah bisikan syaitan yang mahu memporakperandakan ukhuwwahnya dengan Abang Salikin.

Namun bisikan-bisikan itu seperti bertubi-tubi menyerang dirinya. Kebelakangan ini, bisikan-bisikan itu semakin kuat didengari. Dia rimas apabila mendapat mesej waksep dari Abang Salikin. Dia curiga. Dia tidak percaya. 

Akhirnya pada minggu itu, minggu kelima sejak dia tidak lagi hadir ke bulatan gembira, dia mengambil keputusan yang sukar; dia mahu mendiamkan diri sahaja. Dia tidak mahu membalas waksep Abang Salikin atau Burhan atau Zunnurain. Dia mahu berehat. Dia mahu diberikan masa. 

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Direnungnya waksep Abang Salikin itu. Timbul rasa sayu dan sebak pada diri Hamidun. Dia memejamkan mata dan membiarkan dirinya begitu untuk seketika. Dia tekad. Waksep Abang Salikin itu tidak akan dibalasnya.

Minggu keenam berlalu. Selang sehari, pasti Hamidun akan menerima waksep dari Abang Salikin.

"Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)"

Begitu juga dengan minggu ketujuh dan kelapan. Abang Salikin seperti tidak pernah letih, tidak pernah berputus-asa untuk menghantar waksep dengan lima perkataan ringkas itu.

Salaam akhi. Enta apa khabar? ;)

Masuk minggu kesembilan, Hamidun tidak lagi menerima waksep dari Abang Salikin. Hari pertama dan kedua, Hamidun berasa sedikit lega. Namun masuk hari ketiga, entah mengapa timbul rasa cemas dalam dirinya. Hari itu berlalu tanpa sebarang waksep yang masuk dari Abang Salikin.

Masuk hari keempat, selang sepuluh minit, Hamidun merenung skrin telefonnya, dengan harapan tertera nama Abang Salikin. Dia seperti orang gila. Tidak senang duduk. Asyik-asyik dia akan menekan punat pada bahagian atas telefonnya, dengan harapan yang samar-samar dia terlepas pandang mesej Abang Salikin.

Dia hampa. Dia seperti tidak percaya. Masakan Abang Salikin boleh lupa pada dirinya?

Oh macam ni lah ikhwah! Konon ukhuwwah fillah bagai! Mana entah pergi uhibbuka fillah semua tu! Bila orang dah jadi macam ni, tiada siapa yang peduli! Pffftt! 

Hatinya memberontak. Dia tahu, dia tiada hak untuk menyalahkan sesiapa di dalam hal ini, melainkan dirinya. Namun nafsu amarahnya menguasai dirinya. Semua orang pon salah. Semua orang pon tak betul. Semua orang tak peduli lagi pada dirinya. Semua orang tak sayang dirinya. Semua orang dah lupa dirinya. Termasuk Abang Salikin!

Malam itu sebelum tidur, Hamidun bermuhasabah panjang; suatu ritual yang sudah lama ditinggalkannya. Sebelum memejamkan mata, dia sempat menjeling pada skrin telefonnya. Masih ada sisa-sisa harapan yang nama Abang Salikin atau siapa-siapa sahaja ahli bulatan gembiranya yang akan muncul. Dia rindu pada kalimah itu;

Salaam akhi. Enta apa khabar?

Malam itu Hamidun tidur bertemankan embun panas yang membasahi pipinya.

Hamidun terjaga kurang lebih jam empat dua puluh lima minit pagi. Dia menggosok-gosok matanya yang bertahi itu dan kemudian meregangkan otot tangan dan kakinya. 

Fikirannyanya kosong. Lama dia duduk di atas katilnya tidak berbuat apa-apa. 

Akhirnya dia mengambil telefonnya, menggaru-garu skrin telefon dengan corak tertentu sebagai kata laluan untuk masuk dan terus ke aplikasi waksep. 

Dia membaca beberapa mesej yang belum dibacanya. Kemudian dia segera menekan ikon untuk menulis mesej baharu.

Dia menatal senarai nama-nama yang tertera dan dengan segera menekan pada nama Abang Salikin. Ditariknya nafas dalam-dalam dan dengan pantas dia menekan aksara-aksara yang tertera pada skrin telefonnya.

"Salaam bang. Abang apa khabar? ;)"

-gabbana-  

Saya masih menanti-nanti penyertaan-penyertaan masterpiece untuk Pertandingan Mereka Kaver Baru IPJ. Saya tahu ramai yang mempunyai bakat yang luar biasa di luar sana. 

Ayuh! Apa yang anda tunggu lagi tu? Cipta sejarah atau anda yang akan menjadi sejarah! Eceh.

17 November 2014

Motivasi Di Atas Jalan Dakwah

[Kredit]

Apabila kita mula berasa penat dengan kerja-kerja dakwah kita; sering pulang lewat malam kerana banyaknya bulatan gembira yang dibawa, dengan entah pelbagai isu tarbiyah dan dakwah yang perlu ditangani, jemputan-jemputan mengisi di konferens riang yang tidak berhenti, belum dihitung campur perangai hadek-hadek yang entah beraneka rupa, juga dengan pelbagai masalah peribadi... Ketahuilah bahawa rehat yang abadi hanya di sorga sana.

Tatkala kita mula berasa mahu berputus-asa dengan dakwah ini dek keberhasilan dakwah yang cukup mengecewakan, mad'u yang lari angkat kaki, ikhwah akhawat yang sering bertengkar dan berperang waksep hanya kerana perkara-perkara remeh dan temeh, masalaah taadud jemaah yang sentiasa pasang dan tidak pernah surut... Ketahuilah bahawa masih ramai lagi manusia di luar sana yang memerlukan sentuhan rabbani menerusi tangan-tangan kita.

Ketika mana kita mula berasa 'mahalnya' pengorbanan kita di atas jalan dakwah ini; duit yang terpaksa dibelanjakan untuk minyak dan kereta, tenaga yang dihabiskan untuk amal-amal menyantuni masyarakat, masa yang diluangkan untuk bermuayasyah bersama mad'u sedangkan keluarga sendiri entah ke mana, jawatan atau kedudukan yang terpaksa kita lepaskan, emosi yang terpaksa ditahan dan dijinakkan hanya kerana mahu itsar pada ikhwah dan akhawat yang lainnya... Ketahuilah sorga itu sememangnya mahal, amat mahal harganya.

Di kala kita merasakan bahawa kita tidak memperoleh apa-apa daripada dakwah ini; hanya ejekan dan jelingan yang diterima, tiada bonus atau ganjaran yang menjadi pembakar semangat untuk lebih kuat bekerja, tiada juga pujian atau penghargaan daripada sesiapa, malah terpaksa pula menanggung pelbagai ujian baik dari segi harta, keluarga mahupon kerjaya... Ketahuilah, dakwah ini sememangnya tidak memerlukan kita.

Tika mana kita membandingkan diri kita dengan mereka yang tidak bersama-sama dengan gerabak dakwah ini dan berasa cemburu dengan mereka; cemburu pada harta yang mereka berjaya kumpulkan, cemburu pada tempat-tempat pelancongan yang pernah mereka lawati, cemburu pada jawatan dan kedudukan yang mereka pegang, kecewa dengan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka... Ketahuilah bahawa kerja-kerja dakwah yang sedang anda lakukan itu lebih besar nilainya dari seluruh dunia dan seisinya.

Pabila kita sudah tidak tertahan lagi dengan ujian dan mehnah di atas jalan dakwah ini, terasa terpukul dengan cubaan yang datang bertubi-tubi, terduduk dengan entah beraneka tribulasi yang tidak henti-henti, naik stress dan migran dengan entah bermacam macam masalah yang perlu ditangani, mahu muntah dengan entah apa-apa yang memakan dan menyeksa diri...Ketahuilah Rasulullah, para sahabat dan generasi awal telah melaluinya malah lebih teruk dan dahsyat lagi. 

Apabila kita merasakan diri kita mahu futur daripada jalan ini, berasa muak dan rimas dengan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah yang dirasakan rutin itu, sudah bosan menjadi 'orang baik', sudah tidak berasa basah lagi dengan pengisian-pengisian ruhiyah yang dahulunya menggugah jiwa, tidak terasa lagi dengan kehangatan ukhuwwah... Ketahuilah dakwah ini tidak akan rugi apa-apa dengan gugurnya kita di atas jalan ini.

Tatkala kita berasa semakin jauh dari Allah, malu dengan jahiliyyah dan dosa-dosa yang masih belum kita tinggalkan, merasakan diri tidak layak lagi untuk bersama-sama dengan gerabak dakwah ini, berasa lemah dan sakit untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini... Ketahuilah Allah itu sentiasa ada, sentiasa dekat di sisi kita, sentiasa menanti-nanti agar kita kembali.

Bergembiralah kerana yang kita kejar adalah redhaNya, bukan redha manusia. 

Bergembiralah kerana menyambung mata rantai dakwah yang ditinggalkan Nabi.

Bergembiralah kerana kita sebenarnya sedang menyelusuri jalan yang sama yang pernah dilalui oleh para Nabi.  

Bergembiralah kerana kita punya akaun saham-saham sorga yang harganya menaik saban hari.

Bergembiralah kerana dengan ujian dan mehnah yang kita lalui, Allah sedang menaikkan darjat kita.

Bergembiralah dengan pengorbanan kita yang sedikit itu, kerana ia adalah tiket kita ke sorga.

Bergembiralah kerana menjadi dai'e, suatu gelaran yang amat mulia di seluruh galaksi Bimasakti.

Bergembiralah kerana telah dipilihNya untuk berada di atas jalan ini.

Bergembiralah!

"Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itu adalah kemenangan yang agung."
[at-Taubah, 9:111]

-gabbana-

13 November 2014

Efek Murabbi

[Kredit]

murabbi
/moo`rob:bi/
kata nama 
Gelaran yang diberikan kepada seorang pentarbiyah (orang yang mendidik). Tak semestinya ensem, tapi konfem osem dan bergaya!

Ada empat elemen utama dalam tarbiyah:
  • murabbi
  • mutarabbi (orang yang ditarbiyah)
  • manhaj (silibus)
  • biah (persekitaran/suasana)
Kesemua elemen ini saling melengkapkan. Tanpa salah satu daripadanya, tarbiyah tidak mungkin dapat dihidupkan. Namun, antara keempat-empat elemen ini, tidak dapat diragukan lagi bahawa murabbi itulah yang paling penting.

Mengapa?

Tidak mungkin akan ada istilah mutarabbi itu jika tiada murabbi yang mencarinya. Manhaj tidak mungkin dapat dihidupkan tanpa ada tangan-tangan murabbi yang membangunkannya. Dan biah juga tidak dapat dibina andai si murabbi tidak memainkan peranannya. 

Untuk anda yang telah dan sedang merasakan betapa manisnya tarbiyah dalam erti katanya yang sebenar, sukar untuk saya gambarkan yang tidak pernah terlintas langsung di dalam kepala otak anda impian untuk menjadi seorang murabbi. 

Saya pasti ramai yang telah tersentuh dengan sosok yang bernama murabbi itu. Anda yang melihat sendiri pengorbanan, kesungguhan, keikhlasan dan semangat sang murabbi, pastinya menanam azam dan tekad untuk menjadi seorang murabbi juga; jika tidak sama hebat dengan murabbi anda, lebih hebat lagi! 

Ganjaran menjadi seorang murabbi ini juga tiada tolok tandingnya. Antara hadith feveret saya, yang sentiasa menjadi pendorong dan motivasi untuk saya bekerja lebih gigih dan bersemangat di atas jalan ini adalah hadith unta merah:

"Demi Allah! Sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana [usaha dakwah] mu, maka itu lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta merah."

[Hadith Riwayat Muslim] 

Err. Siapa yang nak unta Inche gabbana? Kaler merah pulak tu. Like... Ewww?

Ok tak perlulah gedik sangat. 

Unta merah tu, pada zaman Nabi, adalah harta yang paling berharga buat kaum Arab. Jadinya Nabi SAW nak beritahu kita, ganjaran untuk keberhasilan dakwah adalah jauh lebih bernilai daripada sesuatu yang paling berharga untuk kita.

Jadi boleh je anda nak tukarkan unta merah tu kepada Ferrari merah ke, Lamborghini ke, Aston Martin ke, jet pejuang peribadi ke. Ada faham?

Dalam riwayat lain, disebut dunia dan seisinya. Dunia dan seisinya. DUNIA DAN SEISINYA KOTTT! Wey, apa lagi yang anda mahu..?? 

Bukan, kita tidak menginginkan ganjaran dunia untuk segala kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita. Bukan itu yang kita mahukan. Cukuplah keredhaan Allah menjadi motivasi utama untuk kita terus bekerja dan berkhidmat untuk agama ini. 

Namun Allah, ketua segala pakar psikologi kepada manusia, Maha Mengetahui fitrah makhlukNya yang bernama manusia itu. Maka suatu perbandingan perlu dilakukan untuk kita benar-benar memaknai ganjaran usaha-usaha dakwah kita. Senyum.

Waima pon begitu, menjadi murabbi itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kata orang, tidak semudah memasak megi, apatah lagi menggoreng char koay teow telor dibasuh. Err.

Iyalah, untuk sesuatu yang ganjarannya sehebat unta merah malah dunia dan seisinya itu, tidak mungkinlah untuk mendapat semua itu kita hanya perlu goyang kaki sambil makan popkon di hadapan telebisen sahaja kan? 

Dan yang menjadikan tugas seorang murabbi itu sukar adalah kerana dia berhadapan dan berurusan dengan manusia. Manusia yang punya entah bermacam karenah, peel, perangai dan tingkah laku. Dan yang menjadikan semua itu lebih kompleks dan kerapkali membuatkan sang murabbi menggaru-garu kepalanya adalah kerana di dalam diri manusia itu ada seketul daging yang sentiasa berbolak-balik; hati.

Kata Syaikh Mustafa Mahsyur, membina manusia itu lebih sukar, jauh lebih sukar daripada usaha-usaha membina kilang. 

Anda benar wahai syaikh. Saya menjadi saksi betapa benarnya kata-kata anda itu.

Camtuhaaa. 

Sedar atau tidak, sang murabbi itu sebenarnya mempunyai kesannya yang tersendiri kepada mutarabbinya. Saya panggil ini sebagai efek murabbi; segala tingkah laku dan perbuatan sang murabbi sebenarnya akan memberikan kesan kepada orang-orang yang ditarbiyahnya, sama ada secara langsung ataupon tidak.

Hal inilah yang sebenarnya merupakan antara cabaran terbesar buat diri yang bergelar murabbi. Kadangkala sang murabbi pening dan hampir pecah kepala memikirkan entah bermacam solusi untuk menangani dan menyelesaikan masalah-masalah mutarabbinya; tanpa disedarinya bahawa punca sebenar kepada semua permasalahan itu adalah dirinya sendiri.

Kata omputih, "What goes around comes around."

Gulp. Apa... Apa maksud anda Inche gabbana..? 

Begini. 

Kadangkala kita hairan mengapa mutarabbi kita tidak tsiqah pada kita. Walhal amal-amal kita belum cukup mantap, bahan bacaan firah kita tidaklah seluas mana dan akhlak kita sendiri kadangkala mengalahkan beruang hitam yang sudah kebuluran selama sebulan. 

Nah, bagaimanalah si mutarabbi mahu tsiqah kepada kita?

Kadangkala kita marah, geram dan jelik dengan si mutarabbi yang asyik tidur sahaja di dalam bulatan gembira; baharu buka dengan al-Fatihah sudah tersengguk-sengguk mengeluarkan bunyi ala enjin jet lagaknya. Walhal kita pon punya perangai yang sama di dalam bulatan gembira kita sendiri! Ops.

Kadangkala kita terasa seperti mahu babab sahaja si mutarabbi kita yang lembam, gemok dan tidak bersungguh-sungguh mahu melakukan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah. Rupa-rupanya kita pon tidak jauh bezanya; bawa bulatan gembira sekadar nak melepaskan batok di tangga, lebih mengutamakan hal-hal peribadi daripada mahu bermuayasyah bersama mutarabbi terchenta dan tidak bersungguh-sungguh dalam mahu menegakkan syahadatul haq yang selalu kita canang-canangkan itu. Alahai. 

Kadangkala kita hairan mengapa punyalah sukar mutarabbi kita itu mahu melengkapkan mutabaah amal harian dan mingguannya. Oh rupa-rupanya kita pon sama malas dan lembab dalam melangsaikan mutabaah amal kita. Ceh.

Kadangkala kita terpaksa menahan sabar dan marah dengan sikap mutarabbi yang suka dan mudah memberikan alasan; kucing nenek mati kena langgar lah, atuk saudara belah abang angkat ayah meninggallah, itu lah ini lah. Sehingga kita buntu bagaimana mahu menanganinya. Sehinggalah kita sedar bahawa diri kita juga sebenarnya amat mudah mencari dan mereka alasan setiap kali komitmen dan tenaga kita ditagih. Adeh. 

Dan kadangkala kita tidak faham mengapa si mutarabbi begitu susah mahu membuka cerita dan tidak suka berkongsikan masalah-masalahnya. Macam mana kita nak bantu dan selesaikan masalahnya bukan? Walhal kita juga jarang-jarang sekali berkongsi rasa dan cerita dengan mutarabbi kita. Sukar benar mahu kita luangkan masa berborak-borak bantal mesra dengannya. Aduhai.  

Aaaah Inche gabbana! Cukup! Cukuuupp! Dah koyak rabaaak dah niii!

Err. Ok asalkan anda faham baguslah. Eheh.

Itulah yang saya gelarkan sebagai efek murabbi. Kita yang bergelar murabbi ini sebenarnya punya pengaruh yang cukup besar pada anak-anak binaan kita itu. 

Setiap percakapan, perbuatan, tingkah laku, keputusan, amalan dan sikap kita mempunyai kesan kepada jiwa-jiwa yang mahu kita bina itu.

Perkataan murabbi itu sendiri sudah cukup agung dan mendalam. Kata akarnya adalah raa baa baa, yang bermaksud:

"To be a lord and master, collect, possess/owner, rule, increase, complete, bring up, preserve, chief, determiner, provider, sustainer, perfecter, rewarder, creator, maintainer, reposer of properties, developer, former of rules and laws of the growth, foster a thing in such a manner as to make it attain one condition after another until it reaches its goal and completion."
-Bayan Quran 

Foster a thing in such a manner as to make it attain one condition after another until it reaches its goal and completion.

Subhanallah. 

Seorang murabbi itu tidak akan pernah berhenti mendidik, membina dan menyantuni mutarabbinya sehinggalah dia mencapai misi dan obejktifnya; mati syahid atau hidup mulia!

Subhanallah sekali lagi. 

Murabbi itu bukan sekadar seorang ustaz dan ayah, bukan juga setakat seorang syaikh dan pemimpin. Tapi murabbi itu seorang sahabat, seorang konsultan, seorang psikiatris, seorang pegawai keselamatan, seorang tukang masak, seorang pembuat kek, seorang ahli sukan, seorang bantal, seorang paha, seorang beg tumbuk, seorang bahu, seorang telefon, seorang macam-macam lagi lah!

Ya, ia penat, sukar, melemaskan, merimaskan dan benar-benar mencabar. 

Tetapi menjadi murabbi itu juga memberikan kepuasan yang tiada tolok tandingnya, menghidupkan, menyegarkan, menghiburkan dan membahagiakan.

Dengan syarat, kita menjadi seorang murabbi yang memberi kesan. 

Murabbi yang memberikan efek sehingga ke sudut hati yang paling dalam.

Senyum.

-gabbana- 

11 November 2014

Jangan Biarkan Mukabuku Menghancurkan Hidup Kita

[Kredit]

Sekiranya abad kesembilanbelas dahulu sinonim dengan revolusi perindustrian dan abad keduapuluh dengan peperangan, saya kira abad keduapuluhsatu akan dikenang sebagai zaman yang diledakkan dengan revolusi digital. Perkembangan teknologi digital dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini amatlah rancak (dan mengerikan!) sehinggakan terlalu banyak penemuan dan ciptaan baru, sama ada berguna atau pon tidak, telah dihasilkan.

Meskipon tidaklah sama dengan apa yang diramalkan oleh Fujio F. Fujiko di dalam karya agungnya, Doraemon itu! Ahah. 

Dalam tempoh sedekad yang pertama, nama-nama seperti Yahu, Gugel dan Maikerosof menguasai pentas era digital ini. Kemudian di penghujung dekad itu, nama-nama seperti Epal, Mukabuku, Alibaba dan Samsung pula yang mengambil alih. Gugel kekal sebagai antara pemain utama di atas padang revolusi digital ini. 

Dan di dalam banyak-banyak jenama ini, saya kira Mukabuku adalah antara yang paling berpengaruh sekali, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Memang sukarlah juga untuk saya menemukan siapa-siapa yang tidak mempunyai akaun Mukabukunya sendiri. Cikgu sekolah rendah, penjual nasi lemak, eksekutif bank pelaburan, peguam syariah, jurulatih gimnastik, murid tadika, makcik jiran sebelah rumah... Hampir semuanya mempunyai akaun Mukabuku sendiri!

Pertimbangkan fakta-fakta yang meletupkan minda ini:

  1. Jumlah pengguna Mukabuku secara bulanan kini menyamai jumlah rakyat China (1.35 bilion manusia). 
  2. Secara puratanya, pengguna telefon pintar memeriksa Mukabuku sebanyak EMPAT BELAS KALI sehari. Yang tiada telefon pintar nampaknya lebih pintar di situ.
  3. Pengguna Mukabuku mencari (Baca: Search) sebanyak SATU bilion kali sehari. Apa yang dicari tu bang?
  4. Pengguna biasa menghabiskan sekurang-kurangnya EMPAT PULUH minit sehari dengan Mukabuku. Kalau baca Quran dah boleh habis sejuzuk tu! 
  5. Lebih DUABELAS bilion mesej dihantar melalui Mukabuku. Jika itu ditukarkan kepada zikrullah, entah berapa bilion pahala yang telah berjaya dijana!
  6. Ada kemungkinan besar nenek dan atuk anda juga merupakan pengguna Mukabuku. Lebih 45% daripada pengguna internet berusia 65 tahun ke atas mempunyai akaun Mukabuku mereka sendiri
  7. 47% daripada para pengguna Mukabuku berusia 18-34 tahun akan memeriksa akaun mereka sebaik sahaja bangun daripada tidur. Baca doa bangun tidur lagi bagus!
  8. Menurut suatu kajian, satu daripada tiga orang berasa tidak puas dengan hidupnya setelah melawati Mukabuku. 
  9. Satu pertiga daripada semua kes pendaftaran cerai di Amerika Syarikat pada tahun 2011 mengandungi perkataan 'Mukabuku.' 
  10. Beberapa orang telah mati dibunuh kerana telah membuang kawan (Baca: Unfriend) daripada senarai kawan-kawan Mukabuku mereka. Gila!   
Fuh. Gila kan pengaruh Mukabuku dalam kehidupan seharian kita? 

Tanpa fakta-fakta ini pon kita tahu yang sebenarnya hidup kita amat dipengaruhi oleh Mukabuku. Tanpa kita sedari, kita sudah pon sebenarnya ketagihan Mukabuku. Apa simptom-simptomnya?

Kita berasa amat seronok, teruja hingga ke langit apabila post kita diLIKE oleh orang lain. Sebaliknya, kita berasa tertekan apabila berpeluh-peluh otak kita memikirkan status bombastik untuk ditulis, tetapi jumlah yang mengeLIKE boleh dikira dengan jari.

Kita berasa kechiwa mahu terjun gaung apabila permintaan untuk berkawan (Baca: Friend request) kita ditolak. Apatah lagi apabila yang menolak itu adalah cik adik manis yang sudah menjadi pojaan hati kita sejak sekian lama! Eh.

Kita berasa resah gelisah sekiranya seharian tidak membuka Mukabuku. Rasa macam tak boleh nak hidup apabila kita masuk kampung atau hutan yang tidak mendapat talian internet.

Kita bergaduh, bertekak dan bercakaran dengan rakan-rakan Mukabuku kita untuk sesuatu yang remeh dan temeh. Nasib baik dalam Mukabuku tiada aplikasi tarik rambut. Heh.

Kita percaya bulat-bulat dan segi empat-segi empat segala macam berita dan fakta yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita tekan semua pautan dan kita cuba semua permainan yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita gemar meng'stalk' orang lain. Espeseli kalau kita minat orang tu. 

Telefon pintar kita hurung ke mana-mana agar tidak terlepas hadpet-hadpet Mukabuku yang terbaru, hatta ketika sedang berurusan di jamban. Erk. 

Hidup kita sehari-hari terasa tidak lengkap tanpa memerika Mukabuku dahulu. Sebelum pergi kerja, sebelum mula bekerja, sebelum siram bunga, sebelum pergi jogging, sebelum segala-galanya. 

Kalau nak luah perasaan, mengomel atau apa-apa sahajalah, kita lebih gemar untuk tulis status Mukabuku daripada beritahu rakan-rakan secara langsung dan berdepan.

Kita rasa tak boleh tidur malam, makan tak kenyang dan berak pon tak puas kalau seharian tak buka laman Mukabuku Angel Pakai Gucci. Eh? Wahahaha. 

[Kredit]
Nah ketahuilah, sekiranya kita mempunya salah satu, salah dua, salah tiga atau salah semua daripada simptom-simptom di atas, kita wajar menggaru kepala kita dalam kerisauan. Kerana kita sebenarnya sudah pon ketagihan Mukabuku. 

Dan yang lebih menakutkan andai kita sebenarnya telah menjadikan Mukabuku sebagai ilah (sembahan) kita! Nastaghfirullah. Nanges.

"Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
[al-Ankabut, 29:64]

Ketahuilah, kehidupan ini lebih daripada sekadar memperpanjangkan senarai rakan-rakan di Mukabuku.

Kehidupan ini jauh lebih bermakna daripada bersusah-susah memerah otak memikirkan status yang paling gempak untuk mendapatkan jumlah LIKE terbanyak.

Kehidupan ini jauh lebih berharga daripada kita sibuk berjiddal, bertengkar dan berbalah tentang isu-isu cabang di Mukabuku yang tidak membuahkan amal.

Kehidupan ini jauh lebih mahal daripada keseronokan dan kepuasan yang kita peroleh apabila kita berjaya mengstalk seseorang dan berjaya pula mendedahkan identitinya. 

Kehidupan ini jauh lebih bernilai daripada rasa gusar dan sedih kita, rasa resah dan meroyan kita apabila kita gagal mendaftar masuk ke dalam Mukabuku. 

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka chentai seperti menchentai Allah."
[al-Baqarah, 2:165]

Tarik nafas.

Jangan biarkan Mukabuku mempengaruhi hidup kita.

Jangan biarkan Mukabuku memporakperandakan kehidupan rumah tangga kita (Ehem!).

Jangan biarkan Mukabuku menentukan sedih gembira suka dukanya kita.

Jangan biarkan Mukabuku mendefinisikan persahabatan kita dengan rakan-rakan kita. 

Dan jangan sesekali biarkan, walau seketika, walau sesaat, untuk Mukabuku menghancurkan hidup kita.

Kata Saidina Ali r.a., "Zuhud itu bukanlah dengan kita tidak memiliki apa-apa. Tapi zuhud itu adalah tidak membiarkan apa-apa memiliki kita." 

Dan oh, kepada para pengguna Instagram, Pengicau, Ask.fm dan lain-lain yang sewaktu dengannya, yang mungkin tersenggih-senggih membaca post ini sambil berkata kepada diri, "Padan muka kau wahai pengguna Mukabuku!", ketahuilah, post ini juga untuk anda.

Aman, tanpa perang.

-gabbana-

Sedikit ironi apabila post ini juga dipromosikan di Mukabuku. Mihmih.

Sumber fakta Mukabuku:
1) http://www.jeffbullas.com/2014/07/29/25-facebook-facts-and-statistics-you-should-know-in-2014/
2) http://www.factslides.com/s-Facebook
3) http://www.cnbc.com/id/101611586#.
4) http://www.searchenginejournal.com/25-amazing-facts-facebook/88733/   

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP