2 September 2014

Jihad

[Kredit]

I
Solikin menarik nafas. Dalam. Panjang.

Dia sedaya upaya cuba membuang jauh-jauh fikiran kotor yang sedang bermain di dalam kepalanya. 

Namun setiap kali dia memikirkan tentang Hasan, dia jadi tak keruan. Jiwanya bergelojak. Nafsunya menyerakah.

Astaghfirullah.

Solikin terpaksa menelan hakikat yang amat pahit bahawa dia punya keinginan syahwat tidak seperti lelaki yang lainnya; dia punya nafsu pada kaum yang sejenis dengannya. 

Dia tidak tahu sejak bila nafsunya jadi songsang sebegitu. Cuma dia mula perasan yang dia tidak punya keinginan terhadap perempuan ketika dia di bangku sekolah, apabila dia tidak terasa teruja atau seronok apabila ada budak-budak perempuan yang tergedik-gedik menyelitkan surat chenta dengan bedak talkum semerbak di dalam begnya.

Kembang hidung Solikin membaca surat-surat itu, tidak tahan dengan bedak yang overdose. Meskipon antara budak perempuan yang cuba menguratnya adalah perempuan pojaan ramai idaman hati ramai jejaka-jejaka di sekolahnya. Sedikit pon tidak memikat hati Solikin.

Solikin sendiri merupakan seorang lelaki yang bukan sahaja boleh dikatakan kacak, malah berketerampilan dan berbudi bahasa. Dengan rambutnya yang ikal, dahinya yang lebar, matanya yang sedikit sepet, bulu matanya yang lebat, lesung pipit yang dalam, hidung yang mancung dan mulut yang mulus, ditambah pula dengan wajah yang bebas jerawat dan kulit yang halus kekuningan, sesiapa sahaja boleh silap sangka Solikin sebagai pelajar pertukaran dari Korea. 

Ditambah pula dengan sopan santunnya dan dia yang suka merendahkan diri, jangankan gadis, mak gadis juga bisa sahaja histeria apabila surat chenta mereka dipandang sebelah mata sahaja oleh Solikin. 

Yang lebih pelik, Solikin lebih tertarik pada atlet-atlet lelaki di sekolahnya. Terutamanya yang berbadan sasa dan berseluar pendek. Sebab itu Solikin suka melepak di kantin sekolah yang letaknya di tepi padang. Di situlah dia akan melepak-lepak selepas waktu sekolah untuk mencuci mata dan memuaskan jiwa yang bergelora. 

Dan Solikin akan pulang dengan hati yang gundah. Dengan jiwa yang resah. Mengutuk-ngutuk dirinya yang bernafsu songsang itu dan sedih mengenangkan nasibnya yang tidak menentu itu. Dia tahu semua itu salah. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.

Namun dia buntu. Tersepit. Apa sahaja yang boleh dia lakukan? 

Masuk universiti, keadaannya lebih mencabar lagi. Parah. Jejaka-jejaka muda, jambu dan kacak dari seluruh pelosok negara berkumpul di satu tempat. Rambang mata Solikin dibuatnya. Bukan sekali dua dia terpaksa menelan air liur apabila ada lelaki-lelaki hensem lagi bergaya menghulurkan tangan untuk berkenalan dengannya sewaktu minggu orientasi.

Belum lagi dihitung abang-abang senior yang berdahi licin, berdada bidang dan berwajah ala Hugh Jackman, berbulu satu muka itu! Aduh! 

Mujurlah Solikin sempat diperkenalkan dengan tarbiyah. Dia diajar untuk berkenalan dengan Allah. Dia dididik untuk chenta pada Rasulullah. Dia dibimbing untuk cuba memahami dan memaknai ayat-ayat suci dari Allah. 

Semuanya itu memberinya suatu kekuatan baru yang luar biasa pada Solikin. Ia memberikan harapan dan nafas baru yang panjang pada dirinya. Dia yakin bahawa semua ini hanyalah ujian dari Allah, untuk melihat sejauh manakah dia mampu mensyukuri segala nikmatNya. 

Sehinggalah.. Sehinggalah dia diperkenalkan dengan Hasan, ahli sebulatan gembiranya. Hasan yang sedikit lewat menyertai bulatan gembiranya bukanlah hensem mana pon. Tidaklah bertubuh sasa seperti pemain ragbi di universiti itu. Tidak pula tinggi lampai macam pemain bola keranjang yang rata-ratanya tampan dan bertenaga. 

Namun ada sesuatu pada Hasan yang membuatkan Solikin tidak mampu melelapkan mata. Mungkin senyumannya yang manis itu. Atau rambutnya yang halus keperangan itu. Atau tutur katanya yang lembut dan memikat itu. Atau perwatakannya yang tegas dan penuh keyakinan, tapi tidak pernah menjengkelkan itu.

Aaaahhhhhh!

Setiap kali pertemuan mata ke mata dengan Hasan, Solikin jadi tak keruan. Dia gugup. Air peluh dingin merembes laju dari dahi dan belakang lehernya. 

Bertemu kulit dengan Hasan untuk sesi bercipiki-cipika atau bersalaman lebih menyeksakan. Ia ibarat menghantar kejutan elektrik bervoltan tinggi pada seluruh badan Solikin.

Seksa tapi suka. Merana tapi bahagia. Sengsara tapi chenta. Lantas bagaimana?

Solikin menggeleng-gelengkan kepalanya. Laju dia beristighfar. Perlahan-lahan, air suam-suam kuku mengalir dari kelopak matanya.

Tidak boleh. Tidak boleh begini. Aku mesti lawan. Errghhhh!

Solikin mengetap giginya. Dia menggenggam kuat kedua tapak tangannya.

Dia memandang ke atas, ke arah langit biru bersulamkan awan gebu. Seolah-olahnya mengharapkan suatu isyarat atau petanda dari kerajaan langit, bahawa mereka sentiasa bersama-sama dengannya. 

Aku mesti lawaaaannn! 


II
Fatihah terbungkang. 

Katil bersaiz permaisuri yang dibelikan ibunya tiga tahun lalu itu berkeriuk apabila Fatihah mencampakkan dirinya.

Dia benar-benar letih. Terasa seperti seluruh tenaga di dalam tubuhnya disedut keluar. 

Masakan tidak. Sejurus selepas Subuh tadi dia sudah sibuk menguruskan pelbagai hal dan masalah. Ayahnya menyuruh dia menghantar adik-adiknya ke sekolah. Ibunya pula memesan untuk dibelikan barang-barang dapur dari pasar pagi.

Mentang-mentang aku tengah cuti, dibuatnya aku macam bibik tak bergaji! 

Ngomel Fatihah di dalam hati. Pantas dia beristighfar dan menyesal dengan apa yang diungkapkannya. Dia tahu, tidak wajar dia mengeluh sebegitu. Kalau bukan dia yang boleh diharapkan untuk melakukan semua itu oleh ibu dan ayahnya, siapa lagi? Dan sekiranya kerja-kerja sebegitu pon dia sudah mengomel dan membebel, macam manalah bila dia sudah bersuami dan beranak sendiri nanti? Ehem.

Usai mengerjakan urusan seperti yang dipinta oleh ibu dan ayahnya, Fatihah bergegas ke Pejabat Pendaftaran Negara berhampiran untuk menukar kad pengenalannya yang sudah lama rosak. Nasibnya baik hari itu; sampai sahaja dia di Pejabat Pendaftaran, dia hanya perlu menunggu seorang sahaja sebelum gilirannya dipanggil. 

Habis mengisi borang dan menangkap gambar, dia memandu pula ke kedai alat tulis untuk membeli barang-barang untuk projek akhir semesternya nanti. Lama juga dia terperangkap di sana; untuk memburukkan lagi keadaan, kedai alat tulis yang dikunjungi juga menjual banyak buku-buku cereka dan fiksi yang sememangnya menjadi kegilaan Fatihah. Pejam celik pejam celik, lebih sejam dia membelek-belek buku-buku yang ada dengan penuh kegirangan dan keterujaan. 

Dapat pula pada buku-buku keluaran Hud Hud Media. Memang silap lah. Seperti melangkah masuk ke dalam sorga dunia! 

Keseronokan Fatihah tidak kekal lama apabila dia panik melihatkan jam tangan Fossilnya yang sudah menunjukkan jam dua belas tengah hari. Dia punya temu janji dengan sahabat lama sekolahnya, Mariam, untuk menikmati makan tengah hari bersama-sama. 

Segera dia membayar barangan yang diperlukannya berserta buku #Chenta karya Inche gabbana (ehem!) dalam banyak-banyak buku yang dijarahnya. Lantas dia bergegas menuju ke ruang parkir kereta dan dipandu laju keretanya menuju ke tempat yang dijanjikan.    

Petang itu dia dipertanggungjawabkan pula untuk mengambil adik-adiknya dari sekolah masing-masing, usai program ko-kurikulum mereka. Dengan bau hamis yang bercampur dengan masam, Fatihah dengan penuh setia dan rasa kasih membawa adik-adiknya minum petang di gerai pisang goreng tidak jauh dari rumah mereka. 

Sampai sahaja di rumah, Fatihah bersegera ke dapur. Dia baharu teringat yang dia sudah berjanji pada ibunya yang hari itu dia yang akan menyediakan juadah makan malam. Ibunya sudah membuat muka sebaik sahaja kelibat Fatihah kelihatan. 

Fatihah hanya mampu tersengih dan terseringai penuh chenta pada ibunya.

Meski terpaksa bertarung dengan percikan minyak yang mengganas, hirisan bawang yang mengalirkan air mata dan bau tajam dari belacan yang menyengat hidungnya, Fatihah berasa puas kerana masakannya dipuji oleh seluruh ahli keluarganya. Adik bongsunya malah menjilat kuah ayam masak merah yang tersisa pada mangkuk hidangan sehingga licin.

Terasa seperti juara Master Chef pon ada. 

Habis membantu ibunya mengemas meja dan dapur dan mencuci dan menyental pinggan mangkuk dan kuali yang ada, Fatihah masuk ke dalam biliknya. Mahu sedikit masa persendirian untuk dirinya. 

Terbungkang. Benar-benar keletihan. 

Tidak sampai tiga minit dia memejamkan mata, telefonnya bergetar, tanda ada mesej Waksep yang masuk.

"Akaaaak! Tlg saya kak! T..T"

Mesej dari anak usrahnya, Rosmah. 

"Knapa ni..? Sume ok?"

"Sy eksiden kaaaakkk! Terlanggar keta dpn! X tahu nk buat apaaaa! TT__TT"

Segera Fatihah menghubungi Rosmah. Untuk perkara seseriyes itu, berbalas mesej Waksep adalah perkara terakhir yang diperlukan ketika itu. 

Teresak-esak Rosmah di talian. Fatihah cuba menenangkan dirinya. Rosmah tidak tahu hendak berbuat apa. Tidak tahu mahu menghubungi siapa. Keluarganya nun jauh di Pekan sana. Rakan-rakan lain ramai yang sudah pulang ke kampung bercuti. Hanya Fatihah sahaja yang terlintas di kepalanya ketika itu.

Fatihah juga sebenarnya kaget ketika itu, tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Namun dia tahu, Rosmah amat memerlukannya ketika itu.

Cuma dia berkira-kira, sekiranya ada akhawat lain yang boleh ke tempat kejadian untuk membantu Rosmah. Dia kepenatan. Untuk memandu kurang lebih tiga puluh minit lagi ke tempat kejadian, pastinya memerlukan tenaga yang masih tersisa pada tubuhnya. 

Fatihah segera beristighfar. Dia memejam rapat matanya. Terukir senyuman pendek pada bibirnya.

"Mah tunggu jap eh, akak dtg. Apa2 hal call akak."

Fatihah segera bersiap. Dia meminta izin dari ayahnya untuk keluar sebelum mengambil kunci kereta MyVi ayahnya.

"Aih malam-malam macam ni pon nak keluar lagi..?? Ada apa yang penting sangat tu?"

Ibunya membebel.  

Fatihah hanya tersenyum.


[Kredit]

III
Ihsan membelek-belek kasut kulit jenis moccasin berwarna merah gelap itu.

Cantik. 

Ihsan mengusap kasut itu dengan hujung-hujung jarinya. Terasa tekstur kulit kasut itu membalas usapannya.

Cukup mempesonakan.

Ihsan mendekatkan kasut itu pada hidungnya. Ah, wangi sekali. 

Ihsan lantas mencari-cari tag harga kasut itu. Dipusing-pusingkannya kasut itu, tidak dijumpai tag harga yang dicari. 

Ihsan lantas memasukkan tangannya ke dalam kasut dan mengeluarkan sesuatu. Terukir senyuman pada bibirnya, puas kerana apa yang dicari akhirnya dijumpai. 

RM599.00.

Terbeliak mata Ihsan melihat harga kasut itu. 

"Encik nak cuba?"

Seorang gadis genit, petugas kedai kasut itu menawarkan perkhidmatannya pada Ihsan. Dengan senyuman.

"Err. Boleh juga. Saiz lapan. Lapan UK ye."  

Sambil menunggu-nunggu gadis bertag nama 'Lily' itu untuk kembali dengan kasutnya, Ihsan mencongak-congak di dalam kepala baki di dalam akaun banknya sama ada mencukupi untuk dia memiliki kasut ekslusif itu. 

Kalau diikutkan, RM599 itu sebenarnya tidaklah mahal sangat, sekiranya diambil kira kualiti dan jenama kasut tersebut.  Kasut cap Ted Baker itu boleh dikira amat berpatutan dalam kelasnya yang tersendiri. Apatah lah Ihsan memang sudah lama mencari-cari kasut jenis moccasin itu. Cap Ted Baker lagi. Aduh memang sukar sekali untuk ditolaknya! 

Lily kembali dengan kasut bersaiz lapan. Dihulurkan satu persatu kepada Ihsan, dengan senyuman yang lebar menampakkan gigi kuningnya. Orang seperti Lily sudah amat arif, pelanggan jenis bagaimana yang akhirnya akan keluar dari premisnya membawa keluar beg kertas berisi kasut. Dan Ihsan adalah salah seorang daripadanya.

Perlahan-lahan Ihsan menyarung kasut tersebut. Usai menyarungkan kedua-dua belah, Ihsan melipat hujung seluarnya untuk menyerlahkan lagi kasut moccasin itu. Ihsan bangkit berdiri, memandang ke arah kakinya dengan penuh perasaan kekaguman. Dia tersenyum. Lily pon tersenyum. 

Dia berjalan-jalan, mundar mandir dari satu hujung ke hujung lainnya.

Ahhh memang selesa. Ihsan sudah terbayang-bayang kemeja mana dan seluar apa cocok dengan kasut berwarna merah gelap itu. Pergh hensem! 

Setelah puas menggayakan kasut tersebut, Ihsan kembali ke kerusi yang disediakan untuk para pelanggan mencuba kasut-kasut yang ada. 

"Macam mana? Ok?"

Lily sudah hampir pasti yang dia akan berjaya melengkapkan kuota jualannya pada hari itu. RM599? Itu sudah lebih separuh daripada kuota jualannya untuk tiga hari! 

Ihsan tersenyum. Gembira. Puas. Dia sudah hampir pasti yang dia akan memiliki moccasin Ted Baker yang sungguh bergaya itu. 

Namun entah mengapa, tiba-tiba dia teringat pada satu mesej Waksep yang dihantar oleh seorang al-akh terchenta pada dirinya awalpagi tadi.

"Weh, jomlah kita buat kutipan sket utk akhi Zamri. Dia tgh kesempitan skang ni. Bygkanlah, dia sampai terpaksa ration penggunaan kereta dengan zaujah dia, sebab tak cukup duit untuk byr minyak! Duit yg ada pon buat beli susu anak. Makan lg, bil lg.. ;("  

Hmmm. Ikhwah punyalah susah nak dapat duit. Aku senang-senang je nak spend RM599. Untuk apa..? Untuk sepasang kasut for heaven's sake!

Ketika itu juga imej-imej orang Ghazzah yang sentiasa terpampang di garis masa akaun Mukabukunya terpancar di dalam kepala Ihsan. Imej anak-anak kecil yang bermain dengan pasir dan kerikil-kerikil bangunan rumah mereka yang telah hancur berkecai. Imej wanita-wanita tua yang menderita dalam tangis, mengenangkan nasib mereka dalam kedut-kedu pada muka.

Berderu-deru masuk pula imej umat Islam Rohingya, Syria, Somalia, Kashmir dan sebagainya. Imej penderitaan. Kesengsaraan. Kemiskinan.

Imej-imej yang padu. Mengesan.

Ihsan memandang kembali kasut moccasin yang amat diinginkannya itu. Kali ini dengan pandangan yang sayu. 

"Macam mana Encik? Stok dah nak habis ni. Saiz lapan pon memang tinggal sepasang je lagi."

Lily tersenyum lebar. Penuh pengharapan. 

Ihsan bangkit menyarung selipar Fippernya. Dia sudah membuat keputusan. Tekad.

Dengan sopan dia menghulurkan kembali moccasin merah tua itu kepada Lily. 

"Tidak mengapalah. Saya tengok-tengok dulu."

Mata Lily menjadi bundar. Tidak percaya dengan jawapan yang keluar dari mulut Ihsan. 

Ihsan berlalu pergi dengan senyuman penuh kejayaan. Puas.

***
"Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]

Lain orang, lain jihadnya. Tahu?

Senyum.

-gabbana- 

Dah lama tak tulis cerita pendek. Terasa sedikit puas dan seronok dengan karya kali ini.

Moga Allah redha!

9 Caci Maki Puji Muji:

Najah Mustapa 02/09/2014, 17:26  

menarik. lain orang lain jihadnya tapi semua ada perkaitan satu sama lain. Thanks kerana merajinkan diri menulis cerpen pendek.

Siti Sharini 02/09/2014, 17:26  

benar...

Anonymous 02/09/2014, 17:46  

Betul.. setiap orang lain jihadnya.
Susah oh susah, tapi lawan tetap lawan.
Moga kita terus bermujahadah hingga ke akhir hayat. T.T

Norlyana Nasrin 02/09/2014, 20:30  

saya suka! saya suka! (^-^)

Anonymous 02/09/2014, 22:05  

cerita penuh suspen~~

~SN~

Anonymous 03/09/2014, 13:25  

Alhamdulillah mampu dijadikn ikhtibar utk kita semua... thanks inche gabbana...

confius gurl 03/09/2014, 22:29  

ada sambungan x??nk tau ksudahan jihad solikin coz sypun tgh berjihad gak..suka dgn gurl yg berpewatakan boyish..

Anonymous 04/09/2014, 04:29  

TQ. Jzzk.

Anonymous 08/09/2014, 08:31  

Alhamdulillah..:)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP