5 September 2014

Makan Untuk Hidup Bukan Hidup Untuk Makan. Tahu?

[Kredit]

Makan.

Siapa yang tak suka makan? Siapa yang tak suka dengan makanan?

Kehidupan kita sehari-hari wajib tidak boleh dipisahkan dengan makan dan makanan. Terutamanya kita yang cukup bertuah untuk hidup di bumi Malaysia ini.

Semua benda pon boleh dikaitkan dengan makanan. Perbualan sehari-hari tidak sah kalau bukan pasal makanan. Sungguh, makanan menyatukan kita semua.

Weh, nak makan mana siang ni? Hari ni banana leaf ok?” Tanya Saifudin Abu Bakar kepada rakan sekerjanya, Arumugam a/l Palaniappan.

“Eh Jah, tolong ajar aku sikit resipi masak lemak daging salai lejen kau tu. Aku nak buat seprais la kat laki aku malam ni!” kata Zainab Kasim kepada jiran sebelang tiga buah rumahnya, Azizah Ismail.

“Apaaa?? Hang tak penah pekena cendoi bawah pokok tu?? Hang rugi besaq! Dia punya cendoiii.. Masyuuuk!” Teriak Raisudin Osman kepada rakannya sejak kanak-kanak Ribena, Chong Ah Wat. 

"Kau dah try dah sushi udang bakar mayonais wasabi dekat Sushi Tei tu? Belum? Kau wajib pergi try." Abhiset Sepai Sepai cuba meyakinkan adik iparnya, Sumkhuvit Kulalongkorn. 

"Aku rasa teh tarik kat mamak seksyen 15 tu paling epik sekali. Buih dia je dah 3 inci. Sekali kau minum, rasa macam berterbangan di angkasa!" Bersungguh-sungguh Fakri Abdullah bercerita kepada rakan-rakannya. 

Hebat tak hebatnya rakyat Malaysia ni, sewaktu sarapan pagi sudah berbicara tentang nak makan apa untuk makan tengah hari nanti. Sewaktu makan tengah hari rancak berborak tentang tempat makan yang akan dikunjungi untuk makan malam pula. Dan sewaktu makan malam, asyik mencari-cari tempat makan rare yang mahu dikunjungi di hujung minggu nanti! Peluh besar. 

Makanan dan rakyat Malaysia sungguh tiada apa yang dapat memisahkan.

Malah sehingga ke satu sisi yang sedikit ekstrem, ada dalam kalangan kita yang sanggup ‘berkorban’ hanya kerana nak makan dan demi makanan.

Suatu ketika, seorang rakan pernah berkongsi bagaimana dia dan seorang lagi rakannya pernah memecut ke Ipoh dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menikmati makan malam di sana. Pergh.

Seorang rakan lain pernah berkongi yang dia pernah berborak dengan seorang pakcik yang sanggup bermusafir di tengah-tengah malam bersama isterinya, hanya kerana mahu menikmati semangkuk cendol di Muar pada keesokan harinya. Geleng kepala.

Dan baru-baru ini seorang rakan berkongsi cerita bagaimana ayah sahabatnya yang selama ini menaiki kapal terbang atas urusan perniagaan di Pantai Timur, kini sanggup untuk memandu hanya kerana mahu singgah menikmati juadah makanan. Gigih betul.  

Juga seorang ustaz menceritakan, bagaimana dia 'terpaksa' membayar ratusan ringgit untuk beberapa biji durian Raja Musang, hanya kerana tidak mahu menanggung malu kerana sebelumnya dia tidak tahu durian itu adalah durian jenis Raja Musang. Gelak kecil.

Saya sendiri mengaku, kadangkala apabila pergi berjaulah ke mana-mana negeri, pasti soal makanan yang akan ditanya.

“Sini apa yang sedap?”

“Eh bawaklah ana mana-mana tempat makan yang best.”

“Weh alang-alang dah kat Pulau Pinang ni, apa lagi..?? Char koay teow telur dibasuh Sungai Dua lah!"

Err. Tersipu-sipu. 

'Telur ayam dibasuh' tu sumpah lejen. [Kredit]

Di dalam fasa awal dakwah, tiada siapa yang boleh menyangkal hakikat bahawa makanan adalah antara senjata terutama dakwah fardhiyyah untuk menarik perut hati mad'u-mad'u baru. Untuk pelajar obesi terutamanya, siapa yang sanggup untuk menolak pelawaan abang-abang senior untuk menikmati hidangan nasi dagang dengan gulai ikan, diserikan pula dengan lompat tikam sebagai pencuci mulut? Pergh. 

Bayangkan, hati mad'u mana yang tidak cair melihat abam murabbi atau hakak murabbiah yang sanggup meredah ribut salji, angin taufan dan hujan batu, membawa bersama-samanya tupperware yang berisi dengan nasi hujan panas dan ayam masak merah, yang masih panas mengeluarkan asap apabila kita membukanya, mengeluarkan aroma yang mewangi yang cukup mengecurkan air liur? Walaweh!

Seperti yang selalu saya canang-canangkan; dari perut naik ke hati. Wahahaha. Begitulah betapa berpengaruhnya makanan dalam kehidupan seorang dai'e. 

Pada masa yang sama, makanan juga merupakan punca kepada banyak penyakit terutamanya di zaman yang serba moden. Makanan yang sudah ditambah dan dicucuk dengan entah apa-apa bahan kimia telah menyebabkan tubuh badan manusia bermutasi menjadi raksasa gorgon berekor serigala dan berkepala naga. Err. 

Kanser, darah tinggi, angin ahmar, gout dan kencing manis antaranya, adalah antara penyakit-penyakit merbahaya yang disebabkan oleh makanan dan pemakanan. Walaupon kencing manis itu kadangkala boleh juga disebabkan oleh ukhuwwah fillah yang terlalu suwit dan mencairkan. Wahahaha. 

Sepertimana sabda Nabi SAW:

"Sumber daripada penyakit adalah perut. Perut adalah gedung penyakit dan berpuasa adalah ubatnya."

[Hadith Riwayat Muslim]

Ya, semua ini kisah benar tentang makanan. Betapa hebat dan berpengaruhnya aktiviti makan dalam kehidupan kita.

Tidak hairanlah, ada pepatah Inggeris yang berbunyi, “You are what you eat.” Anda adalah apa yang anda makan. 

Setiap tindak tanduk dan perilaku kita yang berkaitan dengan makanan sedikit sebanyak akan memberitahu perwatakan peribadi kita. Jenis makanan apa yang kita beli, makanan kegemaran kita, berapa banyak yang sanggup kita belanjakan untuk makanan, berapa jauh yang sanggup kita tempuhi demi sepinggan nasi, tabiat pemakanan kita dan lain-lain lagi, semua itu dapat merungkaikan rahsia personaliti kita.

They say you are what you eat. Then I must have been eating everything cute when I was a little kid. Kekeke. Err. [Kredit]

Sungguh, sama ada kita sedar atau pon tidak, makanan adalah sesuatu yang sangat dekat dengan diri kita sehari-hari. Selain pakaian dan tempat untuk berlindung, makanan (dan minuman) adalah keperluan asasi yang wajib ada bagi setiap manusia untuk terus hidup sepertimana yang ditegaskan oleh Pakcik Abraham Maslow (walaupon kalau Pakcik Maslow tak buat hierarki keperluan hidup itu, kita semua dah tahu fakta ini). 

Untuk semua itu, berapa ramai antara kita yang benar-benar mensyukuri nikmat makan dan makanan? Berapa ramai daripada kita yang memaknai nikmat makanan? Sejauh mana kita benar-benar berterima kasih dan rasa bersyukur kerana masih dapat makan dan bukan makan sekadar makanan, tetapi makanan yang lazat, berkhasiat lagi mengenyangkan?  

Ramai daripada kita yang memandang enteng hal ini, hanya kerana untuk kita, makanan amat mudah didapati. Pergi sahaja pasaraya Giant atau AEON Big, hah, terbentang luas, seluas mata memandang rak-rak yang tersusun rapi dengan makanan. Gerai-gerai makanan penuh di tepi-tepi jalan menjual pelbagai jenis dan aneka makanan. Kompleks beli-belah tidak akan lengkap tanpa premis makanan. Pendek kata, di Malaysia ini, mencari makanan bukanlah suatu masalah atau kerisauan yang boleh dikategorikan sebagai masalah negara. 

Oleh sebab itu, sukar untuk kita memaknai nikmat makan dan makanan. Tidak pernah terlintas di kepala kita betapa berpeluhnya ketiak sang petani membanting tulang memandu traktor untuk membajak sawah dan kemudian menuai padi, untuk sesuap nasi lemak sambal kerang yang kita jamah itu. Tidak pernah kita hargai pengorbanan para pemilik ladang gandum di Eropah dalam membekalkan kita dengan gandum yang berkualiti tinggi setiap kali kita menikmati roti canai garing cicah dhal sambal di restoran mamak peberet kita itu. 

Oleh sebab itu juga, amat sukar untuk kita merasa empati dan menjiwai penderitaan manusia lain yang kebuluran. Kita yang makan lima hingga enam kali sehari ini, tidak dapat membayangkan ada orang di luar sana yang tidak makan seminggu lamanya. Mulut kita yang tidak berhenti-henti mengunyah ini, sama ada mengunyah kacang goreng masin atau kuih Almond London yang masih berbaki, tidak dapat mahu memahami adanya manusia di luar sana yang mati akibat kelaparan.

Aduhai. 

Dan pembaziran makanan juga tidak membawa apa-apa erti kepada kita. Nasi yang tidak habis yang dibuang. Makanan yang basi kerana dibeli tetapi tiada siapa yang mahu memakannya. Makan di kedai dengan masih banyak sisa makanan yang berbaki hanya kerana saiz hidangannya yang besar. 

Sedangkan ada manusia di luar sana yang misinya seharian adalah mencari sisa makanan di dalam tong sampah. Walhal berapa ramai orang miskin tegar di luar sana yang tidak tahu sama ada akan ada makanan untuk mereka esok harinya. Masih ramai di luar sana yang menanges kerana tidak tahu nak beri makan apa kepada anak-anak mereka. 

Aduhai.

Tidak hairanlah, untuk semua ini, di dalam surah 'Abasa, sebuah surah Makiyyah yang pokok perbicaraannya adalah tauhid dan aqidah, Allah SWT menarik perhatian kita untuk duduk sebentar dan bermuhasabah tentang makanan.
"Maka hendaklah manusia itu memerhatikan makanannya."
['Abasa, 80:24]

Pendek, tetapi cukup padu. Ringkas tapi cukup bermakna. Padat tapi sungguh mengesankan.

Hendaklah kita, wahai sekalian manusia, memerhatikan makanan kita. Ada apa dengan makanan?

Kerana sungguh, makanan itu bukan sekadar nasi dan roti, ayam dan ikan, sirap bandung cincau dan teh o' ais limau laici, bukan. 

Kerana makanan itu adalah karbohidrat, protein, lemak dan vitamin yang akan menjadi darah daging kita.

Kerana makanan itu tidak sewenang-wenangnya turun dari langit seperti maan wa salwa lagaknya, tapi adalah kurniaan dan qudrat Allah yang melalui pelbagai fasa dan proses yang kompleks.  

Kerana makanan itulah yang akan membekalkan khasiat dan nutrien kepada otak kita untuk berfikir. 

Dan kerana makanan itu yang membezakan antara seorang hamba yang bertaqwa dengan yang tidak; seorang hamba yang bersyukur dengan yang tidak.  

We are what we eat. Kita adalah apa yang kita makan.

Maka! Perhatikanlah apa yang kita makan!

Wahai!

-gabbana-  

Hujung minggu ini ada himpunan murid-murid tua Sekolah Bintang. Masih lagi berkira-kira untuk pergi atau tidak. 

Jika tiada sebab-sebab tarbiyah atau dakwah, terasa macam tiada makna untuk pergi. nanti jadi huhahuha sahaja. Haihh.

Tapi mungkin boleh pertimbangkan semula kalau mahu pergi makan nasi ganja atau nasi arab! Eh.

5 Caci Maki Puji Muji:

Anne Syafini 05/09/2014, 15:39  

Makan untuk dapat redha Tuhan? Nice entry..;-D

Anonymous 05/09/2014, 16:16  

Memang superb ah penulisan inche gabbana ni..padat berisi gituhh..x puas membacanya..teruskan berkarya n melaju!

Anonymous 06/09/2014, 07:33  

mungkin APG boleh pergi berjumpa murid-murid tua untuk bersilaturahim ;)

Entry yang sangat baik. Jzkk.
terutamanya part ayat Al Quran. ada rupanya Allah ingatkan kita supaya tengok apa kita makan. bila tengok nasi, fikir dari mana nasi datang, orang yang bekerja dll .. boleh menitis air mata

Anonymous 06/09/2014, 08:24  

nasi ganja? haram pada nama..
nasi arab kat mane kat ipoh ni? ohh, kat riverside ye? tak pernah pergi ponn.

seorang gila 07/09/2014, 18:04  

Jangan lupa makanan rohani

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP